BAHAGIAN EMPAT : BAB TUJUH

Others Completed 4183

Ya, memang harus mula kembali berjuang, kerana wabak tidak tidak pernah melupakan seseorang. Sepanjang bulan Disember ia menyala dalam dada penduduk bandar, menerangi tempat pembakaran mayat, menyesakkan kem dengan manusia terbuang. Dengan tidak henti-henti dia mara dengan langkah yang tegas tapi tidak menentu. Pihak pemerintah berharap udara dingin akan menghentikan kemaraan tersebut. Tapi wabak itu bolos dari jaringan musim sejuk yang keras tanpa reda sedikit pun. Harus menunggu lagi. Namun penduduk sudah bosan menunggu. Seluruh bandar hidup tanpa masa depan.

Sedangkan bagi Rieux, sedikit masa ketenangan dan persahabatan yang diberikan kepadanya, tidak akan berulang lagi. Sebuah hospital lagi dibuka, sehinggakan masa Rieux hanyalah bersama dengan para pesakitnya. Tapi, dia memerhatikan pada fasa itu, di waktu wabak paru-paru mula mengambil alih, para pesakit kelihatannya mula mendengar cakap doktor. Mereka tidak lagi mengamuk dan berdiam diri seperti pada fasa-fasa awal. Nampaknya pada waktu itu mereka boleh melihat dengan jelas apa kepentingan mereka, dan mereka meminta sendiri apa yang paling berkesan untuk mencegah penyakit. Mereka terus meminta sesuatu untuk diminum, dan meminta udara panas sepanjang masa. Meskipun segala permintaan itu menambahkan keletihan Rieux, namun dia merasa tidak keseorangan dalam melawan wabak itu.

Menuju akhir Disember, Rieux menerima sepucuk surat daripada Othon. Dia masih berada di kem itu. Surat itu menyatakan yang tempoh kuarantin sudah tamat. Tetapi pihak pentadbiran tersilap letak tarikh dia masuk ke sana, oleh sebab itu adalah satu kesilapan jika hakim itu masih ditahan di sana. Isterinya, yang baru saja keluar dari tempat kuarantin, telah pergi ke pejabat Prefek untuk memprotes. Dia tidak diterima dengan baik di sana, dan diberitahu mereka tidak pernah buat silap. Rieux menghantar Rambert untuk menguruskan masalah itu. Beberapa hari selepas itu, Othon mengunjungi Rieux. Memang ada sedikit kekeliruan, dan Rieux menunjukkan perasaan marahnya, meminta maaf di atas insiden tersebut. Tetapi, Othon yang kini lebih kurus, mengangkat tangan dengan lemah lalu berkata, setiap orang pasti akan buat silap. Ketika itulah Rieux perasan bahawa orang itu telah berubah.

“Apa yang kamu akan buat sekarang, Tuan Othon?” tanya Rieux. “Saya agak, banyak kerja sedang menanti kamu.”

“Oh, tak. Saya tak akan kembali ke pejabat,” sahut tuan hakim, “Saya nak ambil cuti.”

“Saya faham. Kamu kena berehat.”

“Bukan macam itu. Saya nak kembali ke kem.”

Rieux tercengang kehairanan. “Tapi kan kamu baru saja keluar!”

“Mungkin ayat saya tak berapa jelas. Saya dengar di sana ada sukarelawan dari pejabat kerajaan.”

Tuan hakim membulatkan sedikit matanya, sambil tangannya cuba meratakan rambutnya.

“Saya nak menyibukkan diri. Saya tahu ini kedengaran tak masuk akal, saya akan rasa lebih dekat dengan anak lelaki saya di sana.”

Rieux memandangnya. Seolah-olah dia tidak percaya di dalam pandangan mata yang keras itu tiba-tiba terpancar sinar kelembutan. Ya, memang pandangannya sudah kabur, kilauannya sudah menghilang.

Dengan cepat Rieux berkata,

“Sudah tentu. Kalau itu yang kamu mahukan. Saya akan menguruskannya untuk kamu.”

Rieux memang segera menguruskannya.

Kehidupan di bandar penderita wabak terus berlangsung sehinggalah Krismas. Dengan ketenangannya itu, Tarrou meneruskan kegiatannya di mana-mana. Rambert memberitahu Rieux, hasil perkenalan dengan dua orang pengawal muda, dia dapat berutus surat dengan isterinya. Lalu dia menawarkan kepada Rieux untuk menggunakan cara yang sama. Doktor itu bersetuju. Buat pertama kali sejak berbulan-bulan lamanya, dengan penuh kesukaran dia menulis surat kepada isterinya. Dia telah hilang bahasa yang biasa dia gunakan dulu. Surat itu pun dikirim. Tetapi jawapan balasnya agak lama juga ditunggu. Berkenaan Cottard pula, perusahaannya berkembang. Membuat spekulasi dalam pasaran gelap menguntungkan dia. Sedangkan Grand, musim Krismas tidak memberinya pengalaman yang menggembirakan.

Krismas pada tahun itu boleh dikatakan sebagai perayaan neraka berbanding perayaan syurga. Kedai-kedai kosong dan gelap, coklat-coklat palsu dan kotak-kotak kosong di jendela kedai, tremtrem penuh sesak dengan wajah-wajah sedih. Tiada seorang pun teringatkan Krismas di tahun-tahun sudah. Perayaan yang dulunya menyatukan semua orang, kaya dan miskin, kini hanya dirayakan oleh beberapa penduduk yang berada, yang dapat membeli kelengkapan di ruangan kotor bahagian belakang kedai. Gerejagereja lebih dipenuhi dengan doa berbanding nyanyian. Di dalam kota yang muram dan beku, beberapa orang kanak-kanak berlarilari, masih belum sedar terhadap apa yang mengancam mereka. Tetapi seperti di masa-masa lalu, tiada seorang pun memberitahu tentang kehadiran Tuhan yang memiliki tangan penuh pemberian. Tuhan yang tua bagaikan penderitaan manusia, namun baru bagaikan harapan anak muda. Dalam hati penduduk hanya ada tempat untuk harapan yang sangat tua dan muram. Harapan itulah yang menghalang manusia menyerah kepada kematian dan nekad untuk terus hidup.

Sehari sebelum Krismas, Grand tidak muncul seperti biasa. Rieux agak bimbang, dan singgah ke rumahnya awal-awal pagi lagi. Tapi Grand tiada di rumah. Semua kawan Rieux dikerahkan supaya mencarinya. Lebih kurang pukul sebelas pagi, Rambert datang ke hospital dan memberitahu dia sudah nampak Grand dari jauh. Kawan mereka itu sedang berada di jalanan, kelihatan bingung. Sekejap saja, Rambert sudah kehilangannya. Tarrou dan Rieux masuk ke dalam kereta untuk mencari Grand.

Pada waktu tengah hari, udara cukup dingin sekali. Ketika Rieux keluar dari kereta, dia melihat Grand dari jauh, berdiri di depan sebuah jendela kedai yang penuh dengan patung kayu ukiran kayu. Air mata tidak berhenti mengalir dari wajahnya yang tua. Dan ini sangat menyentuh hati Rieux. Dia mengerti kerana dia juga merasakan di lubuk hatinya. Satu bayangan masa lampau muncul di depannya. Di depan kedai barangan Krismas, Jeanne bersandar di dada Grand sambil mengatakan dia rasa sangat bahagia. Jauh di dalam lipatan tahun-tahun yang sudah berlalu, di tengah-tengah bandar yang dicengkam wabak ini, suara Jeanne yang muda kembali membisik di telinga Grand. Sudah pasti begitu. Rieux mengerti apa yang difikirkan pada masa itu. Kerana Rieux juga berfikiran seperti dia, dunia tanpa cinta adalah dunia yang mati. Akan tiba suatu masa di mana orang sudah merasa bosan dengan penjara, dengan pekerjaan, bahkan dengan keberanian untuk meminta kembali wajah seorang yang disayangi.

Menerusi pantulan cermin jendela kedai, Grand melihat Rieux. Tanpa berhenti menangis, dia berpusing, lalu bersandar di jendela kedai sambil memandang Rieux yang mendekat.

“Oh, doktor, doktor!” itu saja yang mampu diucapkannya.

Tak mampu untuk bercakap, Rieux mengangguk tanda memahami. Kesedihan Grand adalah kesedihannya juga. Perasaan yang menghimpit jantungnya adalah kemarahan sebesar gunung, kemarahan manusia yang merasai penderitaan manusia lain.

“Ya, Grand,” itu sajalah yang mampu diucapkan Rieux.

“Kalaulah saya ada masa untuk menulis surat kepadanya! Supaya dia tahu… dan supaya dia berbahagia tanpa sesalan!”

Rieux mencapai lengan Grand dan memaksanya berjalan. Grand membiarkan dirinya ditarik, dan berkata lagi dengan suara yang tersekat-sekat.

“Sudah terlalu lama! Saya sudah pasrah. Oh, doktor. Memang di luar saya nampak diam saja. Tapi sebenarnya saya berusaha untuk kelihatan biasa. Sekarang saya tak tahan lagi!”

Dia berhenti. Sekujur tubuhnya menggigil. Matanya seperti orang gila. Rieux menyentuhnya tangannya, panas sekali.

“Kamu kena pulang.”

Tapi Grand melepaskan diri, berlari beberapa langkah, lalu berhenti. Lengannya terhulur seperti mencari tempat berpegang, badannya terhuyung-hayang, kemudian jatuh di atas kaki lima. Wajahnya kotor oleh air mata yang terus mengalir. Orang yang sedang melintasi berhenti dengan tiba-tiba, memandang dari jauh, tidak berani mendekat. Rieux terpaksa mengangkat Grand ke dalam kereta.

Kemudian Grand sudah terlantar di atas katil. Dia sukar bernafas. Paru-parunya tersumbat. Rieux terfikir, Grand tidak mempunyai keluarga. Apa gunanya menghantarnya ke kem pengasingan? Dia sendiri bersama Tarrou yang akan merawatnya.

Kepala Grand tenggelam di tengah bantal. Pipinya berubah menjadi kelabu kehijauan dan matanya tidak bersinar. Dia terus melihat ke arah pendiangan yang telah dinyalakan api kecil oleh Tarrou dengan kepingan sebuah bekas.

“Sakit betul,” kata Grand.

Paru-parunya terasa membakar, dan dari dasarnya keluar bunyi aneh yang mengiringi semua kata-katanya. Rieux menasihatkan supaya dia diam saja, lalu berjanji akan datang kembali. Senyum aneh terukir di wajah Grand, bersama satu ekspresi yang lembut. Grand cuba memejamkan sebelah matanya dan berkata,

“Jika saya sembuh, doktor, ‘hebat sekali’!”

Seketika kemudian, dia tidak bergerak lagi. Tubuhnya lemah longlai.

Beberapa jam kemudian Rieux dan Tarrou kembali menjenguk Grand yang setengah bangkit di katil. Rieux terkejut melihat perubahan di mukanya akibat penyakit yang membakarnya. Tapi dia sudah nampak lebih waras. Dengan suara yang aneh dia meminta supaya dicarikan manuskrip yang disimpan di dalam laci. Tarrou memberikan manuskrip itu kepadanya. Grand memeluk halamanhalaman tersebut, lalu memberikannya kepada Rieux. Pergerakan itu mengundang Rieux supaya membacanya. Ianya adalah tulisan yang ringkas, kira-kira 50 halaman. Rieux membelek-belekkannya, dan sedar yang semua halaman itu berisi ayat yang sama yang ditulis berulang kali cuma dengan gubahan yang berlainan. Terusmenerus; bulan Mei, wanita si penunggang kuda, dan jalan di Bois disusun dan diuraikan dengan cara yang berlainan. Karya itu juga berisi penerangan, kadang-kadang terlalu panjang dalam bentuk yang lain dari teks yang sama. Tapi, di bawah halaman terakhir, terlihat satu coretan yang cukup teliti, dengan dakwat yang masih basah: Jeanne-ku yang dikasihi, hari ini ialah Hari Krismas dan…” Di atasnya, dengan susunan kaligrafi yang sangat cantik, tertulis versi ayat yang yang paling akhir.

“Tolong bacakan,” pinta Grand.

Dan Rieux pun membaca,

“Pada suatu pagi yang indah di bulan Mei, kelihatan seorang wanita yang langsing sedang menunggang kuda Mare yang berkilau-kemilau melewati sepanjang jalan Bois, yang dihujani bunga-bunga…” “Okay tak?” tanya Grand, suaranya dikuasai demam.

Rieux tidak memandang kepadanya.

“Ah,” kata Grand, gelisah, “saya dah agak! Cerah. Cerah. Itu bukan perkataan yang tepat.”

Rieux memegang tangan yang berada di atas selimut.

“Biarlah, doktor. Saya dah tak punya banyak masa…”

Dengan penuh kesakitan dadanya terangkat, lalu tiba-tiba dia menjerit,

“Bakarlah!”

Rieux kelihatan teragak-agak. Tapi Grand terus mengulangi perbuatan itu dengan suara yang penuh penderitaan. Membuatkan Rieux melemparkan lembaran kertas itu ke dalam api yang hampir padam. Secepat itu juga ruangan menjadi terang. Udara panas kembali menghangat untuk seketika. Ketika Rieux kembali ke sisi Grand, si pesakit itu membelakangi dia dengan wajahnya hampir menyentuh dinding. Tarrou melihat ke luar jendela, seakan-akan tidak mahu terlibat. Setelah menyuntikkan serum, Rieux berkata kepada Tarrou yang Grand tidak akan dapat bertahan sehingga keesokan paginya. Tarrou menawarkan diri untuk menemani Grand. Rieux bersetuju.

Sepanjang malam itu Rieux dihantui bayangan bahawa Grand akan meninggal dunia. Tetapi keesokan paginya, dia menemukan Grand sedang duduk di atas katil sambil berbual dengan Tarrou. Demamnya sudah hilang. Hanya tanda keletihan yang masih tersisa di tubuhnya.

“Ya, doktor,” kata Grand, “Saya silap semalam. Tapi saya akan tulis balik. Saya masih ingat semua yang saya tulis. Kamu tengoklah nanti.”

Rieux memandang ke arah Tarrou dan berkata,

“Kita kena tunggu.”

Pada waktu tengah hari, masih tiada perubahan. Menjelang senja, boleh dikatakan Grand sudah sembuh sepenuhnya. Rieux tidak mengerti sama sekali kes “kebangkitan semula” ini.

Lebih kurang pada waktu yang sama, seorang remaja perempuan dikejarkan ke hospital tempat Rieux bekerja. Menurutnya, perempuan itu sudah parah. Sebab itu apabila dia masuk saja ke hospital, dia terus diasingkan. Perempuan itu merintih tanpa henti dan menunjukkan simptom wabak paru-paru. Tetapi keesokan harinya, suhu badannya menurun. Seperti kes Grand juga. Mengikut pengalaman Rieux, penurunan suhu badan di waktu pagi adalah petanda kurang baik. Walau bagaimanapun, menjelang tengah hari, suhu badannya masih tidak naik-naik. Pada waktu malam, suhu badan hanya naik beberapa darjah. Keesokan paginya, suhu badannya kembali normal. Walaupun dengan begitu lemah sekali, remaja perempuan itu dapat bernafas seperti biasa di katilnya. Rieux memberitahu Tarrou yang remaja perempuan itu juga selamat, walaupun bertentangan dengan aturan simptom. Selama seminggu, 4 kes yang sama berlaku.

Pada hujung minggu, lelaki tua penderita asma itu menyambut Rieux dan Tarrou dengan bebelannya yang lebih dahsyat

“Kamu mesti takkan percaya! Mereka akan keluar lagi,” katanya.

“Siapa?”

“Tikus-tikus itulah!”

Sejak bulan April, tidak ada seekor tikus pun yang ditemukan.

Tarrou bertanya kepada Rieux,

“Adakah ini bermakna semuanya akan terjadi sekali lagi?”

Lelaki tua itu menggosok-gosokkan tangannya,

“Kamu patut tengok mereka berlari-lari. Ah, sungguh menyeronokkan.”

Dia sendiri telah melihat dua ekor tikus memasuki pintu rumahnya. Jiran-jirannya pun memberitahu, binatang itu muncul kembali di bawah rumah mereka. Dari bawah loteng terdengar lagi mereka bergerak-gerak, bunyi yang telah dilupakan sejak berbulan-bulan. Rieux menunggu dengan penuh perhatian terhadap pengumuman statistik keseluruhan.

Statistik itu menunjukkan penurunan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience