Sukar dikatakan apakah khutbah itu berjaya menyentuh hati dan fikiran penduduk bandar kami atau tidak. Othon meyakinkan Rieux yang khutbah Paderi Paneloux itu “memang tidak dapat disangkal lagi”. Tapi tidak semua orang berpendapat sebegitu. Bagi sesetengah penduduk, khutbah itu hanya meyakinkan lagi bahawa mereka telah dihukum untuk satu jenayah yang tidak mereka ketahui, untuk satu tempoh yang tidak pasti. Sementara itu, penduduk yang lain pula mula menyesuaikan diri mereka hidup sebagai tawanan. Dan beberapa yang lainnya mula memikirkan untuk melarikan diri daripada “penjara” itu.
Pada mulanya mereka menerima hakikat terputusnya hubungan dengan dunia luar sebagai satu bentuk kesusahan yang mengganggu rutin harian kehidupan mereka. Sekarang, mereka mula menyedari yang mereka terperangkap di bawah sebuah kubah gergasi yang mulai membakar kepanasan. Mereka juga mengesyaki yang “hukuman penjara” itu akan menghantui seumur hidup mereka.
Apabila malam menjelang, dan angin yang semilir bertiup memberikan kembali kekuatan, perasaan hidup seperti banduan telah mendorong melakukan perkara yang membodohkan.
Wajar diperhatikan juga, entah sama ada ini kebetulan atau tidak, selepas acara Minggu Sembahyang tempoh hari, ketakutan mula menjalar di setiap pelusuk bandar kami. Sehingga boleh dikatakan yang penduduk mula menyedari situasi yang menimpa mereka. Dari satu sudut, suasana bandar sudah berubah. Tapi, sebenarnya, adakah suasana yang berubah? Atau pun hati mereka?
Beberapa hari selepas acara Minggu Sembahyang itu, Rieux yang sedang dalam perjalanan ke salah satu kawasan terpencil di bandar, berbual-bual dengan Grand tentang perubahan terbaru itu. Sewaktu berjalan, mereka terserempak dengan seorang lelaki yang sedang terhuyung-hayang tanpa niat untuk melangkah ke depan. Pada waktu itu, lampu jalan yang dibuka agak lewat sejak wabak melanda, tiba-tiba menyala. Dan lampu jalan yang betul-betul berada di belakang Rieux menerangi wajah lelaki itu. Matanya terpejam dan dia ketawa tanpa suara. Peluh bercucuran pada wajahnya yang pucat, diiringi gelak membisu.
“Orang gila!” Grand memperhatikan.
Rieux mencapai lengan Grand dan menuntunnya pergi apabila dia perasan yang Grand mula gementar dengan kuatnya.
“Kalau macam ini lah jadinya, satu bandar akan jadi gila tidak lama lagi,” kata Rieux. Ditambah dengan keletihan, tekaknya terasa kering. “Jom kita minum dulu.”
Mereka bergerak menuju ke sebuah kafe kecil yang hanya diterangi dengan sebuah lampu di meja bar. Hiasan dalamannya berwarna merah pekat. Dan entah mengapa orang-orang di dalamnya juga bercakap berbisik-bisik saja.
Rieux terkejut apabila Grand memesan minuman keras, lalu meminumnya dengan sekali teguk. “Panas sekali!” kata Grand. Seketika kemudian, dia mencadangkan mereka terus bergerak.
Suasana malam seakan-akan berbunyi bisikan pada pendengaran Rieux. Di langit yang hitam pekat itu dia terdengar desiran angin yang perlahan. Ini mengingatkannya kepada tongkat di udara yang pernah diceritakan Paneloux.
“Nasib baiklah, nasib baiklah,” omel Grand.
Rieux bertanya apa yang dia nak cakap sebenarnya.
“Nasib baiklah saya ada aktiviti yang hendak dibuat.”
“Oh, ya,” sahut Rieux. “Memang betullah tu.” Kemudian dia memutuskan untuk tidak menghiraukan desiran angin itu. Lalu bertanyakan Grand tentang perkembangan aktivitinya itu.
“Ya, saya rasa ianya berjalan lancar.”
“Masih banyak lagi ke yang belum siap?”
Grand mula berkelakuan luar kewarasannya, dan nafasnya berbau alkohol yang diminumnya tadi.
“Saya tak tahu. Tapi itu bukan masalahnya, doktor. Saya berani jamin.”
Suasana sudah semakin gelap. Tiba-tiba Rieux perasan Grand sedang menggerak-gerakkan lengannya. Seolah-olah sedang berfikir untuk mengucapkan sesuatu. Kemudian dia bersuara dengan lancar,
“Apa yang saya hajatkan sebenarnya, doktor, apabila manuskrip saya itu sampai kepada penerbit, dan dia membacanya, setelah itu dia bangkit sambil berkata kepada staf-stafnya: ‘Tuan-tuan, inilah yang dinamakan karya! Hebat sekali!’”
Rieux tercengang-cengang. Dalam kegelapan malam, dia nampak Grand membuat gerakan tangan seolah-olah ingin membuka topi dengan meletakkan topi di kepala, kemudian tangan yang sebelah lagi terentang ke depan. Nun di langit, bunyi desiran angin semakin jelas kedengaran.
“Ya,” kata Grand, “ia harus sempurna!”
Walaupun sastera bukan bidang yang dikuasainya, namun Rieux tahu tidak semuanya seperti yang digambarkan. Contohnya, penerbit-penerbit di pejabat biasanya tidak mengenakan topi. Tapi, ya lah, siapa tahu. Sebab itu Rieux rasa lebih baik berdiam diri saja. Desiran angin dari langit malam masih menyinggahi cuping telinganya, diikuti bunyi bisikan wabak, walaupun dia sedaya upaya tidak mempedulikannya.
Mereka sudah sampai di kawasan tempat tinggal Grand. Oleh kerana kawasan tersebut agak tinggi, angin yang sejuk bertiup lembut menyapa wajah mereka, juga membawa mereka jauh dari kesibukan bandar. Tetapi Grand masih tidak berhenti bercakap. Sedangkan Rieux sudah tidak dapat menangkap butir bicaranya. Apa yang sempat didengarinya hanyalah karya yang ditulis Grand itu sudah banyak halamannya, dan dia sangat terseksa untuk membuat ia kelihatan sempurna.
“Malam demi malam, minggu demi minggu, hanya untuk memikirkan satu patah perkataan saja, doktor! Kadang-kadang, untuk satu kata penghubung saja!”
Grand berhenti mengejut, tiba-tiba menarik Rieux mendekat ke arahnya dengan mencapai butang kot Rieux. Mulutnya yang tidak bergigi itu mengeluarkan kata-kata yang tidak jelas,
“Saya nak kamu faham, doktor. Memang senang untuk memilih antara ‘tetapi’ dan ‘dan’. Tapi agak sukar untuk memilih antara ‘dan’ dan ‘lalu’. Paling sukar adalah untuk memikirkan sama ada untuk menulis ‘dan’ atau tidak.” “Ya, saya faham,” kata Rieux.
Lalu Rieux mula berjalan kembali. Grand kelihatan bingung, lantas mengejarnya hingga sampai di sisi.
“Maaf,” katanya gagap, “saya tak tahu apa yang tak kena dengan saya malam ini.”
Rieux menepuk bahu temannya itu, dan berkata yang dia tertarik dengan apa yang diucapkan oleh Grand itu dan ingin menolongnya.
Ini menenangkan Grand. Ketika sampai di depan rumah Grand, dia mengajak Rieux masuk sebentar, Rieux menerima pelawaan tersebut.
Di ruang makan, Grand menjemput Rieux duduk di hadapan sebuah meja kecil yang penuh dengan kertas bertulisan tangan yang sangat halus, dengan tanda silang di sana-sini.
“Itulah dia,” kata Grand menjawab kehairanan wajah Rieux. “Kamu nak minum? Saya ada sedikit minuman keras.”
Rieux menolak. Dia membelek-belek manuskrip itu.
“Jangan, jangan tengok!” kata Grand. “Itu kata pendahuluan saya. Pening saya dibuatnya. Sangat pening.”
Rieux sempat merenung ke arah lembaran yang lain, dan dia nampak tertarik kepada salah satu daripadanya. Dia mengangkat helaian itu dan membawanya ke bawah cahaya lampu. Helaian kertas itu bergetar di tangannya. Rieux melihat dahi Grand sudah basah.
“Duduklah,” kata Rieux, “bacakan untuk saya.”
“Baiklah.” Terpancar kegembiraan di mata Grand dan dia tersenyum. “Memang saya nak suruh kamu mendengarnya.”
Dia menunggu sebentar, merenung ke arah tulisan itu, lalu duduk. Sementara itu, Rieux mendengar bunyi yang mendengungdengung yang datang daripada jalan-jalan, seolah-olah menyahut panggilan wabak. Saat itu pancainderanya menerima segala macam bunyi yang luar biasa yang datang daripada pusat bandar; sebuah dunia yang terasing, dengan rintihan penderitaan yang lemas ditelan kegelapan.
Kemudian, dengan perlahan tapi jelas, suara Grand memenuhi ruang gegendang telinganya,
“Pada suatu pagi yang indah di bulan Mei, kelihatan seorang wanita yang anggun sedang menunggang kuda Mare (kuda betina) melewati sepanjang jalan yang berbunga-bunga di Bois de Boulogne.”
Kesepian menjengah lagi. Menelan bersamanya juga segala bunyi penderitaan di bandar. Grand meletakkan lembaran kertas itu, tapi matanya masih terpaku ke atas kertas itu. Seketika kemudian, dia mengangkat kepalanya.
“Apa pendapat kamu?”
Rieux menjawab perenggan permulaan itu telah mencetuskan rasa ingin tahunya dan dia ingin mendengar sambungannya. Namun begitu, Grand merasakan itu bukan idea yang baik. Dia nampak gembira dan meletakkan telapak tangannya dengan kuat di atas lembaran kertas tersebut.
“Ini baru draf secara kasar. Apabila saya telah berjaya menulis seperti apa yang saya gambarkan, apabila perkataan saya sudah seirama dengan langkah-kangkah kuda itu sendiri, satu-dua-tiga, satu-dua-tiga, barulah idea akan datang mencurah-curah. Dan yang paling penting, membaca dari perkataan pertama saja akan ada orang berkata: ‘Hebat sekali!’”
Tetapi dia mengakui masih banyak yang harus dilakukan. Dia tidak mahu menyerahkan hasil karya itu kepada penerbit dalam keadaannya sekarang. Walaupun kadang-kadang dia rasa sudah berpuas hati, tetapi dia sedar, masih ada sesuatu yang kurang. Dan dalam beberapa hal, perkataannya itu senang diteka, dan agak klise. Lebih kurang begitulah apa yang dikatakan Grand ketika mereka terdengar bunyi orang berlari-lari di jalan dari jendela bilik Grand. Rieux bangkit.
“Tunggu dan lihat sajalah hasil karya saya nanti,” kata Grand, lalu menoleh ke arah jendela, dan menambah, “apabila semua ini sudah berakhir.”
Bunyi tapak kaki orang berlari kedengaran lagi. Rieux turun ke bawah. Apabila dia sudah berada di luar rumah, dua orang lelaki berlalu di hadapannya.
Memang, disebabkan wabak dan udara yang panas membakar, mereka sudah mula hilang kewarasan. Sudah berlaku beberapa adegan keganasan dan percubaan untuk melepaskan diri daripada kawalan pengawal untuk keluar ke dunia luar.
Share this novel