BAHAGIAN EMPAT : BAB DUA

Others Completed 4183

Sepanjang permulaan bulan September, Rambert bekerja keras bersama-sama Rieux. Dia hanya minta cuti sehari, itu pun untuk berjumpa dengan Gonzales dan kawan-kawannya di depan sekolah menengah.

Pada hari yang telah ditetapkan, Gonzales dan Rambert melihat Marcel dan Louis mendekati mereka sambil tertawa. Mereka berkata Rambert tidak bernasib baik, walaupun mereka sudah jangkakan perkara itu. Pun begitu, mereka tidak bertugas pada minggu itu. Rambert perlu bersabar dan menunggu minggu berikutnya untuk mencuba sekali lagi. Rambert berkata memang kesabaranlah yang diperlukan untuk melakukan ‘bisnes’ itu. Oleh itu, Gonzales mencadangkan mereka berjumpa semula pada hari Isnin berikutnya, dan kali ini Rambert disuruh tinggal di rumah Marcel dan Louis.

“Kita akan tetapkan masa untuk berjumpa. Kalau aku tidak munculmuncul, kau terus pergi ke rumah mereka. Nanti aku berikan alamat.”

Tapi, Marcel, atau Louis, mencadangkan agar terus membawa Rambert ke sana. Barulah dia pasti akan menemui rumah mereka nanti. Kalau dia tidak keberatan, ada makanan ringan untuk mereka berempat. Gonzales mengatakan itu idea yang bernas. Lalu mereka terus bergerak ke arah pelabuhan.

Marcel dan Louis tinggal di kawasan pinggiran pelabuhan, berdekatan dengan pintu-pintu bandar yang menghala ke arah tebing. Rumah mereka kecil dengan senibina Sepanyol. Daun jendela kayu rumah mereka tebal dan bercat. Ruangan di dalamnya gelap dan tanpa sebarang hiasan. Ibu kepada kedua-dua pemuda itu, seorang wanita tua berbangsa Sepanyol yang ramah, menghidangkan nasi kepada mereka. Gonzales agak hairan, kerana bekalan nasi sudah kehabisan di bandar.

“Kami beli di pintu bandar,” kata Marcel.

Rambert makan dan minum dengan sepenuh hati. Gonzales menyifatkannya sebagai seorang “kawan yang baik”. Ketika itu Rambert berfikir, seminggu sebenarnya satu tempoh yang lama.

Kemudiannya baru diketahui yang dia terpaksa menunggu selama dua minggu lagi. Ini kerana jumlah hari seseorang pengawal bertugas telah dipanjangkan selama 15 hari untuk mengurangkan syif. Dan selama 15 hari itu, Rambert bekerja tanpa henti. Boleh dikatakan bermula daripada pagi hinggalah ke malam. Setiap hari dia hanya akan tidur di penghujung malam, terlelap sampai waktu subuh. Perubahan mendadak dari hidup bermalas-malasan kepada kerja tanpa henti ini, membuatkan dia hampir hidup tanpa citacita ataupun kekuatan. Dia bercerita sedikit saja tentang usahanya untuk keluar daripada bandar.

Ada satu kejadian yang harus diceritakan, iaitu setelah seminggu menunggu, Rambert berkata kepada Rieux bahawa untuk kali pertamanya dia mabuk pada malam sebelumnya. Sewaktu hendak meninggalkan bar, tiba-tiba dia rasa celah kangkangnya membengkak dan lengan di bahagian ketiaknya sukar digerakkan. Dia fikir, tentulah wabak! Ketika itu, reaksi spontannya adalah berlari ke bahagian utara bandar. Di sana, di sebuah padang kecil di mana laut tidak dapat dilihat, hanya langit saja yang dapat dipandang, dia menjerit memanggil nama isterinya. Suaranya bergema melantun ke dinding-dinding bandar. Apabila kembali ke rumahnya, ketika dia tidak menemukan satu pun tanda jangkitan pada tubuhnya, dia merasa malu sendirian dek kelakuannya yang agak tiba-tiba itu. Dia bersetuju apabila Rieux berkata itu bukanlah reaksi yang sepatutnya. Walaupun begitu, dia dapat memahami kenapa seseorang boleh berbuat demikian.

“Ataupun, memang seseorang akan cenderung untuk buat macam itu,” katanya.

Ketika Rambert hendak beredar, Rieux menambah,

“Othon bercakap pasal kamu pagi tadi. Dia tanya adakah saya kenal kamu. Dia pesan, jangan bergaul sangat dengan penyeludup. Itu dapat menarik perhatian orang.”

“Apa maksudnya tu?”

“Maksudnya, baik kamu berangkat secepat mungkin.” “Terima kasih.” Rambert menjabat tangan Rieux.

Ketika sampai di pintu, tiba-tiba dia menoleh. Dan untuk pertama kalinya sejak wabak melanda, Rieux melihat Rambert tersenyum.

“Mengapa kamu tak halang saya? Padahal kamu tahu bagaimana caranya.”

Rieux menggelengkan kepalanya, gerakan yang sudah sinonim dengan dirinya, sambil berkata itu adalah urusan Rambert. Bagi Rieux, kawannya itu telah memilih kebahagiaan. Sedangkan dirinya tidak ada alasan untuk membantah. Sebenarnya dia tidak mampu untuk memutuskan mana satu yang baik atau buruk dalam hal seperti ini.

“Kalau macam itu, kenapa suruh saya pergi cepat-cepat?” Sekarang Rieux pula tersenyum.

“Mungkin kerana saya ingin berbuat sesuatu untuk kebahagiaan.”

Keesokan harinya, mereka tidak lagi berbual tentang apa pun. Sebaliknya terus bekerja bersama-sama. Minggu berikutnya, akhirnya Rambert tinggal di rumah kecil berseni bina Sepanyol itu. Dia tidur di ruang tamu. Oleh kerana dua anak muda itu tidak pulang untuk makan, dan Rambert sendiri diberitahu supaya jarang keluar, kebanyakan masanya dihabiskan bersendirian atau berbual-bual dengan ibu kepada dua anak muda itu. Wanita itu agak kurus, pakaiannya hitam, wajahnya berkedut dan warna kulitnya tidak cerah, dilindungi rambut yang putih. Wanita itu tidak banyak bercakap, seringkali dia hanya tersenyum saja kepada Rambert. Satu kali dia bertanya, apakah Rambert tidak bimbang jika menularkan wabak kepada isterinya. Rambert menjawab itu memang ada risikonya, tetapi kecil sekali. Sedangkan kalau dia menetap lebih lama di Oran, risiko untuk terpisah selama-lamanya lebih besar.

“Baik ke orangnya?” tanya wanita tua itu sambil tersenyum.

“Sangat baik.”

“Cantik?”

“Pada sayalah.”

“Ah,” wanita itu mengangguk, “itulah sebabnya.”

Rambert termenung. Sudah tentu itulah sebabnya, tapi tidak mungkin hanya sebab itu saja.

Wanita tua itu menghadiri Gereja setiap pagi. “Kamu percayakan Tuhan tak?” dia bertanya.

Rambert mengaku memang tidak. Lalu wanita itu berkata lagi,

“Itulah sebabnya. Kamu betul. Kamu kena balik semula kepada isteri kamu. Kalau tak, apa lagi yang kamu ada?”

Rambert menghabiskan masanya dengan berjalan mundar-mandir di ruangan antara dinding kosong bercat kapur, menyentuh bilah kipas dengan jarinya, atau membilang bola-bola kapas di atas meja jahit. Pada waktu malam, Marcel dan Louis pulang. Mereka tidak banyak berbual, kecuali mengatakan masanya belum tiba lagi. Sesudah makan, Marcel bermain gitar sambil minum minuman keras perisa jintan manis. Rambert kelihatan termenung.

Pada hari Rabu, Marcel pulang dan berkata,

“Bersiap sedia. Tengah malam esok!”

Kemudian dia menerangkan, salah seorang pengawal yang bertugas bersama mereka telah terkena jangkitan wabak. Manakala seorang lagi yang juga teman sebiliknya kini berada dalam pengawasan. Mereka akan mengatur persiapan terakhir pada waktu malam. Dan esoknya, rancangan akan siap untuk dilaksanakan. Rambert mengucapkan terima kasih.

“Gembira?” tanya wanita tua itu.

Rambert menjawab ya, tapi fikirannya melayang memikirkan hal yang lain.

Keesokan harinya, di bawah langit yang membahang, udara panas terasa lembap menyesakkan nafas. Jumlah kematian semakin meningkat. Wanita berdarah Sepanyol itu tenang sahaja.

“Banyak sekali dosa di dunia ini,” katanya. “Memanglah…” Sepertimana Marcel dan Louis, Rambert juga tidak mengenakan pakaian. Meskipun begitu, keringat tetap bercucuran di dada dan belakang badan. Di dalam cahaya yang kelam kerana ditutupi daun jendela, badan mereka yang tanpa pakaian itu tampak coklat berkilat. Rambert berjalan mundar-mandir tanpa berkata sepatah pun. Tiba-tiba, pada pukul empat petang, dia memakai baju dan berkata ingin keluar.

“Jangan lupa,” kata Marcel. “Tepat pada tengah malam. Semuanya sudah diatur.”

Rambert pergi ke apartmen Rieux. Ibu doktor itu memberitahu yang anaknya berada di hospital di utara bandar. Seperti sebelumnya, ramai orang tetap berkerumun di depan pagar utama hospital itu.

“Pergi!” sergah sarjan dengan mata yang terbelalak.

Mereka beralih tempat seketika, namun masih berkerumun.

“Tak guna menunggu. Baliklah!” kata sarjan itu lagi. Bajunya sudah bermandi peluh.

Mereka di situ tahu memang tidak ada gunanya menunggu, namun mereka tetap berada di sana walaupun cuaca sudah panas terik. Rambert menunjukkan surat kebenarannya kepada sarjan, lalu ditunjukkan arah pejabat Tarrou. Pintu pejabat berada di tepi halaman hospital. Rambert berselisihan dengan Paderi Paneloux yang baru keluar daripada pejabat.

Di sebuah ruang bilik kecil bercat putih dan berbau ubat-ubatan dan kain lembap, Tarrou duduk di sebuah meja kayu hitam. Lengan kemejanya digulung, peluh yang mengalir dikesat dengan sapu tangannya.

“Kamu masih di sini?” tanya Rieux.

“Ya, saya nak berjumpa Rieux.”

“Dia berada di wad. Kalau ada masalah yang boleh diselesaikan tanpa melibatkan dia, itu lebih baik.”

“Kenapa?”

“Dia dah bekerja kuat sangat. Saya sedang mengurangkan bebannya.”

Rambert memandang Tarrou yang nampak sudah semakin kurus. Garis di mata di wajahnya jelas menunjukkan keletihan. Bahunya yang bidang kelihatan mengendur. Ada ketukan di pintu. Salah seorang pembantu jururawat masuk, mulut dan hidungnya tertutup dengan penutup putih. Pembantu jururawat itu meletakkan satu ikatan fail laporan pesakit di atas meja Tarrou dan berkata,

“Enam,” dengan suara yang tersekat oleh kain penutup muka, lalu keluar.

Tarrou memandang Rambert, tangannya mengipaskan fail itu.

“Fail yang kemas kan? Tapi ini lah korban semalam!” Dahinya berkerut-kerut. Fail itu diatur kembali. “Menghitung sajalah yang mampu dibuat sekarang,” katanya sambil bangkit, berpegang pada meja.

“Kamu dah nak berangkat kan?” tanyanya.

“Tengah malam ini.”

Tarrou berkata yang dia senang hati mendengarnya, dan Rambert harus berhati-hati.

“Ikhlas ke ni?”

Tarrou mengangkat bahu, dan berkata.

“Orang yang dah berumur macam saya ni kenalah bercakap jujur. Menipu ni buat letih je.”

“Maaf Tarrou. Tapi memang saya nak sangat berjumpa Rieux.”

“Baiklah. Dia lebih berhati perut dari saya. Jom, ikut saya.” “Bukan macam itu…’ Rambert tergagap-gagap.

Tarrou memandang kepadanya, tiba-tiba senyuman menguntum di wajahnya.

Mereka berjalan melalui bilik-bilik pesakit. Dinding yang mereka lewati berwarna hijau gelap seperti cahaya di dalam akuarium. Sebelum tiba di sebuah pintu kaca yang kelihatan ada lembaga aneh yang bergerak-gerak di baliknya, Tarrou membawa Rambert ke satu ruangan kecil yang penuh dengan almari buat hiasan dinding. Tarrou membuka salah satu daripadanya, iaitu sebuah peti penghapus kuman. Tarrou mengambil dua penutup muka yang dibuat daripada kapas, satu diberi kepada Rambert untuk dipakai. Rambert bertanya apakah ada gunanya memakai benda tersebut. Tarrou menjawab tidak, tapi boleh membuat orang lain percaya.

Mereka memasuki pintu berkaca itu. Di sebaliknya terdapat sebuah ruangan luas dengan jendela yang tertutup rapat walaupun masih dalam udara panas. Sejumlah katil berwarna kelabu disusun menjadi dua barisan. Kipas berpusing-pusing di syiling, bilahbilahnya menyapu udara yang padat dan panas. Dari segenap sudut terdengar rintihan yang nyaring dan melemaskan. Lelaki di dalam uniform putih bergerak perlahan di bawah sinar matahari yang masuk melalui celah jendela kaca yang tinggi dan berjeriji. Rambert berasa tidak senang hati berada di dalam bilik itu. Tidak mudah untuk mengecam Rieux, yang sedang menunduk di atas suatu lembaga yang merintih. Dia membuat belahan di celah peha pesakit yang terkangkang, sambil dipegang oleh jururawat di setiap sisi. Kemudian Rieux menegakkan badan, meletakkan alatnya di atas dulang yang dipegang oleh jururawat lain, sambil termenung sejenak memandang orang yang sedang dibalut lukanya. Ketika melihat Tarrou mendekat, dia bertanya,

“Ada berita baru?”

“Paneloux setuju untuk menggantikan Rambert di tempat kuarantin. Dia sudah banyak menolong. Dengan Rambert yang dah pergi, kumpulan tiga harus disusun semula.”

Rieux mengangguk setuju.

Castel telah menyelesaikan serum pertamanya. Dia bercadang untuk mencubanya dulu.”

“Oh. Bagus tu!” kata Rieux.

“Dan, ini Rambert.”

Rieux berpaling. Di atas penutup muka, matanya mengecil sewaktu melihat Rambet.

“Kamu buat apa lagi kat sini?” tanyanya, “bukan ke kamu sudah ada di tempat lain?”

Tarrou memberitahu yang “itu” akan dilaksanakan tengah malam nanti. Rambert mencelah,

“Macam tu lah rancangannya.”

Setiap kali salah seorang daripada mereka bercakap, penutup muka akan mengembung dan basah di bahagian mulut, membuatkan percakapan jadi tidak jelas, seakan-akan perbincangan antara patung-patung.

“Saya nak bercakap dengan kamu,” kata Rambert.

“Kalau macam itu, jom kita keluar sekali. Tunggu di pejabat Tarrou.”

Seketika kemudian, Rambert dan Rieux duduk di kerusi belakang kereta. Tarrou yang memandu.

“Minyak sudah habis,” kata Tarrou, “kita kena berjalan kaki esok.”

“Doktor,” kata Rambert, “saya tak akan pergi. Saya nak terus bekerja dengan kamu.”

Tarrou tidak memberi apa-apa reaksi, terus memandu. Rieux kelihatan tidak kuasa mengatasi keletihannya. Suaranya hampir tidak kedengaran.

“Macam mana dengan isteri kamu?”

Rambert berkata yang dia sudah fikir masak-masak dan tetap dengan pendiriannya. Seandainya dia berangkat juga, dia akan berasa malu, sehingga tidak tenang untuk mencintai isterinya. Rieux menegakkan badan. Dengan tegas Rieux mengatakan itu adalah alasan yang bodoh. Tidak perlu berasa malu untuk memilih kebahagiaan.

“Ya,” kata Rambert, “tapi kita akan malu kalau rasa bahagia bersendirian. Di saat orang lain tak turut merasakannya.”

Tarrou yang sehingga saat itu tidak mengucapkan sepatah kata pun, tanpa menoleh berkata, kalau Rambert memilih untuk mendapatkan sebahagian daripada penderitaan orang ramai, tiada lagi waktu untuk berasa bahagia. Dia harus memilih.

“Bukan macam itu,” kata Rambert, “dulu saya fikir, saya orang asing di sini, dan saya tak kenal dengan kamu semua. Tapi sekarang saya dah lihat apa yang saya lihat, saya tahu yang saya juga orang bandar ini. Sama ada saya nak atau tak. Wabak ini adalah masalah kita bersama.”

Tak seorang pun menyahut. Rambert kelihatan tidak sabar.

“Tapi kamu pun tahu sama macam saya kan, tak guna betul! Kalau tak, buat apa kamu ada di hospital tu? Kamu berdua dah buat pilihan ke? Dan menolak kebahagiaan?”

Baik Tarrou mahupun Rieux tidak menjawab. Kebisuan itu berterusan sehinggalah mereka menghampiri rumah Rieux. Sekali lagi mengulangi pertanyaannya dengan nada yang lebih mendesak. Hanya ketika itulah Rieux berpaling ke arahnya. Dengan susah payah dia bangkit.

“Maafkan saya, Rambert,” katanya, “saya tak tahu macam mana nak jawab. Tinggallah dengan kami kalau itu yang kamu mahu.”

Bunyi kereta yang membelok menghentikan bicaranya. Kemudian dia meneruskan, pandangannya lurus ke depan,

“Tidak ada satu pun benda di dunia ini yang begitu bernilai sehingga membuatkan seseorang berpaling dari orang yang dia cintai. Tapi saya tetap memalingkan diri, tanpa mengetahui kenapa.”

Dia menghenyakkan kembali tubuhnya ke tempat duduk.

“Itulah kenyataannya, macam tu saja,” suaranya lesu, “kita kena terima tu dan buat kesimpulan.”

“Kesimpulan yang macam mana?” tanya Rambert.

“Kita tak tahu sampai bila akan jadi macam ini. Jadi, kita harus merawat secepat mungkin. Ini lebih penting.”

Tengah malam itu, Tarrou memberikan peta daerah yang harus dijaga oleh Rambert. Tarrou melihat jam tangannya. Ketika dia mengangkat mukanya kembali, pandangannya bertembung dengan renungan Rambert.

“Kamu sudah beritahu mereka?”

Rambert mengalihkan pandangannya. Jelas dia keberatan untuk menjawab,

“Saya dah hantarkan surat kepada mereka, sebelum datang berjumpa kamu.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience