BAHAGIAN LIMA : BAB EMPAT

Others Completed 4183

Pada suatu subuh yang cerah di bulan Februari, pintu-pintu bandar dibuka semula dan disambut dengan meriah oleh penduduk, surat khabar, radio, dan pengumuman rasmi oleh Prefek. Tugas penulis hanyalah menceritakan suasana gembira selepas pintu-pintu itu dibuka semula, meskipun penulis sendiri termasuk salah seorang yang dihalang daripada berkongsi perasaan itu dengan penduduk lain.

Perayaan besar-besaran berlangung sepanjang hari sehinggalah malam. Pada waktu yang sama, kepala kereta api di stesen mula mengepulkan asapnya dan kapal-kapal di lautan mula menuju ke pelabuhan kami. Semua ini mengeringkan air mata bagi mereka yang terpisah, kerana hari itu adalah hari pertemuan semula yang telah lama dinantikan.

Di sini dapat dibayangkan bagaimana perasaan hidup terpisah seperti yang dirasai penduduk bandar kami. Sepanjang hari itu, deretan kereta api yang masuk ke bandar sama banyaknya dengan kereta yang menuju ke luar. Setiap penumpang telah membuat tempahan lama sebelum hari itu, iaitu ketika statistik mula menurun, sambil menunggu perkembangan. Mereka bimbang kalau-kalau keputusan Prefek dibatalkan pada saat akhir. Sesetengah daripada perantau yang pulang masih bimbang. Meskipun mereka mengetahui nasib ahli keluarga dan kekasih mereka, namun mereka masih tidak tahu tentang orang lain dan Oran itu sendiri. Mereka mempunyai gambaran yang mengerikan tentang keadaan di bandar wabak itu. Tapi ini hanya dirasai oleh mereka yang tidak makan hati pun sepanjang tempoh pengasingan itu.

Orang-orang yang ghairah cintanya terikat pada satu obsesi. Bagi mereka, hanya ada satu yang berubah, iaitu masa. Selama tempoh perpisahan, masa tak pernah berlalu secepat yang mereka mahukan dan mereka ingin mendorongnya agar bergegas. Kini di saat mereka menghampiri bandar, mereka ingin memperlambat dan menahan setiap detik yang berlalu apabila kereta api mengangkat breknya dan memasuki stesen. Mungkin kerana kebingungan, mereka menginginkan semacam pampasan kerana selama bulan-bulan yang berlalu itu mereka telah kehilangan masa untuk bercinta. Supaya saat-saat gembira itu akan berlalu kurang cepat daripada tempoh masa mereka menunggu.

Isteri Rambert sudah diberitahu sekian lama sebelum pintu bandar dibuka lagi, dan dia sudah bersiap-sedia dengan apa yang perlu untuk memasuki Oran pada hari itu. Rambert berada di antara mereka yang berada di ruangan menunggu, tidak sabar dan gugup kerana bimbang. Wabak telah menjadikan perasaan cinta dan kesetiaan itu semakin pudar. Kini dengan gementar Rambert menunggu saat berhadapan dengan makhluk yang nyata, yang selama ini telah menghidupkan perasaan cinta dan kesetiaan itu.

Dia ingin menjadi dia yang dulu lagi. Dia yang pada mulanya hendak berlari sederasnya ke luar Oran dan menyambut isterinya yang tercinta. Tetapi sekarang Rambert tahu semua itu mustahil. Dia telah berubah. Wabak telah menanamkan sifat suka menyendiri dalam dirinya, walaupun dengan seluruh kekuatan dia cuba untuk tidak mengakuinya. Pun begitu, sifat itu terus hidup dalam dirinya sebagai ketakutan yang tersembunyi. Boleh dikatakan Rambert merasa wabak berakhir dengan mendadak dan tidak sempat bersedia dengan semua itu. Kebahagiaan datang terlalu cepat. Perubahan suasana berlaku lebih cepat melampaui jangkaan. Rambert memahami semuanya akan dipulangkan kepadanya sekaligus. Dan kegembiraan itu akan menelannya bagaikan nyalaan api yang tidak dapat dinikmati dengan perlahan-lahan.

Sedar atau tidak, semua orang pun seperti Rambert. Penulis harus bercerita mengenai mereka semua yang ada di situ. Setiap orang di platform memulakan kembali kehidupan masing-masing. Rasa persahabatan itu masih ada dengan mereka saling tersenyum antara satu sama lain. Tapi, melihat saja asap kereta api mendekat, perasaan terasing mereka terhapus oleh siraman kegembiraan yang tidak terkata. Ketika kereta api berhenti, perpisahan yang tidak berkesudahan yang bermula di atas platform itu juga, berakhir dalam satu suasana yang penuh kegembiraan. Lengan-lengan memaut kembali tubuh-tubuh yang bentuknya telah mereka lupakan. Rambert sendiri, dia tidak sempat memandang seseorang berlari ke arahnya, apabila tiba-tiba saja si dia menghempaskan diri ke dada Rambert. Lalu kedua-dua lengannya melingkari tubuh isterinya. Matanya hanya melihat rambut yang dia begitu kenal. Sambil memeluk erat isterinya, Rambert membiarkan air matanya menitis laju. Tanpa mengetahui, adakah air matanya disebabkan saat-saat bahagia itu atau oleh penderitaan yang sekian lama menekan. Pun begitu, air matanya itu tidak memungkinkan dia untuk meneliti betul-betul wajah yang berada di bahunya itu. Adakah betul orang yang sudah lama dinantikan, atau sebaliknya; wajah yang sudah asing baginya. Rambert akan mengetahui adakah kecurigaannya itu memang benar. Buat sementara waktu, dia ingin melakukan seperti orang lain di sekelilingnya: percaya. Percaya yang wabak boleh datang dan pergi tanpa mengubah hati manusia.

Dengan saling berangkulan mereka pulang ke rumah masingmasing. Tidak mempedulikan dunia di luar mereka dan nampak seperti telah memenangi perjuangan melawan wabak. Melupakan kesedihan orang lain yang keluar dari kereta api itu tapi tiada orang yang menunggu mereka. Mereka ini sudah bersiap sedia untuk menerima pengesahan terhadap kebimbangan yang tumbuh dalam hati mereka kerana telah lama tidak dapat berita dari bandar yang terkurung. Bagi mereka yang hanya bertemankan kepiluan ini, dan lain-lain yang mendedikasikan kenangan kepada seseorang yang sudah tiada, masalah mereka sangat berbeza. Perasaan hidup berpisah sudah sampai ke kemuncaknya. Bagi golongan terakhir ini, ibu, suami atau isteri, dan kekasih yang kehilangan segala kegembiraan; entah di mana lubang yang menimbuskan mereka yang dicintai, melumat dalam timbunan abu, dan bagi mereka, wabak masih belum berakhir.

Tapi, siapalah yang akan memikirkan tentang orang seperti mereka. Tengah hari, matahari telah mengalahkan angin dingin yang berhembus sejak pagi. Tetap di posisinya, sinarnya melimpah ke seluruh bandar. Segalanya tak bergerak. Di benteng di atas bukit, meriam menembak tanpa henti di bawah langit yang biru. Seluruh isi bandar keluar untuk merayakan saat-saat yang menggembirakan. Saat di mana penderitaan sudah berakhir, sedangkan saat untuk melupakannya masih belum bermula.

Penduduk menari-nari di jalanan dan dataran. Dalam masa 24 jam saja, lalu lintas bertambah sesak. Kereta-kereta bertambah jumlahnya, hingga sukar untuk bergerak kerana jalanan yang dipenuhi orang. Sepanjang hari itu semua loceng gereja dibunyikan. Dengungnya memenuhi langit yang biru keemasan. Di sana, mereka melakukan ibadat kesyukuran. Pada waktu itu juga, tempat rekreasi pun penuh sesak. Tanpa memikirkan hari esok, kafekafe menjual minuman keras dari stok-stok terakhir. Di bar kafe tersebut, bingitnya sama dengan orang sedang berbual di jalanan. Di antara mereka banyak pasangan yang berpelukan dan saling membelai tanpa mempedulikan orang lain. Semuanya bercakap dengan kuat dan tertawa. Semua perasaan yang tertahan selama berbulan-bulan ketika cahaya hidup penduduk menyala kecil, kini dinyalakan sebesar-besarnya pada hari keselamatan mereka. Esok, kehidupan sebenar akan bermula kembali. Tapi untuk sekarang, orang-orang yang datang dari latar belakang yang berbeza-beza, berdampingan dengan penuh rasa persaudaraan. Kesamarataan yang tidak diciptakan oleh kematian, kini direalisasikan oleh suasana pembebasan, walaupun untuk beberapa jam saja.

Namun, segala kegembiraan ini tidak menunjukkan keseluruhan gambaran keadaan bandar pada hari itu. Mereka yang memenuhi jalanan bersama Rambert pada hari itu, seringkali menyembunyikan rasa bahagia mereka di sebalik sikap tenang mereka. Ramai pasangan kekasih dan keluarga kelihatan seperti bersiar-siar dan mengambil angin, tidak lebih dari itu. Sebenarnya, mereka sedang melalui tempat yang sama mereka merasakan penderitaan. Mereka menunjukkan wabak menyembunyikan sisa-sisa masa lalunya kepada mereka yang baru datang. Dalam sesetengah keadaan, mereka bertindak sebagai penunjuk jalan yang telah melihat banyak perkara di masa wabak. Dan mereka bercakap tentang wabak itu tanpa membayangkan rasa ketakutan. Lebih kepada perasaan gembira. Tapi dalam sesetengah keadaan, kunjungan ini membangkitkan emosi. Umpamanya, seorang lelaki menunjuk ke suatu tempat yang membangkitkan perasaan sedihnya, lalu berkata kepada pasangannya: “Di sinilah dulu, waktu petang macam ini, aku sangat merinduimu, tapi kau tidak ada di sisiku.” Pasanganpasangan kekasih ini kemudiannya saling mengenali antara satu sama lain, kerana mereka membentuk kelompok berduaan yang berbisik dan bertukar-tukar cerita di tengah-tengah keramaian orang. Jauh lebih baik dari kumpulan muzik yang menyanyi di dataran-dataran. Di tengah kebingitan ramai, pasangan-pasangan bahagia ini saling berdampingan, hampir tidak bersuara. Dengan penuh rasa bangga dan kebahagiaan yang teraniaya, mendakwa yang wabak telah berhenti dan masa ketakutan telah berakhir.

Dengan tenang mereka menafikan, di depan bukti yang nyata, yang mereka pernah mengenal sebuah dunia yang gila. Dunia di mana hampir setiap hari manusia mati bagaikan lalat. Menafikan wabak yang mengganas dan menggila dengan ketepatan hitungan. Menafikan pengurungan yang mempengaruhi kebebasan yang menjelikkan kepada semua yang sudah tidak ada sekarang. Menafikan bau hamis tempat simpan mayat yang menggamamkan orang yang tidak sempat dibunuh olehnya. Pendek kata, mereka menafikan bahawa kami pernah menjadi penduduk yang kebingungan kerana sebahagian besar dari kami pernah dimasukkan ke dalam mulut tempat pembakaran mayat, meruap menjadi asap berminyak; manakala yang lain, terbelenggu tidak berdaya, menunggu giliran mereka.

Apa pun, itulah yang dilihat oleh Rieux pada suatu tengah hari, ketika dia berjalan sendirian menuju pinggir bandar. Udara dipenuhi dengan bunyi loceng, dentuman meriam, nyanyian dan teriakan yang memekakkan telinga. Pekerjaannya masih berterusan, kerana tiada hari cuti bagi orang sakit. Dalam cahaya yang cantik dan cerah yang memandikan bandar, naiklah bau daging panggang dan minuman keras perisa jintan manis. Bau yang biasa dihidu di waktu sebelum masa wabak. Di sekeliling Rieux, wajahwajah yang tertawa menadah muka ke langit yang cerah. Lelaki dan perempuan dengan pipi kemerahan sambil bercumbuan. Ya, wabak telah berakhir dan membawa pergi bersamanya segala rasa ketakutan. Dan lengan-lengan yang saling berpelukan ini memberitahu apa yang dimaksudkan dengan wabak: pengasingan dan perampasan.

Meskipun berasa sudah mengetahui, namun baru sekarang Rieux dapat menyebutkan apa yang kelihatan di wajah orang-orang di jalanan selama berbulan-bulan ini. Baginya, cukuplah dengan melihat saja di sekelilingnya. Wabak yang berakhir turut membawa kesengsaraan dan kesusahan pergi bersamanya. Sekarang penduduk memainkan peranan mereka dengan sebenar-benarnya, iaitu sebagai imigran. Pertama, kerana muka mereka dan kini pakaian mereka pula. Kedua-duanya menunjukkan asal mereka dari tanah air yang sangat jauh.

Ketika wabak menutup pintu-pintu bandar, mereka mengasingkan diri, terpisah dari kehangatan manusia yang membuatkan orang melupakan segala penderitaan. Di segenap penjuru bandar, lelaki dan perempuan mengharapkan pertemuan semula. Saudara dengan saudara, ayah dengan anak, kekasih dengan kekasih, dan seterusnya. Namun tak semua mendapatnya. Kebanyakan daripada mereka merindui yang tiada itu, segala-galanya mengenai orang itu. Sesetengah daripada mereka, tanpa disedari mereka sendiri, menderita hidup tanpa berteman. Tambahan pula, segala medium perhubungan tidak lagi berfungsi; surat, telefon, kereta api, kapal. Sesetengah yang lain (Tarrou mungkin termasuk dalam golongan ini), menghendaki pertemuan semula dengan sesuatu yang mereka tidak pasti apa, tapi bagi mereka itulah yang paling diimpikan. Oleh kerana tidak tahu apakah nama yang patut diberi, mereka memanggilnya ketenangan.

Rieux meneruskan perjalanan. Semakin jauh dia berjalan, orang di sekelilingnya semakin bertambah. Seolah-olah pinggir bandar yang ditujunya semakin menjauh. Sedikit demi sedikit, dia merasakan dirinya bersatu ke dalam kelompok yang menjerit itu. Kemudian dia semakin faham dan faham maksud jeritan itu. Jeritan itu, sebahagiannya adalah jeritannya sendiri.

Ya, mereka sedang menderita, baik jasmaniah atau rohaniah. Menderita dalam cuti yang kejam, pengasingan yang tidak dapat ditebus, serta kehausan yang tidak terpuaskan. Di antara timbunan jasad tidak bernyawa, siren ambulans, amaran yang mereka namakan takdir, rasa takut yang tidak ingin pergi dan hati yang memberontak. Di antara kengerian itu, kedengaran suara yang tidak henti-henti mengingatkan mereka yang berdukacita ini, yang mereka harus kembali ke tanah air yang sebenar. Ia berada di dahan dan ranting yang semerbak di atas bukit, merentasi ombak lautan, di bawah langit yang bebas, dan di bawah jagaan yang tersayang. Ke arah kebahagiaan itulah mereka ingin kembali, sambil dengan rasa jijik memalingkan muka dari semua yang lain.

Rieux tidak mengetahui sesuatu pun tentang maksud pengasingan atau makna pertemuan semula itu. Namun dia masih melangkah, diasak dari segenap penjuru, kadang-kadang ditegur orang, perlahan-lahan dia tiba di jalan yang tidak begitu sesak. Dia berfikir, tidak penting untuk sesuatu itu mempunyai makna atau tidak.. Apa yang diperlukan adakah sesuatu itu menjawab atau memenuhi harapan manusia.

Rieux, mengetahui manakah yang menjawab harapan tersebut, dan dia melihat dengan jelas sekarang di jalan pinggiran bandar yang hampir lengang. Mereka yang betul-betul menanam impian untuk kembali ke rumah orang yang dicintai, seringkali mendapat apa yang diimpikan itu. Walaupun ada yang masih berkelana di jalan, keseorangan kerana tidak menemukan kembali orang yang ditunggu-tunggu. Beruntung juga bagi mereka yang tidak terpisah buat kali kedua. Contohnya, mereka yang sebelum masa wabak tidak dapat menghidupkan percintaan mereka, sehinggakan bertahun-tahun lamanya menjalin hubungan yang sukar sebagai pasangan yang asyik bertengkar. Mereka ini, seperti Rieux sendiri, terlalu memudah-mudahkan dan menyerahkan segalanya pada waktu. Dan sekarang mereka terpisah buat selama-lamanya. Tapi mereka yang lain, seperti Rambert, tanpa teragak-agak telah menemukan kembali si dia yang disangka sudah hilang. Sebelum meninggalkannya pagi itu, Rieux berkata kepada Rambert,

“Jangan takut!T erpulang kepada kamu sekarang untuk membuktikan yang kamu benar!”

Setidak-tidaknya, untuk beberapa waktu akan datang, mereka akan bahagia. Mereka mengetahuinya sekarang. Kalau ada sesuatu yang betul-betul diinginkan manusia dan kadang-kadang mendapatkannya, itulah cinta manusia.

Sebaliknya, bagi mereka yang mengharapkan bantuan di luar kemampuan seorang manusia, mengharapkan sesuatu yang mereka sendiri tidak dapat gambarkan, mereka ini tidak akan mendapatkan jawapan. Kelihatannya Tarrou telah menemukan ketenangan yang selalu dibicarakannya. Tapi dia hanya menemukannya setelah dia mati, di saat dia tidak lagi memerlukannya. Sedangkan yang lainlain, yang dilihat Rieux sedang berpelukan dan memandang satu sama lain dengan penuh keghairahan, mereka mendapatkan apa yang mereka idamkan. Ini kerana selama ini mereka mengharapkan satu-satunya perkara yang bersangkut paut dengan mereka sendiri.

Ketika Rieux membelok ke jalan tempat tinggal Grand dan Cottard, dia berfikir, selayaknyalah mereka yang memiliki keinginan perasaan cinta yang terbatas dalam hubungan sesama manusia itu mendapat apa yang dihajati, walaupun tidak semuanya mendapatkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience