BAHAGIAN EMPAT : BAB ENAM

Others Completed 4183

Di bandar ada juga beberapa kem pengasingan yang lain. Tetapi disebabkan kekurangan informasi dan takut keliru, penulis tidak dapat menceritakan dengan lebih lanjut lagi. Tapi apa yang boleh dia katakan; dengan adanya kem-kem ini, dengan bau yang datang dari sana, bunyi pembesar suara di waktu senja, misteri yang terlindung di sebalik dinding itu serta ketakutan terhadap kemkem itu, sangat membebani jiwa batin penduduk bandar kami dan menambah kegelisahan umum. Insiden dan pemberontakan kecil semakin kerap terjadi.

Menuju pengakhiran November, cuaca pagi menjadi sangat dingin. Hujan yang keras membasahi jalan dan membersihkan langit daripada awan-awan. Setiap pagi, matahari yang lemah akan menebarkan cahayanya yang dingin berkilauan. Sebaliknya, di waktu petang, udara akan menjadi hangat kembali. Waktu itulah yang dipilih Tarrou untuk menceritakan sedikit mengenai dirinya kepada Rieux.

Pada suatu malam, lebih kurang pukul sepuluh, setelah bekerja keras sepanjang hari, Tarrou menemani Rieux yang akan mengunjungi pesakit lama Rieux yang menghidap asma. Cahaya lembut terawang-awang di atas rumah-rumah di kawasan Pekan Lama. Angin berhembus sepoi-sepoi bahasa, tanpa suara yang melewati lorong-lorong yang gelap. Muncul dari lorong yang sunyi, mereka dijamu dengan bebelan lelaki tua itu. Dia mengatakan bahawa ada orang yang bengang kerana asyik orang yang sama saja mendapat jem, dan keadaan tidak sepatutnya berterusan begitu. Lalu lelaki tua itu menggosok-gosokkan tangannya dan berkata, suatu hari nanti akan terjadi perbalahan seperti dulu. Sepanjang Rieux memberi rawatan, dia tidak pernah berhenti bercerita tentang peristiwa-peristiwa itu.

Mereka terdengar bunyi tapak kaki di atas mereka. Melihat Tarrou tertarik kepada bunyi itu, isteri lelaki tua itu menjelaskan yang itu adalah jiran mereka yang berada di beranda. Suami isteri itu memberitahu yang pemandangan amat cantik dilihat dari sana. Beranda-beranda bangunan bersambung dari rumah ke rumah, sehingga memberi kesempatan kepada wanita-wanita di kawasan itu untuk saling berkunjung tanpa keluar dari rumah masingmasing.

“Naiklah ke atas!” undang lelaki tua itu, “udaranya segar sekali.”

Tarrou dan Rieux tidak menemukan seorang pun di sana kecuali tiga kerusi kosong. Dari satu sisi, sejauh mata memandang, yang kelihatan adalah sederetan beranda. Beranda paling hujung berbatasan dengan jisim kehitaman dan berbatu-batu, iaitu dinding bukit. Di sisi yang lain, merentasi jalanan dan pelabuhan yang tidak kelihatan, pandangan mereka tertumpu ke kaki langit, di mana langit dan laut seakan bersatu berlatarkan cahaya suram kelabu. Merentas sempadan tebing, nampak sinar cahaya yang tidak kelihatan puncanya muncul berselang-seli. Itu adalah rumah api yang sejak daripada musim bunga mengarahkan kapal-kapal supaya membelok ke pelabuhan-pelabuhan lain. Di langit yang yang jelas sekali dek kerana dihembus angin, bintang-bintang muncul berkilauan, kadangkala memudar bercampur dengan sinar cahaya rumah api. Hembusan angin perlahan-lahan membawa bau rempah-ratus dan batu yang lembap. Suasana sunyi seketika.

Sambil duduk Rieux berkata,

“Tempat yang menenangkan. Semacam wabak tak pernah sampai

ke sini.”

Tarrou membelakangi Dr., sambil membuang pandangannya ke arah laut. Beberapa saat kemudian, dia menyahut,

“Ya, seronok sekali di sini.”

Dia duduk di samping Rieux, dan pandangannya tetap ke arah Rieux. Tiga kali cahaya rumah api itu memenuhi ruang langit. Bunyi pinggan mangkuk berlaga kedengaran dari sebuah rumah yang terbuka pintunya. Disusuli bunyi pintu rumah ditutup.

“Rieux,” panggil Tarrou, nadanya kedengaran biasa, “kamu tak pernah bertanya tentang saya. Boleh saya anggap kamu sebagai kawan?”

“Ya, sudah tentu. Kamu memang kawan saya. Cumanya sekarang ini kita kekurangan masa saja.”

“Baguslah. Ini meyakinkan saya. Boleh kita mengambil rehat sejam; untuk persahabatan?”

Rieux tersenyum sebagai tanda jawapan.

“Begini…”

Di kejauhan, kedengaran sebuah kereta meluncur di atas jalan yang basah. Kereta itu melewati mereka, lalu bunyi jeritan yang tidak jelas dari kejauhan memecah kesunyian malam. Kemudian, perlahan-lahan keheningan menyelubungi dari langit yang berbintang itu. Tarrou bangkit dan berdiri di pinggir beranda, menghadap Rieux yang masih diam di kerusinya. Tarrou kelihatan seperti satu lembaga yang besar yang membentuk di langit. Banyak yang ingin diberitahunya. Setelah ditulis kembali, beginilah lebih kurang isi percakapannya,

“Untuk memudahkan cerita, saya dah pernah menderita wabak lama sebelum saya mengenali bandar ini dengan wabak yang menimpanya. Boleh saja saya katakan saya ini sama seperti orang lain juga. Tapi ramai yang tak tahu, atau selesa hidup macam itu. Lain-lain ada yang tahu dan ingin keluar dari keadaan itu. Saya, saya selalu ingin keluar.

“Semasa muda, hidup saya penuh dengan rasa tak bersalah. Maksudnya tak bererti sama sekali. Saya bukan jenis orang terseksa. Hidup saya bermula dengan baik. Saya dapat pendidikan dengan senang. Ada hubungan dengan wanita. Kalau saya ada masalah pun, akan segera hilang. Sama macam ia muncul. Satu hari tu saya mula berfikir. Dan sekarang…

“Sebelum itu saya patut cakap, ketika muda dulu, saya tak miskin macam kamu. Ayah saya seorang pendakwa raya. Jawatan yang dipandang tinggi. Pun begitu, oleh kerana dia orang yang baik hati, dia tak nampak macam orang penting pun. Ibu saya seorang yang sederhana dan pemalu. Saya sangat menyayangi dia. Tapi lebih baik saya tak cakap pasal dia.

“Ayah saya sangat baik kepada saya. Dan saya rasa dia cuba untuk memahami saya. Dia ada hubungan dengan perempuan lain. Saya yakin benar. Tapi saya tak boleh kata yang itu mengejutkan saya. Dalam hal itu saya rasa dia bertindak mengikut kata hatinya. Dia tak menyakiti perasaan seorang pun. Pendek kata, ramai juga yang begitu. Sekarang dia sudah meninggal. Saya sedar selama hidupnya dia bukanlah orang yang soleh, tapi tak juga jahat. Dia berada di tengah-tengah. Dia jenis lelaki yang kita boleh rasa kasih secukupnya.

“Ayah saya ada satu keganjilan; buku panduan kereta api Chaix adalah bahan bacaannya sebelum tidur. Padahal dia bukan selalu berjalan pun. Hanya pada cuti musim panas saja kami akan ke Brittany, tempat dia ada sebuah rumah kecil. Tapi dia mampu beritahu kamu dengan tepat waktu kereta api Paris-Berlin bertolak dan akan tiba, macam mana nak bertolak dari Lyon ke Warsaw, kereta api mana yang harus diambil dan pukul berapa dan jarak di antara dua bandar besar yang kamu boleh sebutkan. Boleh kamu beritahu bagaimana cara nak mengembara dari Briancon ke Chamonix? Penjaga stesen pun akan pening. Tapi ayah saya tak. Hampir setiap malam dia menambah pengetahuannya dalam hal ini, dan dia sangat berbangga dengan perbuatannya itu. Banyak kali saya mengujinya, dan jawapan yang diberikan tepat seperti dalam buku Chaix. Masa-masa yang dihabiskan merapatkan hubungan kami. Sebab dia menghargai saya yang sudi mendengar. Secara peribadi, saya anggap kelebihannya itu sama nilai dengan kelebihan-kelebihan yang lain.

“Tapi saya melawan cakapnya, mungkin itu memberi kesan kepada dirinya. Sebenarnya dia ada peranan besar kenapa saya berubah sikap. Sekurang-kurangnya dia memberi kesempatan untuk saya berubah. Ketika saya berumur 17 tahun, dia mengajak saya ke tempat dia bekerja. Waktu itu ada satu kes besar di mahkamah, dan mungkin dia nak saya melihat kehebatannya. Dan saya rasa, dengan fikiran yang masih remaja, dia mengharapkan saya akan terpesona dengan segala acara perundangan, sehingga terdorong untuk mengikut jejak langkahnya. Dia agak bersemangat menyuruh saya datang. Lagi pun saya nak melihat dia di luar karakter sebagai seorang ayah. Itu saja alasan saya untuk pergi. Suasana di dalam mahkamah macam biasalah. Sama seperti perarakan pada 14 Julai (Hari Kebangsaan Perancis) ataupun hari penyampaian hadiah di sekolah. Saya tak punya pengetahuan luas tentang semua itu dan saya pun tak berfikir banyak pun tentangnya.

“Gambaran yang saya masih ingat tentang hari perbicaraan itu adalah gambaran seorang penjenayah. Saya hampir yakin dia bersalah. Tak kiralah atas jenayah apa pun. Tapi lelaki pendek berambut perang yang hampir botak, berumur 30-an itu, nampak yakin mengaku bersalah. Dan nampak ketakutan dengan apa yang telah dia lakukan dan apa yang bakal menimpa ke atasnya. Selepas beberapa minit, saya tak melepaskan pandangan daripadanya. Dia seperti seekor burung hantu yang ketakutan oleh cahaya terang. Ikatan tali lehernya tidak kemas. Dia tidak berhenti menggigit kuku di jari tangan kanannya. Tanpa banyak cakap, kamu pun faham, dia seorang manusia yang hidup.

“Tapi tiba-tiba saya menyedarinya. Sampai saat itu saya baru tahu yang dia merupakan “si tertuduh”. Saya tak kata pada waktu saya dah tak ingat ayah saya kat mana. Seperti ada sesuatu menekan perut saya dan rasa itu membuatkan saya hilang perhatian kepada orang lain, kecuali kepada yang yang tertuduh. Saya hampir tak dengar apa-apa. Saya hanya dapat rasa orang ini akan dibunuh. Satu naluri hebat bagaikan ombak yang menggulung telah membuatkan saya menyebelahinya. Dan saya betul-betul tak sedar sehinggalah ayah saya bangun untuk memulakan pendakwaannya.

“Dalam jubah merahnya itu, dia bukan lagi orang yang baik hati atau penuh kasih sayang. Mulutnya penuh dengan ayat-ayat hebat yang keluar mendesis bagaikan ular. Saya faham atas nama masyarakat, dia meminta kematian si tertuduh. Dia bahkan meminta supaya si tertuduh dipenggal kepalanya. Memanglah dia hanya kata ‘dia perlu menerima hukuman paling berat’. Namun itu tiada bezanya. Natijahnya tetap sama. Dia ‘mendapat kepala’ yang dimintanya. Hanya bukan dia saja melaksanakan hukuman itu. Saya menyaksikan prosedur itu hingga ke penghabisan. Tiba-tiba saya berasa lebih dekat dengan lelaki malang itu berbanding ayah saya. Walau bagaimanapun, ayah saya kena menghadiri apa yang disebut sebagai ‘detik-detik terakhir’, tapi nama sebenar yang patut diberikan adalah pembunuhan yang paling kejam.

“Sejak dari hari itu saya tak boleh tengok lagi buku Chaixnya tanpa rasa jijik yang mengerikan. Sejak dari hari itu juga, saya tak tertarik dengan perbicaraan, hukuman mati, dan pelaksanaannya. Dengan rasa kecewa saya sedar ayah saya harus berkali-kali menyaksikan pembunuhan itu. Yang berlaku pada hari-hari yang dia bangun awal pagi. Saya ingat lagi dia akan mengunci jam untuk bangun. Saya tak berani bercerita kepada ibu saya. Tapi saya mula memerhatikannya dengan lebih dekat lagi. Kemudian saya sedar tiada perasaan apa-apa lagi di antara ibu dan ayah saya dan ibu pasrah dengan kehidupan macam itu. Itu membantu saya untuk ‘memaafkan dia’, seperti yang saya katakan pada waktu itu kepadanya. Kemudian harinya baru saya tahu tiada apa yang harus dimaafkan. Dia sudah hidup miskin sehinggalah dia berkahwin, dan kemiskinan telah mengajarnya untuk pasrah.

“Tentu kamu menunggu saya berkata yang ketika itu juga saya meninggalkan rumah. Tak. Saya masih tinggal bersama mereka selama beberapa bulan, hampir setahun juga. Kemudian pada satu malam ayah saya meminta jam untuk dia bangun awal keesokan paginya. Saya tak dapat tidur malam itu. Esoknya, ketika dia pulang, saya dah lari dari rumah.

“Ayah segera menyuruh orang mencari saya. Memang saya datang berjumpa dia. Tanpa memberi penjelasan, dengan tenang saya cakap yang saya akan bunuh diri kalau dia memaksa saya kembali tinggal bersama mereka. Akhirnya dia menerima, kerana memang dia orang yang lembut hatinya. Dia membebel panjang lebar tentang kebodohan saya yang nak ‘hidup sendiri’. Itulah yang dia faham tentang sikap saya waktu itu dan saya tak membantah apa pun. Sambil memberi pelbagai nasihat, sambil menahan air matanya dengan bersungguh-sungguh. Lama selepas itu, ketika saya datang menjenguk ibu, saya berjumpa dengan ayah saya. Saya kira hubungan macam itu sudah cukup baginya. Sedangkan saya sendiri tidak membencinya. Hanya rasa sedih sedikit di dalam hati. Sewaktu dia meninggal, ibu saya berpindah dengan saya. Dan kalau dia masih hidup sekarang, pasti dia akan masih tinggal dengan saya.

“Saya harus tekankan cerita hidup saya ini awal-awal, kerana bagi saya ia adalah permulaan kepada segala-galanya. Sekarang saya akan cerita lebih cepat. Ketika umur 18 tahun, saya keluar dari hidup yang penuh kesenangan dan mengenali alam kemiskinan. Saya lakukan berbagai pekerjaan untuk mencari nafkah. Tapi yang paling menarik perhatian saya adalah hukuman mati. Saya ingin membayar hutang kepada ‘si burung hantu berambut merah’ yang memperkenalkan saya buat pertama kalinya kepada perbicaraan. Jadi bak kata orang, saya memasuki dunia politik. Saya tak mahu jadi orang rosak jiwanya, begitulah lebih kurang. Saya merasakan bahawa susunan sosial di sekeliling saya didasari oleh hukumanhukuman mati. Jadi dengan membetulkan susunan itu bererti saya melawan hukuman mati. Itulah pandangan saya, yang lain pun berkata sedemikian. Dan saya percaya pendapat saya itu memang benar. Lalu saya menyertai satu perkumpulan yang saya suka bersama mereka. Saya menghabiskan masa bertahun-tahun bersama mereka. Tiada di satu negara di Eropah pun yang saya tidak berjuang bersama mereka. Tapi itu cerita lain…

“Tentu saja saya tahu, yang kami juga dalam beberapa keadaan, menjatuhkan hukuman mati. Tapi saya diberitahu yang kematian itu diperlukan untuk menyediakan dunia tanpa pembunuhan di hari kemudian nanti. Boleh jadi itu benar. Namun boleh jadi saya juga tidak mampu bertahan dengan kebenaran semacam itu. Apa pun penjelasan, saya masih ragu-ragu. Saya tetap teringat kepada ‘si burung hantu berambut merah’ itu, dan mungkin akan berlarutan begitu. Sehinggalah pada suatu hari saya menyaksikan sebuah hukuman mati di Hungary. Dan rasa sakit di perut saya yang menyerang di waktu muda dulu, mengaburkan pandangan saya. “Pernah tak kamu melihat pelaksanaan hukuman mati? Tak, sudah tentu tak pernah. Biasanya khas untuk undangan saja, yang hadir akan dipilih terlebih dahulu. Kamu mungkin terbayang hukuman mati seperti yang ditunjukkan di dalam gambar dan buku. Mata pesalah diikat dengan kain, tiang tempat dia diikat, dan beberapa orang askar di kejauhan. Tetapi kejadian sebenar langsung bukan macam itu. Kamu tahu tak skuad penembak hanya berdiri satu meter setengah daripada pesalah? Kamu tahu tak kalau mangsa maju dua langkah saja, dadanya akan bersentuhan dengan senapang? Kamu tahu tak pada jarak yang sedemikian dekat, para askar mengarahkan muncung senapang pada satu sasaran saja, iaitu di sekitar jantung, dan dengan peluru-peluru besar yang digunakan, mereka membuat lubang yang boleh ditembusi segenggam tangan manusia di dada pesalah? Itulah yang sebenarnya berlaku dan kamu memang tidak akan tahu. Kerana itu memang perincian yang tidak didedahkan. Bagi mangsa wabak, tidur dengan tenang pada waktu malam itu lebih penting daripada nyawa seorang manusia. Dan semua orang tahu tak patut untuk kita asyik mengungkit cerita. Tapi saya tak pernah tidur nyenyak sejak hari itu. Saya tak pernah berhenti daripada mengingati peristiwa hukuman itu.

“Kemudian saya mengerti selama bertahun-tahun ini saya tetap menderita kerana wabak. Padahal, selama bertahun-tahun ini dengan sepenuh jiwa, saya ingatkan saya sedang memerangi wabak. Saya sedar yang saya secara tidak langsung telah menyebabkan kematian ribuan orang. Bahkan saya telah menyebabkan kematian itu dengan meluluskan akta dan peraturan yang mana mengakibatkan natijahnya begitu. Kawan-kawan saya yang lain nampak tidak keberatan. Nampaknya begitulah. Mereka tak pernah bercakap pun pasal perkara ini. Sedangkan saya, kerongkong saya tersumbat oleh kepadatan perasaan. Saya bersama mereka, tapi saya sendirian. Apabila saya mengutarakan perkara ini, mereka suruh saya supaya jangan lemah semangat; dan saya patut bimbang dengan isu yang lagi besar. Kerap kali mereka memberikan hujahhujah yang mengagumkan, membuatkan saya menelan apa yang saya tidak boleh kunyah pun. Tapi saya membalas yang penderita wabak yang paling hebat, mereka yang mengenakan jubah merah, juga mempunyai hujah-hujah yang baik untuk menjustifikasikan perbuatan mereka. Dan sekiranya saya menerima hujah-hujah dan tekanan-tekanan daripada penderita wabak yang biasa, saya tidak akan dapat membangkang hujah-hujah daripada penderita wabak yang hebat. Kemudian mereka kata kepada saya cara terbaik untuk membenarkan si jubah merah, ialah dengan membiarkan hukumanhukuman dilaksanakan hanya oleh mereka. Tapi saya berpendapat kalau kita menyerah sekali, pasti kita akan menyerah buat kali kedua dan begitulah seterusnya. Nampaknya sejarah membenarkan saya. Pada zaman sekarang, seolah-olah manusia berlumba siapa yang dapat membunuh paling banyak. Mereka tergila-gilakan pembunuhan. Dan mereka tak boleh berhenti jikalau mereka mahu pun.

“Apa pun, kebimbangan saya bukanlah sebab hujah-hujah itu. Kebimbangan saya adalah ‘si burung hantu berambut merah’ itu. Pengalaman buruk di mana mulut kotor ‘penderita wabak’ mengumumkan kepada pesalah yang dia akan mati, dan si mulut kotor yang mengatur kematiannya, setelah malam demi malam berdepan dengan seksaan mental sambil menunggu untuk dibunuh dengan mata terbuka. Kebimbangan saya adalah lubang sebesar genggaman di dada manusia. Lalu saya memberitahu diri sendiri, tiada seorang pun dapat memaksa saya menerima hujah yang menghalalkan ‘penyembelihan’ seperti itu. Ya, saya memilih untuk berkeras kepala. Dan menunggu hari di mana saya boleh melihat dengan lebih jelas.

“Saya masih orang yang sama. Bertahun-tahun lamanya saya berasa malu. Sangat malu, kerana saya juga telah menjadi pembunuh, walaupun secara tidak langsung, walaupun maksud saya baik. Dengan beralihnya waktu, saya sedar, hatta mereka yang lebih baik daripada yang lain pun, masih tidak dapat menahan diri mereka daripada membunuh atau membiarkan orang lain membunuh, kerana itu adalah logik kehidupan mereka. Dan di dunia ini, tak mungkin kita berbuat sesuatu atau bergerak tanpa risiko menyebabkan seseorang mati. Ya, saya masih malu. Saya tahu kita semua sedang dilanda wabak, dan saya dah hilang ketenangan saya. Dan hari ini, saya masih mencarinya dan berusaha mengerti mereka semua. Juga berusaha untuk tidak menjadi musuh sesiapa pun. Saya hanya tahu, saya harus mengerjakan apa yang harus dikerjakan supaya tidak menjadi penderita wabak lagi. Dan dengan itu sajalah dapat memberi harapan ketenangan, paling tidak pun, kematian yang tenang. Kalau tidak dapat menyelamatkan pun, sekurangkurangnya meminimumkan penderitaan mereka seboleh mungkin, bahkan berbuat sedikit kebaikan. Itulah sebabnya saya menolak segalanya yang membunuh atau membenarkan orang membunuh. Baik secara langsung ataupun tidak, disertai hujah-hujah yang baik ataupun buruk.

“Sebab itu jugalah wabak ini tidak mengajar apa pun kepada saya, melainkan harus memeranginya bersama kamu. Saya yakin, ya, Rieux, saya tahu banyak perkara dalam hidup ini, seperti yang kamu dapat lihat, setiap orang adalah penderita wabak. Tak seorang pun, tak seorang pun yang dapat lari daripadanya. Kita mesti terus mengawasi diri untuk tidak lalai seminit pun daripada bernafas terlalu dekat dengan muka orang lain dan menjangkitinya. Apa yang semula jadi ialah kuman. Lain-lain; kesihatan, kewibawaan, kesucian hati, datang daripada kemahuan manusia. Satu kemahuan yang tidak akan pernah berhenti. Orang yang baik, yang hampir tidak menjangkiti seorang pun, dialah yang paling kurang kesilapannya. Ya, Rieux. Sangat meletihkan menjadi penderita wabak. Tapi lebih meletihkan lagi untuk tidak mahu menjadi penderita wabak. Sebab itulah semua orang kelihatan letih; semuanya sakit terkena wabak. Tapi sebab itu jugalah sesetengah orang yang mahu mengakhiri derita wabak ini merasakan puncak keletihan, sehingga tak seorang pun yang dapat membebaskan dia selain kematian.

“Menunggu saat itu, saya tahu yang saya tak berguna sama sekali di dunia ini. Bermula saat di mana saya menolak untuk membunuh, saya telah mencampakkan diri saya ke lembah yang dalam. Saya tinggalkan kepada yang lain-lain untuk membuat sejarah. Saya tahu saya tak layak untuk menghakimi mereka yang lain itu. Ada satu kekurangan dalam pemikiran saya yang tidak melayakkan saya untuk menjadi seorang pembunuh. Jadi, itu satu kekurangan, bukan kelebihan. Tapi sekarang saya menerima seadanya. Saya belajar untuk rendah hati. Hanya yang dapat saya katakan, di bumi ini ada penyakit dan ada mangsanya, dan terpulang kepada kita, untuk tidak menjadi sekutu penyakit itu. Saya tak tahu sama ada ia kedengaran sederhana atau tak, tapi saya tahu itu betul. Saya telah mendengar banyak hujah yang hampir berjaya mempengaruhi saya dan telah berjaya mempengaruhi ramai orang, sehingga mereka menerima pembunuhan. Dan saya faham, semua permasalahan manusia disebabkan mereka tidak menggunakan bahasa yang jelas. Waktu itu saya memilih untuk bercakap dan berbuat sesuatu dengan jelas supaya berada di jalan yang betul. Jadi saya katakan ada penyakit dan adanya mangsa, itu saja. Kalau dengan berkata sedemikian saya jadi sebahagian daripada pembawa wabak, sekurang-kurangnya saya tak bermaksud macam itu. Saya mencuba, untuk menjadi pembunuh yang tidak berdosa. Kamu tengoklah, saya tiada citacita yang hebat.

“Saya pasti yang kita patut tambah golongan ketiga, iaitu golongan doktor. Tapi kenyataannya golongan ini tak banyak ditemui, dan sudah tentu sukar nak jadi doktor sebenarnya. Itulah sebabnya, dalam usaha untuk mengurangkan kerosakan yang sudah berlaku, saya memutuskan untuk berpihak kepada mangsa. Di kalangan mereka, setidak-tidaknya saya boleh mencari bagaimana untuk mencapai golongan ketiga, atau dalam kata lain, ketenangan.”

Ketika mengakhiri percakapannya itu,Tarrou menghayunkan betisnya, lalu memukul kakinya perlahan ke lantai beranda. Setelah diam seketika, Rieux bangkit sedikit dan bertanya, apakah Tarrou mengetahui jalan mana yang harus diambil untuk sampai kepada ketenangan itu.

“Ya,” sahut Tarrou, “melalui simpati.”

Dua van ambulans mendengung di kejauhan. Jeritan yang mengganggu tadi, kini berkumpul di suatu tempat di pinggir bandar, berdekatan kawasan bukit yang berbatu. Ketika itu terdengar pula bunyi mirip tembakan. Kemudian kembali sunyi. Rieux membilang dua kali suluhan cahaya rumah api. Angin bertambah kencang, ketika itu juga hembusan dari laut membawa bau garam. Kini jelas kedengaran nafas ombak yang menghempas tebing. Dengan nada biasa Tarrou berkata,

“Apa yang menarik minat saya adalah bagaimana nak jadi wali keramat.”

“Tapi kan kamu tak percayakan Tuhan.”

“Itulah! Boleh ke seseorang jadi wali keramat tanpa berTuhan? Itulah satu-satunya masalah yang saya fikirkan sekarang.”

Tiba-tiba muncul satu cahaya dari tempat jeritan tadi. Lalu, terdengar sorakan yang mengatasi arus angin, sampai ke tempat kedua-dua lelaki itu. Selepas seketika cahaya menjadi lemah. Jauh di beranda yang paling hujung, nampak semacam garis kemerahan yang tinggal. Selama angin tidak berhembus, ketika itulah terdengar sorakan-sorakan lelaki, disusuli bunyi tembakan. Tarrou bangkit untuk mendengar. Lalu tidak kedengaran apa-apa lagi.

“Mereka berkelahi lagi di pintu bandar.” “Dah habis nampaknya,” sahut Rieux.

Dengan suara yang rendah Tarrou berkata ianya tidak akan pernah selesai, dan mangsa-mangsa akan bertambah, kerana semuanya sudah diatur sedemikian.

“Mungkin begitu,” kata Rieux, “saya lebih rasa senasib dengan mereka yang tewas berbanding wali keramat. Kepahlawanan dan kesucian tak menarik minat saya sangat. Yang menarik bagi saya adalah menjadi manusia.”

“Ya, kita mencari perkara yang sama. Tapi cita-cita saya tidak setinggi kamu.”

Rieux menganggap Tarrou membuat lawak, dan berpaling ke arah kawannya itu dan tersenyum. Tapi dalam cahaya samar-samar dari langit, dia melihat wajah sedih dan tekun. Angin berhembus kembali. Rieux merasakan kehangatan di kulitnya.

Tarrou menggelengkan kepalanya dan berkata,

“Kamu tahu tak apa yang patut kita buat sekarang demi persahabatan kita?”

“Apa saja yang kamu suka, Tarrou,” sahut Rieux.

“Mandi di laut. Bahkan bagi seorang calon wali keramat pun, itu adalah kenikmatan yang tidak merugikan.” Rieux tersenyum lagi.

“Dengan kad kebenaran kita, kita boleh pergi ke dermaga. Kalau difikirkan balik, terasa bodoh kita hanya hidup untuk melihat wabak. Memang betul manusia harus berjuang untuk mangsa-

mangsa. Tapi kalau dia dah tak suka apa pun selain daripada itu, apa gunanya dia berjuang?”

“Betul tu,” kata Rieux, “jom!”

Beberapa minit kemudian, kereta itu berhenti berdekatan pagar pelabuhan. Bulan sedang menghias langit. Langit diselubungi awan putih, memantulkan cahaya kelam ke mana-mana. Di belakang kedua-dua lelaki itu, bandar kelihatan bertingkat-tingkat bagaikan anak tangga. Dari sana, hembusan udara panas yang tidak sihat mendorong mereka ke arah laut. Kedua-duanya menunjukkan kad kebenaran kepada pengawal yang memeriksanya cukup lama. Kemudian mereka masuk melalui padang yang dipenuhi tong, dan bau ikan dan wain yang keras, lalu menuju ke dermaga. Setelah mendekat, bau klorin dan rumpai laut menandakan apa yang dicari ada di situ. Sesaat kemudian mereka mendengarnya.

Laut bersiul lembut di kaki dermaga yang berbongkah-bongkah. Ketika mereka sudah sampai, laut terbentang luas, bergelombang bagaikan baldu, permukaannya lembut dan licin seperti bulu hidupan liar. Mereka mengambil tempat di atas batu karang yang menghadap ke lautan luas. Air naik ke daratan, lalu perlahan-lahan turun kembali. Alunan nafas laut yang tenang menampakkan dan menghilangkan pantulan berkilat di permukaan air. Di depan mereka, malam terhampar luas tanpa batasan. Di bawah sentuhan tangannya, Rieux merasakan wajah batu karang yang usang dikikis ombak. Lalu kebahagiaan yang aneh menguasai dirinya. Ketika menoleh memandang kepada Tarrou, dia melihat kebahagiaan yang sama di wajah yang tenang dan sedih itu, kebahagiaan yang tidak melupakan sesuatu pun. Hatta pembunuhan sekalipun.

Mereka menanggalkan pakaian. Rieux menyelam terlebih dahulu. Air laut yang mulanya dingin, terasa hangat ketika dia naik kembali ke permukaan. Setelah beberapa hayunan lengan, dia mendapati laut pada malam itu memang hangat. Kehangatan lautan musim gugur yang mengambil kembali kepanasan setelah disimpan berbulan-bulan. Rieux berenang dengan seimbang. Ketika dia berenang, gerakan kakinya meninggalkan buih yang memutih, air meluncur laju di sepanjang lengannya dan merapati kedua-dua betisnya. Bunyi percikan air yang kuat memberitahu kepadanya yang Tarrou sudah pun terjun ke dalam air. Rieux memusingkan badannya, berenang dengan terlentang dan tenang tidak bergerak, menghadap langit yang dilatari sinaran bulan dan bintang. Dia mengambil nafas sedalamnya. Kemudian dia mendengar suara air yang terpukul, dengan bunyi aneh dalam kesepian dan kesunyian malam. Tarrou mendekat, Rieux langsung mendengar nafasnya. Dia menoleh dan berenang mendekati kawannya lalu berenang dengan kelajuan yang sama. Tarrou seorang perenang yang lebih kuat, memaksa Rieux mempercepatkan kayuhan tangannya.

Selama beberapa minit, mereka berdua berenang dengan kelajuan dan kekuatan yang sama, jauh dari dunia, akhirnya bebas dari bandar dan wabak. Rieux yang pertama berhenti. Mereka kembali ke daratan perlahan-lahan. Melainkan ketika masuk ke dalam aliran air yang dingin, dikejutkan dengan getaran yang selalu dimiliki laut. Tanpa banyak bicara, mereka mencepatkan renangan mereka menuju daratan.

Setelah mengenakan pakaian kembali, mereka meninggalkan lautan tanpa mengucapkan sepatah kata pun. Tetapi mereka memiliki hati yang sama, dan kenangan malam itu sangat indah bagi mereka. Ketika melihat peronda malam, Rieux tahu yang Tarrou juga seperti dia, berkata di dalam hati, yang penyakit baru saja melupakan mereka, dan itu memang bagus. Tapi sekarang harus mula kembali berjuang memeranginya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience