Walaupun pengunduran wabak itu adalah sesuatu yang tidak dijangka-jangka, penduduk bandar kami tidak terus bergembira. Sementara keinginan mereka untuk bebas membuak-buak, bulanbulan yang telah berlalu telah mengajar mereka supaya waspada dan mereka telah membiasakan diri untuk tidak mengharapkan wabak tersebut segera berakhir. Namun kejadian terbaru itu menjadi buah mulut di kalangan penduduk. Di hati mereka mula terbit secebis harapan walaupun tak seorang pun mahu mengakuinya. Kejadiankejadian lain dianggap kurang penting. Walaupun ada mangsamangsa baru yang dijangkiti, itu tidak sepenting kenyataan yang mengejutkan, iaitu penurunan statistik jangkitan. Satu petanda akan kembali zaman keemasan yang ditunggu-tunggu mereka secara senyap-senyap. Meskipun mereka tidak menzahirkan harapan tersebut. Sekarang mereka mula bercakap-cakap, tentang kehidupan mereka selepas wabak berakhir nanti.
Semua orang sependapat bahawa kehidupan yang dulu tidak akan kembali secara tiba-tiba. Dan lebih mudah meruntuhkan berbanding proses membina semula. Walau bagaimanapun, penduduk mengharapkan akan ada sedikit penambahbaikan dari segi bekalan makanan. Dan ini bermakna menyelesaikan masalah yang paling mendesak. Tetapi realitinya, di sebalik kata-kata remeh itu tersembunyi harapan yang menggunung dan sering kali ada orang yang menyedari perkara ini, akan mengatakan, wabak tidaklah akan semena-mena berhenti keesokan paginya.
Memang wabak tidak berakhir keesokan harinya. Tapi ia kelihatan semakin lemah. Lebih cepat dari apa yang dijangka. Pada harihari pertama bulan Januari, udara dingin menghembus dengan kuat, seolah-olah ingin membuat kristal di atas bandar kami. Tidak pernah langit bandar Oran sedemikian biru. Selama berharihari, langit yang bersinar ais memayungi bandar dengan cahaya yang cukup indah. Di udara yang bersih ini, setelah tiga minggu berterusan, diumumkan kadar kematian telah jatuh menjunam. Dalam waktu yang singkat, wabak kehilangan hampir seluruh kekuatan yang ia kumpulkan selama berbulan-bulan. Melihatkan mangsa jangkitan tidak lagi bertukar menjadi mayat (seperti Grand dan remaja perempuan pesakit Rieux), namun menjadi lebih aktif di kawasan tertentu selama dua tiga hari dan menghilang di kawasan lain dalam kadar yang sama, disusuli gandaan korban pada hari Isnin dan melepaskan semua mangsanya pada hari Rabu, pendek kata keganasannya disusuli ketidakaktifan menyeluruh kemudiannya. Semua ini seakan-akan menandakan tenaganya sudah surut, ia sedang mengalah, hilang kewibawaan dan kepercayaan diri yang dulu merupakan kehebatannya. Serum Castel yang dulunya selalu menemui jalan buntu, tiba-tiba berkesan. Setiap langkah pencegahan yang dilakukan para doktor yang dulunya tidak membuahkan hasil pun, sekarang boleh dikatakan hampir berjaya. Seolah-olah wabak pula yang menjadi buruan, dan kelemahannya yang tidak semena-mena itu memberi ketajaman kepada “senjata” yang selama ini tumpul apabila berhadapan dengannya. Hanya kadang-kadang saja ia bangkit kembali, dan dengan gerakan membabi buta membunuh tiga empat orang pesakit yang pada mulanya berharap untuk sembuh. Mereka adalah orang yang tidak bernasib baik, meninggal ketika berada di puncak harapan untuk sembuh. Begitu juga yang terjadi kepada Othon, yang terpaksa dibawa keluar dari kem pengasingan. Tarrou berkata dia tidak bernasib baik. Tapi tak seorang pun tahu, dia maksudkan kepada kehidupan atau kematian Othon.
Tapi secara umumnya, memang wabak sudah berundur dari segala keadaan. Pengumuman pihak berwajib yang pada mulanya hanya menumbuhkan harapan kecil, akhirnya berjaya membuatkan penduduk percaya bahawa mereka sudah beroleh kemenangan. Sebenarnya agak ragu-ragu juga kalau nak dipanggil kemenangan. Ayat yang sebetulnya adalah, wabak telah meninggalkan bandar sebagaimana dulunya ia datang. Langkah pencegahan masih lagi sama; tapi apa yang dulunya tidak berhasil, kini memperlihatkan kesan positif. Seakan-akan wabak sendiri telah letih, ataupun mungkin dia mengundurkan diri setelah mencapai tujuannya. Atau dalam kata lain, kerjanya sudah selesai.
Walaupun begitu, dapat dikatakan keadaan di Oran masih tidak berubah. Jalan-jalan kelihatan lengang pada siang hari, dan akan sesak pada waktu senja, sama seperti sebelum wabak melanda. Baju salji dan skarf kelihatan di sana-sini. Jika dilihat lebih dekat, wajahwajah sudah kurang menampakkan ketegangan. Bahkan kadangkadang mereka tersenyum. Dan ini menunjukkan sehingga pada waktu itu, tidak ada seorang pun yang tersenyum di bandar Oran. Sebenarnya, sudah berbulan lamanya mereka bertahan dengan bau kain kafan yang menyelubungi bandar. Dan pada setiap hari Isnin, melalui corong-corong radio, penduduk mengetahui yang kerenggangan itu semakin melebar. Sampaikan akhirnya penduduk dapat bernafas sebebasnya. Tapi itu juga kelegaan yang masih disembunyikan dan tidak ditunjukkan terang-terangan. Dulu ketika wabak sedang galak menyerang, mereka akan hairan dan tidak percaya jika mendengar cerita tentang keberangkatan kereta api atau kereta-kereta yang dibenarkan bergerak semula. Sebaliknya sekarang, di pertengahan bulan Januari, jika diumumkan berita yang sama, mereka tidak terkejut dan hairan pun. Barangkali itu hal yang remeh. Pun begitu, perubahan kecil ini menunjukkan kemajuan besar bagi penduduk bandar kami dalam cara mengendalikan harapan hidup. Boleh dikatakan, di saat harapan mula timbul di hati penduduk, maka berakhirlah pemerintahan wabak.
Meskipun demikian, reaksi penduduk bandar kami banyak yang saling bertentangan sepanjang bulan Januari. Lebih tepat lagi, sikap mereka silih berganti antara optimisme yang tinggi dan tekanan yang hebat. Contohnya, di waktu statistik menunjukkan catatan terbaik, masih ada yang cuba melarikan diri ke luar Oran. Kejadian ini mengejutkan pihak pemerintah, dan pos pengawalan itu sendiri. Akibatnya, banyak usaha itu berhasil. Tetapi motif mereka yang melarikan diri itu dapat difahami. Wabak telah menanam rasa tidak percaya di hati penduduk, sehingga mereka tidak dapat membebaskan diri daripada sifat tersebut. Dengan perasaan bimbang yang sudah mendarah daging, mereka sudah tidak punya harapan sama sekali. oleh sebab itu, walaupun tempoh waktu wabak sudah berakhir, mereka masih meneruskan hidup dengan aturan dulu. Mereka terlambat, tidak mahu mengikut perubahan keadaan. Sebaliknya, penduduk yang lain, mereka yang terpisah dari orang yang dicintai, dek kerana hidup terkurung dalam suasana yang pasif, angin harapan yang menghembus menyalakan semangat dan ketidaksabaran mereka, sehingga mereka gagal mengawal diri. Rasa panik menguasai diri, kalau-kalau mereka mati padahal mereka sudah dekat dengan tujuan. Dan tidak dapat bertemu lagi dengan mereka yang dicintai. Juga kalau-kalau penderitaan mereka selama ini hanya sia-sia. Selama berbulan-bulan menunggu, meskipun terpenjara dan terkurung, dengan penuh ketabahan mereka bertahan menunggu. Begitu saja harapan pertama muncul sudah cukup untuk merosakkan apa yang selama ini gagal dikikis oleh rasa takut atau putus asa. Bagaikan orang gila, mereka berebut ingin memotong wabak, kerana sudah tidak tahan untuk menunggu pengunduran wabak sampai detik-detik terakhir.
Di samping itu, pada waktu yang sama, petanda optimisme nampak jelas, iaitu harga barangan sudah mula turun. Dari sudut ekonomi, keadaan ini tidak menjelaskan sesuatu pun. Kesukaran masih tetap sama, pintu-pintu bandar masih lagi ditutup, dan situasi bekalan makanan tidak menunjukkan penambahbaikan. Perubahan paling jelas adalah reaksi psikologi, seolah-olah pengunduran wabak telah memberi kesan dalam semua perkara. Golongan lain yang mendapat keuntungan daripada optimisme ini ialah mereka yang dipaksa hidup dalam kelompok mereka saja. Dua buah biara dibuka semula dan kehidupan biarawan diteruskan semula. Para tentera juga, mereka dikumpulkan semula di berek-berek yang dikosongkan ketika masa wabak. Mereka mula hidup dalam penempatan tentera kembali. Perincian ini sedikit saja, tapi besar ertinya.
Penduduk Oran hidup dalam kesibukan tanpa suara sehinggalah tarikh 25 Januari. Statistik pada minggu itu telah jatuh menjunam sehinggakan Prefek, setelah bermesyuarat dengan jawatankuasa kesihatan, mengumumkan wabak boleh dianggap sudah berakhir. Walaupun demikian, demi kewaspadaan yang difahami penduduk, pintu-pintu akan kekal ditutup untuk dua minggu lagi. Dan tindakan-tindakan pencegahan yang ketat akan berterusan untuk sebulan lagi. Dalam tempoh itu, jika ada tanda-tanda wabak yang paling kecil pun, status quo harus dipertahankan, dan tindakantindakan akan dilanjutkan lagi. Tetapi, semua orang berpendapat tambahan terakhir itu hanya ayat yang berjela untuk menutup sebuah pengumuman. Lalu pada malam 25 Januari, pesta kegembiraan memenuhi seluruh bandar Oran. Untuk melibatkan diri dalam pesta itu, Prefek telah mengarahkan supaya lampu jalan dibuka seperti sediakala. Di jalan yang terang-benderang, di bawah langit yang dingin dan bersih, penduduk bandar kami bertebaran di merata tempat, menyanyi dan bersuka ria.
Memang benar, masih banyak lagi jendela-jendela yang kekal tertutup. Dan keluarga yang tinggal di dalamnya mendengar dalam diam bunyi mereka yang bersorak kegembiraan di luar. Tetapi kebanyakan keluarga yang berkabung itu juga berasa lega. Sama ada sudah tidak bimbang lagi jika ada ahli keluarganya menjadi korban wabak atau kesihatan dirinya sendiri sudah tidak terancam. Adapun keluarga yang tidak terlibat dalam pesta itu adalah kerana mereka mempunyai saudara-mara yang terkena jangkitan wabak di hospital, atau di tempat kuarantin, atau di rumah mereka sendiri. Keluarga-keluarga itu menunggu sehingga wabak betul-betul tidak menghendaki mereka lagi, seperti juga ia tidak menghendaki lagi orang yang sedang bersuka ria itu. Sudah tentu keluarga ini masih mempunyai harapan, tapi mereka menyorokkannya dan bertahan untuk tidak menggunakannya sebelum sampai masanya. Tempoh menunggu dalam kebisuan dan pengasingan ini, terperangkap di antara kesedihan dan kegembiraan, terasa lebih kejam lagi di saat keriuhan pesta di sekeliling mereka.
Tetapi keadaan terpencil ini tidak mengurangkan kepuasan penduduk yang lainnya. Barangkali wabak belum benar-benar berakhir dan masih boleh menyerang kembali. Walaupun begitu, semua orang sudah membayangkan suasana yang bakal dilihat beberapa minggu kemudian; kereta api bergerak sambil bersiul di atas rel-rel panjang, kapal berlayar di lautan yang bersinar. Setelah berpesta, hati penduduk akan menjadi lebih tenang dan kebimbangan akan datang kembali. Tetapi untuk malam itu, seluruh bandar bagaikan bergerak, meninggalkan kurungan yang gelap dan menyedihkan di mana bandar telah memecahkan akar batunya, kemudian melangkah maju, seperti pengembara dengan muatannya menuju ke “tanah yang dijanjikan”.
Malam itu, Tarou, Rieux, Rambert dan kawan-kawan mereka yang lain turut berada di dalam keriuhan pesta itu. Mereka juga merasakan seolah-olah tanah bergeser di bawah mereka. Lama selepas meninggalkan jalan utama, Tarrou dan Rieux masih mendengar keriuhan itu mengekori mereka, di saat mereka melalui jalan yang kecil dan lengang dengan diapit jendela-jendela rumah yang tertutup. Disebabkan keletihan, mereka tidak dapat memisahkan penderitaan yang masih menyelubungi di sebalik jendela dengan kegembiraan yang memenuhi jalanan yang tidak jauh dari sana. Ya, kebebasan yang sedang menghampiri dengan wajah yang penuh tawa bercampur air mata.
Seketika kemudian, ketika suara jeritan di kejauhan kedengaran lebih kuat dan girang, Tarrou berhenti melangkah. Di atas bahu jalan, satu bayangan melompat. Seekor kucing! Yang pertama mereka lihat sejak musim bunga. Sejenak kucing itu berhenti di tengah-tengah jalan, teragak-agak, lalu menjilat kaki depannya, menggosok-gosokkan kaki itu dengan cepat di belakang telinga kanan. Kemudian meneruskan perjalanan, menghilang dalam kegelapan malam. Tarrou tersenyum. Lelaki tua di balkoni depan rumahnya pasti gembira!?
Share this novel