Penduduk-penduduk yang lain, Rambert contohnya, juga berusaha untuk melepaskan diri daripada suasana yang semakin mencengkam ini, tetapi dengan lebih kegigihan dan kemahiran, walaupun hasilnya tidak memuaskan.
Pada mulanya Rambert masih berusaha berurusan dengan pihak pentadbiran. Dia percaya, kegigihan akan dibayar dengan harga kemenangan. Lagi pula, dia licik menggunakan sumber yang ada dalam kegawatan itu. Jadi dia mengunjungi ramai pegawai rasmi dan orang yang mempunyai pengaruh. Tetapi, pengaruh tidak ada gunanya di waktu darurat. Mereka itu adalah orang-orang yang pintar dan terlibat dengan segala macam urusan berkaitan eksport, perbankan, perdagangan buah dan minuman keras. Mereka berkebolehan di dalam bidang berkaitan akaun dan insurans, mempunyai kelulusan yang hebat dan orang yang baik-baik. Tapi tiada apa yang mereka boleh lakukan berkaitan dengan wabak.
Walaupun begitu, apabila ada saja peluang, Rambert akan mengadukan kisahnya itu kepada mereka. Hujahnya tetap sama: Rambert adalah orang asing di kota itu, oleh itu kesnya harus diberikan pertimbangan khusus.
Kebanyakan mereka yang ditemuinya menyetujui akan hal itu. Tetapi mereka menambah bahawa ada beberapa yang lain juga begitu. Jadi masalah Rambert itu tidaklah begitu istimewa seperti yang dibayangkannya. Tetapi Rambert menjawab ini tetap tidak mengubah hujah yang diajukannya. Lalu dia diberitahu, itu mengubah segala-galanya. Dengan sikap pihak pentadbiran yang menolak sebarang bentuk layanan berat sebelah yang boleh mencetuskan rasa kebencian terhadap penerima layanan berat sebelah itu.
Dalam perbualannya dengan Rieux, Rambert mengklasifikasikan orang yang dijumpainya itu ke dalam beberapa kategori. Mereka yang menggunakan pendekatan di atas digelarnya formalis, yang patuh saja kepada peraturan tanpa mempertimbangkan situasi dan keadaan. Di samping itu, ada yang jenis memujuk, yang meyakinkan dia bahawa situasi sekarang tidak akan kekal lama. Dan apabila diminta cadangan, mereka ini menyuruh Rambert tidak mempedulikan akan kesusahan sementara itu. Lain-lain pula, jenis yang menganggap dirinya orang kenamaan dan disuruhnya meninggalkan catatan ringkas kesnya dan memberitahu akan menguruskan masalahnya kemudian nanti. Ada jenis yang tidak serius, memberikan surat jaminan penginapan atau alamat rumah tumpangan kepadanya. Ada jenis pedagang yang penuh birokrasi, menyuruhnya mengisi borang dan terus memasukkannya ke dalam fail. Ada jenis pegawai yang banyak kerja, mengangkat bahu isyarat tidak dapat membantu atau langsung tidak menoleh. Akhir sekali, jenis yang mahu lepas tangan, inilah yang paling ramai, menyuruhnya mengunjungi pejabat yang lain atau mengusulkan pendekatan yang baru.
Segala temubual yang tidak berhasil itu membuatkannya letih. Oleh kerana dia sering menunggu di sofa duduk berjam-jam lamanya, melihat poster kempen simpanan di bank dan panggilan menyertai tentera, berkunjung berkali-kali ke pejabat-pejabat yang dipenuhi dengan muka-muka kosong seperti fail di kabinet, menyebabkan Rambert sudah arif dengan selok-belok pejabat majlis perbandaran dan ibu pejabat Prefek. Dengan nada penuh kepahitan dia berkata kepada Rieux, kesibukan dengan usahanya membuatkan dia tidak mengambil tahu perkembangan di bandar. Dia hampir tidak mengetahui perkembangan tentang wabak. Apatah lagi dengan kesibukannya itu, hari-harinya terasa cepat berlalu. Dengan situasi yang dihadapi seluruh isi bandar, setiap hari yang dilalui hanya membawa mereka semakin dekat dengan kematian. Rieux terpaksa mengakui hal itu memang benar, walaupun pada sangkaannya kebenaran itu umum sekali.
Pernah sekali, harapan muncul kembali untuk Rambert. Dia menerima sehelai borang untuk diisi yang dihantar daripada pejabat Prefek. Borang itu meminta dia mengisi maklumat dirinya, keluarganya, dan pendapatannya yang lama dan terkini. Sebenarnya, semacam dia hendak menulis riwayat hidupnya pula. Dia merasakan tujuan borang sebegini untuk menghitung berapa jumlah orang yang akan dihantar kembali ke tempat asal mereka. Beberapa maklumat yang kurang jelas daripada seorang staf di pejabat Prefek menguatkan andaiannya. Tetapi setelah beberapa lama selepas itu, Rambert berjaya mencari jabatan yang mengirim borang itu, dan dia beritahu bahawa tujuan maklumat itu dikumpulkan adalah sebagai keperluan jika terjadi sesuatu “di luar jangkaan”.
“Apa yang ‘di luar jangkaan itu’?” tanya Rambert.
Lalu dia diberitahu bahawa maklumat dirinya itu diperlukan sekiranya dia terkena jangkitan atau mati disebabkan wabak itu. Itu akan membolehkan keluarganya diberitahu, juga untuk menentukan sama ada biaya rawatannya akan ditanggung oleh majlis perbandaran atau keluarganya. Ini menunjukkan bahawa dia masih tidak terputus hubungan dengan isterinya yang masih menunggu kepulangannya, disebabkan keprihatinan pihak berkuasa terhadap mereka berdua. Tetapi ia tetap juga tidak dapat menenangkannya. Apa yang paling mengejutkan Rieux ialah, di tengah-tengah kekalutan seisi bandar berhadapan dengan wabak, masih ada lagi jabatan yang masih berfungsi seperti biasa dan membuat urusan yang tiada kaitan sangat dengan situasi semasa. Urusan itu pula tidaklah diambil peduli sangat oleh pihak pentadbiran kerana jabatan itu diwujudkan sememangnya untuk melakukan kaji selidik tersebut.
Hari-hari berikutnya adalah hari yang mudah dan juga hari yang sukar buat Rambert. Ia adalah suatu tempoh yang melelahkan. Dia telah pergi ke semua jabatan, sudah melakukan semua langkahlangkah yang perlu, tetapi semuanya tidak memberi hasil. Selepas itu, mulalah dia melepak dari satu kafe ke kafe yang lain tanpa arah tujuan. Pada waktu pagi, dia akan duduk di salah satu beranda kafe itu dan membaca surat khabar dengan berharap terbaca tentang tanda-tanda penyakit itu akan segera berakhir. Dia melihat wajahwajah orang yang lalu-lalang, lalu mengalihkan pandangan dengan perasaan yang muak disebabkan muka mereka yang sedih. Dan sesudah membaca iklan minuman yang tidak lagi dijual buat keseratus kalinya, dia bangkit dari beranda itu, berjalan tanpa arah tujuan di jalan yang berdebu. Berjalan sendirian masuk ke kafe, dari kafe ke restoran yang lain. Begitulah dia menghabiskan masanya seharian.
Pada suatu petang, Rieux terserempak dengan pemuda itu di pintu sebuah kafe, kelihatan teragak-agak untuk masuk. Kemudian memutuskan untuk masuk juga dan duduk di salah satu meja di belakang pintu. Atas arahan pihak berkuasa, pengusaha-pengusaha kafe hanya dibenarkan membuka lampu sekecil yang mungkin. Debu berwarna kelabu memenuhi ruangan kafe itu. Biasan cahaya langit senja memantul pada jendela kaca dan meja marmar, berkilau keputihan di dalam suasana yang semakin gelap itu. Di dalam ruangan kafe yang lengang itu, Rambert kelihatan seperti satu bayangan yang tersesat. Rieux meneka dia tentu merasa kesepian sekali pada waktu sebegini. Sebenarnya, “tawanan” yang lain pun sama juga. Masing-masing berfikir sesuatu patut dilakukan untuk menyegerakan pembebasan mereka. Rieux cepat-cepat berlalu pergi.
Rambert juga banyak menghabiskan masa di stesen kereta api. Tiada siapa dibenarkan masuk ke platform. Namun ruangan menunggu tetap saja terbuka dan boleh dimasuki daripada luar. Pada hari-hari yang panas membahang, pengemis-pengemis akan berlindung di situ. Di situ, Rambert membaca jadual perjalanan kereta api, notis larangan meludah, dan peraturan-peraturan penumpang. Lalu dia duduk di suatu sudut. Sebuah alat pemanas udara yang telah dingin terletak di tengah ruangan menunggu, dikelilingi oleh kolam air pancut berbentuk nombor lapan. Di dinding, tertampal beberapa poster pakej percutian ke Cannes atau Bandol (tempat percutian mewah di pantai Perancis). Dan di sudut ruangan itu Rambert merasakan kebebasan yang pahit, dek kerana rasa hatinya yang sudah hilang.
Menurut ceritanya lagi kepada Rieux, poster iklan yang paling menyedihkan baginya adalah yang menunjukkan bandar Paris. Terbayang di matanya, satu pemandangan yang dilatari batubata dan tebing sungai, burung-burung Merpati di Palais Royal, Gare du Nord, jalan yang lengang di sekitar Pantheon (tempat tumpuan pelancong di Paris), dan banyak lagi suasana yang tidak pernah disangkanya akan dirindui sebegitu sekali. Semua bayangan ini menyiat-nyiat perasaan Rambert. Rieux yakin dia sedang mengaitkan gambar-gambar tersebut dengan perempuan yang dicintainya itu. Pernah suatu hari Rambert bercerita yang dia selalu bangun pada pukul empat pagi, lantas fikirannya melayang ke Paris. Dengan mudah Rieux menafsirkan, berdasarkan pengalamannya sendiri, itulah masa kegemaran Rambert untuk mengingati perempuan yang ditinggalkannya di bandar tersebut. Sememangnya pada jam itulah, dia betul-betul merasakan perempuan itu adalah miliknya. Pukul empat pagi adalah waktu yang sunyi daripada segala kegiatan selain tidur, biarpun malamnya merupakan malam yang penuh pengkhianatan.
Ya, semua orang tidur pada jam itu. Dan ini sangat menenteramkan hati. Ini kerana keinginan hati yang resah adalah untuk bersama-sama dengan sang kekasih secara sedar. Atau apabila gagal melakukannya, menarik sang kekasih ke dunia lelap tanpa mimpi, yang hanya akan berakhir pada saat pertemuan semula kelak.
Share this novel