Sebenarnya Tarrou-lah yang meminta untuk menemubual Rieux seperti yang disebut di dalam buku catatannya. Sambil menunggu, petang itu Rieux memandang ibunya yang sedang duduk dengan tenang di sudut meja makan. Ibunya akan menghabiskan masa di kerusi itu setelah semua kerja selesai. Dengan tangan yang terkepalkepal di atas riba, ibunya menunggu di situ. Rieux tidak pasti apakah dia yang ditunggu ibunya itu. Dia akan perasan ada perubahan pada riak wajah ibunya setiap kali dia pulang ke rumah. Riak wajah yang kosong dek kerana kerja keras seumur hidup itu berubah seketika, dan kemudian diam kembali. Malam itu, dia memandang ke luar jendela, ke jalan yang sudah lengang. Dua pertiga lampu jalan sudah pun tertutup. Dan hanya sebuah lampu jalan yang berada di hujung jalan saja yang berkelip-kelip menerangi kegelapan bandar.
“Memang mereka akan tutup lampu macam ini selagi wabak ini ada ke?” tanya ibu Rieux.
“Macam itu la kot.”
“Harap-harap la tak sampai musim sejuk. Sedih rasanya nanti.” “Ya,” sahut Rieux ringkas.
Dia melihat ibunya memandang ke dahinya. Rieux tahu segala kerisauan dan kerja keras sejak kebelakangan ini telah membuat kerut di dahinya.
“Kerja hari ini macam biasa saja kan?” tanya ibunya.
“Ya, macam biasa.”
Seperti biasa! Begitulah yang boleh dikatakan kepada serum baru dari Paris yang kelihatan kurang berkesan berbanding dulu, sementara kadar kematian pula terus meningkat. Serum itu akan disuntikkan kepada keluarga yang terkena jangkitan saja. Diperlukan jumlah yang sangat besar jika hendak digunakan secara meluas. Kebanyakan bengkak itu tidak mahu pecah, seakan-akan musim keras mereka sudah tiba, lantaran itu membuatkan pesakit menderita. 24 jam yang lepas menyaksikan dua kes yang datang dalam bentuk yang baru; ianya mula menjadi wabak pneumonic (wabak yang menjangkiti paru-paru). Ketika mesyuarat pada hari yang sama, para doktor yang keletihan menekan Prefek mengeluarkan arahan baru untuk mengelakkan jangkitan wabak pneumonic ini yang di bawa dari mulut ke mulut. Prefek sudah melakukan seperti yang diarahkan. Pun begitu, mereka masih kebuntuan memikirkan penyakit baru ini.
Rieux melihat ibunya. Pandangan mata berwarna coklat itu yang penuh kelembutan itu membawa dia kembali kepada kenangan zaman kanak-kanaknya.
“Kau langsung tak rasa takut ke, ibu?” (Sudah adat dalam budaya orang Perancis untuk ber-aku dan ber-kau dengan ibu bapa)
“Dengan umur aku yang dah lanjut ni, tak ada apa yang nak ditakutkan lagi.”
“Hari-hari sekarang terasa panjang sekali, dan aku pula jarang ada di rumah.”
“Aku tidak kisah menunggu kalau aku tahu kau akan balik. Aku selalu fikir apa yang kau buat bila kau keluar. Sudah ada khabar dari isteri kau?”
“Ya, Menurut telegram terakhir semuanya baik-baik saja. Tapi aku tahu dia tak nak buat aku risau.”
Loceng berbunyi. Rieux tersenyum kepada ibunya, lalu pergi membuka pintu. Dalam kesuraman ruangan tangga, Tarrou kelihatan seperti seekor beruang kelabu yang besar. Rieux mempersilakan tetamunya itu duduk menghadap mejanya. Dia tetap saja berdiri di belakang kerusinya. Lampu meja yang menyala itu saja yang berada di antara mereka berdua.
Tanpa berlengah Tarrou terus menyatakan tujuan kedatangannya. “Saya tahu yang saya boleh berbual dengan kamu secara secara terus-terang.”
Rieux mengangguk, masih diam.
“Dalam masa dua minggu lagi, paling kurang pun sebulan, kamu tidak boleh buat apa-apa lagi. Semuanya akan hilang kawalan,” sambung Tarrou.
“Memang betul.”
“Pusat kesihatan tidak berfungsi dengan baik. Kamu kekurangan staf, dan juga masa.”
Rieux mengakui lagi akan hakikat itu.
“Saya ada dengar yang pihak berkuasa sedang merancang sejenis kerahan ala tentera dengan memaksa mereka yang masih sihat untuk membantu melawan wabak.” kata Tarrou lagi.
“Semua yang kamu cakap itu betul. Tapi ramai penduduk yang tidak puas hati dengan tindakan Prefek itu, dan dia sendiri ragu-ragu nak meneruskan rancangan itu atau tidak.”
“Kenapa tak panggil sukarelawan saja?”
“Dah buat. Respon kurang memuaskan.”
“Itu kerana ianya datang daripada pihak berkuasa, dan dengan berbelah bagi saja. Mereka kurang kreatif. Kalau macam ni lah mereka tak akan mampu menangani bencana yang amat dahsyat Dan langkah perubatan yang mereka rangka hampir tidak berkesan kepada selesema. Kalau ini berterusan, mereka semua akan mati.
Kita pun!”
“Boleh jadi begitu,” kata Rieux, “Pun begitu, mereka berfikir untuk menggunakan banduan untuk melakukan ‘kerja berat’ itu.”
“Saya lebih suka kalau orang yang bebas digunakan.”
“Saya pun sama. Tapi boleh saya tanya kenapa kamu pun fikir macam itu?”
“Saya benci hukuman mati.”
Rieux melihat ke dalam anak mata Tarrou.
“Lalu?” tanya Rieux lagi.
“Sebenarnya macam ni, saya dah merangka rancangan untuk membentuk sekumpulan sukarelawan. Bagilah peluang kepada saya untuk melaksanakannya, tanpa melibatkan pihak pentadbiran. Lagi pun, mereka sudah ada banyak benda lain yang nak disibukkan. Saya ada kawan-kawan di sini yang akan mula menggerakkannya. Sudah tentu saya termasuk sekali.”
“Saya menerima cadangan kamu ini dengan sepenuh hati. Saya memerlukan bantuan, lebih-lebih lagi dengan pekerjaan saya ini. Saya akan mengusulkan cadangan kamu ini kepada pihak atasan.
Apatah lagi mereka tidak punya banyak pilihan sekarang. Tapi…”
Rieux berhenti seketika, berfikir, dan meneruskan,
“Tapi kamu pasti tahu kan pekerjaan sebegini boleh menyebabkan kematian. Dan saya perlu juga tanya, adakah kamu sudah pertimbangkan risikonya?”
Tarrou menatap Rieux dengan matanya yang kelabu.
“Apa pendapat kamu tentang khutbah Paderi Paneloux, doktor?” tanyanya.
Soalan itu dibalas dengan nada yang sama seperti pertanyaan Tarrou,
“Saya sudah melihat terlalu banyak hospital membuatkan saya sukar menerima hukuman kolektif sebegitu. Tapi kamu tahu la, penganut Katolik kadang-kadang bercakap tanpa berfikir dulu. Mereka boleh buat lebih baik daripada itu.”
“Tapi, kamu pun berfikir serupa, Rieux. Bahawa wabak ini ada sisi baiknya, membuka mata manusia dan memaksa mereka berfikir.” Rieux menggelengkan kepalanya tidak sabar.
“Sama juga dengan penyakit lain di dunia ini. Apa yang benar tentang segala kejahatan yang lain, benar juga pada wabak. Mungkin ada orang yang boleh berubah menjadi baik. Samalah juga, apabila kamu melihat apa yang wabak itu bawa, hanya orang buta hati dan pengecut saja yang akan pasrah.”
Suara Rieux tidaklah berbunyi keras. Sambil tersenyum, Tarrou membuat gerakan seolah ingin menenangkannya.
Rieux berkata lagi, “Tapi kamu masih belum jawab soalan saya lagi. Adakah kamu sudah mempertimbangkan akibatnya?”
Tarrou menegakkan tubuhnya, kemudian mengarahkan kepalanya ke arah cahaya lampu.
“Kamu percayakan Tuhan tak, doktor?”
Sekali lagi nada pertanyaan itu mendatar saja. Kali ini Rieux mengambil masa agak lama untuk menjawab.
“Tak,” lalu berkata lagi, “tapi apa yang penting sangatnya? Sudah lama saya bergelumang dengan kegelapan, bergelut untuk hidup. Sudah lama saya melihat ia bukan lagi suatu yang istimewa, untuk hidup bertuhan.”
“Bukankah itu membuatkan kamu sangat berbeza dengan Paneloux?”
“Saya rasa tidak. Paneloux ialah seorang ilmuwan. Dia tidak pernah berdepan kematian. Sebab itulah dia berani berbicara atas nama KEBENARAN. Tetapi bagi paderi yang menguruskan pesakit dan mendengar tarikan nafas orang yang nazak, pasti akan berfikir seperti saya. Dia akan cuba meringankan penderitaan tersebut sebelum bercerita tentang penderitaan itu sendiri.”
Rieux bangkit. Wajahnya dibayangi kegelapan. “Sudahlah, tak payah bercakap soal itu. Jika kamu pun tak mahu jawab soalan saya.”
Tarrou masih tidak berganjak dari kerusinya. Dia tersenyum lagi.“Bolehkah saya menjawabnya dengan satu pertanyaan?”
Rieux kembali tersenyum,
“Kamu memang suka menimbulkan pertanyaan, kan? Baiklah,
silakan.”
“Begini,” kata Tarrou, “Jika kamu tidak percayakan Tuhan, mengapa kamu melakukan pengorbanan yang sedemikian besar? Jawapan kamu mungkin boleh membantu saya menjawab soalan saya.”
Rieux berkata dia sudah menjawab soalan itu. Iaitu, seandainya dia percaya kepada kekuasaan Tuhan, sudah tentulah dia sudah berhenti merawat pesakit-pesakit dan menyerahkan saja kepada Tuhan. Tiada sesiapa pun di dunia ini yang betul-betul percaya kepada Tuhan. Tiada. Bahkan Paneloux sendiri pun yang mempercayai dirinya percaya kepada Tuhan. Sebab itu, tidak ada seorang pun yang betulbetul pasrah. Justeru itu, Rieux menganggap dirinya di atas jalan kebenaran, berjuang melawan segala ciptaan yang dijumpainya.
“Ah!” sahut Tarrou, “jadi itulah pendapat kamu tentang pekerjaan kamu?”
“Lebih kuranglah.” Wajah Rieux kembali kelihatan.
Tarrou bersiul perlahan. Tarrou memandangnya, dan menyambung lagi,
“Ya. Kamu harus mempunyai harga diri untuk bercakap sebegitu. Tapi percayalah saya ada lebih daripada harga diri yang diperlukan untuk meneruskan pekerjaan saya. Saya tidak tahu apa yang akan menunggu selepas semua ini berakhir. Sekarang ramai orang yang sakit dan mereka perlu dirawat. Kemudian hari, mungkin mereka akan mula berfikir, dan saya pun sama. Paling penting sekarang adalah untuk menyembuhkan mereka. Saya akan mempertahankan mereka sedaya upaya saya. Itu saja.”
“Mempertahankan daripada siapa?”
Rieux menoleh ke jendela. Garis gelap di kaki langit turut memantulkan kegelapan kepada laut. Rieux sedar akan kelelahannya. Dan dalam masa yang sama bergelut melawan kehendak dirinya yang ingin meluahkan lagi isi hatinya kepada lelaki aneh di hadapannya ini, yang lebih menyerupai dirinya sebenarnya.
“Saya tak tahu, Tarrou. Betul-betul tidak tahu. Ketika saya memilih pekerjaan ini, saya memilihnya dengan pengertian yang abstrak. Sebabnya, seperti pekerjaan yang lain, ini memang minat saya, seperti yang dicita-citakan oleh mana-mana pemuda. Mungkin juga, agak susah untuk dicapai bagi seorang anak buruh seperti saya. Dan selepas itu, saya terpaksa melihat orang mati. Kamu tahu tak yang sebenarnya orang ‘menolak’ untuk mati? Pernah tak kamu mendengar seorang perempuan berteriak ‘Tidak!’ di saat dia menghembuskan nafas terakhirnya? Saya sudah melihat semua itu. Pada waktu itu saya rasa tidak akan dapat bertahan dengan keadaan sedemikian. Waktu itu saya masih muda dan selalu menyalahkan aturan dunia. Kemudian saya sudah lebih sederhana. Hanya, saya tidak pernah rasa terbiasa melihat orang yang sedang nazak. Tidak lebih dari itu. Lagi pun…”
Rieux kembali terdiam dan duduk. Mulutnya terasa kering.
“Lagi pun?” tanya Tarrou spontan.
“Lagi pun,” ulang Rieux, masih ragu-ragu, memandang Tarrou dengan sepenuh perhatian, “orang seperti kamu pasti dapat faham kan? Oleh kerana aturan dunia dibentuk oleh kematian, bukankah lebih baik bagi Tuhan jika kita menolak untuk mempercayainya, dan berusaha sedaya mungkin melawan kematian tanpa mengangkat pandangan ke arah syurga yang dihuni-Nya itu.” Tarrou mengangguk.
“Ya, tapi kamu tidak akan menang selama-lamanya.” Wajah Rieux tampak muram.
“Ya, saya tahu. Tapi itu bukanlah alasan untuk berhenti berjuang.”
“Bukan alasan, saya setuju. Sekarang saya sudah membayangkan apa makna wabak ini sebenarnya kepada kamu.”
“Ya,” kata Rieux, “kegagalan yang tiada henti.”
Tarrou menatap wajah Rieux seketika, kemudian berjalan dengan hayunan langkah yang berat ke arah pintu. Rieux mengekorinya tamunya itu. Ketika dia berada di sisinya, Tarrou berkata sambil menunduk melihat lantai,
“Siapa yang ajar kamu semua ini, doktor?”
“Penderitaan.”
Rieux membuka pintu bilik kerjanya dan berkata kepada Tarrou yang dia juga ingin keluar mengunjungi pesakitnya di pedalaman. Tarrou bercadang untuk mengikutnya, lantas Rieux bersetuju. Di ruang tamu, mereka terserempak dengan ibu Rieux. Rieux memperkenalkan Tarrou.
“Ini kawan aku,” kata Rieux kepada ibunya.
“Oh, saya gembira sekali bertemu kamu.”
Anak mata Tarrou masih terpaku ke arah ibunya ketika dia meninggalkan mereka. Di ruang tangga, Rieux menekan suis untuk menyalakan lampu. Ruang tangga kekal gelap. Barangkali dek kerana arahan penjimatan elektrik yang baru dikuatkuasakan. Tidaklah begitu pasti begitu. Sudah beberapa lama, banyak kerosakan yang berlaku di rumah-rumah dan di jalanan. Mungkin disebabkan penjaga bangunan dan penduduk kota yang tidak mahu membaikinya. Rieux tiada masa untuk memikirkannya. Suara Tarrou bergema di belakangnya,
“Cuma satu benda saja lagi, doktor, walaupun ini agak tak masuk akal. Kamu memang betul.”
Dalam kegelapan tangga, Rieux menyahut,
“Sebenarnya, saya pun tak berapa pasti. Tapi, apa yang kamu tahu tentangnya?”
“Ah,” Tarrou bersuara tenang, “tinggal sedikit saja lagi yang saya harus belajar.”
Rieux berhenti mengejut. Menyebabkan Tarrou tergelincir satu anak tangga di belakangnya. Dia berpegang pada bahu Rieux, dan kembali tegak.
“Adakah kamu nak cakap yang kamu tahu semuanya tentang kehidupan?” tanya Rieux.
“Ya,” Tarrou menjawab dalam gelap, suaranya mendatar tenang.
Apabila sudah sampai di jalan, mereka sedar malam sudah semakin larut, barangkali sudah pukul sebelas. Segalanya sunyi, hanya bunyi desiran daun kedengaran. Di kejauhan terdengar bunyi siren ambulans. Mereka melangkah masuk ke dalam kereta. Rieux membuka enjin.
“Kamu harus datang ke hospital esok,” katanya, “untuk disuntik vaksin pencegah. Tetapi sebelum kamu memulakan kerja kesukarelawanan ini, kamu harus tahu, kemungkinan untuk kamu kekal hidup adalah satu pertiga saja.”
“Itu tidak bermakna apa-apa kepada saya, doktor. Kamu pun tahu. Seratus tahun lampau, sejenis wabak telah membunuh seluruh populasi di Parsi. Yang terselamat hanyalah seorang lelaki yang kerjanya mencuci mayat dan berterusan melakukannya sepanjang wabak itu berlangsung.”
“Mungkin sebab dia mendapat yang satu pertiga tu.” Rieux merendahkan suaranya. “Tapi betul kata kamu. Kita harus mengkaji tentang perkara ini.”
Mereka mula memasuki kawasan pedalaman. Lampu kereta menerangi jalan yang kosong. Mereka berhenti. Ketika berdiri di depan kereta, Rieux bertanya apakah Tarrou ingin turut masuk. Tarrou menjawab, “Ya.” Sekilas pantulan cahaya dari langit menyapa wajah mereka.
Tiba-tiba Rieux tertawa sejenak. Kedengaran mesra sekali.
“Cakaplah Tarrou! Apa yang membuatkan kamu ingin buat semua ni?”
“Saya tak tahu. Prinsip hidup saya mungkin.”
“Prinsip hidup kamu? Prinsip apa?”
“Kefahaman.”
Tarrou berpaling dan menuju ke arah rumah. Rieux tidak melihat wajahnya lagi sehinggalah mereka berada di dalam bilik penderita asma itu.
Share this novel