BAHAGIAN DUA : BAB LAPAN

Others Completed 4183

Keesokan harinya, Tarrou mula menyinsingkan lengan mengumpulkan orang untuk membentuk kumpulan pertama, yang akan disusuli kumpulan-kumpulan yang lain pula.

Walau bagaimanapun, bukanlah niat penulis untuk mengatakan tugas kumpulan sukarelawan ini lebih penting daripada tugas-tugas rasmi yang lain. Tidak dapat dinafikan ramai penduduk bandar kami suka memperbesar khidmat yang mereka lakukan. Tetapi penulis percaya, dengan memberi pujian yang berlebih-lebihan kepada segala perbuatan yang baik, secara tidak langsung memberi penghormatan juga kepada segala perbuatan yang jahat. Ada yang berpendapat oleh kerana perbuatan yang baik ini jarang dijumpai, maka ianya sangat bernilai. Manakala perbuatan jahat pula adalah sesuatu yang sudah lumrah menjadi tabiat manusia. Penulis tidak berpandangan begitu. Perbuatan jahat yang terjadi di dunia sering saja disebabkan kejahilan. Dan perbuatan baik yang tidak disertai dengan pengetahuan boleh menyebabkan kerosakan, sama bahayanya dengan perbuatan jahat. Secara umumnya, manusia lebih banyak yang baik daripada yang jahat. Tetapi bukan ini masalahnya. Cumanya, mereka boleh jadi jahil, atau tidak. Itulah yang disebut sifat baik atau sifat jahat. Sifat jahat yang paling menakutkan adalah kejahilan yang menganggap dia mengetahui segala-galanya dan kemudian mendakwa dia ada hak untuk membunuh. Jiwa seorang pembunuh itu buta. Tiada kebaikan yang suci atau cinta yang sejati tanpa disertai jiwa yang secelik-celiknya.

Kumpulan sukarelawan itu, yang diasaskan oleh Tarrou, harus diterima dengan baik. Sebab itu penulis tidak akan memuji dengan istilah-istilah yang melampau. Pentingnya pengorbanan dan keberanian itu hanya akan ditulis selayaknya saja. Tetapi dia akan terus menulis kisah suara hati penduduk yang sedih dan memberontak kerana wabak.

Mereka yang menyertai “skuad kesihatan”, itu nama yang diberi, tidaklah memberi jasa yang besar di dalam pekerjaan mereka itu. Disebabkan mereka tahu itu sajalah yang mampu dilakukan. Bagi mereka, adalah tidak masuk akal untuk tidak melibatkan diri dalam tugas menolong penduduk bandar. Kumpulan sukarelawan ini menyatukan penduduk untuk melawan wabak dan meyakinkan mereka. Dengan wabak yang menyerang itu, bergantung kepada mereka sajalah untuk menghentikannya. Disebabkan melawan wabak sudah menjadi tugas semua orang, jelaslah wabak sudah menjadi urusan semua penduduk bandar.

Setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Tapi kita tidak mengucapkan tahniah kepada seorang guru yang berjaya mengajar dua tambah dua bersamaan dengan empat. Mungkin kita akan memujinya kerana pekerjaannya yang mulia itu. Jadi, bolehlah dihamburkan pujian kepada Tarrou dan lain-lainnya kerana memilih untuk membuktikan dua tambah dua bersamaan dengan empat, bukan sebaliknya; berdiam diri. Namun harus juga dikatakan, perbuatan mulia mereka inilah juga yang dikongsi oleh guru dan orang lain yang mempunyai perasaan seperti guru, dan juga seluruh umat manusia. Setidak-tidaknya itulah keyakinan penulis. Selain itu, penulis juga mengetahui hujah yang mungkin digunakan untuk melawannya, iaitu mereka ini telah membahayakan nyawa mereka. Tetapi selalu saja berlaku di dalam sejarah, mereka yang mengatakan dua tambah dua bersamaan dengan empat itulah yang akan dihukum mati. Guru memang menyedari akan perkara ini. Dan persoalannya sekarang adalah untuk mengetahui dua tambah dua bersamaan empat atau tidak. Penduduk bandar kami yang mempertaruhkan nyawa mereka, isunya adalah sama ada mereka dilanda wabak atau tidak dan apakah mereka harus berjuang melawan wabak itu atau tidak.

Ramai moralis pada hari itu yang pergi ke mana-mana saja di bandar kami, dan berkata bahawa tiada apa yang dapat dibuat lagi dan kami harus pasrah saja kepada takdir. Lalu Tarrou, Rieux, dan kawan-kawan mereka mungkin akan menjawab dengan berbagai jawapan. Namun, kesimpulannya tetap sama: Harus berjuang walau dengan apa cara sekalipun dan jangan sekali-kali menyerah kalah. Pentingnya di sini adalah untuk menyelamatkan sebanyak mungkin orang daripada mati dan ditimpa perpisahan yang tiada akhirnya. Untuk itu hanya ada satu cara saja: melawan wabak. Tiada yang patut dikagumi dengan sikap sebegini, melainkan ianya adalah kewajipan pada waktu itu.

Itulah sebabnya, Castel dengan umurnya yang sudah lanjut, menaruh segala kepercayaan dan kekuatannya untuk mencipta serum di bandar itu dengan bahan-bahan seadanya. Rieux berkongsi harapan agar vaksin yang dihasilkan daripada kuman yang didapati di merata tempat di bandar, terbukti lebih berkesan berbanding serum yang datang daripada luar. Ini kerana kuman yang dikesan itu agak berbeza dengan kuman wabak biasa yang dijumpai dalam mana-mana buku teks perubatan. Castel menjangkakan bekalan pertamanya akan siap dalam masa terdekat.

Sebab itu juga, Grand, yang langsung tiada darah kepahlawanan mengalir di dalam dirinya, kini bertugas sebagai setiausaha kepada gabungan kumpulan sukarelawan. Sebahagian daripada kumpulan yang diasaskan Tarrou itu membantu pencegahan di kawasan bandar yang padat dengan penduduk. Di sana diajarkan cara-cara pembersihan yang asas. Tugas mereka adalah untuk memastikan rumah dalam keadaan yang bersih dan menyenaraikan lotengloteng yang masih tidak disembur oleh pihak kesihatan. Kumpulan sukarelawan yang lain akan membantu para doktor berkunjung dari rumah ke rumah, menyediakan pengangkutan khusus bagi orang yang terkena jangkitan wabak. Oleh kerana tiada pemandu yang khas, mereka sendiri yang memandu membawa tubuh-tubuh yang sakit atau yang telah mati. Kesemua ini perlu dicatat, dan Grandlah yang selayaknya memegang jawatan itu.

Dalam situasi ini, penulis berpendapat, Grand adalah sebuah jiwa yang senyap yang telah menginspirasikan kumpulan itu, jika hendak dibandingkan dengan Rieux atau Tarrou. Dia menjawab “ya” tanpa teragak-agak ketika ditanya sama ada mahu melakukan tugas setiausaha tersebut. Dia hanya meminta supaya dibebankan dengan kerja-kerja ringan sahaja. Dia terlalu tua untuk tugas-tugas yang lain. Dia masih boleh bekerja dari pukul enam hingga pukul lapan setiap malam. Dia merasa hairan apabila Rieux sangat berterima kasih kepadanya.

“Kenapa? Ini bukan susah pun! Kan wabak sedang menyerang dan kita mestilah buat sesuatu. Jelas kan? Ah, kan bagus kalau semuanya semudah itu!” katanya kepada Rieux.

Dan dia kembali mengerjakan lembarannya. Kadang-kadang di waktu petang, ketika dia sudah menyelesaikan tugasnya, Grand dan Rieux akan berbincang-bincang. Lalu Tarrou mula ikut sekali dalam perbincangan mereka. Grand dengan senang hati bercerita tentang dirinya kepada dua orang kawannya itu. Rieux dan Tarrou dengan sepenuh perhatian, turut sama menekuni penulisan yang dikerjakan Grand di tengah-tengah kekalutan jangkitan wabak itu. Di akhirnya, mereka juga menemukan secebis ketenangan dengan melibatkan diri dengan kerja sampingan Grand itu.

“Apa khabar si wanita penunggang kuda?” seringkali Tarrou bertanya.

Jawapan Grand selalunya sama.

“Menderap kencang, menderap kencang!” katanya diiringi senyum masam.

Pada suatu malam, Grand berkata dia telah membuang kata sifat “anggun” pada penunggang kudanya. Mulai saat itu dia menggantikannya dengan “langsing”.

“Nampak lebih tegas,” jelasnya.

Tidak lama selepas itu, dia membacakan versi baru perenggan pendahuluannya yang telah digubah,

“Pada suatu pagi yang indah di bulan Mei, kelihatan seorang wanita yang langsing sedang menunggang kuda Mare melewati jalan yang bertaburan bunga-bunga di Bois de Boulogne.”

“Tampak lebih baik kan? Dan saya pilih ‘suatu pagi yang indah di bulan Mei’, kerana kalau ‘di bulan Mei’ saja, takkanlah dia nak menderap selama penuh selama sebulan itu ,” kata Grand.

Kemudian dia sangat ragu-ragu dengan kata sifat “cantik”. Menurutnya, perkataan itu seakan-akan tidak sampai maksudnya. Lalu dia memikirkan istilah yang tepat dan jelas untuk menggambarkan haiwan yang hebat ini di matanya. “Gempal” pun bukan, walaupun itu jelas sifatnya, namun membawa makna yang kurang baik. Terlintas sesaat perkataan “dibela dengan baik” dibenaknya, namun iramanya pula tidak sesuai. Pada suatu malam, dengan penuh rasa kemenangan di hati dia mengumumkan,

“Kuda Mare yang hitam!”

Menurut Grand, “hitam” menunjukkan keanggunan yang sopan.

“Tak sesuai la,” kata Rieux.

“Kenapa pula?”

“Sebab Mare bukannya simbol rasa. Tapi simbol warna.”

“Warna apa?”

“Hmm, warna apa-apalah. Yang jelas bukannya hitam.” Grand nampak kesusahan.

“Terima kasih,” katanya, “baguslah kamu ada di sini menolong saya. Tapi kamu tengoklah betapa susah kan mahu menulis.” “Bagaimana dengan ‘berkilau-kemilau’,” Tarrou menyampuk.

Grand menatap Tarrou. Dia berfikir-fikir.

“Ya,” katanya, “bagus tu.” Perlahan-lahan senyuman menguntum di wajahnya.

Selang beberapa hari kemudian, dia mengakui perkataan “yang bertaburan bunga-bunga” juga memberi masalah kepadanya kerana dia hanya mengenali bandar Oran dan Montelimar saja. Kadangkadang dia bertanyakan kawan-kawannya bagaimanakah rupa jalanan di Bois de Boulogne di Paris, apakah jenis bunga yang tumbuh di sana. Sebenarnya, Rieux dan Tarrou pun agak ragu-ragu sama ada tempat itu “bertaburan bunga-bunga” atau tidak. Tetapi keyakinan Grand menggoyahkan ingatan mereka. Grand agak terkejut dengan kesangsian mereka.

“Hanya ahli seni saja tahu bagaimana untuk menggunakan matanya dengan baik,” Grand membuat kesimpulan.

Pada malam yang lain, Rieux melihat Grand dalam keadaan teruja sekali. Dia telah menggantikan perkataan “berbunga-bunga” dengan “ditaburi bunga-bunga”. Sambil menggosokkan kedua-dua tangannya dia berkata,

“Nanti kan orang dapat melihatnya, mencium baunya. Hebat sekali, tuan-tuan!”

Bagaikan orang yang menang, dia membaca kembali frasa itu,

“Pada suatu pagi yang indah di bulan Mei, kelihatan seorang wanita yang langsing sedang menunggang kuda Mare yang berkilaukemilau melewati sepanjang jalan yang ditaburi bunga-bunga di Bois de Boulogne.”

Tetapi, kalau dibaca dengan suara yang keras akan kedengaran kurang enak, membuatkan Grand tergagap. Kemudian dia meminta izin kepada Rieux untuk pulang. Suatu kesusahan memberati fikirannya.

Ketika itu jugalah Grand mula kurang memberi perhatian kepada pejabatnya. Sikap itu sangat dikesali, memandangkan majlis perbandaran dibebani dengan berbagai jenis tugas ditambah pula dengan staf yang semakin berkurangan. Jabatannya agak kucarkacir, sehingga ketua jabatan memberi amaran yang dia dibayar untuk membuat kerja dan itu tidak dilaksanakannya.

“Saya diberitahu yang kamu menjadi sukarelawan untuk ‘skuad kesihatan’. Saya tiada masalah sebab itu di luar waktu kerja. Tapi cara terbaik untuk buat diri kamu rasa berguna ialah buat kerja kamu tu.

Kalau tak, memang tiada gunalah!” ketua jabatan menegurnya. “Betul apa yang dia cakap,” kata Grand kepada Rieux.

“Ya, memang betul,” Rieux bersetuju.

“Tapi saya tak boleh tumpukan perhatian. Frasa penutup itu memang merisaukan saya. Saya tak tahu dah apa nak buat.”

Dia berkira-kira mahu membuang “de Boulogne” dan mungkin pembaca akan tetap memahaminya. Tapi, perkataan itu ada hubungan yang kuat dengan “ditaburi bunga-bunga” yang berada di “sepanjang jalan”. Dia sudah merancang untuk menulis “sepanjang jalan yang ditaburi bunga-bunga di Bois.” Tetapi perkataan Bois yang tidak menggambarkan suasana tempatnya kelihatan canggung kepada Grand. Satu penderitaan kepadanya. Memang, kadangkala Grand kelihatan lebih letih berbanding Rieux.

Ya, dia letih dengan kajiannya yang menggunakan seluruh kudrat akal dan tubuhnya. Tetapi dia tetap meneruskan kerja-kerja yang diperlukan di perkumpulan sukarelawan. Setiap malam, dengan cermat dia akan mengemaskini jumlah statistik, membuat infografik dan mengerahkan fikirannya untuk membentangkan datanya dengan cara paling tepat dan jelas. Tidak jarang dia pergi menemui Rieux di hospital, lalu meminta sebuah meja untuk dirinya sama ada di pejabat atau ruang rawatan. Sebagaimana kerjanya di majlis perbandaran, di situlah dia sibuk dengan lembaran kertasnya, mengibas-ngibas helaian yang sudah siap ke udara yang lembap dan dipenuhi bau ubat bebas kuman. Pada waktu itulah dia berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak memikirkan “wanita si penunggang kuda”, dan menumpukan terhadap kerja yang lebih penting.

Seandainya perlu ada satu contoh teladan kepada mereka yang disebut-sebut sebagai pahlawan, dan seandainya memang perlu ada dalam cerita ini, justeru penulis akan memuji seorang pahlawan yang cuai dan keliru, yang hanya ada sedikit kebaikan di hatinya, serta mempunyai fikiran yang mengarut. Ini akan meletakkan kebenaran pada tempatnya. Sebagaimana juga perumpamaan dua tambah dua bersamaan empat itu, dan sifat kepahlawanan yang mulia yang tidak pernah dipandang tinggi jika hendak dibandingkan dengan rasa bahagia. Ini juga akan menentukan kecenderungan cerita ini, yang ditulis dengan penuh semangat. Satu perasaan yang tidak ingin tidak berlebihan dalam menceritakan sesuatu yang buruk mahupun yang baik.

Sekurang-kurangnya, itulah pendapat Rieux ketika dia membaca surat khabar atau mendengar radio yang menyiarkan kata-kata semangat dari mereka yang berada di luar Oran supaya kekal tabah. Bersama itu juga datang bantuan yang dikirim melalui jalan darat atau udara, atau ucapan-ucapan di surat khabar dan radio yang bunyinya mengagumkan dan penuh simpati yang kedengaran di bandar yang terasing sejak dilanda wabak. Seringkali segala ucapan itu menjengkelkan Rieux. Memang dia tahu ucapan itu bukanlah suatu kepura-puraan. Tapi itu hanyalah suatu ekspresi yang diungkapkan atas dasar rasa kemanusiaan. Ekspresi yang langsung tidak diterima oleh mereka yang berjuang dengan usaha-usaha kecil, seperti pekerjaan Grand, kerana ianya tidak menampakkan kesan yang besar di tengah suasana wabak.

Kadang-kadang di tengah malam, ketika bandar sudah pun terlelap, Rieux berbaring di katilnya untuk tidur seketika. Dia membuka radio. Dari jarak ribuan kilometer, dari tempat-tempat di hujung dunia, suara-suara yang tidak dikenali yang penuh rasa persaudaraan menyampaikan rasa kebersamaan mereka. Tetapi itu menunjukkan ketidakmampuan manusia untuk merasai kesengsaraan yang tidak mereka lihat sendiri.

“Oran! Oran!”

Sia-sia saja panggilan itu merentas laut, membawa pergi juga harapan Rieux. Mulalah petah bicara yang mula mengalir laju, yang semakin menunjukkan perbezaan antara Grand dan pemanggil itu.

“Oran, kami bersama kalian!” teriak mereka dengan penuh emosi.

Tetapi Rieux memberitahu dirinya,

“Tidak. Kami akan hidup dan mati bersama-sama, tiada cara yang lain. Mereka terlalu jauh.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience