BAHAGIAN LIMA : BAB LIMA

Others Completed 4183

Cerita ini hampir sampai ke penamatnya. Tiba saatnya bagi Dr. Bernard Rieux untuk mengakui bahawa dialah penulisnya. Tetapi sebelum dia mencoret kejadian-kejadian terakhir, sekurang-kurangnya dia merasakan bertanggungjawab untuk menjustifikasikan keterlibatannya dan memberitahu kenapa dia menggunakan gaya bahasa sebagai seorang pemerhati yang tidak berpihak.

Sepanjang tempoh wabak melanda, pekerjaannya memungkinkan dia dapat berhubung rapat dengan kebanyakan penduduk Oran dan berpeluang mendengar berbagai pendapat daripada mereka. Oleh yang demikian, dia berada dalam kedudukan yang baik untuk menceritakan apa yang telah dilihat dan didengarnya. Tetapi dia ingin melakukannya dalam lingkungan had tertentu. Secara umumnya, dia menghadkan dirinya untuk menceritakan apa yang dia saksikan dengan mata kepalanya sendiri. Dia tidak membuat penduduk bandar yang sama-sama menderita dalam penjara wabak ini, mengatakan sesuatu yang bukan pendapat mereka. Dan dalam cerita ini, Rieux telah hanya menggunakan teks yang sampai ke tangannya secara kebetulan, kerana diberikan oleh orang lain atau kerana kematian kawan, contohnya Tarrou.

Seolah-olah apabila dipanggil untuk menjadi saksi sebuah jenayah, sebagaimana seorang saksi yang baik, dia harus bersikap jujur. Mengikut kata hatinya yang jujur, dia sengaja berpihak kepada mangsa. Dia ingin berkongsi dengan masyarakatnya tentang persamaan perasaan yang mereka miliki, iaitu cinta, pengasingan, dan penderitaan. Disebabkan itulah, dengan sungguh-sungguh dia mengatakan, tidak ada satu pun penderitaan yang dia tidak turut sekali merasakannya. Tidak ada satu pun kesusahan tanpa dia turut mengalaminya.

Untuk menjadi saksi yang jujur, paling utama yang harus diceritakannya adalah perbuatan serta perbualan penduduk, dan apa yang boleh diambil daripada catatan dalam dokumen. Tetapi dia mesti menahan diri daripada bercerita tentang masalah peribadinya yang berpanjangan. Kalau dia ada menulisnya sebagai contoh sekalipun, hanya untuk memahamkan bagaimana keadaan penduduk bandar, agar jelas gambaran mengenai perasaan mereka. Ini kerana seringkali mereka sendiri kebingungan tentang apa yang mereka rasa. Sebetulnya, ini tidaklah membebankan Rieux sangat. Apabila dia ingin menambah catatan peribadi terhadap suara-suara penderita wabak yang tak terkira banyaknya, dia dihalang oleh satu fikiran mengatakan tidak ada satu pun penderitaannya yang sama dengan penderitaan orang lain. Tetapi di dalam dunia di mana kedukaan itu seringkali keseorangan, ini adalah satu kelebihan.

Justeru itu, Rieux akan bercerita mewakili semua penduduk Oran.

Tetapi sekurang-kurangnya ada seorang penduduk bandar yang tidak dapat Rieux ceritakan. Seorang lelaki yang sebagaimana disifatkan oleh Tarrou kepada Rieux pada suatu hari,

“Kesalahannya satu saja, hatinya menyetujui sesuatu yang telah membunuh lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Saya faham kekurangan dia yang lain. Tapi yang satu ini, saya terpaksa maafkan dia.”

Maka sesuailah jika cerita ini diakhiri dengan menceritakan tentang seorang yang jahil, atau dalam kata lain, hati yang kesepian.

Ketika Rieux keluar dari kerumunan orang yang sedang berpesta, dia ditahan oleh sekatan polis ketika hendak membelok ke arah tempat tinggal Grand dan Cottard. Dia agak terkejut. Keributan suara dari pesta di kejauhan membuatkan kawasan itu kelihatan tenang, Rieux membayangkan kawasan itu lengang kerana ketenteramannya. Dia menunjukkan kadnya kepada pegawai polis.

“Maaf, doktor,” kata seorang daripada mereka, “saya tak boleh benarkan kamu lalu jalan ini. Ada orang gila yang menembak tidak tentu hala. Lebih baik kamu diam di sini. Mana tahu kami perlukan khidmat kamu.”

Ketika itulah Rieux nampak Grand berjalan ke arahnya. Grand juga tidak mengetahui apa-apa. Pihak polis juga tidak membenarkannya lalu, dan dia diberitahu tembakan itu datang daripada bangunan tempat tinggalnya. Dari jauh mereka dapat melihat bangunan itu, warnanya kuning dilimpahi sinar matahari yang tidak panas lagi. Jalan di depan bangunan lengang. Di hujung jalan sebelah sana, kelihatan sekatan polis yang sama seperti yang berada di sisi Rieux dan Grand. Di belakang sekatan itu, beberapa penghuni berjalan mundar-mandir. Setelah diamati dengan teliti, baru kelihatan beberapa pegawai polis memegang pistol sedang berlindung di pintu-pintu rumah berhadapan dengan tempat tinggal Grand. Semua jendela bangunan tertutup, kecuali satu di tingkat dua. Jalan sunyi sekali. Hanya bunyi muzik yang samar-samar kedengaran dari pusat bandar.

Tiba-tiba terdengar dua das tembakan yang datang daripada bangunan hadapan. Lalu serpihan kaca berterbangan dari jendela yang rosak di tingkat dua. Suasana kembali sepi. Bagi Rieux yang melihat dari kejauhan, selepas keriuhan pesta sepanjang hari, kejadian yang berlaku di depan matanya itu seperti di dalam mimpi.

Tidak semena-mena Grand bersuara,

“Itu jendela Cottard! Saya ingat dia sudah hilang.”

“Kenapa polis menembak?” tanya Rieux kepada polis yang berkawal.

“Oh, hanya nak menarik perhatian orang tu. Dia menembak siapa saja yang cuba masuk ke dalam bangunan. Seorang anggota kami dah ditembak. Sekarang kami tengah tunggu kereta datang bersama peralatan.”

“Kenapa dia menembak?”

“Tidak ada siapa tahu. Mulanya penduduk tengah bersuka-ria di atas jalan. Ketika tembakan pertama, orang ingat tidak ada yang bahaya pun. Bila dia menembak sekali lagi, orang ramai menjerit, seorang cedera. Lain-lain cabut lari. Orang gila saja yang menembak tidak tentu hala!”

Masa bagaikan merangkak sangat lambat sekali dalam kesepian yang kembali menyelubungi suasana. Tiba-tiba, dari seberang jalan, muncul seekor anjing. Sejak sekian lama, inilah anjing pertama yang dilihat Rieux. Anjing spaniel yang kotor, dan pastinya telah disembunyikan oleh tuannya sehingga saat itu. Ia berjalan menyusuri dinding-dinding rumah. Kemudian berhenti di muka pintu, duduk dan mula menggigit kutu-kutunya. Bunyi siulan dari beberapa orang polis memanggilnya. Anjing itu menegakkan kepala. Lalu menyeberangi jalan., tapi berhenti di tengah-tengah, mencium topi. Tembakan meletus dari jendela tingkat dua. Ketika itu jugalah anjing itu melompat seperti melakukan balik kuang, menendang kedua-dua kakinya ke udara. Kemudian terlentang menggeliat, dan menggelupur lama.

Sebagai balasan, lima enam das tembakan dilepaskan dari bangunan hadapan. Serpihan-serpihan kaca jendela berterbangan lagi. Lalu kembali sepi. Matahari sudah tergelincir sedikit, garisan bayangbayang mula menghampiri jendela Cottard. Bunyi tayar mendecit kedengaran di belakang Rieux.

“Itu pun mereka!” kata seorang pegawai polis.

Sekumpulan pegawai polis melompat keluar dari kereta sambil menurunkan tali, sebuah tangga, dan dua kotak segi empat panjang yang dibaluti kain minyak. Mereka masuk ke laluan di belakang deretan rumah yang menghadap bangunan tempat tinggal Grand.

Sebentar kemudian, ada tanda-tanda pergerakan di muka pintu rumah-rumah itu. Mereka menunggu sebentar. Anjing di tengah jalan sudah tidak bergerak lagi. Tergeletak di dalam kolam darah yang mengalir pekat.

Tiba-tiba, dari jendela-jendela rumah yang dimasuki sekumpulan polis itu terdengar bunyi tembakan mesingan. Mereka masih mengarahkan tembakan ke arah jendela yang sudah pecah, mendedahkan ruangan yang gelap. Baik Rieux mahupun Grand tidak dapat melihat dengan jelas. Ketika tembakan berhenti, meletus pula tembakan kedua dari sudut yang lain. Tembakan memang sengaja dibidik ke arah ruangan jendela, sehingga batubata jatuh bertaburan di atas jalan. Serentak ketika itu, tiga orang polis menyeberangi jalan memasuki bangunan. Tembakan berhenti. Suasana senyap sekali lagi. Sayup-sayup kedengaran dua bunyi ledakan di dalam bangunan. Disusuli bunyi keriuhan yang semakin kuat sehinggalah mereka melihat seorang lelaki pendek yang berteriak tanpa henti dipapah polis keluar melalui muka pintu.

Seakan-akan satu isyarat yang ditunggu-tunggu, semua daun jendela yang tertutup di jalan itu tiba-tiba terbuka serentak. Orang-orang yang ingin tahu menjenguk keluar. Sedangkan kerumunan yang lain keluar dari rumah, berasak-asak di belakang sekatan polis. Selama beberapa saat, mereka melihat seorang lelaki pendek di tengahtengah jalan, dengan lengannya dipegang oleh dua orang pegawai polis. Dia masih berteriak. Seorang pegawai polis menghampiri dan memberinya dua tumbukan yang padu ke muka lelaki itu.

“Ya lah! Memang Cottard,” suaranya penuh teruja, “memang dia sudah gila.”

Cottard tersungkur. Dari tempat mereka berdiri, Rieux dan Grand melihat satu tendangan kuat dihalakan ke arah lembaga yang sudah terbaring di atas tanah. Kemudian satu kumpulan kecil manusia meluru ke arah tempat Rieux dan Grand.

“Bersurai!” laung polis itu.

Ketika Cottard dan sekumpulan polis yang menangkapnya lalu, Rieux memalingkan mukanya.

Senja sudah hampir berakhir ketika Grand dan Rieux beranjak dari tempat mereka berdiri. Seolah-olah kejadian itu menggoncangkan kejiranan yang tertidur. Lalu jalan yang tadi lengang kembali dipenuhi kebingitan suara manusia yang bersuka ria.

Di depan pintu bangunan, Grand minta diri. Dia hendak meneruskan aktiviti malam harinya. Ketika hendak menaiki tangga dia berkata yang dia sudah menulis surat kepada Jeanne, dan dia berasa lebih tenang sekarang. Katanya lagi, dia sudah menulis semula frasa pendahuluannya.

“Saya dah buang semua kata sifat di dalamnya.”

Dengan kenyitan di matanya, Grand mengangkat topinya dan membuat gaya memberi hormat kepada Rieux. Tapi Rieux masih terfikir tentang Cottard. Bunyi tumbukan ke muka lelaki itu masih terngiang di telinganya sepanjang perjalanannya ke rumah lelaki tua penderita asma. Barangkali lebih menyakitkan untuk memikirkan tentang orang yang bersalah daripada orang sudah meninggal dunia.

Langit sudah ditelan kegelapan malam ketika dia sampai ke rumah pesakitnya itu. Dari dalam bilik tidur, terdengar sayup-sayup keriuhan pesta kebebasan di bandar. Lelaki tua itu leka dengan aktiviti biasanya, memindahkan kacang hijau dari satu balang ke balang yang lain.

“Memang patut mereka bersuka ria macam tu. Manusia ini harus macam-macam ragam. Barulah lengkap dunia. Kamu seorang saja malam ini, doktor? Mana kawan kamu?”

“Dia dah mati,” sahut Rieux sambil mendengar degupan dada lelaki itu.

“Oh, ye ke?” lelaki tua itu kedengaran malu sendiri.

“Terkena wabak,” Rieux menambah.

Lelaki itu terdiam sejenak lalu berkata,

“Ya. Memang orang baik yang akan pergi dulu. Macam itu lah hidup. Tapi kawan kamu lelaki yang tahu apa yang dia nak.”

“Kenapa kamu kata macam tu?” tanya Rieux sambil menyimpan stetoskopnya.

“Tak ada sebab sangat pun. Cuma, dia hanya bercakap apa yang dia nak. Saya sukakan dia. Macam itu lah. Semua orang sibuk cakap: ‘Itu wabak-lah. Kita terkena wabak kat sini.’ Semacam mereka berharap untuk dapat pingat. Tapi wabak itu apa sebenarnya? Itulah hidup. Tak lebih daripada itu.”

“Jangan lupa ambil sedutan setiap hari.”

“Jangan risaukan saya, doktor. Saya akan hidup lama lagi. Barangkali saya akan lihat mereka mati dulu. Saya tahu macam mana nak hidup.”

Sorakan kegembiraan dari jauh seolah-olah menggemakan katakata pesakitnya itu. Rieux berhenti di tengah-tengah bilik, lalu berkata,

“Boleh saya naik ke beranda?”

“Naiklah! Kamu nak tengok mereka dari atas kan? Tapi semuanya sama saja.”

Rieux sedang menuju ke tangga ketika lelaki itu berkata lagi,

“Eh, doktor, betul ke mereka nak buat memorial untuk mereka yang mati kerana wabak?”

“Mengikut surat khabar macam itu lah. Memorial, ataupun tanda peringatan.”

“Ah, saya dah pastikan sebenarnya. Nanti akan ada ucapan-ucapan.” Dia tertawa kecil.

“Saya agak mereka akan cakap: ‘Saudara-saudara kita yang telah mendahului…’ Selesai saja upacara, mereka akan bergelak ketawa memenuhi meja makan.”

Rieux sudah separuh perjalanan menuju ke atas.

Langit yang dingin dan berkilauan terbentang luas di atas bumbungbumbung rumah. Di atas puncak bukit, bintang-bintang kelihatan bersinar seperti batu-batu api. Malam itu tidak begitu berbeza dari malam ketika dia dan Tarrou naik ke sana untuk melupakan wabak sejenak. Cuma, malam ini suara laut di tebing kedengaran lebih keras. Udara tenang dan hening. Bebas daripada bau masin air laut yang dibawa musim gugur. Kebingitan suara di bandar masih bergema di dinding beranda bagaikan bunyi ombak. Hanya, malam ini adalah suara kebebasan. Bukan lagi suara pemberontakan di pintu bandar. Di kejauhan, kelihatan garis-garis hitam kemerahan menunjukkan jalur-jalur jalan utama dan lorong-lorong yang diterangi lampu. Pada malam yang sudah bebas daripada cengkaman wabak, nafsu sudah tidak mengenal batas. Bunyi nafsu yang gegakgempita itulah yang singgah ke telinga Rieux.

Dari pelabuhan yang gelap, bunga api yang diselenggarakan oleh majlis perbandaran mula naik ke angkasa. Seluruh bandar menyaksikan pertunjukan itu dengan sorakan yang panjang. Cottard, Tarrou, wanita yang dicintai Rieux yang telah tiada, yang meninggal dunia dan yang bersalah, semuanya telah dilupakan. Benar kata-kata lelaki tua itu. Mereka di bawah sana adalah orang yang sama juga. Tapi itulah kekuatan dan kenaifan mereka. Dan di sinilah, di beranda, merentasi segala kesedihan, Rieux dapat merasakan dirinya bersatu dengan mereka. Di tengah-tengah sorakan yang semakin keras yang bergema sehingga ke dinding beranda, bersama-sama dengan warna-warni bunga api yang semakin banyak menghias kegelapan angkasa, Rieux memutuskan untuk mengakhiri ceritanya di sini. Dengan menulis cerita ini, dia tidak menjadi orang yang membungkam, malah menjadi saksi kepada mangsa-mangsa wabak. Setidak-tidaknya itu mengingatkan kepada ketidakadilan dan kezaliman yang pernah mereka alami. Juga untuk mencatatkan dengan adil apa yang telah kita belajar pada masa-masa wabak: bahawa dalam diri manusia terdapat banyak perkara untuk dikagumi berbanding untuk dibenci.

Rieux tahu cerita ini bukanlah tulisan yang menceritakan kemenangan terakhir. Cerita ini hanyalah satu kesaksian dari apa yang patut dilakukan, dan akan dilakukan lagi dalam perjuangan tanpa henti melawan kejahatan dan serangannya yang tidak hentihenti. Meskipun dibebani kesengsaraan peribadi, oleh orang yang menolak untuk tunduk kepada penyakit (walaupun tidak dapat menjadi wali keramat), namun berusaha sedaya upaya untuk menjadi penyembuh.

Dan memang, sambil mendengar sorakan kegembiraan yang datang dari bandar, Rieux teringat yang kegembiraan itu masih tetap membahayakan. Dia tahu apa yang orang ramai tidak tahu (tapi boleh dipelajari daripada buku), yang kuman wabak tidak pernah mati ataupun menghilang selama-lamanya. Kuman masih dapat tinggal dan tidur berpuluh tahun di perabot rumah dan pakaian, menunggu dengan sabar di bilik-bilik, loteng-loteng, peti-peti, dan rak-rak buku.

Mungkin akan tiba suatu hari, sebagai penderitaan dan pencerahan bagi manusia, wabak akan membangunkan tikus-tikus sekali lagi, dan menghantar mereka untuk mati di sebuah bandar yang bahagia.

TAMAT

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience