BAHAGIAN SATU : BAB LAPAN

Others Completed 4183

Sehari selepas mesyuarat itu, demam itu mula mendapat lebih perhatian. Surat khabar mula memuatkan berita mengenai penyakit itu, cuma sumbernya masih lagi kurang. Hari berikutnya, Rieux mendapati sudah ada notis rasmi yang mula disebarkan di pekanpekan luar bandar.

Dalam notis ini sukar dinyatakan yang pihak berkuasa mengambil serius akan situasi sebenar. Arahan yang dikeluarkan juga tidak ketat. Rieux merasakan mereka ingin mengelakkan penduduk Oran daripada panik. Notis itu bermula dengan kenyataan umum yang demam berjangkit telah dilaporkan berlaku di Oran, dan sejauh mana kesan penularannya masih tidak dapat dipastikan lagi. Namun begitu penyakit ini masih tidak begitu membimbangkan, dan pihak berkuasa berharap para penduduk dapat bertenang. Pun begitu, sebagai langkah berjaga-jaga, Prefek tetap akan melaksanakan langkah pencegahan. Jika langkah ini dilaksanakan sebetulnya, mereka akan terhindar daripada terkena penyakit itu. Dengan ini, Prefek merasakan setiap penduduk di bawah jagaannya akan menyokong usahanya ini.

Notis itu juga memuatkan beberapa langkah umum. Di antaranya adalah penghapusan tikus secara sistematik dengan menyembur gas beracun ke dalam pembetung, serta pengawalan ketat terhadap penyaluran air ke rumah-rumah. Para penduduk dinasihatkan untuk betul-betul menjaga kebersihan, dan sesiapa yang terjumpa pepijat di rumah masing-masing hendaklah segera ke klinik. Juga setiap ketua keluarga hendaklah segera melaporkan jika ada ahli keluarga mereka dilanda demam dan hendaklah memberi keizinan untuk mereka dikuarantin di dalam wad khas di hospital.

Wad khas ini, disediakan untuk membantu pesakit mendapat rawatan segera dan memastikan tahap kesembuhan maksimum. Langkah sampingan yang lain termasuklah penyahjangkitan bilik dan kenderaan yang digunakan pesakit. Lain-lainnya, Prefek menasihatkan supaya sesiapa yang berjumpa dengan pesakit untuk berjumpa dengan pegawai kesihatan dan mengikut arahan yang diberikan.

Rieux terus membelakangi poster itu dan bergerak menuju ke kliniknya. Grand sudah menunggunya di sana, dan melambaikan tangannya sejurus Rieux masuk.

“Ya,” kata Rieux, “Saya tahu angka semakin meningkat.”

Sehari sebelumnya, lebih kurang sepuluh kematian dilaporkan. Rieux memberitahu Grand yang dia hanya akan bertemu dengannya pada petang nanti, kerana sudah berjanji untuk melawat Cottard terlebih dahulu.

“Baguslah,” kata Grand. “Dia akan berasa lebih baik. Sebenarnya, saya tengok dia dah banyak berubah.” “Berubah macam mana?”

“Dia nampak lebih peramah sekarang.”

“Bukankah dulu pun sudah begitu?”

Grand kelihatan teragak-agak. Bukanlah dia hendak mengatakan yang Cottard dulunya bukan peramah sangat; walaupun mungkin perkataan itu juga tidak tepat, tapi dia adalah seorang yang pendiam dan suka menyendiri, bagi Grand, seperti seekor babi hutan. Bilik tidurnya, makanannya yang tidak mewah, waktu pergi-pulangnya yang tidak menentu - ini menceritakan kehidupan Cottard seharihari.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang penjual arak dan minuman keras yang lain. Kadang-kadang dia dikunjungi oleh dua tiga orang lelaki, berkemungkinan pelanggannya. Pada waktu malam, adakalanya dia akan menonton filem di bangunan depan rumahnya. Grand juga ada perasan, yang Cottard nampak meminati filem-filem gengster. Tapi yang nyata adalah sikapnya yang suka menyendiri dan curiga kepada sesiapa pun yang dijumpainya.

Dan sekarang, seperti kata Grand, dia sudah berubah sepenuhnya. “Saya tidak tahu macam mana nak cakap, tapi saya agak kagum dia sudah mula bergaul dengan orang di sekelilingnya. Dia sering berbual dengan saya sekarang, mengajak saya keluar dan saya selalu tak dapat menolak ajakannya. Lagi pula, saya tertarik kepadanya. Dan sudah tentu sebab saya telah menyelamatkan nyawanya.”

Sejak percubaannya untuk membunuh diri, Cottard tidak lagi menerima kunjungan dari sesiapa pun. Dia cuba bergaul dengan masyarakat sama ada di jalanan atau di kedai-kedai. Belum pernah ada orang berbual dengan pekedai sesopan Cottard. Juga bagaimana dia bergaul dengan penjual rokok dengan mendengar bebelan mereka dengan penuh minat.

“Penjual rokok ini yang juga seorang perempuan,” Grand bercerita, “seorang yang bermasalah. Saya sudah katakan kepada Cottard, tapi dia menjawab saya pula yang keliru, dan penjual rokok itu seorang yang baik, juga, hanya dengan berkawan baru kita akan tahu.”

Dua tiga kali juga Cottard Grand keluar di kafe dan restoran yang mewah di bandar. Memang dia mulai berkunjung ke tempat-tempat itu sekarang.

“Saya berasa selesa di sana,” kata Cottard kepada Grand, “dan orangorangnya juga menyenangkan.”

Grand perasan yang pelayan di situ memberikan layanan istimewa kepadanya. Dan keanehan itu terbongkar apabila dia melihat jumlah tip yang berikan kawannya itu. Nampaklah Cottard sangat menghargai keramahan orang kepadanya. Pernah satu hari ketika ketua pelayan membantu dia mengenakan kot tebalnya, Cottard berkata kepada Grand,

“Dia seorang yang baik. Dia mungkin boleh menjadi saksi.”

“Saksi? Saya tak faham.”

Cottard teragak-agak sebelum menjawab.

“Ya lah. Dia boleh cakap yang saya bukannya orang yang jahat.”

Tapi gurauannya itu ada pasang surutnya. Satu hari ketika pekedai runcit itu kelihatan kurang ramah, Cottard pulang sambil marahmarah.

“Dia sama saja macam yang lain, celaka betul!”

“Lain-lain yang mana?”

“Kesemua mereka.”

Pernah sekali Grand menyaksikan satu peristiwa menarik di kedai si penjual rokok. Di tengah-tengah perbualan, si penjual rokok itu bercerita tentang satu kes pembunuhan di Algiers. Seorang pekerja warga asing telah membunuh seorang warganegara Algeria di sebuah pantai.

“Seandainya semua sampah masyarakat itu dipenjarakan,” kata si penjual rokok, “orang awam pasti berasa lebih aman.”

Tapi perempuan si penjual rokok itu menghentikan percakapannya, kerana melihat reaksi Cottard yang tiba-tiba gelisah. Cottard keluar daripada kedai serta-merta tanpa sebarang alasan diiringi renungan daripada Grand dan perempuan itu yang kehairanan.

Grand menceritakan lagi kepada Rieux tentang perubahan pada diri Cottard. Dia dulunya seorang yang agak liberal. Ayat kesukaannya adalah “orang yang kuat selalu menang.” Tapi sejak kebelakangan ini, dia hanya membeli surat khabar yang ala-konservatif yang terdapat di Oran. Dan juga, dia sengaja membacanya di tempat awam supaya dilihat orang ramai. Beberapa hari setelah dia sembuh, dia sempat meminta tolong Grand yang ketika itu hendak ke pejabat pos, untuk membuat kiriman wang sebanyak 100 francs kepada kakaknya. Itulah jumlah wang yang dihantarnya setiap bulan. Baru saja Grand hendak berangkat pergi, Cottard memanggilnya kembali,

“Silap, kirimkan 200 francs kepadanya. Biar jadi kejutan buatnya. Dia menganggap yang saya tidak pernah memikirkannya, tetapi sebenarnya saya sangat menyayanginya.”

Tidak lama selepas itu, Grand dan Cottard pernah berbual tentang sesuatu yang pelik. Dia memaksa Grand memberitahu apakah “pekerjaan misteri” yang dikerjakannya setiap malam.

“Saya tahu!” Cottard berteriak. “Kamu menulis buku kan?”

“Lebih kurang macam itulah. Tapi bukan semudah itu.”

“Ah!” keluh Cottard. “Saya pun berharap mampu menulis macam kamu.”

Grand agak terperanjat. Dengan malu-malu Cottard menjelaskan yang menjadi orang sastera ini dapat memudahkan banyak perkara. “Kenapa?” tanya Grand.

“Kerana seorang penulis punya lebih banyak hak berbanding orang biasa. Semua orang tahu hal ini. Dan penulis tidak akan diganggu oleh orang ramai.”

Pada pagi hari surat pekeliling itu dikeluarkan, Rieux berkata kepada Grand,

“Nampak sangat masalah mengenai tikus ini telah mempengaruhi dirinya, sama seperti orang lain juga. Itu sebabnya. Ataupun mungkin dia takut terkena demam.”

“Saya tak rasa begitu, doktor. Pada pendapat saya…”

Dia berhenti sejenak; van penyemburan dengan bunyi ekzos yang kuat melewati bawah jendela luar biliknya. Rieux diam saja sehinggalah kenderaan itu berlalu pergi. Kemudian bertanya kembali apa pendapat Grand.

“Dia seorang yang terlalu mengikut kata hati,” kata Grand serius.

Rieux menggerak-gerakkan bahunya. Seperti kata ketua inspektor, dia ada urusan lain yang lebih penting untuk difikirkan.

Tengah hari itu, Rieux berbual lagi dengan Castel. Serum itu masih belum sampai lagi.

“Saya tak rasa benda itu perlu,” kata Rieux, “kuman-kuman itu pun aneh.”

“Saya tak setuju,” bantah Castel, “kuman itu memang ada bentuknya yang tersendiri. Tapi pada dasarnya, semuanya sama saja.”

“Itu hanya teori kamu. Lagi pun, kita masih tak tahu apa-apa tentang perkara itu.”

“Memang itu hanya teori. Semua orang pun boleh berteori.”

Sepanjang hari itu, Rieux sedar dia yang rasa peningnya bertambah jika dia memikirkan tentang wabak yang semakin menjadi sebutan ramai itu. Dia sedar yang dia rasa takut sekali. Sudah dua kali dia masuk ke kafe yang penuh. Seperti Cottard, dia juga rasa dia memerlukan rasa kehangatan badan manusia. Naluri yang bodoh, kata Rieux kepada dirinya. Tapi dia masih ingat yang dia perlu melawat Cottard.

Cottard sedang berdiri di sisi meja makannya ketika Rieux masuk menemuinya petang itu. Sebuah novel detektif kelihatan terbuka di atas mejanya. Hari semakin berlabuh dan sudah pasti sukar membaca dalam kegelapan. Barangkali sebelum itu dia sedang termenung di dalam kemuraman senja sebelum loceng pintunya berbunyi.

Rieux bertanyakan keadaannya. Cottard duduk dan sambil merengus, dia menjawab dia baik-baik saja. Dan adalah lebih baik lagi jika dibiarkan bersendirian saja. Rieux mengingatkan yang kita tidak boleh selalu bersendirian.

“Oh, bukan itu maksud saya. Saya cakap pada orang yang suka mengganggu.”

Rieux diam saja. Cottard menyambung,

“Ini bukan mengenai saya. Sebenarnya saya sedang membaca novel itu. Kisahnya tentang seorang yang malang yang tiba-tiba ditahan pada suatu pagi. Pihak polis menyoal siasatnya sedangkan dia tidak tahu apa-apa. Mereka bercakap mengenainya di pejabat, mencatat namanya ke dalam fail pihak polis. Kamu rasa itu adil ke? Kamu fikir mereka ada hak ke untuk buat begitu kepada orang lain?”

“Bergantung kepada keadaan.” kata Rieux. “Dari satu sudut, saya setuju yang tak seorang pun berhak berbuat begitu. Tapi itu semua tidak penting. Apa yang penting sekarang ialah kamu kena ambil angin di luar. Jangan terperap terlalu lama di dalam rumah.”

Cottard nampak tersinggung, sambil berkata yang dia sering saja keluar. Dan jika mahu, semua penduduk di kawasan itu boleh menjadi saksi. Bahkan, dia juga punya banyak kenalan di kawasan bandar yang lain.

“Kamu kenal Tuan Rigaud, seorang arkitek? Dia pun kawan saya.”

Bilik itu sudah diselubungi kegelapan. Di luar, jalan raya sudah semakin bising. Dan ada bunyi suara kelegaan apabila lampu jalan mula menyala. Rieux pergi ke balkoni diikuti Cottard. Setiap malam, angin sepoi-sepoi bahasa dari kawasan terpencil akan membawa sekali bunyi suara membisik, bau daging bakar, bunyi riuh rendah mula menggamatkan suasana dan jalan raya mula dipenuhi oleh anak muda yang pulang dari kedai dan pejabat. Di kala matahari terbenam itu, kedengaran bunyi kapal di kejauhan membawa khabar dari laut. Kegamatan suasana penuh keriangan yang dulunya disukai oleh Rieux, sekarang terasa mengancam dirinya disebabkan perkara yang diketahuinya.

“Boleh buka lampu sekarang?” tanya Rieux kepada Cottard apabila mereka kembali ke ruangan bilik.

Sejurus lampu dibuka, Cottard merenung ke arah Grand sambil mengedipkan matanya.

“Doktor, jika saya jatuh sakit, bolehkah kamu sendiri yang merawat saya nanti di hospital?”

“Kenapa tidak?”

Lalu Cottard bertanya sama ada pernah terjadi seseorang ditahan di hospital atau di pusat kesihatan. Rieux menjawab hal itu pernah terjadi tetapi bergantung kepada keadaan pesakit.

“Saya percayakan kamu, doktor,” kata Cottard. Kemudian dia bertanya sama ada Rieux sudi menumpangkan dia ke bandar.

Di tengah-tengah bandar, jalan mulai lengang dan lampu sudah tidak banyak yang bernyala. Kanak-kanak sedang bermain di depan rumah. Atas permintaan Cottard, Rieux memberhentikan keretanya di depan sekumpulan kanak-kanak. Mereka sedang bermain tinting dengan bising sekali. Salah seorang di antara mereka, dengan rambut licin dan muka yang kotor merenung tajam ke arah Rieux. Rieux mengalihkan pandangannya. Cottard berdiri di tepi jalan dan mengangguk kepalanya ke arah Rieux. Dua tiga kali dia menoleh ke belakang sebelum bertanya dengan suaranya yang parau,

“Saya dengar setiap orang bercakap mengenai sejenis wabak. Betul ke doktor?”

“Orang memang tak akan berhenti bercakap. Biasa la tu,” jawab Rieux.

“Betul tu. Sepuluh orang meninggal pun sudah dianggap dunia mahu kiamat. Padahal bukan itu yang kita perlukan di sini.”

Enjin kereta sudah dihidupkan. Tetapi dia kembali menoleh ke arah budak tadi yang masih tetap merenungnya dengan tajam. Tanpa disangka-sangka, budak itu tersenyum lebar sehingga menampakkan kesemua giginya. Dia membalas senyuman itu seraya bertanya kepada Cottard,

“Jadi apa yang kita perlukan sebenarnya?”

Serta-merta dia memegang erat pintu kereta. Dan ketika dia mahu beredar, dia menjerit dengan suara yang penuh kemarahan,

“Gempa bumi! Gempa bumi yang dahsyat!”

Tidak ada gempa bumi pun. Keesokan harinya, Rieux menghabiskan masanya dengan memandu ke setiap penjuru bandar, bertemu dengan keluarga-keluarga pesakit dan bercakap dengan pesakit itu sendiri. Belum pernah dia merasakan kerjanya itu sedemikian berat. Sehingga sekarang pesakitnya sangat memudahkan kerjanya dengan mengikut apa saja arahannya. Buat pertama kalinya Rieux rasa mereka sedang memencilkan diri dengan penyakit mereka itu, dalam kebingungan dan kecurigaan. Hal ini adalah sesuatu yang baru baginya.

Pada pukul sepuluh malam, ketika dia berhenti di depan rumah seorang pesakitnya yang menghidap asma, Rieux merasakan dirinya sukar untuk bangkit dari tempat duduk keretanya. Untuk beberapa ketika dia berlengah-lengah sambil merenung ke arah jalan yang gelap, melihat bintang-bintang muncul dan hilang ditelan kegelapan langit malam.

Lelaki tua itu sedang duduk di katilnya. Melakukan rutin biasanya; menghitung kacang hijau dari satu balang ke balang yang lain. Wajahnya kelihatan gembira menyambut Dr. Rieux.

“Jadi doktor, itu penyakit taun, bukan?”

“Dari mana kamu dengar ni?”

“Di dalam surat khabar. Radio pun beritahu benda yang sama.”

“Bukan. Bukan taun.”

“Kalau macam itu,” kata lelaki tua itu dengan gembira, “mereka membesar-besarkan cerita la, ya?”

“Tolong jangan percaya sepatah pun,” kata Rieux.

Dia selesai memeriksa lelaki tua itu dan sekarang sedang duduk di ruangan meja makan yang kotor itu. Ya, meskipun apa yang dikatakannya kepada pesakitnya itu, dia tetap merasa takut. Dia tahu bahawa esok hari, sudah ada lapan atau sepuluh orang yang menunggu kedatangannya di kawasan pedalaman, terbongkokbongkok disebabkan bengkak. Hanya dua atau tiga kes saja yang dapat sembuh apabila dibuat torehan pada bengkak itu. Kebanyakan mereka harus dikejarkan ke hospital dan Rieux tahu apa orang miskin fikir tentang hospital; mereka tidak mampu.

“Saya tidak mahu mereka membedahnya,” kata isteri kepada suaminya yang sakit. Sebenarnya pesakit itu tidak akan dibedah pun; dia memang tidak dapat diselamatkan lagi. Itu saja. Ternyata arahan pekeliling yang dikeluarkan masih tidak mencukupi. Dia tahu sangat apa yang dimaksudkan dengan “wad khas” seperti tertera di dalam arahan pekeliling itu; dua bangunan kosong yang dikosongkan daripada pesakit-pesakit lain, jendelanya dikunci rapat, dan kawasan sekeliling dijaga oleh pengawal hospital. Hanya satu jalan keluar daripada tempat itu yang sudah pasti tidak dapat dihentikan hatta oleh pihak berkuasa; mati.

Namun, kenyataan pihak berkuasa pada malam itu masih lagi bernada optimis. Keesokannya, Jaringan Informasi Randsoc melaporkan yang arahan pekeliling daripada Prefek disambut baik oleh masyarakat dan setakat ini sudah lebih 30 kes dilaporkan. Castel menghubungi Rieux.

“Berapa buah katil yang ada di wad khas?”

“Lapan puluh.”

“Pasti sudah ada lebih daripada tiga puluh kes di bandar bukan?”

“Ada dua jenis keadaan di sini: ada yang ketakutan, dan ada yang tidak sempat untuk takut pun, terus mati.”

“Adakah mereka sudah memeriksa kawasan perkuburan?”

“Tidak. Saya sudah beritahu Richard yang tindakan lebih drastik harus diambil. Bukan dengan bercakap saja. Kita perlu bina satu pendinding untuk menghalang penyakit itu merebak, atau kita boleh tunggu saja tanpa berbuat apa-apa – hingga giliran kita pula datang.”

“Oh ya? Habis itu apa katanya?”

“Jawabnya, dia tiada kuasa. Saya rasa, keadaan akan bertambah buruk.”

Kebimbangan Rieux ternyata benar. Dalam masa tiga hari saja, kedua-dua wad khas itu sudah penuh. Menurut Richard, sudah ada usaha untuk menggunakan sebuah sekolah sebagai hospital bantuan. Sementara itu, Rieux terus merawat bengkak-bengkak itu sambil menunggu serum anti-wabak itu. Castel kembali mencari buku lamanya dan menghabiskan masa berjam-jam di perpustakaan.

“Tikus-tikus itu mati disebabkan wabak,” dia menyimpulkan, “atau yang seumpama dahsyat dengannya. Dan kematian mereka telah menyebarkan puluhan ribu kuman, dan akan terus menular jika tidak dicegah tepat pada waktunya.” Rieux hanya mendiamkan diri.

Ketika ini cuaca agak baik. Matahari sedang mengeringkan lopak air terakhir daripada hujan yang baru saja reda. Langit biru kelihatan indah bersinar keemasan pada setiap pagi. Kadangkadang diikuti bunyi dengungan pesawat di udara yang hangat. Semuanya kelihatan baik-baik saja. Walaupun begitu, dalam masa empat hari saja kes demam itu sudah bertambah empat kali: 16 kematian, disusuli 24, 28, dan 32. Dan pada hari keempat, diumumkan pembukaan sebuah hospital bantuan – asalnya sebuah sekolah rendah. Penduduk bandar, yang dulunya menyembunyikan kebimbangan mereka dengan berseloroh, kini nampak terpana dan terkunci mulut mereka.

Rieux memutuskan untuk menghubungi Prefek.

“Langkah pencegahan itu tidak mencukupi.”

“Ya,” sahut Prefek. “Saya sudah melihat angka terbaru. memang membimbangkan.”

“Lebih daripada membimbangkan. Ini sudah cukup meyakinkan ianya sebuah wabak.”

“Saya akan meminta arahan daripada kerajaan pusat.”

Apabila Rieux bertemu dengan Castel selepas itu, kata-kata Prefek masih terngiang-ngiang di telinganya.

“Arahan daripada pusat!” katanya memerli. “Apa yang diperlukan sekarang adalah langkah drastik untuk menangani hal ini.”

“Apa-apa berita berkenaan serum itu?”

“Akan sampai minggu ini.”

Melalui Richard, Prefek menyuruh Rieux menyiapkan sebuah laporan untuk dihantar kepada kerajaan pusat. Rieux memasukkan beberapa diagnosis dan statistik tentang penyakit itu. Pada hari itu juga, empat puluh orang lagi dilaporkan mati. Atas tanggungjawab sebagai Prefek, arahan pekeliling itu akan diperketatkan lagi. Wajib untuk melaporkan sebarang kes demam dan kuarantin juga diwajibkan. Rumah-rumah pesakit akan ditutup dan akan disembur; ahli keluarga mereka juga akan dikuarantinkan bersama; kawasan perkuburan akan diawasi oleh majlis perbandaran.

Sehari kemudian, serum sampai dengan pesawat. Serum itu hanya cukup untuk kegunaan segera, tetapi tidak jika wabak merebak. Dalam telegram yang dibalas kepada Rieux, dia dimaklumkan yang stok simpanan juga sudah habis. Manakala bekalan baru masih dalam proses persediaan.

Sementara itu, musim bunga mula menjengah tiba di bandar. Beribu-ribu bunga mawar memenuhi pasu-pasu bunga di pasar dan di sepanjang jalan. Bau harumnya menerawang ke seluruh bandar.

Bagaimanapun, tidak banyak yang berubah. Trem-trem masih selalu padat pada waktu puncak, kosong dan kotor pada waktu yang lain. Tarrou masih memerhatikan orang tua itu meludah kepada kucingkucing di bawah rumah. Grand akan tergesa-gesa pulang ke rumah untuk menyambung pekerjaan misterinya. Cottard masih berjalanjalan ke hulu ke hilir tidak keruan. Othon masih meneruskan tugasnya seperti biasa. Lelaki tua warga Sepanyol itu masih menghitung kacang hijau dari balang ke balang. Kadang-kadang kelibat Rambert si wartawan itu masih kelihatan ke sana ke mari mengejar cerita. Pada waktu malam, orang masih memenuhi jalanjalan dan beratur memanjang untuk melihat wayang. Tambahan pula, wabak itu kelihatan sudah reda. Sudah beberapa hari, hanya sepuluh kematian dicatatkan.

Kemudian, secara tiba-tiba, angka kematian naik mendadak. Pada hari angka kematian mencecah 30 orang, Prefek menyerahkan sebuah telegram kepada Rieux sambil berkata,

“Mereka sudah ketakutan.”

Rieux membaca telegram itu. Kandungannya: Pengisytiharan perintah darurat. Bandar diarahkan tutup!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience