Tetapi di waktu wabak sudah nampak menjauh ingin pulang ke sarangnya yang tidak diketahui, setidak-tidaknya ada seseorang di Oran yang menyesali pemergiannya. Jika kita ingin mempercayai catatan Tarrou, orang itu ialah Cottard.
Sebenarnya, buku catatan itu menjadi agak aneh di saat statistik mula menurun. Tidak diketahui apakah disebabkan Tarrou sudah letih maka tulisan tangannya sangat sukar dibaca dan seringkali catatannya melompat dari topik ke topik yang lain. Tambahan pula, catatan-catatan yang akhir ini sudah tidak objektif, melainkan hanya mengandungi pandangan peribadi. Contohnya, di tengahtengah penceritaan panjang tentang Cottard, diselitkan sedikit cerita tentang lelaki tua yang suka mengganggu kucing. Menurut catatan itu, wabak yang melanda tidak pernah mengurangkan sedikit pun perhatiannya kepada lelaki tua itu, hatta selepas wabak berlalu, minatnya terhadap lelaki tua itu masih ada. Tapi sayangnya, niat baik Tarrou untuk memberi perhatian kepada lelaki tua itu tidak kesampaian. Sia-sia saja dia cuba melihat kembali lelaki tua itu mengganggu kucing-kucing dari balkoninya. Beberapa hari selepas malam pesta 25 Januari, Tarrou berdiri di sudut jalan yang kecil di mana dia dapat melihat balkoni lelaki tua itu dengan jelas. Kucing-kucing itu kembali ke tempat biasa mereka, memanaskan diri dengan limpahan cahaya matahari. Pada hari-hari berikutnya, tidak juga dilihat jendela itu terbuka. Lalu dia menyimpulkan yang lelaki tua itu sakit hati atau sudah mati. Jika betul dia sakit hati, bermakna benarlah wabak telah berbuat salah kepadanya. Tapi jika dia sudah mati, persoalannya (sama juga dengan lelaki tua penderita asma) adakah dia seorang wali keramat semasa hidupnya? Tarrou merasakan lelaki tua yang suka mengganggu kucing itu bukan wali keramat. Tapi dalam kes lelaki tua itu, ada “tanda-tanda” seorang wali keramat. Catatan Tarrou menambah,
“Mungkin kita hanya boleh sampai ke tahap ‘hampir’ menjadi wali keramat. Untuk itu, kita harus berbuat sedikit kejahatan kecil.”
Masih bercampur-aduk dengan pemerhatian terhadap Cottard, ditemukan pula sejumlah catatan yang seringkali berselang-seli. Contohnya tentang Grand yang sekarang berada dalam situasi yang lebih baik dan sudah kembali bekerja, macam tidak ada apa-apa yang berlaku pun. Lain-lainnya menceritakan tentang ibu Rieux. Oleh kerana dia tinggal bersama Rieux dan ibunya, telah dicatatkan beberapa perbualan di antara wanita itu dengan Tarrou, sikap wanita itu, senyumannya, dan pendapat-pendapatnya tentang wabak. Semua ditulis dengan sangat teliti. Lebih-lebih lagi Tarrou menekankan sikap “di belakang tabir” wanita tersebut. Tentang bagaimana caranya menjelaskan sesuatu dengan perkataan yang cukup mudah. Tentang kegemarannya memilih jendela yang menghadap ke jalan yang tenang, dengan tangan tidak bergerak, dan memandang dengan penuh perhatian ke arah luar sehingga senja menyelubungi langit. Lalu wanita tua itu menjadi bayangan hitam dalam sinar kelabu yang beransur-ansur berubah menjadi warna yang lebih gelap, lantas menelan bayangan yang tidak bergerak di depan jendela itu. Catatan Tarou juga menyebut tentang bagaimana ringannya ibu Rieux bergerak dari satu ruangan ke ruangan yang lain. Tentang kebaikan hati (meskipun Tarrou tidak pernah melihat bukti-buktinya dengan pasti dan jelas) yang nampak pada sinar matanya ketika wanita itu menguruskan rumah dan bercakap. Dan akhir sekali tentang kenyataan, menurut Tarrou, ibu Rieux tahu segalanya tanpa berfikir. Dan dalam diam-diam dengan gerakan seperti bayang-bayang itu, dia tidak berkedip sedikit pun walau bagaimana cahaya yang menyuluh. Di sini tulisan Tarrou kurang jelas, menunjukkan tanda keletihan yang aneh. Baris-baris seterusnya sukar dibaca. Seolah-olah membuktikan keletihan itu masih wujud. Catatan berikut merupakan pandangan peribadinya yang pertama.
“Dengan mengenali ibu Rieux, lantas membuatkan aku teringat kepada ibuku. Aku juga menyukai sikap ‘di sebalik tabir’nya, dan kalau aku ingin pulang, kepada dialah aku ingin kembali. 8 tahun yang lalu, aku tak dapat katakan yang dia sudah meninggal. Cuma dia agak menyisihkan diri dengan sikap ‘di sebalik tabir’nya yang lebih daripada biasa. Dan bila aku balik dia sudah tiada di situ.”
Tapi kita harus kembali kepada Cottard. Sejak statistik mencatatkan penurunan, beberapa kali Cottard mengunjungi Rieux atas pelbagai alasan. Sebenarnya, dia hanya nak tahu pendapat Rieux tentang masa depan wabak.
“Memang kamu fikir dia akan berhenti macam itu je? Secara tibatiba?”
Cottard tidak percaya itu akan terjadi. Setidak-tidaknya itulah yang dikatakannya. Tapi pertanyaan-pertanyaan sama yang dia ulang menunjukkan dia tidak yakin. Pada pertengahan Januari, jawapan Rieux cukup optimis. Setiap kali itulah, jawapan-jawapan Rieux tidak menyenangkan hati Cottard. Malahan menimbulkan reaksi yang berbeza pada setiap kali kunjungan. Dari tidak senang hati, tiba-tiba menjadi murung. Suatu hari Rieux tergerak untuk memberitahunya walaupun statistik menunjukkan perkembangan positif, tetap tidak boleh dikatakan wabak betul-betul sudah berakhir.
“Dalam kata lain,” kata Cottard, “kita tak tahu apa-apa kan. Boleh jadi ia datang lagi bila-bila masa kan?”
“Ya, sama kemungkinan dengan kes penyembuhan akan jadi lebih cepat.”
Keadaan yang tidak dapat dipastikan ini jelas melegakan hati Cottard. Di depan mata Tarrou, dia berbincang-bincang dengan para peniaga di kawasan tempat tinggalnya sambil menyebarkan pendapat Rieux. Memang betul, dia tidak perlu berusaha keras untuk meyakinkan mereka. Selepas letusan kegembiraan hasil pengumuman Prefek, ramai orang kembali bimbang. Keadaan itu meyakinkan Cottard kembali akan nasibnya. Seperti pada masa yang lalu ketika dia sudah mengalah dan berputus asa. Dia pernah berkata kepada Tarrou,
“Ya, tak lama lagi pintu-pintu bandar akan dibuka. Dan mereka tak akan hiraukan nasib saya lagi!”
Kawan-kawannya memerhatikan perubahan sikapnya sepanjang tiga minggu pertama bulan Januari. Berhari-hari, setelah begitu lama dia berusaha untuk berbaik dengan masyarakat di kawasan tempat tinggalnya, dia berpaling daripada semua itu. Dengan tidak semena-mena dia kembali menyendiri. Tidak lagi kelihatan di restoran, di teater, ataupun di kafe-kafe kegemarannya. Walau bagaimanapun, dia tidaklah nampak seperti ingin kembali kepada kehidupannya yang terkurung dan menjemukan sebelum masa wabak. Tapi dia mengurung diri di apartmennya, dan memesan makanan dari restoran berdekatan supaya dihantar kepadanya. Dia keluar hanya pada malam hari, itu pun dengan sembunyisembunyi untuk membeli barangan keperluannya. Keluar daripada kedai, dia akan berjalan keseorangan di jalan yang sepi. Jika Tarrou terserempak dengannya, Cottard hanya melayan dengan perbualan yang ringkas saja. Tetapi pada hari yang lain, dia berubah menjadi ramah, bercakap panjang lebar tentang wabak, bertanyakan pendapat orang lain, menyelinap di antara pejalan kaki yang lain dengan wajah yang gembira.
Pada 25 Januari, hari pengumuman oleh Prefek, Cottard kembali menghilangkan diri. Dua hari kemudian, Tarrou bertembung dengannya di jalan. Cottard meminta ditemani sampai ke rumahnya. Tarrou agak keberatan, kerana dia sangat letih setelah bekerja seharian. Tetapi Cottard mendesak. Dia kelihatan gugup, dengan serabutnya dia menggerak-gerakkan tangan dan kepala sambil bercakap dengan suara yang kuat. Dia bertanya adakah Tarrou menganggap pengumuman itu bermakna wabak sudah berakhir. Kata Tarrou, sudah tentulah pengumuman rasmi tidak akan dapat menghentikan wabak, tapi memang kelihatan seperti itu. Kecuali kalau ada kejutan lain.
“Ya,” kata Cottard, “kecuali kalau ada kejutan. Dan kejutan akan berlaku kan?”
Tarrou mengingatkan, Prefek telah bersiap sedia dengan kemungkinan itu dan menolak untuk membuka pintu bandar selama dua minggu lagi.
“Itu keputusan yang bijak,” kata Cottard dengan gembira. Melihatkan keadaan sekarang pun, boleh jadi pengumuman Prefek itu tak ada gunanya.”
Tarrou menyetujui dan berkata itu memang mungkin. Pun begitu, dia fikir ada baiknya untuk mula mengira detik pintu bandar dibuka semula, dan kehidupan akan kembali seperti sediakala.”
“Baiklah! Baiklah!” sahut Cottard, “tapi apa yang kamu maksudkan dengan seperti sediakala itu?”
Sambil tersenyum Tarrou menjawab.
“Adanya filem-filem baru!”
Tapi Cottard tidak tersenyum. Dia ingin mengetahui sama ada wabak itu tidak akan mengubah sesuatu pun, dan adakah keadaan akan kembali seperti dulu di Oran, seolah-olah tidak pernah terjadi sesuatu bencana pun? Pada Tarrou, wabak itu boleh jadi mengubah dan tidak mengubah kehidupan di bandar. Sudah tentu keinginan penduduk yang paling sekarang dan di masa akan datang ialah bersikap seolah-olah tiada apa pun yang berubah. Tapi jika dilihat dari sudut lain, kita tak boleh melupakan kesemuanya. Walaupun ada keinginan yang kuat untuk itu, wabak memang akan meninggalkan bekas. Setidak-tidaknya bekas itu terpacak dalam hati penduduk Oran.
Cottard berkata dia tidak tertarik kepada hati dan persoalan hati itu adalah perkara yang paling akhir difikirkannya. Paling menarik perhatiannya adalah, adakah seluruh pentadbiran pemerintahan bandar tidak berubah. Contohnya, adakah semua perkhidmatan awam akan kembali bekerja seperti waktu-waktu sebelum masa wabak. Tarrou mengakui yang dia tidak tahu-menahu dalam hal itu. Menurutnya, boleh dikatakan semua bahagian pemerintahan yang telah terganggu selama masa wabak akan menemui kesukaran untuk kembali berfungsi serta-merta. Juga boleh dikatakan, banyak masalah baru akan timbul dan memerlukan sekurang-kurangnya penyusunan semula sistem pentadbiran.
“Ya,” kata Cottard, “boleh jadi. Semua harus bermula dari kosong.”
Akhirnya mereka berdua menghampiri tempat tinggal Cottard. Kini dia kelihatan lebih bersemangat, memaksa diri memandang masa depan dengan kegembiraan. Dia membayangkan bandar akan kembali hidup seperti sediakala, memadam masa lalu untuk membuka lembaran baru.
“Ya, macam tu lah,” Cottard tersenyum. “Siapa tahu segalanya akan bertambah baik buat kamu. Senang cerita, kehidupan baru untuk kita semua.”
Mereka berjabat tangan di muka pintu.
“Betul tu,” kata Cottard, jelas dia semakin gembira. “Buka lembaran baru. Satu idea yang baik!”
Tiba-tiba, dua orang lelaki keluar mendadak dari tempat yang gelap. Tarrou hampir tidak mendengar Cottard bertanya apa yang dikehendaki dua orang itu. Mereka kelihatan seperti pegawai kerajaan dengan uniform lengkap. Kedua-duanya bertanya adakah dia yang bernama Cottard. Cottard tercekik, memusingkan badan, kemudian dengan pantas melarikan diri. Dek kerana terkejut, Tarrou dan dua orang lelaki itu tercengang dan saling memandang satu sama lain. Kemudian Tarrou bertanya apa yang dimahukan oleh mereka. Dengan nada yang dingin tapi sopan, mereka menjawab menginginkan “sedikit maklumat”. Kemudian bergegas pergi ke arah Cottard menghilang.
Sekembalinya ke rumah, Tarrou menuliskan kejadian itu, disusuli tulisan “sangat keletihan malam ini.” Tulisan tangannya membuktikan sedemikian. Dia meneruskan, masih ada banyak lagi yang harus dikerjakan. Tapi tiada alasan untuk dia tidak bersiap siaga. Lalu dia bertanya sendirian adakah dia sudah siap. Katanya,
“Akan ada suatu masa di antara malam dan siang di mana keberanian seseorang berada di titik paling bawah, dan hanya pada masa itu saja dia akan ketakutan.”
Dengan ayat yang berupa catatan tambahan itu, Tarrou mengakhiri buku catatannya.
Share this novel