Sepanjang bulan September dan Oktober, wabak telah benar-benar mencengkam seluruh bandar. Tiada apa yang boleh dilakukan melainkan hanya menunggu saja. Itulah yang dilakukan oleh ratusan ribu orang, berminggu-minggu tanpa henti. Kabus, hawa panas, dan hujan datang bergiliran di bandar Oran. Kawanan burung jalak dan burung murai datang tanpa suara dari selatan, berterbangan tinggi di langit, lalu menghala ke luar bandar. Lebih kurang seperti yang dikatakan oleh Paneloux, tongkat dari langit yang berpusing-pusing sambil memekik di atas bumbung-bumbung rumah, membuat burung-burung itu menjauh. Di awal bulan Oktober, hujan lebat membersihkan jalan. Dan pada masa itu tiada perkara penting yang dapat dilakukan selain melepak di kaki lima dan menunggu saja.
Ketika itulah Rieux dan kawan-kawannya terasa begitu dihambat keletihan. Memang benar, perkumpulan sukarelawan sudah tidak larat lagi. Rieux menyedari perubahan yang berlaku ke atas dirinya dan kawan-kawannya, semakin hari mereka semakin acuh tak acuh dengan persekitaran mereka. Umpamanya, mereka yang selalu ambil tahu tentang perkembangan wabak, kini sudah tidak ambil peduli. Untuk sementara waktu, Rambert menguruskan salah satu tempat kuarantin. Oleh kerana tempat itu adalah tempat yang sama di mana dia tinggal, mudah untuk dia mengetahui jumlah orang yang ada di bawah pengawasannya. Dia mengetahui dengan terperinci tentang prosedur pengangkutan yang diaturnya untuk mereka jika ada yang menunjukkan tanda jangkitan wabak. Dia ingat dengan baik statistik orang yang disuntik kesan serum yang disuntikkan kepada orang-orang yang masuk ke tempat kuarantin. Tapi dia tidak dapat memastikan dengan tepat angka korban setiap minggu. Sama ada menaik atau menurun. Walaupun dia sibuk dengan pekerjaan itu, dia masih berharap untuk segera meninggalkan Oran.
Mereka yang lain, oleh kerana sibuk dengan tugasan siang dan malam, tidak sempat pun untuk membaca surat khabar atau mendengar radio. Jika mereka diberitahu tentang suatu cara penyembuhan, mereka akan berpura-pura tertarik. Padahal, mereka menerima berita itu dengan acuh tak acuh saja. Seperti seorang tentera di medan perang yang keletihan kerana terpaksa meneruskan tugas hariannya, tidak lagi mengharapkan perang akan berakhir atau bila berlakunya gencatan senjata.
Grand masih mencatat angka-angka berkaitan wabak, namun dia tidak akan mengatakan hasil keseluruhannya. Tidak seperti Tarrou, Rambert, dan Rieux yang nampak tahan lelah, Grand tidak pernah betul-betul sihat. Padahal kerjanya bertimbun-timbun: sebagai kerani di majlis perbandaran, setiausaha di tempat Rieux, dan hobinya sendiri pada waktu malam. Itulah sebabnya dia kelihatan lemah, hanya dikuatkan oleh impian-impiannya. Seperti, ingin bercuti selepas wabak berakhir. Dalam tempoh bercuti itu dia ingin meneruskan penulisannya dengan bersungguh-sungguh, untuk mendapatkan ucapan “hebat sekali, tuan-tuan!”. Kadang-kadang dia akan merasa agak sentimental. Lalu tanpa ragu-ragu dia akan berceritakan tentang Jeanne kepada Rieux, sambil tertanya-tanya di manakah bekas isterinya itu berada. Dan sekiranya wanita itu sedang membaca surat khabar, adakah dia juga teringat kepada Grand.
Pada suatu hari, Rieux merasa hairan kerana dia juga ingin bercakap tentang isterinya kepada Grand, suatu yang tak pernah dilakukannya dengan sesiapa pun. Telegram dari isterinya selalu terkandung katakata yang meyakinkannya. Ragu-ragu akan kebenaran kandungan itu, Rieux memutuskan untuk bertanya kepada doktor di mana isterinya dirawat. Sebagai jawapan, Rieux tahu yang keadaan isterinya semakin parah dan doktor tersebut berusaha untuk melambatkan keparahan tersebut. Rieux tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa pun. Satu-satunya penjelasan mengapa dia menceritakan perkara tersebut kepada Grand adalah kerana dia sudah terlalu letih. Setelah bercerita tentang Jeanne, kerani majlis perbandaran itu bertanya pula perihal isteri kawannya. Usai mendengar penjelasan Rieux, Grand berkata,
“Kamu mestilah tahu sekarang ini penyakit itu boleh sembuh.”
Rieux membenarkan kawannya itu. Lalu berkata dia mula merasakan yang perpisahan mereka sudah terlalu lama, dan mungkin dia dapat menolong menyembuhkan penyakit isterinya. Sekarang, mungkin isterinya kesepian di sana. Kemudian Rieux terdiam, dan hanya menjawab ringkas saja setiap pertanyaan Grand selepas itu.
Lain-lainnya juga sama. Tarrou bertahan lebih kuat. Walaupun buku catatannya masih menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi, aneka ragam tulisannya makin menurun. Sebenarnya, yang menarik perhatiannya dalam tempoh waktu itu hanyalah Cottard. Oleh kerana hotel telah menjadi tempat kuarantin, Tarrou tinggal di apartmen Rieux. Pada waktu malam, dia hampir tidak memberi perhatian kepada perbualan di antara Rieux dan Grand tentang statistik harian. Dan dia cuba menukar topik perbualan kepada perkara berkisar kehidupan seharian masyarakat di Oran, topik yang diminatinya.
Pada suatu hari, Castel datang ke tempat Rieux dan memberitahu serum bebas wabak sudah pun tersedia. Untuk percubaan pertama, mereka memutuskan untuk menyuntiknya kepada anak lelaki Othon yang baru dikejarkan ke hospital yang menurut Rieux, keadaannya agak membimbangkan. Rieux sedang membacakan statistik terkini wabak ketika dia melihat Castel yang sudah tua itu tertidur nyenyak di kerusi. Rieux tersedak oleh keharuan kerana wajah yang biasanya tersenyum lembut sehingga membuatkan Castel nampak muda, kini tanpa sebarang ekspresi apa pun. Ditambah dengan air liur di celah-celah bibir yang terbuka, semuanya menunjukkan tanda umur yang semakin lanjut.
Dek kerana tersedak itulah, Rieux menyedari dia pun sudah letih. Kepekaannya sudah berkurang. Sudah banyak kali, kepekaan itu seakan diikat dalam simpulan, keras dan kering. Kadang-kadang simpulan itu pecah, menghanyutkan Rieux ke dalam emosi yang tidak terkawal. Satu-satunya cara untuk bertahan adalah membebaskan diri daripada simpulan keras yang telah mengikat dirinya. Dia tahu itulah cara terbaik untuk meneruskan hidup dan terus bekerja. Dia tidak berfikir banyak tentang perkara-perkara lain. Walaupun keletihannya sudah menyerap sisa-sisa harapan yang masih tinggal. Dia tahu untuk tempoh yang tidak tahu hujung pangkalnya, merawat bukan lagi tugasnya. Peranannya sekarang adalah menganalisa, mengesan, melihat, menguraikan, mencatat, lalu memutuskan; itulah tugasnya. Isteri-isteri pesakit memegang erat lengannya sambil menjerit, “Doktor! Selamatkanlah dia!” Tapi dia berada di situ bukanlah untuk menyelamatkan pesakit. Dia ada di situ untuk memisahkan pesakit daripada ahli keluarga. Betapa kebencian yang dia lihat di wajah-wajah mereka pada waktu itu. “Kamu ni tiada hati perut!” kata seorang wanita kepadanya pada suatu hari. Wanita itu silap, dia ada hati perut. Perasaan itu digunakan untuk bertahan selama 24 jam sehari di saat dia melihat orang yang meninggal, yang sepatutnya kekal hidup. Perasaan itu berguna untuk dia memulakan hari seterusnya. Ya, perasaannya hanya cukup untuk itu saja. Harus bagaimana perasaan itu berguna untuk menyelamatkan nyawa pesakitnya?
Bukan. Bukannya pertolongan yang diberikan Rieux setiap hari, melainkan informasi. Tentu saja itu susah untuk dikatakan suatu pekerjaan. Walau bagaimanapun, di kalangan orang yang dilanda kebingungan dan kecemasan itu, siapa saja yang diberi kesempatan melakukan pekerjaan yang betul-betul manusiawi? Mujurlah Rieux merasakan keletihannya itu satu rahmat. Seandainya dia merasa lebih kuat, bau kematian yang tersebar di mana-mana pasti akan membuatkan dia sentimental. Dia melihat segalanya sebagaimana seadanya, iaitu menurut wajah keadilan yang buruk dan patut dibenci. Dan seluruh penduduk bandar yang yang dihukum bencana itu juga melihatnya begitu.
Sebelum wabak melanda, Rieux disanjung sebagai penyelamat. Waktu itu dia akan memulihkan keadaan dengan beberapa biji pil atau satu suntikan. Orang akan memaut lengannya menuju ke bilik pesakit. Itu perkara yang menyenangkan sekali walaupun berbahaya. Kini sebaliknya, dia datang bersama tentera. Pintu harus dipukul dengan senapang supaya dibuka oleh oleh keluarga pesakit. Mereka suka hendak mengheret Rieux, dan seluruh umat manusia ke liang lahad. Ya, memang betul, orang tidak dapat hidup bersama selamanya. Memang betul yang Rieux juga tidak berdaya, sama seperti mereka yang malang itu. Sejurus meninggalkan mereka, Rieux merasakan bahawa dia pun patut mendapatkan sedikit rasa kasihan.
Perkara itulah yang memberati fikiran Rieux selama bermingguminggu, yang rasa-rasanya tidak akan berakhir. Bersama dengan kegelisahan kerana terpisah dari isterinya. Dan perkara itulah yang tampak terbayang di wajah kawan-kawannya itu. Tetapi apa yang paling membahayakan dari keletihan yang perlahan-lahan menguasai diri mereka ini bukanlah ketidakpedulian terhadap kejadian di luar diri mereka ataupun perasaan orang lain. yang membahayakan sebenarnya adalah kelalaian yang mereka biarkan mempengaruhi diri mereka. Kerana pada waktu itu mereka mula cenderung untuk mengabaikan pergerakan yang bagi mereka tidak perlu, dan susah untuk dikerjakan. Contohnya, mereka semakin lalai tentang peraturan kebersihan yang dicipta oleh mereka sendiri. Mereka mengabaikan penyemburan bebas kuman yang sepatutnya dilakukan ke atas mereka juga. Kadang-kadang mereka mengunjungi pesakit wabak pneumonic tanpa mengambil langkah berjaga-jaga terhadap jangkitan. Ini kerana mereka hanya diberitahu pada saat-saat akhir untuk pergi ke rumah pesakit, justeru menganggap menyusahkan diri pula untuk singgah di pondok kesihatan untuk mendapat suntikan yang diperlukan. Di situlah letaknya bahaya yang sebenar, perjuangan mereka melawan wabak itu telah membuat mereka sendiri bermudah-mudah dengannya. Pendek kata, mereka mempertaruhkan nasib mereka. Sedangkan nasib bukan milik sesiapapun.
Pun begitu, ada seseorang di Oran yang tidak pernah kelihatan letih atau hilang semangat, lebih kepada suatu bayangan hidup yang berpuas hati. Orang itu ialah Cottard. Dia menjarakkan diri daripada bergaul dengan orang lain. Tetapi dia suka menemui Tarrou sekerap mungkin jika Tarrou mengizinkan. Pertama, kerana Tarrou mengetahui semua perkara; kedua, Tarrou selalu mengalu-alukan kedatangan Cottard. Satu hal yang mengagumkan pada Tarrou ialah walau bagaimana keras dia bekerja sepanjang hari, dia tetap ramah serta dapat menjadi seorang pendengar yang baik. Meskipun pada malam-malam tertentu sangat jelas dia ditimpa keletihan, keesokan harinya dia akan menemukan kembali kekuatan baru. Cottard pernah berkata kepada Rambert,
“Tarrou seorang yang boleh diajak bersembang. Dia selalu memahami, penuh dengan rasa kemanusiaan.”
Mungkin ini boleh menjelaskan mengapa catatan Tarrou pada waktu itu beransur-ansur terarah kepada Cottard. Tarrou cuba menggambarkan reaksi dan refleksi tentang Cottard, baik seperti yang diceritakan oleh Cottard sendiri ataupun melalui pemerhatian Tarrou sendiri. Di bawah tajuk “Cottard dan Hubungannya dengan Wabak”, kami menemukan sejumlah helaian kertas tentang catatan itu. Di sini, penulis rasa berbaloi untuk memberi sedikit ringkasan daripada catatannya.
Antara salah satu pendahuluan yang Tarrou simpulkan mengenai Cottard ialah: “Dia seorang yang pintar. Penuh dengan hilai tawa dan seorang yang ramah.” Ini kerana Cottard tidak kelihatan sedih dengan perkembangan situasi. Di depan Tarrou, dia selalu saja meluahkan isi hatinya: “Keadaan semakin buruk setiap hari kan? Tapi sekurang-kurangnya semua orang senasib.”
Lalu Tarrou melanjutkan lagi,
“Seperti mereka yang lain, dia juga terancam oleh wabak. Itulah poin utama; dia berada di dalamnya bersama dengan yang lain. Lagi pun, aku yakin yang dia percaya bahawa dirinya tidak akan terkena wabak. Dia berfikiran, seseorang yang ditimpa penyakit yang serius atau terbeban dengan satu kesedihan yang berat, pasti akan terlepas dari segala penyakit atau jenis kesedihan yang lain. Dia berkata kepadaku, ‘Kamu perasan tak, seseorang jarang menderita dua jenis penyakit sekaligus. Katakanlah kamu ditimpa sejenis penyakit yang kronik dan mustahil disembuhkan seperti kanser atau TB, tidak mungkin kamu akan ditimpa wabak ataupun demam panas. Kalau dilihat lebih jauh, pernah tak kamu seorang pesakit kanser yang terlibat dalam kemalangan kereta?’
Sama ada benar atau tidak, itulah yang membuatkan Cottard selalu gembira. Perkara yang paling tidak disukainya adalah terpisah dengan orang lain. Dia lebih suka berada di tengah keramaian orang berbanding hidup terkurung seorang diri. Wabak benarbenar telah menghentikan segala urusan pihak polis seperti siasatan, pengintipan dan pengeluaran waran tangkap. Sudah tidak ada polis lagi di Oran. Tiada jenayah yang lama mahupun yang baru. Tiada lagi pesalah. Melainkan orang-orang yang menunggu pengampunan, dan di antara mereka adalah polis itu sendiri.
Tarrou meneruskan ulasannya tentang Cottard,
“Justeru itu, Cottard mempunyai alasan tersendiri untuk melihat segala gangguan fikiran dan kesedihan yang berlaku di sekelilingnya dengan rasa mengerti dan penuh kepuasan hati. Ini dapat dilihat dari kata-katanya: ‘Teruskan bercakap, kawan. Saya sudah dapat merasainya dulu.’
Tarrou menulis lagi,
“Ketika aku mencadangkan kepadanya bahawa cara yang paling diyakini supaya tidak terpisah daripada orang lain adalah dengan mempunyai perasaan yang bebas dari rasa bersalah, dia memandang mukaku dengan pandangan yang tidak bersetuju, ‘Kalau macam itu, tak akan ada orang bersama dengan orang-orang lain!’ Selepas itu dia berkata lagi, ‘Suka hati kamulah Tarrou, tapi dengar ni baik-baik, satu-satunya cara untuk membuat orang bersatu adalah dengan menimpakan wabak kepada mereka. Lihat sajalah di sekeliling kamu.’
“Sudah tentulah aku faham maksudnya. Memang kehidupan pada waktu itu nampak menyenangkan sekali kepada dirinya. Bagaimana mungkin dia gagal memerhatikan, walau sepintas lalu, reaksi-reaksi yang pernah dia alami; usaha setiap penduduk untuk mendapatkan kawan di pihak mereka; kesediaan yang ditunjukkan oleh seseorang untuk menolong mereka yang tersesat jalan; bagaimana penduduk masuk ke restoran mewah dan bergembira menyebabkan mereka keberatan untuk meninggalkan tempat itu; orang yang berkerumun beratur setiap hari di panggung wayang, dan tempat hiburan yang lainnya bagaikan air yang terpasang melimpah ruah; sikap menghindari sentuhan fizikal dengan orang lain walaupun pada masa yang sama mereka ingin menjalin hubungan dengan manusia lain, lantas mendorong seseorang untuk melakukan hubungan asmara dengan yang lain. Tentu saja Cottard sudah pernah mengalami semua itu sebelum daripada penduduk bandar lagi. Kecuali dengan perempuan, kerana wajah sepertinya. Aku merasakan, di saat dia merasa ingin pergi ke rumah pelacuran, dia menahan dirinya. Mungkin itu akan mencemarkan namanya dan boleh digunakan untuk melawan dirinya suatu hari nanti.
“Ringkasnya, wabak ini adalah sesuatu yang baik buat Cottard. Bagi seseorang yang tidak suka menyendiri, wabak telah membuatkan dia bersekutu dengan sifat menyendiri itu. Bahkan sekutu yang sangat menyenangkan. Dengan cara itu dia memerhatikan beragam jenis orang: percaya kepada khurafat, kepanikan tidak menentu, sifat peka orang yang selalu berwaspada, mereka yang bercakap sedikit saja tentang wabak namun terus-terusan bercakap tentangnya, wajah yang ketakutan dek kerana pening kepala kerana itulah tanda awal terkena wabak, dan akhir sekali, kepekaan mereka terhadap perkara yang tidak penting yang membuatkan air mata mereka menitis hanya kerana kehilangan sebiji butang seluar.”
Tarrou sering kali keluar bersama Cottard pada waktu malam. Di dalam catatannya dia menceritakan bagaimana mereka bergabung dengan keramaian orang yang memenuhi jalan di saat kegelapan senja atau malam; bagaimana mereka bergaul dan tenggelam dikerumuni manusia yang berwarna putih dan hitam, di sana sini diterangi sinar lampu jalan. Dan bagaimana mereka dibawa arus sekumpulan manusia ke pusat hiburan, tempat manusia menghangatkan diri daripada nafas wabak yang mendinginkan. Kehidupan yang mewah dan boros yang dicari oleh Cottard beberapa bulan sebelumnya yang tidak dapat memuaskan dirinya, kini menjadi perkara yang didambakan seisi bandar. Di saat harga barangan meningkat naik, namun belum pernah wang diboroskan sebanyak itu. Dan di waktu kebanyakan orang kekurangan bahan keperluan asasi, belum pernah benda-benda membazir dibeli sebanyak ketika tempoh wabak. Kemaksiatan berlipat kali ganda, tidak lain tidak bukan berpunca daripada masalah pengangguran. Kadang-kadang, selama beberapa minit Tarrou dan Cottard mengekori salah satu pasangan kekasih yang sebelum wabak melanda berusaha menyembunyikan cinta mereka, sekarang mereka berjalan berduaan tanpa mempedulikan sekeliling, kerana terlalu asyik berpacaran. Cottard memandang mereka dengan penuh rasa terharu dan berkata,
“Macam itu lah, kawan!”
Hatta suaranya sudah semakin nyaring, memecah kegembiraan suasana, di tengah-tengah bunyi dentingan tip yang diberikan kepada pelayan di meja kafe dan hubungan cinta yang berlangsung di depan mata mereka.
Walau bagaimanapun, Tarrou perasan ada sedikit perasaan cemburu dalam diri Cottard. Melalui tuturnya: “Saya sudah mengenal semua itu sebelum mereka”, kedengaran ianya lebih bernada kesedihan berbanding kejayaan.
Tulis Tarrou lagi di dalam catatannya,
“Aku merasakan yang Cottard mula menyukai orang-orang terkurung di bawah kaki langit dan di antara dinding-dinding bandar. Contohnya, dia boleh saja jelaskan kepada mereka yang situasi sebenar tidaklah segawat itu. Katannya kepadaku, ‘ “Kamu dengar tak mereka berkata yang ‘selepas wabak berhenti nanti saya nak buat sekian sekian’. Sepatutnya mereka bertenang saja. Mereka tak sedar mereka sebenarnya bernasib baik. Contohlah, dalam kes saya, takkanlah saya nak cakap ‘Setelah ditahan polis nanti saya nak buat sekian sekian?’ Penahanan ini hanya permulaan, bukan pengakhiran. Sedangkan wabak pula… Kamu tahu tak apa saya fikir? Mereka bersedih kerana mereka masih tak dapat terima kenyataan. Saya tahu benar apa yang saya cakap ni!”’
“Memang dia tahu apa yang dia cakapkan,” sambung Tarrou di dalam bukunya. “Dia kenal dengan baik sifat pertentangan penduduk Oran. Walaupun mereka ada naluri untuk menjalinkan hubungan sesama penduduk, perasaan saling tidak mempercayai itu pula yang menjauhkan mereka. Umum diketahui tiada seorang pun yang mempercayai jiran tetangganya. Mereka mungkin akan menjangkiti kalian tanpa disedari, dan mengambil kesempatan di atas kecuaian kalian untuk menyebarkannya. Orang seperti Cottard dapat memahami reaksi sebegitu, kerana dia sering kali menemukan mereka yang bersifat seperti pengintip, hatta di kalangan orang yang dekat dengannya. Dia menaruh rasa simpati kepada mereka yang berfikir boleh datang menyerang mereka secara mengejut, di saat mereka bergembira kerana masih lagi terselamat. Ataupun barangkali memang wabak sudah bersiap sedia untuk menjemputnya! Setakat ini keadaan masih memungkinkan untuk Cottard tidak berasa terancam. Tapi, disebabkan dia telah terlebih dahulu mengalami semua perasaan dan reaksi itu berbanding penduduk Oran, aku rasa dia tidak dapat berkongsi dengan mereka betapa kejamnya ketidakpastian.
“Senang cerita, seperti kami semua yang masih belum mati kerana wabak, Cottard sedar kebebasannya dan kehidupannya boleh dirampas bila-bila masa saja. Tapi dek kerana dia sendiri pernah tahu bagaimana rasanya hidup dalam ketakutan, dia berpendapat orang lain pun sudah pasti mengalami perasaan yang sama. Lebih tepat lagi, ketakutan dalam keadaan waktu itu terasa kurang berat berbanding ditanggung sendirian. Dia salah dalam hal ini, dan ini membuatkan dia sukar difahami berbanding orang lain. Sebab itulah, sangat berbaloi untuk berusaha mengenali dirinya.”
Catatan Tarrou berakhir dengan cerita yang menggambarkan keanehan keadaan mental yang bukan saja dialami oleh Cottard, bahkan tawanan wabak yang lain juga. Cerita itu lebih menggambarkan suasana sukar pada masa itu, dan sebab itulah penulis menganggap ianya sangat penting.
Pada suatu malam, Cottard mengajak Tarrou ke opera melihat pementasan Orphee dan Eurydice (drama Romeo dan Juliette versi yunani). Rombongan pementasan itu datang untuk membuat persembahan di Oran sebelumnya bermulanya musim bunga lagi, sebelum wabak menyerang. Oleh kerana terpenjara oleh penyakit ini, mereka terpaksa membuat persembahan seminggu sekali, sebagaimana perjanjian dengan pengarah dewan opera. Sebab itu, sejak beberapa bulan yang lalu, pada setiap hari Jumaat akan terdengar rintihan Orphee dan panggilan Eurydice yang tidak berdaya. Pertunjukan itu tetap ditonton tanpa henti dan menghasilkan banyak keuntungan. Cottard dan Tarrou duduk di kerusi paling mahal. Dari sana mereka dapat melihat ke tempat penonton di bawah yang penuh sesak dengan penduduk Oran. Menarik untuk melihat betapa sopannya mereka masuk ke dalam dewan. Sementara pemain muzik memainkan muzik mereka dengan alunan yang mendayu-dayu sambil disinari cahaya lampu tirai pentas yang terang-benderang, nampak jelas bayangan yang bergerak dari satu kerusi ke kerusi yang lain sambil mengangguk sopan. Dalam suara bisikan percakapan yang santun, penonton menemukan kembali kepercayaan diri yang telah hilang beberapa saat sebelumnya di jalanan yang gelap. Pakaian yang indah-indah ternyata berkesan untuk mengusir wabak.
Sepanjang babak pertama, terdengar lancar keluhan Orphee menyesali kehilangan Eurydice. Beberapa wanita berjubah tunik labuh menyanyikan lagu kesedihannya dengan penuh irama, dan lagu cinta dinyanyikan dalam rangkap lain yang silih berganti. Penonton memperlihatkan penghargaan mereka dengan memberi tepukan yang sopan. Pada babak kedua, hanya beberapa orang penonton yang perasan, yang Orphee memasukkan getaran-getaran suara emosi yang agak keterlaluan ketika memujuk penjaga pintu neraka supaya tersentuh dengan tangisannya. Beberapa pergerakan terhenti tanpa disedari, tapi pada pandangan mata penonton ianya sebagai kesan dramatik yang menambahkan penghayatan si penyanyi.
Hanya ketika duet antara Orphee dan Eurydice pada babak ketiga, tiba-tiba Eurydice terlepas daripada genggaman tangan kekasihnya, dan menimbulkan kehairanan penonton. Dan seolah-olah pemegang watak Orphee itu memang menunggu reaksi penonton itu, atau disebabkan suara orkestra yang mula sayup membenarkan apa yang dia rasa, lantas dia memilih untuk maju ke tengah pentas. Dalam kostum antiknya itu, dia terjatuh terkangkang di tengah kandang biri-biri, tempat yang tidak sesuai sebenarnya. Ketika itulah baru penonton sedar buat pertama kalinya. Serentak dengan itu muzik berhenti. Penonton di tempat duduk biasa mula bangkit, lalu keluar perlahan-lahan. Tanpa suara. Bagaikan baru selesai menghadiri acara ibadat di gereja, atau dari kunjungan melawat si mati. Para wanita berjalan sambil menundukkan kepala. Para lelaki pula memegang lengan pasangan masing-masing buat menghindari daripada terlanggar kerusi-kerusi tambahan. Beransur-ansur gerakan mereka bertambah cepat. Bisikan semakin kuat. Kemudian mereka berduyun-duyun ke pintu dengan langkah tergesa-gesa, hingga berakhir dengan tangisan yang penuh kekecewaan.
Cottard dan Tarrou bangkit dari kerusi mereka, berdua saja melihat gambaran hidup mereka pada masa itu: wabak di atas pentas dalam bentuk pelakon opera yang terkangkang. Sedangkan di ruangan penonton, segala kemewahan sudah tidak berguna: kipas ditinggalkan dan selendang yang berada di atas kerusi yang berwarna merah.
Share this novel