Pagi 16 April - ketika Dr. Bernard Rieux (akan dipanggil dengan Rieux saja selepas ini) hendak keluar dari kliniknya, dia terpijak bangkai seekor tikus di depan tangga. Secara spontan, dia menyepak tikus itu ke satu sudut dinding dan terus menuruni tangga ke bawah. Apabila sudah keluar daripada klinik, dia terfikir yang tikus itu tidak sepatutnya berada di situ dan berpatah balik untuk berjumpa dengan penjaga bangunan, meminta supaya tikus itu dibuang.
Secara peribadi, penemuan bangkai tikus itu dirasakannya memang pelik, tetapi itu saja, tidak lebih daripada itu. Sebaliknya pula bagi penjaga bangunan itu, Michael, perkara ini menimbulkan kemarahannya. Dengan tegas dia memberitahu bahawa tiada tikus di bangunannya itu. Namun Rieux dengan yakinnya memberitahu ada seekor tikus yang mungkin sudah mati di tingkat dua. Michael tetap tidak berganjak dengan kata-katanya dan menurutnya, yang dilihat oleh Rieux itu pasti yang dibawa daripada luar. Mungkin juga ada kanak-kanak yang ingin bermain-main.
Malam itu, ketika Rieux berdiri di depan kediamannya sambil tangannya meraba-raba mencari kunci di dalam saku, dia ternampak seekor tikus besar muncul dari hujung jalan yang gelap dengan bulunya yang basah dan menuju ke arahnya dalam keadaan teragakagak. Tikus itu berhenti seperti mencari keseimbangan, lalu mara lagi ke arah Rieux dan berhenti lagi, kemudiannya berputarputar diiringi jeritan yang kuat. Darah tersembur keluar daripada mulutnya yang separuh terbuka itu. Selepas memandang ke arah tikus itu seketika, Rieux terus naik ke kediamannya.
Dia tidak memikirkan tentang tikus itu pun. Tetapi sekilas semburan darah itu mengingatkan dia kembali tentang kerisauannya sepanjang hari di tempat kerja. Isterinya yang terlantar sakit sejak setahun yang lalu akan berangkat ke tempat rawatan di pedalaman pada keesokan hari. Dia melihat isterinya sedang baring di dalam bilik seperti yang dinasihatinya, supaya tidak terlalu letih dalam perjalanan nanti.
“Awak tahu tak? Saya rasa lebih sihat sekarang!” kata isterinya sambil tersenyum.
Rieux memandang ke arah wajah itu yang disinari cahaya lampu tidur. Isterinya sakit dan itu jelas kelihatan pada wajah. Pun begitu, isterinya tetap kelihatan muda. Mungkin kerana senyumannya yang manis, terpadam segala kedukaan lain.
“Cubalah tidur,” katanya. “Jururawat akan datang pada pukul sebelas pagi esok. Kalian berdua harus naik kereta api pada waktu tengah hari.”
Dia mencium dahi isterinya yang agak lembap itu lalu keluar daripada bilik, diiringi senyuman isterinya.
Keesokan harinya, 17 April, pada pukul lapan pagi, penjaga bangunan menahan Rieux semasa dia keluar dari bangunan. Katanya, ada budak-budak nakal telah meletakkan tiga ekor bangkai tikus di ruangan lobi. Pastinya perangkap yang besar telah digunakan memandangkan tikus-tikus itu berlumuran darah dengan teruk sekali. Penjaga bangunan itu berlegar-legar di muka pintu untuk beberapa ketika sambil memegang kaki bangkai tikus tersebut, mengawasi mereka yang lalu lalang dengan harapan budak-budak itu akan memunculkan diri. Usahanya itu ternyata sia-sia.
“Saya pasti akan tangkap mereka nanti,” kata Michael berharap.
Hairan dengan kejadian itu, Rieux memutuskan untuk memulakan rondaan di kawasan pinggir bandar, yang didiami oleh pesakitpesakitnya yang miskin. Di kawasan ini aktiviti pemunggahan sampah hanya dilakukan pada awal pagi. Semasa memandu keretanya melalui jalan yang berdebu itu, sempat juga dia menjeling ke arah tong-tong sampah di tepi jalan. Di salah satu jalan yang dilaluinya, dia mengira berdozen-dozen juga bangkai tikus yang dibuang bersama sisa sayuran dan sampah yang lain.
Dia berjumpa dengan pesakit pertamanya di ruangan tidur rumah pesakit tersebut. Bilik itu berfungsi sebagai bilik tidur dan juga ruang makan. Pesakit itu seorang warga emas Sepanyol dengan wajahnya yang penuh kedut dan dingin. Di depan katilnya terletak dua balang kacang hijau. Ketika Rieux masuk, pesakit itu dalam keadaan setengah berdiri di katilnya, berusaha menarik nafasnya kembali. Isterinya masuk membawa semangkuk air.
Ketika disuntik, dia berkata, “Mereka sudah mula berkeliaran, doktor! Kamu sudah melihatnya bukan?”
“Dia maksudkan tikus,” sambung isterinya. “Jiran kami telah terjumpa tiga ekor bangkai.”
Warga emas itu menggosok kedua-dua tangannya.
“Mereka sudah mula berkeliaran. Tong-tong sampah penuh dengan mereka. Mereka lapar!”
Rieux kemudiannya mendapati masalah tikus mula menjadi topik perbualan hangat di kalangan penduduk. Selesai saja rondaan, dia terus pulang ke rumah.
“Ada telegram untuk kamu di atas,” beritahu Michael.
Rieux bertanya kepadanya kalau-kalau dia masih terjumpa bangkai tikus yang lain.
“Oh, tidak!” balasnya. “Saya selalu berjaga-jaga. Budak-budak itu tak akan berani ke sini.”
Telegram itu memaklumkan tentang ketibaan ibunya pada esok hari. Ibunya akan menjaga rumahnya semasa ketiadaan isterinya. Apabila Rieux pulang ke rumah, dia mendapati jururawat sudah pun sampai. Dan melihat isterinya sudah bersiap dengan pakaian yang cantik dan mekap di wajah, Rieux tersenyum kepadanya.
“Awak kelihatan cantik sekali,” katanya.
Di stesen, dia mengiringi isterinya sehingga ke koc kereta api. Isterinya memandang ke sekeliling ruangan koc itu.
“Ini terlalu mahal buat kita, bukan?” “Kita tiada pilihan,” balas Rieux.
“Apa cerita dengan tikus-tikus itu?”
“Entahlah. Agak aneh juga tapi ia akan berakhir nanti.”
Kemudian dia meminta maaf. Seharusnya dialah yang merawat isterinya sendiri, tapi lain pula jadinya. Isterinya menggelengkan kepala seakan-akan menyuruh suaminya diam. Rieux menambah,
“Apabila awak pulang nanti semuanya akan bertambah baik. Kita akan mulakan kehidupan baru.”
Kemudian isterinya berpaling dari Rieux dan merenung ke luar tingkap. Manusia sedang bersesak-sesak antara satu sama lain di platform. Enjin mula dihidupkan. Rieux memanggil isterinya dengan nama pertamanya. Ketika menoleh, dia melihat wajah perempuan itu penuh dengan air mata.
“Jangan menangis,” kata Rieux lembut.
Isterinya memaksa untuk senyum walaupun wajahnya penuh dengan linangan air mata. Perempuan itu menghela nafas sedalamdalamnya.
“Pergilah! Semuanya akan baik-baik saja.”
Rieux memeluk isterinya. Kemudian berundur sedikit dari platform. Sekarang dia hanya dapat senyuman isterinya saja daripada tingkap.
“Jaga dirimu baik-baik,” katanya lagi.
Ketika hendak beredar dari platform, berdekatan dengan pintu keluar Rieux terserempak dengan Othon, hakim mahkamah tentera, bersama anaknya. Rieux bertanya sama ada beliau juga akan berpergian juga. Seorang yang berbadan tinggi dan berkulit gelap, tidak hairanlah karisma seperti terpancar daripada dirinya.
“Tidak,” balasnya, “Saya datang menjemput isteri saya. Dia pulang daripada melawat keluarga saya.” Enjin kereta api kedengaran.
“Tikus-tikus itu…” kata hakim itu.
Rieux yang baru saja hendak bergerak pulang, kembali semula ke sisi tuan hakim.
“Ya?” sahutnya. “Tak ada apa-apalah.”
Apa yang menarik perhatian Rieux pada waktu itu hanyalah seorang pegawai kereta api yang lalu di depannya sambil membawa sebuah kotak yang penuh berisi bangkai tikus.
Tengah hari itu, Rieux dikunjungi seorang lelaki muda di pejabatnya. Lelaki muda itu adalah seorang wartawan dan Rieux baru teringat yang dia pernah dihubungi lelaki itu pada pagi itu juga. Namanya Raymond Rambert. Orangnya pendek, berdada bidang, pandangan matanya tajam dan kelihatannya cerdik. Dia memakai pakaian alaala mahu pergi bersukan. Dia menjelaskan tujuan kedatangannya, seperti yang diarahkan oleh syarikat akhbarnya yang berpangkalan di Paris, adalah untuk membuat laporan tentang kehidupan masyarakat Arab, terutamanya tentang masalah kebersihan yang melanda.
Rieux menjawab keadaan sekarang tidak berapa baik. Sebelum berkata lebih lanjut, dia bertanya jika wartawan itu boleh melaporkan situasi yang sebenar.
“Sudah pasti,” jawab wartawan itu.
“Maksud saya, situasi yang sebenar-benarnya?”
“Mungkin tidaklah sepenuhnya. Tapi situasi sekarang tidaklah teruk sangat bukan?”
“Tidak,” jawab Rieux perlahan. Tujuan sebenar dia bertanya soalan itu adalah untuk mengetahui sama ada Rambert boleh melaporkan berita yang tepat dengan situasi yang sebenar.
“Tiada guna bercakap tentang sesuatu yang tidak akan dilaporkan. Jadi, saya tidak akan memberikan informasi itu kepada kamu,” tambahnya lagi.
Wartawan itu tersenyum. “Kamu bercakap seperti Saint-Just (seorang tokoh politik Perancis pada abad ke-18).”
Dengan suara perlahan Rieux menjawab dia tidak kenal siapa yang dimaksudkan wartawan itu. Bahasa yang dia gunakan adalah bahasa seseorang yang sudah letih dengan dunia ini. Walaupun dia menyenangi lelaki muda ini, dia tetap tidak akan berganjak dengan prinsip kebenaran yang dipegangnya.
Rambert menatap mata doktor itu buat seketika. “Baiklah, saya faham,” katanya sambil bangkit dari kerusi.
Rieux mengiringinya ke pintu.
“Terima kasih kerana memahami.”
“Ya, saya faham. Maaf kerana mengganggu kamu.” balas Rambert.
Ketika berjabat tangan dengannya, Rieux mencadangkan jika wartawan itu mahu sesuatu yang menarik untuk ditulis, mungkin boleh ditulis perihal bangkai tikus yang sangat banyak yang ditemui di bandar itu.
“Ah,” seru Rambert. “Menarik juga.”
Pukul lima petang, Rieux menyambung lagi rutin rondaannya. Dia bertemu dengan seorang lelaki muda. Dia pernah berjumpa dengan lelaki ini sekali dua di tingkat paling atas apartmen yang dimiliki sekumpulan penari lelaki Sepanyol.
Sambil menghisap rokok, Jean Tarrou asyik melihat tikus yang terkejang-kejang menunggu mati di depan tangga apartmennya. Dia mengangkat wajahnya dan mengamati doktor itu seketika sebelum menyalaminya. Dia memulakan perbualan dengan menyatakan keanehan yang dirasainya; tikus-tikus itu yang keluar daripada tempat persembunyian mereka hanya untuk mati.
“Sangat pelik,” sahut Rieux, “dan menjengkelkan.”
“Mungkin juga, doktor. Tapi mungkin kerana kita tidak pernah melihat kejadian serupa ini. Terus terang saya menganggapnya sesuatu yang menarik. Sangat menarik.”
Tarrou membetulkan rambutnya sambil melihat lagi ke arah tikus tadi yang sudah berhenti bergerak. Kemudian mengalihkan pandangannya ke arah Rieux sambil tersenyum.
“Memang sakit kepala penjaga bangunan memikirkannya, bukan?”
Sekembalinya ke rumah, Rieux berjumpa dengan penjaga bangunan yang sedang bersandar di pintu masuk. Wajahnya menampakkan keletihan. Rieux menceritakan apa yang baru dia saksikan sebentar tadi.
“Ya, saya tahu,” kata Michael. “Saya juga sudah banyak kali terjumpa, dua atau tiga sekaligus. Tetapi di bangunan lain pun sama juga.”
Penjaga itu kelihatan bimbang dan tertekan. Dia menggosok belakang lehernya seperti kebiasaannya. Rieux bertanya keadaannya. Penjaga itu menjawab dia tidaklah sakit sangat, cuma agak tidak tenang. Mungkin kerana kebimbangannya. Tikus-tikus itu memang mengejutkannya dan dia pasti akan berasa lega apabila semuanya menghilang.
Keesokan harinya, 18 April, ketika Rieux membawa pulang ibunya dari stesen kereta api, dia melihat wajah Michael lebih lesu. Katanya, disebabkan oleh puluhan bangkai tikus yang berselerakan dari tangga bilik bawah tanah hinggalah ke loteng. Tong sampah di rumah-rumah sepanjang jalan penuh juga penuh dengan bangkai tikus.
Ibu Rieux tidak hairan pun dengan kejadian itu.
“Kadang-kadang ia memang boleh terjadi,” kata ibunya. Ibunya seorang yang berbadan kecil, dengan rambut yang keperakan serta mata yang hitam. “Ibu rasa gembira dapat tinggal bersama kamu lagi, Bernard,” tambahnya. “Tikus-tikus itu tak mampu menghalang rasa gembira ibu.”
Rieux mengangguk saja. Memang betul pun, semua akan menjadi jika ibunya ada bersama.
Pun begitu, Rieux menelefon juga pejabat majlis perbandaran bahagian penghapusan binatang perosak. Dia kenal pengarah bahagian itu. Dia bertanya sama ada dia sudah mendengar cerita berkenaan tikus-tikus itu yang mati di tempat awam. Ya, pengarah itu, Mercier, sudah tahu semua itu. Hatta di pejabatnya sendiri yang jauh dari pelabuhan, sudah ditemukan lima puluh bangkai binatang tersebut. Sebenarnya dia pun tidak pasti adakah keadaan ini merisaukan atau tidak. Rieux sendiri tidak dapat memberikan pendapat muktamad. Tapi yang pasti dia berpendapat pihak majlis perbandaran seharusnya campur tangan.
“Kalau kamu rasa ia berbaloi untuk dilakukan, saya akan mengeluarkan surat arahan segera,” kata Mercier.
“Memang berbaloi pun,” balas Rieux.
Orang gajinya juga memberitahu bahawa sudah ratusan bangkai tikus telah dijumpai di kilang tempat suaminya bekerja.
Dalam tempoh waktu inilah penduduk bandar kami mulai bimbang. Bermula 18 April dan seterusnya, ratusan bangkai mula dijumpai di semua kilang dan gudang. Kadang-kadang penduduk terpaksa membunuh binatang-binatang lain untuk menghentikan penderitaan mereka. Ke mana saja Rieux pergi, dari pinggir hinggalah ke pusat bandar, akan ada longgokan- longgokan bangkai tikus berlonggokan di mana-mana. Baik di kawasan pengumpulan sampah mahupun di sepanjang jalan. Akhbar edisi petang mula menyiarkan berita tersebut dan mempersoalkan apakah tindakan daripada pihak pemerintah. Apakah langkah kecemasan yang diambil untuk membanteras gejala yang memualkan itu?
Sebenarnya, majlis perbandaran tidak berbuat apa pun pada mulanya. Namun baru sekarang mereka hendak bermesyuarat tentang apa yang harus dilakukan. Arahan telah dikeluarkan kepada pihak pembersihan untuk mengumpulkan semua bangkai tikus pada setiap awal pagi. Kemudian, dua trak akan membawa kesemuanya ke tempat pembakaran untuk dibakar.
Namun, keadaan bertambah buruk dari hari ke hari. Jumlah bangkai yang dikumpulkan semakin bertambah. Mulai hari keempat, mereka bergerak keluar dan mati dalam kumpulan. Daripada bawah tanah, bilik stor, dan saluran pembetung, mereka mulai keluar dalam barisan memanjang. Mereka bergerak tidak tentu arah, berpusing-pusing dan kemudiannya mati di tengahtengah penduduk yang mengerumuni mereka.
Pada waktu malam, di jalan-jalan dan lorong-lorong, jelas kedengaran decitan nyaring mereka sebelum mati. Keesokan paginya, bangkai-bangkai tersebut akan dijumpai di longkang, dengan darah tersembur keluar daripada kerongkong. Sesetengahnya mula mengembung, yang lain pula mengeras dengan misai yang masih tegak.
Hatta di tengah-tengah bandar, dapat dijumpai sekumpulan bangkai tikus di gedung bangunan mahupun sekolah. Ada yang melintas dan mati di tengah-tengah ruang tamu pejabat, di taman permainan sekolah mahupun kafe.
Apa yang menghairankan, di tempat-tempat tumpuan utama seperti Place d’Armes, taman air dan tempat pejalan kaki, juga ditemukan bangkai-bangkai ini. Bangkai ini dibuang pada waktu awal pagi, pun begitu, akan silih berganti pula dengan yang lain menjadikan jumlah bangkai kembali bertambah. Penduduk yang berjalan-jalan pada waktu malam dapat merasakan kehangatan bangkai tersebut di bawah tapak kaki mereka, Seakan-akan bumi sedang memuntahkan isinya yang busuk. Cuba bayangkan bagaimana bandar kecil kami yang begitu tenang, secara tiba-tiba menjadi huru-hara. Seperti seorang lelaki yang sihat tiba-tiba naik mendadak naik suhu badannya, dan darah merah meluap-luap dalam saluran darahnya.
Keadaan menjadi bertambah buruk, sehinggakan Jabatan Informasi Ransdoc, yang memberikan perkhidmatan informasi secara percuma melalui radio, mengumumkan pada 25 April sahaja, tidak kurang daripada 6,231 ekor tikus telah dikumpul dan dibakar.
Angka ini sememangnya menggemparkan suasana. Sehingga sekarang, penduduk mengeluh, tetapi itu hanyalah kerana kejadian ini memualkan sahaja. Sekarang baru mereka sedar, kejadian aneh ini – yang masih tidak dapat dikenal pasti puncanya – adalah sesuatu yang sangat berbahaya.
Seorang warga tua Sepanyol yang merupakan pesakit Rieux, akan menggosokkan tangannya dan berkata, “Mereka sudah keluar. Mereka sudah keluar,” disusuli ketawa kecil.
Pada 28 April, ketika Jaringan Informasi Randsoc mengumumkan jumlah bangkai yang dikumpulkan sudah mencecah 8,000 ekor, kekalutan mula menyelubungi bandar. Mula ada tuntutan supaya tindakan yang lebih drastik dilaksanakan, juga mengkritik pihak berkuasa yang cuai. Penduduk yang mempunyai rumah di tepi pantai mula berkira-kira untuk pindah ke sana. Tetapi pada keesokan harinya, Jaringan Informasi Randsoc memaklumkan kejadian aneh itu tiba-tiba berhenti dan pihak pembersihan hanya mengumpulkan bangkai tikus dalam jumlah yang sedikit saja. Semua orang pun merasa lega.
Pada waktu tengah hari itu juga, ketika Rieux meletakkan keretanya di depan bangunan tempat tinggalnya, dia perasan si penjaga bangunan sedang menuju ke arahnya dari hujung jalan. Michael berjalan dengan susah payah. Dengan kepalanya yang terkulai dan lengan serta kakinya terkepak keluar. Dia berpaut pada lengan seseorang yang dikenali Rieux iaitu Paderi Paneloux, seorang ahli Jesuite (kumpulan paderi Roman Katolik yang diasaskan oleh Ignatius Loyola pada tahun 1534) yang cerdas dan disegani, hatta dalam kalangan mereka yang kurang peduli soal keagamaan pun.
Rieux menunggu kedua-dua lelaki tersebut menghampirinya. Mata Michael berkaca-kaca dan nafasnya kuat. Dia menjelaskan, dia berasa tidak sedap badan dan memutuskan untuk keluar ambil angin. Tiba-tiba dia merasa sakit pada beberapa bahagian tubuhnya dan terpaksa meminta pertolongan Paderi Paneloux untuk menghantarnya pulang.
“Sikit saja bengkaknya,” katanya. “Mungkin saya terlalu memaksa diri bekerja kuat.”
Melalui tingkap kereta, Rieux meraba-raba bahagian bawah leher Michael. Kelihatannya terbentuk sesuatu yang keras seperti bongkah kayu.
“Pergi berehat dulu dan ambil suhu badan kamu. Saya akan datang melawat kamu tengah hari nanti.”
Apabila lelaki tua itu beredar, Rieux bertanya kepada paderi itu apa pendapatnya tentang permasalahan tikus yang melanda.
“Oh, saya fikir ianya sejenis penyakit yang tikus-tikus itu alami.” kata si paderi, dengan matanya galak tersenyum di balik cermin matanya yang bulat.
Selepas makan tengah hari, Rieux membaca kembali telegram dari rumah rawatan memaklumkan tentang ketibaan isterinya di sana. Ketika itu telefonnya berdering. Ianya daripada seorang bekas pesakitnya, kerani di majlis perbandaran. Pesakitnya ini menderita sakit buluh darah tersumbat untuk tempoh yang agak lama, dan oleh kerana dia ini miskin, Rieux memberi rawatan secara percuma saja kepadanya.
“Terima kasih, doktor, kerana mengingati saya. Tapi kali ini saya menelefon untuk orang lain. Jiran saya ditimpa sesuatu. Datanglah segera, doktor.” Dia kedengarannya termengah-mengah.
Tiba-tiba Rieux teringatkan si penjaga bangunan itu. Dia memutuskan akan melawat Michael kemudian nanti. Beberapa minit dia sudah tiba di sebuah rumah di jalan Faidherbe, di kawasan luar bandar. Di tangga yang sejuk dan berbau itu Joseph Grand turun menjemputnya. Kerani itu dalam lingkungan umur 50 tahun, berbadan tinggi tapi agak bongkok sedikit.
“Dia sudah beransur pulih,” kata kerani itu kepada Rieux, “tapi saya rasa dia sudah tidak punya banyak masa.”
Di tingkat paling atas, Rieux perasan sesuatu yang bertulis dengan kapur merah pada pintu sebelah kirinya: Silakan masuk. Saya sudah menggantung diri saya sendiri.
Mereka masuk. Tali tergantung pada lampu, di bawahnya ada sebuah kerusi terbalik. Meja telah dialih ke satu sudut, tetapi tali itu tergantung kosong.
“Saya sempat menyelamatkannya tepat pada masanya,” Grand cuba menjelaskan dengan ayatnya yang paling mudah. “Kebetulan saya hendak keluar ketika itu, dan saya terdengar sesuatu. Ketika terbaca tulisan di pintu itu, saya fikir itu hanya gurauan semata-mata. Tibatiba saya terdengar suara rintihan yang menakutkan.”
Grand menggaru kepalanya, meneruskan,
“Saya terus masuk ke dalam bilik ini.”
Mereka melalui sebuah pintu lagi, lalu masuk ke dalam sebuah bilik tidur yang agak terang lengkap dengan perabot. Seorang lelaki yang agak pendek dan gemuk sedang berbaring di atas katil, bunyi nafasnya agak kuat. Matanya yang kemerahan memandang tetamunya yang baru masuk. Rieux berhenti melangkah. Di antara hembusan nafas kuat lelaki itu, dia seperti terdengar suara tikus mendecit. Tetapi dia tidak nampak sesuatu yang bergerak pun. Dia mendekati katil. Lelaki itu tidaklah mengalami kecederaan yang serius. Cuma kekurangan oksigen saja. Tapi dia masih memerlukan pemeriksaan X-ray. Rieux memberikan suntikan dan memberi jaminan dia akan pulih dalam beberapa hari lagi.
“Terima kasih, doktor,” kata lelaki itu, suaranya serak.
Ketika Rieux bertanya sama ada dia sudah melaporkan perkara ini kepada pihak polis, kerani itu terdiam.
“Tidak. Saya fikir yang paling penting …”
“Baik,” Rieux memotong. “Saya sendiri yang akan laporkan.”
Pesakit itu kelihatannya gelisah dan bangun dari perbaringannya, sambil mengatakan dia baik-baik saja dan tidak perlu dilaporkan pun.
“Bawa bertenang,” kata Rieux. “Ini prosedur biasa. Lagi pun memang saya perlu melaporkan ini kepada pihak polis.”
“Oh!” Pesakit itu merebahkan dirinya ke katil dan mula menangis.
Grand yang dari tadi asyik bermain-main dengan misainya, mendekati katil dan memujuknya.
“Dengar, Tuan Cottard,” katanya. “Cubalah faham. Orang boleh kata doktor ini yang bertanggungjawab, jika kamu menggantung
diri lagi.”
Dalam esakan tangisnya, Tuan Cottard berkata bahawa dia tidak akan melakukannya lagi. Tindakannya sebentar tadi adalah di luar kawalannya. Sekarang dia hanya ingin dibiarkan sendirian. Sementara itu, Rieux sedang menulis preskripsi ubatan.
“Baiklah,” katanya. “Kita tidak akan bercakap lagi tentang perkara ini. Saya akan kembali dalam dua tiga hari lagi. Tapi tolong jangan buat sesuatu yang bodoh.”
Di luar rumah, Rieux memberitahu Grand bahawa dia mesti juga melaporkan perkara itu, tetapi dia akan meminta mereka untuk datang hanya dua hari lagi.
“Tapi seseorang mesti menjaganya malam ini. Adakah dia mempunyai saudara-mara?”
“Setahu saya tidak ada. Tapi saya boleh menjaganya sendiri. Saya pun bukanlah kenal sangat dia sebenarnya. Tapi, jiran mestilah saling tolong-menolong, kan?”
Ketika menuruni tangga,, Rieux memandang ke arah satu sudut yang gelap. Dia bertanya kepada Grand, apakah tikus-tikus telah hilang di kawasan ini.
Grand tidak tahu menahu. Dia ada terdengar juga, tetapi tidak ingin ambil tahu sangat tentang khabar angin itu. “Saya masih ada banyak perkara lain untuk difikirkan,” tambahnya.
Rieux ingin cepat-cepat beredar dan terus menyalami Grand. Dia ingin menulis surat kepada isterinya, tetapi sebelum itu dia harus mengunjungi si penjaga bangunan itu dulu.
Dada-dada akhbar mula menyiarkan berita tentang tikus-tikus yang sudah berhenti berkeliaran. Tetapi ketika Rieux memasuki bilik tidur Michael, badannya hampir separuh jatuh dari katilnya. Sebelah tangannya di perut, sebelah lagi di leher. Mulutnya memuntahkan cairan merah ke dalam bakul sampah. Setelah nafas kembali stabil, dia berbaring lagi. Suhu badannya agak kritikal. Leher dan beberapa anggota lain mula membengkak. Dua tompok hitam mula menjalar di pehanya. Sekarang dia mula mengadu rasa sakit di dalam tubuhnya.
“Panas,” katanya. “Rasa seperti ianya membakar saya.”
Bibirnya yang kering menyukarkannya berkata-kata, Dia merenung ke arah Rieux dengan matanya yang berkaca-kaca. Mungkin disebabkan sakit kepala. Isterinya melihat ke arah Rieux dengan penuh bimbang, yang sedari tadi hanya berdiam diri saja.
“Doktor,” kata isterinya. “Penyakit apakah ini?”
“Boleh jadi apa saja. Masih tiada kepastian. Pastikan dia cukup makan dan sediakan air yang banyak untuknya.”
Memang orang tua itu mengadu rasa haus sekali.
Sekembalinya Rieux ke apartmennya, dia menelefon rakan sekerjanya Richard, yang juga merupakan seorang doktor terkemuka di bandar.
“Tidak,” kata Richard. “Saya tidak pernah melihat kejadian seperti itu.”
“Langsung tiada kes demam berserta keradangan?”
“Sekejap! Ya, saya ada dua kes sendi membengkak.”
“Adakah ianya tidak normal?”
“Hmm,” gumam Richard. “Itu bergantung pada apa yang kamu maksudkan dengan normal.”
Malam itu, si penjaga bangunan terjaga. Suhu badannya meningkat lagi. Dia membebel tentang tikus-tikus itu. Rieux cuba menghentikan bengkak itu. Apabila dia terasa pedihnya suntikan, Michael berteriak, “tak guna!”
Bengkaknya semakin besar, kalau disentuh terasa seperti bonggolan kayu. Isterinya nampak ketakutan.
“Perhatikan dia,” kata Dr., “hubungi saya jikalau ada apa-apa.”
Keesokan harinya, 30 April, langit kelihatan cerah tapi agak berkabus sedikit. Angin yang hangat membawa bau bunga yang datang daripada pedalaman. Suasana di pagi hari lebih riuh berbanding hari biasa. Itu adalah hari permulaan yang baru, sejak kebimbangan menyelubungi seluruh bandar hampir seminggu. Rieux sendiri berasa gembira kerana sudah menerima surat daripada isterinya dan terus turun untuk melawat si penjaga bangunan itu.
Suhu badannya sudah menurun. Dia nampak lemah tapi masih mampu tersenyum.
“Dia sudah beransur pulih, kan doktor?” tanya isterinya.
“Masih terlalu awal untuk saya simpulkan.”
Tengah hari itu, suhu badannya meningkat kembali. Dia mula meracau dan muntah-muntah lagi. Bengkak di leher terasa sakit jika disentuh. Michael seakan-akan ingin memisahkan kepalanya sejauh mungkin dari tubuhnya. Isterinya berada di kaki katil, sambil memegang kaki suaminya dengan penuh kelembutan. Dia memandang ke arah Rieux.
“Dengar,” kata Rieux, “kita harus bawa dia ke hospital untuk rawatan kecemasan. Saya akan hubungi ambulans segera.”
Dua jam kemudian, Michael ditemani isterinya dan Rieux di dalam ambulans. Daripada mulutnya yang separuh terbuka dan berlendir itu, dia mengulang-ngulang,
“Tikus-tikus itu! Tikus tak guna!”
Mukanya kehijauan. Bibirnya pucat. Nafasnya tercungap-cungap. Bengkak mula menjalar ke seluruh anggota badannya, seakan ingin bersatu dengan tubuhnya. Juga seperti ada suara dari dalam bumi yang sedang menyerunya. Dia seperti kelemasan berhadapan tekanan yang tidak kelihatan. Isterinya menangis teresak-esak.
“Masih ada harapan lagikah, doktor?”
“Dia sudah tiada,” kata Rieux.
Share this novel