Keesokan harinya, atas desakan yang dianggap tidak kena pada tempatnya, Rieux memujuk pihak berkuasa untuk mengadakan sebuah jawatankuasa kesihatan di pejabat pusat pentadbiran.
“Memang benar penduduk semakin bimbang,” Dr. Richard mengakui. “Dan sudah tentu banyak khabar angin di sana-sini. Ketua pegawai di sana berpesan kepada saya, ‘Ambillah tindakan secepatnya jika kamu mahu, tapi jangan sampai menarik perhatian umum.’ Mereka di sana yakin perkara ini tidaklah serius.”
Rieux menjemput Castel dengan keretanya, lalu bergerak ke pejabat pusat pentadbiran.
“Kamu tahu tak yang daerah ini tidak mempunyai walaupun satu gram serum pun?” kata Castel.
“Saya tahu. Saya pernah menelefon gedung ubatan. Pengarah di sana agak terkejut. Lagi pula ia harus dikirim dari Paris.”
“Harap-harap ia cepat sampai.”
“Saya sudah kirim telegram semalam,” kata Rieux.
Ketua pegawai itu menyambut ketibaan mereka dengan ramah, tapi jelas kelihatan dia agak gugup.
“Ayuh kita mulakan, tuan-tuan,” katanya. “Adakah perlu saya ceritakan situasinya?”
Richard merasakan tidak perlu. Dia dan rakan sekerjanya yang lain sudah arif akan keadaan yang berlaku. Persoalan sekarang ialah tindakan apa yang harus diambil.
“Persoalannya,” Castel mencelah, “adalah untuk mengetahui sama ada ini wabak atau tidak.”
Dua atau tiga daripada doktor yang hadir tidak bersetuju. Yang lain kelihatan ragu-ragu. Ketua pegawai itu agak terkejut dan cepat-cepat menjeling ke arah pintu supaya betul-betul tertutup. Juga supaya perkara yang menggemparkan itu tidak kedengaran daripada luar. Richard berpendapat, tidak perlu terlalu gelisah dengan situasi sekarang. Hebahkan saja yang para doktor sedang berdepan dengan sejenis demam yang istimewa, berserta simptom bengkak-bengkak. Di dalam ilmu perubatan, adalah tidak bijak untuk terburu-buru membuat kesimpulan.
Castel, yang sudah berusia, dengan tenang bermain-main dengan misai kuningnya sambil merenung ke arah Rieux. Kemudian mengalihkan pandangan ke arah ahli mesyuarat yang lain sebelum berkata yang dia yakin ianya adalah sebuah wabak. Tapi tentu saja satu pelan tindakan yang drastik akan dilaksanakan apabila perkara ini sudah menjadi rasmi. Dia dapat melihat rakan sekerjanya yang lain agak keberatan untuk berhadapan dengan fakta itu. Sebenarnya, sekiranya menafikan bahawa penyakit ini adalah sejenis wabak boleh menyenangkan hati mereka, Rieux bersedia saja untuk melakukannya. Mendengar segala hujahan itu, ketua pegawai agak kebingungan dan baginya, segala isi perbahasan itu kelihatan tidak kukuh.
“Yang penting sekarang bukan soal isi perbahasan kukuh atau tidak, tapi bagaimana untuk membuat orang berfikir tentang situasi ini.”
Rieux yang masih berdiam diri dari tadi ditanyakan pula pendapatnya.
“Kita sekarang sedang berdepan dengan sejenis demam kepialu, yang datang bersama simptom muntah-muntah dan bengkakbengkak. Saya sudah mengelar bengkak itu dan menganalisa nanahnya sekali. Penganalisis makmal kami sudah mengenal pasti kuman wabak itu. Tapi saya harus tekankan bahawa ada perubahan tertentu yang agak berbeza dengan deskripsi kuman daripada wabak yang dulu.” terang Rieux dengan panjang lebar.
Richard mengiyakan Rieux dan berkata atas sebab inilah harus ditangguh dulu. Adalah lebih baik menunggu keputusan laporan statistik daripada analisa yang telah berjalan selama beberapa hari. “Apabila sejenis kuman mampu menjadi empat kali ganda besarnya dalam tempoh tiga hari saja, menyebabkan saiz bengkak menjadi sebesar sebiji oren dan kelihatan seperti bubur, adalah tidak bijak jika bertangguh lagi. Aktiviti jangkitan terus merebak. Berdasarkan kecepatan ia merebak, kalau tidak dicegah, akan membunuh separuh bandar kurang daripada dua bulan. Jadi, tidak penting sangat kamu nak namakan ianya wabak atau demam apa pun. Yang lebih penting bagaimana untuk mengelakkan daripada ia membunuh separuh penduduk bandar.” terang Rieux lagi.
Bagi Richard, adalah silap jika hendak dipukul rata akan situasi sekarang. Lagi pun, penyakit itu belum dibuktikan penularannya. Tambahan pula, ahli keluarga pesakit-pesakitnya yang tinggal serumah dan terdedah kepada orang-orang yang dijangkiti, tidak pula terkena jangkitan.
“Tapi yang lain-lain sudah mati,” Rieux mengingatkan. “Dan amat jelas penularan bukanlah sesuatu yang pasti, melainkan kita ada graf peningkatan yang berterusan dan kadar kematian akan menaik dengan mendadak. Ini bukan soal pukul rata. Ini soal mengambil langkah berjaga-jaga.”
Walau bagaimanapun, Richard menyimpulkan, jika penyakit ini masih tidak berhenti menular, harus diambil tindakan pencegahan yang ketat seperti yang termaktub di dalam undang-undang. Oleh itu, harus diakui ianya memang sejenis wabak. Tapi, masih belum ada kepastian mutlak tentang hal ini, dan sebarang tindakan yang terburu-buru harus dielakkan.
Rieux masih berkeras.
“Soalnya bukanlah tindakan pencegahan di dalam undang-undang itu ketat atau tidak. Tetapi sama ada adakah ianya diperlukan untuk mencegah kematian separuh populasi bandar. Itu semua urusan adalah urusan pentadbiran. Lagi pun perlembagaan kita telah memperuntukkan kuasa kepada Prefek untuk mengeluarkan sebarang arahan yang perlu.”
“Betul juga,” sahut ketua pegawai, “tetapi saya memerlukan keterangan rasmi daripada kamu yang ini sememangnya sejenis wabak.”
“Jika kita tidak mengeluarkan keterangan sekarang,” kata Rieux, “ada kemungkinan wabak ini akan membunuh separuh penduduk bandar.”
Richard memotong dengan tidak sabar.
“Sebenarnya, rakan kami ini (merujuk kepada Rieux) yakin ianya adalah sejenis wabak, berdasarkan gambarannya terhadap penyakit itu.”
Rieux membalas yang dia bukannya menggambarkan penyakit itu, tetapi menggambarkan apa yang dilihatnya. Dan apa yang dilihatnya adalah bengkak-bengkak, dan demam diikuti dengan racauan. Semuanya hanya bertahan dalam masa 48 jam saja. Adakah Dr. Richard mahu bertanggungjawab untuk memastikan wabak berhenti menular tanpa tindakan pencegahan yang ketat?
Richard kelihatan teragak-agak, dan menatap wajah Rieux.
“Sila jawab soalan saya sejujurnya. Adakah kamu yakin ini memang sejenis wabak?”
“Kamu melihat masalah ini dengan salah. Ini bukan soal istilah. Ini soal masa.”
“Saya setuju dengan kamu,” ketua pegawai mencelah, “Andai kata ini bukan wabak sekalipun, adakah tindakan pencegahan yang ketat untuk mengatasi wabak ini harus dilaksanakan secepat mungkin?” “Jika kamu tanya pendapat saya, ya, memang begitulah.”
Semua doktor yang berada di situ berunding, akhirnya Richard berkata,
“Begini, kita akan bertanggungjawab bertindak dengan anggapan ini adalah sejenis wabak.”
Kesimpulan itu dipersetujui semua.
“Saya tidak kisah apa yang kamu ingin namakan,” kata Rieux, “Apa yang saya nak tekankan ialah kita harus bertindak seakanakan separuh populasi bandar ini akan mati; dan memang ada kemungkinan itu.”
Di tengah-tengah suasana yang penuh kemarahan dan protes di sana-sini, Rieux beredar meninggalkan bilik mesyuarat.
Beberapa ketika kemudian, ketika dia dalam perjalanan melalui jalan yang busuk dengan bau ikan goreng dan air kencing, seorang perempuan berteriak kesakitan. Darah menitik daripada celah kelangkangnya, sambil lengannya cuba memaut Rieux. ?
Share this novel