BAHAGIAN DUA : BAB DUA

Others Completed 4183

Ketika para penduduk kami sedang membiasakan diri dengan pengasingan yang mengejut ini, wabak itu sepertinya berjaga di benteng bandar dan menghalau pergi kapal-kapal yang menuju ke Oran. Sejak benteng ditutup, tiada satu pun kenderaan yang memasuki bandar. Dan hari-hari seterusnya menyaksikan semua kereta seperti bergerak dalam tanpa arah tujuan. Pelabuhan juga kelihatan aneh jika dipandang dari jalan utama. Salah satu daripada pelabuhan utama di pantai utara Afrika yang biasanya sibuk itu, tibatiba menjadi sepi. Di situ juga, masih kelihatan kapal yang ditahan, terperangkap. Kren-kren yang terbengkalai di tembok pelabuhan, lori-lori yang tersadai di tepi jalan, tong-tong dan guni-guni yang bersepahan; ini semua membuktikan aktiviti perdagangan juga terkena tempiasnya sekali.

Walaupun dengan semua suasana yang luar biasa ini, para penduduk masih sukar untuk memahami apakah sebenarnya yang menimpa mereka. Memanglah ada perasaan yang dikongsi bersama seperti ketakutan dan perpisahan. Tetapi sikap mementingkan diri sendiri, tetap mengatasi semua itu. Tiada seorang pun faham apa yang tersirat di sebalik serangan wabak itu. Kebanyakan daripada mereka hanya peka terhadap sesuatu yang mengganggu hak-hak peribadi mereka sahaja. Mereka menjadi risau dan marah-marah. Namun bukan ini sebenarnya yang diperlukan untuk melawan wabak. Contohnya, reaksi pertama mereka adalah mula melawan pihak berkuasa.

Jawapan Prefek kepada kritikan yang ditulis akhbar: “Adakah undang-undang tidak boleh dipinda dan dilonggarkan?” adalah amat di luar jangkaan. Sebelum daripada itu, pihak akhbar mahupun Jaringan Informasi Randsoc pernah diberitahu tentang statistik rasmi akan wabak itu. Mulai saat itu, setiap hari, Prefek menyalurkan maklumat tersebut kepada Jaringan Informasi Randsoc untuk diumumkan seminggu sekali.

Oleh sebab itu, reaksi awam mula kendur dan tidak seperti yang dijangka. Malah dengan angka sebanyak 302 kes kematian, tersangatlah mengejutkan mereka. Ini kerana, sangkaan awal mereka boleh jadi kesemua 302 kes kematian itu bukanlah berpunca daripada wabak itu. Juga, penduduk bandar tidak tahu berapakah purata kes kematian setiap minggu. Jumlah penduduk Oran kira-kira 200,000 orang. Tidak ada satu kepastian bahawa jumlah itu suatu yang tidak normal. Meskipun penting, perkara ini tidak pernah mendapat perhatian umum. Senang cerita, penduduk kekurangan maklumat untuk membuat perbandingan. Hanya selepas itu, ketika mengetahui kadar kes kematian, mereka mula menyedari kenyataan.

Pada minggu kelima, sudah ada 321 kes kematian dicatatkan. Angka meningkat menjadi 346 pada minggu keenam. Angkaangka ini sudah cukup untuk membuktikannya. Tetapi mereka masih juga tidak terkesan dan berfikir bahawa kejadian itu yang menimpa mereka memanglah suatu kemalangan, dan hanya bersifat sementara sahaja.

Justeru itu, mereka terus memenuhi jalan-jalan atau melepak di kafe-kafe. Secara umumnya, mereka bukanlah pengecut. Mereka terus hidup gembira dan tidak mengeluh dan dengan senang hati menghadapi keadaan genting itu yang bagi mereka tidak akan kekal lama. Pendek kata, mereka kekal tenang dan bersahaja.

Walau bagaimanapun, menuju penghujung bulan, sekitar upacara Minggu Sembahyang (akan diterangkan kemudian), ada perkembangan yang lebih mencemaskan yang mengubah wajah seluruh bandar.

Perkara pertama, Prefek mengambil langkah mengawal lalu lintas dan bekalan makanan. Minyak petrol mula dihadkan dan jualan barang makanan dilarang. Bekalan elektrik juga dikurangkan. Hanya keperluan asasi sahaja yang dibawa masuk melalui jalan darat atau udara ke Oran. Justeru jalan raya semakin lengang sehinggakan susah untuk nampak kereta di jalan raya. Kedai-kedai mewah ditutup dan kedai-kedai lain juga mula menampal notis “barangan habis dijual,” sedangkan masih ramai yang beratur menunggu di depan kedai.

Oran kelihatan sangat aneh sekali. Jumlah pejalan kaki bertambah ramai. Dan pada waktu-waktu biasa, ramai yang memenuhi jalanan dan kafe kerana pejabat ditutup. Dalam tempoh itu, mereka tidaklah menganggur. Lebih kepada bercuti. Dalam gambaran, pada pukul tiga petang di suatu hari yang cerah, Oran kelihatan seperti sedang menyambut perayaan; kedai ditutup, lalu lintas dihentikan untuk para penduduk memenuhi jalan dan bersuka ria.

Tentu saja yang paling untung dalam situasi ini adalah pawagam. Cuma satu masalah, mereka tidak dapat menukar program kerana bekalan filem sudah terhenti. Setelah dua minggu, pengusahapengusaha pawagam terpaksa bertukar-tukar filem sesama mereka sendiri dan setelah beberapa lama, mereka hanya menayangkan filem yang sama. Pun begitu, kemasukan wang tidak juga berkurang.

Oleh kerana adanya simpanan yang banyak di bandar yang terkenal dengan minuman keras mereka, kafe-kafe masih dapat memenuhi permintaan pelanggan mereka. Terus-terang, terlalu ramai yang minum-minum. Salah satu kafe meletakkan slogan: “Perlindungan terbaik daripada jangkitan adalah sebotol minuman keras,” yang sebenarnya sudah diketahui umum sememangnya alkohol menghindari penyakit berjangkit. Setiap pagi, sekitar pukul dua, ramai orang yang mabuk memenuhi jalan kerana dihalau dari kafekafe. Terhuyung-hayang di jalanan sambil melaungkan kata-kata harapan hidup.

Semua perubahan ini berlaku dengan sangat luar biasa dan sangat pantas sekali. Sehingga susah untuk menganggap ianya akan berlangsung lebih lama. Oleh sebab itu, kami terus menyibukkan diri dengan hal masing-masing.

Ketika hendak beredar dari hospital selepas dua hari penutupan bandar, Rieux bertemu dengan Cottard. Lelaki itu kelihatan puas. Rieux mengucapkan tahniah kepadanya kerana sudah nampak sembuh.

“Ya, saya rasa sihat sekali,” kata Cottard, “Tak pernah rasa sesihat ini dalam hidup saya. Tapi doktor, wabak ini sudah makin teruk kan?”

Rieux mengangguk memberi respon, dan Cottard menyambung lagi, “Dan sekarang tidak ada alasan untuk ia berhenti. Bandar ini memang akan kacau-bilau nanti.”

Mereka berjalan bersama-sama untuk beberapa ketika. Cottard bercerita tentang seorang pekedai runcit di tempatnya yang menjual makanan dengan harga yang sangat mahal. Ketika pihak ambulans datang untuk mengambilnya, masih ada lagi beberapa dozen tin daging di bawah katilnya.

“Dia mati di hospital!” kata Cottard, “duit pun tak mampu membeli nyawa.”

Cottard memang ada banyak cerita tentang wabak ini. Entah betulbetul terjadi atau tidak. Lagi pula, dia bercerita melihat seorang lelaki yang terkena wabak berserta dengan demam panas berlari keluar ke jalan. Mencapai dan memeluk mana-mana perempuan yang dijumpainya dan berteriak yang dia sudah terkena wabak.

“Baguslah!” kata Cottard. “Lambat-laun kita semua akan jadi gila tak lama lagi. Kecuali kalau saya salah la.”

Tengah hari itu jugalah Grand akhirnya menceritakan segala tentang dirinya kepada Rieux. Melihat gambar isteri Rieux di atas meja, lalu dia menoleh ke arah Rieux dengan wajah bertanya. Rieux memberitahu yang isterinya sedang menjalani rawatan di pedalaman.

“Dari satu segi, nasib baiklah dia,” kata Grand.

Rieux agak bersetuju dengannya. Tetapi menambah yang lebih baik lagi adalah berharap isterinya sembuh.

“Ya, saya faham,” kata Cottard.

Untuk pertama kalinya sejak Rieux mengenali dia, Grand sudah petah bercakap. Meskipun dia masih ada masalah, dia akan berjumpa dengan perkataan yang dicarinya. Sepertinya sudah lama benar dia memikirkan apa yang ingin diucapkannya itu.

Ketika usia mudanya, dia telah berkahwin dengan seorang gadis miskin berdekatan tempat tinggalnya. Dek kerana perkahwinannya itu, dia berhenti belajar dan terus bekerja. Baik Jeanne mahupun dirinya sendiri tidak pernah keluar daripada kawasan tempat tinggal mereka. Ketika Grand datang berziarah, Jeanne dan orang tuanya agak geli hati dengan calon menantu mereka yang agak lurus serta pendiam itu. Ayah Jeanne seorang pegawai kereta api. Ketika hari dia bercuti, dia menghabiskan masanya duduk di depan jendela sambil memerhati orang yang lalu-lalang, dengan tangannya yang besar terbuka di atas paha. Ibu Jeanne pula sibuk dengan tugasnya sebagai suri rumah, sambil ditolong oleh Jeanne. Jeanne adalah seorang yang bertubuh kecil sehingga membuatkan Grand bimbang saat dia ingin melintas jalan. Kenderaan-kenderaan kelihatan sangat besar dengan tubuhnya yang begitu kecil. Kemudiannya pada suatu hari sebelum Hari Krismas, mereka lalu di sebuah kedai perhiasan yang dihias cantik. Selepas melihat kedai itu dengan penuh rasa kagum, Jeanne berpaling kepadanya.

“Wah, cantik kan!” kata Jeanne. Grand memegang erat gadis itu. Di situlah mereka memutuskan untuk berkahwin.

Menurut Grand, selepas itu semuanya biasa-biasa saja. Seperti pasangan suami isteri yang lain juga. Mereka berkahwin, bercinta, dan bekerja. Lalu mereka bekerja dengan keras sehingga lupa untuk bercinta lagi. Setelah majikan Grand tidak menepati janji untuk memberikan pekerjaan tetap, dia memaksa Jeanne untuk bekerja untuk menambah pendapatan. Sampai di sini, perlukan sedikit masa untuk memahami apa yang Grand ingin sampaikan sebenarnya. Disebabkan keletihan bekerja, dia beransur-ansur kehilangan dirinya sendiri, menjadi semakin pendiam dan gagal meyakinkan isterinya bahawa dia masih dicintai. Seorang suami yang terlalu kuat bekerja, hidup dalam kemiskinan, harapan masa depan yang semakin pudar, kebisuan di meja makan - apakah masih ada ruang untuk secebis cinta bertahan dalam keadaan sebegitu?

Mungkin Jeanne menderita sekali pada waktu itu. Tetapi dia tidak meninggalkan Grand. Seringkali orang menderita tanpa disedarinya. Begitulah tahun berlalu silih berganti. Kemudian pada suatu hari, Jeanne meninggalkannya. Tentu saja dia tidak pergi seorang diri. “Dulu aku sangat mencintaimu. Tetapi sekarang aku sudah letih. Aku tidak gembira untuk meninggalkanmu begini. Tetapi kegembiraan bukanlah syarat utama untuk tidak memulakan kehidupan baru.” Begitulah lebih kurang apa yang tertulis di dalam suratnya.

Grand juga menderita. Dan dia juga mungkin telah memulakan kehidupan baru, seperti kata Rieux. Tetapi sebenarnya tidak. Dia sudah hilang kepercayaan diri. Dia juga tetap tidak dapat melupakan Jeanne. Apa yang ingin dia lakukan dulu adalah menulis surat kepada Jeanne untuk membela dirinya.

“Bukanlah senang sebenarnya,” kata Grand. “bertahun-tahun saya memikirkan apa yang hendak ditulis. Ketika kami masih saling mencintai, kami tak perlukan sebutir patah kata pun untuk menunjukkannya. Tapi ya lah, orang tak selama-lamanya bercinta. Ada satu masa yang saya fikir saya telah jumpa perkataan yang boleh menahannya daripada pergi. Namun saya tak pernah mampu menemukan perkataan itu.”

Grand mengeluarkan sehelai sapu tangan daripada poketnya dan membuang hingus dari hidungnya. Lalu menyapu kumisnya sekali. Rieux memandangnya dalam diam.

“Maafkan saya, doktor,” kata Grand, “macam mana ya saya nak cakap? Saya percayakan kamu. Sebab itu lah saya ceritakan perkara ini kepada kamu. Tengoklah, saya rasa lebih baik sekarang.”

Sebenarnya, jelas sekali yang Grand tidak berfikir langsung tentang wabak yang melanda itu.

Petang itu, Rieux menghantar telegram kepada isterinya memberitahu bahawa bandar Oran telah ditutup, juga isterinya haruslah menjaga diri baik-baik, dan Rieux selalu terkenangkannya.

Pada suatu petang yang lain, tiga minggu sejak penutupan bandar, Rieux ditegur oleh seorang pemuda ketika dia baru saja beredar dari hospital.

“Masih ingat saya lagi, doktor?”

Rieux mungkin ingat, tapi dia agak ragu-ragu.

“Saya pernah datang ke klinik kamu sebelum semua ini terjadi. Saya datang hendak bertanyakan tentang cara hidup suku Arab. Nama saya Raymond Rambert,” pemuda itu menjelaskan.

“Oh ya, saya ingat. Nampaknya sekarang kamu dah punya bahan berita yang bagus.”

Rambert, yang nampak agak gugup dan tidak seperti perjumpaan pertama kalinya dulu dengan Rieux, menjelaskan tujuannya datang bertemu bukan kerana soalan yang sama. Tapi sebenarnya dia hendak meminta pertolongan.

“Maaf, doktor. Tapi memang saya tidak kenal sesiapa pun di sini. Wakil tempatan akhbar saya pula jenis tak guna,” tambahnya lagi.

Rieux mengajak pemuda itu berjalan bersama-sama ke pusat kesihatan di tengah bandar kerana dia ada urusan di sana. Mereka melewati lorong-lorong kecil di kawasan orang Negro. Siang sudah hendak berlabuh, tetapi bandar yang dulunya agak hingar-bingar pada waktu sebegitu, kini kelihatan sepi. Hanya kedengaran isyarat muzik yang mengumumkan sesuatu yang melatari suasana. Pihak tentera pula masih menjalankan tugas seperti biasa. Sementara itu, semasa mereka sedang melalui jalan-jalan kecil yang diapit dindingdinding berwarna biru merah, dan kuning kunyit, Rambert bercakap dengan sangat gelisah.

Isterinya telah ditinggalkan di Paris, katanya. Bukan sebetulnya isteri sebenarnya, tapi sama saja baginya. Rambert sudah pun mengirimkan telegram ketika bandar baru saja ditutup. Pada awalnya dia menganggap semua kejadian yang berlaku ini adalah sementara saja, jadi dia berusaha untuk mengirimkan surat kepada isterinya. Tetapi pegawai pejabat pos tidak membenarkannya. Rakan-rakannya juga mengatakan mereka tidak dapat buat apaapa. Seorang kerani di pejabat Prefek juga mentertawakannya. Setelah dua jam beratur barulah dia dapat mengirimkan telegram: Semuanya baik-baik saja. Jumpa lagi nanti.

Tetapi, pagi berikutnya, tiba-tiba dia berfikir: berapa lama lagi sebenarnya situasi ini akan berterusan. Jadi dia memutuskan untuk meninggalkan Oran secepat mungkin. Menggunakan statusnya sebagai seorang wartawan, dia dapat menemubual seorang pegawai atasan di pejabat majlis perbandaran. Dia mengatakan yang dia berada di Oran secara kebetulan, tiada hubungan langsung dengan bandar ini, dan tiada alasan untuk dia tinggal lebih lama. Dengan penjelasan itu, sudah tentulah dia harus dibenarkan pulang. Walaupun itu bermakna dia harus dikuarantin apabila sudah berada di luar Oran. Pegawai itu memahami situasi Grand tetapi tiada pengecualian yang dapat dilakukan. Situasi semasa memang genting dan dia tidak dapat berjanji apa-apa pun.

“Tapi saya orang asing di bandar ini!” bantah Rambert kepada pegawai itu.

“Saya faham. Tapi kita berharap sajalah yang wabak ini akan berhenti tak lama lagi.” Di akhirnya, pegawai itu memujuk Rambert dengan mengatakan sebagai wartawan, banyak bahan menarik yang boleh dia temukan di Oran. Dan kalau direnungkan, setiap apa yang berlaku pasti ada sisi baiknya. Rambert hanya menjungkit bahunya dan beredar keluar.

Rieux dan Rambert sudah sampai di tengah bandar.

“Bodoh kan, doktor? Saya tak dilahirkan ke dunia ini untuk menulis berita. Mungkin lebih kepada untuk hidup bersama seorang wanita. Masuk akal tak, doktor?”

Rieux menjawab mungkin ada benar apa yang disebutkannya itu.

Jalan utama di tengah bandar itu tidak sesak seperti biasa. Beberapa orang bergegas pulang ke rumah masing-masing. Tiada sedikit senyuman pun di wajah mereka. Rieux meneka ini mungkin berpunca daripada pengumuman statistik terbaru daripada Jaringan Informasi Randsoc. Biasanya 24 jam selepas pengumuman, penduduk akan mula berharap kembali. tetapi angka statistik yang baru diumumkan itu begitu melekat di ingatan mereka.

“Sebenarnya doktor,” Rambert berkata lagi, “saya dan dia baru saja berkenalan, dan saya rasa sangat cocok sekali dengan dia.”

Rieux diam saja, dan dia menyambung lagi, “Saya boleh nampak yang saya sedang membosankan kamu. Maaf. Sebenarnya saya hanya nak tanya jika kamu dapat memberi surat keterangan yang saya bebas daripada wabak. Saya fikir mungkin ada gunanya.”

Rieux mengangguk. Tiba-tiba seorang budak lelaki tersadung kaki berdekatannya, Rieux menolongnya tegak kembali. Mereka kembali meneruskan perjalanan, sehinggalah sampai di Place d’Armes. Tempat itu penuh dengan debu berwarna kelabu. Daundaun pokok palma dan ara terkulai layu mengelilingi sebuah monumen Republic yang juga diselaputi debu. Mereka berhenti di bawah monumen itu. Rieux menghentakkan kakinya ke tanah, untuk menghilangkan debu-debu yang mengotori pakaiannya. Dia melihat Rambert. Dengan topi yang sedikit ke belakang, tali leher tidak terikat kemas, jambang yang tidak dicukur; memang kelihatan macam seorang pemuda yang terseksa.

“Saya faham perasaan kamu,” kata Rieux, “tapi hujah kamu itu tak betul. Saya tak boleh bagi surat keterangan itu sebab saya tak tahu adakah kamu terkena penyakit itu atau tak. Dan katakanlah saya boleh bagi pun, saya tak boleh pastikan yang dalam masa kamu keluar dari pejabat saya dulu sehinggalah ke pejabat majlis perbandaran, kamu tak terkena jangkitan. Katakanlah…” “Katakanlah?” ulang Rambert.

“Katakanlah saya boleh bagi pun, ianya tak akan membantu.”

“Kenapa?”

“Kerana ada beribu orang di bandar ini yang senasib dengan kamu.

Takkanlah kita nak benarkan mereka juga keluar.”

“Walaupun mereka tak terkena wabak itu?”

“Alasan itu tak kukuh. Saya tahu situasi ini memang tak masuk akal tapi kita semua terlibat sama dan kita kena terima hakikat ini.”

“Tapi saya bukan orang sini.”

“Malangnya, kamu sudah menjadi orang bandar ini. Sama dengan yang lain.”

Rambert mula tidak sabar.

“Ini soal kemanusiaan,” suaranya meninggi, “mungkin kamu tidak faham bagaimana rasanya berpisah dengan orang tersayang.”

Rieux tidak segera menyahut. Kemudian dia cakap yang dia faham semuanya. Dia berdoa agar Rambert dapat kembali semula ke pangkuan isterinya dan semua orang yang saling mencintai dipertemukan semula. Cumanya, sudah ada arahan daripada Prefek dek kerana wabak yang menyerang dan dia hanya dapat menjalankan tugasnya saja.

“Tak,” kata Rambert dengan nada kecewa, “kamu tak faham. Kamu bercakap bahasa logik saja, bukan bahasa hati. Kamu hidup dalam dunia yang abstrak.”

Rieux mengangkat wajahnya ke arah monumen Republik itu. kemudian berkata dia tak tahu pula yang dia bercakap bahasa logik tapi dia tahu yang dia bercakap bahasa fakta seperti orang lain juga. Dan kedua-dua bahasa itu tidak semestinya sama.

Wartawan itu mengetatkan tali lehernya. “Kalau macam itu tidak mengapa, saya akan cari jalan lain,” nada suaranya seakan mencabar, “saya pasti akan tinggalkan bandar ini.”

Rieux mengulangi yang dia faham, tapi itu bukanlah urusannya.

“Maaf, itu memang urusan kamu.” Rambert mengangkat suaranya lagi. “Saya datang kepada kamu kerana saya diberitahu ada juga campur tangan kamu dalam arahan pekeliling yang telah dikeluarkan. Jadi saya fikir kamu boleh ubah keputusan itu. Tapi kamu tidak kisah pun. Kamu tidak kisah kepada sesiapa pun. Kamu tidak fikir pun mereka yang terpisah ini.”

Rieux mengakui itu ada benarnya, yang dia lebih suka tidak memikirkan pun berkenaan mereka itu.

“Oh, patutlah!” kata Rambert lagi. “Nanti kamu akan bercakap tentang kepentingan umum. Padahal kepentingan umum itu datang daripada kebahagiaan setiap orang.”

Rieux kelihatan seperti baru tersentak dari lamunan. “Sebenarnya banyak juga benda lain lagi,” kata Rieux, “jangan terburu-buru sangat. Kamu pun tak patut marah tak tentu pasal. Saya akan senang hati sekali kalau kamu dapat cari jalan keluar daripada masalah kamu ini. Cumanya, kedudukan saya sekarang ini menghalang daripada melakukan perkara-perkara tertentu.” Rambert menggerakkan kepalanya tidak sabar.

“Ya, ya, saya tak patut marah tak tentu pasal. Dan saya pun dah banyak membazirkan masa kamu hari ini.”

Rieux meminta Rambert bersabar dengan usahanya untuk keluar daripada bandar. Dia juga meminta Rambert agar tidak menyimpan dendam kepadanya. Sudah pasti akan ada hal-hal lain yang mereka boleh sependapat.

Rieux kelihatan bingung seketika.

“Ya,” katanya setelah terdiam sejenak, “saya pun rasa begitu juga. Meskipun dengan apa yang telah kita bualkan.” Dia berhenti seketika. “Saya masih tak dapat bersetuju dengan kamu.”

Dia menarik kembali topinya melepasi matanya, dan cepat-cepat melangkah pergi. Rieux melihat dia masuk ke hotel di mana Tarrou menginap.

Sejenak itu dia menganggukkan sedikit kepalanya, seolah menyetujui apa yang terlintas di mindanya. Memang patutlah wartawan itu tidak sabar kerana kebahagiaannya dihalang. Tetapi menuduh Rieux hidup di dalam dunia yang abstrak. Patutkah? Adakah hari-hari yang dia habiskan di hospital di mana wabak meratah 500 nyawa seminggu itu adalah dunia abstrak? Memang betullah ada sedikit elemen abstrak itu; terpisah dari realiti alam, terjun ke lembah kebinasaan. Tetapi apabila dunia abstrak itu sudah mula membunuh manusia, memang patutlah ianya diberi perhatian serius. Dan Rieux tahu ini bukanlah perkara yang mudah. Contohnya, tidak mudah mengurus hospital bantuan yang diketuainya yang kini kesemuanya sudah berjumlah tiga buah.

Dia mengarahkan supaya dibina sebuah ruangan menunggu ketibaan pesakit yang menghala ke bilik bedahnya. Lantai di tengah-tengah hospital digali, dan digantikan dengan kolam berisi campuran air dan asid kresilik. Membentuk seperti sebuah pulau daripada batubata. Pesakit akan dibawa ke pulau itu, pakaiannya ditanggalkan dan dimasukkan ke dalam air penyahjangkitan. Setelah dimandikan dan dikeringkan, pesakit akan dipakaikan dengan pakaian khas pesakit. Pesakit akan diperiksa oleh Rieux sebelum ditempatkan ke salah satu wad.

Hospital ini, dulunya sekolah, sekarang mempunyai 500 buah katil yang sudah hampir penuh. Setelah menguruskan sendiri pendaftaran pesakit, Rieux menyuntikkan serum, membelah bengkak, meneliti laporan rawatan dan pulang ke kliniknya pada waktu tengah hari. Hanya pada waktu malam dia akan melakukan rutin rondaannya dan akan pulang ke rumah bila sudah larut malam.

Pada malam sebelumnya, ibu Rieux perasan tangan anaknya itu menggeletar ketika hendak menyerahkan kiriman telegram daripada isteri Rieux.

“Ya,” jawab Rieux, “Ini sekejap saja, gugup saya akan hilang nanti.”

Rieux mempunyai fizikal tubuh yang kuat dan dia bukanlah letih sangat. Namun demikian, kerja hariannya mula membebankan dirinya. Setelah wabak telah diagnosis, pesakit akan diasingkan. Dan bermulalah dunia abstrak dan segala pergelutannya, kerana pesakit hanya akan kembali bertemu keluarga mereka jika pesakit itu mati atau kembali sembuh. “Kasihanilah kami, doktor!” rayu Puan Loret, ibu kepada pembantu perempuan yang bekerja di hotel tempat Tarrou menginap.

Rayuan yang tidak masuk akal. Memanglah dia punya rasa kasihan.

Tapi apa gunanya merayu-rayu? Dia membuat panggilan, dan bunyi siren ambulans segera kedengaran. Pada fasa awal serangan wabak, jiran tetangga akan membuka jendela dan melihat ke jalan. Di kemudian hari, apabila terdengar saja bunyi siren ambulans mereka akan cepat-cepat menutup jendela. Datang fasa kedua dan mulalah berlaku adegan tarik-menarik, tangisan dan pujukan. Senang cerita, dunia abstraklah. Adegan-adegan gila itu berlangsung di dalam apartmen yang panas dan penuh kebimbangan itu. Tetapi arahan tetap sama. Pesakit akan diangkut, dan Rieux juga dapat beredar.

Di hari-hari awal dulu, dia sekadar menelefon dan terus bergegas untuk berjumpa pesakit-pesakit lain, tanpa menunggu ambulans tiba. Tetapi sekarang keluarga pesakit itu akan menutup dan mengunci pintu rumah mereka sejurus dia beredar. Lebih memilih untuk berdepan dengan penyakit itu daripada perpisahan yang mereka sudah ketahui bagaimana akhirnya. Ini disusuli dengan laungan amaran, jeritan, hentaman di pintu, campur tangan polis dan juga tentera; lalu pesakit diangkut dibawa pergi. Justeru itu, pada minggu-minggu pertama itu Rieux terpaksa menunggu sehinggalah ambulans datang. Kemudiannya, apabila setiap doktor sudah dikawal oleh seorang polis sukarelawan, Rieux akan bergegas berjumpa pesakit lain.

Alkisahnya, malam itu sama seperti malam yang sebelumnya juga ketika dia bergegas untuk merawat anak perempuan Puan Loret. Perempuan ini tinggal di sebuah apartmen kecil yang dihiasi dengan kipas-kipas dan bunga-bunga palsu. Si ibu menyambut ketibaannya sambil tersenyum pucat.

“Harap-haraplah ia bukannya demam yang semua orang tengah cakap tu.”

Ketika menyingkap selimut dan baju kemeja wanita itu, diam-diam Rieux merenung ke arah bintik-bintik merah di paha dan perut perempuan itu; bengkak yang sama. Si ibu melihat sekilas dan lantas suara nyaring memecah suasana, tangisan kesedihan yang tidak dapat dikawal lagi.

Dan begitulah setiap malam, para ibu akan meratap-ratap di hadapan kaki dan perut pesakit yang menunjukkan gejala-gejala yang memberikan petanda maut. Setiap malam, tangan-tangan akan mencengkam lengan Rieux diiringi kata-kata yang tiada gunanya, janji-janji dan runtunan tangisan. Setiap malam, siren ambulans akan menimbulkan adegan-adegan yang penuh dengan segala penderitaan ini. Rieux tidak mampu berbuat apa-apa melainkan hanya mampu melihat adegan yang sama terus berlaku berulang kali. Ya, wabak, sama seperti dunia abstrak; coraknya sama saja.

Mungkin hanya satu yang berubah, iaitu Rieux sendiri.

Di kaki monumen Republik itu, dia merasakannya. Dia menyedari kelalaian mula menguasai dirinya ketika dia melihat Rambert menghilang di balik pintu hotel itu.

Setelah minggu-minggu yang meletihkan ini, dengan para penduduk yang berjalan tanpa arah tujuan setiap kali waktu senja, Rieux faham yang dia tidak perlu lagi merasa belas kasihan. Rasa belas kasihan itu tidak ada gunanya. Dengan perasaannya yang dirasakan itu, dia menemukan satu-satunya kelegaan setelah hari-hari yang memenatkan. Dia tahu, ini akan lebih memudahkan kerjanya dan dia merasa gembira. Apabila dia pulang ke rumah pada pukul dua pagi, ibunya terkejut dengan pandangan kosong di mata Rieux.

Ibunya sedih dengan seksaan jiwa yang dihadapi oleh Rieux. Untuk melawan dunia abstrak, kita harus mempunyai sesuatu yang abstrak juga.

Tetapi bagaimana untuk membuat Rambert faham? Dunia abstrak bagi Rambert adalah semua yang berlawanan dengan kebahagiaannya. Pun begitu, Rieux mengakui dari satu sudut, kata wartawan itu ada benarnya. Tapi dia juga tahu, kadang-kadang dunia abstrak telah membuktikan ia lebih kuat berbanding kebahagiaan. Dan sampai suatu masa nanti kita harus menerimanya.

Demikianlah pula yang akan terjadi kepada Rambert nanti. Rieux akan tahu lebih lanjut lagi melalui cerita yang akan diberitahu oleh Rambert sendiri. Justeru, dia akan dapat mengikuti, dari sudut pandang yang lain, sebuah perjuangan suram antara kebahagiaan setiap manusia dan dunia abstrak wabak itu, yang akan membentuk seluruh kehidupan di bandar kami untuk satu tempoh yang panjang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience