Peristiwa aneh di dalam cerita ini terjadi pada tahun 1940… di Oran. Semua orang sependapat yang kejadian luar biasa seperti itu tidak sepatutnya berlaku di tempat itu. Sebab paling utama, Oran adalah sebuah bandar biasa saja, tidak lebih daripada sebuah pelabuhan jajahan Perancis, juga sebagai pusat pentadbiran Perancis di kawasan pantai Algeria.
Oran bukanlah sebuah bandar yang cantik. Namun udaranya begitu nyaman sekali. Sebab itu diperlukan masa untuk sedar apa yang membezakannya dengan mana-mana bandar perdagangan yang lain. Cuba bayangkan sebuah bandar tanpa burung-burung, rimbunan pokok atau kebun? Juga tanpa bunyi kepak-kepak sayap atau gemersik dedaunan? Pendek kata, sebuah bandar yang kosong. Peralihan musim hanya boleh ditentukan dengan melihat ke langit. Musim bunga hanya boleh diketahui seiring perubahan udara atau dengan kelihatannya bakul yang penuh dengan bunga yang dibawa oleh para penjual dari pinggir bandar; menunjukkan jualan musim bunga sudah bermula di pasar. Pada musim panas, bahang matahari membakar rumah-rumah kekeringan hinggakan dinding-dinding penuh dilitupi debu berwarna kelabu. Ketika itu, penduduk hanya mampu bertahan dengan mengurungkan diri di dalam rumah. Musim gugur adalah sebaliknya. Penduduk ditimpa pula dengan banjir lumpur yang teruk. Cuaca yang menyenangkan hanya tiba pada musim sejuk.
Mungkin saja cara yang paling mudah untuk mengenal sebuah bandar adalah dengan melihat bagaimana penduduknya menjalani kehidupan; bekerja, berkahwin dan mati. Di bandar kecil kami, itulah kebiasaannya. Hakikatnya, penduduk merasa bosan, lantas mula berusaha menambah baik kehidupan masing-masing. Mereka bekerja keras, tapi hanya kerana untuk kaya. Keutamaan mereka adalah berdagang, atau dalam kata lainnya, mencari keuntungan. Tentu saja mereka juga menyukai hiburan-hiburan ringan seperti berfoya-foya, menonton wayang dan mandi-manda di laut. Kebiasaannya mereka akan menangguhkan aktiviti sedemikian ke hujung minggu dan hari-hari lainnya akan dimanfaatkan dengan bekerja. Pada waktu petang, ketika pulang daripada pejabat, mereka akan berkumpul di kafe, berjalan-jalan atau menghirup udara di balkoni. Kecenderungan aktiviti golongan muda selalunya tidak terkawal namun ia bersifat sementara saja. Sedangkan bagi golongan yang lebih dewasa, ketagihan mereka hanyalah terhadap boules (permainan lempar peluru), ke majlis makan malam atau ke kelab judi.
Hal ini tidak hanya terjadi di bandar kami saja, bahkan di bandarbandar lain juga. Sekarang ini, sudah menjadi kebiasaan untuk melihat seseorang bekerja dari pagi hingga ke petang, kemudian menghabiskan masa berjudi, minum di kafe serta berbual-bual. Walau bagaimanapun, masih ada bandar atau negara di mana penduduknya mempunyai pengetahuan tentang sesuatu yang berbeza. Walaupun ia tidaklah mengubah kehidupan mereka secara umumnya. Namun begitu, ia sudah lebih baik daripada tiada apaapa. Oran, sebaliknya, adalah sebuah bandar yang betul-betul moden. Oleh sebab itu tidak perlu lagi dijelaskan bagaimana cara orang kami bercintaan; hubungan luar nikah yang berleluasa, atau hidup berdua-duaan tanpa ikatan yang sah. Jarang untuk menemukan situasi yang pertengahan antara kedua-dua ekstrem ini. Tetapi situasi ini bukan hanya ada di Oran sahaja. Di tempattempat lain juga, keterbatasan masa dan pengetahuan seakannya memaksa manusia bercinta tanpa mengetahui maksud cinta itu sendiri.
Apa yang lebih luar biasa di bandar kami ini adalah betapa sukarnya seseorang dalam menghadapi saat-saat akhir hidupnya. Atau mungkin, “tidak selesa” itu lebih tepat, berbanding “sukar”. Menderita sakit tidak pernah menjadi suatu hal yang menyenangkan. Di banyak bandar dan negara, orang yang sakit akan dibantu. Sekurang-kurangnya itu akan menenangkan hati mereka sebelum meninggal dunia. Orang yang sakit memerlukan perhatian. Sudah lumrah bagi mereka untuk bergantung harap sebegitu.
Tetapi di Oran, dengan suhu iklim yang melampau, kesibukan orang dengan perniagaan, persekitaran yang kering, waktu siang yang singkat dan dengan berbagai hiburan yang ada, semua ini memerlukan kesihatan. Orang yang sakit di bandar ini tentulah berasa dilupai. Bayangkan bagaimana seseorang yang sedang nazak, terkurung di balik ratusan dinding yang menguap kepanasan, sedangkan pada masa yang sama semua penduduk sedang sibuk dengan kehidupan masing-masing. Jelaslah bagaimana “tidak selesa”nya menghadapi mati itu apabila kematian datang meragut di sebuah tempat yang kering, walaupun dalam keadaan hidup serba moden,.
Beberapa keterangan itu barangkali sudah cukup untuk memberi gambaran tentang bandar kami. Namun itu bukanlah persoalan utama sebenarnya. Apa yang lebih penting sebenarnya ialah tentang bandar itu sendiri dan kehidupan penduduknya. Apabila seseorang itu sudah mempunyai kebiasaan yang akan dilakukan dalam kehidupannya, dia akan dapat menjalani hari-harinya dengan mudah. Oleh kerana itulah adatnya, maka segalanya dalam keadaan baik saja. Harus diakui, kehidupan sebegitu tidaklah menyeronokkan sangat pun sebenarnya. Tetapi sekurang-kurangnya di tempat kami tidak berlakunya pemberontakan. Dan dengan sikap kami yang peramah, mesra, dan rajin membuatkan kami dihormati oleh para pengunjung. Walau dengan segala kekurangan yang ada, Oran seolah-olahnya kelihatan tenang dan dalam sekelip mata, seseorang boleh terus terpejam mata dan tidur.
Bandar ini juga berada pada kedudukan yang unik - di tengah-tengah daratan yang kosong, dikelilingi bukit-bukau yang bercahaya serta berada di hadapan sebuah teluk yang sempurna lekuknya. Cuma satu kekurangan saja, ianya terletak membelakangi teluk tersebut, sehingga laut tidak kelihatan.
Sehingga sekarang, senang ceritanya penduduk kami tidak mempunyai sebarang penjelasan tentang bagaimana tercetusnya peristiwa yang berlaku pada musim bunga tahun itu, yang juga merupakan tanda-tanda awal saja daripada rentetan peristiwa genting yang bakal kami hadapi. Peristiwa ini mungkin akan nampak biasa saja kepada sesetengah orang, tapi akan kelihatan luar biasa kepada yang lainnya. Walau bagaimanapun, penulis catatan ini tidak boleh mempedulikan perbezaan ini. Tugasnya hanyalah untuk mengatakan: “Ini yang telah terjadi,” jika dia memang mengetahui ianya benar-benar terjadi; bahawa peristiwa itu mengorbankan nyawa semua penduduk, sehingga ada ribuan saksi yang akan mengakui kebenaran kata-kata penulis.
Akhirnya, penulis (yang akan didedahkan identitinya kelak) tidak akan menceritakan semuanya ini jika tiada padanya maklumat yang banyak. Inilah kewajarannya sebagai seorang ahli sejarah. Menjadi kebiasaan bagi seorang ahli sejarah untuk mempunyai sumber maklumatnya yang tersendiri. Itulah yang dimiliki oleh penulis catatan ini. Pertama, pengalamannya sendiri. Kedua, pengalaman saksi-saksi yang lain. Dan yang paling akhir adalah maklumatmaklumat yang datang kepadanya sendiri. Sememangnya niat penulis untuk menggunakan semua maklumat ini seperti yang diinginkannya.
Sekarang, sudah tiba masa untuk kita mengakhiri catatan permulaan ini dan memulakan cerita itu sendiri. Beberapa penerangan ringkas akan diberikan untuk permulaan ini.
Share this novel