BAHAGIAN EMPAT : BAB EMPAT

Others Completed 4183

Sejak menyertai menyertai perkumpulan sukarelawan, Paneloux banyak menghabiskan masanya di hospital dan tempat-tempat yang dijangkiti wabak. Dia berada di tempat yang dia kira wajib baginya, iaitu di barisan paling hadapan. Dia telah menyaksikan banyak kematian. Walaupun secara teorinya dia dilindungi oleh suntikan serum, tapi dia sedar yang kematian boleh datang menjemputnya bila-bila masa. Dia selalu nampak tenang. Tapi sejak dia melihat seorang anak kecil meninggal dunia, dia sudah berubah. Perlahanlahan kelihatan di wajahnya satu tekanan. Pada suatu hari, sambil tersenyum dia berkata kepada Rieux yang dia sedang menyiapkan sebuah esei ringkas bertajuk “Dapatkah seorang paderi menasihati seorang doktor?” Pada waktu itu Rieux merasakan esei itu merupakan sesuatu yang lebih serius daripada apa yang dikatakan Paneloux. Sewaktu Rieux berkata yang dia ingin tahu dengan lebih lanjut, Paneloux menjawab yang dia perlu memberi khutbah dalam satu misa untuk kaum lelaki. Dalam kesempatan itulah dia akan mengemukakan beberapa pendapat tentang soalannya itu.

“Saya harap kamu boleh datang, doktor. Temanya akan menarik perhatian kamu.”

Angin bertiup kencang pada hari Paderi Paneloux menyampaikan khutbah keduanya. Terus terang, kehadiran kali ini lebih sedikit berbanding ketika khutbah pertama. Sebabnya, persembahan semacam itu tidak lagi memiliki daya tarikan yang baru bagi penduduk bandar kami. Dalam keadaan sukar yang dialami seluruh bandar, perkataan baru itu sudah tidak hilang maknanya. Tambahan pula, jikalau mereka tidak meninggalkan segala tuntutan agama mereka pun, atau tidak mempraktikkan agama dalam kehidupan seharian mereka pun, mereka mengganti segala ritual tersebut dengan amalan yang biasa. Contohnya, dengan menghadiri misa, percaya dengan benda khurafat yang keterlaluan. Mereka lebih suka memakai tangkal St. Roch berbanding menghadiri misa.

Sebagai contoh, dapat disebutkan kepercayaan penduduk terhadap ramalan-ramalan yang sudah mendarah daging. Memang betul, mereka berharap wabak itu akan akan berakhir dalam suatu masa pada musim bunga. Dan tak seorang pun bertanya berapa lama wabak akan berterusan kerana mereka yakin ianya tidak akan berlangsung lama. Tapi, semakin bertambah hari, penduduk mula bimbang kalau-kalau bencana itu tidak akan berhenti, dan pada waktu itulah, pengakhiran wabak menjadi harapan tunggal semua orang. Begitulah para penduduk saling bertukar ramalan yang datang dari ahli nujum atau orang-orang suci gereja Katolik. Kedai-kedai percetakan di bandar Oran melihat keuntungan yang dapat dihasilkan daripada kegilaan orang ramai terhadap ramalan ini. Mereka mencetak sejumlah besar teks-teks ramalan tersebut. Ketika perasaan ingin tahu penduduk masih belum puas, kedai percetakan membuat kajian, mencari bahan-bahan di perpustakaan bandar, mengorek kembali sejarah dan peristiwa-peristiwa yang boleh diceritakan sebagai bahan ramalan untuk diterbitkan dan dijual. Dan ketika buku-buku sejarah itu pun sudah kehabisan sumber, mereka akan mengupah wartawan untuk menulis ramalan dan ini menunjukkan, wartawan pun tidak kurang hebatnya berbanding rakan sejawatan mereka dari zaman lampau.

Ramalan-ramalan tersebut bahkan terbit sebagai cerita bersiri di dada-dada akhbar. Ia mendapat perhatian yang sama banyaknya dengan dengan kisah-kisah cinta sebelum wabak melanda. Sesetengah ramalan berdasarkan kiraan yang aneh melibatkan tarikh pada tahun itu, jumlah kematian, dan bilangan bulan-bulan yang telah dilalui bersama wabak. Ramalan-ramalan yang lain membuat perbandingan dengan wabak-wabak dahsyat yang pernah terjadi dalam sejarah, lalu membuat persamaan. Ramalan itu disebutkan bertahan dan berulang. Kemudian membuat kesimpulan yang tidak kurang anehnya, menganggap sudah menemukan pengajaranpengajaran yang dapat diambil daripada wabak yang melanda. Tetapi yang paling digemari oleh masyarakat Oran adalah yang menggunakan bahasa wahyu, mengaitkan rentetan peristiwa yang terjadi di Oran dan kesamaannya yang memungkinkan berbagai penafsiran. Demikianlah, Nostradamus (seorang doktor dan ahli astrologi Perancis, (1503-1566), terkenal dengan tulisannya yang mengandungi ramalan) dan St. Odilia (wanita suci pendiri sebuah biara di wilayah Alsace, Perancis) dibaca setiap hari dan selalu saja memberi hasil yang sama seperti semua jenis ramalan. Sebenarnya ada satu perkara yang menyamakan semua ramalan ini, iaitu ianya menenangkan penduduk. Hanya wabak jugalah yang tetap tidak menenangkan.

Justeru, khurafat ini menggantikan agama kepada penduduk bandar kami. Oleh kerana itulah Paderi Paneloux berkhutbah di gereja yang tidak penuh. Sewaktu Rieux tiba di malam khutbah itu, angin menyelinap melalui pintu masuk, lalu memenuhi ruang udara di kalangan hadirin. Gereja menjadi dingin dan sepi. Rieux mengambil tempat di kalangan hadirin daripada kaum lelaki. Suasana lebih tenang berbanding khutbah pertama dulu. Beberapa kali, hadirin merasakan ada keraguan dalam khutbah si paderi. Dan satu hal yang aneh, dia tidak lagi menggunakan “kalian”, tetapi “kita”.

Sedikit demi sedikit, suaranya menjadi lebih tegas. Dia mulai dengan mengingatkan,

“Sudah berbulan-bulan wabak berada di antara kita. Sekarang kita telah mengenalinya lebih baik, kerana telah melihat dia berkalikali duduk dan makan bersama kita, atau di samping tempat tidur mereka yang kita cintai. Juga berjalan berdekatan kita dan menunggu di tempat kerja kita. Barangkali kita sudah lebih memahami apa yang dia seringkali katakan; ucapan pada saat-saat pertama dulu yang kita tidak perhatikan.”

Paderi itu meneruskan, bahawa apa yang dia katakan dalam khutbahnya di atas mimbar itu pada beberapa bulan lalu tetap merupakan kebenaran. Tetapi, sebagaimana yang telah didengari oleh semua orang, caranya menggambarkan kebenaran itu mungkin agak keras. Walau bagaimanapun, ianya tetap tidak dapat dinafikan dan harus diingati. Segala mehnah, walaupun kejam, merupakan satu keberuntungan bagi penganut Kristian. Justeru apa yang perlu dicari adalah hikmahnya. Apakah keberuntungan tersebut, dan bagaimana menemukan hikmah tersebut.

Pada waktu itu, orang di sekeliling Rieux nampak bersandar di bangku-bangku, menjadikan keadaan mereka seselesa mungkin. Salah satu daripada pintu gereja yang tebal, bergerak perlahan ditiup angin. Seseorang menahannya. Perhatian Rieux teralih dengan kejadian itu sehingga hampir si paderi meneruskan khutbahnya. Kandungannya lebih kurang berbunyi,

“Kita boleh cuba memahami kejadian yang ditimbulkan oleh wabak ini, tapi yang lebih penting, adalah untuk mencari hikmah di sebaliknya.”

Menurutnya, tiada apa lagi yang perlu diperjelaskan. Itulah lebih kurang yang difahami Rieux. Lalu dia kembali memberi perhatian. Dengan keras Paneloux mengatakan hal yang bersangkut paut dengan Tuhan ada yang dapat dijelaskan, ada yang tidak. Tentu saja ada kebaikan dan kejahatan. Dan dengan mudah orang akan dapat membezakan kedua-duanya. Tapi dalam kejahatan ada kesukarannya. Contohnya, ada kejahatan yang memang diperlukan, dan ada yang tidak diperlukan. Ada lelaki kasanova yang masuk ke dalam neraka, ada yang kematian anak. Memang patut seorang lelaki yang tidak menghormati wanita dimusnahkan, tapi kita melihat tiada sebab untuk anak kecil menderita. Dan sebenarnya, tiadalah yang lebih penting di dunia ini selain daripada penderitaan anak kecil, kengerian yang timbul daripada penderitaan itu, dan sebabsebabnya yang harus dicari. Ketika hari-hari biasa, sehinggalah hari-hari awal wabak melanda, agama seakan tiada gunanya. Dan sekarang Tuhan telah menguji kita. Kita berada di dalam kurungan dinding wabak, dan di bawah bayangan kematian itulah kita mesti menemukan keberuntungan kita. Rieux menolak bahawa ada jalan mudah, seperti menggunakan alatan untuk memanjat keluar daripada kurungan wabak ini. Sebenarnya boleh saja dia kata yang kenikmatan yang kekal abadi akan menunggu anak kecil yang mati itu, sebagai satu penebusan kerana penderitaan yang dialaminya. Tapi Paneloux tidak mengetahui tentang itu. Siapa yang berani jamin bahawa kebahagiaan yang abadi akan dapat mengimbangi rasa sakit manusia yang sesaat itu? Sesiapa yang berani menjamin perkara itu pastilah bukan seorang penganut Kristian yang sebenar, bukan seorang pengikut Jesus yang mengenal rasa sakit di seluruh tubuh dan jiwanya. Tidak. Paneloux akan tetap berdiri teguh di dinding itu, setia kepada simbol terhebat lambang segala penderitaan pada sebatang tubuh yang disalib, untuk berhadapan dengan penderitaan anak kecil. Dan hari itu, tanpa rasa takut dia berkata kepada hadirin di gereja,

“Saudara-saudaraku sekalian, masanya telah tiba. Kita harus mentaati segalanya, atau mengingkari segalanya. Dan siapa di antara kalian, yang berani untuk mengingkari segalanya?”

Terlintas di fikiran Rieux yang hampir melanggar tradisi agama. Tapi dia tidak kuasa memikirkannya, kerana paderi itu meneruskan lagi dengan berkata, lantang dan penuh keyakinan, bahawa perintah dan tuntutan suci ini dulunya merupakan satu keberuntungan dan nilai bagi umat Kristian. Paderi menyedari apa yang akan dia bicarakan nanti akan mengejutkan mereka yang sudah terbiasa dengan cara faham agama yang kuno. Tapi agama pada masa wabak tidak sama dibandingkan hari-hari biasa. Seandainya Tuhan mengkehendaki supaya jiwa-jiwa ini beristirehat dan bersenang-lenang di masa kebahagiaan, sudah tentu Dia juga inginkan agama itu istimewa di saat bencana menimpa dan memberikan perlindungan yang maha hebat kepada penduduk. Segalanya itu atau tidak sama sekali.

Seorang penulis yang murtad pada masa lalu mendakwa telah membocorkan salah satu rahsia gereja. Rahsia yang dimaksudkannya adalah tiada amalan setengah-setengah. Yang ada hanya syurga atau neraka. Seseorang boleh terselamat atau dihukum mengikut pilihan masing-masing. Semua dosa adalah tidak terampun dan kejahilan adalah satu jenayah. Itulah maksudnya atau tidak sama sekali. Menurut Paneloux, itu adalah bidaah yang hanya timbul dari jiwa yang kacau. Neraka memang wujud. Tapi ada masa-masanya neraka tidak menelan orang yang berdosa, masa-masa di mana mustahil untuk neraka menelan pelaku dosa yang dapat dimaafkan.

Paneloux berhenti sejenak. Dari celah bawah pintu, Rieux mendengar siulan angin di luar yang semakin jelas kedengaran, menandakan ianya bertambah kencang. Kemudian paderi meneruskan lagi, bahawa nilai penerimaan mutlak yang dia pernah sebut dulu, tidak boleh difahami dengan sebegitu mudah sahaja. Ia bukanlah tanda berserah diri, tapi tidak juga rasa rendah diri. Ianya satu kerendahan hati, namun satu kerendahan hati yang sepenuh hati. Memang betul, penderitaan seorang anak kecil memberi kehinaan kepada jiwa dan minda. Dan sebab itulah kita harus berdepan dengannya. Sebab itu juga, Paneloux meyakinkan hadirin yang dia ingin katakan ini tidaklah mudah; oleh kerana penderitaan ini adalah kemahuan Tuhan, maka kita pun harus berhajat kepadanya. Dengan cara sedemikianlah penganut Kristian akan menghadapi masalah tersebut tanpa kompromi; kerana semua pintu pilihan telah tertutup, mereka terus menuju kepada pilihan yang utama. Mereka memilih untuk percaya segalanya, supaya tidak akan terpaksa membantah semuanya. Seperti wanita-wanita yang sekarang berada di gereja dan berdoa, “Tuhanku! Berikanlah kepadanya bengkak-bengkak!” kerana mereka telah diberitahu yang bengkak adalah simptom normal bagi mereka yang dijangkiti wabak. Dengan itu, penganut Kristian seharusnya tahu pasrah kepada takdir, meskipun dia tidak mengerti akan takdir itu. Salah untuk seseorang berkata, “saya faham tapi saya tak boleh terima.” Kita harus membuang perasaan “tak boleh terima” itu, kerana ianya akan menghalang pilihan kita. Penderitaan anak-anak kecil adalah buah kesengsaraan kita. Tetapi tanpa makanan ini, jiwa kita akan mati kerana kelaparan spiritual.

Suara berbisik-bisik yang biasanya menyusul saat paderi itu berhenti sejenak, mula kedengaran. Tanpa mengharapkan bunyi itu, lantas dia meneruskan. Dengan meletakkan dirinya di pihak pendengar, dia bertanya apa yang patut dilakukan. Dia memastikan perkataan “fatalisme” akan diucapkan. Dia tidak akan teragak-agak menggunakan perkataan itu, memandangkan dia boleh menambah kata sifat “aktif”. Sudah tentu kita tidak perlu meniru cara penganut Kristian di Ethiopia yang telah diperkatakan sebelum ini. Bahkan tidak perlu berfikir seperti orang yang ditimpa wabak di Parsi yang melemparkan pakaian mereka ke arah petugas kesihatan Kristian, sambil berseru mudah-mudahan Tuhan menimpakan wabak kepada orang-orang yang tidak beriman kerana memerangi penyakit kiriman-Nya. Sebaliknya juga, kita tidak perlu meniru para paderi ketika Wabak Mesir pada zaman lampau. Mereka menghalau serangga menggunakan penyepit, supaya tidak langsung menyentuh mulutnya yang basah dan panas yang dianggap menjadi punca penularan. Orang-orang Parsi yang terkena wabak dan paderi-paderi Mesir itu sama-sama berdosa. Kerana yang pertama, kematian anak kecil tidak bererti apa-apa. Sementara yang kedua, rasa takut kepada kesakitan itu terlalu kuat. Dalam kedua-dua kes ini, masalah yang sebenarnya disembunyikan adalah, mereka tidak mendengar suara Tuhan.

Penulis menyampaikan banyak lagi contoh yang lain. Menurut penulis catatan peristiwa Maut Hitam di Marseille, kononnya di antara 81 orang paderi yang menghuni biara La Mercy, hanya 4 orang yang terselamat. Dan dari 4 orang ini, 3 orang melarikan diri. Begitulah catatan penulis itu, dan bukan tugasnya untuk menceritakan lebih daripada itu. Tetapi ketika membaca catatan itu, fikiran Paneloux melayang kepada seorang saja paderi yang tinggal itu. Dia seorang diri menghadapi 70 mayat kawannya! Dengan 3 orang kawannya yang telah melarikan diri! Lalu Paneloux menumbuk tangannya ke birai mimbar sambil menyeru,

“Saudara-saudaraku! Kita harus menjadi ‘dia’ yang tinggal itu!”

Paneloux meneruskan lagi, bahawa itu tidak bererti kita menolak sebarang langkah untuk mencegah penyakit itu. Sebabnya ia merupakan perkara yang baik untuk masyarakat dalam tempoh bencana. Kita harus bergerak maju, meraba-raba jalan kita dalam kegelapan, untuk mencuba berbuat kebaikan. Untuk selainnya, kita harus berpegang teguh dan pasrah dengan ketentuannya, walaupun melibatkan kematian anak sendiri, tanpa meminta penangguhan pun daripada-Nya.

Kemudian si paderi menceritakan pula tentang Biskop Belzunce ketika peristiwa Maut Hitam di Marseille. Menghampiri hujung waktu wabak, setelah melaksanakan tugas yang patut dikerjakan dan menyangka tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan, dia membina dinding di sekeliling rumahnya, lalu mengurung diri di dalamnya bersama bekalan makanan yang sudah disediakan. Penduduk yang pada mulanya menyukai dan menghormatinya, bertindak melawannya. Mereka marah dengan perbuatan biskop itu, lalu meletakkan mayat-mayat di sekeliling rumahnya bertujuan untuk menyebarkan jangkitan. Sehinggakan ada yang melemparkan mayat melepasi dinding rumahnya, untuk memastikan biskop benar-benar terbunuh. Demikianlah, terdorong oleh masa lemahnya, dia menyangka dapat menyendiri daripada dunia luar. Tapi tidak semena-mena pula mayat-mayat yang berjatuhan dari langit menimpa kepalanya.

“Begitu juga dengan kita. Seharusnya kita berfikir tiada pulau di tengah lautan wabak. Tiada. Tiada jalan yang pertengahan. Kita harus menerima takdir ini, iaitu dengan kematian anak-anak, kerana kita harus memilih, sama ada membenci Tuhan atau mencintaiNya. Dan siapa yang berani memilih untuk membenci-Nya?” Akhirnya memberi isyarat akan segera sampai pada kesimpulannya.

“Saudara-saudaraku sekalian! Cinta Tuhan adalah cinta yang sukar. Dia mengharapkan kepasrahan yang mutlak dan tiada kepentingan diri. Hanya Dia-lah yang dapat menghentikan penderitaan serta kematian anak-anak. Pendek kata, hanya Dia saja yang boleh menentukan sama ada penderitaan dan kematian itu perlu atau tidak, kerana kedua-duanya tidak mungkin difahami, dan kita hanya boleh akur. Itulah pelajaran sukar yang ingin saya kongsi dengan kalian. Itulah kepercayaan. Kejam di mata manusia, tetapi penting di mata Tuhan. Kita harus mendekatkan diri kita dengan pandangan Tuhan itu. Dalam bayangan yang menakutkan itu kita semua harus bersatu. Di atas puncak ini semua akan menyatu dan menjadi sama, kebenaran akan muncul dari sesuatu yang menyerupai ketidakadilan. Demikianlah, banyak korban wabak tidur sejak berabad lamanya di bawah lantai mimbar di beberapa gereja di selatan Perancis. Paderi-paderi berkhutbah di atas kuburan mereka, dan semangat yang tersebar muncul dari debu sisa tulang-belulang mereka, di mana anak-anak juga menyebarkan bahagian mereka.” Ketika Rieux keluar, angin keras menerpa masuk melalui pintu yang setengah terbuka, lalu menyerang wajah para hadirin. Angin itu membawa bau hujan ke dalam gereja, juga bau jalan tar yang basah yang membuat hadirin dapat meneka bagaimana keadaan bandar sebelum mereka keluar. Seorang paderi tua dan pemuda diaken (calon paderi) berjalan di hadapan Rieux. Kedua-duanya bersusah payah memegang topi mereka. Pun begitu, paderi tua itu tidak berhenti memberi komentar terhadap khutbah yang baru disampaikan. Dia memuji kepetahan Paneloux, tetapi bimbang dengan pendapatnya yang agak berani. Menurutnya, khutbah tersebut lebih memperlihatkan ketidaksenangan berbanding kekuatan. Padahal bagi seorang paderi berumur seperti Paneloux tidak perlu bimbang. Dengan kepala menunduk dia melindungi diri daripada angin. Diaken itu menegaskan dia sering bertemu dengan Paneloux dan mengikuti perkembangan pemikirannya. Dia percaya, buah fikirannya yang akan datang akan kedengaran lebih keras lagi, bahkan mungkin tanpa melalui keizinan gereja.

“Sebenarnya apa idea dia?” tanya paderi tua itu.

Mereka tiba di halaman utama gereja. Deruan angin yang kuat mengganggu kata-kata calon paderi itu. Ketika sudah reda, dia berkata,

“Tak masuk akal untuk seorang paderi meminta pertolongan seorang doktor.”

Ketika diberitahu kandungan khutbah Paneloux oleh Rieux, Tarrou mengatakan yang dia pernah mengenali seorang paderi yang telah hilang kepercayaan ketika zaman perang, iaitu selepas paderi itu melihat seorang pemuda dengan kedua-dua belah matanya hancur. “Paneloux memang betul,” kata Tarrou, “apabila seorang yang tidak berdosa boleh hancur kedua-dua matanya, seorang paderi sama ada akan hilang kepercayaan atau rela untuk kedua-dua matanya juga hancur. Paneloux tak mahu hilang kepercayaan dia. Dan dia akan berpegang teguh. Itulah yang dia nak cakap dalam khutbahnya.”

Mungkinkah pemerhatian Tarrou ini dapat menerangkan tentang peristiwa sedih yang terjadi seterusnya, membuatkan kelakuan Paneloux tidak difahami oleh kelompoknya? Pembaca akan memutuskan hal itu sendiri.

Beberapa hari selepas khutbah, Paneloux sibuk berpindah rumah. Perkembangan wabak pada waktu itu menyebabkan orang tidak henti-henti berpindah-randah. Sebagaimana hal Tarrou yang terpaksa meninggalkan hotel dan menetap di rumah Rieux, Paneloux juga meninggalkan apartmen yang disediakan oleh kelompok gereja. Dia berpindah ke rumah seorang wanita tua yang ada hubungan rapat dengan gereja, serta masih terselamat daripada jangkitan. Ketika dalam proses berpindah, paderi merasa keletihan dan rasa cemasnya bertambah. Oleh sebab itulah dia kehilangan rasa hormat tuan rumah barunya.

Pada suatu malam, ketika wanita tua itu menunjukkan ramalanramalan St. Odilia, Paneloux memperlihatkan ketidaksabarannya, jelas berpunca daripada keletihannya. Selepas kejadian itu, dia berusaha berkali-kali untuk memujuk tuan rumahnya itu tetapi siasia. Ketidaksabarannya telah menimbulkan kesan yang tidak baik. Setiap malam, ketika hendak kembali ke biliknya, yang dipenuhi perabot beralaskan kain sulam, dia terpaksa menghadap bahagian belakang tuan rumahnya yang duduk di ruang tamu. Wanita itu mengucapkan “selamat malam, paderi” dengan suara kaku dan tanpa menoleh ke arah Paneloux yang membawa sapaan itu ke biliknya. Pada suatu malam seperti itulah, ketika hendak tidur, Paneloux merasa kesakitan yang teramat di kepalanya. Demam yang terpendam sejak berhari-hari menyerangnya keras mengaliri pergelangan tangan dan dahinya.

Peristiwa sedih yang seterusnya itu hanya diketahui melalui cerita tuan rumahnya. Wanita itu bangun awal pagi seperti biasanya. Selepas sejam atau lebih berlalu, dia hairan melihat paderi itu tidak keluar, meskipun ragu-ragu dia mengetuk juga pintu bilik si paderi. Wanita tua itu melihat paderi itu masih terbaring dan berkata kepadanya dia tidak dapat tidur semalaman. Dia menderita sesak nafas, wajahnya nampak lebih merah daripada biasa. Tuan rumah itu mencadangkan untuk memanggil doktor, tetapi ditolak mentahmentah. Perkara itu sangat dikesali. Dia pun beredar meninggalkan bilik.

Selepas itu, Paneloux menyuruh pembantu rumah memanggil wanita tua itu. Dia minta maaf di atas sikapnya tadi, dan memberitahu yang dia bukanlah terkena wabak, bahkan tiada satu simptom pun. Hanya keletihan sementara saja. Dengan tegas wanita itu menjawab, cadangannya itu bukanlah kerana itu, dia juga tidak mementingkan kesihatannya sendiri yang mana berada di tangan Tuhan. Tetapi dia memikirkan kesihatan si paderi, kerana dia berasa bertanggungjawab. Melihat Paneloux tidak bercakap apa pun, wanita itu mencadangkan sekali lagi untuk menghubungi doktor, menunaikan kewajipannya sebagai tuan rumah. Tetapi si paderi menolak lagi disertai alasan-alasan yang membingungkan tuan rumah. Dia memahami paderi itu menolak cadangannya kerana bertentangan dengan prinsip paderi itu. Tuan rumah berpendapat bahawa demam itu telah membuat fikiran Paneloux terganggu.

Kemudian dia tidak berbuat apa-apa lagi, kecuali membawakan secawan teh kepada paderi.

Namun dia tetap ingin menunaikan kewajiban dengan sebaiknya, dia menjenguk si paderi setiap dua jam sekali. Kegelisahan si paderi berterusan sepanjang hari, dan ini sangat mencemaskan tuan rumah. Paneloux menyingkap selimut, lalu menutup kembali ke tubuhnya. Dia mengusap dahinya yang basah itu tanpa henti. Kerap juga bangkit untuk membersihkan tekaknya dari kahak dengan batuk yang kuat, kedengaran seperti tercekik. Seolah-olah dia bergelut untuk mengeluarkan gumpalan kapas yang tersumbat di jantungnya. Setiap kali selepas itu, dia merebahkan diri semula, kehabisan tenaga. Kemudian dia bangkit lagi, memandang ke hadapan sejenak dengan renungan kaku yang nampak lebih dari kegelisahan sebelumnya. Pun begitu, wanita itu masih raguragu ingin menghubungi doktor, bimbang itu akan membuatkan si paderi itu tidak senang hati. Mungkin penyakit itu tidak lebih daripada demam pun, walaupun kelihatan sangat teruk.

Walau bagaimanapun, pada waktu tengah hari, dia cuba untuk bercakap dengan si paderi, dan hanya mendapat jawapan berupa beberapa kata racauan. Wanita itu mengulangi cadangannya untuk memanggil doktor. Lalu si paderi bingkas bangun, dalam keadaan setengah tercekik dia menjawab yang dia tidak mahukan doktor. Waktu itu, tuan rumah memutuskan untuk menunggu sehingga keesokan harinya. Jika keadaan paderi itu masih tidak bertambah baik, dia akan menghubungi nombor yang setiap hari diulang dengar oleh Jaringan Informasi Randsoc di corong radio. Masih menyedari akan tanggungjawabnya, dia akan menjenguk paderi itu dari semasa ke semasa malam nanti.

Tapi setelah menghantar teh pada malam hari, wanita itu ingin berbaring sebentar. Hanya tengah hari keesokan harinya dia terjaga, lantas dia bergegas ke bilik paderi.

Paderi Paneloux masih terbaring tidak bergerak. Kemerahan telah menghilang dari wajahnya dan kini berubah pucat lesi, baguslah pipinya masih tidak mencengkung. Matanya terbuka, terpaku pada lampu kaca yang tergantung di atas katil. Ketika wanita itu masuk, si paderi menoleh ke arahnya. Menurut pemerhatian wanita itu, dia kelihatan seolah-olah bergelut sepanjang malam dan kehilangan seluruh kekuatan untuk bergerak. Wanita itu bertanya lagi bagaimana keadaannya. Dia perasan suara paderi yang lesu menjawab, rasanya sakit sekali, dan dia tidak memerlukan doktor. Dan dia hanya meminta untuk dihantar ke hospital, sesuai dengan peraturan. Dalam kepanikan, wanita itu bergegas mengambil telefon.

Rieux datang pada waktu tengah hari. Setelah mendengar cerita tuan rumah, dia mengiyakan kata-kata Paneloux tapi barangkali semuanya sudah terlambat. Masih dalam kebingungan, paderi itu menyambut kedatangan Rieux. Doktor itu memeriksanya, dan merasa hairan kerana tidak ditemukan satu pun simptom wabak bubon (beserta bengkak-bengkak) ataupun wabak paru-paru, melainkan paru-paru tersumbat. Pun begitu, denyutan nadinya sangat rendah kondisi keseluruhan tubuhnya amat kritikal sehingga hanya ada sedikit harapan untuk menyelamatkannya.

“Tidak ada tanda-tanda terkena wabak pun,” kata Rieux kepada Paneloux, “tapi saya mengaku saya agak ragu-ragu juga. Dan saya kena asingkan kamu.”

Paderi itu tersenyum aneh seolah-olah ingin menunjukkan kesopanannya, tapi tidak berkata apa-apa. Rieux keluar untuk menelefon, lalu masuk kembali. Dia memandang paderi itu.

“Saya akan menemani kamu,” katanya lembut.

Paderi itu nampak lebih bertenaga, lalu menoleh ke arah Rieux. Semacam kehangatan kembali menghuni matanya, lalu dengan susah payah mulutnya bergerak sehingga tidak dapat dipastikan apakah suaranya bernada kesedihan atau perasaan lain.

“Terima kasih. Tapi paderi tidak boleh mempunyai kawan. Mereka telah menyerahkan semua yang dimiliki kepada Tuhan.”

Dia meminta patung salib yang tergantung di kepala katil. Ketika diberikan, dia memandang benda itu.

Di hospital, Paneloux tidak bercakap sepatah perkataan pun. Dia membiarkan dirinya menerima semua rawatan, namun dia tidak pernah melepaskan patung salibnya. Walau bagaimanapun, kesnya masih tidak dapat dipastikan. Rieux tidak dapat menentukan sama ada ianya wabak atau tidak. Memang, sejak beberapa ketika, wabak senang melarikan diri daripada analisa rawatan. Dalam kes Paneloux, apa yang terjadi seterusnya menunjukkan bahawa ketidakpastian itu tidak penting.

Sepanjang hari suhu badannya meningkat. Batuknya bertambah serak, menyeksa seluruh badan. Akhirnya, pada waktu malam, paderi itu memuntahkan gumpalan yang menyesakkan nafasnya. Warnanya merah. Hatta ketika demam itu mencapai kemuncaknya, pandangan matanya masih tenang. Keesokan harinya, dia disahkan meninggal dunia. Badannya separuh mengengsot daripada katil, pandangan matanya tidak memberitahu sesuatu pun.

Di dalam laporan kematiannya, tertulis: “Kes meragukan.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience