JANTUNGNYA sejak dari tadi asyik berdebar-debar apabila kereta yang dipandu oleh Fiq memasuki pekarangan dewan besar kolej. Kelihatan ramai juga yang menghadiri annual dinner yang hanya akan berlangsung sekali dalam setiap semester. Dari luar kereta dia dapat melihat ramai pelajar-pelajar yang datang bersama dengan pasangan masing-masing. Mujurlah Fiq ingin menemaninya. Kalau tidak, mungkin dia akan rasa janggal apabila berada di khalayak ramai. Apatah lagi berhadapan dengan Shasha yang amat menjengkelkannya itu.
“Okey, kau dah sedia?" tanya Fiq kepada Nurul yang dilihat gelisah sahaja sejak tadi. Kelakar pun ada. Mana tidaknya, hendak pergi dinner macam hendak pergi masuk rumah hantu sahaja rupanya. Tapi, malam itu Nurul memang cantik walaupun hanya mengenakan sedikit gincu dan sedikit bedak sahaja.
“Okey, cuma aku masih lagi geram apa yang berlaku tadi," kata Nurul sengaja menjadikan apa yang Shasha telah buat ke atas bajunya sebagai alasan. Padahal dia begitu gemuruh dengan dinner kali ini. Entah kenapa dia rasa dinner kali ini begitu membuatkan dia gemuruh sangat sedangkan dia juga pernah menghadiri dinner seperti ini pada semester lepas.
Pintu kereta dibuka oleh Fiq dan mempersilakannya keluar dengan penuh hormatnya. Bagaikan seorang putera raja melayan puteri hatinya. Namun, ia sedikit pun tidak membuatkan hatinya cair. Fiq dianggap sebagai kawannya sahaja dan tidak mungkin dia akan meletak Fiq di tempat yang pernah Nazrul duduk.
Mereka berdua kemudiannya berlalu ke pintu utama yang sudah terbentang satu karpet merah di laluan pintu masuk itu. Para petugas yang menguruskan dinner yang terdiri daripada pelajar-pelajar semester akhir kelihatan beratur disetiap penjuru sambil memberi ucapan selamat datang kepada yang mengambil bahagian dalam dinner kali ini.
“Mungkin sampai disini sahaja aku dapat jadi teman kau pada malam ini," ujar Fiq berbisik di telinga Nurul membuatkan Nurul memandang lelaki di sebelahnya itu. Fiq sekadar tersenyum dan memberi isyarat ke hadapan.
Sebaik sahaja Nurul memandang di hadapannya, Nurul terkejut apabila melihat seorang pemuda yang berpakaian tuksedo serba putih yang segak dan bergaya. Dia cuba amati wajah pemuda di hadapannya itu. Rasanya macam pernah jumpa tapi siapa?
Nazrul!
Nurul hampir ingin menjerit sebaik sahaja mengamati wajah pemuda di hadapannya itu. Tiada satu perkataan pun yang keluar dari mulutnya sebaliknya dia menutup mulutnya dengan tangan kerana terlampau terkejut dana terlampau tidak sangka bahawa memang Nazrul yang sedang berdiri di hadapannya.
“Nurul, aku nak buat pengakuan. Sebenarnya, semua ni sudah dirancang oleh kami semua. Apa yang aku kata tentang Nazrul selama ini tidak benar. Aku terpaksa berbohong sebab Nazrul ingin buat kejutan sekembalinya dia ke Malaysia. Dinner ni adalah tempat yang paling tepat untuk rancangan kami. Nazrul masih lagi cintakan kau seperti dahulu," ujar Fiq berbisik di telinga Nurul, menambahkan lagi kejutan pada malam itu.
Tanpa disedari air mata Nurul mengalir berlinangan di pipi. Selepas beberapa ketika, semua perasaan timbul di hatinya. Perasaan geram, benci, sayang dan rindu bercampur gembira sehinggakan dia tidak tahu apa yang perlu dibuatnya.
“Hei, hei...aku belum lagi buli kau, kenapa pula kau menangis?" pujuk Nazrul gelisah apabila melihat Nurul mengalirkan air mata. “Fiq, kau buli Nurul ya?"
“Ni tak ada kena-mengena dengan Fiqlah!" Nurul memukul Nazrul dengan sekuat hati menggunakan beg tangannya. “Bodoh! Kenapa kau tak balas e-mel aku langsung selama tiga bulan ni? Kau tahu tak, aku macam orang hilang akal bila kau buat aku macam ni. Kalau kau nak buat kejutan pun fikirlah idea lain, takkanlah tunggu sampai tiga bulan untuk jalankan rancangan gila kau tu. Tiba-tiba saja kau muncul di hadapan aku macam ni. Lawak apa ni?"
“Lawak drama cinta," jawab Nazrul selamba masih lagi tersengih-sengih membuatkan Nurul pula yang rasa seperti hendak hempuk sahaja Nazrul dengan kasut tumit tingginya itu. Menyedari Nurul sudah mula menarik muka masam, Nazrul segera memujuk buah hatinya itu.
“Okey, I'm really, really sorry. Aku cuma nak buat surprise untuk orang aku sayang saja. Kau ingat senang ke nak biarkan e-mel yang berpuluh-puluh kau hantar tu. Tapi, nak buat kau surprise macam ni sampai meleleh air mata, aku sanggup makan tak lena, mandi tak kenyang semata-mata kerana kau, tahu tak?"
“Pembetulan. Makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena!" balas Nurul.
“Oh, ya ke? Kau marahkan aku lagi?"
“Kau memang bukan seorang yang romantik." Nurul sekadar menggeleng. “Masih tak berubah lagi, tapi jangan harap aku nak maafkan kau selagi kau tak terangkan pada aku siapa perempuan bersama kau dalam Friendster tu."
“Hah!"
“Hah!" ajuk Nurul kembali. “Jangan buat-buat tak tahu. Kau ingat aku bodoh ke? Aku nampak gambar kau bersama dengan seorang perempuan dalam Friendster. Itu baru tengok Friendster kau, belum lagi Fac dan My Space kau."
“Kenapa tak tengok?" tanya Nazrul acuh tak acuh.
“Sebab selepas saja aku tengok Friendster kau, aku smackdown teddy-bear yang kau bagi aku dulu sampai lunyai dan kalau aku tengok Fac atau My Space kau nanti, aku tak ada teddy-bear lagi untuk dikorbankan," jawab Nurul selamba.
“Jadi, kau nak tahu siapa perempuan tulah ya..." Nazrul masih lagi bermain dengan kata-katanya.
“Itu pun nak tanya aku ke? Bagi tahulah cepat sebelum aku smackdown kau pula!"
“Sebenarnya, perempuan tu..."
“Abang!"
Tiba-tiba muncul seorang remaja perempuan yang bertudung putih, seperti yang pernah dilihat dalam Friendster Nazrul dahulu. Terkejut besar Nurul apabila melihat gadis itu memeluk tangan Nazrul dan memanggil Nazrul abang.
“Aira?" soal Nurul yang baru teringat gadis itulah yang terserempak dengannya secara tidak sengaja di kolej tempoh hari.
“Kak Nurul." Aira mengukirkan senyuman manis. Dia kemudiannya memandang Nazrul dan kemudian Nurul di hadapannya. “Abang kenal Kak Nurul ke?" tanya Aira.
“Abang?" tanya Nurul memandang Nazrul dengan tajam.
“Nurul, kenalkan ini adik tiri aku, Aira Maisarah." Demi untuk mengelakkan Nurul menarik muka lagi, dia segera memperkenalkan gadis yang selama ini menjadi tanda tanya Nurul.
“Oh, inilah Nurul yang abang puja-puja selama ni." kata Aira tersenyum memanjang. “Hai, Kak Nurul, sekali lagi saya ingin kenalkan diri saya. Saya Aira Maisarah, adik tiri Abang Nazrul." Aira sekali lagi memperkenalkan dirinya dengan penuh hormat membuatkan Nurul tidak tahu hendak berkata apa.
“Oh, adik tiri ya. Kenapa aku boleh lupa ni?" Nurul sedikit mengetuk kepalanya perlahan sambil cuba untuk tidak memandang Nazrul yang sudah tersengih nakal.
Nampaknya apa yang difikirnya tentang hubungan Nazrul dengan gadis yang dilihat di dalam gambar di Friendster milik Nazrul adalah adik tiri Nazrul. Ketika itu baru dia teringat, tidak lama dahulu Nazrul pernah memberitahu tentang Aunty Nazrina sudah pun bernikah dengan seseorang ahli perniagaan di sana. Dia juga baru teringat, Nazrul pernah bercerita tentang adik tirinya yang gemar bermain muzik.
Nurul menarik nafas panjang. Suasana di karpet merah yang tidak dirasai tadi kerana terlampau menumpukan drama mereka tadi, menyedarkannya apa bila semakin ramai yang melangkah ke karpet merah. Air matanya juga sudah kering dan semua persoalan sudah pun terjawab walaupun masih banyak lagi soalan yang ingin ditanya kepada Nazrul. Tapi, dia percaya, selain Nazrul pasti ada orang lain yang menolong Nazrul, contohnya seperti Fiq.
“Seronoklah tengok kau cemburu," bisik Nazrul sambil berjalan seiringan dengan Nurul, melangkah masuk ke dewan yang sudah siap dihias cantik.
Fiq dan Aira sudah pun berlalu masuk terlebih dahulu kerana Aira bimbang gitarnya akan hilang.
Dengan geramnya, lengan Nazrul dicubit sekuat hati menyebabkan pemuda itu mengerang kesakitan. Puas hatinya. Sudahlah membuatnya hilang akal dalam masa tiga bulan ini. Tidak cukup dengan itu, mendera otaknya berfikir, siapakah gadis yang bergambar bersama-sama Nazrul di Friendster. Kalau hendak buat surprise pun janganlah sampai mendera perasaannya sehinggakan dia hampir membuat keputusan untuk melupakan Nazrul dalam hidupnya.
Tapi, walau apa pun, kedatangan Nazrul yang mengejut dan tidak disangka itu membuatkan hatinya kembali berbunga. Malah, lagi mekar bunganya jika dibandingkan tika mereka berbual menerusi Internet. Mungkin dalam masa empat tahun, inilah kali pertama dia berjumpa dengan Nazrul. Cinta jarak jauh memang menyeksakan, tapi indah tidak terkata apabila bertemu.
Nurul tersenyum keseorangan. Rasanya dunia ini dia yang punya. Langkah kaki diatur mendapatkan meja yang telah dikhaskan untuknya.
“Kau datang juga ya..." sapa Shasha apabila Nurul mengambil meja yang telah ditetapkan.
Nurul buat muka selamba. Malas nak layan. Kali ini dia bernasib baik kerana dapat meja tidak jauh dari pentas, tidak seperti beberapa semester sebelum ini kerana dia mendapat meja di belakang dan terlindung daripada melihat pentas.
Terima kasih kepada Shasha yang menggunakan kuasa dengan nama Danny untuk merasuah pengurus majlis untuk dapatkan tempat yang bagus dan strategik pada awal pendaftaran dinner ini diadakan. Masa itu hubungannya dengan Shasha tidaklah seperti sekarang yang bagaikan kucing dan anjing. Sekali lagi dia berterima kasih kepada Shasha yang tidak mencampakkannya ke meja lain. Tapi, bila difikir kembali, rugilah Shasha yang kuat membulinya itu ingin mencampakkannya ke meja lain. Mestilah Shasha akan kekalkan, tempatnya juga kerana ingin membuatkan dia cemburu di saat Shasha bergelak ketawa dengan Danny dan ia mungkin tidak akan terjadi dengan adanya Nazrul di sisinya. Kalau Nazrul tiada pun dia pasti tidak akan rasa cemburu, tapi rasa jijik adalah.
“Biar aku teka, kau mesti jahit baju jubah ni, kan?" teka Shasha dengan lagaknya.
“Sebenarnya, aku ada baju yang sama. Aku sengaja beli dua sebab aku tahu kau tentu akan rosakkan baju aku. Nasib baiklah aku ada kawan yang begitu bijak sampai dapat fikir teknik-teknik kotor kau tu," balas Nurul tidak mahu mengaku kalah.
Seperti biasa, jika sudah kalah berbahas dengan Nurul. Shasha pasti akan menarik muka masamnya. Kalau tidak pun, dia pasti akan menjeling tajam menandakan tidak puas hati.
“Boyfriend kau?" tanya Shasha menjeling pandang seorang pemuda di sebelah Nurul. Seingatnya, pemuda itu bukannya pemuda yang berdiri di hadapan rumahnya dengan kereta sport tempoh hari.
“Kenalkan, ini Nazrul yang duduk di UK yang aku katakan selama ini," kata Nurul memperkenalkan Nazrul kepada Shasha. Lega rasanya apabila Shasha sekali lagi menarik muka masam.
Nazrul yang tidak tahu apa-apa mengenai permusuhan Nurul dan perempuan seksi di hadapannya itu hanya sekadar mengangguk apabila Nurul memperkenalkannya.
“Danny." Danny yang duduk di sebelah Shasha menghulur salam kepada Nazrul. “Teman Shasha." Tangan Danny disambut hormat oleh Nazrul.
“Excuse me, teman lelaki Shasha!" Shasha memperbetulkan.
Danny bagaikan pak turut, hanya mengangguk. Jelas sekali dari wajahnya, dia malas hendak melayan karenah Shasha yang semakin mengada-ngada itu.
MAJLIS perasmian malam annual dinner dirasmikan oleh pengetua kampus dengan pukulan gendang sebanyak tiga kali selepas memberi kata-kata aluan yang membina kepada penuntut kolej itu.
Selepas sahaja majlis perasmian berlangsung, mereka kemudiannya disaji dengan pelbagai makanan yang sudah pun tercatit di dalam menu yang telah disediakan di setiap meja. Disamping itu, pihak penganjur yang rata-rata terdiri daripada penuntut kolej itu sendiri, turut menghidangkan mereka dengan persembahan yang menghiburkan.
“Nazrul, you masih belajar ke kerja?" tanya Shasha memecah kesunyian di mejanya itu walaupun terdapat lapan orang untuk meja itu.
Ini bermakna, ada empat pasangan kekasih yang duduk di setiap meja bulat di dalam dewan itu.
Nurul langsung tidak kenal dua lagi pasangan yang duduk satu meja dengannya memandangkan mereka itu adalah kawan-kawan Danny dan Shasha.
Nurul yang sibuk melayani karenah Nazrul terkejut dengan soalan pertama daripada Shasha yang sudah mula dengan soal selidik boyfriendnya itu.
“Belajar sambil bekerja," jawab Nazrul.
“Oh, ada lagi orang yang sanggup belajar sambil bekerja ya. Kenapa? Dah tak sabar hendak kahwin dengan Nurul ke?" kata Shasha lagi seolah-olah menyindir Nurul.
Nurul berasa sedikit bengang. Entah apa kena dengan Shasha kali ini sehinggakan dengan Nazrul pun dia hendak merendah-rendahkan.
“Sebenarnya bekerja sambil belajar lagi baik dari duduk belajar di kolej macam ini. Kalau kita bekerja dan belajar dalam masa yang sama, kita dapat membuatkan otak kita turut memproses apa yang kita pelajari di kolej dan kemudiannya mempraktikkan di tempat kerja. Jika kita belajar sahaja, mungkin sesetengah apa yang kita belajar akan beku di kepala otak kita dan bila sudah beku, susah nak recall balik, bukan?" terang Nazrul kepada Shasha.
“Kalau you ni belajar sambil bekerja, you ni kerja apa? Tukang cuci pinggan di sebuah restoran di sana?" tanya Shasha lagi membuatkan Nurul rasa ingin tempeleng Shasha di situ juga.
“Ya. Ada juga buat kerja tu. Sebab mama saya ada buka sebuah kedai makan di sana. Jadi, kalau tiada kerja, hujung-hujung minggu saya akan datang menolong. Tapi, itu pun kalau tiada kerja di office. Dalam masa yang sama juga saya terpaksa jadi pengurus adik saya yang baru berjinak dalam bidang muzik. Segala show-show, peralatan dan sewaktu dengannya, saya akan uruskan," terang Nazrul membuatkan Shasha terus terdiam. Barangkali tidak dapat mencari kelemahan dari segi tempat kerja Nazrul.
“Eh, Aira nak buat persembahan," pantas Nurul mencelah apabila dia terdengar nama Aira Maisarah disebut oleh pengacara majlis untuk persembahan seterusnya.
“Oh, itu ke adik you? Emm... nota bad," komen Shasha dengan lagaknya apabila melihat seorang gadis kecil molek yang sudah bersiap berdiri di atas pentas bersama gitarnya.
“Assalamualaikum semua. Saya merupakan pelajar baru di kolej ini berbesar hati kerana dapat membuat persembahan pada malam ini. Terima kasih kepada pihak penganjur kerana percayakan saya walaupun ini pertama kali saya membuat persembahan di sini dan di Malaysia. Lagu yang saya akan mainkan ini adalah lagu berbahasa Inggeris bertajuk Patiently yang dipopularkan oleh Emma Lahana. Harap anda semua terhibur," ucap Aira dengan penuh sopan santun di hadapan semua hadiran.
Sebaik sahaja gitar dipetik, satu tepukan gemuruh dihadiahkan kepada Aira yang merupakan satu-satunya gadis yang beraksi di pentas dengan alat muzik di tangan. Tidak seperti persembahan nyanyian sebelum ini yang hanya memegang microphone apabila mendendangkan lagu. Satu lagi tepukan sebaik sahaja suara Aira yang sememangnya power menggegarkan dewan berlangsungnya majlis makan malam yang ditunggu-tunggu selama ini. Semua mata kini tertumpu ke arah remaja perempuan yang sememangnya mempunyai satu tarikan yang hebat.
>Lirik lagu yang dinyanyikan oleh Aira Maisarah
>Tajuk: Patiently. By: Emma Lahana.
Looking back, I don't regret...
One single say
Memories will keep me close...
When you walk awat
It's harder than I could imagine
I guess I should have known that
Close your eyes, I'll be there.
I'll come running anywhere.
Say goodbye, I'll be okay.
I will wait for you, cause...
True love will never fade.
When it's real, you can feel it.
And I know, that you know...
That I will keep on waiting...
Patiently...
Patiently... for you.
Stormy Tuesday afternoons haven't been the same.
I used to stand outside and taste...
The sweetness of that.
It's harder when it really happens.
Oh, I wish I'd know that.
Close my eyes anda you're there.
But I can't find you anywhere
When I'm lost, I try to find you.
Turn around, I'm right behind you.
Tepukan gemuruh yang hebat diberikan kepada Aira sebaik sahaja Aira selesai menyanyi. Nurul sempat memberi isyarat bagus kepada Aira sebelum Aira berlalu mengosongkan pentas bagi acara seterusnya.
“Itu dia. Tidak sangka suara gadis kecil molek kita itu begitu power sehingga saya terfikir-fikir dia kah penyanyi sebenar? Atau pun ada yang memutarkan kaset di belakang pentas. Buat pengetahuan anda semua, kami juga tidak percaya apabila gadis kecil molek bernama Aira ini datang di saat-saat akhir semasa kami ingin mencari bakat atau penghibur untuk majlis makan malam pada malam ini." Si pengacara lelaki mula bersuara sebaik sahaja Aira turun dari pentas.
“Betul tu. Masa dia menyanyi tadi, meremang bulu roma saya. Orang kata meremang bulu roma adalah kerana nyanyian seseorang itu amat berkesan sekali." Si pengacara perempuan pula memberi komen menunjukkan dia menyukai suara Aira yang lunak-lunak merdu itu. “Baiklah, tidak mahu membuang masa, ini lah waktu yang ditunggu-tunggu bagi semua hadirin sekalian iaitu masa untuk mengumumkan pasangan ideal yang hangat diperkatakan. Siapakah yang bakal digelar pasangan ideal?"
Satu dewan sudah pun bersorak menandakan mereka tidak sabar hendak tahu pasangan manakah yang bertuah pada malam itu. Shasha sudah pun membetulkan baju dan rambut supaya tidak kelihatan cacat sedikit pun. Tidak cukup dengan itu, bedak di tempek di mukanya sehinggalah dia rasa semua jerawat-jerawatnya tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan gincu di bibirnya. Sengaja dia memakai gincu yang tebal supaya nampak lagi menyerlah. Tapi, bagi Nurul, ia nampak seperti seorang badut.
“Lepas ni semua orang tahu betapa cantiknya aku pada malam ni," ujar Shasha menggedik dengan menyemburkan minyak wangi di lehernya membuatkan Nazrul terbatuk-batuk apabila terbau minyak wangi Shasha.
“Baiklah, keputusan sudah ada di tangan kami. Sebelum kami umumkan pasangan ideal pada malam ini, kami ingin memaparkan satu drama yang sempat kami rakamkan sepanjang majlis ini berlangsung. Pasangan yang kami paparkan ini secara automatiknya adalah pasangan ideal pada malam ini!" kata pengacara majlis dengan penuh gempaknya bagi menarik para hadirin menghadap ke arah skrin besar di atas pentas.
Tidak lama kemudian lampu dewan ditutup dan hanya lampu di bahagian pentas sahaja menyala. Skrin besar di pentas sudah mula menayangkan tayangan gambar bakal pasangan ideal. Rakaman yang diambil sebelum majlis bermula tadi di karpet merah dan rakaman bermula dengan wajah Shasha dan Danny yang baru sahaja keluar dari kereta.
Serentak dengan itu satu sorakan kedengaran di dalam dewan itu dan diiringi dengan tepukan yang gemuruh. Shasha sudah pun bermegah-megah di tempatnya. Wajahnya kelihatan seperti tidak sabar hendak naik ke atas pentas. Danny di sebelahnya hanya berlagak seperti biasa, seperti tiada apa-apa yang berlaku.
“Nanti, nanti...Semua ni hot gimmick sahaja. Drama pasangan ideal akan bermula sebentar sahaja lagi," ujar pengacara tersebut sengaja hendak membuat suspens, tapi bagi Shasha kemenangan jelas di tangannya. “Sekarang, kami ingin persembahkan drama pasangan ideal pada malam ini! Saya pasti anda juga bersetuju setelah menonton drama realiti ini. Kita layan!"
“Oh My..." Nurul menutup mulutnya apabila wajahnya yang sedang menangis di awal majlis tadi muncul di skrin besar dan sedang ditonton oleh semua hadirin termasuklah pensyarah-pensyarah dan pengetua kolej.
Ingin sahaja Nurul menyorok di bawah meja ketika ini. Tidak sanggup dia hendak mendengar dan melihat drama antara dia dan Nazrul yang ditayangkan. Entah bila mereka berdua jadi mangsa kamera yang tidak bertauliah ini, dia sendiri tidak tahu.
Jika ini adalah sebahagian daripada usaha murni Nazrul untuk kenakan dia sekali lagi, Nazrul memang sudah berjaya.
“Oh, aku paling suka dengan babak ni," kata Nazrul yang sudah tersengih-sengih menanti babak seterusnya.
Nurul di sebelah sudah tidak mampu hendak mengangkat kepala untuk menghadap skrin besar itu lagi.
“Sebab selepas saja aku tengok Friendster kau, aku smackdown teddy-bear yang kau bagi aku dulu sampai lunyai dan kalau aku tengok Fac atau My Space kau nanti, tak ada teddy-bear lagi untuk dikorbankan."
Bergema suara Nurul dalam dewan tersebut. Serentak dengan itu satu dewan gamat dengan gelak ketawa. Nurul tidak mampu hendak mengangkat mukanya apatah lagi Nazrul ketawa terbahak-bahak di sebelahnya. Sempat dia mencubit lengan Nazrul.
Satu tepukan gemuruh dihadiahkan oleh semua hadirin sebaik sahaja tayangan drama pasangan ideal yang begitu realiti tamat.
Nurul hilang kata-kata apabila melihat sendiri video yang entah bila dirakam mereka. Patutkah semasa babak tadi berlangsung, dia rasa seperti dunia ini dia yang punya, rupa-rupanya memang mereka semua sengaja tidak mahu mengganggu perjalanan drama yang tidak bertauliah itu.
Shasha yang duduk bertentangan dengan Nurul sudah tidak senang duduk kerana kalah dengan musuhnya sendiri. Dia menyangkakan dia akan menyandang pasangan ideal pada malam itu, tapi setelah menonton drama entah apa-apa tadi, dia mula berasa tidak puas hati apatah lagi Nurul dan Nazrul mendapat tepukan gemuruh oleh semua orang. Merasakan dirinya yang terhina, Shasha terus bangun dari meja tersebut dan berlalu dari dewan besar itu.
Nurul langsung tidak pedulikan Shasha yang tinggalkan meja mereka dengan muka tidak puas hati. Memang dia patut gembira pada ketika ini kerana sudah mengalahkan Shasha dengan satu rakaman yang tidak disangka-sangka. Siapa sangka pihak penganjur akan menggunakan teknik yang mengejutkan itu untuk menilai pasangan ideal yang dikehendaki. Sangkanya, mereka akan menggunakan 'mata-mata' sebagai pemerhati untuk menilai pasangan manakah yang paling secocok dan paling ideal di mata sang penilai itu tetapi berlainan pula pada tahun ini.
“Baiklah, saya minta pasangan ideal yang muncul di skrin tadi naik ke atas pentas ini supaya ramai yang dapat melihat anda semua secara live," ujar si pengacara perempuan itu sambil satu lampu di suluh ke arah Nurul dan Nazrul yang ternyata tidak boleh hendak melarikan diri. Hendak tak nak, mereka memberi kerjasama sepenuhnya kepada pengacara majlis supaya tidak mencacatkan majlis makan malam itu.
Sebaik sahaja mereka menjejaki atas pentas, satu tepukan gemuruh dihadiahkan sekali lagi kepada mereka berdua. Sejambak bunga dihadiahkan kepada Nurul bersama sebuah mahkota silver diletakkan di atas kepalanya. Manakala Nazrul dihadiahkan mahkota keemasan yang direka melalui kad manila kuning seperti mahkota Maharaja England diletak di atas kepalanya bagaikan menabalkan raja baru.
“Jawapan yang anda semua tunggu-tunggu telah pun terjawab. Inilah pasangan ideal yang kami rasa cukup ideal. Pertama kali, tonton drama cinta mereka tadi semasa proses penilaian kami awal-awal lagi sudah agak merekalah pasangan ideal. Saya pasti anda juga begitu. Sebentar tadi, si pihak lelaki ingin meminta mic saya ini untuk bercakap sesuatu. Kami rasa tidak salah kalau pasangan ideal ini ingin berkongsi sesuatu." Mic diberikan kepada Nazrul yang memang hendak berkata sesuatu.
“Assalamualaikum kepada semua hadirin sekalian. Ini pertama kali saya berada di pentas yang asing ini sebab saya bukanlah pelajar kolej ini. Saya cuma dijemput oleh Nurul yang merupakan teman saya pada malam ini. Err... sebenarnya, bukan dijemput, tapi oleh sebab nak buat dia surprise sikit, saya pun redah saja. Terima kasih kepada Fiq sebab aturkan segalanya." Dari jauh Nazrul melihat Fiq memberi isyarat bagus.
“Buat pengetahuan anda semua, saya bukanlah boyfriend Nurul sebab saya tak pernah melamarnya jadi kekasih saya dan hari ini, saya ingin mengambil sedikit masa anda semua untuk melamar Nurul."
Nurul kelihatan terkejut. Rasanya dia tidak silap dengar. Nazrul ingin melamarnya? Di sini? Sekarang? Dia kelihatan terpinga-pinga. Tiba-tiba dia dikejutkan dengan Nazrul melutut dengan sebelah kaki di hadapannya dan bersedia hendak melamarnya. Keadaan di dewan agak sunyi apabila masing-masing melihat drama yang jarang sekali diadakan di hadapan mata mereka.
“Nurul, will you be my girl?" tanya Nazrul dengan sepenuh kekuatannya.
“Say yes! Say yes! Say yes!"
Sorakan mereka di bawah membuatkan Nurul tidak tahu hendak berkata apa selain...
“Yes."
Masing-masing tersenyum sambil merenung antara satu sama lain.
Yes. Hanya dia Prince Charming. Hati Nurul semakin berbunga-bunga.
"EMM...apa yang kau buat tiga tahun ni kat sana?"
“Macam-macam... kau nak tahu ke?"
“Mestilah."
“Aku belajar macam mana nak meniaga dengan ayah aku,belajar main gitar daripada adik tiri aku dan belajar..." Tiba-tiba Nazrul berhenti berkata.
“Belajar?"
“Err...perlu ke beritahu?"
“Nazrul..."
“Tak payah kut..."
“Nazrul..."
“Bukannya penting sangat pun."
“Nazrul!" Nurul sudah mencebik marah.
“Yalah, yalah...Tapi, jangan menyesal tau."
“Beritahu sajalah."
“Belajar bagaimana nak tidur tanpa berdengkur."
“Nazrul!!!"
Nazrul sudah ketawa sakan.
Nurul tarik muka. Namun, lambat-lambat dia tersenyum sendiri. Dia bahagia ketika ini. Bahagia kerana memiliki cinta yang dia sendiri tidak pernah menduga. Cinta yang datang tanpa disedari. Tanpa disangka dia boleh jatuh cinta dengan lelaki itu.
Semuanya bermula apabila dia menanggalkan Carta Prince Charming yang merupakan tradisi sekolah. Disebabkan itu dia dikatakan terkena sumpahan puteri sehingga hampir meragut nyawanya. Tetapi, semua itu bukanlah sumpahan, tetapi terdapat konspirasi di sebalik kejadian itu.
Dalam pencarian Prince Charming yang menyelamatkannya daripada kemalangan yang hampir meragut nyawanya dulu, dia bertemu dengan Nazrul, seorang lelaki yang simple, kuat tidur, kuat makan ayam golek dan langsung tidak menggambarkan ciri-ciri yang patut ada pada watak Prince Charming yang pernah dibacanya dalam buku dongeng selama ini.
Bagi Nurul, setiap perempuan dalam dunia ini memiliki Prince Charming mereka sendiri. Prince Charming juga bukanlah seorang yang sempurna dalam segala aspek, bukan mesti seorang putera raja, bukan mesti orang yang kaya-raya dan bukan juga seorang yang boleh membeli Kota London, bukan mesti seorang yang bijak dan berpendidikan, bukan juga seorang yang romantik seperti dalam cerita dongeng. Prince Charming boleh jadi sesiapa sahaja di mata setiap perempuan. Apa yang penting adalah hati yang tulus ikhlas. Dan, Nazrul adalah Prince Charmingnya.
Semuanya bermula dengan Carta Prince Charming dan berakhir dengan kehadiran seorang Prince Charming di hatinya. Mungkin dia patut berterima kasih kepada Carta Prince Charming kerana memberinya satu memori yang indah. Nurul tersenyum puas.
“Nazrul..."
“Kenapa?"
“Aku nak tanya...Kau percaya tak dengan Carta Prince Charming tu?"
“Kenapa tanya soalan tu?"
“Tak adalah...Sampai sekarang aku pelik sebab tak dapat jawapan siapa yang buat carta tu. Takkan kau tak rasa pelik?"
“Entah! Aku tak pernah fikir pun pasal carta tu. Kenapa? Kau muka percaya ke?" tanya Nazrul.
Nurul sekadar mengangkat bahu.
Nazrul tersenyum sendiri. Nurul, Carta Prince Charming akan terus menjadi misteri dan akan kekal sepertimana sekarang dari generasi ke generasi. Agaknya macam manalah reaksi kau bila dapat tahu Carta Prince Charming tu datangnya dari Kelab Bola Sepak? Hahaha! Sorry, sweetheart, ini rahsia terbesar kami untuk memastikan tradisi ini terus wujud. Kaum perempuan tidak dibenarkan tahu, desis hati Nazrul dalam senyuman yang masih mekar di bibir.
-TAMAT-
Share this novel
Saya kaum laki nk tau nape carta itu wujud boleh?