“KAU ada dengar gosip terbaru tak?" tanya Rezza kepada Nazrul sebaik sahaja Nazrul membuka pintu rumahnya membenarkan dia masuk. Nazrul kelihatan seperti baru sahaja bangun daripada tidur.
“Kau ni masuk saja rumah aku terus nak bercerita pasal gosip. Ceritalah pasal bola ke, ayam golek ke, ada juga semangat aku nak dengar," balas Nazrul dan kembali ke ruang tamu yang telah dibentang tilam di tengah-tengahnya. Nazrul memang suka tidur di ruang tamu berbanding di dalam bilik kerana biliknya berbahang sehingga tidak boleh bernafas pada waktu malam. Lagipun di ruang tamu boleh tengok televisyen sampai lewat malam.
“Ini pasal kita."
“Kalau kau nak cakap yang kita digosipkan bersama, benarkan aku tidur dulu," ujar Nazrul kembali meletak kepalanya di atas bantal.
“Aku ingat kau tak tahu lagi," kata Rezza yang menyangkakan Nazrul tidak tahu pasal gosip terbaru antara mereka berdua.
“Aku tahu semua yang terjadi kat sekolah tu, tapi malas nak ambil tahu. Daripada aku ambil tahu, baik aku tidur. Ada juga faedahnya."
“Kau dah satu hari tidur hari ni, itu pun kau nak tidur lagi ke?"
“Habis, dah malam buta. Nak dekat jam 12.00 tengah malam, apa lagi nak buat selain tidur? Kau saja yang tak kenal malam dengan siang. Ketuk pintu rumah orang macam ada raksasa menyerang bumi. Macam manalah kita berdua tak digosipkan bersama?" Nazrul sudah mula membebel. Begitulah perangainya bila ada saja orang yang mengacau tidurnya.
“Aku datang malam-malam buta bukan sebab nak tanya pasal gosip tu saja, tapi aku nak sampaikan pesan ni," kata Rezza.
Terus Nazrul membulatkan mata memandang Rezza. Kemudian kedengaran satu keluhan berat daripada Rezza.
“Aku rasa macam dah jadi posmen bila kena sampaikan pesanan. Ini baru satu, kalaulah aku ditugaskan hantar surat cinta seperti Nurul, tu aku tak tahu nak buat macam mana."
“Jangan nak merepek lagi. Cakap sajalah apa pesanan tu," kata Nazrul seakan tidak bersabar lagi hendak mendengarnya.
“Dia pesan, kalau kau senang..."
“Ah, aku tak senang," Pantas Nazrul membalas sambil menarik selimutnya, menutupi tubuhnya sebelum Rezza menghabiskan ayatnya.
“Hei, aku belum habis cakap lagi."
“Aku tahulah. Dia suruh aku selesaikan pasal surat cinta tu."
“Mana kau tahu?"
Satu jelingan tajam Nazrul hadiahkan kepada Rezza. Hisy, takkan tak faham-faham lagi. Kemudian Rezza mengangguk faham.
“Jadi, kau nak tolong tak?"
“Malas! Biar dia yang selesaikan. Siapa suruh dia gatal-gatal berkenalan dengan budak perempuan tu. Hah, tanggung lah sendiri. Kalau aku pergi pun aku bukannya tahu masalah mereka."
Rezza hanya menggeleng.
“Kalau kau tak pergi, aku pergi," ujar Rezza.
Terus Nazrul bangun dari baringnya. Dia memandang Rezza yang ternyata serius ingin lakukan apa yang dikatanya. “Sebenarnya, aku dah fikir lama dah sebab benda ni berpunca daripada aku sendiri."
“Ah, dia ni tahu sangat guna kelemahan aku. Yalah, aku pergi jumpa budak tu nanti. Menyusahkan! Selagi aku tak jumpa, selagi tulah aku tak dapat tidur dengan aman. Lepas ni pesan kat dia, aku nak tidur puas-puas satu hari! Dan, pesan kat dia lagi, jangan gatal-gatal pikat perempuan lagi. Kan dah menganggu masa tidur aku." Nazrul mendengus geram dan kembali berbaring di bantalnya.
Rezza hanya tersenyum menggeleng. “Budak ni, tidur lebih penting daripada segala-galanya," ujarnya perlahan.
“KAK NURUL," panggil Nurmaya dari jauh dengan senyuman manisnya yang tidak pernah lekang di bibir.
Memang patut pun gadis kecil molek itu menjadi ramai rebutan lelaki-lelaki macho dan perasan macho di sekolah itu.
“Hai! Err...sebelum Maya cakap apa-apa, baik akak berterus-terang dengan Maya tentang..."
“Tak apa. Saya dah tahu. Mesti Nazrul tak baca surat saya, kan?" tema Nurmaya tapi langsung tidak nampak perasaan terkilan dari raut wajahnya. Masih lagi mengukir senyuman yang tidak lekang di bibirnya.
Nurmaya memang gadis yang tabah dan cekal, bisik hati Nurul yang tidak menyangka gadis itu begitu matang dalam hal begini. Tidak seperti gadis-gadis lain yang sebaya dengannya yang terlalu mengikut perasaan bila berhadapan dengan hal percintaan. Jika cinta tidak dapat dimiliki, mulalah menangis tidak tentu pasal. Macamlah tiada lagi cinta sejati. Itulah pelajar sekolah sekarang.
“Saya dah agak sebab surat-surat yang saya bagi selama ni dia langsung tidak baca. Mungkin ada sebab dia tak nak baca surat tu, tapi saya tak salahkan dia. Tak baik kita memaksa seseorang, bukan? Terutamanya dalam soal perasaan." Nurmaya masih tersenyum.
Nurul hanya sekadar mengangguk dan mengiakan saja walaupun jauh di dasar hatinya, dia berasa bersalah kerana memaksa Nazrul membaca surat itu. Memang dia kesal atas apa yang berlaku. Tak tahulah macam mana dia boleh berkasar dengan Nazrul dan memaksa Nazrul membaca surat itu walaupun ia hak peribadi Nazrul dan siapalah dia hendak memaksa Nazrul.
“Saya datang ni sebab nak jemput Kak Nurul ke kafe yang abang saya baru buka," ujarnya sambil menghulurkan beberapa keping kupon yang tertulis The Cafe di atasnya.
“Oh, ya ke?" Nurul menyambutnya. Untung juga jadi pengurus Kelab Bola Sepak. Dapat kupon percuma lagi.
“Kak Nurul boleh lah bawa sesiapa untuk ke majlis pembukaan kafe tu. Walaupun ala-ala kafe biasa, tapi saya harap Kak Nurul dapat hadir sebab saya akan buat persembahan juga."
“Persembahan?"
“Karaoke saja. Abang yang paksa buat persembahan sebab abang kata kalau nak jemput artis mau beribu-ribu duit keluar. Lebih baik jemput kawan-kawan dan saudara-mara menyanyi kat depan tu."
“Oh... Jadi, kalau akak anak Nazrul pergi sekali, Maya tak kisah, kan?" Sengaja Nurul mengajukan soalan, tapi pada hakikatnya, boleh ke dia heret Nazrul datang sekali. Sudahlah hubungannya dengan Nazrul tidak beberapa baik dalam beberapa hari ini.
Pantas gadis itu menggeleng.
“Saya ada jemput dia juga, tapi tak tahulah Nazrul nak pergi ke tak."
Okey, mungkin aku patut siasat apa yang ada pada Nazrul sampai budak ni pun boleh jatuh lentok dengan Nazrul, desis hati Nurul.
SUASANA di The Cafe yang terletak hanya seratus meter dari kawasan sekolah begitu meriah dengan kehadiran para pengunjung pertama yang datang untuk menyaksikan perasmian kafe yang diusahakan oleh anak muda itu. Kebanyakan yang hadir adalah pelajar-pelajar sekolah dan juga kawan-kawan rapat. Ada juga yang kebetulan lalu di kawasan itu dan turut tumpang sekaki mencuba pelbagai jenis hidangan yang disediakan.
Nurul juga turut tidak ketinggalan untuk menyertai hari perasmian itu walaupun tanpa Sofea. Pada mulanya memang dia ada mengajak Sofea, tapi apabila perbualannya dengan Sofea di dengari Hayrul, Farizat dan Najmi, mereka semua bagaikan anak-anak kecil mahu mengikut. Memandangkan dia banyak dapat kupon, dia sedekahkan pada ahli kelab yang juga teruja dengan kupon percuma.
“Terima kasih sebab sudi datang," ujar Nurmaya kepada Nurul yang duduk berkumpulan dengan Hayrul, Farizat, Rezza, Najmi dan Zaki. Fiq tidak dapat datang kerana ada program lain yang tidak dapat dielak.
“Aku hanya datang sebab ada kopi free," ujar Hayrul perlahan.
Nurul yang mendengar sempat lagi menendang kaki Hayrul menyebabkan lelaki itu mengerang kesakitan.
“Wei, kalau kau nak tendang pun jangan attack lutut aku. Lutut ni berharga buat pemain bola sepak seperti aku ni tau. Dahlah surat cinta tak dapat-dapat lagi, nanti lutut aku cedera siapa yang nak bagi surat cinta kat aku lagi?"
“Ada aku peduli ke?" balas Nurul walaupun dia malas hendak bergaduh dengan Hayrul. Tapi, entah kenapa dia rasa macam tidak puas hati. Rasanya semuanya okey, kopi yang diminumnya pun sedap. Cheese cake yang tidak pernah dimakannya sebelum ini juga sedap dimakan. Semuanya okey, tapi rasanya ada satu yang kurang. Mungkin sebab Fiq tiada di situ.
“Okey! Lepas ni kita akan jemput penyanyi yang aku import dari negara Jepun sebab dia ni lahir di Jepun, tapi dibesarkan kat Malaysia. Suara dia memang power. Bayangkanlah hari-hari dia berlatih menyanyi kat dalam bilik air pagi-pagi buta sampai aku nak tidur pun dah taubat nak tidur pagi lagi. Dipersilakan, penyanyi yang akan popular suatu hari nanti, Nurmaya!" ujar Idham, pemilik kafe itu yang juga abang kepada Nurmaya. Orangnya hitam manis, peramah, gila-gila pun ada dan sikapnya disenangi hampir semua pengunjung yang datang.
Sebaik sahaja nama Nurmaya dipanggil, para pengunjung yang kebanyakan dari kawan-kawan abangnya bersorak gembira menggamatkan lagi kafe tersebut.
“Wei, kau orang jangan main mata dengan adik aku. Kalau nak main juga kena belanja abang dia ni makan setahun kat hotel lima bintang." Sempat lagi Idham melawak di hadapan. “Dan, lagi, kau orang semua ada bawak payung tak? Aku tak jamin kalau kejap lagi kau orang balik dengan baju basah."
“The Cafe gamat lagi bila Idham asyik menyakat adik perempuannya itu. Nurmaya yang sudah bersedia di hadapan pentas duduk di sebuah bangku yang telah disediakan bersama dengan gitar kesayangannya.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di majlis perasmian The Cafe. Saya Nurmaya akan mendendangkan sebuah lagu yang bermakna bagi saya sebab kerana inilah saya kenal diri saya. Dan, lagu ini saya tujukan kepada seseorang yang pernah menolong saya bangkit semula dari hidup ini. Saya berharap sangat dia datang dan mendengar nyanyian saya yang tak seberapa ini." Nurmaya memberi beberapa patah kata sambil memandang sekeliling.
Nurul tahu orang yang dimaksudkan itu adalah Nazrul. Seperti Nurmaya, dia juga memandang sekeliling melihat kelibat Nazrul, tapi hampa. Bayang Nazrul langsung tidak kelihatan.
“Terimalah... Katakan Dengan Indah." Nurmaya mula memetik gitar dengan lancar. The Cafe yang gamat tadi menjadi sunyi seketika apabila masing-masing tertumpu kepada petikan gitar Nurmaya.
Kukatakan dengan indah
Dengan terbuka
Hatiku hampa
Sepertinya luka
Menghampirinya
Kau beri rasa
Yang berbeda
Mungkin ku salah
Mengartikannya
Yang kurasa cinta
Nurmaya memandang ke arah pintu. Kemudian, dia tersenyum. Nurul turut perasan akan senyuman di bibir Nurmaya dan turut memandang ke arah pintu dan mendapati Nazrul berdiri bersama-sama dengan beberapa pelanggan lain yang bersandar di tepi dinding. Matanya tidak berkelip memandang Nurmaya yang masih lagi membuat persembahan.
Tetapi hatiku
Selalu meninggikanmu
Terlalu meninggikanmu
Selalu meninggikanmu
Kau hancurkan hatiku, hancurkan lagi
Kau hancurkan hatiku, 'tuk melihatmu
Kau terangi jiwaku, kau redupkan lagi
Kau hancurkan hatiku, 'tuk melihatmu
Lagu masih lagi diteruskan, tapi dari jauh Nurul asyik memerhati mata Nurmaya yang sesekali asyik memandang ke arah Nazrul. Bibir Nurmaya masih lagi mengukir senyuman. Bagaikan satu kuasa, suara Nurmaya dapat membuat para pengunjung menghayati lagu yang dinyanyikannya walaupun hanya dengan petikan gitar. Mungkin ada antara mereka tidak percaya gadis yang baru di tingkatan dua itu pandai memetik gitar dengan baik malah menyanyikan lagu itu dengan baik sekali.
Satu tepukan dan sorakan yang kuat dihadiahkan kepada Nurmaya sebaik sahaja Nurmaya habis menyanyi. Suaranya memang begitu memukau bagi sesiapa yang. mendengarnya tadi.
Nurmaya beberapa kali membongkokkan badan tanda hormat. Ada antara mereka yang mahu dia menyanyikan lagu itu semula kerana tidak puas hati. Barangkali tidak percaya bahawa yang menyanyikan lagu itu dengan baik adalah Nurmaya. Ada juga yang memberi komen seperti Fauziah Ahmad Daud di Akademi Fantasia.
Namun, sebaik sahaja Nurmaya cuba melarikan diri daripada sorakan kawan-kawan abangnya yang suka mengusik, pandangan matanya tidak dapat mengesan kehadiran Nazrul lagi. Pantas dia melangkah keluar dari kafe itu untuk mencari Nazrul.
“Nazrul!" panggil Nurmaya apabila melihat kelibat Nazrul yang menghampiri sebuah motor Honda yang berada tidak jauh dari The Cafe.
Nazrul tiba-tiba berhenti melangkah. Dia kemudiannya berpaling memandang Nurmaya yang semakin menghampirinya.
“Terima kasih kerana sudi datang," ucap Nurmaya sambil mengukir senyuman manis.
“Aku datang sebab amanat seseorang," jawab Nazrul.
“Aku tahu. Aku dah tahu semuanya. Kalau kau jumpa dia boleh tak kau ucapkan terima kasih kepadanya. Sebab tanpa dia, aku tak mungkin hidup seperti sekarang."
Nazrul hanya mengangguk. Tapi, macamlah aku boleh jumpanya? Nazrul menggaru kepala yang tidak gatal.
“Terima kasih. Pesan pada dia lagi, aku akan hidup dengan gembira seperti selalu," ujar Nurmaya lagi cuba menahan sebak.
Nazrul sekadar mengangguk.
“Jumpa lagi." Nurmaya berlalu pergi dengan hati yang gembira.
“Kenapa aku pula yang jadi posmen?" Nazrul sambil menghela nafas panjang. “Lepas ni bolehlah aku tidur dengan aman dan damai. Aku nak tidur satu hari," ujar Nazrul lagi dan berlalu mendapatkan motornya.
Share this novel