SEJAK dari tadi, Nurul asyik memandang poster dinner yang sudah siap digantung di atas tiang yang memang dikhaskan untuk menggantung poster mahupun banner setiap majlis yang akan berlangsung di kolej itu. Macam-macam perasaan timbul di hatinya apabila memikirkan hari yang ditunggu-tunggu bakal tiba dalam beberapa hari sahaja lagi. Ada kalanya dia berasa teruja menanti kehadiran hari itu dan ada kalanya dia berasa takut hendak menghadapi hari tersebut.
Bila memikirkan dari dinner yang akan berlangsung pada 23 April 2008, dia terbayangkan betapa seronoknya Shasha dengan hari tersebut. Setiap hari Shasha akan menayangkan gaun malam yang merah menyala yang dihadiahkan oleh Danny minggu lalu bersama sepasang kasut tinggi enam inci yang di belinya. Juga berwarna merah menyala.
Betapa gediknya perangai Shasha beberapa hari ini menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah Sofea. Mana tidaknya, Shasha sanggup berpuasa (kononnya) untuk menjaga badan supaya badannya kelihatan kurus dan ramping pada hari yang bersejarah itu. Kadangkala dia rasa Shasha begitu bodoh dan taksub dengan dunianya sendiri. Hanya kerana ingin menghadiri dinner yang semestinya mereka dapat menghadiri lagi pada semester hadapan, Shasha sudah berlagak bagaikan seorang model superstar ingin beraksi di sebuah pertunjukan terkemuka di dunia.
Tapi, bila difikirkan, ada kemungkinan besar Shasha jadi taksub kerana tema dinner yang begitu menarik perhatiannya disamping gelaran pasangan ideal yang digembar-gemburkan sepanjang minggu ini. Mungkin sebab itulah Shasha beria-ia menjaga statusnya kerana menaruh harapan besar ingin memiliki gelaran pasangan ideal bersama-sama buah hatinya yang tersayang, Danny. Seperti biasa, orang ramai sudah pun mengagak bahawa Shasha dan Danny akan memenangi gelaran pasangan ideal pada dinner ini. Mana tidaknya, Shasha dan Danny memang pasangan kekasih yang paling menonjol di kolej mereka itu.
Bagi Nurul pula, dia langsung tidak kisah siapa yang memenangi pasangan ideal, sebab dia hanya mahukan seseorang muncul di dinner itu. Dia tak perlukan gelaran pasangan ideal seperti mana yang diharapkan oleh Shasha, cukuplah kalau dia gembira dengan kehadiran seseorang di sana nanti. Tapi, entah lah. Dia sendiri tidak pasti, adakah Nazrul membaca e-mel terakhirnya sebab sampai ke hari ini dia langsung tidak dapat menerima apa-apa e-mel daripada Nazrul.
Tanpa mempedulikan hatinya yang lara itu dia segera berlalu menuju ke kafe untuk menjamah sedikit makanan kerana pagi tadi dia terbangun lambat. Baru sahaja dia melangkah setapak, bahunya terlanggar seseorang menyebabkan buku-bukunya bertabur di jalan.
“I'm so sorry," balas gadis kecil molek yang bertudung putih memegang gitar kesayangannya dari turut jatuh.
“Tak apa. Saya sendiri tak tengok sekeliling," balas Nurul sambil menyusun buku-bukunya kembali. Gadis bertudung di hadapannya dipandang.
“Sorry sekali lagi," ucap gadis itu lagi seperti berusaha untuk bercakap dalam bahasa Melayu. “Saya, Aira Maisarah, pelajar baru kolej ni." Pelajar itu menghulur tangannya untuk bersalaman.
Nurul menyambut salam perkenalan tanpa teragak-agak, walaupun dia rasa macam pernah lihat sahaja gadis di hadapannya itu.
“Hai," balas Nurul ramah.
“Saya rasa saya dah sesat," ujar Aira lagi sambil menunjukkan peta kawasan kolej di tangannya itu menunjukkan dia tidak tahu jalan untuk ke destinasi seterusnya. “Dan, lapar," tambah Aira lagi membuatkan Nurul tersenyum lucu.
“Jom, saya pun nak pergi ke kafe. Itu pun kalau awak nak ikut," pelawa Nurul.
Tanpa berfikir panjang, Aira terus bersetuju untuk menyertai Nurul.
“Jadi, awak bukan dari sini, kan?" tanya Nurul setelah dia dapat menjamah nasi goreng bersama air soya yang selalu menjadi makanan hariannya.
“Ya. Saya asal dari Jepun yang merantau ke Eropah dan kemudiannya tertarik dengan Malaysia yang juga tanah kelahiran nenek saya," jawab Aira.
“Oh, patutlah awak pandai berbahasa Melayu."
“Saya duduk dengan nenek selama sepuluh tahun dan sebab tulah boleh berbahasa Melayu sikit-sikit. Di Eropah saya pernah merantau di UK dan berkenalan dengan orang Melayu di sana. Serba sedikit boleh perbaikinya sehinggalah lupa bagaimana hendak bercakap dalam bahasa Jepun," beritahu Aira.
Nurul mengangguk faham. Bila Aura menyebut UK, serta merta fikirannya teringatkan Nazrul.
“Awak ambik course apa?"
“Business Management. Papa berharap saya dapat tolongnya dalam perniagaan walaupun saya lebih minat kepada muzik." Aira menunjukkan gitarnya yang sentiasa dibawa ke mana sahaja. “Jadi, saya buat satu perjanjian dengan papa. Saya akan belajar pandai-pandai dan dia beri kebebasan untuk saya bermain muzik dan wujudlah Aira yang serba boleh."
“Baguslah. Sekurang-kurangnya kita tak sia-siakan bakat yang ada. Saya ada kawan masa di sekolah dulu yang reti bermain gitar, tapi dia lebih suka menceburkan diri dalam bidang kedoktoran. Seperti awak, muzik tetap menjadi keutamaannya selain mengejar cita-citanya untuk menjadi doktor," beritahu Nurul sambil mengingati Nurmaya yang baru sahaja beberapa minggu yang lepas berbual melalui YM.
“Hei, awak boleh buat persembahan masa dinner nanti sebab baru tadi saya terpandang iklan tentang pihak pengurusan perlukan beberapa orang lagi untuk membuat persembahan pada hari tersebut," cadang Nurul.
“Ya. Saya ada baca iklan tu. Dan, sebab itulah saya sesat tadi."
“Okey, tak apa. Lepas ni saya tiada kuliah. Kita boleh pergi ke sana."
“Terima kasih."
“HAI, Fiq." jawab Nurul sebaik sahaja menerima panggilan daripada Fiq yang selalu menelefonnya dengan private nombor. Dia sendiri tidak tahu kenapa Fiq gemar menggunakan private nombor daripada nombor-nombor biasa. Ada juga dia bertanya kepada Fiq semasa keluar dengan Fiq tempoh hari, tapi Fiq seperti biasa tidak akan menjawab soalan yang menyentuh hal peribadinya.
“Hei, macam mana dengan hari ni? Aku tak baca sesuatu yang baru dalam blog kau lagi."
Suara Fiq di hujung talian membuatkan Nurul tersenyum sambil terbaring di atas tilamnya yang empuk.
“Aku sengaja tak nak tulis di blog. Aku okey. Jangan risaukan tentang aku sebab aku pandai jaga diri aku sendiri dan aku juga tahu bagaimana hendak pujuk perasaan aku sendiri."
“Okeylah kalau macam tu. Kau masih tak terima aku sebagai teman kau di dinner nanti?" tanya Fiq lagi.
Masuk kali ini sudah banyak kali Fiq menawarkan diri untuk menjadi temannya di majlis tersebut, tapi sudah banyak kali juga dia menolak dengan lembut.
“Fiq..." Nurul tidak tahu hendak memberi alasan apa lagi kepada lelaki itu.
“Please...Anggap saja aku tolong gantikan Nazrul ke majlis itu. Lagipun Nazrul kawan aku dan kau juga kawan aku, aku nk tolong Nazrul supaya jaga kau. Aku taknak kau rasa tersisih di majlis tu. Please, Nurul, benarkan aku pergi bersama kau," pinta Fiq dengan bersungguh-sungguh.
Nurul mengeluh berat. Buat kali pertama kalinya dia ketandusan idea hendak memberi alasan kepada Fiq. Jika ini adalah rayuan pertama Fiq, mungkin dia dapat memikirkan alasan, tapi kali ini sudah banyak kali Fiq merayu ingin menemaninya. Walaupun alasan Fiq ingin menemaninya sebagai seorang kawan, tapi dia masih lagi tidak sedap hati. Bagaimana kalau Fiq ada perasaan terhadapnya? Bagaimana Kalau Nazrul dapat tahu dia pergi bersama Fiq? Pastinya hubungan mereka berdua akan kucar-kacir nanti.
Tapi, itu kalau Nazrul benar-benar ambil peduli terhadap dirinya. Kalau Nazrul tidak ambil peduli sepertimana Nazrul tidak mempedulikan e-mel-e-melnya sebelum ini, adakah dia perlu memikirkan Nazrul juga? Mungkin Nazrul sudah memberi jawapannya. Gambar-gambarnya bersama seorang gadis di Friendster adalah jawapannya, begitu juga dengan e-mel-e-mel yang tidak dibalasnya.
Nurul menghembus nafas lemah. Matanya dipejam rapat. Mungkin dia perlu lupakan segala-galanya dan mulakan hidup yang baru.
“Okey." Akhirnya Nurul membuat keputusan yang cukup drastik dalam hidupnya. “Okey, kau boleh jadi teman aku masa majlis tu nanti."
“Thanks, Nurul. Aku akan jemput kau nanti." ujar Fiq sebelum menamatkan panggilan.
Nurul tersenyum apabila terdengar Fiq bersorak gembira sebelum panggilan dimatikan.
“Semuanya dah berakhir..."
HARI ini, waktu ini dan pada saat ini adalah masa yang dinanti-nantikannya walaupun ada kalanya dia berharap hari ini tidak akan datang buat selama-lamanya. Sebentar nanti, dinner yang disebut-sebut akan berlangsung dan dia bakal menghadirinya bersama dengan seseorang yang tidak pernah difikirnya. Fiq.
Telefon bimbit Nurul berbunyi tidak beberapa lama kemudian. Satu mesej daripada Fiq yang memberitahu dia sudah keluar dari rumah dan sekarang dalam perjalanan ke rumahnya. Serentak itu dia terus berlalu membuka almarinya dan mengambil baju yang dibeli khas untuk dinner.
Jubah putih yang pernah dikutuk oleh Shasha itu dikeluarkan dari almari bajunya. Baru sahaja dia ingin menyarungnya, dia terkejut apabila melihat satu lubang besar di tengah-tengah jubah tersebut dan sekaligus boleh menampakkan pusatnya jika dia memakainya. Dia menggeleng apabila mendapati lubang itu bukannya dibuat oleh tikus mahupun binatang lain, tapi kerja manusia yang busuk hati dengannya. Tidak lain dan tidak bukan, mesti Shasha punya kerja. Patutlah sejak akhir-akhir ini Shasha sering kali mengejek baju Nurul yang bagaikan tidak sempurna. Rupanya ini kerjanya.
Serentak dengan itu, dia berlalu keluar dari biliknya dan meredah masuk ke bilik Shasha yang bagaikan tongkang pecah. Dengan kain baju berselerak, majalah-majalah fesyen yang berterabur di atas lantai. Tidak cukup itu, biliknya berbau busuk teramat sangat kerana terdapat baju-baju yang belum dibasuh hampir sebulan. Pertama kali masuk bilik Shasha, Nurul terasa pening dengan bau-bau yang seperti bangkai tikus itu.
“Hai, Nurul, kenapa? Kau nak aku tolong kau bersolek ke?" tanya Shasha selamba sambil sibuk mengenakan gincu yang merah menyala.
“Ni mesti kau punya kerja, kan?" Nurul membaling jubahnya ke arah Shasha dengan marah.
“Eee...kau tak tahu ke? Kain macam ni akan merosakkan lagi muka aku ni." Tanpa ada sedikit perasaan bersalah, Shasha membaling baju Nurul ke dalam tong sampah dan kembali menempek bedak tebal-tebal di mukanya.
“Kau memang sengaja nak sakitkan hati aku. Apa yang kau tak puas hati sangat?"
“Sorry, aku tak puas hati dengan orang yang kolot macam kau ni?" Shasha mula ketawa mengilai seperti selalu. “Sebenarnya kain baju kau ni yang murah sangat. Aku baru saja pegang dah terkoyak."
“Shasha, Danny dah sampai," celah Azwa tiba-tiba dipintu bilik Shasha.
“Oh, putera hatiku sudah sampai, jadi aku pergi dulu." Dengan tergesa-gesa Shasha segera mencapai handbag yang turut berwarna merah dan tergedik-gedik berlari keluar dengan kasut tinggi enam incinya itu.
Dengan hati yang membara, Nurul hanya melihat wajah-wajah Shasha yang menjengkelkan sebelum menaiki kereta yang dipandu oleh Danny itu. Sakit hatinya bila gadis yang busuk hati itu pergi dengan begitu sahaja tanpa meminta maaf.
“Dia buat sesuatu yang menyakitkan hati ke?" sapa Azwa bertanya.
Belum sempat Nurul menjawab, sebuah kereta sport yang dipandu oleh Fiq berhenti di perkarangan rumah. Nurul menarik nafas lemah. Tidak tahu bagaimana hendak memberitahu Fiq bahawa mungkin dia tidak jadi pergi ke majlis tersebut kerana tidak mempunyai baju lain lagi.
“Fiq, aku benar-benar minta maaf sebab..." Tiba-tiba Fiq menghulurkan sebuah jubah yang sama kepadanya membuatkan Nurul terpinga-pinga seketika.
“Sofea kirim. Dia kata, mungkin kau perlukannya nanti," jawab Fiq tanpa ditanya. Dia juga terkejut sebab Sofea beberapa kali mengingatkannya tentang jubah tersebut sejak malam semalam sehinggakan setiap kerja yang dibuat mesti dia teringat jubah putih itu.
“Oh, Sofea! Kaulah kawan yang paling memahami sekali." Nurul mengeluh lega.
Nampaknya Sofea lagi cerdik daripada Shasha. Mungkin Sofea sudah dapat agak Shasha pasti akan merosakkan bajunya dan sebab itulah Sofea memaksanya membeli dua pasang baju yang sama walaupun dia tertanya-tanya kenapa. Akhirnya dia faham juga. Nurul menggaru kepalanya sambil mengeluh lega.
Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang tidak kena. Fiq di hadapannya dipandang lama. Lelaki itu sejak dari tadi asyik tersenyum seperti cuba memberitahu sesuatu.
Fiq? Rambut? Tudung? Kemudian barulah dia sedar dia sedang berhadapan dengan Fiq tanpa ditutupi dengan sehelai kain pun untuk melindungi rambut.
“Habislah!" Terus Nurul mengambil jubah putih tadi dan melindungi kepalanya dari kelihatan rambutnya dan bergegas masuk ke dalam bilik.
Fiq yang melihat gelagat Nurul itu hanya tersenyum kelucuan.
“Nazrul, bertapa buruknya teman wanita kau ni."
Share this novel