DARI tadi Nurul asyik memerhatikan gelagat Sofea yang menyelongkar almarinya mencari pakaian yang sesuai untuk perjumpaan istimewa di mana Sofea akhirnya bersetuju memperkenalkan teman lelakinya yang misteri sangat sehingga Sofea beberapa kali berfikir ingin memperkenalkan kepada Nurul. Walaupun Nurul berasa gembira Sofea akhirnya mahu memperkenalkan teman lelakinya, tapi jauh di sudut hatinya dia berasa ada sesuatu yang menghalang keseronokannya itu.
Telefon bimbit di tangannya dipandang. Sejak peperiksaan SPM bermula lebih kurang beberapa minggu yang lalu, Nazrul jarang menelefonnya. Lebih tepat lagi tidak lagi menelefonnya seperti selalu. Selalunya, sebelum peperiksaan SPM bermula, tiap-tiap malam Nazrul akan menelefonnya dan mereka berdua sudah pandai berbual dengan baik tanpa tercetusnya peperangan.
Dia juga sudah lama tidak berjumpa dengan Nazrul. Oleh sebab peperiksaan SPM sedang berlangsung, pelajar-pelajar lain yang tidak terlibat dalam peperiksaan SPM diberi rehat atau dibenarkan bercuti awal dan sebab itulah dia langsung tidak dapat berjumpa dengan Nazrul dan yang lain.
Dia mengeluh berat. Mungkin Nazrul sedang sibuk dengan peperiksaan besar sehingga tidak ada masa hendak berbual dengannya menerusi telefon seperti selalu. Dia sendiri juga tidak berani menelefon Nazrul. Bukannya dia tidak mahu mengambil tahu berita terkini, tapi dia tidak mahu mengganggu pembelajaran Nazrul. Biarlah semuanya sudah selesai, dia akan bertanyakan khabar.
Tapi, bila difikir kembali, bila Nazrul akan tamat peperiksaan? Haruskah dia menghantar mesej dan bertanya khabar?
Ah, apa dah jadi dengan aku ni? Relaks Nurul. Kau tak perlu bimbang sangat tentang Nazrul bukan? Nazrul tu bukanlah boyfriend kau. Ya. Mungkin dia tu nampak seperti sukakan kau, tapi selagi dia tak cakap, Sudikah kau jadi girlfriend aku, ini bermakna kau masih belum ada apa-apa hubungan dengan Nazrul.
Jadi, mungkin Nazrul tu sengaja berbaik dengan kau dan menganggap kau kawan dan sebab itulah dia tak pernah call kau langsung. Mungkin dia dah bosan dengan kau sebab tulah dia tak call kau lagi. Yalah, cubalah kau fikirkan, kalau dia sukakan kau, gerenti dia akan cari ruang untuk call kau atau bagi mesej walaupun dia taip hai, tapi dia langsung tak bagi mesej. Jadi, lupakan Nazrul!
Nurul sekali lagi mengeluh lemah. Rupanya susah juga kalau sudah bercinta dengan seseorang. Kalau dia yang mulakan, dia takut dikecewakan. Takut Nazrul hanya menganggapnya kawan atau Nazrul sudah ada teman wanita yang lain. Siapa yang tahu lelaki akan fikir apa.
Contohnya, Rezza, semua orang ingat dia masih single, tapi sebenarnya sudah mempunyai teman wanita dalam diam. Ini diakui oleh Rezza sendiri setelah didesak oleh kawan-kawannya supaya bercakap benar. Ini kerana tersebarnya gosip Rezza keluar dating dengan seorang gadis misteri. Alasan Rezza menyembunyikan teman wanitanya adalah kerana privasi. Dia tidak mahu hubungan mereka dipanggil cinta monyet dan dia dengan serius mengakui bahawa perempuan itu adalah cinta pertamanya dan mungkin terakhir.
Bagi Nurul, perempuan itu begitu bertuah kerana dapat memiliki cinta Rezza yang benar-benar tulen. Memang bukan sekadar cinta biasa. Dari raut wajah Rezza, dia dapat melihat lelaki itu memang serius dan matang. Mungkin inilah yang dikatakan oleh Fiq, lelaki hanya akan serius dalam sesuatu hubungan apabila seseorang itu sudah matang.
Adakah Nazrul sudah matang seperti Rezza? Nurul sekali lagi menghela nafas lemah. Dalam kepala otaknya terbayangkan wajah Nazrul yang suka tidur, suka bergaduh dengannya dan sebagainya. Jika hendak dibandingkan Nazrul dengan Rezza, Nazrul memang jauh ketinggalan.
Tapi, entah kenapa orang macam Nazrul boleh hadir di hatinya. Mungkin inilah dinamakan cinta tidak kenal siapa. Cinta itu buta. Kita boleh jatuh cinta dengan sesiapa sahaja.
“Okey, aku rasa baju ni sesuai untuk kau," kata Sofea sambil menunjuk baju kurung berwarna putih dan di berikan kepada Nurul.
“Baju kurung?" Nurul hampir terbeliak matanya apabila Sofea menghulur baju kurung putih yang sudah lama terperap dalam almarinya. Sememangnya dia tidak suka pakai baju kurung dan hanya akan pakai bila ada majlis-majlis tertentu dan pada hari raya sahaja. Selain dari hari itu, jangan haraplah dia akan memakai baju kurung.
“Ya. Sebab setelah aku selongkar almari kau ni, aku rasa ini sahaja baju yang sesuai untuk esok. Yang lain semuanya fesyen lama dan fesyen yang buruk," balas Sofea selamba.
“Boyfriend kau tu orang kenamaan ke? Atau seorang bakal ustaz atau ahli kerabat diraja sehinggakan aku nak jumpa dia pun kena pakai baju kurung? Kau pun tahu yang aku lebih suka pakai T-shirt dan seluar jean kalau keluar pergi mana-mana,". balas Nurul tidak puas hati.
“Semua yang kau teka di atas, salah! Aku cuma nak kau kelihatan cantik saja dan aku rasa apa kata kau pakai baju kurung ni sebab kau memang nampak cantik bila pakai baju kurung," balas Sofea.
“Aku tertanya-tanya, adakah pertemuan ni adalah pertemuan cari jodoh?" tanya Nurul setelah tidak berpuas hati dengan jawapan Sofea. “Helo, Cik Sofea, kau cuma nak kenalkan boyfriend kau pada aku dan bukannya nak jodohkan aku dengan boyfriend kau. Kalau kau terfikir, kau nak jodohkan aku dengan boyfriend kau, lupakan sajalah sebab aku tak berminat nak couple dengan sesiapa pun sekarang ni, okey," ujar Nurul memberi amaran kepada Sofea yang biasanya suka menentukan sesuatu di luar jangkaannya.
“Sorry, ada sedikit pembetulan. Aku bukannya nak jodohkan kau dengan boyfriend aku, tapi aku nak jodohkan kau dengan kawan boyfriend aku dan boyfriend aku beritahu kawannya tu suka dengan perempuan yang pakai baju kurung. Jadi, sebab itulah aku fikir, kau patut pakai baju kurung," balas Sofea pula.
“Apa? Kau nak jodohkan aku dengan kawan boyfriend kau tu? Kalau macam tu, aku tak nak pergi."
“Aku dah agak kau mesti tak nak pergi kalau aku beritahu tentang hal sebenar. Okey, tak apa. Kalau kau tak nak pergi, itu terpulang pada kau. Tapi, sebenarnya aku ada berita tentang Nazrul."
Terbeliak mata Nurul apabila mendengar nama Nazrul disebut.
“Berita apa? Nazrul sakit ke?" tanya Nurul pantas.
“Relaks, Nazrul tak apa-apa dan dia sihat. Cuma ada berita yang mungkin mengejutkan kau. Jadi, kalau kau nak tahu tentang Nazrul, kau kena pergi esok. Tiada tawar-menawar!"
Nurul mengeluh sekali lagi. Nampaknya demi Nazrul, dia terpaksa mengikut Sofea walaupun dia rasa tidak adil atau mungkin tidak waras. Kerana mahukan rahsia Nazrul daripada Sofea, dia sanggup keluar berkenalan dengan seseorang yang tidak dikenalinya. Mungkin aku dah tak normal. Semuanya kerana Nazrul.
NAZRUL memasukkan beberapa pakaiannya di dalam beg pakaian yang akan dibawanya bersama. Barang-barangnya yang lain sudah pun diterbangkan ke UK dengan bantuan kawan mamanya yang kebetulan tinggal di sana.
“Dah siap kemas?" tanya Rezza yang entah bila berdiri di hadapan pintu biliknya.
“Hampir siap," jawab Nazrul dan berlalu ke katilnya.
“Aku dah beritahu dia orang yang lain dan ternyata dia orang terkejut beruk bila dapat tahu kau nak terbang ke sana lusa." Rezza memberitahu. Dia tidak lupakan bagaimana riak wajah kawan-kawannya yang diberitahu tentang pemergian Nazrul ke UK. Mana tidaknya, tiada ribut tiada taufan melanda, tiba-tiba mereka diberitahu Nazrul akan ke sana.
“Soalan yang dia orang tanya aku, UK tu United Kingdom ke Ulu Klang?" Rezza ketawa kelucuan.
“Orang yang suka tidur dalam kelas dan di mana-mana saja tiba-tiba nak terbang ke UK, gerenti dia orang takkan percaya punya. Tapi, jangan risau, yang belajar kat sana tu mama aku bukannya aku," ujar Nazrul sambil melipat pakaiannya dan menyusunnya masuk ke dalam beg.
“Tapi, aku tak beritahu Nurul lagi dan aku dah beritahu mereka yang lain supaya jangan beritahu Nurul dahulu."
Kedengaran keluhan berat daripada Nazrul. Nurul. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan gadis itu. Dia juga sudah lama tidak berbual dengan Nurul di telefon. Selalunya dia akan menghubungi Nurul, tapi disebabkan terlampau sibuk dengan urusan ke United Kingdom dan peperiksaan SPM yang baru sahaja tamat beberapa hari yang lepas, dia tidak lagi menghubungi Nurul.
Sengaja dia mahu menjarakkan hubungan ini, tapi dia pula yang terasa bahananya. Mungkin sebab itulah orang kata cinta jangan dibawa main sebab kalau sudah terperangkap dalam cinta, kita juga yang merana.
“Kau tak ada pilihan lain lagi selain beritahu Nurul," ujar Rezza. Dia tahu Nazrul masih lagi belum bersedia untuk memberitahu Nurul, tapi kalau bukan sekarang, bila lagi Nurul hendak tahu isi hatinya.
“Aku harap aku ada kekuatan. Yang kau perlukan sekarang adalah kepercayaan pada diri kau sendiri. Kalau kau tak beritahu Nurul sebelum kau pergi, aku rasa selepas ni harapan kau mesti tipis."
“Aku akan cuba."
“Bukan cuba, tapi mesti!"
NURUL memandang dirinya yang lengkap berpakaian baju kurung putih yang dipilih oleh Sofea malam semalam. Tudung ala Wardina dikenakan sekali. Sekali pandang, dia rasa macam hendak pergi rumah orang kahwin sahaja, itu pun dia menolak tawaran Sofea untuk mekap mukanya. Kalau dia bersolek, mungkin nampak sangat dia hendak pergi merisik lelaki.
“Sofea,aku nak berkenalan dengan boyfriend kau saja, tapi bukannya nak mengurat boyfriend kau." Nurul menjeling tajam Sofea yang asyik tersengih-sengih. “Aku tahu, kau nak kenalkan aku dengan kawan boyfriend kau, tapi aku tak harap aku pakai cantik-cantik begini."
“Aku cuma nak kau kelihatan anggun saja."
“Anggun di mata, tapi hati aku menyumpah-nyumpah apa yang kau buat ni. Boleh tak kau bagi sebab kenapa aku perlu pakai tudung yang melilit-lilit ni? Ni kalau ibu aku nampak, gerenti dia ingat aku nak pergi pinang anak lelaki orang." kata Nurul mendengus marah. Rasanya ingin sahaja dia membuka tudungnya sekarang dan memakai tudung fesyen lamanya yang simple sahaja.
“Kalau macam tu, anggap sahajalah kau nak pergi pinang anak lelaki orang," ujar Sofea selamba.
Nurul hanya menggeleng. Beginilah kalau bercakap dengan Sofea yang tidak pernah kering idea untuk membalas walaupun dia mengutuk keras apa yang Sofea buat. Tapi, nampaknya hati gadis itu begitu tebal untuk terhiris.
Tidak lama kemudian telefon bimbit Sofea berbunyi menandakan mesej masuk. Tanpa membuang masa, dia segera membacanya.
Nurul pula langsung tidak mempedulikan Sofea yang tersengih-sengih bagaikan kerang busuk. Dia masih lagi memandang dirinya di cermin. Langsung tidak menyangka bahawa orang yang dilihat di dalam cermin itu adalah dia. Emm... cantik juga aku ni.
“Okey, jom kita bertolak sekarang. Boyfriend aku dah sampai dah," ujar Sofea mengejutkan Nurul daripada lamunan.
“Kau gila ke nak jalan ke Kuala Lumpur dengan fesyen macam ni? Mana rock!"
“Siapa kata kita ke Kuala Lumpur?"
“Habis tu?"
“The Cafe. Aku rasa tempat tu lagi best dari Kuala Lumpur yang sesak tu." Tanpa membuang masa Sofea menarik Nurul yang ternyata terkejut dengan tempat pertemuan mereka.
Bagaimana dia hendak berhadapan dengan semua orang yang terserempak dengannya di sepanjang jalan? Memang dia rasa janggal sangat apabila memakai baju kurung dan berjumpa dengan bakal jodohnya. Oh, ya, bukan janggal, tapi hodoh sesangat.
Mujurlah The Cafe tidak jauh dari kawasan perumahannya, kalau tidak gerenti dia takkan pergi dengan berjalan kaki.
Sampai sahaja di The Cafe, Sofea terjengket-jengket mencari seseorang di dalamnya. Nurul masih lagi merenung nasibnya yang akan datang. Entah bagaimanalah Nazrul kalau dia ditakdirkan terpikat dengan bakal jodohnya itu. Ah, apa yang aku fikirkan ni? Dia mengetuk sedikit kepalanya yang mula berfikiran jauh. Sejak akhir-akhir ini dia memang menyedari dia suka mengelamun jauh-jauh. Kadangkala masa makan pun dia boleh mengelamun. Adakah dia telah terkena dengan penyakit cinta?
“Hah, dia orang kat sana." Sofea menarik tangan kawannya itu dan berlalu ke arah dua orang lelaki yang sedang menunggu. “Kenalkan, inilah boyfriend aku."
Nurul tercengang seketika. Seakan tidak percaya bahawa teman lelaki yang Sofea katakan selama ini adalah Rezza. Hampir menjerit Nurul dibuatnya apabila Sofea memperkenalkan teman lelakinya. Kemudian dia memandang kedua-duanya yang saling tersenyum. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa dan segala soalan yang ingin ditanyanya bagaikan terbeli di kepalanya.
“Surprise!" ujar Sofea menarik Nurul duduk di sebelahnya dan bertentangan dengan Nazrul yang turut berada di situ.
Nurul tiba-tiba ketawa apabila teringatkan siapakah gerangan dan rupa-rupanya Nazrul adalah orangnya. Nurul menjeling pandang Sofea di sebelahnya. Rasanya mahu sahaja dia cekik kawannya itu di situ. Patutlah Sofea beria sangat hendak kenalkan dia dengan seseorang. Rupa-rupanya ada udang disebalik batu.
“Kau tak beritahu pun..." kata Nurul masih lagi tidak berpuas hati. Wajah Rezza dan Sofea dipandang satu per satu dan kedua-dua mereka ketawa kelucuan. “Hampeh betullah kau orang ni. Bercinta bukannya nak beritahu aku pun."
“Kan aku pernah cakap, kalau bercinta dengan orang yang popular macam Rezza di sekolah, hidup kita takkan aman, jadi aku rasa lebih baik rahsiakan hubungan kami berdua. Untuk pengetahuan kau, aku tak pernah curi nombor telefon Rezza dalam handset kau ya," ujar Sofea cuba terangkan sebab dia merahsiakan hubungan mereka berdua.
“Tapi, dia curi daripada aku," balas Rezza teringat kenangan yang melucukan apabila pertama kali bersua dengan Sofea.
Nurul ternyata tidak faham apa yang diberitahu oleh Rezza tadi.
“Oh, kau tak perlu tahu tentang tu sebab yang penting, aku dah berjaya pikat Rezza dengan usaha aku sendiri," balas Sofea memberi isyarat kepada Rezza supaya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa tentang perkenalan mereka.
“Tapi, kau orang kena ucapkan terima kasih pada Nurul sebab sebarkan gosip hubungan gay aku dengan Rezza," ujar Nazrul tersenyum memandang Nurul seolah-olah sedang memerlinya.
Nurul kerusingan. Entah apa yang mereka bualkan dia sendiri pun tidak dapat tangkap. Apa kena-mengena dengan gosip gay Nazrul dengan Rezza sehingga Sofea bercinta dengan Rezza? Tapi, bila difikirkan kembali gosip tersebut, dia rasa macam hendak menjerit sahaja. Bagaimana Nazrul boleh tahu dia yang sebarkan gosip itu? Tak pasal-pasal dia kena perli dengan Nazrul tadi.
“Aku rasa kau orang mesti ada banyak benda nak bualkan... Jadi, kita orang pun tak nak ganggu kau orang berdua dan kami pun tak nak diganggu oleh kau orang berdua yang kuat bergaduh. Jadi, kami pergi dulu," ujar Sofea setelah memberi isyarat kepada Rezza.
Tanpa sempat Nurul berkata apa-apa, mereka berdua sudah bangun meninggalkan The Cafe. Dari jauh, dia dapat melihat Sofea yang menunjukkan tanda peace di luar. Tanpa disedari, dia tersengih mengagumi Sofea yang pandai berahsia sehinggakan dia terjerat dengan rancangan murni Sofea.
“Berjumpa dengan bakal jodoh?" Nazrul memulakan bicaranya sambil tersengih-sengih memandang Nurul sehingga Nurul amat malu, apatah lagi Nazrul seakan mengejeknya.
“Mana ada! Aku sebenarnya dipaksa oleh Sofea. Dia tu memang suka buat sesuatu di luar jangkaan aku. Lagipun Sofea kata,kalau aku tak pergi aku..." Tiba-tiba Nurul berhenti berkata bila terfikir kesan dan akibatnya apabila dia memberitahu sebab-sebab kenapa dia terpaksa mengikut kata Sofea supaya bersetuju untuk menghadiri pertemuan ini.
“Kalau kau tak pergi kenapa?" tanya Nazrul masih lagi merenung Nurul.
Nurul cuba melarikan diri daripada direnung olehnya. Menggelabah semacam. Tapi, entah kenapa hatinya begitu gembira walaupun Nazrul tidak mengakuinya lagi.
“Ah, lupakanlah. Tukar topik. Macam mana SPM?" tanya Nurul yang sudah lemas direnung oleh Nazrul.
“Okey. Baru saja habis," jawab Nazrul.
“Kau tahu pasal Sofea dengan Rezza? Aku betul-betul terkejut hari ni. Aku sendiri tak sangka, kawan baik aku bercinta dengan Rezza yang aku kenal. Dia orang memang pandai menyimpan rahsia." Nurul cuba menghidupkan suasana biasa antara mereka berdua.
“Rezza baru sahaja beritahu aku semalam," ujar Nazrul.
“Kau tak terkejut?"
Geleng.
“Kau memang tak ada perasan langsung," ujar Nurul selamba dan meratah kentang goreng yang sudah tersedia di atas meja sejak dia sampai tadi.
“Aku tak pernah terkejut dengan apa yang orang lain buat. Jadi, macam mana dengan hidup kau akhir-akhir ni? Tak rindukan aku ke?"
“Buat apa aku nak rindukan kau?"
Nazrul tersengih.
“Aku ada sesuatu nak cakap dengan kau..." kata Nazrul.
Nurul memandang Nazrul dengan penuh hairan. Sebenarnya dari awal lagi dia hairan apabila Sofea memaksanya mengikutnya. Setelah mendapat tahu teman lelaki Sofea adalah Rezza, dia sekali lagi hairan kenapa dia perlu berhadapan dengan Nazrul sementara Sofea dan Rezza tiba-tiba ada hal lain.
“Apa dia?"
Share this novel