SEBAIK sahaja jam di tangan menunjukkan jam 2.00 petang, Nurul yang baru sahaja menunaikan solat zuhur di surau sekolah bergegas ke bilik yang memang disediakan khas untuk ahli-ahli Kelab Bola Sepak berkumpul. Selalunya bilik yang terletak di sebelah bilik yang menyimpan peralatan sukan itu, dijadikan markas pemain-pemain bola sepak untuk bermesyuarat dan tempat istirahat selepas tamat latihan di padang.
Pintu bilik telah pun terbuka luas sebaik sahaja Nurul tiba di hadapan pintu. Dia menjenguk ke dalam. Sunyi. Hanya bunyi kipas berpusing sahaja kedengaran. Pelik. Tiada seseorang pun di dalam. Dilihat jam tangannya. Seingatnya mesyuarat akan bermula jam 2.00 petang, tapi tiada seorang pun di dalam. Atau, dia yang tersilap.
“Cari siapa?"
Sapaan seseorang di belakang membuatkan Nurul terkejut. Pantas dia memalingkan kepalanya.
Nazrul! Hatinya menjerit apabila mendapati lelaki yang menegurnya tadi adalah Nazrul. Teringat pula kejadian semalam. Kejadian yang amat memalukan dirinya sehingga dia hilang keayuan. Depan jejaka handsome pula tu.
“Dia Nurul. Mulai hari ini dia akan menjadi pengurus Kelab Bola Sepak," ujar Fiq menghampiri mereka berdua.
Fiq menghadiahkan senyuman kepada Nurul membuatkan Nurul hampir hilang imbangan. Panahan asmara daripada lelaki yang kacak seperti Fiq, masakan dia tak gila bayang.
“Oh..." Nazrul menggangguk faham.
Mereka bertiga kemudiannya melangkah masuk ke dalam bilik tersebut. Dari tadi Nurul asyik memerhati keadaan sekeliling bilik. Bilik tersebut hanya mempunyai beberapa lokar khas untuk ahli pasukan menyimpan barang, satu meja mesyuarat yang lengkap dengan beberapa kerusi plastik dan sebuah sofa yang nampak uzur. Di sekeliling dinding yang dicat warna putih itu pula tertampal beberapa poster bola sepak dan gambar-gambar pemain-pemain bola sepak yang pernah mengharumkan nama sekolah.
Rasanya bagaikan mimpi sahaja dia diterima sebagai pengurus Kelab Bola Sepak merangkap setiausaha yang diidam-idamkan oleh ramai pelajar perempuan di sekolahnya itu.
“Duduklah dulu, yang lain tu biasalah. Janji Melayu. Kalau kata mesyuarat jam 2.00 petang, mereka akan datang setengah jam lewat. Sebenarnya mesyuarat akan mula 2.30 petang," kata Fiq selepas mencapai beberapa buah fail dari dalam lokarnya.
Tanpa bercakap banyak Nurul berlalu duduk. Dia sempat menjeling ke muka pintu. Kelibat Rezza kelihatan berbual dengan Nazrul di hadapan pintu. Nazrul dan Rezza memang merupakan sahabat baik. Mereka berdua tidak pernah kelihatan bergaduh atau bermasam muka. Tapi, jika dibandingkan antara mereka berdua, nama Rezza lagi popular berbanding Nazrul. Mungkin ramai yang tidak suka dengan perangai Nazrul yang asyik tidur dan ponteng kelas semata-mata hendak tidur.
Tapi, apa yang dia tidak faham, pihak sekolah seolah-olah menutup mata sahaja apa yang dilakukan oleh Nazrul. Jika pelajar lain, pasti surat amaran telah diberikan atau digantung sekolah. Tapi, dalam kes Nazrul tiada tindakan pun yang diambil oleh pihak sekolah.
“Sebelum kami memilih seorang untuk uruskan kelab ni, Rezza suruh aku kumpulkan maklumat tentang kelab ni dan maklumat berkenaan bola sepak. Semuanya ada di sini." Fiq menghulur sebuah fail ABBA kepada Nurul.
“Sebelum ni kelab ni diuruskan oleh siapa?" tanya Nurul. Pelik juga apabila tiba-tiba mereka ingin mencari seorang pengurus.
“Oleh AJK kelab. Sebelum ni AJK yang handle semuanya, tapi memandangkan AJK kelab kebanyakannya pelajar tingkatan lima dan akan menghadapi peperiksaan SPM, aktiviti kami dihadkan. Kami ada juga AJK tingkatan empat dan ke bawah, tapi setelah berbincang kami buat keputusan untuk wujudkan satu jawatan pengurus merangkap setiausaha kelab sebab tugas ni agak berat. Kami memang pandang serius dengan orang yang kami pilih apatah lagi yang datang untuk temu duga semalam semuanya perempuan." Fiq mengeluh.
“Ada juga lelaki yang datang,” kata Nurul.
Mereka berdua ketawa kelucuan apabila teringat kembali mat-mat sotong yang turut menghadiri temu duga tersebut.
“Tapi, apa yang aku tak faham, kenapa pilih aku? Kenapa aku perlu kejutkan Nazrul bangun tidur?"
“Ahli kami ada pelbagai ragam yang tak diketahui oleh orang lain. Semalam tu, baru Nazrul buat hal. Kau belum lagi berjumpa dengan pemain lain. Yang banyak ragam dan banyak timbulkan masalah. Dalam banyak-banyak masalah, bangunkan Nazrul daripada tidur adalah tugas yang lebih mencabar." Fiq melemparkan pandangan ke luar melihat Nazrul dan Rezza sedang berbincang sesuatu.
Nampaknya tugas aku macam kena bangunkan Putera Katak bangun saja, desis hati Nurul sambil menjeling Rezza yang masih rancak berbual bersama Nazrul di luar.
BILIK tersebut meriah dengan kedatangan beberapa AJK kelab yang lain sampai. Riuh-rendah juga jadinya dengan kedatangan mereka. Rata-rata mereka memang Nurul kenali. Mana tidaknya, kebanyakan ahli rasmi bola sepak memang popular di sekolah. Putera Idaman lah katakan.
Sementara menunggu kedatangan Cikgu Majid selaku guru penasihat Kelab Bola Sepak sekolah dan tanpa mempedulikan kemeriahan pemain-pemain bola sepak yang seperti budak-budak tidak cukup umur bermain, Nurul membuka fail yang diberikan oleh Fiq kepadanya tadi.
Terdapat sebelas orang pemain rasmi yang dipilih untuk mewakili sekolah dalam perlawanan bola sepak dan mereka ini juga memegang jawatan penting dalam Kelab Bola Sepak. Rezza diberi mandat untuk menentukan hala tuju kelab dengan dilantik sebagai pengerusi Kelab Bola Sepak. Naib pengerusi pula adalah Fiq. Manakala setiausaha kelab dipegang oleh Khairul Najmi. Ridzwan selaku bendahari kelab.
Manakala baki tujuh orang yang selebihnya dilantik sebagai ahli jawatankuasa kecil kelab. Mereka adalah Zul Hilmi, Hayrul Azriq, Mohd Zaki, Zaimi Ahmad, Farizat Hamdan, Adnan Yazir dan Nazrul. Kebanyakkan mereka ini bukan calang-calang pelajar. Ada antara mereka pernah menerima pelajar cemerlang dan pernah mengharumkan nama sekolah dalam setiap pertandingan yang mereka sertai. Mungkin sebab itulah ramai pelajar perempuan menganggap kesemua ahli bola sepak sebagai putera idaman mereka.
Aku tak fahamlah, apa yang best sangat pasal bola sepak ni? Dalam diam Nurul mengeluh. Dia tidak tahu berapa lamakah dia boleh bertahan dengan mereka semua. Kalau mengikut kehendak hati hendak saja dia menyerah kalah. Tapi, bila difikirkan tentang Fiq pula, hatinya berat untuk melangkah.
Gila betullah. Memang susah betul kalau aku dah jatuh hati dengan seseorang! desis Nurul sempat mencuri pandang ke arah Fiq yang sedang membalas mesej. Memang dia mengakui, dia mudah jatuh cinta apabila berjumpa dengan lelaki kacak seperti Fiq dan sebab itulah selama ini dia melancarkan peperangan dengan Carta Prince Charming. Dia takut sejarah yang sama berulang kembali. Betapa peritnya apabila cintanya ditolak seseorang semasa menuntut di sekolah lama.
Tapi semalam, sebaik sahaja terpandang wajah Fiq, dia hilang pertimbangan. Dia lupa bahawa dia benci dengan sukan bola sepak. Dia masih berkeras mahu menerima tawaran yang diberikan asalkan dia dapat melihat Fiq dari dekat.
Tidak beberapa lama kemudian, Rezza dan Nazrul yang rancak berbual di luar tadi melangkah masuk ke dalam dan diikuti dengan Cikgu Majid selaku penasihat Kelab Bola Sepak.
Cikgu Majid yang pernah mengajar Nurul mata pelajaran Sains sewaktu di tingkatan tiga pada tahun lepas menghadiahkan senyuman kepadanya tanda masih lagi mengingatinya. Nurul membalasnya semula.
“Baiklah, terima kasih kerana dapat hadir ke mesyuarat kali ini. Mesyuarat kali ini adalah bertujuan untuk memaklumkan perlantikan Nurul Izzati sebagai pengurus merangkap penolong setiausaha Kelab Bola Sepak. Harap Nurul Izzati dapat membantu menyudahi kerja-kerja Najmi yang tertunggak," ujar Cikgu Majid sambil memandang Najmi yang sudah tersengih.
“Patutlah dia sokong sangat nak wujudkan jawatan pengurus dan penolong setiausaha. Malah, membukanya pada kaum perempuan," ujar Zaki sambil menjeling tajam.
“Rupa-rupanya ada udang disebalik batu," sambung Ridzwan.
Najmi masih lagi tersengih.
"Kalau macamtu aku pun nak wujudkan jawatan penolong bendahari jugalah. Terbuka khas untuk pelajar-pelajar perempuan."
“Kalau kau nak datangkan bala yang tak dijemput lagi, teruskanlah dengan niat kau tu," balas Rezza pula. Bilik itu gamat dengan gelak ketawa mereka.
“Kenapa kau pilih perempuan pula untuk jawatan ni?" tanya Hayrul yang sejak tadi asyik mendiamkan diri. Selain berbakat dalam bola sepak, Hayrul juga merupakan ketua pengawas. Orangnya memang tegas dan jarang nampak dia tersenyum. Mungkin sebab itulah ramai orang yang gerun dengan Hayrul.
“Hampir 90 peratus yang datang temu duga semalam adalah perempuan dan sepuluh peratus lagi adalah lelaki spesies sotong. Kalau kau yang berada di situ, adakah kau nak pilih Encik D
Sotong atau perempuan tulen?" balas Rezza menjawab pertanyaan Hayrul.
“Tak mengapalah. Apa salahnya kalau kita beri peluang pada kaum perempuan untuk menyertai Kelab Bola Sepak. Lagipun bola sepak bukan untuk lelaki, malah ada juga pasukan bola sepak perempuan. Jika boleh memang saya nak wujudkan satu Kelab Bola Sepak perempuan, tapi bukan senang nak lakukannya. Saya percaya, Rezza pilih orang yang betul untuk pasukan ini. Lagipun saya memang sudah agak pasti kebanyakan yang datang temu duga itu adalah perempuan." Cikgu Majid sekali lagi menjeling tajam ke arah Najmi yang mengganguk-angguk.
“Ya! Betul tu! Aku tak nak Kelab Bola Sepak ni dianggap kelab gay sekolah. Kadangkala bosanlah asyik dikelilingi lelaki saja. Kalau ada perempuan cantik macam Nurul ni, mesti kita bersemangat lagi nak berlatih. Kan, Nurul?" Najmi mengenyit sebelah matanya.
Aku sepak juga jantan miang ni, bentak Nurul geram. Terasa satu mukanya panas sebaik sahaja Najmi menghadiahkan kenyitan mata yang menggoda. Buat malu saja!
“Yang bersemangat tu kau seorang saja," sindir Farizat yang hanya mampu menggeleng kepala.
“Baiklah, kita selesaikan perkara ini sampai di sini saja. Keputusan muktamad. Nurul Izzati akan menyertai Kelab Bola Sepak. Saya mahu Rezza dan Fiq tolong bantu Nurul. Nazrul... tolong jangan tidur lagi," ujar Cikgu Majid sempat memberi amaran kepada Nazrul yang sudah berbantalkan lengan. Serentak dengan itu kedengaran dengkuran kuat daripada Nazrul. Cikgu Majid hanya mampu menggeleng.
Kesemua mereka dilihat cuba menyembunyikan tawa mereka sebaik sahaja dengkuran Nazrul kedengaran. Cikgu Majid menggaru-garu kepalanya yang sudah ditumbuhi rambut-rambut putih. Nurul pula, berasa dia berada di dunia asing. Bagaimana Cikgu Majid yang dikenali seorang yang tegas boleh menggeleng saja apabila Nazrul tidur sewaktu mesyuarat berlangsung. Itu namanya tidak hormat mesyuarat.
“Baiklah agenda seterusnya... "Tanpa mempedulikan Nazrul yang masih lagi tidur berdengkur, Cikgu Majid meneruskan mesyuarat. “Disebabkan ramai antara pemain akan menghadapi peperiksaan SPM dan PMR tahun ini, saya telah buat beberapa rancangan untuk kelab ini. Aktiviti padang dan latihan intensif akan berjalan seperti biasa untuk semua ahli rasmi, manakala bagi pertandingan pula, ahli rasmi hanya akan terlibat dalam satu pertandingan sahaja iaitu Kejohanan Bola Sepak Peringkat Sekolah-sekolah yang akan dia adakan pertengahan tahun ini.
“Rezza, saya mahu awak wujudkan satu pasukan lagi yang akan menjadi pelapis Kelab Bola Sepak. Saya tak mahu tahun depan, bila awak dah tinggalkan sekolah ini, ada yang berebut-rebut nak menjadi ahli rasmi," arah Cikgu Majid.
Rezza hanya sekadar mengangguk.
“Mengenai kejohanan yang akan berlangsung nanti, apa yang telah dimaklumkan bahawa kita akan menerima kunjungan daripada pasukan Haji Mansur," ujar Cikgu Majid sambil mengeluh memandang Nazrul yang masih lagi berdengkur.
“Haji Mansur?" Zul Hilmi bertanya kembali.
“Kelab Bola Sepak kawasan kampung ke?" tanya Adnan pula.
“ Kawasan kampung?" Zaimi terbayangkan orang-orang tua yang akan menjadi lawan mereka nanti.
“Kenapa aku rasa aku tak pernah dengar pun pasukan tu? Tu sekolah ke?" tanya Zaki pula sambil menggaru kepala.
“Sekolah baru. Baru saja dua tahun lepas beroperasi. Mereka pernah menyertai kejohanan yang sama tahun lepas, tapi terkandas di perlawanan separuh akhir." Nazrul tiba-tiba bersuara dan bangun dari tidurnya yang nyenyak. Terkejut Nurul dibuatnya. Ingatkan lelaki itu tidur sehingga tidak ingat dunia. Rupa-rupanya masih belum tinggalkan dunia ni.
“Aku rasa kau orang pun tahu pasal pasukan ni." Nazrul memeluk tubuh.
“Pasukan yang perasan dia orang charming tu?" teka Farizat.
Nazrul hanya sekadar mengangguk.
“Sekolah Semarak?" tanya Rezza untuk mendapat kepastian lagi.
Angguk.
Masing-masing menarik nafas lemah.
“Tapi, kenapa nama pasukan Haji Mansur pula?" tanya Adnan.
Nazrul tidak segera menjawab, sebaliknya memandang Nurul yang tidak jauh daripadanya. “Aku lupa nama sekolah tu, tapi aku ingat nama pengetua sekolah tu Haji Mansur. Sebab nak cepat aku beritahulah Cikgu Majid nama pasukan tu Haji Mansur," balas Nazrul selamba.
Masing-masing mengeluh lemah. Nazrul memang benar-benar buat orang lain hilang akal. Ingatkan jawatankuasa kampung manalah yang hendak berlawan dengan mereka di padang.
“Nama pengetua dia kau ingat, tapi nama sekolah kau tak ingat..." Zul sekadar menggeleng.
Begitu juga dengan Cikgu Majid yang sudah penat otaknya berfikir siapakah gerangan di sebalik pasukan Haji Mansur. Nazrul benar-benar mencabar otaknya berfikir sehingga dia sendiri tidak mendapat klu. Tapi, dia tetap memang memandang tinggi dengan Nazrul. Baginya, biarpun Nazrul suka tidur, tapi apa yang ditugaskan kepada Nazrul dibuat dengan lancar dan sempurna.
Nazrul sekadar tersengih.
“Kalau dia orang nak lawan kita, memang masalah," ujar Najmi.
"Memang masalah pun," ujar Nazrul sambil kembali berbantalkan lengan.
MESYUARAT habis sejam selepas itu. Bilik yang Kelab Bola Sepak meriah tadi kembali sunyi. Beberapa ahli rasmi sudah pulang ke rumah dan ada juga antara mereka yang sudah pergi melepak di kedai kopi yang terletak berhampiran sekolah mereka.
Nurul masih lagi tekun membaca fail yang diberikan oleh Fiq tadi. Sesekali dia memuji tulisan Fiq yang kemas dan teratur. Tidaklah seperti sesetengah tulisan pelajar lelaki yang macam cakar ayam yang baru pandai mencakar.
Rezza sedang berbincang sesuatu dengan Cikgu Majid. Dia tidak dapat mendengar perbualan mereka walaupun jarak antara dia dengan mereka berdua hanya beberapa meter sahaja jauhnya. Dia cuba membesarkan telinga sebaik sahaja dia mendengar namanya disebut-sebut.
“Nurul perlu tahu," kata Cikgu Majid dengan wajah yang serius.
“Terlampau awal. Saya tak yakin... " Rezza menggeleng.
“Awak pilih dia, jadi awak mesti ada keyakinan. Kalau tidak, awak tak akan pilih dia. Lagipun sejak dari hari tu lagi saya dah cakap pasal benda ni. Kalau nak lantik pengurus di kalangan pelajar untuk kelab ni, awak mesti bersedia dengan semua ni," kata Cikgu Majid lagi.
“Saya tahu, tapi benda ni susah sikit," balas Rezza sambil menggaru dahinya. Sesekali dia menjeling Nurul yang tidak jauh daripadanya.
“Maksud awak?"
“Nazrul. Saya tak yakin yang Nazrul akan benarkan," kata Rezza lagi sambil menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur dengan kuat. “Cikgu sendiri pun tahu kan dia memang fobia kalau orang lain dapat tahu yang dia tu..." Kata-katanya terhenti. Bukannya dia tidak sanggup untuk teruskan kata-katanya, tapi dia sendiri sudah berjanji dengan Nazrul bahawa tidak akan menyebutnya walaupun orang itu tahu tentang perkara itu.
“Jadi, awak nak biarkan saja?" tanya Cikgu Majid.
“Dia cakap, dia boleh kontrol," ujar Rezza.
“Baiklah, tapi saya nak tanya awak sesuatu. Berapa lama awak semua boleh bertahan?" soal Cikgu Majid beralah.
Rezza menghela nafas sebaik sahaja Cikgu Majid hilang dari pandangannya.
Nurul yang berpura-pura asyik memandang fail di hadapannya masih berlagak seperti dia tidak wujud di situ. Tapi, hatinya sudah pun menyenaraikan soalan-soalan mengenai perbualan yang dicuri dengar tadi.
Dia menjeling Nazrul yang masih lagi berdengkur. Kalau ikutkan hati, hendak sahaja dia letakkan bom di dalam mulut Nazrul yang mengganggu ketenteramannya.
Fiq pula sedang asyik mengemas lokarnya yang disediakan oleh pihak sekolah untuk ahli-ahli rasmi menyimpan barangan mereka.
“Wei, jom pergi makan. Aku laparlah. Dari pagi lagi aku tak makan."
“Okey, tapi siapa yang tanggung ni?" tanya Farizat yang dari tadi sedang menyusun buku-bukunya ke dalam lokar.
“Tanggung diri sendirilah." Rezza berkata selamba sambil menghampiri Nazrul. "Wei, bangun. Jom pergi makan."
Serentak itu, Nazrul terus mengangkat kepala.
Nurul yang melihatnya sedikit rasa pelik. Dia ada dengar daripada Sofea yang mengatakan hanya Rezza yang mampu mengejutkan Nazrul bangun daripada tidur lena. Tapi, dia masih lagi tidak percaya. Mustahil Nazrul tidur tidak ingat dunia dan mustahil juga tiada sesiapa pun yang dapat kejutkannya bangun.
“Makan? Jom, jom!" Bergegas Nazrul mencapai beg sekolahnya.
“Nak join sekali?" tanya Rezza kepada Nurul.
“Err... tak mengapa. Aku dah kenyang," balas Nurul.
“Wei, Rezza, cepatlah!" jerit Nazrul yang sudah tidak sabar-sabar.
“Fiq," sapa Rezza memberi isyarat.
“Kau gerak dulu. Nanti aku datang," balas Fiq.
“Okey."
Mereka bertiga berlalu pergi. Kini, hanya tinggal Fiq dan Nurul sahaja di dalam bilik itu. Nurul yang berasa janggal dengan situasi tersebut terus mengemas barang-barangnya. Dia mahu keluar secepat mungkin dari situ. Nanti entah apa pula gosip yang melanda dirinya. Berdua-duaan dengan Fiq di dalam bilik? Memang ngeri!
“Aku balik dulu," ujar Nurul yang sudah siap mengemas barang-barangnya. "Fail ni aku pinjam untuk buat rujukan." Dia mula melangkah keluar.
“Tunggu!"
Langkah Nurul terhenti apabila Fiq bersuara. Lantas Fiq menutup lokarnya dan mencapai beg sekolahnya. Pintu bilik dikunci dan dimanggakan sekali.
“Kenapa?" tanya Nurul.
“Pasal apa yang dibincangkan tadi tu, ada apa-apa yang kau tak faham?" tanya Fiq sambil berjalan seiringan dengan Nurul.
“Bolehlah, tapi aku masih tak faham lagi dengan nama sekolah tu."
“Dah agak dah." Fiq tersenyum. Sekolah Haji Mansur sebenarnya Sekolah Menengah Semarak. Ni semua Nazrul punya pasallah. Nama pengetua dia ingat, tapi nama sekolah dia lupa." Fiq sekadar menggeleng.
Nurul masih lagi kurang faham.
“Oh, lupa nak beritahu, sebenarnya tugas Nazrul adalah mencari maklumat tentang pasukan lawan termasuklah menguruskan jadual perlawanan. Cikgu Majid dah serahkan tugas ini kepada Nazrul. Dia juga orang penting dalam kelab ni. Bagi sekolah-sekolah yang ingin adakan perlawanan persahabatan dengan sekolah kita juga mesti melalui Nazrul terlebih dahulu dan Nazrul juga yang pastikan sama ada ingin terima sesuatu perlawanan atau tidak." terang Fiq.
Kali ini Nurul menggangguk faham. "Tentang sekolah tu aku ada dengar..."
“Dengar apa?"
“Tentang pelajar-pelajar lelaki mereka. Dia orang tu kira charminglah," ujar Nurul lagi.
Fiq di sebelah Nurul menggangguk setuju.
“Tapi, kenapa kau orang semua kata mereka tu bermasalah?"
“Sebenarnya..." Fiq menghela nafas lemah dan kemudian menggeleng." Anggap sajalah benda ni hal orang lelaki."
Nurul sekadar mengangguk faham. Kalau hal orang lelaki sudah semestinya perempuan tidak boleh masuk campur atau dengan kata lain, walaupun dia memaksa Fiq bercakap, Fiq tetap tidak akan bercakap tentangnya. Jadi, lebih baik dia lupakan tentang hal-hal orang lelaki.
“Jadi, kau nak join kami semua?" tanya Fiq.
Geleng.
“Kalau macam tu, aku pergi dulu. Jumpa esok."
“Jumpa esok..." balas Nurul sebelum Fiq mengatur langkah untuk ke kedai kopi yang beehampiran. Kelihatan dari jauh, Rezza dan rakan-rakan yang lain melambai-lambai ke arah mereka.
Jam di tangan dilihat, tepat jam 4.30 petang. Nurul segera mengatur langkah ke bahu jalan. Memerhati kiri dan kanan jalan untuk melintas. Kali ini dia perlu berhati-hati supaya kejadian tempoh hari tidak berulang lagi. Selepas mendapati semuanya selamat, dia segera mengorak langkah melintas jalan raya.
Tiba-tiba...
“Nurul!"
Jeritan Rezza dari warung kopi mengejutkan Nurul yang sedang melintas jalan. Apabila dia berpaling, dia dapat melihat sebuah kereta sedang meluncur laju menghampirinya.
Matilah... itu sahaja yang difikir Nurul ketika itu. Mungkin kali ini dia tidak dapat lari lagi. Tiada sesiapa yang akan menyelamatkannya. Dan, mungkin di sini sahajalah perjalanan hidupnya.
Tiba-tiba tubuhnya di tarik ke tepi. Sedar-sedar sahaja di dalam dakapan seseorang. Nurul kaget sebentar. Dia cuba bernafas dengan betul walaupun payah. Nafasnya turun naik dengan laju. Tidak percaya dia terselamat buat kali kedua.
“Kau tak apa-apa?" suara Fiq mengejutkannya.
Pantas dia memandang Fiq di hadapannya.
Prince Charming, hati Nurul bersuara.
Share this novel