NURUL terkejut dengan kedatangan ahli bola sepak ke rumahnya pada petang itu. Dia yang mendapat kebenaran cuti daripada doktor kerana demam, diberi rehat beberapa hari. Selama itulah dia terpaksa berkurung dalam rumah, memandangkan keadaannya yang tidak berdaya untuk ke sekolah.
Dia sendiri tidak ingat bagaimanakah dia boleh pengsan. Sedar-sedar sahaja dia sudah terlantar di atas katil hospital. Apa yang dia ingat, pagi Sabtu hari tu Najmi telefon menyuruhnya turun padang untuk sesi latihan. Dia yang tidak tahu apa-apa terpaksa juga turun padang.
Hari itu juga ingatannya berputar kembali mengingati kejadian yang hampir meragut nyawanya itu setelah terbau satu wangian yang tidak asing lagi. Wangian itulah yang dibaunya sewaktu dirinya terselamat dari kecelakaan itu. Nazrul...
Ya. Dia pasti Nazrul yang menyelamatkannya. Selama beberapa hari ini dia asyik mengimbas kembali kejadian tersebut dan pelbagai soalan yang timbul difikirkannya. Kalau benar Nazrul yang selamatkannya, kenapa Nazrul langsung tidak pernah memberitahunya tentang kejadian itu? Kenapa pula hendak merahsiakan? Ingat ini drama televisyen atau novel cinta ke? Seseorang tu akan terus jatuh cinta pada penyelamat hidupnya.
Aku bukan macam tu. Walaupun aku tahu Nazrul tu penyelamat aku, aku tak rasalah pula yang aku dah jatuh cinta dengan dia.
“Nazrul memang seorang yang pelupa. Dia memang akan lupa apa yang dia buat dalam hidupnya semalam."
Masih terngiang-ngiang bicara Rezza satu ketika dulu.
“Mungkin dia ni hero yang pelupa yang dia tu hero," ujar Nurul perlahan sambil membancuh air kopi untuk tetamu-tetamu yang tidak diundangnya itu. Mana tidaknya, mereka semua terus redah rumahnya tanpa memberi mesej. Nasib baiklah ibunya yang buka pintu tadi, kalaulah dia yang buka pintu dengan rambut serabai, mesti setahun pun belum tentu mereka semua berhenti gelakkannya.
“Siapa nama?" tanya Najmi kepada kucing jantan yang berbulu coklat putih.
Nurul hanya menggeleng. Kucingnya itu nampak macam reda saja dibuli oleh Najmi.
“Wei, aku tanya siapa nama kau?" tanya Najmi lagi.
Nurul malas hendak mengambil peduli dengan Najmi yang sibuk bermain dengan kucing kesayangannya itu. Dia segera berlalu ke ruang tamu dengan membawa sedulang air minuman panas kepada mereka semua. Semuanya ada di situ kecuali Nazrul.
“Mana Nazrul?" tanyanya sebaik sahaja menyedari Nazrul tiada di situ.
“Kau ni macam tak tahu pulak kerja dia selepas habis latihan. Mestilah balik tidur." Pantas Hayrul menjawab dan menghirup kopi yang dibuat Nurul tadi. “Nurul, tak ada air batu ke? Kami dahlah baru saja habis latihan, lepas tu berjalan jauh nak pergi rumah kau ni. Takkanlah bagi air panas."
Nurul tersenyum manis. Senyuman dibuat-buat.
“Panas ya. Apa kata kau pergi ke dapur dan ketuk air batu untuk dia orang semua. Aku ni anak dara yang pemalas sebab tulah aku hidangkan air panas saja." Nurul tersenyum lagi. Senyuman menyindir.
Mereka semua tersengih-sengih ketawakan gelagat Nurul. Beberapa hari Nurul tidak ke sekolah dan tidak turut serta dengan sesi latihan membuatkan latihan mereka sedikit hambar dan lintang-pukang. Semua terasa kehilangan Nurul kecuali Nazrul yang gembira sebab dapat tidur dengan aman tanpa ada sesiapa mengacaunya. Hari ini juga Nazrul balik tergesa-gesa dengan alasan hendak tidur dengan lena sebab esok Nurul sudah mula bersekolah dan sudah pastinya untuk sesi latihan esok, Nurul akan mengacaunya tidur.
“Nurul..." panggil Najmi yang bermain dengan kucingnya tadi. “Kau tengoklah kucing kau ni. Dari tadi aku tanya siapa nama dia, tapi dia asyik mengeow saja."
“Dah namanya kucing, mestilah tahu mengeow," balas Nurul geram. Ingin sahaja dia membaling teko yang berisi air kopi panas itu ke arah Najmi.
Najmi tersengih-sengih. “Rindulah nak gaduh dengan kau."
“Aku rasa kau orang semua ni dah buang tabiat lah. Aku baru saja rehat sehari, semua macam tak pernah jumpa aku setahun!"
“Salah tu. Bukan semua. Ada seorang yang gembira kalau kau tiada," ujar Farizat.
Rezza yang berada di sebelah Farizat, menyiku perut Farizat, memberi amaran. Farizat hanya tersenyum.
“Aku tahu. Nazrul. Dia mestilah gembira sebab aku tak kacau dia tidur," kata Nurul yang sememangnya sudah tahu dengan perangai Nazrul. Tapi, bila imbas kembali kejadian yang hampir meragut nyawanya itu, dia seakan tidak percaya bahawa Nazrul yang menyelamatkannya. Mungkin dia patut dengar penjelasan dari mulut Nazrul sendiri.
“Kami semua nak minta maaf sebab paksa kau datang pada hari Sabtu tu. Kalau kami tahu kau demam masa tu, memang kami takkan paksa kau datang." Rezza bersuara dengan penuh kekesalan.
“Minta maaf? Emm...aku lagi suka kalau kau orang ganti maaf kau orang tu dengan belanja aku makan Pizza atau McDonald's." Nurul tersenyum lebar.
“AKU cuma bergurau saja masa tu," ujar Nurul yang benar-benar terkejut dengan parti menyambut hari kepulangannya yang dibuat di salah sebuah restoran McDonald's seperti yang dikatakan sebelum ini. Dia langsung tidak menyangka mereka benar-benar akan membelanjanya makan McDonald's.
“Sekali-sekala belanja pengurus kita yang bekerja sampai demam," kata Fiq pula mengenyit matanya.
Nurul tersenyum lebar. Cute betul kalau Fiq buat begitu. Hendak sahaja dia memaksa lelaki itu buat sekali lagi. Hampir cair jantungnya.
“Hari ni latihan dibatalkan, Cikgu Majid tahu ke?" tanya Nurul sambil mengunyah kentang goreng yang menjadi kegemarannya apabila di McDonald's.
“Tahu. Kami dah beritahu nak raikan kepulangan kau dan cikgu setuju cuma cikgu tak dapat hadir sebab ada mesyuarat," beritahu Rezza. Mujurlah cikgu Majid juga turut bersetuju dengan cadangannya yang ingin meraikan kepulangan Nurul semula. Dia turut mengakui kedatangan Nurul dalam Kelab Bola Sepak membuatkan kelab itu bertambah meriah dan apabila Nurul tiada walaupun sehari, dia rasa kemeriahan itu hilang begitu sahaja.
“Lagipun, hari-hari main bola, cepat bosanlah. Lagi-lagi kalau tak ada pengurus perempuan," celah Najmi dengan dialog yang sama.
“Kau tu tak habis-habis dengan perempuan. Bila besar nanti mesti jadi kaki perempuan," kata Nurul yang hanya menggeleng dengan perangai Najmi yang pantang jumpa perempuan. Kalau boleh dia mahu hidupnya dikelilingi oleh perempuan.
“Zaman sekolah nilah kita kena jadi kaki perempuan, nanti bila dah besar, dah berserabut dengan kerja, tak ada masa pulak nak pergi dating. Tengok-tengok mak dah pilih menantu," balas Najmi lagi.
“Tu mesti nk kau dah bagi warning awallah tu. Kena kahwin dengan pilihan keluarga. Tapi, ada ke ibu bapa sekarang ni buat macam tu? Kahwin ikut pilihan keluarga."
“Mungkin. Tapi, jangan haraplah aku nak kahwin ikut pilihan keluarga melainkan kalau orang yang nak kahwin dengan aku tu aku tak kenal. Kalau tak, memang aku lari saja," kata Fiq pula.
“Semua sepupu aku macam tu. Semuanya kahwin sebab nak kembangkan perniagaan. Mungkin aku juga macam tu."
“Susah juga jadi anak orang kaya ni. Lebih baik kata dengan harta sendiri daripada kaya dengan harta mak bapak. Nanti semua yang kita orang nak lakukan terbatas.
“Kau maksudkan Kak Liya ke?" tanya Rezza.
“Hah, macam mana Kak Liya sekarang? Dah lama dia tak jenguk kita orang."
“Entah! Kami dah lama putuskan hubungan," kata Fiq dengan mengeluh lemah.
“Putuskan hubungan?"
“Tunang Kak Liya cemburu tengok aku mesra dengan Kak Liya walaupun kami tak ada apa-apa hubungan. Dia cemburu sampai suruh Kak Liya putuskan hubungan dengan aku sampai ibu bapa Kak Liya masuk campur dalam hal ni. Jadi, aku pun tak nak jadi penghalang rumah tangga. Lebih baik putuskan hubungan tu."
“Dengan budak sekolah pun dia nak cemburu ke?" Farizat hanya menggeleng. Kasihan pula bila dia mendengar cerita Fiq yang tidak pasal-pasal terpaksa berpisah dengan kakak sepupunya.
Nurul hanya mendengar sahaja perbualan rakan-rakan itu. Dia juga berasa kasihan dengan apa yang telah berlaku terhadap hubungan Fiq dengan Kak Liya. Hanya kerana seseorang cemburu dengan hubungan mereka, disuruh putuskan hubungan pula. Baginya lelaki yang sentiasa tidak percayakan tunangnya memang tidak patut dipanggil lelaki. Malah, mengambil jalan pintas untuk memiliki seseorang. Kalau dia adalah Kak Liya, memang sudah lama dia putuskan hubungan dengan lelaki seperti itu.
“Kata nak belanja ayam golek. Kenapa pula McD?"
Sapaan Nazrul mengejutkan Nurul daripada lamunan. Lantas Nurul berpaling ke arah Nazrul yang duduk di sebelahnya yang kosong tadi. Setahunya, Nazrul tiada di situ awal-awal tadi. Entah bila pula Nazrul datang dan duduk di sebelahnya, dia pun tidak perasan.
“Ayam jugak tu," balas Rezza yang terpaksa mengumpan Nazrul dengan ayam golek. Kalau tidak, mesti Nazrul takkan tinggalkan bantalnya itu. Lagipun dia memang sengaja mengadakan perjumpaan tersebut untuk menemukan Nazrul dengan Nurul memandangkan apatah Nazrul sering mengelak untuk berjumpa dengan Nurul sejak kejadian tempoh hari.
“Hisy, memanglah ayam, tapi bukan ayam golek." kata Nazrul sedikit merungut.
Nurul hanya mampu menggeleng dengan perangai Nazrul yang memang suka makan ayam golek. Entah apa yang istimewanya dengan ayam golek dia pun tidak tahu.
“Tapi bila berjumpa Nazrul, dia teringin hendak bertanya tentang kejadian yang masih menjadi tanda tanya baginya. Benarkah Nazrul yang menyelamatkannya? Kalau ya, kenapa Nazrul tidak berterus terang saja kepadanya dan kalau bukan Nazrul, siapa pula yang selamatkannya. Takkanlah dia sudah gila bayang dengan Nazrul.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?" tanya Nazrul acuh tak acuh apabila dirinya diperhatikan oleh Nurul. Dia hendak makan burger pun rasa terbantut kerana tidak senang dengan pandangan Nurul.
“Err...tak ada..." Pantas Nurul mengalihkan pandangannya. Entah sejak bila dia asyik memandang Nazrul, dia pun tidak perasan. Tahu-tahu saja Nazrul sudah menegurnya.
“Tiap kali kau pandang aku mesti kau pengsan, aku harap lepas ni kau takkan pengsan lagi sebab kau tu berat. Jenuh aku nak dukung kau," kata Nazrul selamba.
“Aku harap macam tu juga." Nurul menjeling tajam. Sakit hati saja bila dia bercakap dengan Nazrul. Padahal apa yang Nazrul cakapkan tadi biasa sahaja. Dia mendengus marah. Geram.
Keadaan sunyi seketika. Hanya beberapa orang saja yang bersuara, itu pun bercerita tentang perlawanan bola sepak. Lelaki memang tidak boleh dipisahkan dengan cerita bola sepak. Bila melepak dengan kawan-kawan mesti itu sahaja topik utama mereka. Nazrul di sebelahnya sudah makan tiga ketul burger dan seketul ayam McDonald's tanpa menoleh kiri kanan.
“Aku tak beratlah!" ujar Nurul tiba-tiba membuatkan mereka semua terkejut.
Nazrul yang baru hendak makan burger keempat berhenti sekejap apabila Nurul di sebelahnya tiba-tiba meradang.
“Ada aku cakap kau berat? Aku cuma cakap, jenuh aku nak dukung kau, bukannya cakap kau ni berat," balas Nazrul tidak mahu mengaku kalah.
“Tapi, kau maksudkan yang aku ni berat. Berat aku 45 kg, bukannya 145 kg!"
“Tapi, aku jenuh juga nak dukung kau," balas Nazrul lagi.
“Siapa suruh kau dukung aku?"
“Habis, kau dah pengsan depan aku, aku nak buat macam mana lagi. Lain kali kalau nak landing, cari boyfriend kau dulu barulah landing."
“Kau ingat aku berpura-pura pengsan ke?"
”Habis tu, kenapa nak marah tak tentu pasal?"
“Mana ada aku marah!"
“Mak cik, kau tengah marahlah sekarang ni." Nazrul menarik nafas perlahan. Dia cuba mengawal dirinya daripada sikap panas barannya itu.
“Aku bukan mak cik!"
“Suatu hari nanti kau tentu akan jadi mak cik."
“Kalau macam tu, kau adalah pak cik!"
“Whatever..." jawab Nazrul selamba. Malas dia hendak melayan Nurul yang angin semacam. Pasti ada saja point yang mahu dibawa bergaduh.
Nurul yang tidak tahan dengan sikap acuh tidak acuh Nazrul mendengus geram. “Aku nak pergi tandas jap." Pantas dia mencapai begnya dan berlalu dari situ, meninggalkan ahli-ahli Kelab Bola Sepak yang terpinga-pinga apa yang telah berlaku antara dia dengan Nazrul tadi.
“Tak faham betul aku dengan perempuan ni," kata Nazrul dan kembali menyambung makan burger keempat yang tidak sempat hendak dijamah kerana diganggu Nurul tadi. Tiba-tiba dia mula perasan semua mata sedang memerhati ke arahnya.
”Kenapa pulak ni?"
“Pelik betullah dengan hubungan kau orang berdua ni," kata Farizat membuka mulut.
“Dia marah aku pun kau orang kata pelik?" Nazrul menggeleng. Rasanya kawan-kawannya lagi pelik.
“Nazrul, kau nak tahu tak? Kalau perempuan ni marah tak tentu hala, tu maknanya dia mahukan perhatian," kata Najmi.
“Perhatian?"
“Nazrul takkan faham," celah Rezza tersengih-sengih.
“Okey, macam ni. Bila Nurul datang nanti, kau tanya keadaannya macam mana. Dah sihat ke belum? Atau apa-apa saja asalkan kau jangan tinggikan suara," cadang Najmi yang begitu arif dengan watak perempuan dalam dunianya itu.
“Kenapa pula? Dah dia boleh berjalan ke sini bermakna dia sihatlah.Takkan itu pun nak tanya dia lagi."
“Ikut saja cakap aku."
“Malaslah."
“Kau nak ayam golek ke tak?"
“Okey aku ikut." Pantas Nazrul bersetuju apabila terdengar ayam golek.
Tidak lama kemudian Nurul kembali ke tampar dengan wajah mencuka. Marahnya terhadap Nazrul masih lagi tidak habis lagi. Sudahlah kena duduk bersebelahan dengan Nazrul. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia hempuk Nazrul dengan dulang McD itu.
“Kau dah baik demam ke?" tanya Nazrul kepada Nurul seperti yang disuruh oleh Najmi.
“Kau tak nampak ke aku dating dengan kau orang semua ni? Kalau aku tak sihat, dah tentu aku duduk kat rumah. Tidur!" balas Nurul masih lagi tidak berpuas hati dengan Nazrul.
Nazrul mula baran, tapi kawan-kawannya memberi amaran supaya calm down. Okey, demi ayam golek, desis hatinya.
“Sebenarnya, aku takut sangat masa kau pengsan tu, Sorry juga sebab tak dapat lawat kau masa tu. Aku terpaksa jemput mama yang baru balik dari Perak," ujar Nazrul.
“Oh, aku ingat kau balik tidur," balas Nurul, tapi kali ini bernada biasa.
“Selepas aku jemput mama, aku balik terus dan tidurlah." Nazrul tersengih.
Nurul juga turut tersenyum sedikit.
“Jadi, betul ke kau dah baik sepenuhnya?"
Nurul mengangguk.
“Batuk? Selesema? Pening ke?"
“Semuanya dah elok. Doktor beri rehat tiga hari sudah cukup untuk aku hapuskan semua penyakit tu. Kau orang jangan diduga. Kali ni aku takkan pengsan lagi. Tapi, sebelum tu jangan memandai nak adakan latihan pada hari Sabtu," ujar Nurul lagi sambil memaling kepala memandang ke arah mereka semua. Dia pelik apabila melihat kesemua mereka tersenyum simpul seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“Kenapa?" tanya Nazrul yang juga perasan dengan senyuman bermakna kawan-kawannya itu.
“Wei, apa yang lucu sangat ni?" tanya Nurul tidak faham kenapa sejak dari tadi ada yang tersenyum, ada yang menahan gelak dan ada yang berdehem menyembunyikan sesuatu yang tentunya berkenaan dengannya.
“Kau tahu tak, kadangkala seseorang tu tak tahu yang si dia berada di depan mata," ujar Rezza tiba-tiba.
Nurul dan Nazrul kelihatan terpinga-pinga seolah-olah mereka berdua tertinggal Kereta Api Tanah Melayu pula.
Share this novel