Dua bulan kemudian...
“MUJURLAH aku bukan pengawas, kalau tak sudah lama aku bom handset kau tu," ujar Nurul menghampiri Sofea dengan semangkuk bihun sup yang baru sahaja dibelinya tadi.
Keadaan kantin penuh sesak dengan para pelajar sebaik sahaja loceng waktu rehat dibunyikan. Sofea yang dari tadi menyorok-nyorok telefon bimbitnya hanya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk.
“Jangan kata kau jealous tengok aku asyik dengan handset saja." Handset yang dipegang Sofea disimpan semula di dalam kocek bagi mengelakkan dikesan pengawas. Adalah menjadi satu kesalahan besar bagi pelajar membawa handset ke sekolah.
“Aku tak pernah jealous dengan sesiapa pun. Cuma aku tak faham, kenapa kau sorok kekasih hati kau tu? Dia tu kekasih gelap ke?"
“Aku cuma tak nak kau rasa bengang seperti mana kau bengang dengan kawan-kawan kita yang asyik bercakap tentang keistimewaan boyfriend mereka. Kau pernah cakap, yang kau bengang dengan Lili bila dia bercakap tentang boyfriend dia bila kita berbual bersama dan sejak itu bila dia datang berbual dengan kita, kau tutup telinga atau memberi alasan yang kau nak ke tandas atau ada urusan lain di kelab," tambah Sofea yang sememangnya kenal akan sikap Nurul yang tidak gemar mendengar cerita yang tidak berfaedah, terutama sekali cerita-cerita teman lelaki kawan-kawannya.
“Itu sebab dia sengaja hendak menunjuk yang dia tu dapat pikat lelaki yang kiranya sempurna daripada Prince William sebab aku pernah tak pedulikan keinginannya untuk berkenalan dengan Rezza. Sejak hari tu, dia memang suka berperang psikologi dengan aku. Dia ingat aku masuk kelab tu untuk baginya peluang berkenalan dengan mereka semua? No way! Kalau nak berkenalan, usahalah sendiri," balas Nurul bila teringatkan seorang teman sekolahnya yang dikenali sebagai Lili.
Dia sememangnya tidak rapat dengan Lili seperti mana dia rapat dengan Sofea. Baginya, kawan memang ramai, tapi yang betul-betul mengenalinya adalah Sofea kerana perangai Sofea lebih kurang sepertinya juga. Suka buat hal sendiri dan tidak suka mengambil tahu hal orang lain.
“Oh, patutlah, dia pernah paksa aku selongkar nombor telefon di handset kau dan meminta nombor telefon Rezza. Bila aku cakap, aku tak jumpa nama Rezza dalam handset kau dia marah tak tentu pasal," balas Sofea.
“Aku tukarkan nama Rezza kepada nama Aminah," balas Nurul selamba.
“Aku dah agak. Kau memang pandai dalam peperangan psikologi. Tapi, kenapa nama Nazrul tetap Nazrul?" tanya Sofea lagi.
Nurul hampir tersedak apabila nama Nazrul disebut. “Boleh tak kau jangan sebut nama tu masa aku makan?"
“Fobia?"
“Ini bukan fobia, tapi dah jadi pantang larang semasa aku makan. Sejak dia keluar saja dari hospital dia dah jadi semakin agresif sehinggakan aku pun dah tak larat nak berperang mulut dengan dia. Aku ingat bila semuanya sudah selesai, dia akan berubah, takkan tidur lagi. Tapi, ya Allah... lagi kuat dia tidur. Kau bayangkan aku kena kejutkan dia setiap hari sampai pernah satu hari tu, di tengah-tengah gawang pun dia boleh tidur. Lagi satu, bila dia cakap satu perkataan aku rasa hari aku ni dicucuk-cucuk pisau tajam. Sakitnya hati. Aku pun tak tahu kenapa aku anti sangat dengan dia tu," ujar Nurul dengan geram.
“Orang kata kan..."
“Ya! Orang kata bila kita benci dengan seseorang tu tak tentu pasal itu maknanya kita dah suka. Tapi, tak semestinya aku sukakan dia okey. Dia sangat membencikan! Sangat-sangat!" ujar Nurul lagi hampir menghentak meja.
Sofea di hadapan Nurul hanya tenang seperti biasa seperti seorang yang tidak pernah ada perasaan bila bercakap tentang hal Nazrul.
“Aku rasa kau dilamun cinta. Okey, memanglah kau rasa bila dia ada di sisi kau, kau rasa bengang semacam, tapi pernah ke kau terfikir kalau dia tak ada di sisi kau?"
“Tak pernah!" Pantas Nurul menjawab.
“Orang yang tak berperasaan adalah kau." Sofea mengeluh lemah. Susah sangat hendak bercakap dengan orang yang keras hati seperti Nurul itu. Pasti ada sahaja jawapannya demi melindungi diri.
“Aku tak perlukan nasihat kau yang asyik cakap aku dilamun cinta dengan Nazrul. Apa yang aku perlu buat adalah mulakan balik slogan, Dunia Nurul Tanpa Nazrul yang terkendala dulu," balas Nurul tersenyum sinis.
“Kau takkan berjaya," balas Sofea lagi.
“Kenapa pula?"
“Sebab Nazrul tak pernah ada slogan. Orang macam dia akan terus kacau hidup kau walaupun kau tak kacau hidup dia. Just wait and see, honey."
JAM 1.00 pagi. Ketika dia sedang lena dibuai mimpi indah, tiba-tiba sahaja satu nada dering kedengaran dari telefon bimbitnya. Dia terjaga. Nama Nazrul tertera di skrin telefonnya. Nurul menggaru kepalanya yang tidak gatal. Entah apa pula mimpi Nazrul telefonnya malam-malam buta.
Rasanya sejak dia lancarkan slogan Dunia Nurul Tanpa Nazrul, hidupnya boleh juga dikatakan aman. Dia tidak lagi mengacau hidup Nazrul dengan tidak menganggu Nazrul tidur dan Nazrul juga tidak bertengkar dengannya seperti yang berlaku sebelum ini.
Sengaja dia tidak mahu menjawab panggilan daripada Nazrul. Selepas beberapa ketika telefon bimbitnya berhenti berbunyi. Dia mengeluh lega. Tapi, baru sahaja dia hendak meletak kepala pada bantal, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Panggilan daripada Nazrul lagi.
“Kau nak apa malam-malam buta ni?" tengking Nurul sebaik sahaja menjawab panggilan dari Nazrul.
“Hah, angkat pun!" balas Nazrul di hujung talian.
“Kau nak apa? Ada hal penting ke? Aku nak tidur lah."
“Tapi, aku tak boleh tidur," balas Nazrul selamba. Memang sejak dari tadi, dia cuba melelapkan mata, tapi matanya tidak boleh lelap. Ada sesuatu yang membuatkan dia tidak boleh tidur dengan nyenyak pada malam itu. Bukan pada malam-malam itu saja, tapi malam-malam yang lain juga, sejak Nurul langsung tidak menegurnya dan tidak mengejutkannya bangun seperti selalu.
“Jadi, pergilah makan ubat tidur. Tulah, kau asyik tidur siang saja. Aku kejutkan kau marah tak tentu pasal. Lepas tu tak boleh tidur malam kau ganggu tidur aku pulak. Oh, ya, mungkin kau nak balas dendam aku kacau kau tidur kau selama ini dan sebab itulah kau kacau aku tidur malam ni. Satu peperangan yang unik, tapi aku takkan kalah!" ujar Nurul sedikit melenting.
“Makcik, kau membebel apa ni?" tanya Nazrul dengan keluhan lemah.
“Habis tu, apa alasan kau telefon aku malam-malam buta ni?"
“Sebab aku tak dapat tidur. Kaulah penyebab aku tak dapat tidur," ujar Nazrul.
Nurul berfikir beberapa kali dengan kenyataan Nazrul itu. Bukankah selama beberapa hari ini dia tidak pernah kacau Nazrul tidur di sekolah seperti selalu. Tapi, kenapa pula Nazrul masih salahkan dia sebab tidak dapat tidur? Mungkinkah lelaki itu sudah jatuh cinta dengannya?
“Kau nak beritahu aku yang kau ni dah jatuh cinta dengan aku ke?" tanya Nurul malas hendak berkias-kias lagi.
“Jatuh cinta dengan kau? Sorry, makcik, aku tak pernah rasa yang aku ni dah jatuh cinta dengan kau." jawab Nazrul selamba.
Pada waktu itu, Nurul berasa geram sangat dengan kata-kata Nazrul. Entah kenapa, dia sendiri pun tidak tahu sebabnya.
“Habis tu? Aku langsung tak kacau kau tidur beberapa hari ni dan kenapa pula kau kata sebab aku kau tak dapat tidur?" tanya Nurul mengeluh lemah. Lemah dia melayan Nazrul yang sememangnya seorang lelaki yang pelik.
“Aku tak dapat tidur sebab aku pelik kenapa kau tak kacau aku tidur beberapa hari ni..." beritahu Nazrul.
“Hah!" Mata Nurul terkebil-kebil. Betulkah apa yang didengarnya tadi? Nazrul tak dapat tidur sebab dia tak kacau lelaki itu tidur beberapa hari ini? Dah buang tabiat ke lelaki itu? Selalunya, punyalah marah kalau dia ganggu tidurnya.
“Kau pekak ke?" tanya Nazrul tidak puas hati.
“Aku tak pekaklah. Aku dengar apa yang kau cakap tu, tapi aku tak faham kenapa pasal tu pun kau nak salahkan aku. Dulu aku selalu bangunkan kau, kau marahkan aku sampai tengking aku. Sekarang ni bila aku tak ganggu tidur kau lagi, kau pelik pulak. Aku tak fahamlah dengan kau ni!"
“Aku lagi tak faham dengan kau. Okeylah aku dah mengantuk ni. Nak tidur."
“Tadi kau kata kau tak boleh tidur."
“Itu tadi, tapi sekarang ni aku nak tidur. Okey, selamat malam," ujar Nazrul sebelum memutuskan talian.
Nurul terpinga-pinga tidak faham apa yang mereka bualkan sebentar tadi.
“Argh!!!! Dia dah buat aku tak boleh tidur pulak!"
“AKU rasa, kau betul," ujar Nurul sebaik sahaja menghampiri Sofea yang baru sahaja keluar dari rumahnya untuk ke sekolah pada pagi itu.
Sofea mengerut dahi. Entah apa pula dengan kawannya yang seorang ini. Pagi-pagi lagi terus menyapanya tanpa memberi salam. Lagi satu, dia tidak perlu menunggu Nurul pada pagi itu seperti kebiasaannya.
“Apa yang betulnya?"
Mereka berdua berjalan seiringan untuk ke sekolah.
“Tentang slogan tu. Tak berjaya. Kau juga betul tentang Nazrul yang tiada slogan. Semalam dia telefon aku dan ganggu tidur malam aku dengan soalan yang pelik. Kau tahu, dia cakap dia pelik sebab aku tak ganggu tidur dia. Dia telefon aku semata-mata nak tanya soalan tu," beritahu Nurul kepada Sofea.
“Jadi?"
“Jadi, kau betullah. Orang macam dia akan terus kacau hidup aku walaupun aku tak kacau hidupnya dan macam mana kau tahu yang dia akan kacau hidup aku walaupun aku tak kacau hidup dia?" tanya Nurul yang tidak puas hati sejak malam tadi. Hendak sahaja dia menelefon Sofea dan bertanya tentang itu, tapi dia tidak mahu mengganggu tidur Sofea pula.
“Itulah dinamakan peperangan cinta," jawab Sofea selamba.
“What?"
“Dua orang yang ego tak mahu mengaku yang perasaan masing-masing cuba mengambil perhatian kedua-dua belah pihak. Dah menjadi tugas kau untuk kejutkan Nazrul yang memang suka tidur dan tiba-tiba sahaja kau berhenti kejutkan Nazrul dan Nazrul pula rasa tak aman sebab kau dah tak kejutkan dia dan dia akan ganggu hidup kau walaupun dia tiada point nak bertekak dan dia akan cari point yang ada. Contohnya, dia call kau tengah-tengah malam sebab nak tanya kenapa kau tak ganggu tidurnya langsung, tapi alasan sebenarnya adalah dia nak cakap dengan kau," terang Sofea panjang lebar.
Nurul menggaru kepalanya biarpun dia memakai tudung. “Aku masih lagi tak faham."
“Secara ringkasnya, dia sukakan kau. Takkan itu pun kau tak boleh nak pick-up lagi. Lelaki macam dia memang jenis yang sudah nak beritahu perasaannya pada perempuan yang dia suka. Mungkin dia sendiri tidak tahu yang dia benar-benar sukakan kau. Kalau betul dia sendiri pun tidak tahu yang dia sukakan kau, ini bermakna ada masalah dalam hubungan kau orang berdua sebab sampai bila-bila pun dia akan terus macam ni. Kau kena sedarkannya."
“Aku dah tanya dia pasal ni, tapi dia nafikannya. Dia gelarkan aku makcik dan kuat membebel tak tentu pasal. Itu ke kata-kata sweet kalau dia minat dekat aku?" Nurul masih lagi tidak puas hati.
“Lelaki macam dia memang tak reti cakap kata-kata sweet. Kau kena tahu semua tu. Tak semuanya lelaki dalam dunia ni romantik macam drama Korea yang kau tengok selama ni. Jangan fikir Nazrul akan berubah menjadi romantik suatu hari nanti."
“Kenapa?"
“Sebab bila lelaki macam dia berubah menjadi romantik, dia akan goda orang yang macam kau sehingga kau nak kahwin dengan dia pada masa tu juga," ujar Sofea lagi.
Nurul terdiam. Dia kurang faham apa yang kawannya sedang cakapkan tadi.
“Sekarang, lupakan apa yang dia anggap kau dan tumpukan perhatian pada perasaan kau. Soalan aku, adakah kau cinta pada Nazrul?" tanya Sofea lagi.
Nurul terdiam. Soalan Sofea yang begitu senang boleh membuatkan dia kaget sebentar. Dia seolah-olah tidak tahu apa yang perlu dijawabnya.
“Nampaknya kau tak dapat jawab. Kau ada banyak masa lagi nak menjawabnya."
“Kenapa aku selalu terima soalan yang merumitkan?" tanya Nurul kepada dirinya sendiri. Dia menarik nafas lemah. Dia sendiri tidak dapat menjawab soalan daripada Sofea tentang perasaannya terhadap Nazrul. Apa yang pasti lelaki itu suka sangat menyakitkan hatinya. Tapi, ada kalanya dia berasa simpati dengan Nazrul.
Sejak ketiadaan Nazrin, Nazrul memang banyak menyendiri. Bila tiada orang menegurnya, Nazrul akan duduk menyendiri dan berdiam diri dan kadang-kadang akan tidur. Dia tahu, Nazrul mesti tidak dapat menerima ketiadaan Nazrin. Tapi, setiap kali dia datang untuk membuat lelaki tu gembira, dia pula sakit hati. Mesti ada sahaja benda yang hendak mereka gaduhkan. Kadang-kadang, pasal air mineral pun hendak bergaduh.
Benarlah kata Sofea, kedua-duanya memang ego. Dua-dua tidak mahu mengalah dan dua-dua tak mahu bertolak ansur dan kesudahannya kedua-duanya sakit hati. Kalaulah begini hubungan mereka sampai ke akhir tahun ini, mungkin dia boleh jadi gila. Gila hanya kerana bengang Nazrul tidak mahu mengaku kalah.
“Tapi, kalau kau betul ada perasaan pada Nazrul, kau memang bertuah," kata Sofea tiba-tiba setelah sekian lama mereka mendiamkan diri.
“Kenapa?"
“Sebab kalau Nazrul tu popular macam Rezza atau Fiq, gerenti kau takkan hidup aman di sekolah ni. Aku tahu, orang lain gembira kalau dapat lelaki yang hebat seperti mereka berdua, tapi sebenarnya kita akan tertekan bila perempuan lain memuja-muja teman lelaki kita. Dan, sebab itulah aku kata kalau kau couple dengan Nazrul, kau memang bertuah sebab dapat bercinta tanpa diserang peminat fanatik Nazrul."
“Fiq dengan Rezza memang ramai peminat, tapi kenapa aku mesti bertuah kalau aku ada perasaan pada Nazrul? Dia tu dahlah suka tidur, hari-hari menyakitkan hati aku dan langsung tak handsome. Memang patut pun dia tak ramai peminat. Orang macam tu, makcik tidur tepi jalan pun tak minat."
“Makcik, kau tidur tepi jalan ke semalam?" sapa seseorang.
Nurul pantas berpaling dan melihat Nazrul tersengih-sengih di belakangnya. Serta-merta, hatinya panas apatah lagi melihat Nazrul tersengih memerlinya. Rezza yang turut berada di situ tidak mampu berkata apa.
“Aku bukan makcik lah!" Hampir bergema sekolah dengan jeritan Nurul itu. “Tak guna cakap dengan orang tak ada perasaan macam kau ni!" Terus dia mengangkat kaki melangkah masuk ke pekarangan sekolahnya.
Sofea hanya menggeleng. Entah macam mana dia hendak sedarkan mereka berdua ini dia pun sudah kehabisan idea. Kalau cakap kias-kias lagilah mereka berdua takkan faham, tapi bila cakap terus terang, lagi diputarbelitkan kenyataan.
“Aku tegur pun nak marah. Datang bulan ke?" Nazrul menggaru kepalanya dan kemudian memandang Rezza yang sekadar menggeleng. “Kenapa?"
“Aku suruh tegur dia dengan baik, yang kau tegur dia macam tu kenapa? Memang patut pun Nurul naik angin," balas Rezza sudah tidak mampu hendak mengajar kawan baiknya itu. “Kali ni tak ada ayam golek lagi."
“Hah! Tapi, kau dah janji yang kau nak belanja makan ayam golek kalau aku tegur Nurul hari ni. Aku dah tegur kan tadi."
“Itu bukan tegur, tapi tu cari gaduh," balas Rezza.
“Dia yang nak cari gaduh dengan aku kenapa pula nak salahkan aku?" Nazrul mendengus marah. Tak pasal-pasal dia kehilangan ayam golek yang menjadi kesukaannya.
Share this novel