(27)

Drama Completed 7121

“AKU terdengar gosip terbaru. Ada orang nampak kau dating dengan Nazrul di The Cafe lepas sekolah, betul ke?" Sofea memulakan sesi soal jawab entah kali ke berapa entah untuk bulan itu sejak Nurul mendapat tahu kewujudan Nazrin sebulan yang lalu. Sejak itu memang tidak dapat dinafikan dia sering kelihatan bersama dengan Nazrin dan selalu juga lepak bersama-sama dengan Nazrin di The Cafe.
Tapi, hanya Nurul sahaja yang tahu dengan siapa dia bersama ketika itu. Mereka yang tidak tahu, sudah pastinya menganggap dia sedang dating dengan Nazrul, padahal yang bersama dengannya ketika itu adalah Nazrin. Kadangkala seronok juga dapat memperdayakan orang lain termasuklah Sofea yang masih lagi tidak tahu-menahu tentang Nazrin. Sebab itu jugalah Sofea asyik bertindak sebagai wartawan hiburan yang kehausan berita terkini menyoalnya saban hari.
Nurul pula, menggunakan kebijaksanaannya dengan memutar belit cerita sebenar sehingga Sofea berputus asa ingin bertanya lagi. Tapi, keesokan harinya Sofea menyoalnya lagi dan perkara itu berlanjutan sehinggalah sekarang.
“Kau masih tak serik-serik lagi tanya ke?" soal Nurul kali ini malas hendak melayan soalan maut Sofea. Jika Sofea tahu tentang kewujudan Nazrin yang sebenar, pasti Sofea menganggap dia sudah gila dan patut mendaftar masuk ke Hospital Bahagia.
“Sebenarnya dah serik, tapi aku seronok dengar cerita putar belit kau tu," balas Sofea seakan menyindirnya. “Aku tak tahulah apa yang menyebabkan kau lupakan tentang Fiq dan beralih arah pada Nazrul. Setahu aku, kau memang benci dengan Nazrul dan hari-hari kau menyumpah-nyumpah dia jadi semut, sebab senang kau nak pijak dia nanti, tapi malangnya Nazrul tetap Nazrul." Sekali lagi Sofea bersuara.
Nurul sekadar tersenyum. Kasihan sungguh dengan Sofea yang tidak tahu apa-apa. Kalaulah Sofea tahu apa yang sebenarnya berlaku, pasti Sofea tidak akan tanya pertanyaan bodoh itu. Tapi, benarkah dia beralih arah kepada Nazrin dalam situasi ini? Mungkin juga. Mungkin sebab dia lebih memberi tumpuan kepada Nazrin sekarang daripada Fiq. Tapi, bila difikir kembali, dahulu pun sama cuma yang bezanya Nurul tidak tahu tentang kewujudan Nazrin.
Mungkin benar juga kata Sofea, jatuh cinta dengan orang seperti Fiq memang normal bagi semua pelajar perempuan di sekolahnya yang terpikat dengan personaliti yang ditonjolkan oleh Fiq. Dia juga tidak terlepas daripada jatuh cinta dengan Fiq, tapi lama-kelamaan perasaan itu hilang begitu sahaja. Mungkin juga sebab dia sudah mengenali Fiq dan mengetahui apa yang ditunggu-tunggu Fiq selama ini.
Tidak ramai yang tahu mengenai Fiq yang selama ini menunggu seseorang yang amat disayanginya menyebabkan Fiq tidak pernah terfikir hendak memikat perempuan lain selain perempuan yang disukainya selama ini. Memang terkejut juga apabila Nurul mendapat tahu perkara itu dari mulut Fiq sendiri tentang rahsia yang langsung tidak pernah tersebar di sekolah. Mungkin ada yang akan terkejut apabila kisah cinta Fiq dengan kakak sepupunya.
Menurut Fiq, biarpun dia tahu dia tidak mempunyai sebarang peluang lagi untuk mendekati kakak sepupunya yang kini sudah berkahwin, dia tetap mendoakan kebahagiaan kakak sepupunya itu. Sejak itu, Nurul mula sedar, cara Fiq mentafsir cintanya jauh berbeza daripada dia mentafsir cintanya pada Fiq. Malah, Nurul berpendapat ia bukan cinta, tapi suka. Dia suka melihat Fiq dan dia juga suka berkawan dengan Fiq.
Mungkin itulah yang diperkatakan oleh Sofea sejak awal lagi. Jatuh cinta pada Fiq adalah perkara normal bagi perempuan yang inginkan seorang Prince Charming.
“Sampai bilalah kau nak berselindung dengan kawan sendiri?" kata Sofea lagi.
“Apa gunanya aku berselindung dengan kau?" soal Nurul sengaja ingin berbalas soalan dengan soalan. Keadaan kantin yang riuh-rendah langsung tidak dihiraukannya dengan menjamah nasi goreng yang dibelinya tadi.
“Kalau kau malu nak cakap yang kau dengan Nazrul bersama sekarang, tak mengapa, tapi apa yang aku nak tahu, kenapa mesti Nazrul?" tanya Sofea lagi.
“Kau jealous?"
“Apa gunanya aku jealous?"
“Kalau kau tak jealous kenapa kau banyak tanya soalan?" soal Nurul lagi.
“Sudahlah, daripada aku tanya kau soalan lebih baik aku beli makanan. Bila dah kenyang nanti, aku ada tenaga untuk mendapatkan jawapan sensasi daripada kau." Merasakan Nurul tidak akan bercakap apa-apa, Sofea segera bangun dari duduk dan berlalu mencari makanan untuk perutnya yang kosong. Cadangnya, dia hendak mengorek rahsia daripada Nurul, tetapi apabila melihat Nurul makan nasi goreng dengan lahapnya, perutnya meronta-ronta inginkan makanan.
Nurul pula meraikan kemenangannya dengan senyuman puas, namun dia berharap sangat Sofea akan berhenti tanya soalan yang sama. Pelik sangatkah dia keluar dengan Nazrin? Oh, memang pelik sebab Sofea hanya mengenali Nazrul. Nurul sekali lagi mengeluh panjang.
Memang Nurul bercadang ingin memberitahu Sofea tentang Nazrin kepada Sofea dan pernah juga dia bertanya pada Nazrin tentang perkara tersebut, malah Nazrin membenarkan dia memberitahu Sofea sebab Nazrin percaya apa yang Nurul percaya. Tapi, apabila Nazrin menyuruhnya meminta kebenaran daripada Nazrul dahulu, terus Nurul melupakannya.
Bila Nazrin menyuruhnya minta kebenaran daripada Nazrul, Nurul sudah tahu apa jawapan Nazrul. Pastinya tidak. Tambahan pula, Nazrul memang tidak suka perkara ini disebarkan terutama sekali pada perempuan. Bagi Nazrul perempuan memang tidak reti simpan rahsia.
“Cubalah bincang baik-baik dengan Nazrul, mungkin dia akan faham," kata Nazrin yang menyuruhnya berbincang dengan Nazrul.
“Kau tak tahu ke? Sejak mula-mula lagi aku memang tak boleh berbincang apa-apa dengan dia. Ada saja pergaduhan lepas tu. Cari nahas saja aku berbincang dengan Nazrul. Biarlah Sofea tak tahu pasal ni. Kadangkala aku pun takut kalau Sofea tersebarkan perkara ni pada orang lain," balas Nurul.
Tapi, sebenarnya Nurul percaya dengan Sofea. Sofea tidak akan menyebarkan berita-berita yang diterima kepada wartawan-wartawan yang tidak bertauliah di sekolah mereka. Bagi Sofea, cukuplah kalau dia tahu tentang berita yang diterima itu benar atau palsu dan yang selainnya biarlah berita itu menjadi khabar angin.
“Hei, aku dengar perempuan gedik tu dating dengan salah seorang pemain bola sepak sekolah kita."
Satu suara halus dapat ditangkap oleh telinga Nurul. Dari deria telinganya, Nurul dapat mengagak pengumpat-pengumpat bukan profesional ini berada di belakangnya dan mereka tidak lain tidak bukan merupakan pengumpat sensasi di sekolah. Siapa lagi kalau bukan Aulia dan kawan-kawan. Ramai sudah menjadi mangsa mereka semua dan kali ini entah siapalah perempuan gedik yang dimaksudkan oleh mereka itu. Mungkin salah seorang mangsa godaan cinta Najmi atau ahli bola sepak yang lain.
“Hah, aku pun dengar, tapi yang aku kelakarnya...dia dating dengan budak tiga suku tu. Nazrul!"
Serentak dengan itu sekumpulan pelajar perempuan di belakang Nurul tertawa kelucuan.
Nurul yang mendengarnya sudah mula mengagak siapa perempuan gedik itu dan mereka semua dengan sengaja ingin membuatnya dengar perbualan mereka. Sengaja hendak sakitkan hatinya. Dia masih bersabar.
“Dulu ada hati nak pikat Rezza, lepas tu Rezza tak layan nak pikat Fiq pula. Bila Fiq tak layan dia, barulah dia terpikat dengan budak tiga suku tu."
Satu hilai tawa kedengaran.
Nurul masih mendengar dengan sabar.
“Aku rasa dia memang sesuai dengan Nazrul tu. Hodoh sama hodoh. Agaknya dia dah sedar yang dia tu hodoh sebab tulah couple dengan Nazrul."
Mereka ketawa dengan hilai tawa lagi.
“Kau rasa aku patut bom meja belakang aku ni ke?" tanya Nurul kepada Sofea yang kembali dengan semangkuk bihun sup.
“Kalau kau bom, kau tetap akan kalah sebab mereka ada tentara yang ramai. Jangan nak cari nahas. Lagipun mereka tu memang pemuja Prince Charming. Takkan kau tak kenal Aulia dan geng dia..." kata Sofea langsung tidak endah dengan sindiran-sindiran mereka.
Aulia. Huh, siapa yang tidak kenal. Pelajar senior tingkatan lima yang amat-amat perasan bahawa di cantik dan juga perasan bahawa dia terbaik. Selain itu Aulia terkenal dengan motonya yang berbunyi, Aulia the best, the beautiful and the gojos. Gojos di sini bermaksud gorgeous.
Seperti dalam watak perempuan gedik dalam televisyen sekarang, seperti itulah Aulia. Gedik dia memang menyakitkan hati dan menyakitkan mata bagi sesiapa yang memandangnya. Selain gedik dan perasan cantik, Aulia juga terkenal dengan perangainya yang suka bergaduh dan pantang jika ada yang lebih daripadanya. Malah, Aulia juga pernah memperkenalkan dirinya sebagai kekasih Rezza dan juga kekasih Fiq suatu masa dahulu sehinggalah kebenaran terbukti bahawa Rezza dan Fiq sebenarnya tidak pernah melamar Aulia sebagai kekasih.
“Nasib baiklah dia pilih Nazrul, budak tak siap tu..."
“Itulah akibatnya kalau berani sangat koyak Carta Prince Charming dulu. Kan sudah terkena sumpahan puteri. Kejar Prince Charming, prince sampah yang dapat." sekali lagi hilai tawa kedengaran.
“Sekurang-kurangnya dia dapat prince sampah. Daripada kau..." satu suara mencelah menyindir mereka berlima yang tidak henti ketawa tadi.
Serentak dengan itu juga Nurul berpaling ke belakang apabila terdengar satu suara yang amat dikenalinya. Sebaik sahaja dia memandang belakang, dia terkejut apabila Nazrul sudah berdiri di tepi meja kumpulan Aulia itu. Bukan! Bukan Nazrul. Dia kenal gaya tu. Dia adalah Nazrin.
Lagipun mustahil Nazrul akan datang menyelamatkannya memandangkan hubungannya dengan Nazrul yang dingin. Kalau Nazrul, lagi dia akan suka dengan situasi tadi.
“Hero datang nak selamatkan heroin?" Aulia berkata sebagai ketua antara kumpulannya. Sememangnya Aulia tidak pernah kelihatan bergaduh dengan mana-mana lelaki kerana bertentangan dengan jantinanya. Dia menganggap lelaki sebagai orang yang perlu di hormati demi menjaga status dan sahamnya supaya lelaki memandang tinggi terhadapnya. Tetapi, Aulia akan memandang perempuan sebagai pihak yang perlu dimusuhi. Sebab itulah dia sering bergaduh dengan mana-mana perempuan yang dikatakan meragut statusnya di sekolah ini.
Nurul hanya mampu melihat sahaja. Sepanjang dia kenali Nazrin, Nurul tidak pernah melihat Nazrin memandang seseorang dengan pandangan yang dingin. Memang sukar bagi sesiapa yang mengenali Nazrin melihat Nazrin yang dingin seperti itu.
“Sekurang-kurangnya orang hodoh seperti Nurul ada juga orang lain yang datang menyelamatkannya bila dia ditimpa kesusahan dan kita tengok, ada tak orang yang akan selamatkan kau yang perasan cantik dan perasan terbaik ini, bila kau ditimpa kesusahan?" kata Nazrin menyindir.
Memang Nazrin sedang marah. Tapi, tidak tahu kenapa. Menurut Rezza, Nazrul dan Nazrin sentiasa menjaga antara satu sama lain dan mereka juga memang pantang apabila ada orang menyinggung perasaannya. Mungkin Nazrin sudah terdengar umpatan Aulia tadi yang menggelarkan Nazrul sebagai budak tiga suku.
“Aulia, Nurul, kau orang berdua kena hadir ke bilik disiplin sekarang juga. Ini arahan Cikgu Rosli." Tiba-tiba Hayrul yang bertindak sebagai ketua pengawas mencelah.
“Hah?" Nurul terkejut.
Sepanjang dia bersekolah di sekolah itu dia tidak pernah langsung dijemput untuk menjejak kaki ke bilik disiplin, malah dia pernah berikrar tidak akan menjejak kaki ke bilik disiplin sepeas peristiwa di sekolah lama dahulu.
“Hei, aku tak buat apa pun."
“Itu pun dah takut ke?" Aulia memerli Nurul. Aulia nampak tenang sahaja lagipun sememangnya Aulia sudah terbiasa dengan bilik disiplin.
Masuk kali ini Nurul tidak tahu sudah berapa kali Aulia keluar masuk bilik disiplin sebab bergaduh. Tapi, tiap kali masuk, nasibnya baik apabila dibebaskan tanpa sebarang jaminan. Semuanya kerana dia pandai membodek Cikgu Rosli menggunakan lokanannya yang mantap.
Tanpa membuang masa, Nurul berlalu ke bilik disiplin bersama-sama dengan Hayrul. Aulia sudah pergi terlebih dahulu dan berlagak seolah-olah tiada apa yang perlu ditakutkan. Sepanjang perjalanan, Nurul asyik bertanya kepada Hayrul hal yang menyebabkan Cikgu Rosli ingin berjumpa dengannya, tetapi hanya satu saja jawapan Hayrul.
“Aku hanya menjalankan tugas," kat Hayrul dengan skemanya.
Nurul mendengus marah. Kemudiannya dia berpaling memandang Nazrin yang turut mengekori dari belakang. Sekarang dia sudah tahu membezakan Nazrul dan Nazrin. Dia sendiri tidak tahu, tapi apa yang pasti jika diperhatikan mereka berdua mempunyai perangai yang berbeza.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik disiplin, Nurul terkejut apabila melihat Fiq, Rezza, Zaki dan Farizat turut berada di dalam sana. Aulia sudah menjeling tajam, tapi Nurul tidak peduli dengan jelingan Aulia. Apa yang dia risaukan adalah kenapa dia dipanggil ke bilik disiplin dan kenapa semua ahli rasmi bola sepak turut dipanggil juga?
“Nurul, sila duduk." Cikgu Rosli dengan suara garau menyuruh Nurul duduk di kerusi berhadapan dengannya dan bersebelahan dengan Aulia.
Sebentar kemudian Farizat turut melangkah masuk ke dalam bilik disiplin. “Cikgu Rosli, Cikgu Majid tak dapat datang sebab dia ada kelas sekarang ni."
“Baiklah, kalau macam tu kita mulakan saja. Jadi, Aulia, Nurul, kamu berdua tahu kenapa kamu dipanggil ke bilik disiplin ni?"
Nurul menggeleng. Sudah puas dia mencari jawapannya, tapi dia tidak tahu apa-apa sebabnya dia dipanggil ke bilik disiplin. Setahunya, dia tidak mencetuskan huru-hara di kantin tadi walaupun dia teringin sangat berperang dengan Aulia yang dengan sesedap bahasa mengumpatnya.
“Saya tahu, mungkin sebab saya dah lama tak jejak ke bilik disiplin ni?" Aulia bersuara dengan suara manjanya.
“Ya, Aulia, awak memang dah lama tak jejak ke bilik disiplin." Suara Cikgu Rosli lembut seperti jantan miang pun ada. “Saya rasa ini kali terakhirlah awak jejak ke bilik disiplin ni sebab mulai esok awak dibuang sekolah." Sekeping sampul surat dihulurkan kepada Aulia.
Aulia yang tersengih-sengih menggedik tadi tersentak dengan apa yang Cikgu Rosli katakan. Disangkanya Cikgu Rosli bergurau, tapi setelah membaca surat yang diberi tadi, dia rasa seperti tidak percaya.
“Kenapa pula? Saya tak buat salah pun. Takkan saya main-main tadi pun kena buang?" Aulia tidak puas hati. Dia terasa seperti sedang dipermainkan.
“Cuba awak fikir, apa yang awak dah buat sehingga saya terpaksa ambil keputusan buang awak dari sekolah." Cikgu Rosli berkata. Kali ini suaranya agak tinggi.
Aulia menggeleng. Dia tidak dapat berfikir apa-apa.
“Baiklah, kalau macam tu, awak ingat kejadian dalam gambar ni?" tanya Cikgu Rosli sekali lagi sambil menghulurkan beberapa keping gambar kepada Aulia.
Nurul di sebelahnya turut menjeling pada salah satu gambar sebuah kereta hitam yang seperti pernah dilihatnya. Gambar lainnya pula, kelihatan Aulia memberi sesuatu kepada pemandu kereta tersebut.
“Itu bukan ke kereta..." Nurul mula ingat sesuatu.
“Yang hampir langgar kau dua kali," sambung Fiq.
“Hah!" Terkejut Nurul mendengarnya.

“SERIUS. Aku benar-benar terkejut. Aku tak tahu nak kata apa. Aku tak sangka ada orang yang nak bunuh aku semata-mata kerana aku koyak Carta Prince Charming," kata Nurul ketika mereka semua berkumpul di tempat biasa selepas tamat waktu persekolahan.
Sememangnya dia terkejut dengan apa yang diperkatakan di dalam bilik disiplin tadi. Terkejut sebab mereka semua tahu apa yang berlaku dan siapa dalang di sebalik kejadian itu manakala dia pula tidak tahu apa-apa dan tidak syak apa-apa tentang kejadian itu. Apa yang mengejutkannya lagi kejadian itu memang sudah dijangka apabila perbualan Aulia didengari oleh Nazrul yang pada ketika itu sedang ponteng kelas dengan tidur di bawah tangga. Selama ini dia turut percaya bahawa apa yang berlaku itu adalah kerana terkenanya sumpahan yang dikatakan oleh Sofea.
“Aku ingat apa yang berlaku tu benar-benar satu sumpahan," kata Nurul.
“Semua orang anggap begitu, tapi sebenarnya mana ada sumpahan. Carta Prince Charming memang ada peminatnya sendiri sehinggakan mereka begitu taksub dengan carta tu. Apabila ada orang yang membuang carta tu, pasti salah seorang peminat yang taksub cuba mencari alternatif lain dengan cuba menakut-nakutkan orang. Sebagai contoh, kemalangan," terang Farizat.
Tiada ungkapan langsung yang dilafazkan Nurul semasa di dalam bilik disiplin apabila dia sendiri mendengar pengakuan daripada Aulia yang berniat mencederakannya. Tapi, Nurul tidak percaya bahawa orang secantik Aulia rupa-rupanya berfikiran sempit. Hanya kerana memuja Carta Prince Charming, Aulia sanggup bertindak begitu.
“Kami nak minta maaf sebab rahsiakan daripada kau sebab kami tak nak cetuskan huru-hara di sekolah. Tapi, selepas apa yang berlaku di kantin tadi, kami tak boleh nak maafkan orang yang mengutuk pengurus terbaik kami." Rezza bersuara sambil berulang-ulang kali meminta maaf kerana mengambil keputusan untuk merahsiakan perkara itu kepada Nurul.
“Tapi, kenapa nak rahsiakan daripada aku? Pasal rahsia Nazrin selamatkan aku hari tu memang aku boleh pertimbangkan sebab kau orang nak simpan rahsia kewujudan Nazrin, tapi aku tak faham kenapa kau orang nak simpan rahsia Aulia yang hampir menyebabkan aku terbunuh."
“Sebab kami perlukan bukti kukuh," kata Fiq.
“Gambar tu bukan bukti kukuh ke?"
“Itu cuma gambar saja dan Aulia boleh kata, dia beri pinjam duit pada lelaki itu. Lepas tu, Aulia bebas. Yang nampak kereta tu cuba langgar kau, cuma kami sahaja. Kalau kami terus laporkan kepada cikgu disiplin, pasti Cikgu Rosli tak percaya sebab Cikgu Rosli tu memang dah terkena sihir Aulia.
“Walaupun Aulia sering kali buat kecoh,. tapi Cikgu Rosli tak akan percaya Aulia sanggup membunuh kau apatah lagi kalau alasan kami sebab kau koyak Carta Prince Charming tu. Sebab itulah Fiq mengupah seorang penyiasat untuk cuba sedaya upaya jejak lelaki dalam gambar ni dan paksa dia cakap hal sebenarnya.
“Tapi, kami buat semua tu, Cikgu Majid tahu. Cikgu Majid memang tahu pada awal lagi, tapis seperti kami, Cikgu Majid pun tak boleh nak buat apa-apa selagi tak ada bukti kukuh." Rezza menerangkan segala-galanya.
“Aku rasa macam dalam drama saja. Macam tak percaya." Nurul menarik nafas lemah dan kemudiannya memandang Nazrul yang sudah tertidur di sofa usang. “Apa lagi yang aku tak tahu? Pasal jawatan pengurus ni, kau orang memang sengaja pilih aku ke?"
“Tak!" Serentak masing-masing berkata.
“Kami memang nak cari seseorang yang boleh bangunkan Putera Katak tu bangun daripada tidur," kata Ridzwan.
Kemudian masing-masing mengangguk. Perbualan kosong di sambung sehinggalah Nurul berpuas hati dengan setiap jawapan mereka. Mereka semua juga mengakui Kelab Bola Sepak mempunyai banyak rahsia yang tidak boleh dibocorkan kepada orang lain sewenang-wenangnya, termasuklah ahlinya sendiri seperti kes Nazrul dan Nazrin.
Tidak ramai yang tahu tentang Nazrin dan setakat ini cuma ahli rasmi sahaja yang tahu dan mereka semua pernah bersumpah tidak akan membocorkannya kepada sesiapa kecuali mendapat persetujuan daripada semua ahli dan empunya badan terlebih dahulu.
Selain itu, mereka semua mengakui ada lagi rahsia yang dipegang oleh Kelab Bola Sepak dan menganggap rahsia itu sebagai rahsia orang-orang lelaki seperti kisah cinta dan rahsia-rahsia lain, yang mereka tidak ingin pihak sekolah tahu atau dengan kata lain, rahsia yang melibatkan hal peribadi seseorang.
“Err...semalam Nazrul ada pesan sesuatu." Fiq berkata sebaik sahaja mereka yang lain beransur pulang ke rumah.
“Dia pesan, kalau kau nak beritahu Sofea pasal Nazrin, dia benarkan, tapi kena pastikan Sofea tak lari bila jumpa dengan dia atau Nazrin."
“Nazrul cakap macam tu?" Nurul seakan tidak percaya.
Fiq sekadar mengangkat bahu. Dia juga terkejut apabila Nazrul menyuarakan perkara itu kepadanya malam tadi. Selama ini memang Nazrul berhati-hati untuk memberitahu rahsianya kepada orang yang tidak dikenali, tapi dengan mudah sahaja Nazrul membenarkan Nurul memberitahu Sofea. Mungkin sebab Nazrul percayakan Sofea atau mungkin Nazrul percayakan Nurul.
“Tipu!" Nurul masih lagi tidak percaya.
“Terpulang," kata Fiq memberi Nurul pilihan sama ada hendak percaya atau tidak.
Nurul terdiam. Memandang Fiq tidak berkelip. Selama ini Fiq tidak pernah berkata sesuatu yang tidak betul. Mungkin Nazrul memang benar-benar maksudkannya. Tapi, kenapa pula Nazrul mengubah fikiran?
“Kenapa dia baik sangat?"
“Kan aku dah kata, Nazrul bukannya jahat seperti yang kau sangka, cuma ego saja."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience