(33)

Drama Completed 7121

“NAZRUL memang dah gila!" kata Nurul menyerbu masuk ke dalam bilik Sofea sebaik sahaja pulang dari berjumpa dengan Nazrul.
Sofea yang sedang membalas mesej dari Rezza hampir melemparkan telefon bimbitnya ke arah kawannya itu. Masuk biliknya langsung tidak beri signal. Main redah saja.
“Aku yakin dia dah gila," kata Nurul lagi. Entah kenapa dia tidak puas hati. Bantal kecil Sofea ditumbuk-tumbuknya. Geram.
Sofea melihat Nurul dengan wajah yang penuh soalan.
Faham dengan pandang Sofea yang inginkan jawapan daripadanya, Nurul segera bercerita segalanya kepada Sofea.
“Sebab itu kau anggap dia gila?" Sofea hanya mampu menggeleng setelah mendengar segalanya dari mulut Nurul. “Orang gila takkan mengaku dia dah jatuh cinta," tambah Sofea lagi.
“Ya. Tapi, kes Nazrul ni lain," balas Nurul.
“Apa yang lainnya? Normallah kalau lelaki luahkan perasaannya pada perempuan yang dia cinta," ujar Sofea dengan nada jiwangnya.
Meremang bulu roma Nurul mendengarnya. Sejak aktif bermain dengan bunga-bunga cinta ni, pandai pula Sofea berjiwang karat dengannya.
“Hentikan jiwang karat kau depan aku."
“Nurul, bilalah kau nak sedar?"
“Aku memang dah sedar. Kau tu yang masih berada di dunia khayalan kau. Entah apa yang Rezza dah buat pada kawan aku ni? Patutlah Nazrul pun jadi mamat jiwang hari ini. Pasti Rezza yang ajar dia cara-cara bagaimana hendak memulakan dan membangkitkan perasaan percintaan." Nurul sudah mula merepek.
“Jangan babitkan Rezza dalam hal ini pula." Sofea mempertahankan Rezza.
Jarang benar Nurul melihat Sofea mempertahankan seorang lelaki. Memang sudah angau nampaknya.
“Nurul, lelaki yang meluahkan perasaan pada perempuan bukannya gila, tapi berani. Aku tak faham dengan kaulah. Nazrul mengaku dia sukakan kau tapi kau pula nak jual mahal. Apa salahnya kau mengaku?"
“Masalahnya dia nak bertunang dengan aku! Tak ke gila tu?"
“Apa salahnya?"
“Kau dah gila ke?"
“Kenapa pula? Nazrul dah sukakan kau. Kau pula memang sukakan Nazrul. Apa salahnya kalau dia nak bertunang dengan kau?"
“Tapi, itu gila namanya. Takkanlah tiba-tiba dia nak ikat tali pertunangan? Pastu dia kata, kalau aku setuju, dia nak ikat tali pertunangan esok. Gila apa?"
“Kan aku dah kata, lelaki macam Nazrul tu memang tak romantik, tapi bila dia jadi romantik, kita semua terkejut dengan apa yang dia buat. Jadi, kau terima ke tak?"
“Memang gila kalau aku terima," kata Nurul.
“Habis tu?"
“Aku tinggalkan dia macam tu saja."
“Apa? Kenapalah kau bodoh sangat?" Sofea menjerit.
“Yang bodohnya, Nazrul. Dia tak fikir ke aku ni masih belajar lagi. Tahun depan baru nak ambil SPM. Tiba-tiba nak ikat tali pertunangan pula. Kalau dia ikat sebagai kekasih tak mengapalah. Tapi... dia tu memang bodoh betul!"
Sofea sekadar menggeleng. Sebenarnya kedua-dua mereka memang bodoh. Jika dahulu masing-masing susah sangat hendak mengaku cinta, tapi setelah salah seorang mengaku, seorang pula jual mahal. Malah, apa yang dia tidak dapat terima, keputusan Nazrul yang tiba-tiba hendak mengikat tali pertunangan. Memang betullah kata Nurul, Nazrul sudah gila.
Kalau gila dengan anak dara orang pun, perlahan-lahanlah dahulu. Ikat tali percintaan terlebih dahulu. Rasanya dia patut bertanya kepada Rezza. Takut kalau-kalau Rezza yang mencadangkannya. Kalau Rezza yang mencadangkan memang hendak kenalah teman lelakinya itu.
Tapi, selepas dia menghubungi Rezza dan bertanyakan soalan itu, dia mendapat tahu satu berita yang mengejutkan bahawa Nazrul akan pergi ke luar negara mengikut mamanya yang mendapat tawaran belajar di sana dan satu jamuan akan diadakan di rumah Nazrul esok sebelum mereka berdua berlepas ke luar negara lusa malam.

“AKU takkan pergi," ujar Nurul perlahan.
Sofea memandang Nurul dengan mata bulatnya.
“Aku dah janji dengan Hazwan." Segera Nurul menjawab.
“Hazwan? Yang kau minat dulu tu?" Terkejut Sofea mendengarnya. Seingatnya, Hazwan adalah lelaki yang pernah disukai Nurul di sekolah lamanya. Tapi, pelik juga. Sejak bila Nurul berhubungan dengan Hazwan semula.
“Ya," jawab Nurul pendek.
“Sejak bila kau berkawan dengan dia?"
“Sejak dia jumpa aku kat sekolah hari tu. Kami saling bertukar nombor telefon dan kadangkala berbalas mesej. Tapi, tak selalu."
“Kau dengan Hazwan sekarang?"
“Tak. Kami hanya kawan sajalah. Aku dah janji nak temankan Hazwan satu hari sebelum dia pergi luar negara melawat abangnya. Lagipun memandangkan dah lama aku tak keluar dengannya, apa salahnya. Dulu aku pernah berangan-angan keluar dengannya, tapi tak kesampaian. Sekarang dah ada peluang dan aku taknak lepaskan peluang yang ada."
“Kau buat macam ni sebab sakit hati dengan Nazrul ke?"
“Apa yang aku buat tak ada kena-mengena dengan orang lain. Lagipun aku dah anggap perkara tu gurauan. Nazrul memang suka bergurau dengan aku."
“Tapi, apa salahnya kau pergi ke jamuan tu hari ni?"
“Tak nak! Aku tak nak jumpa Nazrul!"
“Selamanya?"
“Aku tak ada kejam macam tu. Buat masa ni saja. Aku nak tenangkan fikiran."
“Nurul, Hazwan pergi bercuti di luar negara bukannya pergi belajar di luar negara dan tak balik-balik selama lima tahun!" Sofea ternyata marah dengan keputusan Nurul yang ingin menemani Hazwan pada hari yang sama.
“Aku tahulah, tapi aku dah janji dengan Hazwan. Aku tak boleh mungkir janji." Nurul cuba mempertahankan dirinya. Entah kenapa pada kali ini dia tidak mempunyai kekuatan untuk berdebat dengan Sofea.
“Aku rasa, lepas kau buat keputusan tu barulah aku tahu."
“Tahu apa?"
“Kau tak pernah sukakan Nazrul dan masih setia menanti Hazwan."

“AKU rasa, lepas kau buat keputusan tu barulah aku tahu."
“Tahu apa?"
“Kau tak pernah sukakan Nazrul dan masih setia menanti Hazwan."
Satu keluhan berat dilepaskan Nurul. Kata-kata Sofea petang tadi membuatkan fikirannya terganggu sehingga menyukarkannya tidur. Dia sendiri tiada jawapan dengan apa yang Sofea cakapkan petang tadi. Antara ya atau tidak. Walaupun hanya itu yang perlu dia perkatakan, tapi lidahnya kelu untuk berkata.
Ya. Dahulu dia memang setia menanti kehadiran Hazwan walaupun dia percaya mustahil Hazwan akan mencarinya semula. Tapi, setelah beberapa tahun, Hazwan hadir dalam hidupnya tanpa dipinta. Semua nya bermula semasa dia bertandang ke SMK Semarak untuk perlawanan bola sepak antara pasukan sekolah itu dengan sekolahnya.
Daripada perkenalan yang tidak diduga, bermulalah episod persahabatan antara dia dengan Hazwan. Setiap hari Hazwan akan menghantar SMS kepadanya untuk bertanya khabar. Dari satu dua SMS sehari sehinggalah dalam satu hari dia berbalas hampir 50 SMS kepada Hazwan. Memang dia sendiri tidak sedar bahawa dia telah menghabiskan masa satu hari berSMS dengan Hazwan. Dan, Nazrul pula... Satu keluhan di lepaskan.
Nazrul hanyalah Nazrul. Nazrul yang suka tidur. Nazrul yang suka cari gaduh dengannya. Nazrul yang selalu perdajalkannya. Nazrul yang selalu utamakan ayam golek. Nazrul yang suka membuatkan dia sakit hati. Tiba-tiba... Nazrul meluahkan perasaan kepadanya. Tidakkah gila namanya itu?
Jika dibuatkan perbandingan antara Nazrul dengan Hazwan... Nurul bingkas bangun dari katilnya dan mencapai sehelai kertas dan sebatang pensil mekanikal dan menulis sesuatu yang mungkin pasangan bercinta lain tidak pernah lakukannya.

>Perbandingan Nazrul dan Hazwan.

10 PERKARA TENTANG HAZWAN
1. Dia seorang yang cool.
2. Seorang pelajar yang digemari ramai.
3. Cemerlang dalam akademik dan sukan terutamanya sukan bola sepak.
4. Seorang yang bertanggungjawab.
5. Merupakan seorang ketua pengawas di sekolah.
6. Bila dia senyum, boleh menggetarkan jantung bagi orang yang melihatnya.
7. Seorang yang tahu menjaga hati orang lain.
8. Romantik.
9. Handsome.
10 Lagi handsome bila dia nyanyikan lagu Right Here Waiting!

10 PERKARA TENTANG NAZRUL
1. Tak handsome.
2. Suka tidur tiap saat tidur pula asyik berdengkur.
3. Suka dajalkan aku.
4. Lebih pentingkan ayam golek daripada orang di sekeliling.
5. Tak romantik langsung!
6. Tiada apa-apa yang menarik tentangnya...

Nurul buntu. Otaknya mati memikirkan apakah kelebihan Nazrul dan akhirnya dia tidak dapat mencatitkan apa-apa yang menarik tentang Nazrul. Hanya enam fakta sahaja yang dia ketahui tentang Nazrul dan kesemua fakta tersebut tidak dapat melawan Hazwan. Ini bukannya fakta yang berat sebelah, tapi inilah realiti. Jika dibandingkan antara Hazwan dengan Nazrul, Hazwan lebih kepada ciri-ciri lelaki idaman perempuan dan mungkin Sofea betul.

SEJAK dari tadi Puan Nazrina memandang anak lelakinya yang asyik merenung telefon bimbitnya. Dia tahu apa yang difikirkan oleh anaknya itu. Tapi, apa dayanya. Hanya yang dia boleh buat adalah menghulurkan kata-kata semangat. Namun, jauh di sudut hatinya dia gembira. Bukannya gembira cinta anaknya ditolak tapi gembira sebab anaknya sudah semakin matang.
Jika dahulu, dia sedikit rasa susah hati kerana anak lelakinya itu tidak gemar bersosial dengan perempuan. Malah, anti sangat apabila dia dikaitkan dengan perempuan. Tapi, sejak kemunculan Nurul, Nazrul sudah menunjukkan sedikit perubahan, malah apa yang mengejutkannya lagi, Nazrul sendiri mengakui bahawa dia sudah jatuh cinta. Memang sukar dipercayai.
“Kenapa tak call dia?" Tiba-tiba Puan Nazrina menyapa.
“Mama." Terkejut Nazrul dengan sapaan mamanya. Dia sendiri tidak menyedari mamanya berdiri di hadapan pintu dan bila masa pintu biliknya terbuka luas, dia sendiri tidak sedarinya.
“Call saja. Buat benda ni tak pernah berlaku," ujar Puan Nazrina sambil duduk di sebelah Nazrul. Nazrul masih lagi senyap. Dia tahu anak lelakinya itu sedang bergelut dengan perasaannya.
“Susah mama." Nazrul akhirnya bersuara. “Macam mana nak buat benda ni tak pernah berlaku? Sampai bila-bila pun dia pasti akan ingat. Kami dah tak boleh jadi macam dulu lagi. Ia dah berakhir."
“Nurul cakap apa?"
“Dia cakap, dia perlukan oksigen."
“Itu saja?"
Nazrul mengangguk.
“La... mama ingat dia cakap apalah tadi sampai anak mama tak bersemangat nak hidup. Rupanya dia cakap itu saja." Puan Nazrina tidak dapat menahan ketawanya. Bahu anaknya dirangkul.
“Nazrul, itu tak bermakna dia tolak kamu. Itu maknanya dia perlukan masa untuk berfikir. Perempuan memang macam tu. Lagi-lagi orang yang macam Nurul yang tak pernah terfikir pun yang kamu akan luahkan perasaan padanya. Mungkin dia masih terkejut dan tak percaya. Berikan Nurul masa untuk berfikir." Puan Nazrina sebagai ibu cuba sedaya upaya memujuk anaknya itu.
“Dah tak ada masa." Nazrul pula bersuara.
“Nazrul, cinta bukannya seperti perlawanan bola sepak yang ada had masanya. Kamu mesti faham, bukan senang seseorang perempuan untuk buat keputusan memilih cintanya. Dulu masa papa melamar mama pun mama ambik masa setahun untuk terima dia. Tapi, apa yang membuatkan mama terima lamaran papa sebab papa tak putus asa dan dia juga tak memaksa mama untuk terima lamarannya," ujar Puan Nazrina.
Nazrul cuba tersenyum, tapi senyumannya pahit. Agaknya inilah yang berlaku pada sesiapa yang pernah ditolak oleh perempuan yang disukai. Betapa peritnya hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
“Dahlah, jangan fikir lagi. Cepat tidur. Esok ada banyak perkara yang perlu dibuat. Jangan biarkan perasaan menguasai diri. Ingat tu!"
Dengan perlahan Nazrul mengangguk. Nasihat mamanya bakal masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tidak semudah itu dia akan melupakan semua yang terjadi pada hari ini. Hari yang bersejarah. Hari ditolak oleh seseorang yang amat degil. Kemudian dia sendiri tersenyum.
“Nazrul, apa dah jadi dengan kau ni...?"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience