(11)

Drama Completed 7121

WISEL penamat telah dibunyikan oleh pengadil lima belas minit yang lalu. Kedua-dua pasukan telah pun bersalaman di akhir perlawanan. Ada juga para penonton yang sudah beredar dari padang. Penyokong-penyokong sekolah Haji Mansur masih kelihatan yang bersorak gembira atas kemenangan bergaya dua gol berbalas kosong ke atas SMK Haji Harun.
Nurul memandang jam tangannya. Tepat jam 5.00 petang. Tapi, bayang Nazrul masih lagi tidak kelihatan. Dia mendengus marah. Memang sah Nazrul sedang tidur di mana-mana sekarang ini.
“Tak guna punya Nazrul!" Pantas Nurul bangun dari duduknya.
Telefon bimbitnya dikeluarkan dan dia cuba menelefon Nazrul. Tapi, hampa.
“Oh, tutup telefon ya... Tak apa, aku akan cari kau sampai ke lubang cacing! Tak pasal-pasal lubang cacing kena ceroboh," kata Nurul yang sempat lagi berlawak.
Nurul mendengus marah. Kali ini dia buntu. Entah ke mana Nazrul pergi. Rasanya dia sudah meronda satu sekolah, tapi kelibat Nazrul langsung tidak kelihatan. Kalaulah dia lelaki, memang dia sudah meredah masuk ke dalam tandas lelaki mencari Nazrul. Nazrul tu bukannya boleh dipercayai sangat. Asal tempat baik, terus landing tanpa ingat dunia.

“Nurul Izzati, right?" tanya seseorang.
Nurul pantas berpaling. Dia terkejut apabila melihat Hazwan yang entah bila menghampirinya. Mungkin sebab dia tengah sibuk cuba menghubungi Nazrul sehingga tidak sedar ada sepasang mata asyik memerhati gelagatnya sejak dari tadi.
“Awak kenal saya lagi?" tanya Hazwan sambil mengukir senyuman kacak.
Nurul mengangguk perlahan. Mana mungkin dia hendak buat-buat tidak kenal dengan lelaki yang pernah mencuri hatinya dulu. Sampai bila-bila pun dia akan kenal lelaki itu.
“Dah lama saya cuba cari awak, tapi awak dah berpindah tempat lain."
“Oh, sebab rumah sewa saya dulu nak diubah suai, kami terpaksa berpindah ke tempat lain. Kebetulan pula, ayah kena bertukar kerja, jadi saya terpaksa berpindah, tapi tak jauh sangat dari sini," jawab Nurul ikhlas dalam gugup.

“Oh..." Hazwan mengangguk faham. "Jadi, awak buat apa di sini?"

“Err..." Lidah Nurul kelu. Bukannya dia gagap bila berhadapan dengan lelaki yang pernah mencuri hatinya dulu, tapi dia tidak tahu hendak bagi jawapan apa. Jadi pengintip untuk pasukan bola sepak sekolahnya? Rasanya dia pula yang akan diketawakan nanti.

“Kenapa ni?" sapa seseorang yang menghampiri mereka dari belakang.
Nurul pantas berpaling apabila terdengar satu suara yang amat dikenalinya.

“Fiq." Nurul seakan terkejut apabila melihat Fiq turut berada di situ. "Macam mana kau ada kat sini?" tanyanya pelik.
“Nazrul ada emergency call daripada famili dia. Jadi, dia minta aku datang sini," jawab Fiq memberitahu hal sebenar. “Sorry, jalan jammed tadi. Bertembung dengan orang balik kerja."

"Kenapa dengan Nazrul?" tanya Nurul seakan terkejut dengan berita yang disampaikan oleh Fiq tadi. Tadi memang teruk dia menyumpah-nyumpah Nazrul sehingga penat mulutnya bercakap seorang diri. Disangkanya Nazrul sedang nyenyak tidur dimana-mana, tapi mendengar Fiq cakap tadi, dia berasa bersalah pula. Tapi, silap Nazrul juga sebab tidak beritahunya terlebih dahulu.
Fiq sekadar mengangkat bahu. Tanda tidak tahu apa-apa.
Entah kenapa hati Nurul tetap rasa tidak selesa. Nazrul balik tanpa beritahunya. Tapi, bila difikirkan kembali, kenapa Nazrul hendak beritahunya?

“Jom aku hantar kau balik," ajak Fiq.

"Err... okey." Nurul serta merta mengangguk. Dia kemudiannya memandang Hazwan yang masih berdiri di hadapan mereka. "Sorry, Hazwan, saya terpaksa balik dulu. Kalau ada masa kita berbual lagi," ujarnya sedikit gagap. Mana tidaknya, seorang adalah lelaki yang diminatinya dulu dan seorang lagi adalah lelaki yang diminatinya sekarang. Apabila kedua-duanya berada di hadapan mata, lidahnya menjadi kelu. Tanpa membuang masa Nurul berlalu pergi seiringan dengan Fiq.
Hazwan masih lagi memandang Nurul dari jauh sehinggalah kelibat Nurul tidak kelihatan lagi.
Sepanjang perjalanan ke pintu pagar sekolah Haji Harun itu, Nurul hanya senyap. Begitu juga dengan Fiq yang asyik bermain mesej. Mungkin dengan perempuan yang dilihatnya semalam, desis hatinya.

“Nazrul bagi mesej, dia minta maaf sebab tinggalkan kau seorang diri kat sini. Dia pesan lagi, aku hanya boleh hantar kau balik selepas ajak kau makan."

“Hah!" Terkejut Nurul apabila Fiq mengajaknya makan berdua.
“Jadi, aku hanya akan pulang selepas aku belanja kau makan," ujar Fiq lagi.
Gila punya Nazrul. Dia tak ada pun, boleh pulak nak kenakan aku! desis hati Nurul yang kian membara. Namun sempat lagi dia tersenyum mengangguk setuju dengan perlawaan Fiq. Makan berdua-duaan dengan Fiq! Yahoo!!! sorak hatinya.

NAZRUL menguap malas sambil membetulkan otot-ototnya untuk menuruni anak tangga rumah teres dua tingkat itu. Dia memandang jam pada dinding yang sudah menunjukkan ke angka 12.00 tengah malam. Tapi, dia merasa pelik kerana melihat Rezza yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

“Wei, kau tak balik lagi ke?" tanya Nazrul.

"Malas," jawab Rezza selamba.

" Kau tak takut mak kau risau ke? Tahulah kau tu anak teruna, tapi janganlah sampai taknak balik rumah. Nanti tak pasal-pasal aku kena dakwa sebab kidnap kau."

"Yang kau ni nak risau kenapa? Bukan ke rumah aku dekat sebelah rumah kau ni. Kalau mak aku panggil balik dah lama mak aku jerit."
Serentak dengan itu Nazrul menepuk dahinya. Dia kemudiannya menggeleng kepala. Bagaimana pulak dia boleh lupa yang rumah Rezza dengan rumahnya bersebelahan saja. Lagi satu, Rezza memang selalu melepak hingga tengah malam di rumahnya dan kadang-kadang tidak balik rumah langsung.

“Sorry, aku lupa," ujar Nazrul tersengih-sengih sebelum berlalu ke dapur mengambil dua gelas kosong bersama dengan sebotol air sejuk yang baru diambil dari peti ais. Dia kemudiannya duduk di sebelah Rezza.
“Dah okey?" tanya Rezza.
”Agaknya," jawab Nazrul selamba sambil menuang air sejuk di dalam cawan sebelum meneguknya sedikit. Matanya meliar menonton televisyen di hadapannya.
“Apa kata kalau kau beritahu Nurul hal yang sebenar," cadang Rezza yang dari tadi asyik memandang Nazrul di sebelahnya.
“Beritahu apa?" tanya Nazrul pelik.
"Nurul dah jadi pengurus kelab dan dia berhak tahu benda ni."
"Benda apa?" tanya Nazrul lagi. Sekali lagi dia berkerut dahi.
Rezza mengeluh lemah. Entah Nazrul sengaja atau tidak, dia tidak peduli. “Okey, kalau kau tak nak cakap pasal tu, cakap sajalah pada dia yang kau selamatkan dia dulu."
Hampir tersembur air yang Nazrul teguk tadi dari mulutnya. Nasib baiklah dia cepat-cepat menelan. Kemudian dia mengurut dadanya yang terasa sakit. Mana tidaknya, Rezza tiba-tiba bercakap pasal benda itu lagi.
“Gila! Kalau aku yang selamatkan dia pun memang aku tak nak cakap dengan makcik tu. Sekarang ini, yang selamatkan dia, bukannya aku. Kau ni nak aku jadi penipu ke?"
"Tapi, hakikatnya kau yang selamatkan dia."
"Hakikat yang sebenar bukan aku yang selamatkan mak cik tulah! Dahlah, malas aku nak cakap pasal ni."
"Tapi, kau kena cakap juga dengan dia."
“Nak cakap apa? Aku malaslah nak panjangkan cerita ni. Biar habis kat situ dahlah. Lantaklah dia nak cari siapa yang selamatkan dia ke? Siapa Prince Charming dia ke? Yang penting benda ni tak ada kena mengena dengan aku. Finish!" tegas Nazrul.
Rezza hanya menggeleng. Itulah Nazrul yang tidak suka mengambil tahu hal orang lain dan tidak suka orang lain masuk campur dalam hal hidupnya.
“Terpulang pada kaulah. Aku rasa, Nurul selaku pengurus kelab, dia perlu tahu tentang apa yang berlaku tengah hari tadi."
"Alah, dia tu mana kisah sangat dengan semua tu. Aku suruh dia perhatikan pemain nombor sembilan dan sepuluh, agaknya dia perhatikan muka pemain nombor sembilan dan sepuluh tu. Hancur! Perlawanan esok aku nak kau jaga-jaga dengan kedua-dua pemain tu. Dia orang tu pandai sangat buat strategi gila. Serang lutut pemain supaya pemain rasa sakit bila beraksi di padang. Idea yang lapuk dan gila."
"Sebenarnya, untuk pengetahuan kau, perlawanan antara kita dengan sekolah Haji Mansur tu telah dibatalkan," ujar Rezza tiba-tiba.
"Hah! Dibatalkan, kenapa?"
"Mereka tarik diri daripada join perlawanan persahabatan ni sebab SPM dah nak dekat tapi aku rasa bukan sebab SPM."
“Habistu sebab apa?"
“Aku dengar dua anggota pasukan tu ditahan polis petang tadi sebab positif dadah masa dia orang tengah berpesta kat sebuah restoran eksklusif. Ada yang tengah mabuk pun ada. Baru tadi Cikgu Majid call aku cakap pasal ni. Pihak pengurusan memang memandang serius tentang perkara ni. Jadi, demi menjaga nama baik dia orang, dia orang tarik diri dan sekolah Haji Harun secara automatik menang dalam pertandingan petang tadi."
"Gila! Kalau nak berpesta pun tunggulah cukup umur dulu. Sia-sia saja kerja aku pergi mengintip dia orang siang tadi. Lebih baik aku duduk rumah dan tidur. Ada jugak faedahnya."
"Kau ni asyik tidur aje. Cubalah fikir benda lain selain tidur."
“Habistu dah nasib aku asyik kena tidur setengah hari nak buat macam mana?"
“Kau taknak pergi berubat ke?" tanya Rezza.
“Kau ni pun satu, kalau aku bagi tahu penyakit tidur aku ni kat doktor pun doktor gelak sampai terkeluar anak tekak dia. Kalau pergi bomoh pula, nanti macam-macam bunga dia suruh aku cari untuk mandi air bunga. Dahlah aku ni buta bunga, yang aku tahu bunga tahi ayam saja."
Rezza sedikit ketawa. Walaupun dia rasa sakit hati bila bercakap dengan Nazrul yang asyik jawab yang bukan-bukan, namun jawapan yang bukan-bukan Nazrul itulah yang membuatkannya tersenyum.
"Mama aku dah balik?" tanya Nazrul mengubah topik setelah menyedari rancangan televisyen tidak menarik minatnya.
"Bukan ke mana kau outstation seminggu kat Langkawi."
"Ya ke? Kenapa aku tak tahu?"
“Bukan kau tak tahu, tapi kau tak ingat."
“Hah!" Muka Nazrul nampak blur.
Rezza hanya sekadar menggeleng.

DARI tadi Nurul asyik tersengih-sengih mengenangkan peristiwa petang tadi. Dia dan Fiq makan berdua-duaan di sebuah kedai makan yang tidak jauh dari sekolah Haji Harun. Walaupun bukan sebuah restoran mewah, tapi dia terasa seperti makan di hotel taraf lima bintang. Lama mereka berbual. Dari situ, dia mengenali Fiq dengan lebih dekat lagi.
Fiq banyak juga bercerita. Cerita tentang keluarganya, tentang masa silamnya tentang kucing kesayangannya, tentang bola sepak dan bagaimana dia boleh mencintai sukan itu sejak berkawan dengan Rezza dan Nazrul.

"MULA-MULA aku tak minat dengan sukan yang mengeluarkan peluh, tapi sejak berkawan dengan Rezza dan Nazrul yang agresif masa tu, aku suka dengan bola sepak. Tapi masa tu famili aku memang tentang hebat dengan minat aku, tapi nasib baiklah ada Kak Liya. Dia yang berbincang dengan famili aku dan mujurlah Kak Liya ni baik dengan keluarga aku. Jadi, sejak tu aku boleh main bola sepak dengan senang hati," terang Fiq.
“Kak Liya tu..."
“Oh, dia satu-satunya kawan perempuan yang rapat dengan aku sejak kecil lagi. Dia juga yang menjaga aku sejak kecil. Sekali pandang, orang nampak kita orang macam pasangan kekasih, tapi sebenarnya hubungan kami hanyalah setakat hubungan adik dengan kakak sahaja. Lagipun Kak Liya sudah ada boyfriend."
Penerangan Fiq membuatkan Nurul menarik nafas lega. Bersorak riang hatinya.
“Kau pula? Kau minat dengan bola sepak?" tanya Fiq hampir menggoncangkan jantung Nurul dengan soalan maut.
“Err..." Terus kelu lidahnya hendak berkata-kata.
“Banyak yang aku dengar pasal kau. Ramai juga yang tanya kenapa kami pilih kau sebagai pengurus kelab."
“Mesti bukan cerita yang baik, bukan?" teka Nurul. Dia menghela nafas lemah. Tahu sangat apa yang difikir oleh Fiq sekarang itu.
Memang tidak boleh dinafikan, di sekolah, ramai yang dengki dengannya sebab dapat menjadi pengurus Kelab Bola Sepak yang diidam-idamkan semua peminat-peminat ahli bola sepak. Mereka semua itu semuanya peminat-peminat ahli rasmi sebab itulah tidak puas hati kalau ada orang lain yang terpilih sebagai pengurus pasukan, apatah lagi yang terpilih itu adalah seorang perempuan yang langsung tidak minat dengan bola sepak.
“Kami sebenarnya tak kisah sangat tujuan kau jadi pengurus, asalkan kau tahu jaga privasi kami selaku ahli rasmi, itu sudah memadai. Kami tak perlukan peminat sebagai pengurus sebab kalau seorang peminat jadi pengurus, mesti hancur privasi kami. Itu yang kami pentingkan."
“Jangan risau, rahsia kau orang semua di tangan aku, lagipun apa yang best sangat dedahkan rahsia kau orang."
Fiq hanya tersenyum.
Nurul turut tersenyum sama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience