“SELAMAT datang Kak Nurul." Nurmaya menyambut kedatangan Nurul dengan senyuman manis sebaik sahaja pesanan yang dipesan Nurul tadi dihidangkan di atas meja.
Nurul hanya memesan sepotong kek berperisa pisang dan secawan kopi panas sebagai makanannya pada petang itu. Sengaja dia ke The Cafe seorang diri untuk menenangkan fikiran setelah penat dengan sekolah dan urusan Kelab Bola Sepak. Lagipun sekarang sudah sibuk dengan pelbagai peperiksaan percubaan bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM pada hujung tahun ini. Walaupun dia tidak terlibat dalam peperiksaan besar, tapi kebanyakan daripada ahli Kelab Bola Sepak terlibat dalam peperiksaan SPM. Jadi, untuk memastikan mereka juga tidak tercicir dalam pelajaran, Cikgu Majid sudah menghadkan aktiviti berkenaan bola sepak bagi menumpukan perhatian dalam pelajaran.
Dengan ini, dia tidak lagi dibebani kerja yang banyak di kelab. Masanya kian lapang dan diisi dengan menelaah pelajaran yang banyak ketinggalan. Mujurlah Sofea memahami kesibukannya dan membenarkan dia meminjam buku nota yang sudah lama tidak dicatitnya.
“Seorang saja ke?" tanya Nurmaya duduk di hadapannya.
“Kamu harap akak dating dengan boyfriend ke?" tanya Nurul.
Kalaulah dia ada boyfriend pun dia tidak suka pergi dating di tempat yang orang ramai mudah kenali. Nanti apa yang dibuatnya mesti semua orang tahu. Lagi satu dia bukannya jenis yang suka menunjuk-nunjuk seperti kawan-kawannya yang lain, asyik bercerita tentang boyfriend mereka. Ada juga yang menunjuk-nunjuk gambar-gambar manja mereka. Meluat pula rasanya.
“Taklah...Selalunya kalau akak tak bersama dengan Kak Sofea, mesti bersama dengan ahli bola sepak tu."
“Sofea pergi dating dengan pakwe misteri dia dan sampai sekarang akak tak tahu siapa pakwe misteri dia tu dan semua ahli bola sepak tengah sibuk mengulang kaji pelajaran. Itu pun kalau mereka semua rajin membuka buku. Kalau tak rajin pula, dia orang akan bukak Astro dan tengok perlawanan bola sepak," balas Nurul seperti mengetahui apakah yang akan dilakukan oleh mereka semua. Mana tidaknya, beberapa hari ini bila berjumpa dengan mereka, pasti akan berbual tentang perlawanan bola sepak. Orang suruh belajar, dia orang belajar teknik terbaru permainan bola sepak.
“Oh, ya, hanya seorang sahaja yang akan bermimpi dengan indah," tambah Nurul lagi yang terbayangkan Nazrul seronok dapat tidur dengan aman tanpa gangguan daripada sesiapa.
Nurmaya tertawa kelucuan. “Patutlah ramai yang cemburu dengan Kak Nurul."
“Cemburu?"
“Sebab dikelilingi dengan lelaki-lelaki idaman Malaya."
Nurul pula ketawa kelucuan setelah mendengar istilah lelaki-lelaki idaman Malaya dari mulut Nurmaya. Kalaulah mereka semua dengar, mahu tidak tidur malam kerana perasan diri mereka kacak dan bagus.
“Tak ada apa yang nak dicemburukan, sebab mereka semuanya sama saja dengan lelaki lain. Nakalnya jangan katalah. Lagi suka buat kerja yang tak berfaedah. Bagi akak, rasanya tiada istilah lelaki idaman Malaya pada mereka semua."
“Emm...saya sependapat dengan Kak Nurul. Bagi saya mereka biasa saja, cuma mereka dijulang begitu sebab mereka popular di sekolah. Kita yang perempuan ni saja yang selalu menganggap mereka sebagai Prince Charming."
“Kamu dulu macam tu ke?" tanya Nurul mula mengorek rahsia. “Kamu dengan Nazrul?"
“Oh, itu, benda tu dah lama dah. Kalau dia tak ajar saya tentang dunia ni, mungkin saya dah bunuh diri hanya sebab putus cinta," kata Nurmaya lagi.
“Bunuh diri?"
“Bunyi macam orang bodoh, kan?" Nurmaya tersenyum lagi sambil mengingati kejadian beberapa bulan yang lalu. “Masa tu saya baru sahaja putus cinta dengan seorang lelaki yang bolehlah dikatakan lelaki yang sempurna. Perfect! Sebab saya dah kalah dengan seorang perempuan yang lagi cantik, saya hampir membunuh diri, tapi nasib baiklah ada seseorang yang menyelamatkan saya.
“Nazrul?"
“Pada mulanya. Awal-awal memang saya tak percaya dia selamatkan saya, tapi setelah lama-lama bila saya dah kenal dia dan akhirnya saya percaya. Tapi, dia ni lain sikit dan saya hampir jatuh cinta dengan dia."
“Jatuh cinta?" tanya Nurul lagi dan pada ketika itu jantungnya berdegup kencang.
Nurmaya tersenyum mengangguk. “Dia dah mengajar saya bahawa kita tak perlu mencari lelaki yang sempurna dalam dunia ni, tapi carilah seseorang yang boleh jadi sempurna kerana cintakan kita. Seseorang tu tak semestinya handsome, kaya dan bagus dalam semua perkara sebab kadang-kadang bila kita dah jatuh hati dengan seseorang, kita akan lihat 'kesempurnaannya'. Nazrin ajar saya macam tu."
Nurul mengangguk-angguk faham. Tidak sangka Nazrul pandai berkata-kata dengan Nurmaya sehingga kan Nurmaya termakan dengan nasihatnya. Wait! Nazrin?!
“Nazrin?" tanya Nurul kembali. Kalau tidak salah dia terdengar Nurmaya menyebut nama Nazrin dan bukannya Nazrul. Setahunya Nazrin itu adalah kembar Nazrul, tapi sudah meninggal dunia.
“Ya, Nazrin." Nurmaya mengangguk.
“Bukan ke Nazrin tu..."
“Kak Nurul tak tahu?" tanya Nurmaya hairan. Pelik. Takkanlah sebagai pengurus Kelab Bola Sepak, Nurul tidak tahu tentang kewujudan Nazrin. Setahunya ahli rasmi bola sepak sudah tahu tentang Nazrin dan mustahil Nurul tidak tahu tentang itu.
“Tahu apa?" tanya Nurul lagi membuatkan Nurmaya merasakan dia sudah cakap sesuatu yang tidak patut dicakap. Mungkin Nurul masih belum tahu lagi tentang rahsia Nazrul.
“Sorru, saya ada kerja di dapur. Gembira dapat berbual dengan Kak Nurul." Tanpa banyak cerita, Nurmaya segera berlalu meninggalkan Nurul yang terpinga-pinga mahukan jawapan daripadanya.
BUKU rujukan mata pelajaran sejarah di tatapnya sejak dari tadi, tapi dia langsung tidak membaca satu patah perkataan dari buku tersebut
Hasratnya yang hendak mengulang kaji pelajaran di perpustakaan dengan alasan apabila dia pulang ke rumah nanti, dia akan menghabiskan masanya di atas katil atau di hadapan televisyen, menonton drama-drama telenovela dari Amerika Latin atau dari Indonesia walaupun dia sebenarnya bukanlah peminat besar drama-drama tersebut. Mungkin kalau dia tidak menonton drama-drama asing di televisyen, dia akan menghabiskan masanya dengan tidur bersama bantal dan tilam empuknya.
Oh, aku dah terkena virus Nazrul. Nurul mengeluh. Buku notanya di selak ke belakang dan kemudian barulah dia menyedari yang dia belum lagi baca sepatah haram pun pada bab pertama. Terus diselaknya ke muka surat hadapan. Baru sahaja dia membaca dua tiga baris, fikirannya melayang lagi.
Prince Charming... Dia teringat kejadian yang hampir meragut nyawanya beberapa bulan yang lalu. Tidak ramai yang tahu tentang kejadian itu memandangkan dia pulang lambat pada hari itu. Menurut Sofea, kejadian itu ada kaitan dengan tindakannya yang mengoyak Carta Prince Charming.
Sebuah carta misteri yang sudah lama terlekat di papan kenyataan. Cuma yang bezanya, carta itu akan bertukar setiap seminggu sekali dan kadang-kadang sebulan sekali mengikut siapa yang layak menduduki Carta Prince Charming. Sampai sekarang tiada sesiapa pun yang tahu dari mana datangnya carta tersebut dan siapa yang membuatnya.
Mungkin kerana carta itulah dia menemui ahli-ahli rasmi Kelab Bola Sepak sekolah yang sememangnya popular di kalangan pelajar perempuan. Bagi pelajar perempuan, ahli-ahli rasmi Kelab Bola Sepak adalah Prince Charming. Tapi, baginya mereka hanyalah manusia biasa yang mempunyai banyak kelemahan. Semakin hari dia semakin mengenali mereka semua dan dia juga gembira sepanjang berkawan dengan mereka. Walaupun ada sahaja perkara yang menjengkelkan contohnya kes surat cinta Hayrul.
Dia berterima kasih kepada Nazrul yang sengaja hendak cari gaduh dengannya dengan meletakkan surat cintanya untuk Fiq di dalam lokar Hayrul. Pertama kali dalam hidupnya dia terserempak dengan lelaki yang akan pengsan sebaik sahaja menerima surat cinta. Itulah Hayrul. Tapi, kes surat cinta tidak berakhir di situ apabila setiap hari Hayrul meminta surat cinta kepadanya. Ketika itu memang penat dia hendak melayan Hayrul.
Tapi, mujurlah Nazrul menolongnya dengan meletakkan surat cinta untuk Hayrul di bawah mejanya sepertimana surat-surat cinta yang lain yang diterimanya dan mujurlah Hayrul tidak membacanya. Kalau tidak, tidak tahulah apa yang akan jadi pada Hayrul apabila mengetahuinya itu bukanlah surat cinta, tapi hanyalah iklan Dell.
Okey, tu salah satu kebaikan yang ada pada Nazrul. Tapi, bila difikir semula, Nazrul ni pelik juga. Kadang-kadang bila aku bercakap dengan Nazrul, aku rasa sakit hati sangat padahal dia bukanlah mengejek aku atau mengata aku yang bukan-bukan. Tapi, bila dia cakap memang sakitlah hati. Tapi, ada satu masa, bila dia berbual dengan aku, aku rasa macam selamat saja. Aku boleh bergelak ketawa pula.
Nurul berkerut dahi. Baru dia perasan tentang itu. Nazrul kadang-kadang nampak lain begitu juga bila dia berbual dengan Nazrul. Kadang-kadang setiap apa yang Nazrul cakap membuatkan hatinya sakit dan memberontak dan kadang-kadang dia berasa senang dengan Nazrul.
Inikah dinamakan cinta? Tak!
Nazrul ni memang seorang yang pelupa. Dia memang akan lupa apa yang dibuat dalam hidupnya semalam." Itulah yang Rezza pernah memberitahunya dahulu.
Nurul bersetuju. Memang Nazrul adalah manusia yang pertama yang dijumpainya mempunyai penyakit pelupa tahap gaban. Kadang-kadang dia akan bertanya balik apa yang dibuatnya semalam dan kadangkala bila mereka bercerita tentang sesuatu pada hari ini, esoknya Nazrul akan lupa dan bertanya semula. Entah bagaimanalah kalau Nazrul berkahwin nanti, agaknya isteri sendiri pun dia lupa.
“Cubalah kau bayangkan macam mana Nazrul tu nak bercinta kalau Nazrul tu..."
Nurul teringat perbualannya dengan Farizat yang tidak habis dahulu.
Sampai sekarang dia masih lagi tidak dapat tangkap apa yang hendak diberitahu oleh Farizat hari itu. Kenapa dengan Nazrul? Teorinya Nazrul dengan Rezza adalah pasangan gay memang tidak benar apabila Sofea memberitahu dia ada terserempak dengan Rezza sedang dating dengan seorang pelajar perempuan sebayanya. Dia juga ada dengar, Rezza memang mempunyai teman wanita, tapi lelaki itu tidak suka menyentuh tentang hal peribadinya. Tapi, sebab apa sebenarnya?
“SIAPA mereka ni?"
“Takkan tak kenal? Akulah..."
“Yang lagi sorang ni?"
“Nazrin, kembar aku."
“Hah! Kau ada kembar?"
Ketika itu, memang Nurul terkejut dengan kewujudan kembar Nazrul. Selama ini dia langsung tidak pernah dengar cerita tentang kembar Nazrul dan akhirnya pada hari itu dia tahu segalanya tentang Nazrul. Dia juga tidak sangka selama ini dia yang menganggap Nazrul sebagai manusia yang langsung tiada perasaan terhadap dunianya, pernah mengalami pengalaman yang pahit dalam hidupnya.
“Tapi, dia dah mengajar saya bahawa kita tak perlu mencari lelaki yang sempurna dalam dunia ni, tapi carilah seseorang yang boleh jadi sempurna kerana cintakan kita. Seseorang tu tak semestinya handsome, kaya dan bagus dalam semua perkara sebab kadang-kadang bila kita dah jatuh hati dengan seseorang, kita akan lihat 'kesempurnaannya'. Nazrin ajar saya macam tu."
“Nazrin?"
“Ya, Nazrin."
“Bukan ke Nazrin tu..."
“Kak Nurul tak tahu?"
Kepalanya yang ditahan dengan tangan kirinya diangkat. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Perbualannya dengan Nurmaya semalam memang meninggalkan banyak tanda tanya sehingga dia tidak mampu hendak berfikir. Apa yang pasti, Nurmaya bercerita tentang kembar Nazrul iaitu Nazrin telah meninggal dunia hampir beberapa tahun yang lalu dan bagaimana pula Nazrin boleh wujud dalam hidup Nurmaya?
Mungkinkah Nurmaya kenal mereka sejak kecil lagi? Tapi, bila Nurul fikirkan semula, dia rasa tidak logik juga sebab menurut cerita Nurmaya, benda itu seolah-olah baru sahaja berlaku. Tapi, Nazrin sepatutnya sudah tidak wujud lagi pada ketika itu.
“Oh, aku memang selalu gunakan helah macam tu pada orang lain. Selalunya Nazrin akan dicop anak yang baik dan aku pula anak yang nakal. Jadi, disebabkan Nazrin dah menderma jantungnya pada aku, aku terfikir mungkin perangai baik aku dipengaruhi oleh Nazrin."
Walaupun apa yang dikatakan Nazrul itu adalah logik, tetapi apabila Nurul berfikir semula dia merasai ada sesuatu yang tidak kena dengan Nazrul. Selama ini dia juga melahirkan perasaan hairan dengan perangai Nazrul yang mudah berubah seperti menjadi orang lain. Kadangkala Nazrul akan menjadi orang yang baik dan kadangkala Nazrul akan menjadi orang yang menjengkelkan.
“Kau tak tahu ke, manusia ni memang ada banyak personaliti yang berkongsi dalam satu badan. Personaliti ini akan 'keluar' tidak tentu masa dan kadangkala mempengaruhi mood. Sekarang mood aku tengah baik. Jadi, kau dapat berjumpa dengan personaliti baik aku dan kalau mood aku tak baik, kau akan jumpa Nazrul yang sebenar."
Pensel di tangannya jatuh. Dia berasa dirinya kaku disitu. Satu teori telah pun dirumuskan di kepala otaknya. Satu teori yang mungkin ada kebenarannya setelah menganalisis segala data-data yang ada pada memorinya.
“Takkanlah." Jantung Nurul berdegup pantas sambil kepala otaknya terbayangkan dua wajah Nazrul yang sama, tapi berbeza perwatakan. Tanpa membuang masa, dia segera mengemas buku-bukunya dan berlari keluar dari perpustakaan sekolahnya itu.
Dia berlari pantas menuju ke papan kenyataan yang terlekatnya Carta Prince Charming yang selama ini langsung tidak diendahnya. Seperti yang didengarinya selama ini, tiada sesiapa pun yang menduduki Carta Prince Charming.
Dia teringatkan perbualannya dengan Sofea dahulu. Memang sejak dia mengoyak Carta Prince Charming tiada sesiapa yang ditabalkan menjadi Prince Charming. Tiada sesiapa sehinggalah sekarang pun. Carta Prince Charming kosong. Ramai yang pelik tentang carta tersebut kecuali dia yang memang tidak pernah ambil peduli dengan Carta Prince Charming sehinggalah sekarang.
“Patutlah. Rupa-rupanya, Prince Charming tu memang tak wujud." Akhirnya dia menyedarinya.
Share this novel