(16)

Drama Completed 7121

NURUL sekadar menggeleng apabila terlihat berpuluh-puluh surat cinta di bawah mejanya sebaik sahaja tamat waktu rehat. Memang begitulah setiap hari. Mesti ada yang bagi surat cinta di bawah mejanya untuk putera idaman mereka. Siapa lagi kalau bukan ahli rasmi pasukan bola sepak sekolahnya itu.
Kadangkala dia pun hairan dengan pelajar perempuan sekolahnya yang sejak dari dulu lagi mengilai sesiapa sahaja yang dapat menganggotai barisan ahli rasmi Kelab Bola Sepak. Kalaulah mereka tahu perangai sebenar putera idaman mereka itu, mungkin ada yang perlu fikir dua tiga kali untuk menghantar surat lagi. Baginya dalam pasukan itu hanya Rezza dan Fiq sahaja yang boleh diharap. Yang lain, hancur! Lebih-lebih lagi Nazrul dan Hayrul yang selalu mengacau hidupnya.
Selepas sahaja waktu persekolahan, Nurul akan ke bilik yang menjadi tempat perjumpaan ahli Kelab Bola Sepak untuk memeriksa jadual latihan dan kadangkala dia akan mengemas bilik itu bila ia semakin menyerupai tongkang pecah walaupun seumur hidupnya dia tidak pernah melihat tongkang pecah.
Berpuluh-puluh surat cinta untuk jejaka-jejaka yang menarik perhatian, dikeluarkan dari beg plastik yang memang sentiasa dibawa setiap hari memandangkan sudah cinta yang diterimanya semakin hari bertambah banyak. Entah ubat apa yang mereka semua guna sehinggakan banyak pelajar-pelajar perempuan sanggup bersengkang mata, menulis ayat-ayat cinta yang berjela-jela panjangnya.
Surat cinta untuk Nazrul langsung tidak kelihatan beberapa minggu ini. Entahlah. Dia juga tidak tahu kenapa Nurmaya tidak lagi memberi selepas perasmian The Cafe. Dengar cerita dari sumber-sumber tertentu yang boleh dipercayai, mereka berdua sudah menyelesaikan masalah yang timbul dan Nurmaya masih bersama dengan teman lelakinya yang sekarang belajar di UiTM. Nurul tidak tahu apa masalah antara mereka berdua. Dia juga malas hendak bertanya dengan orang seperti Nazrul itu.
Bercakap tentang Nazrul, dia masih lagi seperti dulu. Asyik tidur tidak mengira waktu. Nurul hanya menjeling tajam ke arah Nazrul yang sedang tidur berbantalkan lengan di tempat biasa yang selalu dia tidur. Hubungannya dengan Nazrul kini agak dingin dan kadangkala baik. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Apa yang pasti, bila dia ada, Nazrul akan tidur dan bila dia tiada, Nazrul akan terjaga dan kadangkala buat bising.
Entahlah. Malas dia hendak bertanya kepada Nazrul sebab apa hubungan mereka menjadi dingin. Apabila berjumpa, masing-masing tidak bercakap. Tapi, yang anehnya, ada masa-masa tertentu Nazrul akan berbual dengannya. Mungkin masa itu mood Nazrul elok. Hanya Nazrul saja yang faham dengan perangainya itu.
“Hei, Nurul," sapa Najmi yang ceria seperti biasa. “Kau dapat surat cinta lagi? Ada tak untuk aku?" pantas Najmi duduk disebelahnya.
“Tunggulah. Aku tengah susun. Kalau ada aku letak dalam lokar kau. Macam kau tak tahu pulak," ujar Nurul sempat lagi mengetuk tangan Najmi dengan pembaris panjangnya apabila Najmi hendak mengambil salah satu daripada surat yang sedang disusunnya itu. Sebatang pembaris memang sengaja dia bawa ke mana-mana sebab senang dia hendak membuat serangan balas tanpa menyentuh kulit mereka. Haram. Nanti tidak pasal-pasal dia kena ambil air sembahyang lagi.
“Garangnya minah ni." Najmi menggosok tangannya yang diketuk dengan pembaris oleh Nurul.
Sebentar kemudian bilik tersebut kecoh dengan kehadiran Farizat, Rezza dan Fiq. Zaki dan Ridzwan juga melangkah masuk tidak lama selepas itu. Pintu bilik sengaja dibuka luas-luas memandangkan Nurul yang berjantina perempuan ada di dalamnya.
Menurut Cikgu Majid, untuk mengelakkan berlakunya fitnah yang boleh menjejaskan reputasi pasukan bola sepak sekolah, adalah lebih baik jika pintu bilik itu dibuka seluas-luasnya supaya semua orang boleh nampak apa yang berlaku di dalam.
“Hah... surat untuk Fiq lebih banyak dari minggu lepaslah," kata Zaki yang melihat Nurul menyusun satu demi satu surat yang diterimanya mengikut nama-nama yang ditujukan. Seperti biasa Fiq banyak menerima surat cinta. Tempat kedua adalah Rezza dan ketiga antara Najmi atau Farizat.
“Fiq, kau guna ubat apa, hah?" tanya Ridzwan yang hanya menggeleng melihat bilangan surat cinta untuk Fiq.
Fiq sekadar tersenyum mengangkat bahunya. Memang dia sendiri tidak tahu apa kelebihannya sampai mereka semua tergila-gilakannya. Tapi, menyukai seseorang adalah hak peribadi mereka. Dia tidak boleh menghalangnya.
“Ubat nyamuk!" jawab Najmi pula ingin mencuri salah satu daripada surat yang bertimbun itu. Sempat juga Nurul mengetuk tangan Najmi dengan pembaris lagi.
“Janganlah kacau! Hisy, tak sabar-sabarlah budak ni!" marah Nurul sambil menghadiahkan jelingan yang tajam.
“Alah, comelnya dia jeling," sakat Najmi yang terkenal dengan gelaran hiperaktif di kalangan kawan-kawannya.
“Najmi," ujar Rezza sepatah sambil memandang tajam seolah-olah sedang memberi amaran kepada Najmi supaya jangan mengganggu Nurul. Rezza memang macam itu, apabila Nurul dibuli dengan sikap Najmi yang sememangnya gila apabila melihat perempuan, Rezza akan memberi isyarat mata sebagai amaran. Serta-merta Najmi berhenti menyakat Nurul.
“Okey, surat terakhir adalah untuk..." Nurul mengambil surat terakhir dan menterbalikkan sampulnya untuk melihat tulisan di belakangnya. “Hayrul!!!" Dia menjerit terkejut menyebabkan semua mata memandangnya kecuali Nazrul yang masih berdengkur.
Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Kemudian masing-masing tertumpu pada nama Hayrul disampul surat tersebut. Memang benar. Nama Hayrul tercatit pada sampul surat itu.
“Takkanlah..." Najmi seakan tidak percaya.
“Biar betul," kata Ridzwan yang tidak percaya juga.
“Memang nama Hayrul," kata Farizat pula.
“Surat beracun," kata Zaki turut terkejut dengan kehadiran surat tersebut.
Masing-masing berpandangan. Kalau Hayrul tahu tentang kehadiran surat ini pasti Hayrul akan pengsan dan demam untuk beberapa hari dan keadaan ini boleh menjejaskan sesi latihan mereka setiap petang.
“Yes! Akhirnya, aku dah bebas. Baiklah, aku akan bagi surat cinta ni pada Hayrul dan lepas tu dia takkan ganggu hidup aku." Nurul bersorak gembira. Akhirnya dia boleh keluar daripada belenggu Hayrul yang selalu minta surat cinta daripadanya.
“Tak boleh!" Serentak mereka berkata.
“Kenapa pula tak boleh? Bukan ke Hayrul nak surat cinta selama ni?" Nurul pelik apabila mereka semua tidak bersetuju.
“Pendek kata, tak boleh. Nanti tak pasal-pasal dia pengsan," kata Zaki yang tidak bersetuju.
Yang lain hanya mengangguk selain Rezza dan Fiq yang duduk di sebelah Nazrul yang masih sedang tidur lagi.
“Aku tak peduli. Yang penting, lepas ni dia tak kacau hidup aku dengan meminta sudah cinta lagi." Nurul masih berkeras dengan keputusannya.
“Tapi, tak kejam ke?" Fiq tiba-tiba berkata.
“Kenapa kejam pula? Bagi surat cinta pun kejam ke?"
“Ini hal orang lelaki. Pendek kata, jangan sampai Hayrul tahu dia dapat surat cinta," kata Zaki lagi.
“Tapi kenapa?"
“Sebab dia akan pengsan sebaik sahaja membacanya," kata Rezza yang turut tidak bersetuju. “Atau, mungkin dia akan kena serangan jantung."
“Serangan jantung? Ada ke dalam dunia ni orang kena serangan jantung sebaik membaca surat cinta? Tak masuk akal langsung. Aku tak kira aku nak juga..."
“Hai, semua," sapa Hayrul tiba-tiba muncul dihadapan pintu. Dia pelik apabila masing-masing kaget memandangnya seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Dia kemudiannya melihat pakaiannya. Rasanya dia tidak memakai baju terbalik dan kalau dia pakai baju terbalik, awal-awal pagi lagi dia sudah dijadikan bahan ketawa oleh kawan-kawannya yang lain.
“Kenapa kau orang pandang aku macam tu?" tanya Hayrul.
“Dia dah datang," kata Fiq perlahan.
“Hayrul..." Baru sahaja Nurul hendak bercakap, Zaki sudah memeluknya dari belakang lalu menutup mulut Nurul dengan tangannya bagi mengelakkan Nurul bercakap. Surat untuk Hayrul di tangannya dirampas oleh Farizat dan cepat dimasukkan ke dalam poket seluarnya.
“Kenapa?" tanya Hayrul pelik apabila mereka semua menutup mulut Nurul dari bercakap sesuatu.
“Err... tiada apa-apa." Pantas Najmi memainkan peranan menafikan sesuatu yang mencurigakan , namun Hayrul dapat mengesan sesuatu yang pelik dan mungkin melibatkan dirinya sedang berlaku. Dia kemudiannya terpandang surat yang sudah disusun oleh Nurul di atas meja mesyuarat.
“Ada surat untuk aku?" Hayrul mengagak sesuatu.
“Tak. Tak ada. Tak ada langsung," kata Najmi cuba menafikannya.
Nurul cuba melepaskan dirinya daripada Zaki, tapi ternyata tenaga lelaki itu lebih kuat daripadanya.
“Tipu!" Hayrul tidak mempercayai mereka yang ternyata cuba merahsiakan sesuatu daripadanya dan mungkin ia berkenaan surat cinta yang ditujukan kepadanya. “Aku tahu mesti aku terima surat cinta tu! Kalau tak, kenapa kau orang tutup mulut Nurul,"
Nurul hanya mengangguk.
“Mana adalah. Kita orang saja nak buat kau suspens saja. Kan, Nurul?" Najmi tersenyum memandang Nurul dengan mengenyit matanya. Meminta Nurul berkerjasama dengan mereka.
Nurul kemudiannya menggeleng. Enggan bekerjasama.
“Aku nak kau orang lepaskan Nurul. Aku nak dengar dari mulut Nurul sendiri." Hayrul mula memberontak.
“Kalau kau tak beritahu pasal surat cinta ni, aku akan beritahu siapa yang selamatkan kau tempoh hari." Zaki berbisik di telinga Nurul seolah-olah cuba mengugutnya. Serta-merta Nurul terdiam.
Zaki bercakap tentang kemalangan tempoh hari itu kah? Zaki tahu siapa yang selamatkannya? Atau Zaki sengaja hendak memaksa dia merahsiakan tentang surat cinta itu? Tapi, macam mana Zaki tahu dia sedang mencari seseorang yang menyelamatkannya daripada kemalangan tempoh hari? Pelbagai persoalan muncul di fikiran Nurul.
Dengan perlahan-lahan Zaki melepaskan Nurul yang masih terkejut.
“Nurul, beritahu aku, kau ada terima surat cinta untuk aku, tak?" tanya Hayrul memandang tajam wajah Nurul yang kelihatan terkejut.
“Err... tak ada," pantas Nurul menjawab sambil memandang tepat ke wajah Hayrul. “Memang tiada. Tadi tu sebab aku nak bagi tahu pada kau apa yang mereka mengumpat pasal kau. Mereka kata kau ada bantal busuk sehingga sekarang, betul ke?" tanya Nurul secara spontan. Dia juga tidak tahu dari mana dia dapat idea bantal busuk itu.
Tidak lama kemudian, Hayrul sedikit berubah wajah. Mukanya nampak merah seperti menahan malu. Nurul memandang pelik.
“Betul ke?" Tanya Nurul ingin mendapat kepastian.
“Err... aku ada hal." Tanpa menjawab soalan daripada Nurul, Hayrul segera berlalu dari bilik tersebut, meninggalkan mereka yang terpinga-pinga dengan kejadian sebentar tadi. Masing-masing kemudiannya berpandangan sebelum kesemuanya pecah tawa.
Nazrul masih lagi tidur.
“Zaki!" sapa Nurul menyebabkan mereka semua berhenti ketawa. “Apa yang kau cakap tadi? Kau tahu pasal kemalangan tu?"
“Kemalangan apa? Oh, ya, apa yang menyebabkan kau ubah fikiran tak nak bagi tahu Hayrul pasal surat tu?" Najmi yang hampir kecut perut apabila Hayrul yang seperti mahu membunuhnya tadi, turut terkejut apabila Nurul memihak pada mereka dengan tidak memberitahu Hayrul mengenai surat cinta itu.
“Kemalangan apa?" tanya Zaki pula seolah-olah tidak tahu-menahu dengan soalan Nurul tadi.
Nurul mendengus marah dan kemudian dia berlalu bangun dari duduknya.
“Hei, kau nak pergi mana?" Pantas Zaki bertanya. Risau kalau Nurul memberontak mahu memberitahu Hayrul perkara sebenar.
“Aku nak ambil air sembahyang semula! Jangan risaulah aku takkan beritahu Hayrul pasal surat tu," ujar Nurul sebelum berlalu dari situ.
Zaki dan yang lain menarik nafas panjang.
“Kau bagi tahu apa kat Nurul tadi?" tanya Najmi yang ingin tahu. Dia pasti ada sesuatu yang dia tidak tahu selama ini.
Belum sempat Zaki berkata, dia menyedari Nazrul yang sudah sedar daripada tidur sedang merenung ke arahnya. Suasana sunyi seketika apabila Nazrul sudah terjaga. Masing-masing tidak mampu bersuara.
Nazrul bangun dari kerusinya dan berlalu membuka lokarnya. Sehelai baju-T dan seluar pendek yang selalu dibawanya untuk sesi latihan, diambil keluar. Pintu lokar ditutup kembali. Suasana masih lagi sunyi. Kakinya bergerak melangkah keluar, namun terhenti di hadapan pintu.
“Jangan ulang perkara yang sama lagi," ujar Nazrul sebelum meninggalkan bilik itu dengan seribu tanda tanya.

ZAKI tahu tentang kemalangan tu? Adakah mereka semua tu tahu tentang kemalangan itu, tapi sengaja tak mahu beritahu aku? Tapi, kenapa? Takkanlah orang yang hampir melanggar aku tu adalah salah seorang daripada mereka? Salah seorang dari mereka melanggar aku dan salah seorang daripada mereka menyelamatkan aku? Jadi, mereka tak boleh nak mendedahkan siapa yang selamatkan aku sebab mungkin aku akan tahu siapa yang langgar aku? Hati Nurul berbicara sendirian.
Kedengaran keluhan berat daripada Nurul yang pening memikirkan perkara yang mungkin terjadi. Banyak teori yang difikirnya, tapi satu pun dia tidak pasti kesahihannya. Kalau mereka semua tahu pasal kemalangan itu, ini bermakna memang ada satu rahsia besar yang disimpan oleh mereka.
“Kak Nurul," sapa satu suara memeranjatkan Nurul.
Nasib baiklah jantung Nurul kuat macam Superman. Kalau tidak, mungkin dia sudah terkena serangan jantung.
Nurmaya tersenyum memandangnya.
“Hei," sapa Nurul menghampiri Nurmaya yang sedang menghadap carta Prince Charming. Sudah lama juga dia tidak dengar tentang carta Prince Charming. Sejak dia mengoyak carta tersebut dan membuatkan hidupnya sedikit kucar-kacir.
“Kamu pun minat dengan carta Prince Charming?" tanya Nurul yang hanya melihat tiada sesiapa pun yang dinobatkan sebagai Prince Charming seperti yang dibisingkan oleh Sofea selama ini.
“Tak sebenarnya, tapi selepas apa yang berlaku mungkin saya akan tumpukan perhatian pada carta tersebut.
“Apa yang dah berlaku?"
Nurmaya hanya tersenyum memandang Nurul.
Nurul faham akan pandangan itu. Mesti ada rahsia yang tidak mahu Nurmaya ceritakan kepadanya. Yalah, mereka berdua bukannya sudah kenal lama dan memang patut pun Nurmaya hanya berdiam diri.
“Kita lupakan kisah lama dan mulakan hidup yang baru. Sekarang saya dah jumpa Prince Charming saya walaupun saya berharap dia dapat jadi Prince Charming tu."
“Dia? Maksud kamu Nazrul?"
“Kak Nurul percaya tak carta ni?"
Pantas Nurul menggeleng.
“Bagi saya, ini bukan sebarang carta. Ini bukannya carta permainan seperti carta muzik-muzik di televisyen. Bagi saya, ini carta yang mengajar kita siapa yang layak jadi Prince Charming di hati kita. Sebenarnya, bukanlah Prince Charming yang kita cari dalam hidup ni, tapi adalah lelaki yang boleh membuatkan hidup kita jadi sempurna dan bukannya mencari lelaki yang sempurna," ujar Nurmaya.
Nurul berasa seperti bercakap dengan perempuan yang berumur dalam lingkungan 30-an. Gaya dan apa yang diperkatakan oleh Nurmaya seperti seorang yang matang berbanding dengan usianya yang hanya belasan tahun.
“Sebenarnya kita tak sedar, orang yang sesuai dengan kita berada di sisi kita setiap masa. Bila dia sudah pergi jauh daripada kita, barulah kita merasai kehilangannya. Kak Nurul pernah rasa macam tu?" tanya Nurmaya.
Nurul hanya menggeleng.
“Suatu hari nanti Kak Nurul akan rasa macam tu dan pada masa tu Kak Nurul akan faham apa maksud saya. Jumpa lagi."
Nurul hanya melihat kelibat Nurmaya pergi meninggalkannya. Dia langsung tidak faham dengan apa yang Nurmaya katakan tadi.
“Kenapa aku dikelilingi dengan kawan-kawan yang banyak rahsia?" tanya Nurul pada dirinya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience