>Mesej daripada Nazrul:
Sorry tentang perkara tempoh hari.
MESEJ daripada Nazrul dibaca Nurul sebaik sahaja Nurul selesai mandi. Sejak dari petang semalam, masing-masing menyepikan diri. Sudah lama Nurul tidak menerima mesej atau panggilan daripada Nazrul sejak Nazrul sibuk menghadapi peperiksaan SPM. Jika dahulu, selalu juga Nurul menerima mesej atau panggilan telefon daripada Nazrul yang sengaja ingin mengganggu hidup Nurul.
Hari ini Nurul terima mesej daripada Nazrul. Dia tidak dapat gambarkan perasaannya sebalik menerima mesej tersebut. Bukan gembira, bukan sedih dan bukan juga geram, tapi serba salah. Dia mula dapat rasakan jurang perbezaan mereka berdua. Tidak seperti dahulu. Jika dahulu dia berani berdepan dengan Nazrul, tapi sekarang, kalau boleh dia ingin lari daripada Nazrul.
>Mesej daripada Nurul:
Taknak cakap tu. Macam mana dengan jamuan? Okey?
Nurul membalas setelah hampir 15 minit memikir ayat yang sesuai untuk dibalas. Tidak pernah dia jadi begitu. Dia masih lagi merenung skrin telefon bimbit. Hampir 15 minit dia merenung, tapi tiada mesej daripada Nazrul. Dia menghela nafas panjang. Tidak tahu apa yang perlu dilakukannya.
Baru sahaja telefon bimbit dilepaskan dari pegangan, satu mesej sampai.
>Mesej daripada Nazrul:
Ya. Meriah. Tapi, kalau ada kau lagi meriah.
Kali ini Nurul bertambah serba salah. Namun, dia cuba berlagak seolah-olah tiada apa-apa yang perlu difikirkan lagi. Mesej untuk Nazrul dibalas cepat.
>Mesej daripada Nurul:
Alah, lain kali boleh buat lagi.
Ya. Bukankah ada banyak masa lagi? Esok lusa boleh buat jamuan tu juga. Nurul mengeluh panjang. Telefon bimbit dicampak ke katil. Lantaklah. Malas dia hendak melayan karenah Nazrul.
>Mesej daripada Nazrul:
Macam mana kalau tiada lain kali?
Mesej Nazrul yang baru sampai dibacanya. Kepalanya digaru. Pening! Apa hal pula Nazrul emosional sangat ni? Frust sangat ke? Takkanlah kena tolak pun dah frust sampai macam ni? Baru sahaja dia hendak membalas mesej Nazrul, mesej daripada Nazrul masuk lagi ke dalam telefon bimbitnya. Segera dia membacanya.
>Mesej daripada Nazrul:
Sorry ganggu malam-malam. Abaikanlah apa yang aku cakap tempoh hari dan mesej hari ni. Anggap tak pernah berlaku. Okey, selamat malam dan jumpa lagi.
>Mesej daripada Nurul:
Merajuk atau frust?
Tiada mesej dibalas selepas 15 minit. Sah merajuk! Atau, mungkin frust! Ah, Nurul tidak peduli. Malas dia hendak memujuk, apatah lagi yang merajuk itu adalah lelaki dan yang lebih penting, lelaki yang tiada kena-mengena dalam hidupnya.
Baru sahaja dia hendak meletak kepalanya di atas bantal, tiba-tiba sahaja pintu biliknya dibuka seseorang dan Sofea meredah masuk ke dalam biliknya tanpa memberi salam seperti selalu. Tersentak juga dengan tindakan Sofea yang meredah masuk itu. Mungkin dia patut letak perangkap samar di depan pintu biliknya. Sebenarnya sudah lama dia memikirkan rancangan jahatnya itu, tapi memikirkan Sofea adalah satu-satunya kawan baiknya, terus diabaikan rancangannya itu.
“Hari ini demi kau, aku tak boleh berpegang pada janji," kata Sofea tanpa memandang Nurul dan terus membuka almari baju Nurul. Sehelai baju kurung dikeluarkan dari almari baju Nurul dan dicampak kearah Nurul yang terkebil-kebil dengan tindakan Sofea.
“Hantu mana yang rasuk kau malam ni?" tanya Nurul hairan. Selama ini dia tidak pernah pelik dengan perangai Sofea yang selalu meredah masuk ke dalam biliknya. Tapi, hari ini dia pelik dengan perangai Sofea yang meredah biliknya,. membuka almari pakaiannya dan memberikan baju kurung kepadanya. Dan, satu soalan yang bernas, kenapa mesti baju kurung?
“Kau kena bersiap sekarang," kata Sofea tanpa menjawab soalan Nurul.
“Tak, selagi kau tak cakap apa yang berlaku. Kenapa aku perlu pakai baju kurung malam-malam buta ni dan kita nak ke mana?" tanya Nurul bertubi-tubi.
“Tiga soalan untuk satu jawapan. Airport." pantas Sofea menjawab.
“Airport?" ulang Nurul penuh tanda tanya. “Oh, aku tahu. Kau mesti ingat aku frust gila Hazwan pergi luar negara. Sofea, kau tak perlu risaukan aku, Hazwan tu pergi ke sana sebab nak lawat abangnya saja dan selepas dua minggu dia aka pulang ke Malaysia dan lagi satu, flight Hazwan esok petang bukannya tengah malam ni," ujar Nurul.
“Siapa kata aku buat semua ni untuk Hazwan," balas Sofea. Kemudian dia mengeluh lemah.
“Habis tu?" Nurul lagi bertambah hairan.
“Nazrul. Dia nak pergi UK." pantas Sofea berkata.
“Ulu Kelang?"
“United Kingdom!"
Tidak dapat digambarkan perasaan Nurul ketika itu. Otaknya seolah-olah sudah mati untuk berfikir, tapi yang anehnya, selepas mendengar berita itu dari mulut Sofea, dia segera menyalin baju dan memakai baju kurung yang diberi oleh Sofea. Seperti tindakan refleks dia bergerak meninggalkan rumah dengan menaiki kereta yang dipandu oleh ayah Sofea. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada di dalam kereta. Dia tidak ingat sama ada dia ada meminta izin ibu dan ayahnya untuk keluar rumah malam-malam buta ini. Fikirannya kosong dan apa yang fikirnya hanyalah Nazrul.
Macam mana kalau tiada lain kali?
Mesej daripada Nazrul yang diterimanya tadi dibacanya berulang kali.
“Mama Nazrul dapat peluang belajar di University of Sheffield di UK. Jadi, dia tak ada pilihan lain selain ikut mamanya pergi sana. Rezza cakap mungkin selepas tiga tahun baru Nazrul balik sini dan jamuan siang tadi sebenarnya untuk Nazrul sebelum dia pergi sana. Sorry, aku pun baru saja dapat tahu siang tadi dan Nazrul suruh aku jangan beritahu kau tapi aku tak sanggup nak buat macam tu pada kau." Sofea menerangkan segalanya sewaktu mereka dalam perjalanan ke KLIA.
Nurul melemparkan pandangannya ke luar tingkap kereta. Tiba-tiba dia merasakan air matanya mengalir deras. Segera dia mengesatnya. Apa yang Sofea terangkan padanya tadi, langsung tidak diendahkannya. Apa yang penting sekarang, dia mesti berjumpa Nazrul.
Telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Nama Nazrul muncul di skrin telefonnya. Air matanya dikesat dan perasaan hiba cuba disembunyikan sebelum menjawab panggilan tersebut.
“Hei," sapa Nazrul lembut di hujung talian.
Nurul tiba-tiba senyap. Suaranya hilang entah ke mana sebaik sahaja mendengar suara Nazrul.
“Sofea cakap kau menangis," ujar Nazrul lagi.
“Mana ada." Air mata Nurul kembali mengalir deras. Entah kenapa, dia sendiri tidak tahu. Tapi, terima kasih kepada Sofea kerana pecahkan tembelang. Lepas ni bersedialah dengan adegan piring terbang!
“Nurul..." panggil Nazrul setelah masing-masing mendiamkan diri. “Please say something."
Please don't go. Tapi, hanya hati Nurul saja menjerit.
“Nurul..." Suara Nazrul kedengaran lagi.
“Apa?" Sedaya upaya ditegaskan suaranya seperti biasa.
“Please, say something."
“Nak cakap apa lagi?" balas Nurul. Nurul, kenapalah kau susah sangat nak cakap?
“Nurul Izzati..." Nazrul memanggil nama penuh Nurul pula.
Diam. Air mata Nurul mengalir deras, tapi dia cuba sedaya upaya menahan esakan tangisannya.
“Remember your promise, emm?" Nazrul akhirnya mengalah.
“Emm..." Say something, Nurul!
“So, this is the end."
End? Tamat? Ya Allah, berilah hamba-Mu kekuatan walaupun seminit.
“Don't miss me okay?"
“Okey," jawab Nurul tanpa dirancang. Dahinya ditepuk perlahan. Nurul, you better say now!
“Assalamualaikum."
“Waalaikumussalam."
Perbualan diputuskan oleh Nazrul. Sudah tamat. Nurul masih lagi tiada kekuatan untuk bersuara. Hanya tangisan dan air mata sahaja yang mampu diluahkan pada ketika itu. Malangnya tiada Nazrul di sisi yang dapat mentafsir di sebalik tangisannya.
Sofea tidak berdaya berbuat apa-apa selain memberi semangat kepada Nurul. Tidak lama kemudian, Rezza memberi mesej kepadanya. Walaupun berat dia hendak beritahu, tapi dia mesti sampaikannya juga.
“Rezza beritahu, Nazrul dah naik flight. Dia suruh kita berpatah balik."
“Sofea, aku tak patut koyak Carta Prince Charming tu, bukan?"
“Hah?"
“Semua dah tamat."
NURUL dan Sofea turun dari kereta yang dipandu oleh ayah Sofea. Dia berterima kasih kepada ayah Sofea kerana sanggup memandu untuk membawanya ke KLIA, tetapi hanyalah sekerat jalan sahaja kerana Nazrul sudah naik kapal terbang.
“Kau okey?" tanya Sofea.
Nurul sekadar mengangguk. Sebenarnya, dia tidak okey. Terlampau banyak yang berlaku sehingga dia sendiri tidak dapat berfikir dengan baik. Tapi, selepas mendapat tahu Nazrul akan keluar negara, entah kenapa dia terasa kehilangan sesuatu yang bernilai sangat.
Telefon bimbit Nurul berbunyi lagi. Panggilan daripada Rezza. Pada mulanya dia hendak mengabaikan panggilan Rezza, tapi sebaik sahaja panggilan itu tidak berhenti, dia mengalah.
“Hei," sapa satu suara.
Suara itu amat dikenali Nurul. Tapi, tak mungkin!
“Nazrul?"
“Aku memang suka dengar kau menangis tadi," kata Nazrul sambil tergelak perlahan.
“Kau tak pergi lagi ke?" tanya Nurul dengan nada geram. Rasanya seperti dibodohkan pun ada.
“Kejap lagi. Aku nak bagi tawaran akhir pada kau ni. Orang kata, kita tak boleh nak undur waktu, tapi peluang pertama terlepas mesti ada peluang kedua bukan?"
“Apa dia?"
“Aku ada bagi hadiah untuk kau, kalau kau terima, minta hadiah tu daripada Sofea," kata Nazrul sebelum memutuskan panggilan telefon.
Nurul terpinga-pinga. Dia memandang Sofea yang sudah tersenyum-senyum memandangnya. Dengan teragak-agak, Nurul menghampiri Sofea.
“Nazrul suruh aku ambil hadiah yang dia bagi kat kau." Dengan teragak-agak Nurul berkata.
Sofea tidak berkata apa. Dia kemudiannya berlalu masuk ke rumah sebelum keluar membawa sebuah teddy-bear yang besar dan di berikan kepada Nurul. Terkejut Nurul melihat hadiah tersebut. Besar teddy-bear itu lebih kurang seperti besarnya.
“Ada kad sekali." Sofea memberi sekeping kad kecil kepada Nurul.
Tanpa membuang masa, Nurul membaca tulisan yang tercatit di dalam kad tersebut.
>Kad yang ditulis Nazrul:
Kalau rasa rindu, peluk teddy ni. Kalau rasa geram, smackdown ajelah - Nazrul.
Nurul ketawa.
“Kan aku dah kata, Nazrul memang tak romantik. Tapi, kalau dia jadi romantik... memang angau jadinya," balas Sofea tersengih-sengih.
Nurul tersenyum malu.
Share this novel