(36)

Drama Completed 7121

”KAU masih seperti dulu," kata Sofea sebaik sahaja Nurul memasuki kereta yang dipandunya.
Nurul hanya mengukir senyuman sebelum Sofea memandu keretanya memasuki kawasan bandar.
Panggilan daripada Nurul awal pagi tadi benar-benar mengejutkan Sofea. Mana tidaknya, Nurul tiba-tiba menelefonnya dan tanpa beri salam dan mukadimah, terus mengajaknya keluar shopping untuk membeli gaun malam untuk ke dinner kolej nanti.
Seingatnya, Nurul tidak mahu ke dinner tersebut disebabkan terlampau marah dengan Nazrul yang langsung tidak membalas e-mel selama tiga bulan ini. Tapi, entah kenapa Nurul tiba-tiba mengubah fikiran. Nasib baiklah hari ini hari Ahad dan hari cuti bekerja. Dapatlah dia temankan Nurul keluar mencari baju untuk dinner nanti.
“Mungkin kau patut beritahu aku kenapa kau tiba-tiba ubah fikiran untuk ke dinner tu..." kata Sofea sambil mencari tempat kosong untuk meletak kenderaannya di hadapan sebuah pusat membeli-belah yang terkemuka di Kuala Lumpur.
Nurul masih lagi tersenyum. Sepanjang perjalanan tadi, dia asyik melihat Nurul tersenyum-senyum bagaikan orang gila sedang bercinta.
Sofea hanya menggeleng. Dia tidak pasti hantu manakah yang sudah merasuk kawannya itu. Terus dia memandu keretanya ke petak kosong.
Disebabkan hari ini adalah hari Ahad, shopping complex yang mereka kunjungi dibanjiri oleh orang ramai, tidak kiralah daripada golongan remaja, kanak-kanak mahupun orang dewasa yang sudah berkeluarga.
Satu demi satu butik baju mereka masuk, tapi tiada satu pun yang menarik perhatian Nurul. Bukan kerana gaun-gaun yang dipamerkan tidak beberapa cantik, tapi setelah diperhatikan gaun-gaun itu tidak sesuai bila digandingkan dengan tudung. Jadi, untuk mencari alternatif lain, Nurul terpaksa memilih jubah moden yang sesuai dipadankan dengan tudung.
“Kau perlukan dua," ujar Sofea sebaik sahaja Nurul ingin membeli jubah yang sudah dicubanya tadi setelah berpuas hati dengan harga dan fesyen tersebut.
“Kenapa pula?"
“Percayakan aku, kau perlukan satu lagi," kata Sofea cuba menyakinkan Nurul. Tanpa membuatkan Nurul berfikir lebih panjang, Sofea sudah mengambil sehelai lagi jubah yang sama ke kaunter pembelian.
Selepas keluar dari butik tersebut mereka berdua berlalu ke restoran KFC yang berada di tingkat bawah untuk menjamu selera selepas penat mencari barang yang mereka mahu.
“Kenapa aku perlukan satu lagi?" tanya Nurul masih lagi tidak dapat sebab kenapa Sofea mendesaknya membeli sehelai lagi pakaian yang sama.
“Kau akan tahu nanti. Jadi, kau nak beritahu kenapa kau tiba-tiba nak pergi ke Dinner tu?" tanya Sofea lagi.
“Kau ada baca blog aku?"
“Komputer aku masuk wad, manakala Internet di office aku kena block. Tak boleh nak ngular baca blog kau. Kenapa? Kau dapat ilham baru?"
Pantas Nurul mengangguk.
“Biar aku teka. Ilham kau tu suruh kau harungi dinner tu dengan penuh berani?" teka Sofea.
Nurul mengangguk lagi sambil mengukirkan senyuman manis.
“Aku tak tahu kenapa, sebaik sahaja aku baca komen tu, aku terus telefon kau untuk cari baju dinner. Serius, aku cakap, aku tak pernah rasa bersemangat begini. Lagi satu ilham aku tu setuju aku cacatkan gaun Shasha," ujar Nurul dengan gembiranya.
“Kau bercadang nak cacatkannya?" tanya Sofea lagi.
“Mungkin aku tak akan jadi sejahat itu."
“Bukankah kau sebenarnya seorang yang tak suka lihat orang lain senang?" kata Sofea lagi.
“Ya, tapi itu dulu, masa zaman sekolah dulu. Masa tu memang aku tak suka lihat orang lain senang. Tapi, sekarang aku berada di alam remaja dan duduk serumah bersama musuh dalam selimut. Kalau aku serang dia, ini bermakna aku hancurkan hidup aku yang aman damai ini sebab Shasha ramai pengikut. Sikap hari bulan aku dipulaukan satu kolej nanti." Nurul hanya mengeluh lemah.
“Kalau begitu kau kumpullah pengikut-pengikut kau terlebih dahulu."
“Macam mana?"
“Kalau Shasha boleh tarik perhatian pengikutnya dengan perangai gediknya. Kau juga boleh tarik perhatian mereka," cadang Sofea.
“Dengan apa? Dengan perangai gedik aku? Sorry, seumur hidup aku pun takkan berlakon jadi manusia gedik seperti Shasha tu!" tegas Nurul.
“Siapa suruh kau jadi gedik macam Shasha? Maksud aku jadi diri kau sendiri."
“Contohnya?"
“Contohnya... kita makan dulu. Lepas ni kita sambung kembali sebab aku tengah lapar tahap gaban sampai aku tak boleh nak berfikir apa sekarang ni." Sofea tersengih.

“JADI, kau jadi pergilah ya..." kata Shasha sambil meratah ayam KFC yang dibawa pulang tadi. “Kenapa kau nak pergi? Bukan ke kau tiada boyfriend?"
“Kau ingat dinner tu seperti majlis prom ke yang perlukan pasangan untuk menghadirinya? Aku rasa tiada syarat-syarat teman lelaki harus dibawa dan kalau ada pun aku hanya perlu cari seorang teman dan lelaki untuk turut serta." Nurul tersenyum sinis membuatkan Shasha berhenti daripada menyengih.
Azwa yang di sebelah Shasha pula tersengih-sengih. Namun, setelah Shasha memijak kaki Azwa, gadis yang juga pengikut Shasha itu serta merta berhenti menyengih.
Kadangkala Nurul sendiri tidak faham dengan apa yang dialaminya. Entah kenapa Shasha kurang menyenangi kehadirannya. Padahal dia bukanlah saingan Shasha di kolej, malah langsung tidak pernah kacau hidup Shasha. Shasha sahaja yang suka kacau hidupnya.
“Kau nak pergi ni, kau ada beli baju ke? Aku tengok baju-baju kau dalam almari tu semuanya fesyen lama dan entah apa-apa fesyen entah. Takkanlah kau nak pergi dinner tu pakai baju kurung tahun lepas," sindir Shasha lagi.
“Aku dah beli bajulah." pantas Nurul menjawab.
“Ya ke? Kau beli baju apa?" Azwa bertanya.
Tanpa disuruh oleh mereka, Nurul segera menayangkan baju yang dibeli bersama Sofea tadi kepada mereka berdua dengan bangganya. Seperti yang di jangka Shasha akan tersenyum-senyum memerli.
“Jubah? Eee...kolotnya fesyen kau tu," kata Shasha dengan penuh lagaknya.
Menyampah pula Nurul melihatnya. Hendak sahaja dia simbah Shasha dengan air minumannya itu.
“Aku rasa fesyen macam ni hanya rumah sahaja yang pakai tau. Kolot betul. Kau tu nak pergi dinner bukannya majlis tahlil atau arwah. Mestilah kena pakai sesuatu yang nampak mengancam macam gaun yang Danny hadiahkan kepada aku hari tu. Seksi, cantik dan merah menyala," tambah Shasha lagi sengaja ingin menunjuk-nunjuk betapa hebatnya teman lelakinya.
“Sekurang-kurangnya baju ni aku beli dengan duit aku sendiri dan bukannya duit orang lain," balas Nurul selamba. Pedas sehingga Shasha terasa pedasnya.
“Cakap sajalah kau cemburu sebab aku dapat lelaki yang kacak dan kaya seperti Danny tu, dan kau pula, langsung tiada teman lelaki. Agaknya tiada siapa yang meminati kau. Jangan risau, aku akan kenalkan kawan-kawan Danny kepada kau," balas Shasha kembali seperti tidak mahu mengaku kalah dengan gadis kolot seperti Nurul itu.
“Setahu aku semua kawan-kawan Danny adalah perempuan. Danny tu ada kawan lelaki ke?" tanya Nurul kembali dengan wajah serius, tapi bernada memerli. Memang benar, rata-rata kawan-kawan Danny yang bersama Danny di kolej terdiri daripada kaum perempuan dan jarang dia melihat Danny bersama dengan pelajar lelaki.
Shasha masih lagi tersenyum. Entah kenapa dia merasai dia semakin kalah dengan Nurul. Selama ini apabila dia cuba mempertahankan dirinya daripada Nurul, dia dapat merasai kemenangan, tapi lain pula pada hari ini. Semakin dia menjawab semakin sakit hatinya dengan Nurul yang digelarkan perempuan kolot dan ulat buku itu.
“Tulah kau asyik duduk dalam bilik menghadap laptop dan buku sahaja. Tak keluar-keluar bilik. Kalau keluar pun setakat pergi kolej, kedai mamak depan tu dan kemudian pulang ke rumah dan duduk terperap dalam bilik. Itulah padahnya kalau tak sosial langsung dengan orang ramai. Perempuan-perempuan tu memang suka kacau Danny sebab yalah, Danny tukan popular satu kolej. Semua orang tergila-gilakan dia, tapi malangnya, Danny sudah pilih aku sebagai permaisuri hatinya. Dan, buat pengetahuan kau, Danny ada ramai kawan-kawan lelaki sebab aku sering pergi parti-parti yang dibuat oleh mereka. Aku ingin sekali ajak kau ke parti mereka, tapi aku takut kau merosakkan parti mereka pula," ujar Shasha dengan lagaknya.
“Ke kau takut aku akan dapat lebih perhatian daripada kau," balas Nurul selamba.
“Sorry, tak kuasa aku. Kenapa aku perlu takut pada kau pula...?"
“Kalau macam tu, kenapa kau tak ajak aku langsung?" Pantas Nurul memotong kata-kata Shasha membuatkan Shasha terasa tercabar.
“Sebab orang macam kau tak layak ke parti mereka. Kau sendiri pun tahu kan, mereka semua tu datangnya daripada keluarga yang berpengaruh dan kaya-raya dan bukannya daripada golongan biasa seperti kau ni."
“Oh, ya ke? Jadi, kalau aku tak layak pergi kenapa kau pula yang layak pergi? Bukan ke kau tu asalnya dari sebuah kampung yang terletak jauh dari pelosok bandar di Terengganu? Sehinggakan bekalan elektrik di kampung kau pun tiada," balas Nurul yang sememangnya ingin berperang habis-habisan. Geram pula dengan Shasha yang langsung tidak pernah melihat dirinya sendiri.
Shasha mendengus marah. Nampaknya hari ini memang dia sudah kalah dengan teruk, tapi itu tidak bermakna dia akan mengaku kalah dengan mudah. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap tidak akan kalah dengan Nurul yang kolot itu.
“Amboi, sedapnya mulut. Aku ni dikatakan layak sebab aku girlfriend Danny. Tak kisahlah siapa aku dan dari mana aku datang, asalkan Danny tu kaya-raya dan datang daripada keluarga yang berpengaruh dan kau pula langsung tiada boyfriend, apatah lagi boyfriend yang kaya-raya! Sudahlah, sakit hati saja cakap dengan kau ni, lebih baik aku ajak Danny keluar malam ni."
Tanpa sempat Nurul membalas, Shasha terus bangun dari duduknya dan masuk ke dalam bilik. Pintu bilik dihempas dengan kuat menunjukkan Nurul sudah berjaya menyakitkan hati Shasha.
Tersengih-sengih Nurul di ruang tamu. Nampaknya peperangan saraf antara dia dan Shasha dimenangi olehnya pada malam itu. Selama ini dia memberi ruang sahaja kepada Shasha untuk menang, tapi orang kata setiap kesabaran itu ada hadnya. Had sabarnya sudah tidak boleh dibendung lagi dan mulai hari ini dia tidak akan kalah dengan Shasha gedik itu.
Azwa juga turut tersengih-sengih. Dia sebenarnya sudah malas hendak menjadi pengikut setia Shasha yang mengada-ngada tidak kena pada tepat. Selama ini dia menganggap Shasha adalah kawan baiknya kerana Shasha datang dari negeri yang sama sepertinya, tapi setelah beberapa semester duduk dan menjadi pengikut setia Shasha, dia semakin tawar hati hendak bersama dengan Shasha lagi.
“Tu mesti mengadu dengan Danny lah tu," ujar Azwa yang mendengar sesuatu di bilik Shasha. Tidak lain tidak bukan Shasha mesti mengadu pada kekasih hatinya.
“Biarkan. Aku tak fahamlah kenapa dia tu suka cari gaduh dengan aku? Dia buat aku ni macam heroin dalam cerita Korea yang selalu kena buli saja."
“Kau nak tahu tak kenapa dia benci sangat dengan kau?" tanya Azwa seperti berbisik.
Dengan pantas Nurul mengangguk. Mana boleh dia tidak mahu tahu apa yang membuatkan Shasha dengki dengannya.
“Kalau kau nak tahu, sebenarnya si Danny tu ada hati dengan kau tau," beritahu Azwa separuh berbisik dan kadangkala pandangannya dilemparkan ke arah pintu bilik Shasha yang masih tertutup rapat.
Nurul ternyata kelihatan terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Azwa tadi. Dia sendiri tidak tahu menahu Danny pernah menaruh minat terhadapnya. Entah boleh percaya atau tidak apa yang Azwa beritahu tadi. Sekali-sekala dia seperti terasa Azwa sengaja ingin memerangkapnya memandangkan Azwa adalah pengikut setia Shasha. Boleh jadi, Azwa sedang membuat pakatan sulit dengan Shasha yang sememangnya mahu menghapuskannya.
“Aku tak kisah kalau kau tak percaya, tapi memang betul Danny pernah sukakan kau, itu pun sebelum Shasha menggoda Danny dengan kuasa menggodanya dan menghina kau depan Danny," ujar Azwa lagi.
Nurul mengerut dahi. Shasha pernah menghina dia di depan Danny? Sejak bila, dan kenapa dia langsung tidak tahu-menahu tentang itu? Selalunya apa yang keluar dari mulut Shasha yang busuk itu pasti akan tersebar satu kolej. Tapi, rasanya sepanjang lima semester dia belajar di situ, dia tidak pernah mendengar apa-apa berita yang kurang menyenangkan tentang dirinya.
“Kau tahu, apa yang dia kata tentang kau? Shasha kata dekat Danny yang kau ni perempuan yang jalang gara-gara dia pernah lihat gambar kau masa di zaman sekolah dulu. Bukankah kau ada tunjuk banyak gambar-gambar kau bersama-sama dengan ramai lelaki," beritahu Azwa.
“Hah, gambar zaman sekolah? Gambar-gambar yang aku tangkap dengan ahli Kelab Bola Sepak tu?" tanya Nurul dan dengan pantas Azwa mengangguk. “Memanglah aku bergambar dengan ramai lelaki sebab sudah namanya Kelab Bola Sepak. Aku seorang sahaja perempuan yang memegang jawatan pengurus." Nurul menggeleng memikirkan bertapa daifnya fikiran Shasha. Namun, dia tidak berpuas hati kalau Shasha bercakap yang bukan-bukan tentang dirinya kepada Danny.
“Lagi satu, dia cakap yang kau ni sebenarnya sudah hilang dara..."
“Apa?" serta merta darah Nurul naik menggelegak. Marah. Serentak dengan itu Shasha keluar dari biliknya dengan mata yang merah-merah. Entah berapa banyak air mata palsu sudah dikeluarkan oleh Shasha untuk bermanja dengan Danny.
“Nah! Danny nak cakap dengan kau!" marah Shasha sambil memberi telefon bimbitnya kepada Nurul. Geram di hatinya masih lagi terbuku walaupun dia sudah pun mengadu pada Danny, tapi selagi dia tidak lakukan sesuatu yang boleh meruntuhkan Nurul, dia tidak akan senang hati dan sebab itulah dia menyuruh Danny memarahi Nurul. Biar puas hatinya.
“Nak cakap pasal apa pula?" tanya Nurul teragak-agak. Ini yang dia tidak suka apabila bergaduh mesti Shasha akan melibatkan Danny seolah-olah dialah orang yang teraniaya dalam perang saraf tadi.
“Manalah aku tahu!" dengus Shasha marah.
Malas hendak melayan karenah Shasha yang bagaikan budak kecil yang suka mengharapkan bantuan orang, dia terus mengambil telefon bimbit dari tangan Shasha. Kalau Danny ingin berperang dengannya hanya kerana ingin melindungi Shasha yang pandai berlakon itu, sudah bersedia menerima peperangan itu.
“Helo," jawab Nurul perlahan, tapi sudah bersedia dengan apa-apa kemungkinan yang terjadi termasuklah melindungi gegendang telinganya daripada tengkingan Danny kalau itu berlaku.
“Nurul ya?" tanya satu suara garau di hujung sana.
“Yup!" Pantas Nurul membalas.
“Aku, Danny." Danny memperkenalkan diri dengan suara lemah lembutnya. Namun, ia langsung tidak membuat Nurul cair dengan suara Danny.
“Yup, aku tahu," balas Nurul selamba dan bersedia mendengar serangan balas Danny yang ingin melindungi Shasha.
“Apa yang kau dah buat dengan Shasha sampai dia menangis-nangis? Bukan ke kau ni kawan baik dia? Kau tak tahu ke yang hati Shasha tu sangat sensitif," ujar Danny di hujung panggilan dengan nada yang perlahan, tapi keras.
Shasha yang berada di hadapan Nurul sudah menjeling tajam sambil tersenyum-senyum menantikan kemenangan. Tapi, kemenangan belum tentu lagi berpihak pada kau!
“Oh, Shasha menangis ke? Tadi aku tengok dia baik, sahaja malah lagi mengutuk betapa kolotnya fesyen yang aku pakai untuk dinner nanti. Sepatutnya aku yang menangis sebab dia kutuk baju aku," balas Nurul masih lagi tersenyum sambil berperang saraf mata dengan Shasha.
“Nurul, takkanlah kau tak tahu yang Shasha tu memang macam tu. Baiklah, apa kata jangan panjangkan pergaduhan ni dan minta maaf dengan Shasha?" cadang Danny.
“Minta maaf dengan Shasha?" ulangi Nurul lagi.
Shasha sudah pun membuat muka yang cukup menyampah untuk dilihat. Sesekali menjelir lidah ke arah Nurul. Nurul pandang meluat.
Kalaulah Danny ada di situ, sudah lama dia ketuk kepala Danny yang langsung tidak berfikiran panjang. Mana mungkin dia akan meminta maaf dengan Shasha.
“Beri aku seratus sebab kenapa aku perlu minta maaf pada perempuan yang selalu tidak puas hati dengan aku sehinggakan baju yang aku beli pun dia boleh kutuk?" balas Nurul kembali tidak mahu mengaku kalah.
“What!" Danny ternyata sudah naik marah dengan Nurul. “Takkan itu pun kau nak bergaduh dengan Shasha?"
“Dan, takkan pasal itu pun kau nak suruh aku minta maaf dengan Shasha?" balas Nurul pula membuatkan keadaan bertambah tegang dan Danny seolah-olah kehabisan idea hendak berbalas balik. “Danny, kau tak malu ke bergaduh dengan perempuan macam aku ni kerana hendak pertahankan girlfriend kau yang kalah berbahas dengan aku tadi? Aku tahu aku tak ada boyfriend dan sebab itulah kau orang boleh membuli aku sesuka hati, tapi aku cuma nak kau beritahu girlfriend kau tu, aku masih lagi boleh hidup biarpun tiada lelaki yang bergelar kekasih melindungi aku daripada diherdik oleh teman lelakinya," tegas Nurul.
Shasha yang mendengar bicara Nurul semakin berasa geram.
“Kau kawan dia, takkan kau sikit pun tak nak bertolak-ansur dengan dia?" ujar Danny lagi cuba meminta belas kasihan daripada Nurul.
“Kalau dia kawan aku, dia takkan cerita yang bukan-bukan tentang aku. Kalau dia kawan aku, dia takkan kutuk baju aku. Kalau dia kawan aku, dia takkan merendah-rendahkan diri aku sebab aku bukan anak orang berada seperti kawan-kawannya yang lain dan kalau dia kawan aku, dia takkan gunakan kau sebagai alat untuk memuaskan hatinya menyuruh aku meminta maaf pada dia semula," tegas Nurul dengan memandang Shasha dengan tajam.
“Sudahlah!" Dengan pantas Shasha segera merampas telefon bimbitnya dari tangan Nurul. “Suruh benda yang senang pun tak boleh nak buat!" Terus dia memutuskan talian setelah mengherdik Danny depan Nurul dan Azwa. “Huh!" dengus Shasha dan berlalu masuk ke dalam bilik.
“Wow, aku tak sangka kau berani buat Shasha macam tu," kata Azwa yang masih lagi terkejut dengan apa yang telah berlaku sebentar tadi.
“Ah, sudah lama rasanya tak bergaduh dengan lelaki." Nurul mengeluh berat. Kalau dulu masa di sekolah dia sering kali bertengkar dengan kaum lelaki dan rata-rata mereka adalah ahli Kelab Bola Sepak. “Betul kata Shasha, sejak aku belajar, aku dah jarang bersosial dengan lelaki macam dulu. Kalau dulu,setiap hari aku pandang budak-budak bola sepak."
“Mereka mesti baik dengan kau, bukan? Kalau tak takkanlah kau ingat mereka sampai sekarang," teka Azwa.
“Nak kata baik tak juga, tapi kami semua dah macam satu keluarga. Cuma, sejak masing-masing sudah tinggalkan alam persekolahan, semua sibuk dengan hala tuju masing-masing. Kalau berjumpa pun setahun sekali, itu pun bukan semua yang datang sebab ada antara mereka yang sudah belajar di luar negara."
“Macam boyfriend kau tu?" tanya Azwa.
Belum sempat Nurul menjawab soalan Azwa, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Segera dia mencapai telefon bimbitnya dan mendapati skrin telefon bimbit memaparkan nombor private. Pelik. Seingatnya dia tiada kawan yang mempunyai nombor private.
Danny?
“Helo..." Dengan teragak-agak Nurul terus menjawab panggilan misteri tersebut. Kalau Danny menelefonnya lagi dan ingin menyuruhnya meminta maaf kepada Shasha, tahulah apa yang dia akan buat nanti.
“Hai, Nurul," sahut satu suara lelaki yang seakan dikenalinya.
“Err...siapa ni?" tanya Nurul.
“Aku...Fiq," jawab Fiq.
“Fiq!" Hampir bergegar rumah sewanya itu dengan jeritannya tadi. “Hei, lama tak dengar berita. Kau okey ke? Bila nak balik Malaysia?"
“Aku dah baliklah. Sebab tulah aku call kau. Kalau aku call kau dari Tokyo, gerenti kau asyik teringat-ingatkan aku nanti. Susah pula," ujar Fiq separuh melawak.
Nurul ketawa menggeleng. “Bila kau balik Malaysia?"
“Baru beberapa minit tadi. Aku masih lagi kat airport. Jejak aje kaki di sini, aku terus teringatkan kau. Jadi, kau macam mana sekarang? Aku ada baca blog kau dan sebab tulah aku balik ke mari."
“Hah! Blog?" Nurul mula rasa tidak keruan. Setahunya selain Sofea dia langsung tiada beritahu sesiapa tentang kewujudan blognya. “Macam mana kau tahu?"
“Tunggu aku di rumah sewa kau esok pagi. Kita keluar bersama dan selepas tu kau boleh tanya apa yang kau rasa tak puas hati. Jumpa esok." Panggilan di tamatkan dengan serta-merta membuatkan Nurul terpinga-pinga.
Fiq tahu pasal blog? Ini bermakna dia dah baca segala-galanya dalam blog aku tu! Habislah, mana aku nak sorok muka aku ni?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience