(1)

Drama Completed 7121

Kaki lima penuh sesak. Awal pagi lagi mereka sudah berkumpul di hadapan papan kenyataan yang terlekat pada dinding pada kaki lima. Majoriti daripada mereka adalah pelajar perempuan yang begitu taksub dengan Carta Prince Charming yang pasti akan terlekat di papan kenyataan itu pada hari Isnin setiap minggu.
Kakinya berhenti melangkah apabila tiada ruang lagi untuk dia mencelah melalui kaki lima itu. Nurul Izzati atau lebih mesra dengan panggilan Nurul memeluk tubuhnya. Matanya tajam memandang gelagat pelajar-pelajar perempuan yang berkumpul di situ sehingga tiada ruang sedikit pun untuknya mengatur langkah ke kelasnya. Masing-masing begitu taksub dengan Carta Prince Charming.
Carta Prince Charming merupakan tradisi sekolahnya dan telah wujud selepas lima tahun sekolah itu ditubuhkan pada tahun 1984. Menurut kata orang lama-lama, tiada sesiapa yang tahu siapakah yang membuat carta tersebut dan kenapa carta itu wujud sehinggalah ke hari ini. Sepuluh tahun dahulu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pernah membuat siasatan untuk menghentikan tradisi ini dengan bermalam di sekolah. Siasatan ini dikatakan sulit dan hanya beberapa guru dan ibu bapa pelajar sahaja yang terlibat dan pada malam itu, mereka menemui sesuatu yang luar biasa.
Tiada sesiapa tahu apa yang berlaku. Guru dan ibu bapa yang terlibat dalam siasatan malam itu mendiamkan diri, malah memberi alasan bahawa itu adalah tradisi sekolah sejak dahulu lagi dan tiada sesiapa pun yang boleh mengubahnya. Sejak itu, Carta Prince Charming sentiasa wujud setiap hari Isnin setiap minggu.
Beberapa tahun kemudian, Carta Prince Charming dipersoalkan sekali lagi oleh Persatuan PIBG sekolah. Mereka mahu carta itu dihapuskan dan dalang yang membuat carta itu dihukum kerana carta tersebut dikatakan menganggu pembelajaran pelajar-pelajar disekolah itu. Oleh itu, beberapa CCTV telah dipasang sekitar kaki lima untuk menangkap dalang yang mewujudkan Carta Prince Charming.
Rancangan yang begitu teliti dijalankan beberapa minggu akhirnya menemui jalan buntu juga apabila rakaman CCTV tidak menunjukkan sesiapa yang menampal carta tersebut. Tetapi, anehnya carta tersebut tetap muncul pada keesokan harinya.
Bukan itu sahaja, seorang guru pernah berkali-kali menanggalkan carta tersebut dari papan kenyataan dan kejadian itu diikuti dengan beberapa kemalangan kecil yang menimpa guru itu. Akhirnya, selepas guru tersebut mengakui kesilapannya, tiada lagi kemalangan yang dihadapinya dan guru itu mengambil keputusan untuk bertukar sekolah.
Sejak itu tiada sesiapa yang berani mengganggu kewujudan Carta Prince Charming sehinggalah ke hari ini. Bagi pihak guru yang mengajar di sekolah itu, kewujudan Carta Prince Charming tidak mengganggu prestasi pelajar-pelajar, malah prestasi mereka meningkat tahun demi tahun.
Namun, lain pula pandangan Nurul. Baginya, Carta Prince Charming adalah satu carta yang melalaikan kerana mengagung- agungkan lelaki yang dianggap Prince Charming. Setiap minggu pasti ada pelajar lelaki sekolah itu yang akan diangkat menjadi Prince Charming. Antara mereka yang selalu masuk dalam carta Prince Charming adalah pelajar-pelajar lelaki yang begitu menonjol di sekolah. Terutama sekali ahli-ahli rasmi Kelab Bola Sepak.
"Aku dah kata, mesti Rezza dapat merampas takhta Prince Charming daripada Fiq."
Hangat telinga Nurul mendengar pelbagai suara-suara sumbang memuji nama Rezza yang sememangnya popular di kalangan pelajar perempuan. Sebut sahaja nama Rezza, satu sekolah tahu siapa gerangan orangnya. Siapa lagi kalau bukan kapten pasukan bola sepak sekolah yang telah banyak kali mengharumkan nama sekolah setiap kali perlawanan bola sepak diadakan.
Fiq atau nama sebenarnya Akmal Fiqri juga merupakan saingan sengit Rezza. Dia juga merupakan salah seorang pemain rasmi Kelab Bola Sepak. Seperti Rezza, Fiq juga mempunyai peminat-peminatnya sendiri. Sememangnya populariti mereka berdua lebih berpengaruh daripada pelajar-pelajar lelaki di sekolahnya kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam sukan, tapi juga dalam pelajaran.

Tapi, tidak seperti dalam drama-drama di televisyen, jika dua hero bersaing pasti hubungan mereka dingin. Hubungan Rezza dan Fiq tidak begitu, sebaliknya mereka berkawan baik dan sentiasa kelihatan bersama. Persaingan di Carta Prince Charming langsung tidak mengganggu hubungan persahabatan yang telah terjalin lama.

Nurul mendengus marah. Sejak tadi dia tidak dapat melangkah kerana keadaan sangat sesak. Dia tidak faham kenapa mereka semua mesti berbangga dengan Carta Prince Charming. Hendak kata ini adalah normal bagi remaja perempuan, dia juga seorang remaja dan perempuan. Tapi, tidaklah taksub dengan Carta Prince Charming, malah dibenci lagi. Baginya, Carta Prince Charming adalah mengarut.
"Hoi!"
Tidak tahan dengan situasi itu, Nurul mengeluarkan vokal yang lantang. Menjerit sekuatnya sehingga semua pelajar perempuan yang berkumpul di kaki lima terdiam seketika apabila menyedari ada satu suara yang lebih kuat daripada suara mereka. Masing-masing berpaling memandang ke arah empunya suara tadi.
"Kau orang ni tiada kerja lain ke? Berkumpul di sini... Orang nak jalan pun susah!"
Semua terdiam. Masing-masing tidak berani bersuara apabila terpandang wajah Nurul yang bagaikan harimau kelaparan yang tidak menjamah apa-apa makanan lagi akibat sakit gigi.
Nurul menjeling tajam dan kembali memandang Carta Prince Charming yang terlekat pada papan kenyataan. Dari situ dia dapat melihat wajah-wajah pelajar lelaki yang kononnya Prince Charming diikuti dengan angka carta. Gambar Rezza berada di atas sekali dan diikuti dengan gambar Fiq dan beberapa pelajar lelaki yang langsung tidak menarik perhatiannya.
Pelik dengan pelajar-pelajar perempuan sekolahnya itu yang begitu taksub dengan carta yang karut itu. Kalau hendak memuja seseorang lelaki pun, janganlah sampai buat carta begini. Bukankah lebih baik kalau buat sesuatu yang berfaedah seperti membuat carta siapakah yang mendapat peratusan tertinggi dalam peperiksaan atau carta pertandingan-pertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Nurul mula mengorak langkah dan dengan spontan semua pelajar perempuan yang berkumpul di situ memberi laluan kepadanya bagaikan seorang puteri raja yang angkuh memaksa mereka tunduk memberi laluan.
"Aku tak fahamlah dengan kau orang ini, benda karut macam ini pun nak bangga sangat. Apa yang hebat sangat dengan Carta Prince Charming ni?"

Dengan beraninya, Nurul menanggalkan Carta Prince Charming yang tertampal di papan kenyataan. Serentak dengan itu, semua yang berada di situ tercengang. Mereka hilang kata-kata. Terkejut juga ada. Ia bagaikan mimpi apabila melihat seseorang menanggalkan Carta Prince Charming dan mengoyaknya.

Nurul berpaling apabila terasa suasana yang riuh rendah tadi tiba-tiba bertukar jadi senyap. Bagaikan tiada sesiapa yang berada di situ. Dia kemudiannya kaget bagaikan patung bernyawa memandangnya.

"Kenapa? Kesian dengan Prince Charming kau orang? Maaflah, mereka ini bukannya Prince Charming, tapi prince sampah!" Dengan selamba, Nurul membuang carta tersebut ke dalam tong sampah' yang terletak tidak jauh dari papan kenyataan tersebut. Tanpa berasa bersalah, Nurul segera mengatur langkah, berlalu dari situ tanpa memperdulikan mereka yang masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku sebentar tadi.
Ah, selesai! Nurul tersenyum keseorangan. Puas!

"Kau buang Carta Prince Charming?" jerit Sofea seakan tidak percaya apa yang telah kawan karibnya itu lakukan.
Sebentar tadi, sewaktu dia hendak berjalan pulang ke kelasnya, dia melihat satu kekecohan yang berlaku di kaki lima. Disangkakan mereka bergaduh kerana lelaki idaman mereka tidak tersenarai dalam Carta Prince Charming seperti yang berlaku selalu. Tapi, alangkah terkejutnya apabila mendapat tahu Carta Prince Charming telah dikoyak dan dibuang oleh seseorang. Apa yang mengejutkannya lagi adalah carta tersebut dikoyak oleh seseorang yang rapat dengannya. Dikoyakkan oleh Nurul Izzati.

Nurul masih berlagak selamba dan berpura- pura tidak mendengar apa yang Sofea katakan dihadapannya itu. Dia tahu, selain mereka yang terjerit-jerit bagaikan orang histeria tadi, Sofea juga adalah salah seorang daripada mereka. Pemuja Carta Prince Charming.

"Nurul kau dah koyak Carta Prince Charming dan sekarang kau boleh duduk selamba disini?" Sofea bagaikan tidak keruan dengan kejadian tadi. Mujurlah dia tidak melihat kejadian tersebut. Jika tidak, mungkin kawannya itu akan bersekolah di Hospital Bahagia.
"Kenapa dengan kau ni?" Macam ikan haruan aje aku tengok..." tanya Nurul pelik dengan perangai kawannya yang ke hulu ke hilir seperti orang gila kehilangan otak.

"Masalahnya sekarang ni, kaulah ikan haruan, kau tahu tak?" balas Sofea masih lagi tidak berpuas hati.

"Tak tahu! Aku pun tak pernah tengok macam mana rupa ikan haruan. Tapi, kalau kau kata aku ni ikan kembung, aku tahu sebab aku suka makan ikan kembung goreng. Tapi, rupa aku bukan macam ikan kembung", balas Nurul seperti orang yang tiada perasaan.

"Nurul, kau dah buat satu kesalahan yang besar kau tahu tak?" tanya Sofea.

"Apa dia?"

"Apa dia! Argh! Apalah nasib aku dapat kawan macam kau ni, hah? Kau dah koyak Carta Prince Charming! Itulah kesalahan kau!" bentak Sofea.

"Sofea, ia hanyalah Carta Prince Charming dan sekeping kertas yang tak bermakna langsung!" jawab Nurul selamba.
"Berapa tahun kau bersekolah di sini? Dua tahun Nurul! Bukannya sebulan dua. Dua tahun dan ini bermakna kau tahu apa yang berlaku di sekolah ini. Aku rasa kau pun tahu yang Carta Prince Charming tu adalah tradisi sekolah. Menurut legenda, sesiapa yang koyak Carta Prince Charming tu, hidupnya tidak akan aman atau dengan kata lain, akan ditimpa bencana!"
"Benda tu hanyalah carta, Sofea", kata Nurul lagi mempertahankan pendapatnya. "Aku rasa kita pun ada belajar agama, bukan? Benda tu syirik dan kita tak boleh percayakannya. Takkanlah dengan hanya mengoyak Carta Prince Charming, aku akan ditimpa bencana. Mustahillah!"
"Benda ni pernah berlaku. Ada seorang cikgu yang pernah mengajar di sini dulu pernah mengoyak Carta Prince Charming, tapi malangnya semasa dia hendak pulang kerumah, dia hampir dilanggar kereta. Nasib baiklah masa tu ada seseorang yang menyelamatkannya. Kalau tidak, cikgu tu pasti akan mati di situ juga. Sejak itu tiada sesiapa pun yang berani mengoyak Carta Prince Charming termasuklah cikgu-cikgu disini", terang Sofea panjang lebar.

"Aku tahulah", ujar Nurul yang sudah muak mendengar cerita itu dari mulut Sofea.

Kononnya hendak buat dia percaya bahawa Carta Prince Charming bukanlah sebarangan carta.

"Tapi, aku tetap tak percaya cerita dongeng tu. Benda tu melalaikan. Mesti ada orang lain yang buat Carta Prince Charming sebab nak memuja putera idaman mereka".

Sofea menarik nafas lemah. Tidak guna dia menasihati orang yang berkepala besi macam Nurul ini kecuali jika dia dapat cari sesuatu yang boleh meleburkan besi dalam kepala kawannya itu. Huh! Buang tenaga solar saja.

"Lantak kaulah. Tapi, kalau kau ditimpa kemalangan masa balik sekolah nanti, jangan salahkan aku sebab aku dah beri amaran pada kau awal-awal lagi. Kalau kau takut ditimpa malang, lebih baik kau keluar tampal semula di tempat asalnya".

"Kalau aku teringat..." balas Nurul malas hendak ambil pusing.
NURUL melangkah keluar dari perpustakaan sekolah setelah bertungkus-lumus menyiapkan semua kerja sekolah yang telah diberi oleh cikgu tadi. Memang itulah rutin hariannya setelah tamat saja sesi persekolahan. Selalunya, jika ada kerja sekolah, dia tidak akan terus pulang ke rumah kerana jika dia pulang ke rumah pasti dia akan bercinta dengan bantal busuknya sehingga petang sampai terlupa hendak membuat kerja sekolah.
Kawasan sekolah agak lengang sedikit kerana sesi persekolahan waktu petang telah pun bermula. Manakala, pelajar sesi pagi sudah pulang ke rumah masing-masing. Hanya yang tinggal adalah pelajar-pelajar yang terlibat dengan aktiviti kelab pada waktu petang.

Ketika melewati koridor, Nurul sempat menjeling ke arah papan kenyataan. Terdapat seorang pelajar perempuan memandang tepat ke arah notis yang ditampal di papan kenyataan. Bagaikan ada sesuatu perkara yang membuatkan dia tertarik melihat notis yang tertampal di papan kenyataan tersebut.
________________________________________________

URGENT!!!
PENGURUS PASUKAN BOLA SEPAK
DIKEHENDAKI

Ciri-ciri:
Mesti berpengetahuan luas dalam bola sepak.

Sanggup berusaha.

Minat dengan bola sepak.
Lelaki/perempuan (perempuan lagi okey hehehe...).
Seorang yang sanggup menerima cabaran.
Jika berminat sila hadiri temu duga pada:-

Rabu (2.30 - 4.30 petang)
________________________________________________

"Gila! Pengurus bola sepak? Nak perempuan? Memang buta sukanlah mereka semua ni".
Nurul hanya sekadar menggeleng. Kemudian, dia memandang di sebelahnya. Kosong. Tiada sesiapa. Seingatnya tadi ada pelajar perempuan sedang menulis sesuatu di kertas di sebelahnya tadi. Mungkin sudah pergi.
Tanpa membuang masa. Nurul segera mengangkat kaki berlalu dari situ. Melupakan iklan kekosongan jawatan bagi pengurus pasukan bola sepak yang dibacanya di papan kenyataan sebentar tadi.

Setelah dia melangkah pergi, terdapat dua pelajar lelaki menghampiri papan kenyataan dan memandang ke arah notis yang ditampal. Tanpa berkata panjang, salah seorang daripada mereka menanggalkan notis tersebut dan diserahkan kepada kawan di sebelahnya sebelum berlalu mengorak langkah meninggalkan kawannya itu tanpa sepatah kata.

Sebaik sahaja Nurul melangkah keluar dari pagar sekolah, dia dikejutkan dengan dentuman guruh yang kuat dan cahaya kilat yang memancar-mancar serentak dengan hujan lebat yang turun secara tiba-tiba. Habis basah baju sekolahnya. Dengan pantas dia berlari ke arah hentian bas yang berhampiran untuk berteduh.
"Ah, tiba-tiba saja hujan", keluh Nurul lemah. Rasanya tadi langit cerah sahaja, tapi entah kenapa sebaik sahaja dia melangkah keluar dari pagar sekolah, hujan turun dengan lebat. Tiba-tiba dia teringat kata-kata Sofea tadi.
"Gila!"

Payung lipat yang selalu tersedia di dalam beg sekolah, dikeluarkan. Hujan masih lagi lebat dan Nurul membuat keputusan untuk berteduh di hentian bas sementara menunggu hujan reda. Tidak lama selepas itu, hujan mulai reda dan dia membuka payungnya dan berjalan ke bahu jalan.

Setelah memastikan tiada kenderaan yang lalu-lalang di jalan raya, kakinya pantas mengorak langkah melintas jalan untuk ke seberang sana. Sewaktu dia berada di tengah-tengah jalan, dia mendengar satu hon yang panjang. Sebaik sahaja dia berpaling dia terlihat sebuah kereta hitam sedang menuju ke arahnya dengan laju. Nurul tiba-tiba kaget. Kedua kakinya tidak mampu bergerak. Otaknya seakan tidak dapat berfungsi untuk berfikir sebaliknya memutar kembali kejadian pagi tadi.

Kejadian dia begitu marahkan pelajar-pelajar perempuan sedang berkerumunan di tengah-tengah koridor sehingga mengganggu laluannya. Kejadian dia mengoyak Carta Prince Charming tanpa memikirkan akibat daripada perbuatannya itu. Kata-kata Sofea siang tadi masih lagi segar di ingatannya.

Hon semakin panjang, kereta semakin dekat, tapi dia langsung tidak dapat bergerak. Kakinya seolah-olah digam oleh gam yang kuat di tengah-tengah jalan raya itu. Hanya tunggu masa saja dilanggar.

Tiba-tiba Nurul merasai tubuhnya di dakap seseorang. Seseorang yang bertubuh besar. Dalam sekelip mata sahaja dia terbaring di tanah. Dia masih terkejut lagi walaupun dia tahu ada seseorang telah menyelamatkannya. Seorang lelaki.

Nurul menguatkan semangat untuk melihat siapakah yang menyelamatkannya, tapi pandangannya semakin kabur. Apa yang dia nampak hanyalah jaket kuning yang tidak asing lagi baginya. Walaupun dia semakin lemah dan mungkin akan pengsan sekejap lagi, tapi dia pasti jaket kuning itu merupakan jaket rasmi pasukan bola sepak sekolahnya.

"Prince Charming..." ujar Nurul sebelum matanya tertutup rapat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience