(37)

Drama Completed 7121

AZWA menghampiri Shasha yang sejak dari tadi asyik terjenguk-jenguk ke luar melalui tingkap rumah mereka itu. Hendak kata Shasha sedang menunggu Danny datang menjemput untuk keluar bersarapan pagi seperti selalu, mustahil juga sebab Shasha masih lagi berbaju tidur.
“Kau tengok apa kat luar tu?" sapa Azwa.
“Hisy, kau ni boleh tak kalau nak sapa aku, beri salam dulu. Jangan main sapa macam tu saja, sebab aku tak nak jantung aku lemah tua-tua nanti kalau kau asyik sergah aku tanpa beri salam dulu," ujar Shasha dengan satu jelingan tajam.
“Wei, kau nampak tak lelaki kat luar tu?" tanya Shasha menarik Azwa ke sebelahnya dan menunjuk ke arah seorang lelaki yang tampan sedang bersandar di sebuah kereta sport warna merah tidak jauh dari rumah mereka.
“Nampak. Kenapa?" tanya Azwa lagi.
“Handsome gila dia tu. Dia tunggu siapa hah? Aku rasa rumah depan tu budak-budak junior yang sewa. Takkanlah pakwe dia orang sebab aku dah tahu seorang demi seorang siapa pakwe dia orang. Sudahlah handsome, pakai kereta sport pula tu. Danny pun tak ada kereta sport. Ini tak boleh jadi ni."
“Kau nak buat apa?" tanya Azwa sebaik sahaja dia melihat Shasha seperti tidak keruan. Jelik juga dia melihat perangai Shasha yang pantang jumpa lelaki handsome dan kaya, mesti sudah mula terjatuh cinta.
“Nak tanya dia sama ada dia tersesat jalan dan mahukan bantuan," kata Shasha sambil membelek-belek muka dan membetulkan rambutnya di hadapan cermin sebelum membuka pintu dan berlalu keluar menghampiri pemuda misteri yang berdiri tidak jauh dari pekarangan rumahnya itu.
“Helo," sapa Shasha dengan nada menggedik dan menggoda. “Err... abang buat apa di sini? Sesat jalan atau tunggu seseorang?" tanya Shasha sudah mula hendak menggoda.
“Tunggu kawan,". jawab Fiq walaupun dia terkejut disapa oleh seorang perempuan yang masih lagi berpakaian tidur.
“Oh, boleh saya tahu siapa kawan abang? Mana tahu kan saya boleh tolong panggilkan dia," tanya Shasha lagi dengan bahasa badan yang lenggang-lenggok bagaikan si kucing betina ingin memikat kucing jantan.
“Terima kasih sajalah sebab kawan saya dah keluar," jawab Fiq sebaik sahaja melihat Nurul tergesa-gesa keluar memakai kasut. Dia tersengih menggeleng. Nurul masih lagi tidak berubah. Orangnya sama seperti mana kali terakhir dia berjumpa Nurul sewaktu dia mengambil keputusan untuk menyambung belajar di Tokyo. Nurul tetap cantik seperti dulu.
“Sorry, Fiq, aku terlajak tidur tadi."
Sapaan Nurul secara tiba-tiba membuatkan Shasha terkejut.
“Shasha!" Nurul pelik. Entah apa yang Shasha buat di luar dengan berpakaian baju tidur dan lagi menghairankan Shasha bersama Fiq!
Shasha kemudiannya menjeling tajam. Tidak sangka bahawa lelaki handsome dan berkereta sport itu datang semata-mata untuk menemui Nurul yang kolot itu. Sejak bila pula Nurul berkawan dengan lelaki seperti itu, dia sendiri tidak tahu. Setahunya dunia Nurul hanyalah buku dan komputer riba. Mustahil Nurul boleh berkenalan dengan lelaki yang lagi kacak daripada Danny.
“Err... jom kita pergi," sapa Fiq yang terasa ada satu aura yang panas di sekelilingnya apabila kedua-duanya sering membalas pandangan.
“Okey," pantas Nurul berkata. Nasib baiklah Fiq ada ketika itu. Kalau tidak, gerenti dia dan Shasha akan berperang mulut lagi. Tanpa mempedulikan Shasha, Nurul segera dijemput menaiki kereta sport milik Fiq.
Sakit hati Shasha melihatnya, apatah lagi bila jejaka handsome itu membuka pintu untuk Nurul dan melayan Nurul seperti seorang puteri lindungan bulan.
“Dia tu kah perempuan gedik yang kau selalu cerita dalam blog tu?" tanya Fiq sebaik sahaja kereta yang dipandunya meluncur laju di jalan raya menuju destinasi yang ingin dituju.
“Sebelum tu, boleh tak kau beritahu aku dari mana kau tahu pasal blog aku? Sebab ingatan aku masih kuat lagi. Seingat aku, aku tidak pernah langsung mempromosikan blog aku kepada sesiapa pun selain Sofea," kata Nurul yang masih lagi tidak puas hati sejak dari semalam lagi. Ingin sahaja dia menelefon Sofea dan bertanya tentang itu, tapi memandangkan jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi, dia terpaksa beralah dan hanya menunggu jawapan dari mulut Fiq sendiri.

“AH, sudah lama aku tak dapat makan roti canai yang sedap macam ni," ujar Fiq sebaik sahaja tiga keping roti canai yang dipesannya tadi dihidangkan di atas mejanya.
Nurul hanya menggeleng melihat perangai Fiq yang bagaikan budak-budak kempunan makan roti canai. Mana tidaknya, kalau duduk di negara orang begitu lama, pasti serba sedikit akan merindui masakan di Malaysia.
“Fiq, cakaplah. Mana kau tahu?" tanya Nurul masih lagi tidak berpuas hati apabila Fiq tetap tidak mahu menjawab soalannya itu, tapi sebaliknya hanya mengukir senyuman yang mungkin akan mencairkan hati perempuan yang melihatnya.
“Penting ke?" tanya Fiq.
Nurul mengangguk beberapa kali. Fiq tersenyum lagi.
“Betul kau tak menyesal?" tanya Fiq lagi.
Sekali lagi Nurul mengangguk.
“Sebenarnya, aku yang cadangkan kat Sofea supaya suruh kau tulis blog," beritahu Fiq.
“Apa?" Hampir menjerit Nurul apabila mendengar sendiri pengakuan Fiq. Jadi, selama ini Fiq dengan Sofea telah membuat satu pakatan rahsia.
“Relaks... Kami cuma nak tahu berita kau sahaja dan dengan adanya blog, kami dapat lihat kau dari dekat," terang Fiq supaya apa yang dilakukannya itu tidak disalahertikan oleh Nurul.
“Kami?" tanya Nurul lagi. Rasanya makna kami merujuk kepada ramai orang.
“Kami semua," jawab Fiq.
“Semua?" tanya Nurul lagi. Fiq mengangguk. “Maksud kau, selain Sofea dan kau, mereka semua tahu?!"
“Yup. Farizat, Najmi, Hayrul dan semuanya ahli rasmi Kelab Bola Sepak dulu," jawab Fiq.
“Ha!" Nurul tidak dapat berkata apa. Semuanya bagaikan mimpi apabila mereka semua membaca blognya. Malu pun ada. Entah bagaimanalah dia hendak berhadapan dengan mereka semua nanti. “Jangan kata kau balik sini sebab terbaca entri-entri terkini di blog aku."
Tanpa diarah, Fiq segera mengangguk.
“Mereka semua bercadang nak berjumpa dengan kau," ujar Fiq sambil menyuap roti canai dengan lahapnya.
Nurul kemudiannya menarik nafas lemah.
“Kami pun ada tengok Friendster Nazrul selepas membaca blog kau dan memang tak sangka benda ni boleh jadi begini. Aku dah cuba hubungi Nazrul di sana, tapi tak dapat. Aunty kata Nazrul sudah tidak duduk bersamanya sejak dari tahun lepas. Itu yang membuatkan kami pelik," ujar Fiq yang nampak risau dengan keadaan Nazrul di sana.
Nurul terdiam. Dia sungguh terharu dengan apa yang dilakukan oleh Fiq yang berusaha untuk mencari Nazrul yang menghilang. Tidak sangka, walaupun sudah lama dia tidak berjumpa, tapi hubungan kawan antara mereka semua masih lagi tersimpul mati.
“Tapi, kau jangan risau sebab Najmi sudah ke sana untuk mencari Nazrul. Menurut Rezza dia ada bercakap dengan Nazrul beberapa hari yang lepas. Tapi, itu pun sekejap. Dia tak sempat nak tanya banyak-banyak. Nazrul ada berkata, dia akan kembali ke Malaysia tidak lama lagi dan akan terangkan segala-galanya pada kau, tapi aku tak tahu pasal apa," terang Fiq buntu.
“Tak mengapalah. Mungkin hubungan aku dengan dia tak cukup kuat, lagipun kami bukannya pasangan kekasih. Dia tak pernah nak melamar aku jadi kekasih dia. Hubungan kami masih lagi seperti dulu bila kami chatting. Dia masih lagi panggil aku makcik seperti biasa. Tapi, sejak tiga bulan ni, aku tak pernah chatting dengan dia. E-mel yang aku bagi pun dia tak balas. Entahlah. Mungkin aku perlu mulakan hidup yang baru. Dunia Nurul tanpa Nazrul." Nurul seperti orang yang sudah patah hati bila mengingati Nazrul yang hilang entah ke mana pada saat ini.
“Jangan cakap macam tu. Aku kenal Nazrul. Dia tak mudah beralih arah pada sesuatu yang baru. Mungkin ada sebab kenapa dia tiba-tiba menghilangkan diri sebab dia jenis yang sukar dijangka."
“Contohnya seperti ada hubungan dengan perempuan lain?" tanya Nurul yang sudah fed-up dengan segalanya. Sekarang dia cuma boleh berharap dapat melupakan segala-galanya tentang Nazrul dan kalau boleh, dia ingin mencampak semua kenangannya bersama Nazrul ke tepi.
Fiq di hadapannya ternyata tidak boleh berkata apa. Dia sendiri tidak tahu bagaimana caranya lagi hendak memujuk Nurul.
“Aku dah malas nak fikir tentang semua ni. Kalau benar Nazrul ada perempuan lain, aku akan terimanya dengan rela hati. Tapi, selagi dia tidak muncul depan aku dan terangkan segala-galanya, aku tetap rasa tak senang hati. Kalau dia mahukan break up, fine! Tapi, aku mahu dengar dari mulutnya sendiri. Oh, lupa pula kami bukannya pasangan kekasih. So, no break up!" ujar Nurul memujuk hati.
“Aku yakin, suatu hari nanti, Nazrul pasti akan muncul di hadapan kau."
“Ya, suatu hari nanti. Masa aku berumur 50 tahun dia pasti akan muncul di hadapan aku," balas Nurul acuh tidak acuh menyebabkan Fiq yang sedang minum air teh tarik tadi hampir tersembur. Nasib baiklah Fiq sempat menelan, kalau tidak, pasti mukanya menjadi mangsa.
“Kenapa?" tanya Nurul apabila melihat Fiq tertawa besar seperti apa yang dikatakan tadi sesuatu yang lucu.
“Kau tahu tak, kau ni seorang yang lucu sebenarnya," ujar Fiq.
Nurul mengerut dahi. Kurang faham dengan apa yang Fiq maksudkan sebenarnya.
“Bila kau bercakap dengan serius, kadangkala kau akan selitkan sesuatu yang melucukan. Mungkin sebab tulah aku berharap dapat berkawan dengan kau sampai bila-bila pun sebab kau ada gaya yang tersendiri bila bercakap."
Nurul mencapai secawan teh tarik yang dipesannya tadi dan meneguknya sedikit. Kalaulah dia mendengar semua tadi dari mulut Nazrul bertapa indahnya dunia ini, tapi sekurang-kurangnya Fiq yang berkata begitu padanya. Dahulu dia mengakui dia memang sukakan Fiq, tapi bak kata orang cinta it tidak kenal siapa. Pepatah itu benar apabila dia jatuh cinta dengan Nazrul yang jauh lebih buruk perangainya daripada Fiq. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh jatuh cinta dengan orang yang seperti Nazrul dan bila dia cuba menyenaraikan sebab-sebab kenapa dia perlu jatuh cinta pada Nazrul, hanya satu sahaja jawapannya iaitu tidak tahu.
“Jadi, kau pergi tak dinner tu?" tanya Fiq mengubah tajuk perbualan.
“Yup. Walaupun apa pun terjadi, hidup kita ni perlu diteruskan, bukan?"
“Ya. Aku harap kau bergembira di sana," ucap Fiq menghabiskan roti canainya yang terakhir.
“Aku pun harap aku boleh bertahan sebab tema untuk dinner kali ini begitu unik sikit."
“Tema apa?"
“Love!"
“Apa? Love?"
Nurul hanya mengangguk.
“Dinner ini selalunya diuruskan oleh senior part six di kolej tu. Tidak kira dalam jurusan apa pun. Jadi, setiap semester mereka akan mengadakan dinner khas untuk penuntut kolej aku. Tapi, kali ini mereka membuat sedikit kelainan di mana tema love menjadi pilihan mereka. Jadi, sebab itulah dinner ini boleh dihadiri oleh pasangan kekasih yang sedang dilamun cinta. Ia seperti prom night, tapi diubah konsepnya sedikit supaya nampak sedikit kemelayuannya. Bagi aku, ia tetap sama dengan prom night," terang Nurul.
“Sebab tulah kau perlukan seorang teman lelaki untuk ke sana."
“Pada mulanya, tapi tak semestinya kena bawa teman lelaki sebab aku tak masuk game mencari pasangan paling ideal pun. Kalau aku masuk, barulah aku terfikir nak cari seorang teman lelaki," ujar Nurul.
“Apa kata aku temankan kau ke sana?" ucap Fiq tiba-tiba membuatkan Nurul sedikit terkejut apabila Fiq menyatakan hasrat untuk turut serta.
“Apa kau kata?"
“Aku dah lama tak pergi ke majlis-majlis macam ni..."
“Tak mungkin." Pantas Nurul berkata.
“Kenapa?"
“Sebab aku masih berharap seseorang akan datang ke sana," kata Nurul sambil mengukirkan senyuman kelat.

PANDANGAN Rezza sejak tadi tertumpu ke arah balai ketibaan yang mula dibanjiri orang ramai yang baru sahaja mendarat di KLIA. Dia kemudiannya memandang jam tangannya. Sudah sejam berlalu, tapi orang yang dicarinya masih lagi tidak muncul-muncul.
“Budak ni memang sah salah naik kapal terbang lagi." Rezza menarik nafas lemah bila mengingati mesej yang diterimanya seminggu lalu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana kawannya itu boleh tersalah naik kapal terbang ke Singapura.
Tidak lama kemudian, pandangannya dilemparkan ke arah seorang gadis kecil molek yang bertudung putih sedang menolak troli keluar dari balai ketibaan. Di troli gadis itu terdapat sebuah gitar yang menarik perhatiannya. Rasanya dia pernah melihat gitar tersebut sebagai avatar Friendster kawannya itu.
“Akhirnya," keluh Rezza apabila terpandang seorang lelaki lebih kurang bayangan berjalan seiringan bersama-sama gadis yang menarik perhatiannya tadi. Pemuda yang hanya memakai seluar jean hitam, baju T putih dan dipadankan bersama jaket putih sudah tersengih dari jauh.
“Hei, kawan," sapa pemuda itu tersengih-sengih di hadapan Rezza.
“Aku ingat bila dah terima didikan di UK tu, penyakit lupa kau dah tak ada lagi, tapi nampaknya lagi teruk dari yang aku sangka, Nazrul," ucap Rezza sambil menggeleng sebelum mereka berdua berpelukan setelah lama tidak berjumpa.
“Jadi, macam mana dengan rancangan kita?" tanya Nazrul masih lagi tersengih.
“Perfect. Tapi, bersedialah dengan serangan balas."

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience