(26)

Drama Completed 7121

NURUL menghampiri pemuda yang sedang asyik duduk di buaian di sebuah taman permainan tidak jauh dari sekolah mereka. Sudah lama dia tidak berbual dengan pemuda itu, apatah lagi dia tidak berkesempatan hendak bertanya pemuda itu tentang perkara yang sebenarnya.
“Hei," sapa Nurul sambil duduk di buaian di sebelah pemuda itu.
Pemuda itu memandang Nurul pelik. Mungkin pelik apabila Nurul menegurnya di taman permainan dan di tengah-tengah matahari yang terik.
“Baru balik dari sekolah?" tanya pemuda itu.
“Yup. Peperiksaan pertengahan tahun aku teruk sangat dan aku kena tumpukan perhatian seratus peratus."
“Oh..." pemuda itu memandang jam tangannya. Hampir jam 3.00 petang. “Aku terpaksa pergi dulu." Pemuda itu bangun dari duduknya dan mencapai beg sekolahnya yang diletak di tepi tiang buaian.
“Aku tahu kau yang selamatkan aku masa tu, Nazrin." Nurul pantas berkata dan membuatkan pemuda itu berhenti menapak.
Nurul ingin meminta penjelasan daripada Nazrin tentang hal yang sebenar dan tidak mahu menganggapnya seperti tidak tahu lagi. Walaupun kebarangkalian Nazrin ingin mengaku adalah kosong peratus, tetapi dia tetap ingin mencubanya. Baginya, persoalan yang menganggu fikirannya itu perlu diluahkan segera.
“Memang kau yang selamatkan aku hari tu dan bukannya Nazrul," tambah Nurul lagi. Dia pasti. Bukan Nazrul yang selamatkannya, tetapi Nazrin. Sesuatu yang dia tidak boleh terjemahkan dalam bentuk penerangan, tetapi hatinya dengan kuat mengatakan bahawa Nazrin yang menyelamatkannya. Begitu juga dengan kejadian di padang tempoh hari. Ketika kepalanya hampir dihentam bola sepak, Nazrin yang bertindak menolaknya dari terkena bola tersebut. Bukannya Nazrul!
“Macam mana kau tahu?" tanya Nazrin dan kembali duduk di buaian. Hasratnya hendak melarikan diri daripada Nurul dilupakan apabila namanya disebut dan ini bermakna Nurul sudah tahu tentang kewujudan dirinya. Tiada gunanya dia ingin menyembunyikan lagi jika Nurul sudah tahu kewujudannya. Sememangnya jika boleh dia ingin bergaul mesra dengan Nurul dengan menggunakan identiti Nazrin dan bukannya berpura-pura menjadi Nazrul seperti selalu.
“Sebab Nazrul begitu menyakitkan hati," ujar Nurul dengan senyuman manis. Tapi, memang benar. Itu yang membezakan Nazrin dan Nazrul.
“Kau tak takut?" Nazrin bertanya.
“Kenapa? Aku patut takut dengan kau ke? Orang yang dah mati, tapi hidup balik dalam jasad kembarnya. Bagi aku, selagi muka kau tak berubah jadi hantu atau toyol, aku takkan larikan diri," tambah Nurul lagi membuatkan Nazrin tersenyum lucu.
“Tapi, aku cuma nak tahu kenapa boleh jadi macam ni? Okey, mungkin aku first time tengok Nazrul yang suka tidur setiap waktu dan di mana jua dan betapa susahnya nak mengejutkannya bangun dan first time juga aku tengok Hayrul yang pengsan sebaik sahaja dapat surat cinta, tapi ini kali pertama juga aku berhadapan dengan dua orang yang berlainan berkongsi jasad," kata Nurul lagi inginkan penjelasan. Selama ini dia hanya mendengar penyakit sebegini berlaku di dalam novel dan dalam drama-drama dan tidak percaya adanya penyakit dua personaliti ini dan hari ini dia terpaksa percaya.
“Macam mana boleh jadi begini? Kalau kau tanya aku sekalipun aku tak dapat jawab soalan kau tu sebab aku pun masih tertanya-tanya kenapa boleh jadi begini. Kali terakhir aku ingat, betapa sakitnya dilanggar kereta dan kemudian bila aku sedar, aku sebenarnya sudah tiada dan berkongsi tubuh dengan Nazrul," jawab Nazrin.
“Apa-apa teori sains?" tanya Nurul lagi.
“Arwah papa tak benarkan apa-apa ujian dilakukan terhadap kami. Sebab papa takut kami rasa terpinggir. Jadi, sejak hari itu papa dan mama menganggap aku masih hidup walaupun agak janggal apabila melawat kubur sendiri." Nazrin tersenyum lagi bila mengingati dia melawat kuburnya sendiri, tapi sejak hari itu dia tidak pergi lagi ke kuburnya kerana dimarahi oleh Nazrul yang entah kenapa tidak berpuas hati.
“Tapi, mesti susah bukan sebab..." Nurul tidak berani menghabiskan ayatnya.
“Kenapa? Cakap sajalah apa yang kau nak cakap. Jangan risau, aku bukannya macam Nazrul yang sering tak puas hati."
“Sorry to say, aku bukannya arif sangat tentang agama ni, tapi... kau dah meninggal dan kau tak sepatutnya berada dalam dunia ni. Bukan ke kau sepatutnya tinggalkan dunia ni dan pergi ke Pencipta kita?" ujar Nurul memberanikan diri untuk bersuara. “Tapi, kenapa kau ada di sini lagi?"
Kedengaran keluhan berat daripada Nazrin dan kemudian lelaki itu mengangkat bahu. “Seperti yang aku cakap tadi, aku tak tahu macam mana boleh jadi begini. Aku seolah-olah terperangkap di sini dan aku tak tahu bagaimana nak ‘pulang'. Serius aku cakap aku memang nak pergi sebab aku dah tak sanggup tengok keadaan Nazrul begini."
“Kenapa dengan Nazrul?"
“Dulu kau pernah tanya aku disini, kenapa Nazrul suka tidur."
“Oh, itu adalah kau?" Nurul teringatkan perbualannya dengan Nazrul ketika mereka berbual di taman permainan itu. Memang pada mulanya dia rasa macam ada sesuatu yang tidak kena apabila Nazrul datang berbual dengannya sedangkan selama ini Nazrul tidak pernah memulakan bicara.
Nazrin hanya mengangguk. “Masa kecil-kecil dulu, dia tak boleh bermain sebab badannya lemah. Kadang-kadang naik tangga pun dia boleh semput. Semuanya gara-gara penyakit jantung berlubang yang dialaminya. Walaupun sekarang dia sudah baik daripada penyakit tu, tapi badannya masih lemah lagi. Selalunya bila aku 'keluar' gunakan tubuhnya, aku secara tidak langsung menggunakan tenaga badannya dan bila Nazrul sedar dia menjadi lemah dan sebab itulah dia selalu tidur setiap masa. Sebab tenaganya aku dah gunakan."
“Dia patut beritahu aku." Nurul mula berasa bersalah. Dia teringat detik-detik dia mengejutkan Nazrul daripada tidur sepanjang perkenalan mereka. Patutlah apabila Nazrul tidur semua orang tidak berani kacau termasuk Rezza.
Rezza hanya mengejutkan Nazrul apabila latihan bola sepak bermula atau pergi makan sahaja. Patutlah cikgu-cikgu semua merungut apabila bercerita tentang Nazrul yang diberi kebenaran tidur di sekolah oleh pengetua.
“Bukan salah kau. Kami tak beritahu hal yang sebenar kepada kau. Jadi, jangan salahkan diri."
“Mesti dia benci aku bukan? Sebab aku selalu ganggu waktu dia tidur."
“Nazrul tak pernah benci apa yang kau buat." Nazrin tersenyum memandang Nurul.
Nurul terdiam. Dia tertanya-tanya apakah maksud di sebalik apa yang dicakap oleh Nazrin tadi.
“Dia tu jenis yang lambat pick-up. Tapi bila dah pick-up, kita sendiri tak sedar apa yang dia buat."
“Hah?"

NAZRUL menggeliat malas sambil bangun dari perbaringan. Dia melihat jam tangannya, tepat jam 6.30 pagi. Di bawah, sudah kedengaran mamanya yang telah bangun untuk menyediakan sarapan pagi. Memang sudah menjadi kebiasaan apabila mamanya ada dirumah. Dan, menjadi kebiasaan juga apabila mamanya ada di rumah dia akan bangun jam 6.30 pagi. Kalau mamanya tiada, jangan haraplah dia hendak bangun awal pagi. Paling lambat pun jam 6.45 pagi dia akan bangun. Sembahyang subuh janganlah cerita. Gerenti terlepas sebab hendak kejar masa ke sekolah.
Kadang-kadang mamanya akan menelefonnya untuk kejutkannya bangun pagi. Itu pun setelah tiga kali dia menjawab panggilan atau mamanya menjerit menyuruhnya bangun sehinggalah telinganya terasa berdesing sesaat dua.
Setelah membersihkan diri dan bersolat subuh, dia segera menyarung baju sekolahnya. Menyikat rambutnya ala kadar, janji tidak nampak macam pelajar skema. Setelah mengemas buku-buku mengikut jadual waktu kelasnya, Nazrul berlalu turun ke bawah.
“Selamat lagi, sayang." Puan Nazrina terlebih dahulu mengucapkan selamat pagi kepada Nazrul.
“Selamat pagi," jawab Nazrul malas. Mengantuk. Dia tidak tahu apa yang dia lakukan malam tadi sehinggakan badan-badannya lenguh. Itulah yang susahnya jika berkongsi tubuh dengan orang lain.
“Ada nota untuk kamu daripada Nazrin," kata Puan Nazrina sebelum Nazrul duduk menjamah sarapan pagi.
Tanpa berlengah Nazrul segera berlalu ke arah papan putih yang menjadi tempat penghubungan antara dia dan Nazrin menukar pesanan, tapi selalunya Nazrin yang selalu berbuat demikian. Dia pula akan guna khidmat Rezza atau mamanya menyampaikan sesuatu kepada Nazrin.
Sekeping kertas kecil berwarna kuning yang tertampal pada papan putih itu diambilnya dan membaca nota yang ditinggalkan oleh Nazrin itu.

Nota:

Partner, hari ni kau ada date dengan Nurul. Dia dah tahu segala-galanya dan dia nak jumpa kau kat The Cafe. Kalau kau lelaki sejati, jangan nak larikan diri lagi. Oh ya, Nurul suka kek coklat.

“Nurul dah tahu?" Nazrul ulangi soalan itu berkali-kali kerana tidak percaya apa yang dibacanya. Dia sangka matanya masih mengantuk lagi dan sebab membaca dengan salah, tetapi setelah membacanya beberapa kali, akhirnya dia terpaksa mengakui bahawa matanya tidak berbohong. “Mama!"
“Kenapa?" Puan Nazrina yang sedang menuang air kopi kehairanan.
“Nazrin ada beritahu apa-apa pada mama?"
“Beritahu apa?"
“Tentang nota ni."
“Oh, tentang tu. Ada. Mama yang suruh dia tinggalkan nota sebab kalau mama cakap nanti, kamu pula tak percaya. Nazrin beritahu mama, Nurul dah tahu pasal penyakit ni. Nurul tahu sendiri. Nazrin kata, kalau nak tahu dengan lebih lanjut lagi, tanyalah Nurul sendiri," kata Puan Nazrina.
“Jumpa dengan Nurul?"
“Kenapa kamu nak risaukan lagi. Pergilah jumpa Nurul. Mama pasti dia takkan pandang kamu macam kamu ni hantu."
“Yalah. Kalau Nurul dah tahu, okey, saya pun boleh terima. Tak ada nak risau lagi macam mana nak beritahu Nurul, tapi kenapa pula Nurul nak jumpa dan berbincang pasal ni? Saya tak suka kalau dia nak sentuh pasal ni."
“Kalau macam tu anggap saja yang kamu pergi dating dengan Nurul."
“Apa?"
“Ingat pesan Nazrin, kalau kamu lelaki sejati, pergi jumpa dengan Nurul. Jangan larikan diri lagi."
Nazrul mengeluh berat. Nazrin memang pandai menggunakan kelemahannya untuk memaksanya pergi berjumpa dengan Nurul.

SELEPAS selesai sesi persekolahan, Nurul bergegas ke The Cafe yang sudah menjadi idaman pelajar-pelajar sekolah melepak sambil menikmati makanan yang sedap bersama-sama dengan kawan-kawan mahupun kekasih.
The Cafe telah menjadi pilihan utama bagi kekasih-kekasih yang tidak tahu ke mana hendak dating lagi. Kalau dulu mereka terpaksa turun ke Kuala Lumpur untuk dating, tapi sekarang ini ramai yang suka memilih The Cafe. Alasannya, jimat masa dan jimat duit juga.
Sebaik sahaja Nurul melangkah masuk, dia sudah melihat kelibat Nazrul yang memilih meja hujung di sudut tepi. Ketika itu tidak ramai pelanggan. Tanpa berlengah lagi dia segera mengatur langkah menghampiri Nazrul yang membelakanginya. Di hadapannya sudah terhidang sepotong kek coklat dan secawan air coklat panas untuknya.
“Untuk aku?" tanya Nurul untuk kepastian.
“Yalah, untuk siapa lagi?" balas Nazrul dengan nada kebiasaannya. Nada yang membuatkan Nurul sentiasa sakit hati.
Orang tanya elok-elok, dia balas begitu pula.
“Jadi, kenapa kau nak jumpa aku?" tanya Nazrul kepada Nurul yang baru sahaja hendak menjamah kek coklat yang terhidang.
“Bukan ke kau yang bagi mesej nak jumpa aku?" balas Nurul.
“Bila masa pulak aku bagi mesej nak jumpa kau? Kau yang nak jumpa aku,"balas Nazrul lagi.
“Sorry, aku tak pernah kata nak jumpa kau di sini. Kau yang bagi mesej kat handset aku semalam, kau tak ingat ke?"
“Bila masa pulak? Pagi-pagi lagi aku bangun aku terima nota daripada Nazrin, Nazrin kata..." Nazrul terdiam sebentar. Kalau Nurul sudah kata dia yang memberi mesej malam tadi dan kalau Nazrin mengatakan Nurul hendak berjumpa dengannya pada hari ini...Ini bermakna...
“Nazrin..." Nazrul mengeluh berat. Nurul di hadapannya dipandang. Rasa janggal pula berdua-duaan dengan Nurul tanpa kawan-kawan yang lain di sisi. Selalunya dia tidak.pernah langsung duduk berdua-duaan dengan Nurul.
“Jadi? Ada apa kau nak jumpa aku?" tanya Nurul.
“Aku tak nak jumpa kaulah. Nazrin yang aturkan. Dia bagi nota yang kau nak jumpa aku. Kalaulah aku dapat si Nazrin ni, memang kena dia aku kerjakan," rungut Nazrul.
“Macam mana kau nak kerjakan Nazrin tu?" tanya Nurul selamba. Sebijik macam budak kecil yang tidak puas hati tentang sesuatu perkara.
Nazrul terdiam sebentar. Betul juga cakap Nurul. Macam mana dia hendak kerjakan Nazrin sedangkan dia dengan Nazrin berkongsi tubuh. Takkanlah dia hendak kerjakan tubuhnya sendiri. Dia juga yang sakit nanti.
“Ah, lupakanlah..." Akhirnya Nazrul bersuara setelah puas mencari jawapan. “Jadi, macam mana kau dah tahu pasal Nazrin? Dia beritahu kau ke?"
“Itu rahsia," jawab Nurul selamba.
“Okay, fine! Rahsia!" Nazrul melemparkan pandangan ke arah dinding kaca yang boleh melihat keadaan di luar. Tidak berpuas hati. Kalaulah dia tahu itu jawapan Nurul, pasti dia akan abaikan nota Nazrin dan membiarkan perkara ini berakhir dengan begitu sahaja. Jika Nurul sudah tahu, biarlah. Asalkan Nurul tidak lari lintang-pukang apabila terserempak dengannya di mana-mana.
“Sorry, sebab ganggu kau tidur selama ni." Akhirnya setelah masing-masing membisu seribu bahasa, Nurul memberanikan diri untuk bersuara walaupun dia susah sangat hendak meminta maaf. Tapi, dia ingin menjalinkan hubungan baik dengan Nazrul mulai dari hari ini. Nazrin telah ceritakan segala-galanya tentang Nazrul kepadanya. Kenapa Nazrul selalu berkata sesuatu yang menyakitkan hatinya dan seterusnya membawa pergaduhan antara mereka.
"Mungkin kau akan anggap aku lindungi kembar sendiri, aku tak kisah. Memang aku selalu lindungi Nazrul sebab aku tak nak dia sedih. Nazrul bukanlah seorang yang suka menyakitkan hati orang atau seorang yang suka cari gaduh tentang hal yang kecil-kecil. Dia juga bukan panas baran seperti yang kau sangka selama ini, tapi dia terpaksa jadi orang begitu sebab dia takut orang lain dapat tahu tentang apa yang terjadi pada dirinya. Dahulu dia pernah berterus terang tentang dirinya pada kawan-kawannya, tetapi ramai yang tidak percayakan dan turunnya penipu. Malah ada juga yang memulaukannya. Dia takut orang lain tak boleh terima keadaannya yang aneh."
“Sebenarnya Nazrul juga ingin beritahu kau tentang apa yang berlaku. Dia juga ingin beritahu kau tentang kejadian yang hampir meragut nyawa kau dulu, tapi dia takut kalau dia beritahu orang yang selamatkan kau tu tidak sepatutnya wujud, dia takut kau tak percaya. Itu saja. Aku sebagai kembarnya, aku tahu apa yang Nazrul fikir. Kadangkala aku nak tolong dia beritahu hal yang sebenar, tapi aku juga takut apa yang Nazrul takut."
Bicara Nazrin semalam masih terngiang-ngiang di cuping telinga Nurul. Nurul harus mulakan sesuatu untuk menjernihkan keadaan.
”Maaf. Aku tak tahu langsung pasal Nazrin dan aku cuma anti dengan orang yang suka tidur dan tak hormat orang lain. Kalau aku tahu sebab apa kau jadi macam ni, aku takkan ganggu tidur kau," kata Nurul kepada Nazrul dengan teragak-agak. Ini kali pertama dia minta maaf kepada orang, lebih-lebih lagi kepada lelaki.
“Nazrin yang beritahu ke?" tanya Nazrul.
Nampaknya hari ini Nurul seperti menyesal dengan apa yang sudah berlaku, tapi walau apa pun Nazrul sebenarnya tidak berharap Nurul akan meminta maaf kepadanya. Perkara ini merupakan salah faham. Dia tidak beritahu Nurul perkara sebenar. Jadi, Nurul tidak patut dipersalahkan dan tidak patut juga meminta maaf.
Nurul hanya sekadar mengangguk.
Nazrin memang selalu menganggu ketenteraman hati seorang perempuan. Selepas itu menyuruhnya selesaikannya. Nazrul sekadar mengeluh lemah.
“Kalau aku beritahu pun, kau takkan percaya, kan?"
“Kau takkan beritahu pun. Perahsia sangat," balas Nurul pula.
“Hei, aku memang nak beritahu kau, tapi kau takkan percaya punya. Nanti mesti kau kata itu alasan aku supaya kau tak kacau aku tidur," balas Nazrul pula tidak mahu mengaku kalah.
“Cakaplah sebenarnya yang kau ni pengecut."
“Aku pengecut? Hei, kalau aku pengecut, aku takkan jumpa kau hari ni. Lagi satu, kenapa kau tuduh aku pengecut pula? Yang selamatkan kau tu Nazrin. Biarlah dia sendiri beritahu kau. Apa kena-mengena dengan aku pula?"
Aura panas sudah berkumpul di sekitar badan mereka berdua. Seperti biasa, jika salah seorang tidak mahu mengalah, pastinya akan tercetus peperangan.
“Memang ada kena-mengena dengan kau sebab ini adalah hidup kau dan bukannya hidup Nazrin. Jadi, aku rasa memang patut kau yang beritahu aku pasal ni dulu. Kau tahu tak, yang kau ni dah mendera otak aku untuk berfikir."
“Siapa yang suruh kau fikir," ujar Nazrul acuh tak acuh.
”Sebab kaulah aku terpaksa fikir!" Nurul mendengus marah. Bila bercakap dengan Nazrul pasti ada sahaja yang membuatkan darahnya naik mendadak.
“Ah, sudahlah. Boleh tak kalau kita jangan bincang pasal ni? Aku tak suka kau anggap aku sebagai orang pelik," kata Nazrul cuba untuk menyelamatkan keadaan. “Kita tukar topik, contohnya kenapa kau suka makan kek coklat?"
“Sebab perempuan suka makan kek coklat," jawab Nurul menerima topik lain untuk mengelakkan diri daripada bergaduh dengan Nazrul lagi. Kalau Nazrul tidak suka dia bercakap tentang hal tadi, dia hanya menurut sebab dia tahu, Nazrul perlukan masa untuk berbual tentang itu dengannya.
“Aku tak tanya pasal perempuan, aku tanya kenapa kau suka makan kek coklat," balas Nazrul lagi tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
“Kan aku dah kata, perempuan kan suka makan kek coklat. Dan, aku perempuan. Jadi, tak hairanlah aku suka makan kek coklat," balas Nurul lagi.
“Dengar betul-betul soalan aku...Aku tanya, kenapa kau suka makan kek coklat?" tanya Nazrul lagi tidak berpuas hati. Lain yang ditanya lain yang dijawab.
“Kan aku dah jawab tadi. Itu pun tak puas hati ke? Tukar topik lainlah. Topik ni pun nak bergaduh."
“Contoh?"
“Emm...kau suka tengok cerita yang macam mana?" tanya Nurul cuba berbicara dengan Nazrul tanpa sedikit pergaduhan.
“Aku suka tengok perlawanan bola sepak saja," jawab Nazrul selamba.
“Bola tu bukan cerita. Aku cakap ceritalah. Drama, movie dan anime," balas Nurul kembali geram dengan sikap Nazrul yang acuh tidak acuh sahaja.
“Ceritalah tu. Tengok perlawanan bola sepak lagi realiti punya cerita. Dari awal kita tak tahu berapa gol yang dia orang dapat, siapa yang menang dan siapa yang kalah. Dan, perjalanan masa bila dia orang nak cari gol, nak sumbat gol dalam gawang tu juga merupakan cerita,kan?" balas Nazrul dengan bersungguh-sungguh.
“Aku maksudkan cerita lain. Boleh tak,kau lupakan sekejap tentang bola sepak dan tumpukan pada apa yang kita bualkan ni?"
“Tak boleh," balas Nazrul pendek.
Huh, memang tak boleh nak berbual dengan baiklah dengan Nazrul ni. Mesti ada yang tak puas hati. Nurul mendengus marah.
Tak fahamlah dengan perempuan ni, ada saja yang dia tak puas hati, desis Nazrul dalam diam.
Masing-masing mendiamkan diri demi mengelak peperangan meletus sekali lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience