LANGSIR bilik diselak, membenarkan cahaya matahari memancar masuk ke dalam setiap ruang bilik itu. Nurul menggeliat malas sambil tersenyum memandang awan pagi yang cerah.
“Hari ni hari yang indah. Jadi, bolehlah aku berkuak lentang di atas katil." Dia tersenyum sendirian di pagi Sabtu yang indah.
Hari Sabtu hari bercuti. Inilah yang paling seronok sekali dengan kehidupan sebagai pelajar sekolah. Suatu hari nanti, apabila sudah berada di alam pekerjaan, agaknya pagi Sabtu pun macam pagi Isnin.
Dia kemudiannya berlalu ke bilik mandi untuk bersihkan diri. Seperti biasa kalau dia sudah berada di dalam bilik mandi, dia akan habiskan masa lebih kurang satu jam di dalam sana. Ibunya juga tidak boleh berkata apa kalau dia itu berkubang lama-lama dalam bilik mandi.
“Kalau hari Sabtu dengan Ahad mesti mandi puteri-puteri. Tapi, kalau hari Isnin hingga Jumaat, pandai pula mandi dayang-dayang," omel ibu sebaik sahaja Nurul melangkah keluar dari bilik mandi setelah hampir satu jam Nurul berada di dalamnya.
Nurul tersengih memanjang. Memang sudah menjadi kebiasaannya menghabiskan masa waktu pagi di dalam bilik mandi untuk menghilangkan saki-baki yang tinggal. Maklumlah, jika hari bersekolah, masa tidak mengizinkan untuk dia mandi lama-lama. Mandi puteri-puteri yang dimaksudkan ibunya adalah mandi yang lama dan lebih dari satu jam, manakala mandi dayang-dayang pula ialah lebih kurang mandi koboi. Dia sendiri tidak ingat bilakah timbulnya istilah-istilah ibunya itu.
“Tadi ada boyfriend adik telefon," beritahu ibu setelah anak perempuannya keluar dari bilik untuk menikmati sarapan pagi yang dibelinya tadi.
“Boyfriend? Siapa pula yang sedap-sedap mengaku boyfriend adik?" Nurul pelik sambil memikir siapakah yang berani cakap begitu pada ibunya. Itu nasib baiklah ibunya yang angkat telefon, kalau ayahnya, mahunya kena kejar dengan parang nanti. Memang cari nahas betullah siapa yang mengaku tu.
“Manalah ibu tahu. Nanti boyfriend adik tu telefon balik. Tapi, ibu terkejut juga bila dia perkenalkan diri sebagai boyfriend adik. Selama ni ibu tak pernah dengar adik ada boyfriend... Yalah, sejak kejadian di sekolah lama tu."
Nurul sekadar tersenyum kelat. Malas dia hendak memutar kembali kenangan lama yang hampir membuatkan dia tidak ingin hidup lagi. Sudahlah kena gantung sekolah kerana dipercayai menampal surat-surat cinta di kaki lima sekolah tanpa usul periksa terlebih dahulu. Kemudian, ayahnya pula memulakan perang dunia dengannya. Malah ayahnya pernah memberi amaran kepadanya iaitu jangan sekali gatal-gatal hendak bercinta sewaktu masih belajar. Jika perkara itu berlaku lagi dan ayahnya dapat tahu pasti hidupnya tidak akan aman lagi.
Sejak berada di sekolah baru, dia memegang janji ayahnya itu. Tapi, sejak akhir-akhir ini dia sudah lupa akan janji ayahnya. Sudahlah banyak sangat perkara-perkara yang tidak diingini terjadi terutama sekali yang melibatkan surat cinta. Tidak dapat dia bayangkan kalau surat cinta yang ingin diberikan kepada Fiq terjatuh di tangan orang lain, terutama sekali peminat-peminat Fiq. Tapi, nasib baiklah dia boleh dikatakan berkuasa di kalangan ahli bola sepak. Kalaulah ayahnya tahu pasal surat cinta itu lagi, pasti ayahnya suruhnya tarik diri dari Kelab Bola Sepak.
“Memanglah adik tak beritahu sebab adik tak ada boyfriend. Kalau ada pun, gerenti ayah kejar dengan parang. Itu pastinya budak-budak bola sepak. Mereka tu memang suka cari nahas," jelas Nurul lagi.
“Nanti, ajaklah mereka datang ke rumah," kata ibu sehinggakan Nurul hampir tersedak ketika minum air kopi.
“Ibu nak satu-satunya anak ibu ni kena kejar ayah dengan parang?"
“Alah, ayah tu nampak saja tegas. Kadangkala dia pun nak tahu dengan lelaki mana adik berkawan. Ingat senang ke ayah nak lepaskan adik berkawan dengan ramai lelaki? Sekurang-kurangnya bila adik dah kenalkan mereka semua, barulah ayah percaya nak lepaskan adik," terang ibu.
“Tak ada apalah ibu. Mereka semua tu tak layak jadi boyfriend langsung."
“Takkan semua tak layak?" Ibu cuba mengumpan.
“Err...adalah seorang dua yang boleh dikatakan layak." Nurul menjawab dengan sengihan. Ini kalau Sofea ada pasti kecoh jadinya. Pasti menimbulkan lagi cerita tentang Fiq dan Rezza yang dikatakan layak dijadikan sebagai calon suami.
Tapi, pelik juga. Selama ini, mereka langsung tidak pernah menelefon ke rumahnya. Tambahan lagi pada hari Sabtu. Pastinya ada sesuatu yang tidak kena.
“Mesti ada yang tak kena ni." Nurul mula terasa satu aura yang boleh meragut keharmonian pagi Sabtu yang indah ini. Tiba-tiba telefon di ruang tamu rumahnya berbunyi dengan nyaring.
LANGKAH Nurul diatur pantas menghampiri sekumpulan pelajar-pelajar lelaki yang merupakan ahli Kelab Bola Sepak sekolah. Wajahnya masam. Mana tidaknya, pagi-pagi lagi Najmi sudah menelefonnya menyuruhnya turun ke padang. Setahunya latihan pada hari Sabtu tidak digalakkan memandangkan latihan yang padat di sebelah petang setiap hari Isnin hingga Khamis. Cikgu Majid sendiri tidak bersetuju dengan mengadakan latihan pada hari tersebut.
“Siapa yang pandai-pandai adakan latihan pada hari ini?" tanya Nurul dengan marahnya apabila dipaksa datang juga.
“Kan aku dah kata, Nurul mesti mengamuk punya," bisik Farizat kepada Rezza yang duduk di sebelahnya.
Pada mulanya mereka bersetuju untuk mengadakan latihan pada hari tersebut hanyalah untuk suka-suka, tetapi Najmi pula yang gatal-gatal memanggil Nurul datang. Alasannya, dia tidak boleh bermain bola sepak tanpa kehadiran Nurul sebagai pengurus.
“Alah, bosanlah duduk kat rumah." Najmi bersuara apabila mereka semua tidak mahu bersuara kerana takut dengan harimau betina.
“Kalau kau orang semua bosan, kau orang mainlah bola sendiri, janganlah hancurkan pagi Sabtu aku yang indah ni." Nurul mendengus marah.
“Mana best kalau tak ada pengurus perempuan di sisi," tambah Najmi lagi.
“Yalah tu..." Nurul menjeling tajam sambil itu matanya tercari-cari kelibat seseorang. Kurang seorang lagi. “Mana Nazrul? Jangan cakap dia tengah sedap tidur kat atas katil lagi. Aku bom seorang demi seorang nanti," marahnya.
Jika dia dipaksa datang juga pada pagi Sabtu untuk menemani sekumpulan pasukan bola sepak yang ketagih ingin bermain bola sepak, dia juga tidak akan bertolak ansur jika ada yang tidak hadir dalam perjumpaan tersebut terutama sekali Nazrul.
“Aku kat sini." Kedengaran Nazrul menyapanya dari belakang.
Lantas Nurul berpaling dan melihat Nazrul berdiri di belakangnya dengan wajah seakan orang gila yang baru bangun tidur di kaki lima. Sebentar kemudian Nazrul menguap besar membuatkan Nurul menutup hidungnya kerana tidak tahan dengan bau mulut Nazrul yang busuk itu.
“Kau ni dari mana?!" tanya Nurul sambil menutup hidung.
“Dari rumahlah. Kenapa pula ada latihan hari ni? Kacau aku nak tidur saja," tanya Nazrul sambil menggaru-garu perutnya dan menguap besar sekali lagi. Melalui wajah Nazrul nampak sangat lelaki di sebelahnya itu belum mandi lagi.
“Manalah aku tahu. Aku tak tahu apa-apa pun pasal latihan hari ini. Tiba-tiba saja Najmi call aku suruh turun padang hari ni. Manalah aku tak angin satu badan," balas Nurul geram. Tidak pasal-pasal Nazrul persalahkan dia pula. “Kau ni, kenapa pula rajin datang latihan. Selalunya pemalas nak datang latihan."
Tapi, ada benarnya apa yang dia kata itu. Nazrul mana pernah menyertai latihan. Alasannya hanya satu saja, iaitu hendak balik tidur. Bagi Nazrul, tidur adalah segala-galanya. Tapi, pelik juga apabila Nazrul sanggup korbankan masa tidurnya semata-mata untuk menghadiri latihan mengejut pagi ini.
“Habis, Rezza nak belanja aku makan ayam golek. Takkanlah aku nak lepaskan macam tu saja," kata Nazrul tanpa berdolak-dalih.
“Ayam golek, tidur. Itu saja yang kau tahu ya." balas Nurul hanya menggeleng. Kadangkala dia pelik dengan perangai Nazrul yang pantang jika ditawarkan ayam golek. Selalunya hanya dengan cara itu sahajalah Rezza mengumpan Nazrul jika ingin mempengaruhi Nazrul. Seperti hari ini. Nazrul datang semata-mata kerana Rezza mengumpan Nazrul dengan ayam golek.
Cakap sahaja ayam golek sudah semestinya dapat mempengaruhi Nazrul. Tapi, sampai sekarang dia tidak tahu kenapa mesti ayam golek? Kenapa tak KFC, McDonald's, Pizza atau makanan-makanan lain?
“Ada lagi, korek hidung, kentut, dan berak," balas Nazrul selamba.
“Eee...tak senonoh betullah budak ni! Pergilah mandi dulu! Mulut berbau!" Rasanya seperti ingin di terajang Nazrul sekarang juga. Macam manalah dia tidak sakit hati dengan perangai Nazrul. Tiap kali dia cuba ingin menghidupkan kemesraan tanpa menghidupkan kembali peperangan, Nazrul pasti akan membalasnya dengan ayat-ayat yang menyakitkan hati.
Masing-masing tersenyum menggeleng dengan karenah Nazrul yang tidak habis-habis berperang mulut dengan Nurul. Kalau dulu berperang urat saraf muka dan kini berperang mulut pula. Itu menunjukkan hubungan mereka ada sedikit peningkatan.
“Aku nak pergilah ni, mak nenek betullah minah ni," balas Nazrul sebelum berlalu pergi ke bilik mandi yang hanya disediakan di tandas guru lelaki.
“Apa gelak-gelak?" Nurul menjeling tajam seorang demi seorang yang masing-masing tersenyum kelucuan. Bertekak dengan Nazrul pun mereka semua boleh ketawa seolah-olah dia dengan Nazrul buat lawak bodoh.
“Nurul, aku cemburulah tengok kau dengan Nazrul," ujar Hayrul tiba-tiba.
“Aku gaduh dengan Nazrul pun kau cemburu? Kalau macam tu, cubalah cari gaduh dengan aku!"
“Apa yang boleh membuatkan kau gaduh dengan aku? Aku dah cari alasan lain, tapi tak jumpa juga," tambah Hayrul lagi.
“Kau nak kena baling dengan kasut aku ni tak?" Nurul menunjuk kasut sukannya.
“Okey, aku dah gembira sebab kau mula marahkan aku," kata Hayrul sebelum berlalu ke padang sambil diikuti oleh mereka yang lain.
Nurul hanya menghela nafas lemah. Penat dia melayan karenah mereka semua yang pelik. “Kalau macam ni, boleh pengsan aku layan mereka semua."
Seperti biasa, sementara menunggu mereka semua menjalani sesi latihan pada pagi itu, Nurul akan berdiri di tepi sambil mencatit sesuatu di nota kecilnya dan kadangkala dia akan melihat bola disepak ke hulur ke hilir sehingga membuatkan dia terlelap seketika di bawah pohon angsana.
“Bau ni..." kata Nurul perlahan sebaik sahaja dia terbau satu wangian yang pernah dibauinya sebelum ini. Nurul cuba mengingati bauan itu, tetapi dia tidak dapat ingat dengan jelas di mana dan bilakah dia pernah terbau wangian itu.
Dengan perlahan dia berpaling ke belakang dan mendapati Nazrul sudah pun kembali daripada membersihkan diri dan berpakaian segak walaupun hanya mengenakan jaket rasmi Kelab Bola Sepak dan berseluar pendek paras lutut. Rasanya ini kali pertama dia melihat Nazrul memakai jaket rasmi kelab kerana selama ini Nazrul sering memakai jaket putih yang hampir lusuh.
Tiba-tiba dia teringat kejadian yang hampir meragut nyawanya beberapa bulan yang lalu.
“Nazrul?" Nurul seakan tidak percaya dengan ilusi yang dialaminya tadi. Lelaki yang berlari menerpa ke arahnya adalah wajah Nazrul. Dia tidak silap. “Orang tu adalah Nazrul..." ujarnya masih lagi tidak percaya.
“Kenapa?" tegur Nazrul hairan apabila Nurul memandangnya tidak berkelip. Dia pula rasa tidak sedap hati.
“Ops..." Farizat yang ingin menjaringkan gol tiba-tiba tersepak bola dengan kuat sehingga bola melambung tinggi melepasi gawang gol dan menuju ke arah Nurul. “Nurul, bola!" Dia memberi amaran, tetapi Nurul masih lagi tidak berganjak dari tempatnya, sebaliknya dia hanya merenung Nazrul di sebelahnya.
Terdengar amaran Farizat di tengah padang, Nazrul menyedari kehadiran sebiji bola hitam putih yang sedang melayang turun menuju ke arah Nurul. Nurul masih lagi kaku di hadapannya dan langsung tidak endah amaran Farizat tadi.
“Wei..." Nazrul menyapa Nurul, tetapi Nurul masih sama seperti tadi. Tiba-tiba Nazrul merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Separuh daripada dirinya seperti dikawal seseorang dan dia menolak Nurul ke tepi untuk mengelak bola yang hampir menghentam kepala. Tetapi entah bagaimana dia turut terjatuh bersama Nurul di atas rumput.
Nurul terkejut dengan kejadian tadi. Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring di atas rumput. Dia juga terdengar hentaman bola yang kencang pada tanah. Serius. Dia tidak sedar apa yang berlaku. Sedar-sedar sahaja Nazrul menolaknya dari terkena bola.
Belum sempat Nurul hendak berkata-kata dunianya seakan berpusing-pusing. Kepalanya pening. Badannya seram sejuk.
Memang dia... Memang dia...
“AKU baru saja dapat berita daripada ibu bapa Nurul, mereka kata Nurul dah keluar hospital. Dia okey cuma disahkan demam saja dan diberi rehat sehari," kata Rezza menghampiri Nazrul yang hanya mendiamkan diri sejak kejadian pagi tadi.
“Baguslah," balas Nazrul sepatah.
“Apa yang dah berlaku sebenarnya?" tanya Rezza ingin tahu dengan lebih lanjut lagi. Dia cuma pelik dengan perangai Nazrul yang terus berubah setelah kejadian siang tadi. “Kau boleh tangkap saja bola macam tu, tapi kenapa mesti tolak Nurul?" tanya Rezza berasa hairan dengan tindakan Nazrul tadi.
“Aku tak tahu," jawab Nazrul pendek.
“Nazrin yang buat?" teka Rezza.
Nazrul mengangkat bahu.
“Aku dah beritahu mama kau pasal ni dan mama kau dalam perjalanan balik. Aku terpaksa beritahu sebab tadi aku tengok kau asyik pegang dada kau. Aku takut penyakit lama kau berulang lagi," kata Rezza.
“Aku tak apa-apa, tapi terkejut saja. Seolah-olah bukan aku yang buat dan seperti Nazrin sedang kawal aku pada waktu tu. Tapi, aku nampak apa yang berlaku, cuma aku tak boleh kawal. Terus terang aku kata, apa yang berlaku tadi menakutkan aku. Aku tak pernah rasa macam tu. Dikawal oleh seseorang."
Share this novel