“KENAPA aku tulis lirik lagu Cinta Pepohon Cemara dalam surat tu? Hisy, tak ada soalan lain ke dia nak tanya? Kenapa soalan ni pulak dia nak tanya? Malu betul! Takkanlah dia tak tahu yang perempuan ni memang suka tulis surat cinta yang jiwang-jiwang dan bila sudah tiada idea akan tulis lirik-lirik lagu cinta yang menjadi lagu tema cerita cinta," bebel Nurul seorang diri sambil berjalan pantas untuk pulang ke rumahnya setelah habis berbual dengan Hazwan.
Namun, perjumpaan mereka kali ini membuatkan dia berpuas hati bukan hanya kerana gembira sebab namanya sudah bersih di sekolah lamanya, tapi kerana berpeluang berbual dengan lelaki yang pernah menjadi pujaan hatinya.
“Kak Nurul," panggil satu suara sebaik sahaja Nurul membelok ke kiri jalan.
Seorang pelajar perempuan menghampiri Nurul. Nurmaya, salah seorang pelajar perempuan yang selalu mendapat perhatian semua orang di sekolah tidak kira lelaki atau perempuan, guru atau pekerja kantin.
Orangnya memang cantik, ayu, berkulit putih melepak walaupun dia tidak menggunakan bedak yang tebal. Memiliki sepasang mata yang cantik. Pendek kata, orangnya memang cantik.
“Maaf sebab mengganggu Kak Nurul," ujar Nurmaya dengan suara lembut. Memang padan dengan orangnya. Bak kata orang, macam gadis Melayu.
“Kenapa?"
“Sebenarnya, saya nak minta pertolongan," jawab Nurmaya agak tergagap-gagap.
“Pertolongan apa?"
Sehelai sampul surat kecil dikeluarkan dari poket baju dan dihulurkan kepada Nurul. Nurul segera menyambut sampul surat tersebut tanpa banyak soal, malah tahu apa yang ingin disampaikan oleh Nurmaya. Nurul agak terkejut apabila melihat nama Nazrul tercatat di atas sampul surat tersebut. Terus Nurul memandang wajah Nurmaya yang menundukkan muka.
“Tolong bagi pada Nazrul dan saya mintak akak tolong suruh dia baca surat saya ini. Saya tahu, dia tak pernah membaca surat yang saya bagi selama ini. Saya minta tolong sangat-sangat!" rayu Nurmaya tanpa segan di hadapan Nurul.
Kalaulah Nurul wartawan sekolah, memang dia akan hebohkan kepada semua pelajar bahawa pelajar yang menjadi rebutan putera-putera sekolah itu sanggup merayu-rayu dengannya supaya menyuruh orang yang tiga suku seperti Nazrul membaca surat tersebut.
Tapi, kenapa mesti Nazrul? Kenapa tidak Fiq atau Rezza yang paling sempurna di mata orang lain? Kenapa orang seperti Nurmaya melihat Nazrul sebagai Prince Charming pula? Kalaulah Nurmaya tahu bagaimana perangai Nazrul yang suka berdengkur bila tidur...
Cinta itu buta. Tapi, kenapa mesti Nazrul? Nurul masih lagi tidak berpuas hati. Patutkah dia memberitahu perangai Nazrul yang sebenarnya kepada Nurmaya.
“Mintak tolong sangat-sangat," ujar Nurmaya lagi merayu-rayu sebelum meminta diri untuk pulang.
Nurul masih lagi berdiri di situ. Merenung surat yang diberikan oleh Nurmaya untuk Nazrul. Bermimpikah dia? Orang yang secantik Nurmaya boleh jatuh cinta dengan Nazrul? Rasanya mesti ada sebab-sebab yang membuatkan hati Nurmaya terpaut pada Nazrul. Contohnya... Nazrul kuat tidur. Atau, Nurmaya terlihat betapa comelnya bila Nazrul sedang tidur.
Kemudian Nurul terbayang wajah Nazrul yang sedang tidur. Terbayang bunyi dengkuran Nazrul yang kuat sehingga mencairkan tahi telinganya. Terbayang wajah Nazrul yang tidur diiringi dengan air liur basi yang meleleh tidak henti-henti, kemudian dikesat air liurnya dengan tangan dan kembali menyambung tidur. Tidak lama kemudian bulu romanya meremang bila terbayangkan Nazrul yang tidur.
“Kenapa ni?" sapa seseorang di belakang Nurul.
“Ah, Farizat." Nurul menarik nafas panjang sebaik sahaja dia berpaling ke belakang. Mujurlah dia tiada penyakit lemah jantung. Kalau tidak, tak pasal-pasal Kelab Bola Sepak kena mencari pengurus lain selepas ini.“Lain kali bagi salam dulu."
“Kalau bagi salam pun sama jugak. Kenapa kau tercegat ni?" tanya Farizat yang sejak dari tadi asyik memerhati Nurul yang berdiri tegak seperti patung.
“Farizat, kau percaya tak?"
“Percaya apa?"
“Aku dapat surat cinta untuk Nazrul," ujar Nurul sambil menunjukkan sampul surat yang masih di tangannya. Nama Nazrul ditunjuk depan-depan mata Farizat.
“Jadi?" tanya Farizat selamba seolah tidak rasa pelik Nazrul mendapat surat cinta daripada peminatnya.
“Hei, takkan kau tak terkejut Nazrul yang kaki tidur tu dapat surat cinta?" balas Nurul berasa kecewa. Ingatkan Farizat akan turut berasa terkejut sepertinya.
“Lelaki tak pernah pelik dengan kerja perempuan yang suka tulis surat cinta," jawab Farizat selamba.
“Yalah, tapi ini Nazrul yang dapat!"
“Kalau Nazrul dapat surat cinta, memang aku tak pelik, tapi kalau Hayrul dapat surat cinta barulah aku pelik. Jadi benda ni perkara biasa saja."
“Tapi, aku pelik!"
“Kenapa kau pelik?"
“Nazrul yang suka tidur dan buat hal sendiri tu dapat surat cinta, kau tak rasa pelik ke? Kalau akulah, memang aku takkan bagi surat cinta pada budak tiga suku tu. Buat sakit hati saja," jawab Nurul.
“Itu pada kau, tapi pada orang lain tak sebab mereka semua tak tengok perangainya dengan lebih dekat lagi. Kalau kau memanglah rasa pelik sebab kau selalu bergaduh dengan Nazrul. Mestilah tak puas hati. Tak pelik sangat lah kalau Nazrul dapat surat cinta, tapi tak banyak seperti Fiq dan Rezza dapat. Tapi, kan, aku nasihatkan kalaulah kau jumpa dengan orang yang bagi surat cinta pada Nazrul tu, baik kau nasihatkan dia supaya berhenti tulis surat cinta untuk Nazrul," kata Farizat.
“Kenapa pula?" tanya Nurul hairan.
“Nazrul tak akan membacanya, tapi akan terus buang ke dalam tong sampah," kata Farizat yang sememangnya tahu sangat dengan perangai Nazrul.
“Amboi, lelaki pun jual mahal ke?"
“Ini bukan jual mahal, tapi terpaksa jual mahal. Cubalah kau bayangkan macam mana nak bercinta kalau Nazrul tu..." Tiba-tiba Farizat berhenti berkata-kata.
“Kenapa dengan Nazrul?" tanya Nurul yang dapat rasakan ada sesuatu yang ingin dicakapkan oleh Farizat tadi.
“Err... tak ada apa-apa. Okeylah, aku nak balik rumah ni."
Takut disoal siasat oleh Nurul, terus Farizat mengorak langkah berlalu dari situ meninggalkan Nurul yang masih terpinga-pinga.
“Kenapa dengan Nazrul?" tanya Nurul pada dirinya sendiri.
Share this novel