(29)

Drama Completed 7121

TELEFON bimbitnya berbunyi. Nurul yang baru sahaja hendak terlelap mencapai telefon bimbitnya dan mendapati Rezza menghubunginya apabila nama Rezza muncul di skrin telefon bimbitnya itu. Tanpa berlengah lagi, dia segera menjawab panggilan tersebut.
“Kenapa Rezza?" tanya Nurul.
Selalunya jika menerima panggilan daripada orang yang tidak pernah menelefonnya pada waktu malam-malam begini, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Adakah ini tentang Nazrul?
“Nazrul jatuh sakit. Dia masuk hospital tadi," beritahu Rezza terus.
“Hah!" Berderau darah Nurul mendengarnya. Kalau sampai masuk hospital, pasti bukan sakit biasa.
“Dia sakit apa?"
“Dulu, Nazrul mengalami jantung berlubang, tapi selepas dapat jantung Nazrin, kesihatannya kembali pulih. Mungkin disebabkan sakit tu lagi kut." Rezza menjelaskan kepada Nurul di talian.
“Teruk ke keadaan dia?" tanya Nurul.
“Teruk juga sebab sekarang ni dia dimasukkan ke dalam ICU. Tapi, kau jangan risaulah, Nazrul tu kuat." Rezza cuba meyakinkan Nurul, tapi Nurul bukannya budak-budak. Jikalau dimasukkan ke dalam ICU, pastinya keadaan Nazrul tidak menentu sekarang ni.
Perbualan mereka ditamatkan tidak lama kemudian. Malam itu, Nurul tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dalam kepalanya, dia hanya fikirkan keadaan Nazrul sekarang ini. Berita tadi benar-benar mengejutkannya. Apatah lagi baru-baru ini Nazrin ada berjumpa dengannya dan berbincang pasal Nazrul yang jarang muncul.
Dia sendiri tidak tahu kenapa Nazrul tiba-tiba menghilangkan diri. Mungkinkah kerana merajuk? Tapi, dengan siapa? Dia cuba mengimbas kembali kali terakhir dia bercakap dengan Nazrul seminggu yang lepas.
“Nazrin atau Nazrul?" Nurul bertanya seperti biasa.
“Tekalah sendiri," balas Nazrul.
“Kau Nazrul." Nurul tersenyum sinis. Dia yakin. Jikalau Nazrin, pasti Nazrin akan menjawab dengan ikhlas. “Aku cuma nak berjumpa dengan Nazrin," katanya sebelum berlalu dari situ.

KEESOKKAN harinya, Nurul, Fiq, Farizat dan Hayrul melawat Nazrul di hospital tetapi mereka semua tidak dibenarkan masuk ke dalam untuk menemui Nazrul yang dikatakan masih tidak sedarkan diri.
Ketika mereka sampai, Rezza turut berada di situ. Mereka difahamkan Rezza sudah berada di situ sejak Nazrul dimasukkan ke dalam hospital malam semalam dan sedikit sebanyak dapat meringankan sedikit penderitaan mama Nazrul yang beremosi tidak menentu semalam.
Mana tidaknya, Nazrul adalah satu-satunya anak lelaki dan juga merupakan keluarga terdekatnya yang kini terlantar di hospital. Ibu mana yang tidak sedih.
“Keadaan Nazrul tak serius, malah doktor kata jantungnya berfungsi dengan baik," beritahu Rezza setelah mereka semua mengambil keputusan untuk berbual di kantin hospital sahaja memandangkan mereka tidak dibenarkan masuk melihat Nazrul. Hanya ahli keluarga sahaja yang boleh melawatnya.
“Habis tu kenapa tak sedar-sedar lagi sampai sekarang?" tanya Fiq.
“Doktor pun tak dapat nak nyatakan apa masalahnya. Kena tunggu ujian darah dibuat. Tapi, aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Nazrul sudah lama tak muncul sehinggakan Nazrin risau. Kenapa boleh jadi begini?" kata Rezza.
Nurul diam. Dia berasa serba salah sekarang. Jikalau Nazrul makan hati dengan apa yang dia kata tempoh hari, dialah yang harus dipersalahkan.
“Mungkin sebab aku..." Akhirnya Nurul bersuara.
Mereka semua memandang Nurul. Mencari kepastian dengan apa yang diucapkan Nurul sebentar tadi.
“Mungkin sebab dia kecil hati dengan kata-kata aku," tambah Nurul lagi setelah menceritakan segalanya.
“Mungkin. Tapi, hanya dia saja yang tahu," kata Rezza yang tidak menyalahkan Nurul dengan apa yang terjadi kepada Nazrul.
“Sekarang bukannya masa nak menyesal. Kita tak boleh buat apa kecuali berdoa agar dia sedar semula," ujar Fiq.
Benar kata Fiq, sekarang tiada gunanya dia hendak menyesal. Perkara sudah terjadi dan dia tidak boleh mengundur waktu semula. Sekarang, dia perlu berdoa supaya Nazrul mahupun Nazrin selamat, bisik hati Nurul.

“NAZRUL!" panggil seseorang.
Nazrul membuka matanya perlahan-lahan. Wajah seorang budak lelaki dalam usia sepuluh tahun dipandangnya sebaik sahaja dia membuka mata.
“Punyalah susah aku nak kejutkan kau." Budak kecil di hadapan Nazrul itu menggeleng lemah.
“Nazrin..." Nazrul bersuara perlahan. Badannya masih lemah lagi. Kembarnya itu tersengih-sengih sejak dari tadi. Dengan perlahan dia bangun dari perbaringannya dan duduk bertentangan dengan kembarnya itu. Wajah mereka tidak banyak perbezaan sehinggakan mama dan papanya sering keliru dengan nama mereka berdua. Tapi, sejak dia sakit, mereka sudah boleh membezakannya dengan Nazrin.
Nazrin seorang yang lincah, tetapi Nazrin tidaklah nakal. Lincah-lincah Nazrin pun, Nazrin tahu bagaimana hendak menjaga hati mama dan papa yang seringkali pening kepala dengan penyakit yang melanda Nazrul. Nazrin juga tidak pernah menyusahkan mama dan papa. Segala arahan yang diberikan oleh mama atau papa, Nazrin hanya mengikut tanpa banyak bicara.
“Aku nak pergi main kat taman permainan, kau nak ikut tak?' tanya Nazrin.
“Tapi mama dan papa..."
“Mama dan papa tak ada sekarang ni. Mereka pergi keluar sekejap. Jomlah, kau dah lama tak keluar main dengan aku. Bosanlah." Nazrin menghulurkan tangannya.
Dengan teragak-agak Nazrul menyambut tangan kembarnya. Dia takut dimarahi oleh mama dan papa kerana pergi bermain di taman permainan dalam keadaan yang tidak mengizinkan.
“Jomlah." Nazrin menariknya Nazrul pergi.
Dalam sekelip mata sahaja dia berada di padang permainan dan bermain buaian bersama-sama kembarnya itu. Hanya mereka berdua sahaja. Bayang-bayang kanak-kanak lain langsung tidak kelihatan. Selepas puas bermain buaian, mereka berdua bermain jongkang-jongket dan berlalu ke permainan gelongsor dan selepas kepenatan bermain, kedua-duanya duduk bermain buaian pula. Nazrul berasa gembira. Begitu juga dengan Nazrin.
Rasanya inilah kali pertama dia dapat bermain semua jenis permainan tanpa mengadu sakit. Selalunya sebaik sahaja dia bermain satu jenis permainan jantungnya akan rasa sakit dan mama dan papa yang sering kali memerhatikannya di tepi akan menyuruhnya berhenti bermain dan pulang ke rumah.
“Aku minta maaf sebab tipu kau masa tu," ujar Nazrin tiba-tiba.
Nazrul tersentak. Sebaik sahaja dia berpaling, tiada lagi budak lelaki di sebelahnya, tapi seorang lelaki yang lebih kurang bayanya dan memiliki wajah yang seiras dengan wajahnya.
Dia kembali memandang dirinya. Dia bukan lagi budak kecil yang berumur sepuluh tahun, tapi sudah menjadi remaja lelaki yang matang. kemudian dia memandang kembarnya itu.
“Aku cuma bosan duduk di rumah. Aku nak bermain, tapi papa tak benarkan bermain dengan kau dan kau pula asyik tidur sepanjang hari. Kadangkala kalau aku berbual dengan kau pun, kau boleh tertidur. Sebab tulah aku ambil keputusan untuk pergi bermain di taman permainan dengan Rezza," ujar Nazrin.
Nazrul hanya berdiam diri. Dia yakin yang dia sedang bermimpi sekarang ini, tapi anehnya dia langsung tidak pernah bermimpi berbual dengan Nazrin. Dia cuba mengingati apakah yang sudah berlaku sebelum ini, tapi fikirannya kosong pada ketika itu. Dia langsung tidak boleh berfikir.
“Aku minta maaf sebab selalu susahkan hidup kau. Kerana aku, kau terpaksa tidur sepanjang hari dan hampir meragut nyawa kau sendiri. Aku juga nak minta maaf sebab hadir dalam hidup kau. Betul cakap Nurul, aku sepatutnya dah pergi, tapi sebenarnya aku tak nak pergi sebab aku risaukan kau dan mama. Mama dah kehilangan papa, pasti mama sedih kalau aku juga turut pergi. Sebab itulah aku masih lagi disini."
“Kami memang tak harap kau pergi. Dah bertahun kita hidup macam ni dan aku dah terbiasa walaupun terpaksa tidur sepanjang masa." Nazrul mula bersuara.
“Tapi, aku harus pergi. Ini hidup kau dan aku langsung tiada hak. Aku rasa lega bila tengok kau dah dewasa dan aku gembira sebab jantung aku masih lagi berdenyut di dalam badan kau. Aku gembira dapat buat sesuatu untuk kau..."
“Kau tak boleh pergi. Semua ni tak adil. Kau dah banyak berkorban untuk aku dan aku langsung tak pernah korbankan apa-apa untuk kau."
“Kau dah banyak berkorban untuk aku, tapi kau saja yang tak tahu. Kau bagi aku hidup dalam badan kau, itu juga satu pengorbanan. Kau bagi aku hidup bersama mama walaupun seketika. Kau bagi aku rasa masakan mama. Kau bagi aku luangkan masa dengan mama, dengan kawan-kawan kau... Pendek kata, kau bagi aku hidup seperti mana manusia biasa hidup. Kau paling banyak berkorban untuk aku." Nazrin memandang Nazrul dan tersenyum.
“Kalau kau pergi bagaimana dengan mama?"
“Aku percaya kau boleh jaga mama."
“Mama mesti tak benarkan kau pergi."
“Beritahu mama, aku gembira jadi anaknya. Beritahu mama juga, aku tak dapat teman mama pergi pasar pagi-pagi lagi." Air matanya satu per satu gugur ke bumi. Begitu juga dengan Nazrul yang tidak dapat menahan sebak.
“Aku harap kau sentiasa sihat dan dapat jalani hidup seperti orang lain. Lagi satu, jantung tu dah jadi hak milik kau, apa yang kau alami dan apa yang kau rasai, ia datang daripada diri kau sendiri dan bukannya daripada aku. Maaf sebab aku tak boleh lindungi kau dan mama lagi," ujar Nazrin dan berlalu pergi.
Nazrul hanya duduk di buaian. Dia kaget. Kakinya seolah-olah digam sesuatu yang membuatkannya tidak mengejar Nazrin yang berlalu pergi. Semakin lama bayang Nazrin semakin menghilang dan menghilang...

“NAZRUL?"
Dengan perlahan Nazrul membuka matanya.
“Nazrul..." panggil suara itu lagi.
Pandangan Nazrul sedikit kabur dan lama-kelamaan matanya dapat memfokus sepasang mata di hadapannya. Wajah Nurul direnungnya lama. Nurul tersenyum memandangnya.
“Aunty, Nazrul dah sedar!" ujar Nurul kepada Puan Nazrina yang tertidur nyenyak di sofa.
Dengar sahaja suara Nurul, Puan Nazrina segera mencelik mata dan bergegas ke katil Nazrul yang dirawat beberapa hari di hospital.
Nurul menapak memberi ruang kepada Puan Nazrina duduk di sebelah katil anak lelakinya itu. Beberapa hari Nazrul ditempatkan di unit penjagaan rapi sebelum dipindahkan ke wad biasa memandangkan perkembangan kesihatan Nazrul yang semakin baik. Beberapa hari itu juga dia berulang-alik ke hospital bagi membantu Puan Nazrina yang kepenatan menjaga Nazrul siang dan malam.
Mungkin hari ini Puan Nazrina boleh menghela nafas lega kerana Nazrul sudah pun sedar daripada koma. Tanpa disedari dia turut tersenyum melihat Nazrul sudah membuka mata.
“Nazrul..." Rambut Nazrul dibelai lembut. Puan Nazrina tersenyum.
“Mama..." panggil Nazrul lemah. Wajah mamanya ditatap kosong. Kemudian, tanpa disedari air matanya mengalir deras. “Ma...Nazrin..." Nafasnya tersekat-sekat. “Nazrin dah tiada!"
Nurul tersentap mendengarnya. Namun, Puan Nazrina langsung tidak kelihatan terkejut, tapi cuba menenangkan Nazrul yang masih lagi tidak dapat menerima kenyataan itu.
Leher Puan Nazrina dirangkul Nazrul dan dia melepaskan tangisannya di dalam dakapan mamanya.
Melihat keadaan Nazrul yang masih lagi bersedih, Nurul sengaja membiarkan mereka dua beranak saling berdakapan. Pintu bilik Nazrul ditutup rapat. Tanpa disedari, dia turut mengalirkan air mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience