“AH, alangkah baiknya kalau hari ni hari Sabtu," kata Nurul sedikit mengeluh sambil menyusuri jalan untuk ke sekolahnya. Sempat lagi dia menguap keletihan memandangkan malam tadi dia dia bertungkus-lumus menyiapkan kerja sekolah yang telah disediakan oleh cikgu-cikgu yang sememangnya cemburu dengan masa terluang yang dimiliki oleh seseorang pelajar.
Kalau tidak, masakan semua cikgu-cikgunya memberi kerja yang bertimbun. Paling dia tidak tahan adalah membuat kerja rumah Matematik. Hampir merekah otak kepalanya untuk memikir jalan penyelesaian. Demi menyelamatkan otaknya daripada meletup kerana soalan Matematik, malam-malam buta dia mengetuk pintu rumah Sofea untuk meniru jawapan Sofea. Mujurlah kawannya itu pedulikannya. Kalau tidak, sampai ke pagi, Sofea tidak akan bangun membuka pintu rumahnya.
“Ku boleh buat-buat yang hari ni hari Sabtu kalau kau nak. Dan, boleh tak kalau kau rasa kau perlukan bantuan aku, jangan ketuk pintu rumah aku sampai hendak pecah pintu aku tu?"
Nurul tersengih.
“Kau tahu tak, aku ingat yang ketuk pintu aku malam tadi orang gila minta nasi. Rupa-rupanya kawan aku yang pening menjawab soalan Matematik. Bukan ke ada cara yang senang. Telefon!"
“Kau pun tahu kan, bila aku dah panik, apa-apa pun boleh berlaku."
“Sebenarnya, kau boleh lupakan kerja Matematik tu."
“Kenapa pula?"
“Sebab Puan Jamilah ada mesyuarat dan dia tak masuk mengajar hari ni," jawab Sofea selamba.
“What? Kenapa aku tak tahu?"
“Kau memang tak tahu sebab masa cikgu beritahu hal ni kau tidur. Aku pun tak tahulah sejak bila kau suka tidur dalam kelas. Mungkin kau dah kena virus Nazrul." kata Sofea lagi.
“Nama Nazrul jangan sebut depan aku."
“Kenapa?"
“Sebab mulai dari dua hari yang lalu aku sudah menjarakkan diri daripadanya dan aku ingin wujudkan slogan 'Dunia Nurul tanpa Nazrul' dan setakat ini aku berjaya.Dia buat kerja dia dan aku buat kerja aku."
“Kau takkan berjaya buat macam tu."
“Aku akan berusaha juga. Aku benci bila orang asyik cakap aku kekasih dengan dia. Entah dari mana pula cerita macam ni datang, sampaikan Cikgu Majid pun percaya aku couple dengan Nazrul," ujar Nurul bengang apabila teringat ketika Cikgu Majid bertanya hubungannya dengan Nazrul ketika dia mengambil jadual harian seperti biasa.
“Gosip."
“Tapi, aku tak suka digosipkan dengan Nazrul."
“Bagaimana dengan Nazrul? Apa reaksi dia pasal gosip tu?"
“Dia tu jenis yang tak peduli. Dunianya hanyalah tidur saja dan yang lain dia tak peduli dan aku rasa dia memang tak peduli pasal gosip tu," kata Nurul lagi malas hendak mengambil peduli tentang Nazrul.
Dia sendiri tidak faham bagaimana gosipnya bercinta dengan Nazrul boleh tersebar dengan meluas sedangkan dia dengan Nazrul bagaikan anjing dengan kucing yang asyik bergaduh sahaja apabila bertemu. Ada sahaja yang tidak kena jika mereka berdua bertentangan mata. Tiba-tiba timbul pula gosip dia bercinta dengan Nazrul. Hairan juga ada. Hairan dengan wartawan di sekolahnya yang dapat mentafsir pergaduhan mereka sebagai satu titik permulaan hubungan percintaan.
Nampak sangat mereka semua terpengaruh dengan drama-drama Korea di televisyen sekarang. Gaduh sikit saja dah mula tafsir yang bukan-bukan. Sedangkan dia dengan Nazrul memang bergaduh betul pun mereka akan anggap ia hanyalah satu lakonan semata-mata atau dengan kata lain, kedua-duanya berpura-pura bergaduh depan orang ramai sebab mahu elakkan diri daripada hubungan cinta mereka dikesan. Gila!
“Aku tak percaya dia jenis yang tak peduli. Mana ada orang dalam dunia ini akan buat tak peduli jika gosip cinta melandanya walaupun gosip tu dikategorikan gosip kampung. Aku rasa Nazrul peduli semua tu tapi dia malas hendak masuk campur dalam gosip-gosip perempuan ni. Tapi, aku peluk juga bagaimana gosip macam ni boleh tersebar luas? Cuba kau fikir baik-baik, mesti ada sebab gosip macam ni boleh timbul," kata Sofea lagi sambil seiringan melintas jalan untuk ke sekolah mereka itu.
“Kalau aku yang buat gosip macam tu, aku tahulah nak jawab macam mana, tapi masalahnya bukan aku yang buat gosip tu dan aku juga mangsa dalam keadaan ini. Tapi, yang aku tahu semua ni bermula masa kejadian di McDonald's hari tulah. Hari tu entah kenapa mereka semua bercakap benda yang bukan-bukan tentang aku dengan Nazrul. Aku pun tak tahu dari mana dan macam mana mereka semua fikir aku dan Nazrul adalah pasangan secocok."
Nurul masih lagi tidak berpuas hati dengan gosip tersebut. Dia ingat apabila dia mendiamkan diri daripada menjawab gosip yang tiada maknanya itu, dunianya akan aman tapi semakin hari semakin banyak cerita-cerita didengarinya perihal hubungannya dengan Nazrul.
Antaranya, ada yang melihat Nazrul keluar makan malam bersamanya di sebuah restoran mewah. Dalam hatinya dia tertanya-tanya, restoran mewah mana pula yang diterjahnya bersama Nazrul. Kalau setakat kedai kopi depan sekolah tu memang selalu juga, itu pun bersama-sama pasukan bola sepak yang lain. Selain itu ada juga yang pernah melihat Nazrul dengannya pergi menonton wayang pada hari minggu dan macam-macam lagi. Sedangkan selama ini Nurul hanya melepak duduk rumah sahaja pada waktu cuti.
“Tapi, kau tak jatuh cinta dengan Nazrul, bukan?" tanya Sofea lagi.
“Orang yang aku jatuh cinta adalah..." kata-kata Nurul terhenti sebaik sahaja terpandang kelibat Nazrul di dalam sebuah kereta. “Nazrul."
“Nazrul? Kau jatuh cinta dengan Nazrul?" tanya Sofea seakan tidak percaya apa yang didengarnya dari mulut kawannya itu.
“Tak. Nazrul dalam kereta tu," ujar Nurul sambil menunjuk ke arah Nazrul di dalam sebuah kereta Toyota Vios warna silver yang terletak tidak jauh daripada mereka berdiri.
“Oh...Siapa pula gadis cantik tu?" tanya Sofea yang dapat melihat dengan jelas kelibat seorang gadis yang dari tadi asyik mengukir senyuman dan berbual sesuatu dengan Nazrul di sebelahnya. “Girlfriend?"
Nurul masih senyap lagi. Dia masih lagi memandang Nazrul dengan gadis yang nampak lagi tua daripada Nazrul itu. Gadis itu nampak seperti sudah bekerja dan Nazrul pula masih berpakaian sekolah dan sudah tentunya gadis itu nampak lebih tua daripada Nazrul.
Tiba-tiba darahnya berderau dan jantungnya berdegup kencang apabila melihat sendiri dengan matanya, gadis itu mencium dahi Nazrul. Dia hampir sesak nafas di situ. Tanpa membuang masa dia segera mengatur langkah berlalu masuk ke dalam sekolah dan diikuti dengan Sofea yang masih lagi tertanya-tanya siapakah gadis misteri yang bersama dengan Nazrul tadi.
“Okey, aku tak tahu siapa perempuan tu dah aku tak nak ambik tahu tentang mereka berdua," kata Nurul yang tidak tahan apabila Sofea asyik menyoalnya macam-macam seperti dia adalah personal assistant Nazrul yang tahu segala-galanya tentang lelaki itu.
“Kau cemburu?" tanya Sofea apabila menyedari perubahan sikap Nurul yang nampak kelam-kabut. Panik juga ada.
“Tak," jawab Nurul sepatah.
“Kalau kau tak cemburu kenapa kau nampak lain macam?"
“Okey, soalan yang bagus," ujar Nurul sambil menarik Sofea ke tempat yang lengang. “Aku cuma tak faham kenapa lelaki-lelaki yang aku kenal suka sangat dengan perempuan yang lebih tua daripada umur mereka sendiri? Adakah sebab mereka fikir orang yang bekerja ni banyak duit atau sebab cinta? Tapi, kalau difikir semula, semua ni tak logik. Mula-mula, aku nampak Fiq dengan Kak Liya dan sekarang aku nampak Nazrul dengan perempuan mana entah dan selepas ni aku tak tahu siapa yang aku nampak seterusnya. Semuanya melibatkan ahli Kelab Bola Sepak," kata Nurul seolah-olah cuba melepaskan geramnya kepada Sofea.
“Cita rasa setiap orang berbeza, kau perlu ingat semua tu," balas Sofea memberi pendapatnya. Memang agak pelik jika lelaki muda bercinta dengan perempuan yang lebih berumur, tetapi jika dipandang dari sudut positif, perkara ini bukan lagi perkara pelik.
“Aku rasa ini bukannya sebab cita rasa, tapi sebab nafsu."
“Nafsu apa?" tanya satu suara.
Pantas Nurul berpaling dengan melihat Rezza dengan Nazrul di belakangnya. Apabila dia terpandang Nazrul serta merta dia teringatkan peristiwa tadi.
“Nafsu makan." Pantas Nurul menjawab dan segera menarik Sofea jauh daripada mereka berdua.
“Kau larikan diri daripada Nazrul?"
“Ini bukan teknik larikan diri, tapi teknik lepaskan diri."
“Ada bezakah dua perkataan tu?" tanya Sofea semula.
Nurul hanya menjeling tajam.
“NURUL, hari ni tak ada air ke?" tanya Farizat kepada Nurul yang asyik duduk di bawah pohon angsana sejak latihan bola sepak mereka bermula tadi.
“Aku lupa ambil air hari ni. Kau orang ambil lah sendiri," jawab Nurul selamba, tapi dengan nada yang kasar sehinggakan kebanyakan mereka takut hendak menegurnya.
Itu pun Farizat memberanikan diri bertanya setelah didesak oleh kawan-kawannya yang lain yang juga perasan akan perubahan Nurul pada petang itu.
Masing-masing pening dengan perangai Nurul yang asyik naik angin tidak tentu pasal saja sejak tengah hari tadi. Selalunya, memanglah Nurul garang, tapi tidaklah seperti hari ini yang bagaikan singa lapar dan bila-bila masa saja akan menerkam mangsanya.
“Siapa yang buat Nurul bengang tu?" tanya Najmi hairan kepada kawan-kawannya yang berkumpul di bawah pokok angsana tidak jauh dari tempat Nurul duduk melepaskan amarahnya. Dia kemudiannya memandang Nazrul yang sedang asyik membalas mesej yang diterimanya tadi.
“Entah-entah dia datang bulan kut?" teka Ridzwan.
Masing-masing mengangguk setuju. Memang selalunya Nurul akan berubah menjadi pembengis setiap bulan. Dan, masing-masing pun tahulah kenapa. Lagipun sebagai lelaki sejati, seseorang itu pasti perlu tahu bilakah waktu perempuan di sisi mereka bertukar hormon supaya senang untuk mengelak daripada berlaku peperangan yang tidak diundang.
“Kenapa ni?" tanya Nazrul pelik melihat mereka semua berkumpul dan berbincang sesuatu seperti ada sesuatu yang akan mereka lancarkan sebentar lagi. Pakatan rahsia.
“Err...tak ada apa." Masing-masing menggeleng dan berbuat seperti tiada apa-apa yang penting untuk dibincangkan. Biarlah menjadi rahsia antara mereka.
“Kalau tak ada apa-apa aku nak balik awal hari ni," kata Nazrul sambil mengemas begnya tanpa mempedulikan Nurul.
“Kau nak pergi mana?" tanya Fiq hairan. Selalunya memang Nazrul yang akan pulang dahulu selepas sesi latihan. Itu pun sebab hendak mengejar masa tidurnya. Tapi, kali ini Nazrul nampak lain macam. Dia tidak lagi kelihatan tergesa-gesa hendak balik, tapi tidak sabar hendak menamatkan sesi latihan. Nazrul langsung tidak menjawab, sebaliknya dia mengukirkan senyuman gembira sebelum mengemas barang-barangnya dan berlalu dari situ.
Mesti nak jumpa buah hati dialah tu, desis hati Nurul yang entah kenapa tidak berpuas hati. Sejak tadi dia berfikir tentang perubahan sikapnya pada hari ini. Entahlah. Sejak pagi tadi, apabila ada orang yang menegurnya dia akan membalas dengan tengkingan dan hatinya turut membara. Dia sendiri tidak faham dengan sikapnya itu.
“Mungkin Nazrul nak jumpa buah hati dia," teka Najmi membuatkan Nurul memasang telinga.
Masing-masing berminat hendak mengetahui siapakah buah hati Nazrul memandangkan lelaki itu langsung tidak pernah kelihatan rapat dengan mana-mana perempuan.
“Aku terfikir-fikir, siapa yang dapat tangkap hati si Nazrul tu? Adakah orangnya cantik bagaikan puteri?" Farizat tersenyum.
Kau orang semua akan terkejut kalau dapat tahi dia tu adalah perempuan tua! jerit hati Nurul tidak senang.
“Pergi sajalah mengintip kalau nak pastikan." Fiq tiba-tiba mencelah, membuatkan Nurul dan yang lain semua terkejut. Seakan tidak percaya. adakah Fiq yang bercakap tadi? Nak mengintai dari orang lain? Huh, ini kerja gila!
“Ya! Betul! Aku tak nak dera otak aku dengan soalan yang tak ada jawapan. Jadi, siapa antara kau orang setuju nak mengintip Nazrul dating, angkat tangan!" Najmi bersorak sambil mengangkat tangan dan diikuti dengan kawan-kawannya yang lain.
Dia orang memang suka buat kerja gila, desis hati Nurul. Nurul sekadar menggeleng. Hal macam ini pun boleh mereka terfikir hendak buat. Lantaklah. Pandai-pandailah Nazrul hendak hidup dengan aman. Jangan terkejut dengan kehadiran mereka semua nanti sudahlah.
“Apa yang kau fikir tu? Jom pergi mengintip sekali." Sapaan Hayrul membuatkan Nurul terkejut daripada lamunannya.
“Aku?"
“Jomlah. Ramai-ramai kenakan Nazrul baru meriah."
Tangan Nurul ditarik pergi. Mahu tak mahu Nurul terpaksa mengikut mereka semua meninggalkan padang bola. Lagipun dia juga mahu memastikan yang perempuan dilihatnya bersama Nazrul pagi tadi adalah teman wanita Nazrul atau tidak.
“KENAPA aku turut serta dalam misi mengintip orang dating ni?" tanya Nurul tidak puas hati dengan apa yang dilakukannya sekarang. Dia hanya melihat mereka semua menyorok di beberapa batang pokok sambil masing-masing memandang ke arah Nazrul yang duduk di sebuah gerai air batu campur tidak jauh dari kawasan sekolah.
“Jangan banyak tanya, kau intip saja," celah Hayrul.
Tidak lama selepas itu datang sebuah kenderaan Toyota Vios yang dilihat Nurul lagi tadi berhenti tidak jauh dari gerai ABC tersebut. Seorang perempuan ayu bertudung keluar dari kereta tersebut dan menghampiri Nazrul.
“Wah, cantiknya." Najmi tersenyum menggatal.
“Aku nak dengar apa yang dia orang cakapkan tu." Dengan beraninya Ridzwan berlalu keluar dari tempat persembunyian dan berjalan membelakangi Nazrul dan duduk di kerusi yang tidak jauh daripada Nazrul dan perempuan misteri itu. Tidak lama kemudian mereka semua sudah berkumpul di meja bersama Ridzwan untuk mendengar perbualan mereka berdua.
Nurul pula seperti biasa dipaksa mengikut mereka semua. Dia sendiri tidak faham kenapa dia boleh terperangkap dengan misi bodoh itu. Mengintip orang dating? Lebih-lebih lagi orang yang dating itu adalah Nazrul. Macam tiada kerja lain yang hendak dibuat. Dia mula bosan. Walaupun hampir setengah jam dia duduk di situ, dia langsung tidak dapat mendengar perbualan mereka.
“Itu kawan kamu ke? Mereka semua asyik pandang sini saja," kata Puan Nazrina bertudung litup itu kepada Nazrul yang menyedari sejak dari tadi pelajar-pelajar sekolah itu asyik memandang ke arah mereka.
Nazrul segera berpaling. Dia terkejut apabila melihat semua kawan-kawannya turut duduk makan air batu campur di belakangnya tanpa dia sedari. Dia mengeluh sedikit apabila mereka semua melambai-lambai ke arahnya.
“Mereka semua ni memang tak boleh nak tengok orang senang sikit," rungut Nazrul.
“Kawan-kawan kamu?"
Dengan perlahan Nazrul mengangguk.
“Tak nak tegur dengan mereka?"
Nazrul hanya senyap. Kalau diikutkan hati, dia memang malas hendak bangun dari tempat duduknya dan bercampur dengan kawan-kawannya, tapi bila difikirkan sekali lagi, sampai bila dia hendak mengelak daripada mereka semua.
“Nazrul..."
“Okey!" Nazrul bangun, menarik kerusinya dan menyertai rakan-rakannya. “Jangan kata kau orang semua mengintip aku hari ini."
“Oh, tak. Kami sebenarnya teringin nak makan ABC sebab Nurul yang nak belanja." Pantas Farizat menjawab.
Nurul yang duduk di sebelah Nazrul itu menjeling tajam. Tidak pasal-pasal dia pula yang kena.
“Nazrul, siapa tu? Awek kau ke?" tanya Najmi yang sudah tidak sabar hendak berkenalan.
Meluat pula Nurul melihat perangai Najmi yang memang pantang jumpa perempuan cantik. Mesti ada saja caranya hendak tackle.
“Ni, kenalkan mama aku,"balas Nazrul selamba.
“Mama!" Hampir bergegar gerai Pak Bidin dengan tempikan mereka semua kerana terkejut. Masing-masing terkejut dengan Nazrul yang cuba mengiakan setiap soalan dari mulut mereka kecuali Rezza dan Fiq yang sudah tersengih-sengih di tepi.
“Rezza, Fiq, kau orang dah tahu ,tapi kau orang tak beritahu ya. Tak guna punya kawan. Mati-mati aku ingat awek Nazrul. Rupanya mama dia," ujar Najmi yang tidak berpuas hati. Patutlah sejak dari tadi, Rezza dan Fiq yang sudah mengenali mama Nazrul ketawa hampir pecah perut.
“Awek?" Nazrul memandang kedua-dua kawannya itu. Patutlah mereka semua mengintip ya sehingga ke situ. Dia kemudiannya memandang mamanya yang sejak dari tadi tersenyum-senyum.
“Mama patut berubah jadi mak ciklah," kata Nazrul kepada mamanya. Memang selama ini ke mana sahaja dia pergi bersama mamanya, orang pasti akan menganggap mamanya adalah kekasihnya. Mungkin kerana mamanya kelihatan muda daripada usianya yang kian menjangkau 36 tahun.
“Bukan ke mama dah cakap, mama memang nampak muda," balas Puan Nazrina yang masih lagi lucu.
“Betul tu. Mama kau nampak mudalah," sokong Najmi yang ternyata kecewa tidak dapat memikat ibu kawannya sendiri.
“Itu sebab aunty kahwin muda. Aunty bercinta dengan papa dia masa berada di tingkatan tiga dan lepas saja sekolah kami terus berkahwin," jawab Puan Nazrina.
Nurul mengangguk faham. Rasanya tidak salah ibu kandung mencium dahi anaknya seperti yang dilihatnya pagi tadi. Jadi, ini bermakna semuanya adalah salah faham dan Nazrul tidak melakukan sebarang perbuatan yang tidak senonoh. Syukurlah...
“Kenapa kau nampak lega?" sapa Nazrul di telinga Nurul, membuatkan Nurul tersentak.
Pantas Nurul mengangkat muka memandang wajah Nazrul yang tersenyum sinis, seolah-olah ada sesuatu yang difikirkannya.
“Aku tak jealouslah!" tengking Nurul tiba-tiba.
“Ada aku cakap kau jealous ke?" balas Nazrul dengan nada menyindir. Serentak dengan itu. Nurul dapat merasakan kedua-dua pipinya panas.
Share this novel