(6)

Drama Completed 7121

“SOFEA, aku rasa aku dah jatuh cinta," kata Nurul tiba-tiba. Sofea yang sedang menjamah makanan tengah hari sebaik pulang dari sekolah hampir tercekik kerana kedatangan Nurul menceroboh dapur rumahnya tanpa diundang dan berkata sesuatu yang diluar jangkaannya.
“Kau... apa?" tanya Sofea seiring dengan batuk kecil. Nasib baiklah dia tidak tercekik sebaik sahaja mendengar luahan hati kawannya yang tidak dijangka itu.
“Aku dah jatuh cinta," kata Nurul lagi.
Mata Sofea terkebil-kebil beberapa kali. Bagaikan tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. Rasa bagai bermimpi. Mana tidaknya, kalau Nurul yang selama ini dikenalinya itu berhati batu dan langsung tidak pernah menunjukkan ciri-ciri perempuan yang mudah jatuh hati, tapi hari ini tiba-tiba meredah masuk rumahnya tanpa beri salam dan kemudian memaklumkan bahawa dia sudah jatuh cinta. Tak ke pelik?
“Kau tak bergurau, kan?" Sofea bertanya inginkan kepastian. Mungkin Nurul tersilap hari bahawa hari ini bukannya 1 April, tarikh yang selalu digunakan oleh mereka-mereka yang nakal membuat lawak membodohkan orang lain.
“Muka aku nampak macam bergurau ke!" Wajah Nurul serius.
“Kau tak sakit, kan?" tanya Sofea lagi.
“Tak! Aku masih waras lagi, cuma aku dah jatuh cinta. Aku tak tahu macam mana boleh jadi begini!" Bagaikan orang hilang akal, Nurul berkata.
“Dengan siapa?"
“Fiq." Tanpa berfikir panjang Nurul memberitahunya.
“Ah, dengan Fiq." Sofea kembali menyuap makanannya.
“Apa maksud kau?" Nurul tidak faham apabila Sofea seperti buat tidak endah sahaja sebaik sahaja mengetahui Fiq adalah orangnya.
“Kalau dengan Fiq memang perkara normal," jawab Sofea.
Bagi Sofea, seorang perempuan jatuh cinta dengan Fiq memang menjadi perkara normal dalam hidupnya sebab apa yang dia dengar, sesiapa yang pernah mengenali Fiq tidak kira secara langsung atau tidak langsung, pasti akan tertawan dengan aura cinta Fiq.
“Tapi, tak normal bagi aku!" balas Nurul tetap tidak puas hati.
Sofea terdiam sejenak. Dia kemudiannya memandang Nurul di hadapannya.
“Ya. Tak normal bagi kau." Akhirnya Sofea terpaksa bersetuju.

“NURUL..." panggil seorang pelajar perempuan sebaik sahaja Nurul melalui hadapan kelas tingkatan lima untuk ke kelasnya.
Seorang pelajar perempuan yang tidak diketahui namanya menghampiri Nurul dan menghulurkan sekeping sampul surat berwarna biru kepada Nurul.
Surat cinta? Hati Nurul berdetik. Hairan! Tidak mungkin surat cinta itu diberikan kepadanya. Seorang perempuan memberi surat cinta kepada perempuan? Dunia sudah nak kiamat ke?
“Tolong serahkan kepada Fiq," pintanya perempuan itu.
“Err... ya." Dengan teragak-agak Nurul menyambut surat dari tangan pelajar tersebut walaupun dia masih lagi tidak faham situasi sebenar.
Kenapa dia yang perlu menjadi orang tengah atau posmen untuk memberikan surat cinta orang lain kepada Fiq? Kenapa pula orang itu tidak mahu memberi surat cintanya kepada Fiq sendiri? Kenapa mesti dia? Pelik betullah budak-budak zaman sekarang ini. Hendak bagi surat cinta untuk lelaki idaman pun pakai posmen. Bukankah sekarang ini zaman teknologi canggih, gunalah handset saja dan beritahu isi hati. Habis cerita.
“Terima kasih ya," ucap pelajar itu sebelum mengundurkan diri.
Nurul masih lagi terpinga-pinga.
“Kenapa aku rasa macam berada dalam komik Jepun saja?" tanya Nurul kepada dirinya sendiri. Dia kemudiannya merenung sampul surat berawan biru di tangannya. Masuk kali ini sudah lebih sepuluh orang menahannya untuk menyampaikan surat cinta kepada ahli pasukan bola sepak yang mereka puja itu. Surat cinta untuk Fiq lebih banyak daripada ahli yang lain.

“KAU nak aku tampar kau ke?" Sofea tiba-tiba mencelah.
“Hah? Kenapa pula? Aku ada buat salah ke?" Nurul memandang Sofea di sebelahnya.
“Mana tahu kau nak aku pastikan kau tak bermimpi sebab tengok banyak surat cinta untuk putera idaman tu atas meja kau," balas Sofea sambil menunjuk ke arah meja Nurul yang penuh dengan surat cinta sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam kelas.
“Idea yang bagus, tapi terima kasih sajalah." Beg sekolah diletak di atas bangku dan dengan penuh kemalasan, Nurul mengemas mejanya yang penuh dengan surat cinta itu. Dalam pada itu, ada juga suara-suara sumbang yang menggertaknya supaya sampai kan surat-surat itu kepada orang yang sepatutnya menerima.
“Aku tak faham lah... Sejak bila aku jadi posmen mereka?" Nurul yang masih lagi tidak puas hati berkata setelah penat menyusun semua surat cinta itu ke dalam sebuah plastik.
“Kau tak tahu ke?" tanya Sofea pula.

“Tahu apa?"

“Ah, jadi kau tak tahulah."

Nurul dengan perlahan menggeleng. Serius. Dia tidak tahu perkara pelik yang berlaku pada hari ini dan kenapa ramai sangat yang memberi surat cinta untuk pemain-pemain bola sepak kepadanya. Mungkin dia tertinggal sesuatu yang penting tentang tarikh hari ini sehinggakan ramai yang memberi surat cinta untuk pemain bola sepak. Tapi, cara Sofea cakap tadi nampak gayanya macam ada sesuatu yang tidak kena sahaja.
“Semalam mereka ada keluarkan satu memo," beritahu Sofea.
“Mereka?" Nurul bertanya kembali.
“Budak bola sepak tulah."
“Oh, tapi memo apa? tanya Nurul. Itu pun setelah dia teringat bahawa dia yang bertanggungjawab dalam pengeluaran memo untuk Kelab Bola Sepak. Mustahil dia tidak tahu-menahu tentang memo terbaru atau mungkin ada orang lain yang dengki telah sabotaj tugasnya.
“Memo tak rasmi," jawab Sofea.
“Yalah, tapi memo apa?" Nurul meninggikan suara.

NAZRUL dan Rezza berdiri menghadap papan kenyataan yang disediakan oleh pihak sekolah kepada pengurusan Kelab Bola Sepak sejak dari tadi apabila terpandang sesuatu yang pelik di papan kenyataan mereka. Kedua-duanya memandang ke arah memo yang tertampal pada papan kenyataan tersebut. Mereka berdua kemudiannya saling berpandangan tanpa mampu berkata apa setelah menghayati apa yang tertulis di sekeping kertas A4 itu.
“Tepi!"
Tiba-tiba sepasang tangan yang kasar menolak kedua-duanya ke tepi. Nurul mencelah antara Nazrul dan Rezza yang menghalang penglihatannya untuk membaca memo tidak rasmi yang dikatakan oleh Sofea tadi dan juga penyebab kenapa dia menerima surat cinta untuk pemain bola sepak daripada peminat-peminat mereka.

________________________________________________
Kepada semua peminat-peminat setia,
Mulai dari hari ini, iaitu tertampahnya notis tidak rasmi ini, adalah dimaklumkan bahawa semua urusan berkenaan pemberian surat cinta kepada semua ahli bola sepak perlu melalui pengurus kelab yang baru iaitu saya, Cik Nurul Izzati.
Saya akan mengutip surat-surat cinta anda untuk mengelakkan surat-surat anda tidak sampai ke tangan jejaka idaman anda. Malah, bukan sahaja surat cinta, jika anda ingin menetapkan temu janji dengan salah seorang ahli bola sepak, maka haruslah melalui saya terlebih dahulu.
Sekian, terima kasih.

Majulah cinta untuk negara!

Yang benar,
Nurul Izzati
Pengurus Kelab Bola Sepak.

________________________________________________

“Bila masa pula aku tulis memo tu?"
Rasa geram yang sudah mula wujud membuatkan Nurul terfikir hendak bom sahaja papan kenyataan itu apabila membaca memo yang menggunakan namanya sebagai pembuat memo tersebut. Patutlah hari ini dia diserang dengan surat-surat cinta.
“Siapa Nurul Izzati? Kenapa aku rasa macam tak pernah dengar saja namanya?" tanya Nazrul tiba-tiba.
“Hah!" Nurul memandang Nazrul. Orang tengah marah, dia ada masa lagi hendak buat lawak bodoh. Tapi, pelik... Cara Nazrul berkata tadi seperti dia tidak kenal langsung siapa Nurul Izzati yang tertulis pada memo tersebut. Walaupun dia baru sahaja dilantik sebagai pengurus kelab, tapi hampir satu sekolah mengenalinya kerana jawatan itu. Tapi, lain pula yang terjadi pada Nazrul.
“Err.." Rezza menggaru kepalanya apabila menyedari Nurul dan Nazrul saling berbalas pandang. “Tak ada apa? Kau kata tak ada apa? Kau tahu tak, lebih sepuluh orang tahan aku pagi tadi semata-mata nak aku serahkan surat cinta untuk jejaka mereka. Tak cukup dengan itu, meja aku penuh dengan surat cinta untuk kau orang. Kau kata itu tak ada apa?!"
“Kalau macam tu, teruskan usaha kau kumpul surat cinta," balas Nazrul selamba sebelum mengorak langkah berlalu dari situ.
“Err... jangan ambil hati dengan apa yang Nazrul cakap. Anggap saja dia tersalah bangun tidur pagi tadi," kata Rezza yang bertindak sebagai agen pendamai.
“Yalah tu..."
“Aku minta maaf tentang apa yang berlaku ini. Kadangkala mereka ni sukar dikawal," kata Rezza berjalan seiringan dengan Nurul.
“Kerja kau hari-hari minta maaf ke?"
Rezza tersenyum. Ini baru pertama kali dia mendengar seseorang bercakap yang lahir daripada suara hati. Terlampau berterus terang. Mungkin bagi setengah orang akan rasa sakit hati dengan orang begini, tapi Rezza, dia kagum dengan Nurul.
“Mungkin juga. Aku ketua mereka dan kapten pasukan bola sepak. Jika ada antara mereka yang buat hal contohnya seperti memo macam ni, aku yang sepatutnya bertanggungjawab sebab tak pandai mengawal mereka. Aku tahu, jaga mereka semua lagi susah daripada jaga budak tadika. Tapi, mereka sebenarnya okey."
“Itu yang aku selalu dengar daripada peminat Putera Idaman," balas Nurul acuh tak acuh. Sememangnya dia sudah muak mendengar puji-pujian yang dilemparkan kepada ahli bola sepak.
“Aku nak tanya kau, apa pandangan kau tentang Carta Prince Charming?" tanya Nurul sengaja membuka topik tentang carta tersebut.
Selama ini dia hanya mendengar komen atau pendapat pelajar perempuan sahaja tentang Carta Prince Charming, kali ini dia ingin mendengar pendapat daripada pelajar lelaki pula apatah lagi Rezza merupakan juara bertahan dalam Carta Prince Charming selain Fiq.
“Oh, Carta Prince Charming... Kau pun suka carta tu?"
“Aku satu-satunya ahli anti Carta Prince Charming di sekolah ini." Dengan selamba Nurul berkata. Tapi memang betul. Kebanyakan pelajar perempuan mengikuti perkembangan Carta Prince Charming.
Rezza tersenyum.
“Masih ada juga perempuan yang anti dengan carta tu..."
“Kau pula?"
“Sama saja. Sama ada carta tu wujud atau tidak carta tu hanyalah carta saja. Tapi, baru-baru ini aku mula terfikir sesuatu."
Mereka berdua berhenti di hadapan Carta Prince Charming yang ditampal. Seperti beberapa hari yang lalu, tiada seorang pun yang mendapat gelaran Prince Charming. Takhta Prince Charming kosong.
“Kenapa? Sebab kau tak dapat takhta Prince Charming seperti selalu?"
Rezza sekali lagi tersenyum menggeleng.
“Bukan. Aku dah kata tadi, aku tak pernah pedulikan sama ada carta ini wujud atau tidak," balas Rezza.
“Habistu?"
“Baru-baru ini aku terfikir mungkin carta ini patut..."
“Patut dibuang?" pantas Nurul memintasnya.
Geleng.
“Habis tu?"
“Patut dipuji."
”Dipuji?"
“Ya. Kalau tak kerana carta ini, semua orang akan bersemangat hendak ke sekolah. Bagi perempuan, mereka ingin melihat siapakah yang mendapat takhta Prince Charming. Bagi yang lelaki, mereka berlumba-lumba untuk mencipta yang terbaik sekali gus menjamin masa depan mereka yang cerah pada masa hadapan."
Tercengang Nurul mendengarnya. Tidak sangka dia mendengar teori tersebut dari mulut Rezza. Kalau dari mulut Nazrul atau Hayrul, mungkin dia akan percaya.
“Kenapa aku rasa kau dah gila?"
Rezza sekadar ketawa kelucuan.
“Kenapa kau ketawa?"
“Mungkin sebab aku sukakan kau," ujar Rezza sebelum mengorak langkah meninggalkan Nurul yang terkejut dengan apa yang dikatanya tadi.

“KAU sengaja nak buat aku cemburu dan mulakan perang dunia ketiga dengan kau, bukan? kata Sofea sebaik sahaja Nurul menceritakan apa yang dibualkan dengan Rezza pagi tadi sambil menyusun surat-surat cinta yang diterimanya.
“Buat kau atau mulakan peperangan dengan kau tiada dalam senarai yang perlu aku buat," balas Nurul.
“Kalau macamtu, susun surat cinta ini ada dalam senarai yang perlu kau buat?"
“Aku rasa aku patut mulakan perang dengan kau. Aku tak percaya aku buat kerja yang bodoh ini. Kalau suatu hari nanti, bila aku menghadiri temu duga kerja dan ditanya apakah tugas yang aku buat untuk jawatan pengurus Bola Sepak, kau rasa patut ke aku jawab membahagikan surat cinta yang aku terima mengikut si penerimanya sebelum meletakkannya ke dalam lokar mereka. Patut ke?" tanya Nurul lagi.
“Mungkin kau patut jawab macam ini, Menerima dan membahagikan surat cinta untuk ahli Kelab Bola Sepak sambil membaca puisi-puisi indah yang ditulis di dalamnya," ujar Sofea sambil cuba membuka salah satu surat yang baru disusunnya.
“Jangan nak terfikir lakukannya." Pantas Nurul merampas sekeping sampul surat dari tangan Sofea. “Kau perempuan dan orang yang bagi surat ini juga perempuan, jadi mesti kau tahu apa perasaan mereka bila ada perempuan lain baca surat mereka."
“Kau ni sensitif sangatlah. Macamlah mereka tahu kita baca surat tu."
“Ini bukan sensitif, tapi aku dah pegang amanat orang, mestilah aku kena jaga."
“Yalah tu."
“Dulu aku pun seperti mereka. Tulis surat cinta pada lelaki yang aku suka dan kemudian aku sendiri yang terkena."
Nurul kembali teringat kisah hitamnya di sekolah lama. Hanya kerana surat cintanya jatuh ke tangan orang yang tidak sepatutnya, dia mendapat malu dan dikenakan tindakan tatatertib.
“Kenapa?"
“Surat cinta aku jatuh ke tangan peminat setia lelaki yang aku minat tu. Apa lagi, kecohlah satu sekolah. Sebab itulah aku faham perasaan mereka kalau kita curi baca surat cinta ini. Aku tak nak benda ni jadi pada orang lain," terang Nurul.
“Nasib baiklah mereka pilih kau jadi pengurus dan tukang kutip surat cinta."
“Kadangkala aku rindu dengan semua tu. Tulis surat cinta pada seseorang yang kita minat. Walaupun nampak kolot, tapi apa salahnya guna cara lama untuk luahkan perasaan."
“Eh, aku rasa kau boleh tulis surat cinta kepada Fiq."
“Tak naklah. Aku tak nak pisang berbuah..." Tiba-tiba Nurul terdiam. Otaknya ligat memproses idea Sofea tadi. Lambat-lambat bibirnya terukir senyuman manis setelah menyedari bahawa Kelab Bola Sepak di bawah kawalannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience