(31)

Drama Completed 7121

PUAN NAZRINA memeriksa surat di peti surat rumahnya dan mendapati terdapat beberapa surat di dalamnya. Dia mengambilnya dan berlalu masuk ke dalam rumah. Satu demi satu surat dilihatnya dan kebanyakannya adalah bil-bil yang perlu dijelaskan.
“Nazrul! Kamu nak bangun pukul berapa ni? Dah dekat jam 12.00 tengah hari!" jerit Puan Nazrina. Masuk kali ini sudah banyak kali dia menjerit menyuruh anak lelaki itu bangun. Tapi, sampai sekarang, Nazrul tidak kelihatan lagi. Mesti tengah nyenyak tidur di atas. Dia mengeluh lemah. Tidak tahu bagaimana hendak mengubat penyakit Nazrul yang asyik suka tidur. Kalau dulu disebabkan Nazrin, tapi sekarang Nazrin sudah tiada, perangai Nazrul masih lagi tidak berubah.
Senyap. Tiada kedengaran apa-apa di atas. Semestinya Nazrul tengah nyenyak tidur lagi sehinggakan tidak mendengar jeritannya. Puan Nazrina menggeleng lemah. Mungkin malam tadi tidur lewat, menonton perlawanan bola sepak di televisyen.
Sampul surat daripada University of Sheffield menarik perhatian Puan Nazrina. Dia tersenyum setelah membaca kandungan surat itu. Memang dia bercita-cita untuk belajar di luar negara dahulu, tapi disebabkan cinta kepada arwah suaminya, dia sanggup lupakan cita-citanya. Dia berkahwin dalam usia yang muda dan menjadi ibu kepada dua anak kembar dalam usia yang muda juga.
Hajatnya hendak sambung belajar di luar negara selepas berkahwin terhalang apabila Nazrul disahkan menghidap penyakit jantung berlubang. Hidupnya teruji sekali lagi apabila anaknya, Nazrin, terlibat dalam kemalangan apabila sebuah kereta melanggar Nazrin ketika anaknya itu sedang bermain di taman permainan. Difahamkan pemandunya berada dalam pengaruh alkohol. Tidak cukup dengan itu, hidupnya sekali lagi diuji apabila suaminya meninggal dunia kerana serangan jantung. Kini, hanya tinggal Nazrul sahaja di sisinya. Dia tiada saudara-mara yang lain. Dia anak tunggal dalam keluarganya dan ibu bapanya sudah lama meninggal dunia.
“Morning, mama," sapa Nazrul tiba-tiba mengejutnya daripada lamunan.
“Morning? Matahari dah menegak dah," balas Puan Nazrina memerli.
“Bukan ke hari ni cuti sekolah, mestilah bangun lambat sikit," balas Nazrul sambil berlalu ke meja makan. Nasi lemak sudah pun tersedia di atas meja. “Surat apa tu?" Dia menjeling melihat surat yang membuatkan mamanya termenung tadi.
“Sheffield University," ujar dan menolak surat itu ke tepi.
“Baguslah! Jadi, mama terima?"
“Tak," jawab Puan Nazrina sambil mengukir senyuman manis. “Mama sengaja memohon untuk belajar di sana dan tak sangka dapat pula."
“Kalau mama suka, terima sajalah."
“Jangan risau, mama takkan terima."
“Tapi, tu kan cita-cita mama juga."
“Honey, kalau mama terima,ini bermakna kamu kena ikut mama juga. Dan, semestinya kamu tak nak tinggalkan kehidupan kamu disini, kan? Mama takkan benarkan kamu tinggal seorang diri selagi usia kamu tak mencecah 21 tahun," ujar Puan Nazrina membuatkan Nazrul terdiam. “Jadi, jangan risau. Mama takkan terima tawaran tu."

NURUL menghampiri Nazrul yang sejak dari tadi asyik mendiamkan diri. Memang sesuatu yang pelik kalau Nazrul yang selama ini suka tidur tidak kira di mana-mana saja dan tiba-tiba pada hari ini pula dia asyik termenung sepanjang masa. Padahal sepatutnya pada hari ini mereka semua bergembira di pusat boling. Menghilangkan segala tendzwansion belajar dan urusan Kelab Bola Sepak.
“Kau tak main pun," sapa Nurul setelah dia dipaksa oleh Zaki dan Ridzwan yang juga perasan akan perubahan Nazrul.
“Aku tak berminat," jawab Nazrul acuh tak acuh.
Sejak perbualan dengan mamanya semalam, dia lebih suka menyendiri. Betul juga kata mamanya, kalau mamanya terima tawaran belajar di universiti tersebut, hendak tak nak, dia terpaksa mengikut mamanya ke sana dan ini bermakna dia akan meninggalkan kehidupannya di sini.
Di sini adalah kampung halamannya. Dia dilahirkan di sini dan dibesarkan di sini. Di sini juga dia ada ramai kawan-kawan yang mempunyai minat yang sama iaitu bola sepak. Di sini juga pusara Nazrin dan ayahnya dikebumikan. Pendek kata, kehidupannya sudah serasi di sini. Di sini juga ada makcik yang selalu cari gaduh dengannya.
Wajah Nurul di sebelahnya direnung lama. Kemudian, tanpa disedari, dia mengukirkan senyuman. Entah kenapa pula Nurul boleh masuk dalam senarai. Kenapa pilih sini? Mungkin sebab kewujudan Nurul dalam Kelab Bola Sepak memang sudah sebati dengannya. Mana tidaknya, awal-awal lagi sudah berani menganggu tidurnya.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?" tanya Nurul yang sejak tadi dia perasan anak mata Nazrul memandangnya tanpa berkelip sehingga membuatkan jantungnya berdegup kencang.
“Kau ada boyfriend?" tanya Nazrul. Apa yang aku tanya ni? desisnya.
“Soalan yang pelik," ujar Nurul yang masih lagi terkejut dengan soalan Nazrul yang tiba-tiba menyentuh tentang hal peribadinya. Selalunya Nazrul tidak pernah bertanya soal peribadinya selama ini. “Kenapa kau nak tahu?"
“Sebab aku nak tahu siapa lelaki yang bertuah tu." Nazrul tersengih.
Nurul tahu sangat kalau Nazrul sudah tersengih bagaikan kerang busuk itu, mesti ada sahaja perkara yang hendak digaduhnya nanti.
“Okey, aku taknak gaduh dengan kau," terus Nurul bangun dari duduknya dan merampas bola boling daripada tangan Hayrul dan melontarnya ke landasan sekuat hati.
Hayrul yang baru sahaja hendak main tadi, tercengang apabila Nurul tiba-tiba datang merampas bolanya. Entah hantu mana lagi yang rasuk Nurul kali ini.
“Kau ada boyfriend?" ajuk Rezza tiba-tiba.
Nazrul mengeluh lemah. Semestinya Rezza sudah mendengar perbualannya dengan Nurul tadi.
“Kenapa dengan kau hari ni? Lain macam saja?"
“Boleh tak kita berbual?" tanya Nazrul.
“Pasal apa?"
“Bukan di sini." Nazrul berlalu bangun dan melangkah pergi keluar dari pusat boling.
Rezza hanya mengikut di belakang. Sebaik sahaja sampai di kawasan lapang, mereka berhenti dan duduk di sebuah bangku kosong yang disediakan di pusat membeli belah itu.
“Semalam, mama dapat tawaran belajar di UK..." Nazrul memulakan bicara.
“Ya? Jadi, bila aunty nk bertolak pergi sana?" tanya Rezza turut berasa gembira dengan berita yang disampaikan oleh Nazrul itu. Dia sememangnya tahu selama ini, Aunty Nazrina memang bercita-cita tinggi untuk belajar di luar negara dan impiannya terlaksana juga akhirnya.
“Mama tolak tawaran tu," keluh Nazrul.
“Kenapa? Bukan ke tu cita-cita aunty nak belajar di luar negara?"
“Ya. Mungkin sebab aku mama tolak tawaran tu," tambah Nazrul lagi.
Rezza ternyata tidak faham dengan masalah yang melanda Nazrul sekarang itu.
“Kalau mama terima tawaran itu, ini bermakna aku kena ikut mama sekali ke sana. Mama tak benarkan aku tinggal seorang diri selagi umur aku tak mencecah 21 tahun. Ini juga pesanan papa sebelum dia meninggal dunia."
Rezza terdiam. Memang betul apa yang Nazrul cakapkan itu. Aunty Nazrina mungkin menolak tawaran belajar sebab Nazrul. Dia kenal sangat dengan mama Nazrul yang sememangnya lebih mementingkan anaknya sendiri daripada dirinya sendiri.
“Jadi, apa yang kau nak buat?" tanya Rezza.
“Aku tak tahu." Kedengaran keluhan berat daripada Nazrul. Pandangannya dilemparkan ke arah orang ramai yang sedang membeli-belah di sekelilingnya. “Dah banyak kali mama tolak tawaran belajar di luar negara dan aku tak sanggup tengok mama berputih mata lepaskan tawaran kali ini. Mungkin aku boleh yakinkan mama yang aku boleh hidup berdikari dan suruh mama terima tawaran tu."
“Tapi, aunty takkan benarkan kau tinggal seorang diri. Kalau dulu kau ada Nazrin tapi sekarang ni Nazrin dah tiada. Mesti aunty tak benarkan kau tinggal seorang diri di sini. Kau pula, sanggup ke biarkan mama kau pergi belajar di negeri orang yang jauh tu? Aunty tak ada sesiapa di sana nanti."
Nazrul mengurut dahinya. Kepalanya terasa pening kerana asyik berfikir tanpa henti sejak malam semalam. Dia tidak tahu hendak membuat keputusan macam mana lagi. Apa yang pasti, keputusan yang akan dibuatnya mesti memihak sebelah pihak. Sama ada dia mengalah mengikut mamanya ke United Kingdom atau mamanya melupakan belajar di sana. Tapi, sampai bila dia hendak menjadi penghalang kejayaan mamanya sendiri?
“Apa yang aku perlu buat? Aku sayang mama, tapi aku tak nak tengok mama sedih. Aku sayang tempat ni juga dan kalau boleh aku tak nak pergi dari sini."
“Kau saja yang boleh buat keputusan. Kalau nak pergi, aku memang tak boleh nak halang kau. Aku tahu, memang berat nak tinggalkan tempat ni, tapi suatu hari nanti juga kita akan tinggalkan tempat ini juga. Lagipun SPM dah nak dekat. Lepas SPM, kita semua akan bawa hala tuju masing-masing. Mungkin kita semua akan berpisah nanti."
“Aku tahu pasal tu, tapi ada sesuatu yang aku tak boleh tinggalkan..." wajah Nurul terbayang di mata Nazrul. Wajah Nurul sedang tersenyum, sedang marah dan wajah yang selalu tidak puas hati dengannya. Dia tersenyum keseorangan.
“Aku rasa masih belum terlambat lagi nak beritahunya," ujar Rezza.
“Boleh tak kau tolong aku?" pinta Nazrul memandang tepat wajah teman baik ya itu. “Jangan beritahu Nurul pasal benda ni."
“Lambat laun dia akan tahu juga."
“Ya, tapi aku nak tengok dia gembira dulu."
“Okey, kalau itu yang kau mahu, aku ikutkan saja."
“Thanks. Nanti aku belanja kau ayam golek." Nazrul tersenyum.
“Aku lebih suka Pizza," balas Rezza.

PINTU bilik Puan Nazrina yang terbuka luas diketuk Nazrul. Dari depan pintu, Nazrul dapat melihat mamanya sedang menatap album gambar mereka sekeluarga.
“Dah balik?"
Nazrul berlalu masuk ke dalam tanpa berkata apa-apa. Dia melihat kesemua album gambar yang berselerak di katil mamanya. Selalunya mamanya tidak pernah melihat gambar-gambar kenangan mereka seorang diri. Kalau tidak dengannya, mesti dengan Nazrin.Tapi, sekarang Nazrin sudah tiada. Mungkin mamanya rasa kesunyian.
“Dah makan?" tanya Puan Nazrina.
Nazrul hanya sekadar mengangguk.
“Mama?" tanya Nazrul pula.
“Dah." Puan Nazrina kembali menatap gambar-gambar yang menjadi kenangan abadinya. Gambar yang pada masa itu merupakan hari yang paling berbahagia buat mereka sekeluarga. “Mama teringatkan Nazrin dan papa. Kalaulah mereka ada lagi mesti kita hidup bahagia seperti dulu."
“Kalau Nazrin dan papa masih ada, mungkin saya yang tiada," balas Nazrul.
“Honey, bukan itu maksud mama."
“Saya faham."
“Jadi, macam mana dengan jamuan kelab tadi?" tanya Puan Nazrina menutup dan mengemas semua album gambar yang berselerak di atas katilnya.
“Ma, saya dah buat keputusan," kata Nazrul muka berbicara.
Puan Nazrina merenung anak lelakinya itu.
“Tolong terima tawaran belajar tu," ujar Nazrul membuatkan Puan Nazrina terkejut dengan permintaan anaknya itu.
“Nazrul, kamu tahu kan..."
“Ya. Saya tahu. Kalau mama terima tawaran tu, saya terpaksa ikut mama sekali ke sana dan saya dah buat keputusan akan mengikut mama."
“Tak. Bukan pasal tu. Belajar di luar negara memang impian mama dahulu, tapi mama dah lupakannya sejak berkahwin dengan papa kamu dan sekarang impian mama adalah menjaga kamu sehingga kamu benar-benar dewasa. Itu impian mama sekarang," ujar Puan Nazrina menggenggam kedua-dua tangan anaknya.
“Ma, tolonglah jangan paksa diri lagi. Mama dah banyak berkorban untuk saya dan izinkan saya berkorban untuk mama pula. Saya tak mahu sebab saya, impian mama selama ini terkubur macam tu saja. Saya tahu, mama memang nak sangat terima tawaran tu. Jangan risaukan saya lagi. Saya akan ikut mama."
Tanpa disedari air mata Puan Nazrina menitik satu demi satu. Dia terharu sangat dengan apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Kini, barulah dia menyedari, Nazrul bukan lagi budak kecil yang perlu dijaga, tapi sudah berubah menjadi lelaki yang matang dan tahu buat keputusan.
“Thanks, sweetheart." Puan Nazrina memeluk erat satu-satunya anak lelakinya itu.
“Jangan lupa belanja ayam golek sebelum pergi sana," gurau Nazrul.
Mereka dua beranak ketawa kelucuan.

“KAU nak apa?" tanya Nurul sebaik sahaja menjawab panggilan telefon daripada Nazrul sebaik sahaja dia meletak kepala pada bantalnya untuk tidur. Dia melihat jam pada dinding biliknya. Tepat jam 12.00 tengah malam. “Kenapa kau selalu ganggu aku tidur malam-malam? Lain kali aku tutup handset!"
“Kau dah cakap banyak kali, tapi tak tutup juga," balas Nazrul tersengih.
“Bukan tak tutup, tapi aku lupa nak tutup!"
“Cakaplah kau tengah tunggu panggilan daripada aku," balas Nazrul sengaja ingin menyakat Nurul.
“Beri aku sebab kenapa aku perlu tunggu panggilan daripada kau?" Nurul mencebik. Memang beberapa hari ini dia sering menerima panggilan daripada Nazrul dan kadang-kadang mereka akan berbual sehinggalah salah seorang daripadanya tertidur.
“Sebab kau sukakan aku?" jawab Nazrul.
“Tolong sikit! Kau yang selalu telefon aku, bukannya aku yang telefon kau. Jadi, maknanya kau yang sukakan aku, kan? Kalau suka tu cakap sajalah, jangan lah nak tuduh-tuduh aku pulak yang tangkap lentok dengan kau."
Senyap. Tiada kedengaran suara daripada Nazrul. Nurul pelik. Tak mungkin Nazrul sudah tidur. Rasanya tidak sampai beberapa minit mereka berbual. Selalunya paling cepat mereka berbual melalui telefon adalah setengah jam. Itu pun sebab kredit Nazrul sudah habis.
“Nazrul?"
“Ya. Sorry, apa yang kau cakap tadi?"
“Kau dengar atau pura-pura tak dengar?" Nurul terasa Nazrul sudah mula mempermainkannya.
“Serius, aku tak dengar."
“Kau ada masalah? Siang tadi aku tengok kau lain macam saja." Nurul teringatkan wajah sugul Nazrul dan asyik mendiamkan diri siang tadi seolah-olah Nazrul mempunyai masalah besar.
“Tak ada apa," jawab Nazrul. Dia masih lagi belum bersedia untuk memberitahu Nurul. Atau, mungkin lebih tepat lagi, dia takut hendak memberitahu Nurul.
“Habis tu, kau sakit?"
“Tak." Nazrul cuba ketawa. “Jangan risau. Aku tak apa-apa, cuma..."
“Cuma apa?"
“Tak ada apalah. Wei, aku dah bincang dengan Rezza, nanti kena cari pengganti aku sebagai penjaga gol. Mungkin kita akan adakan mesyuarat tergempar hari Rabu nanti."
“Pengganti kau?" Nurul hairan. Cara Nazrul bercakap seolah-olah dia hendak keluar dari Kelab Bola Sepak atau pergi dari sini sahaja. “Kenapa pula nak cari pengganti kau? Kau nak pergi mana?"
“Kan hujung tahun ni aku tamat belajar. Mesti lah nak cari pengganti baru jugak. Bukan pengganti aku saja, pengganti Rezza, Fiq dan beberapa jawatan yang diisi oleh ahli tingkatan lima. Semuanya perlu ada pengganti. Nanti kami tak mahu kau pening kepala nak cari pengganti yang sesuai," balas Nazrul.
Nurul pula terdiam. Rasanya macam baru semalam dia berkenalan dengan mereka semua dan sekejap sahaja dia akan berpisah dengan mereka. Kebanyakan jawatan tertinggi dalam kelab dipegang oleh pelajar tingkatan lima. Rasanya macam tidak percaya sahaja mereka semua akan tinggalkan sekolah dan yang penting lagi tinggalkan kelab. Begitu juga dengan Nazrul yang akan meninggalkan zaman persekolahan. Mungkin dia tidak akan berjumpa dengan Nazrul dan yang lain lagi. Mereka semua pasti akan sibuk dengan kehidupan belajar di kolej atau kehidupan pekerjaan bagi yang tidak mahu menyambung pelajaran.
“Lepas sekolah nanti kau nak buat apa?" tanya Nurul.
“Tak tahu lagi."
“Tak nak sambung belajar?"
“Mungkin," jawab Nazrul sepatah.
“Ni mesti tak ada cita-cita lagi ni."
“Bukan tak ada, tapi masih samar-samar lagi. Percaya tak, kadang-kadang kita ni tak pasti dengan cita-cita kita. Jadi memang susah nak buat pilihan sekarang. Mungkin bila dah habis belajar nanti, kita akan nampak masa depan kita."
“Oh, kalau macam tu biar aku tolong kau. Kau minat dalam bidang apa?"
“Bidang tidur."
“Cakaplah betul-betul!" Nurul mencebik marah.
Kedengaran ketawa Nazrul di hujung talian.
“Betullah. Aku rasa selain tidur, aku tak minat apa-apa. Oh, ya, aku minat bola sepak dan..."
“Ayam golek." Pantas Nurul menjawab.
Nazrul ketawa lagi.
“Mungkin kau boleh jadi pengusaha ayam golek."
“Tak boleh."
“Kenapa?"
“Sebab aku takut aku akan makan semua ayam golek tu," jawab Nazrul.
Kali ini Nurul pula ketawa kelucuan. Perbualan mereka berlanjutan entah berapa lama setelah menyedari masing-masing terlalu mengantuk untuk berbual lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience