SOFEA bagaikan terkena serangan jantung apabila Nurul menceritakan segala-galanya tentang apa yang berlaku semasa dia dipanggil ke bilik disiplin. Mulutnya sedikit ternganga sepanjang Nurul bercerita seperti tidak menyangka Aulia sanggup melakukan perkara yang bodoh itu semata-mata kerana Carta Prince Charming dan apa yang mengejutkannya lagi adalah Nurul menceritakan tentang kewujudan Nazrin. Bagaikan tidak percaya, dalam masa sehari sahaja dia memperoleh dua cerita yang amat memeranjatkan dalam sejarah hidupnya sebagai penggemar gosip-gosip liar di sekolah.
“Nanti sekejap, aku nak fahamkan di sini, Aulia pernah cuba bunuh kau dua kali semata-mata sebab kau koyak Carta Prince Charming yang dia puja selama ini. Dia upah orang untuk langgar kau dan Nazrul yang tak sengaja terdengar perbualan dia melalui telefon yang merancang untuk langgar kau. Dan, Nazrin yang merupakan personaliti kedua Nazrul telah menyelamatkan kau masa tu?" Sofea merumuskan kembali apa yang di beritahu oleh Nurul kepadanya tadi untuk mendapat gambaran sebenar.
Nurul yang mendengarnya hanya mengangguk.
Sofea kemudiannya terdiam lama. Barangkali cuba memikirkan kelogikan daripada cerita yang didengari itu. Mungkin cerita Aulia hendak membunuh Nurul boleh juga diterima sebab Aulia sememangnya tidak akan melepaskan musuhnya dengan senang. Semua yang pernah menjadi musuh-musuh Aulia di sekolahnya itu akan bertukar sekolah atau dibuang sekolah atas kesalahan yang tidak dilakukan mereka. Semuanya kerja kotor Aulia. Jadi, kemungkinan cerita tentang Aulia adalah seratus peratus ada kebenarannya, tapi tentang Nazrin, otaknya tidak dapat memproses kebenaran itu.
“Nazrul ada dua personaliti?" tanya Sofea inginkan kepastian sekali lagi.
“Ya. Nazrin dan Nazrul. Aku tahu benda ni tak logik dan kalau aku cakap, kau mesti kata aku sengaja reka cerita supaya cerita aku nampak lebih menarik untuk di buat bahan gurauan. Tapi, dia ada dua personaliti, Nazrul dan Nazrin. Nazrul, merupakan seorang yang selalu bergaduh dengan aku dan selalu membuatkan aku sakit hati. Manakala, Nazrin, dia mempunyai personaliti yang bertentangan dengan Nazrul. Dialah yang selamatkan aku dan dia jugalah orang yang selalu date dengan aku di The Cafe," jelas Nurul.
“Macam mana kau tahu pasal Nazrin?"
“Secara tak sengaja. Kalau orang lain yang tak rapat dengan Nazrul, pasti akan ingat Nazrul memang seorang yang bermasalah dengan emosi dia. Tapi, bila seseorang tu rapat dengan Nazrul, dia akan nampak perubahan personaliti yang ada. Bukankah dulu aku pernah beritahu Nazrul memang seorang yang pelik? Kadangkala dia baik, kadangkala dia tak ingat langsung apa yang dia buat keesokan harinya dan banyak lagi kalau kau betul-betul kenalinya," terang Nurul.
“Kalau macam tu, kau memang hebat." Sofea menggeleng sekali lagi tidak percaya. Dia tidak menyangka, ada orang seperti Nazrul. Selama ini dia hanya mendengar penyakit misteri itu di laman web pada kajian-kajian doktor dan menganggap doktor yang mengkajinya gila. Dia juga pernah melihat drama-drama di televisyen yang memaparkan kisah seorang yang mempunyai dua personaliti dan menganggapnya sebagai perencah bagi pengarah membuatkan ceritanya lebih menarik, tapi dia tidak menyangka bahawa apa yang dianggapnya gila dan tidak logik itu benar-benar berlaku.
Walaupun hanyalah sekadar mendengar sahaja dari mulut Nurul, tapi bila difikir kembali, apa gunanya Nurul hendak menipunya? Apa faedahnya Nurul membuat cerita seperti itu? Kalau Nurul sedang menipunya, memang dia tabik spring kepada Nurul kerana boleh membuat cerita sehingga dia terpedaya dengan cerita sedemikian. Tapi, dia percaya kata Nurul.
“Sebenarnya, aku memang nak beritahu kau pasal ni, tapi rahsia ni rahsia besar-besaran Kelab Bola Sepak dan kami dilarang menceritakan kepada sesiapa pun kalau tak dapatkan kebenaran daripada semua orang terutama sekali Nazrin dan Nazrul. Baru hari ni Nazrul benarkan aku beritahu kau,' kata Nurul.
“Pada mulanya aku agak marah bila dapat tahu pasal kau dating dengan Nazrul dan lepas tu taknak mengaku. Bila aku tanya, kau pandai putar belit soalan, tapi bila aku dapat tahu pasal ni... aku tak tahu nak kata apa. Cuma, aku faham apa yang kau sedang alami. Aku marah bukan aku jealous, tapi sebab aku terasa seperti disisihkan."
“Hah! Kenapa kau rasa macam tu pula?" Kali ini Nurul pula terkejut dengan kenyataan Sofea. Tidak sangka, hanya sebab dia tidak ingin berkongsi rahsia dengan Sofea, Sofea terasa dengannya.
“Mungkin sebab aku cemburu dengan kehidupan kau yang ramai kawan lelaki, apatah lagi aku dengar semua ahli bola sepak memang suka dengan kau. Kau dah popular dan mungkin sebab itulah kau tak nak berkongsi rahsia dengan aku lagi. Tapi, bila kau beritahu perkara ni, aku rasa aku ni bodoh sangat sebab terlampau ikut perasaan." Sofea meluahkan perasaan.
“Sekurang-kurangnya kau tak sebodoh seperti Aulia sehingga terfikir nak bunuh aku," kata Nurul cuba menceriakan suasana semula.
“Mungkin juga," balas Sofea mulai tersenyum.
“Bercakap tentang Aulia, apa reaksi dia bila terima surat berhenti sekolah?"
“Terkejut gila sampai menangis-nangis dan merayu-rayu pada Cikgu Rosli lepaskannya untuk kali ini. Tapi, Cikgu Rosli tak layan sebab apa yang dia buat tu memang tak boleh dimaafkan. Cubalah kau fikir, takkanlah sebab seseorang koyak Carta Prince Charming yang tak bermakna tu, kau nak bunuh seseorang. Bodoh tak? Itu yang Cikgu Rosli tak boleh terima, tapi Aulia memang banyak putar belit untuk selamatkan diri," beritahu Nurul kepada Sofea.
“Kau pula, tak bom dia balik ke?"
“Aku tak boleh nak kata apa sebab akulah orang yang paling terkejut dengar berita tu. Aku cuma dengar pengakuan Aulia dan pengakuan dari mulut Rezza dan Fiq yang juga saksi kejadian. Dengar juga pita rakaman yang mereka rakam daripada orang yang cuba membunuh aku. Aku memang terkejut sebab tak sangka dia orang sanggup cari orang yang cuba bunuh aku tu untuk dapatkan bukti. Aku tak boleh bersuara sepanjang masa tu walaupun aku nak saja cakap betapa bodohnya Aulia tu," terang Nurul sekali lagi.
“Mesti kecoh pasal ni esok pagi." Sofea sudah dapat bayangkan bagaimana wartawan-wartawan yang tidak bertauliah akan menyoalnya atau Nurul untuk mendapatkan berita sensasi ini.
“Mungkin, tapi rasanya Aulia takkan beritahu kenapa dia kena buang sekolah kepada kawan-kawannya. Dia pasti putar belit juga, lagipun Cikgu Rosli dah bagi warning kepada dia supaya jangan dedahkan kes ini kepada pelajar lain kalau tidak nama dia yang busuk nanti."
“Siapa yang berani buka pekung sendiri? Kita tunggu sajalah apa yang berlaku esok."
“Tentang apa yang kita cakap ni, biarlah tamat di sini. Aku minta sangat kau tak beritahu orang lain tentang kes Aulia atau tentang Nazrin. Terutama tentang Nazrin. Rahsia ni memang rahsia besar. Aku beritahu kau sebab Nazrul benarkan aku dan aku percaya kau boleh simpan rahsia."
“Baik bos!" Sofea mengangkat tangan, mentabik hormat. “Tapi, sebelum tu aku nak tanya satu soalan."
“Apa dia?"
“Antara Nazrin dan Nazrul yang mana kau suka?"
“Tentulah Nazrin," pantas Nurul menjawab.
NAZRIN?
Pensel di tangan dimainkan secara memusing bahagian tengah pensel sambil matanya asyik memandang ke arah kipas siling yang sedang bergerak laju di dalam kelasnya. Dia langsung tidak dapat menumpukan perhatian dengan apa yang Cikgu Rogayah yang sedang terangkan di hadapan sana. Fikirannya asyik tertumpu dengan soalan dan tanggapan Sofea pada malam tadi.
“Aku nak ajar kau tentang sikap manusia yang normal. Manusia suka perkara yang baik. Kalau dia fikir seseorang itu melakukan sesuatu perkara yang baik, dia pasti akan sukakannya tanpa fikir panjang dan manusia juga tidak suka benda yang tidak baik. Sebagai contoh, kalau dia fikir, korek hidung itu adalah perbuatan tak baik, sampai bila-bila pun dia akan ada masalah dengan orang yang korek hidung itu termasuklah akan pandang serong dengan apa yang dibuatnya. Itu sikap normal manusia.
“Seperti apa yang berlaku pada kau, kau nampak Nazrin tu baik dan sebab itulah kau suka dengan Nazrin berbanding Nazrul. Tapi, cuba kau fikirkan sekali lagi dengan logik, takkanlah kau tak sukakan Nazrul hanya sebab Nazrul tu seorang yang suka korek hidung seperti yang aku katakan tadi? Dengan kata lain, kau tak sukakan Nazrul sebab perangai Nazrul yang suka cari gaduh dengan kau. Itu sikap normal manusia yang bodoh," terang Sofea satu persatu secara perlahan dan teratur seperti seorang pensyarah memberi syarahannya dengan terperinci untuk membuatkan pelajarnya faham apa yang ingin disampaikannya.
Nurul faham apa maksud Sofea, tetapi Sofea tidak faham sebab tidak pernah berhadapan dengan Nazrul. Baginya Nazrul memang seorang yang sukar untuk dibawa berbincang atau berbual. Bukannya dia tidak pernah cuba untuk tidak mewujudkan siri peperangan dengan Nazrul, tetapi setiap kali dia membuka mulut bercakap dengan Nazrul, pasti ada sahaja beberapa peluru berpandu dilancarkan oleh Nazrul sehingga dia sendiri tidak tahan dengan perangai Nazrul yang kerap sekali mencari gaduh dengannya.
Nurul juga menganggap Sofea terlampau banyak membaca novel-novel cinta sehinggakan terpengaruh dengan cerita dalam novel dengan mengatakan kisahnya lebih kurang seperti novel. Hero dan heroin bergaduh di awal cerita dan bercinta di akhir cerita. Tapi, Nurul pantas menafikannya.
“Kita tak boleh samakan kehidupan kita dalam novel atau drama-drama di televisyen, Sofea. Aku dan Nazrul memang ditakdirkan untuk saling melancarkan peluru berpandu dan tak mungkin akan ada perjanjian perang damai. Aku kenal Nazrul, dia memang tak puas hati dengan aku sejak kali pertama aku jumpa dia dan tak mungkin dia sengaja cari gaduh dengan aku seperti teori bodoh kau tu," kata Nurul lagi.
“Manusia memang suka anggap yang tak logik itu adalah bodoh, tapi boleh tak kau pastikan sesuatu?"
“Pastikan apa pula?"
“Kau kumpul balik memori kau tu dan proses balik. Kemudian tanya pada diri kau sendiri, adakah Nazrul sengaja bergaduh dengan kau?"
Sofea memang hebat dalam memutar belitkan fakta dan kenyataan. Sebagai contohnya, Sofea cuba membuatkan dia terfikir bahawa Nazrul memang sengaja bergaduh dengan dia, tapi bila difikirkan secara logik, buat apa pula Nazrul sengaja hendak cari gaduh dengannya? Bukannya ada faedah pun.
“KAU nak jumpa aku?" tanya Nurul sambil menghampiri Nazrin yang ingin menemuinya selepas tamat sahaja sesi latihan pada petang itu.
“Kau ada jumpa Nazrul?" Nazrin bertanya.
Nurul tersenyum. Kalaulah Nazrin bertanya kepada orang yang tidak tahu mengenai hal ini, pasti orang itu akan menganggapnya gila. Nurul sekadar menggeleng. Memang dia sudah lama tidak berjumpa dengan Nazrul. Tapi, pelik juga.
“Kenapa?"
“Nazrul tak pernah begini. Walau macam mana pun, dalam satu hari dia pasti akan terjaga, tapi sekarang ni dah masuk hari ketiga. Rezza yang sedar perkara ni. Ini baru kali pertama," kata Nazrin yang jelas terpancar kegelisahannya.
“Dia merajuk?"
Nazrin sekadar mengangkat bahu.
Nurul tidak tahu hendak berkata apa. Ini adalah pertama kali dia berhadapan dengan seorang yang mempunyai dua personaliti dan tidak tahu apakah puncanya.
“Mungkin dia nak tidur," teka Nurul.
“Mungkin, tapi aku rasa macam ada sesuatu tak kena."
“Apa dia?"
Nazrin sekali lagi mengangkat bahu. Sukar untuk dia terangkan kepada Nurul apa yang dirasakan sekarang. Nazrul seperti sudah pergi jauh. Jika dahulu, dia masih lagi merasai kehadiran Nazrul, tetapi sekarang...
Dia rasa kosong. Amat kosong.
Share this novel