“JADI, kiranya kau orang berdua dah berbaik daripada bermasam mukalah ni?' tanya Sofea sambil meratah ayam goreng yang Nurul masak tadi.
“Aku hanya bermasam muka dengan Nazrul, tapi bukan dengan Nazrin," kata Nur turut serta meratah ayam goreng yang dijadikan makanan malam mereka. Selalunya memang dia tidak makan malam, tapi entah kenapa perutnya teringin menjamah sesuatu selain nasi pada malam itu. Kebetulan pula Sofea datang tepat pada waktunya dengan meredah masuk ke dalam rumahnya.
Memang hubungan dia dengan Sofea boleh dikatakan rapat sejak dia berpindah ke situ. Mungkin sebab Sofea yang sering ditinggalkan seorang diri di rumah kerana ibu dan bapanya yang sibuk dengan kerja akan membuatkan Sofea bertandang ke rumahnya yang hanya bersebelahan. Dengan itu, Sofea tidak akan berasa sunyi apabila ketiadaan ibu bapanya di sisi.
“Ada beza ke dengan dua nama tu?" Sofea masih lagi tidak faham dengan cerita Nurul. Dia tidak pasti, adakah otaknya lambat memproses maklumat atau Nurul yang sengaja mencipta cerita yang tidak boleh diterima oleh akalnya untuk memproses.
“Ada. Nazrul adalah personaliti yang jahat dan Nazrin adalah personaliti yang baik," kata Nurul menerangkannya sekali lagi.
“Tapi, kedua-dua mereka orang yang sama," balas Sofea lagi.
“Sofea, berapa kali aku nak terangkan pada kau? Memanglah dua nama tu orang yang sama, tapi yang bezanya adalah watak jahat dan watak baik. Aku hanya berkawan dengan Nazrin sebab dia baik dan kalau dia berubah jadi jahat-dalam kurungan Nazrul, aku akan jauhkan diri daripadanya."
Sofea hanya menggeleng. Sememangnya dia faham dengan apa yang cuba disampaikan oleh Nurul, tapi dia masih lagi tidak faham kenapa Nurul menganggap orang yang sama mempunyai dua watak yang berlainan sedangkan ia adalah normal bagi manusia yang mempunyai personaliti baik dan jahat. Memang dia akui, kadangkala watak jahat dalam dirinya akan muncul apabila ada seseorang cuba mengkhianatinya atau cari gaduh dengannya. Tapi, apa yang dia tidak faham adalah Nurul memandang kedua-duanya seperti Nazrul mempunyai dua personaliti yang berbeza.
“Kenapalah aku berkawan dengan orang gila macam kau?" keluh Sofea.
“Ya. Aku mungkin dah gila sebab percayakan cakap Nazrin." Nurul pula mengeluh.
“Kalau dah tahu, kenapa kau masih percayakan teori bodoh dia tu?"
“Sebab aku fikir walaupun teori dia bodoh dan dia sengaja nak bodohkan aku, tapi aku rasa lebih baik aku fikir macam tu," terang Nurul.
“Kenapa pula?"
“Entahlah! Rumit sangat aku nak terangkan perasaan aku. Bila aku senaraikan kejahatan dia dan kebaikan dia, aku rasa seimbang. Dia tak adalah terlampau jahat sangat dan dia juga tak adalah baik sangat. Dia seperti..."
“Seperti..."
“Manusia biasa," balas Nurul setelah lama memikirkannya.
“Oh, kalau Nazrul dan Nazrin tu seperti manusia biasa, habis kita berdua dan orang-orang di sekeliling kita ni manusia jenis apa?" tanya Sofea lagi.
“Boleh tak kau jangan nak kelirukan aku lagi?"
“Nurul, kau yang mulakan dulu. Kau kelirukan watak Nazrul dan Nazrin yang wujud dalam badan yang sama. Kau juga anggap kedua-dua mereka berlainan identiti sedangkan mereka berdua adalah orang yang sama."
“Ya. Itu hanyalah teori aku setelah dipengaruhi oleh Nazrin dan boleh tak kita jangan berbincang pasal teori bodoh ni lagi, sebab aku tak nak kau mempengaruhi aku yang mereka tu orang yang sama," kata Nurul dengan sekali nafas.
“Kenapa?"
“Sebab aku tak nak jawab soalan yang bodoh tu," kata Nurul dengan selamba.
Sofea tertawa kelucuan. “Okey, kita berhenti cakap perkara yang bodoh tu dan buka cerita baru. Bagaimana dengan Fiq?" terus Sofea bertanya tanpa memberi ruang sedikit pun pada Nurul untuk membuka mulut.
“Apa kata kalau kau cerita pasal gosip yang tengah hangat sekarang ini? Aku dengar kau pergi dating dengan seseorang." Sengaja Nurul ingin mengubah tajuk perbualan.
“Aku tersalah dengar ke?" tanya Sofea dengan nada memerli. “Sejak bila kau suka dengan gosip liar ni?"
“Aku hanya akan aktif dengar gosip liar kalau gosip tu melibatkan orang yang aku kenal seperti kau. Jadi, kau nak komen pasal gosip tu?" tanya Nurul.
“Tak mungkin. Apa yang kau dengar tu hanyalah gosip semata-mata walaupun aku tak tahu apa sebenarnya motif gosip tu. Pelik sangat ke kalau aku keluar dengan seorang lelaki?"
“Jadi betullah?" Nurul inginkan kepastian.
“Ya. Aku keluar dengan seorang lelaki, tapi itu tak bermakna dia boyfriend aku. Aku cuma keluar dengan dia dan aku inginkan penjelasan daripada dia. Itu saja," tegas Sofea.
“Penjelasan apa?"
“Sesuatu yang tak penting pun."
“Boleh aku tahu siapa orangnya?"
Memang Sofea jarang keluar dengan mana-mana lelaki dan mendengar sahaja Sofea mengaku keluar dengan lelaki membuatkan Nurul rasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Dia seorang lelaki dan juga seorang manusia biasa," jawab Sofea ringkas.
“Huh, pendek kata,kau memang tak nak kongsi langsung dengan aku."
“Tahu tak apa!"
“Tapi,tak adillah. Aku beritahu kau semua tentang rahsia aku, tapi kau langsung tak nak kongsi dengan aku."
“Bukannya aku tak nak kongsi dengan kau, tapi benda ni tak penting pun. Sekali lagi aku nak tegaskan di sini, aku memang ada keluar dengan seorang lelaki, tapi dia bukanlah sesiapa. Dia bukanlah spesial sangat dan dia hanyalah manusia biasa," kata Sofea sekali lagi menegaskan gosip liar yang sedang melanda sekolahnya. Pelik juga dengan wartawan-wartawan tak bertauliah di sekolahnya. Ada sahaja mata-mata di luar sana memerhati setiap langkah pelajar sekolahnya itu.
Itu pun dia bernasib baik kerana tidak dinyatakan siapa yang menjadi pasangannya dalam gosip yang melanda sekarang. Jika tidak, pasti kecoh satu sekolah, padahal dia berjumpa dengan lelaki itu hanyalah ingin penjelasan lanjut sahaja dan bukannya ingin mengurat atau dingurat oleh lelaki itu.
“Okey, sekurang-kurangnya aku tahu yang gosip tu betul. Tapi, aku harap yang lelaki misteri tu bukan Nazrul," kata Nurul selamba.
Hampir tersedak air yang diminum oleh Sofea tadi mendengar dari mulut Nurul.
“Kenapa?" Nurul mula mengagak sesuatu.
“Kenapa? Kenapa kalau aku kata lelaki tu benar-benar Nazrul?"
“Itu maknanya kau dah buang tabiat."
“Kau jealous?"
“Buat apa aku nak jealous? Aku bukannya ada hubungan serius dengan dia."
Sofea tersenyum. “Kalau macam tu baguslah."
“Jadi, lelaki tu betul-betul Nazrul?" tanya Nurul ingin kepastian.
Sofea sekadar tersenyum tanpa berbicara dengan lebih lanjut lagi.
Memandangkan Sofea tidak mahu berkongsi rahsia dengannya, Nurul tidak bertanya lanjut, lagipun apa yang perlu dipedulikan jika Sofea benar-benar keluar dengan Nazrul? Nanti kalau tanya macam-macam, macam-macam pula teori Sofea keluar. Jadi, untuk menyelamatkan dirinya menjadi bahan usikan, lebih baik dia berhenti bertanya.
“Soalan aku tadi, macam mana dengan Fiq?" tanya Sofea.
“Okey,dia sihat," jawab Nurul selamba.
“Itu saja?"
“Kau nak jawapan yang macam mana?"
“Aku ingatkan ada cerita yang menarik yang perlu dikongsi dengan aku. Kau pun tahukan, aku nak jadi orang pertama yang tahu kalau kau couple dengan Fiq atau apa-apa cerita yang berkenaan kau dan Fiq sebab aku tak nak orang lain tahu dahulu hal kau orang berdua daripada aku. Barulah aku bangga jadi kawan kau," kata Sofea menepuk-nepuk bahu Nurul.
“Habis, selama ni kau tak bangga aku jadi kawan kaulah?"
“No comment," jawab Sofea pendek.
Nurul menjeling tajam. Tapi, itulah Sofea. Berkata sesuatu yang menyakitkan hati sudah menjadi rutin harian Sofea. Tapi, bagi Nurul, mulut Sofea tidak laser seperti yang dia dengar daripada rakan-rakannya di sekolah. Baginya, Sofea memang suka bercakap apa yang dirasainya perlu dicakap. Dia juga tidak mudah berdalih atau menafikan sesuatu.
“Entahlah. Sejak peristiwa surat cinta tu aku dah fobia dengan benda-benda macam ni. Aku rasa lebih baik aku macam ni saja. Lagi aku fikir,lagi banyak perkara pelik yang aku akan buat nanti." Nurul memberi komen.
“Emm...aku rasa lebih baik macam ni saja. Lagipun, normal bagi perempuan kalau jatuh cinta dengan Fiq. Aku dulu pun macam tu juga. Gila bayang dengan Fiq, tapi bila dah lama, aku rasa biasa saja sebab aku fikir, aku bukan ditakdirkan dengan Fiq. Jadi, buat apa aku bazirkan masa aku gila bayang pada dia," kata Sofea pula.
“Itu sebab kau betul-betul tak ada perasaan."
“Mungkin juga," Sofea menjawab seperti orang yang tiada perasaan.
“NAZRIN atau Nazrul?" tanya Nurul menghampiri Nazrul.
Rezza, Farizat dan Fiq yang berada di dalam bilik itu saling berpandangan, kemudian masing-masing mengangkat bahu. Masing-masing tidak tahu apa yang berlaku. Nazrul kemudiannya memandang mereka dan memberi isyarat mata seperti inginkan penjelasan lanjut.
“Nazrin? Siapa Nazrin?" Rezza bertanya kepada Nurul semula.
“Entah. Aku rasa perempuan ni dah kena rasuk hantu." Nazrul kemudiannya bersuara. Terkejut dia apabila Nurul yang tiba-tiba datang menghampirinya bertanya soalan yang pelik.
“Oh, aku tahu, kau Nazrul," ujar Nurul dan berlalu duduk di sebelah Fiq.
“Dia memang Nazrul," kata Rezza pelik.
“Ya. Dia memang Nazrul sebab dia jahat. Nazrin pula baik," jawab Nurul membuatkan mereka berempat mula berasa tidak senang dengan keadaan itu terutama sekali Nazrul. Melihat sahaja mereka berempat saling berpandangan, Nurul memulakan bicara.
“Baiklah. Apa yang kau orang akan dengar ini mungkin agak pelik sikit, tapi hanya cara ini sahaja aku dapat berkomunikasi dengan Nazrul tanpa ada sengketa." Nurul kemudiannya memandang Nazrul yang kelihatan runsing dengan apa yang diperkatakannya tadi.
“Kod dia mudah saja, bila aku tanya kau adalah Nazrul atau Nazrin, kau perlu jawab salah satu daripada tu sebab dengan itu aku boleh tahu mood kau. Kalau kau badmood macam tempoh hari, kau adalah Nazrul dan kalau mood kau okey macam semalam, kau adalah Nazrin. Jadi macam mana? Hebat tak idea aku ni?" tanya Nurul yang telah memikirkan idea itu sejak malam tadi lagi.
Mereka berempat kemudiannya saling berpandangan. Masing-masing tidak tahu apa-apa. Entah apa yang berlaku pada Nurul sehingga mampu terfikir idea seperti itu.
“Err...aku nak balik tidur." Nazrul mencapai begnya. Sebelum itu dia memberi isyarat kepada Rezza supaya pulang bersama.
Rezza pula tanpa banyak cakap turut meminta diri untuk pulang. Dia tahu Nazrul sudah mula tidak berasa selesa dengan keadaan itu, apatah lagi Nurul menyebut nama Nazrin. Pasti Nazrul inginkan penjelasannya walaupun dia tidak tahu apa-apa tentang hal tersebut.
“Asyik tidur saja," kata Nurul dengan nada tidak puas hati. Baru sahaja dia melangkah masuk dan ingin menyertai perbualan mereka, tapi cepat pula Nazrul ingin balik. Tapi, mungkin betullah teorinya. Mood Nazrul tidak berapa baik.
Nazrul melangkah pantas keluar dari bilik perjumpaan untuk pasukan bola sepak yang selalu menjadi tempat lepaknya itu dan diikuti dengan Rezza.
“Macam mana Nurul boleh tahu pasal Nazrin?" tanya Nazrul kepada Rezza. Kali ini, wajah Nazrul lain sekali. Tiada lagi wajah kebudak-budakannya, tapi hanya ada wajah yang serius.
Tidak pernah Rezza melihat Nazrul begitu serius apabila bercakap dengannya. “Terus terang aku kata, aku tak tahu. Kalau aku tahu dah lama aku beritahu kau sebelum Nurul beritahu kau." Rezza menjawab. Bukannya dia ingin melarikan diri daripada tanggungjawabnya, tapi dia benar-benar tidak tahu tentang perkara itu.
Nazrul mengeluh lemah. Selama ini Rezza memang kawan baiknya dan selama ini juga Rezza tidak pernah membocorkan rahsianya kepada sesiapa. Jika Rezza ingin berbuat demikian, Rezza pasti akan mendapatkan kebenaran daripadanya terlebih dahulu. Untuk kes ini, dia percayakan Rezza dan juga sahabat-sahabatnya yang lain.
“Semalam, Nazrin ada beritahu apa-apa?" tanya Nazrul.
Rezza hanya sekadar menggeleng. Seingatnya, dia Nazrin tidak memberitahunya apa-apa atau sesuatu pesanan untuk ditujukan kepada Nazrul.
“Kau rasa, Nazrin dah beritahu Nurul ke?" tanya Nazrul.
“Mungkin. Tapi, mungkin bukan semuanya."
“Maksud kau?"
“Kau tak dengar Nurul cakap tadi? Nazrin dan Nazrul adalah kod baginya untuk berkomunikasi dengan kau," terang Rezza.
“Apa bezanya?" tanya Nazrul.
“Okey, macam tadi. Nurul ada tanya, Nazrin atau Nazrul? Nazrin adalah kod bagi mood kau yang baik dan Nazrul adalah kod bagi bad mood kau," terang Rezza sekali lagi, tapi Nazrul masih tidak dapat tangkap maksud Rezza. “Aku rasa Nazrin punya idea. Dia nak Nurul tak syak sesuatu dan wujudkan kod ni untuk kelirukan Nurul. Kau sendiri pun tahu, perangai kau dengan Nazrin tak sama melayan Nurul. Nazrin layan Nurul dengan baik dan kau pula asyik gaduh dengan Nurul. Jadi, untuk mengelakkan Nurul perasan semua ni, Nazrin dah cipta helah ni. Jadi, kau orang berdua boleh memperdaya Nurul dengan senang tanpa dikesan," ujar Rezza lagi.
“Maksud kau..."
“Ya. Nurul anggap kau Nazrin dan Nazrul adalah orang yang sama, cuma yang bezanya adalah mood kau ketika itu yang mewakili diri masing-masing. Nazrin atau Nazrul,faham?"
“Err... sikit-sikit, tapi kenapa Nazrin tak beritahu pun pasal ni?"
“Mungkin dia terlupa atau kau yang terlupa baca nota."
“Err..." Nazrul hilang kata-kata sambil tersengih memandang Rezza.
“Kau terlupa baca nota." Rezza sudah dapat mengagak.
Nota:
Partner
Masalah kita dah selesai. Aku dah perdayakan Nurul tentang kita dan dia percaya. Sekarang kita dah bebas nak jadi sesiapa pun. Jadi, sebagai balasannya aku nak ayam golek seekor - Nazrin.
“BUDAK ni, sejak bilalah dia pandai makan ayam golek?" Nazrul menggaru kepalanya selesai membaca nota kecil yang terlekat di papan putih yang terletak di sebelah peti ais.
Nazrul tersenyum. Nasib baiklah dia tak menggelabah tadi apabila Nurul menyebutnya tentang Nazrin. Mana tidaknya, Nurul tiba-tiba datang menyapanya dan bertanyakan sama ada dia Nazrul ataupun Nazrin. Dia ingatkan Nurul sudah tahu rahsia yang disimpannya selama ini. Dia sememangnya takut reaksi orang ramai jika mengetahui apa yang terjadi pada dirinya dan sebab itulah arwah papanya bertegas untuk merahsiakan kewujudan Nazrin sebagai personaliti keduanya.
Semua berlaku secara kebetulan dan masih tiada punca yang kukuh bagaimana benda ini boleh terjadi. Pada mulanya memang sukar ingin diterimanya, tetapi apabila sudah biasa, dia mampu menerima semua yang terjadi pada dirinya.
“Betul ada nota?" Rezza datang menyapanya.
“Emm..." Nota yang ditulis oleh Nazrin diberi kepada Rezza. “Dan, dia minta ayam golek seekor. Sejak bila pula dia suka ayam golek?"
“Jangan lupa, dia kembar kau. Macam manalah Nazrin boleh terfikir idea yang bernas ni?"
Nazrul menggeleng. Malas dia hendak ulas perkara itu. Daripada dia bertanya pada dirinya sendiri, lebih baik dia suruh Rezza bertanya kepada orang yang memikirkan idea tersebut.
“Aku tak tahulah sama ada idea tu bernas atau Nurul tu yang lurus bendul sangat percaya cakap Nazrin." Nazrul meneguk sedikit air pada botol mineral yang dikeluarkan dari peti ais tadi.
“Tapi, walau apa pun, masalah kau orang dianggap selesai," kata Rezza. Tiadalah dia pening kepala lagi mencari alasan apabila Nurul melihat perbezaan antara Nazrin dan Nazrul lagi. Sejak Nurul dilantik menjadi pengurus, Nurul sering kali bertanya kepadanya apabila Nazrul yang selalu buat hal dan pelik, berubah sikap.
“Aku tak fahamlah. Nazrul tu ada masalah ingatan ke? Semalam dia elok saja berborak dengan aku dan hari ini pula dia naik angin semacam. Bila ditanya pasal semalam, dia tak ingat dan lepas tu naik angin. Lepas tu tendang tong sampah dan lepas tu aku pula yang kena kutip sampah-sampah tu masuk ke dalam tong sampah! Dan mungkin lepas tu nanti, aku akan jadi gila semata-mata melayan karenah Nazrul!" ujar Nurul membebel.
Agak berpeluh juga Rezza hendak menjawab soalan Nurul yang pandai bertanya sehinggakan dia terpaksa melarikan diri apabila disoal bertubi-tubi oleh Nurul ketika itu.
“Rezza..." Nazrul yang mendiamkan diri dari tadi bersuara. Walaupun masalah dianggap telah selesai, tapi wajah Nazrul masih lagi diulit kerisauan. “Kau rasa, Nazrin tu sukakan Nurul ke?" soal Nazrul.
Perlahan-lahan Rezza mengangkat bahu. “Kenapa kau tanya macam tu?"
“Sebab aku rasa lain macam."
“Macam mana?"
Nazrul mengangkat bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak beritahu pada Rezza apa yang dirasanya sekarang. Apa yang pasti dia tidak suka dengan perasaan itu.
Share this novel