(35)

Drama Completed 7121

Kepada Nazrul,
Aku dah tak sanggup nak teruskan lagi. Selama ini aku ingat hidup berjauhan dengan kau dapat menguatkan lagi hubungan kita berdua, tapi nampaknya aku tak sekuat yang aku sangka. Lagipun aku dah fade-up menunggu e-mel daripada kau yang tak kunjung tiba di peti inbox aku ini. Aku tertanya-tanya, adakah kau ada perasaan lagi terhadap aku? Kalau ada sudah semestinya kau akan membalas e-mel-e-mel aku yang sebelum ini. Tapi, kau langsung tak balas. Seolah-olah membuat aku terasa aku kini bertepuk sebelah tangan.
Kau pernah menjadi Prince Charming aku. Aku pilih kau sebagai Prince Charming bukan kerana kau handsome sebab aku rasa kau ni tak handsome langsung. Bukan kerana kau boleh membeli Kota London untuk aku, tapi kerana kau adalah kau yang sebenar. Aku benci dengan perangai kau yang suka tidur setiap masa di mana jua, tapi dalam diam aku menerima kau yang seadanya. Tapi, itu dulu, Sekarang, pada waktu aku menaip e-mel ini... aku sendiri tidak tahu apakah perasaan aku terhadap kau lagi.
Hampir tiga bulan aku tidak terima e-mel daripada kau. Aku tak tahu kenapa kau tak ingin membalasnya sehinggakan aku terfikir tangan kau mesti sudah kudung untuk menaip sepatah haram. Gila, kan? Tapi, bila aku check kau punya Friendster, barulah aku tahu yang selama ini aku bertepuk sebelah tangan. Oh, itu belum aku check kau punya Fac, My Space dan sebagainya. Mungkin aku akan bakar laptop ini kalau aku tengok.
Apa yang aku nak kata, pertama kali memang aku sedih, tapi aku gembira sebab kau awal-awal lagi tidak menganggap aku girlfriend kau. Ya, kita adalah kawan pada awal lagi. Mungkin kau tahu benda ini akan terjadi. Aku tak salahkan kau. Mungkin ini adalah nasib aku. Kedua, selepas aku smackdown teddy bear yang kau bagi sebanyak seratus kali tanpa henti, aku dah okey dan aku boleh berfikiran secara normal kembali.
Mungkin ini adalah e-mel yang terakhir. Aku takkan kacau hidup kau lagi. Tapi, aku harap kita tetap akan jadi kawan seperti selalu. Sebenarnya ada seseorang sudah melamar aku jadi girlfriend dia dan aku menolaknya selama ini sebab terlalu memikirkan kau dan sekarang mungkin aku akan terima tawarannya. Jadi, aku hanya nak buat kau jealous dan kalau kau rasa kau masih sayangkan aku, lamar aku jadi girlfriend kau masa annual dinner kolej aku walaupun aku fikir kau tentu takkan datang dan mungkin tidak akan membaca e-mel ini.

Nurul

Butang send terus ditekan Nurul tanpa berfikir apa-apa lagi. Dia nekad. Sudah lama dia ingin membuat perkara sedemikian iaitu menghantar e-mel sebegitu kepada Nazrul yang kini masih lagi berada di luar negara. Tapi selama ini dia tiada kekuatan untuk berbuat demikian. Setelah membuka Friendster milik Nazrul dan melihat Nazrul bergambar bersama dengan seorang gadis Melayu yang begitu cantik dimatanya, dia kemudiannya sedar bahawa Nazrul sudah pun memilih jalan hidupnya sendiri.
Mungkin kerana itu juga, dia bertindak nekad untuk meluahkan perasaannya buat kali terakhir. Baginya, walaupun Nazrul langsung tidak pernah melamarnya menjadi kekasih, tapi dia pernah menaruh harapan yang tinggi terhadap Nazrul. Mungkin ini adalah hikmah di sebalik apa yang berlaku selama ini.
Komputer riba ditutup rapat. Walaupun agak sukar hendak menerimanya, tapi dia mesti berusaha untuk melupakan Nazrul.
“Aku dengan Nazrul tiada langsung kenangan yang terindah. Semuanya kenangan yang menyakitkan hati!" Sengaja Nurul memujuk dirinya daripada dibelenggu masalah perasaan cinta.

“KAU dah break-up dengan Nazrul?" tanya Sofea yang sememangnya terkejut dengan apa yang Nurul beritahu setelah mereka berdua membuat temu janji untuk berjumpa pada pagi Ahad di sebuah kafe berdekatan dengan kawasan kolej.
Selepas tamat zaman persekolahan, Nurul mengambil langkah untuk menyambung belajar di sebuah kolej swasta di ibu negara setelah gagal mendapat tempat universiti tempatan. Manakala, Sofea yang tidak mahu menyambung belajar lagi, kini bekerja sebagai kerani dia sebuah syarikat peguam di Kuala Lumpur. Walaupun mereka berdua tinggal di Kuala Lumpur, tapi disebabkan sibuk dengan aktiviti harian, mereka berdua hanya dapat bertemu sekali dalam sebulan.
“Pembetulan. Aku dengan Nazrul langsung tiada apa-apa hubungan selama ini. Aku hanya beritahu dia yang aku sudah fade-up menunggu e-mel daripadanya dan ada seseorang ingin melamar aku jadi kekasih masa annual dinner nanti," balas Nurul sambil menikmati kopi panas yang dipesannya tadi.
“What? Kau ada peminat di kolej?" sekali lagi Sofea terkejut besar. Seingatnya, Nurul tidak pernah bercerita tentang peminat-peminat misteri di kolej kepadanya.
“Kenapa? Orang macam aku tak layak diminati ke?" tanya Nurul sekali.
“Agaknya," jawab Sofea acuh tidak acuh.
“Okey, aku tahu aku tak secantik gadis-gadis di kolej aku yang pandai bergaya dan pandai memikat lelaki, tapi itu tak bermakna aku tiada peminat. Dan, memang aku tiada peminat." Kemudian satu keluhan berat dilepaskan Nurul sambil mengenang nasibnya yang begitu malang di kolejnya. Rata-rata kawan-kawannya sudah mempunyai pasangan kekasih dan ini membuatkan dia sering kali kesunyian kerana sering disisihkan oleh kawan-kawannya hanya kerana dia tidak mempunyai teman lelaki.
“Aku cuma perlukan seorang teman lelaki, itu sahaja. Aku terlampau mengharap Nazrul sebagai teman lelaki aku dan akhirnya aku sendiri yang menyesal." Nurul meluah segala-galanya kepada Sofea. Baginya, hanya Sofea sahaja yang faham masalah perasaan yang dialaminya selama ini. Ini kerana hanya Sofea sahaja teman rapatnya yang begitu memahaminya.
“Mesti ada sebab Nazrul tak balas e-mel tu." Sofea cuba memujuk Nurul. Dia yakin dengan hubungan mereka berdua yang baginya satu hubungan yang unik dan mustahil Nazrul tidak ambil peduli terhadap Nurul. “Contohnya, dia sakit?"
“Sakit sampai tiga bulan tak menjawab e-mel aku?" balas Nurul masih lagi tidak puas hati. “Dan kalau dia sakit, mestilah aunty ada call aku beritahu tentang kesihatan Nazrul seperti sebelum ini. Tapi, aunty tak call aku, jadi aku rasa dia bukan sakit."
Sofea terdiam sebentar. Ada benarnya kata Nurul tadi. Tidak mungkin Nazrul sakit dan kalau Nazrul sakit, dia juga akan mendapat berita daripada Rezza yang juga merupakan teman lelakinya. Tapi, sejak akhir-akhir ini Rezza langsung tidak pernah menyentuh tentang Nazrul memandangkan Rezza sedang sibuk dengan projek akhir bagi jurusan yang diambilnya.
“Aku ada check Friendster dia dan aku ternampak gambarnya bersama seorang perempuan. Mereka berdua cukup mesra dan aku syak dia sudah mempunyai teman wanita di sana."
“Minah saleh?"
“Tak. Melayu dan bertudung. Dia nampak muda daripada Nazrul dan mereka memang nampak secocok. Mungkin sebab itu aku mula terfikir yang aku bertepuk sebelah tangan. Sebab tu jugalah aku mengambil keputusan untuk melupakan Nazrul dan mula hidup baru. Tapi, walau apa pun aku tetap perlukan penjelasan daripada dia," luah Nurul mulai sebak.
“Kau masih berharap lagi?" tanya Sofea.
Dengan perlahan Nurul mengangguk.
“Apa kata kalau kau mulakan hidup yang baru?" cadang Sofea setelah lama mendiamkan diri dan melihat Nurul melayan perasaannya dengan butir-butiran air mata yang jernih. Tidak sanggup dia melihat kawannya itu bersedih. Apatah lagi kerana seorang lelaki dan cinta yang tidak kesampaian.
“Aku yakin Nazrul ada alasannya sendiri atas apa yang berlaku ini. Kau tak perlu terburu-buru mencari cinta. Mulakan hidup yang baru di mana tiada Nazrul, tiada boyfriend, tiada cinta. Hanya yang ada adalah buku-buku yang tebal dan assignment yang berlambak di atas meja," ujar Sofea lagi cuba membuatnya senyum.

“JADI, kau nak pergi dengan siapa masa annual dinner tu nanti?" tanya Shasha ketika Nurul sedang sibuk menyusun buku-bukunya yang berselerak selepas mengulang kaji pelajaran di meja belajarnya itu.
Shasha adalah anak gadis dari Terengganu yang juga salah seorang housemate Nurul sejak dari mula-mula dia melangkah masuk ke kolej itu dan sehingga lah di semesta lima. Shasha adalah seorang yang anti dengan bahasa negeri kelahirannya dan mengangkat bahasa bandar adalah bahasa yang paling disanjungi. Dia juga tidak mengaku bahawa negeri kelahirannya adalah negeri Terengganu dan sekali lagi menganggap Kuala Lumpur adalah negeri kelahirannya. Semuanya gara-gara dia tidak mahu dicop sebagai orang kampung di kalangan kawan-kawannya yang terdiri daripada golongan urban dan tinggal di Kuala Lumpur.
Orangnya cukup manis dan memiliki wajah yang cantik sehinggakan dia menjadi rebutan mana-mana lelaki di kolej. Namun, hanya seorang sahaja yang dapat memikat hati Shasha iaitu Danny, seorang jejaka tampan yang menjadi kegilaan ramai anak gadis di kolej itu dan juga merupakan anak Dato'.
Bagi Nurul, Shasha bukan mencintai Danny, tapi mencintai kekacakan Danny dan kekayaan Danny sahaja. Ini semua terbukti apabila dia sendiri mendengar perbualan Shasha dengan Danny melalui telefon dan meminta bermacam-macam hadiah daripada Danny dan di antaranya adalah barang kemas dan sebuah kereta MyVi yang sehingga sekarang tersadai di hadapan rumah sewanya kerana Shasha masih lagi tidak lulus dalam setiap ujian memandu.
“Aku takkan pergi," jawab Nurul kembali menyusun buku-bukunya.
“Apa?" ujar Shasha seolah-olah terkejut dengan berita tersebut.
“Aku takkan pergi," jawab Nurul lagi dan berasa jelik dengan perangai Shasha yang berpura-pura terkejut. Padahal dia sudah memberitahu Azwa, seorang lagi roommatenya pagi tadi. Dan, sudah semestinya Shasha mendapat tahu daripada Azwa.
“Kenapa? Bukankah kau nak kenalkan boyfriend kau yang tinggal di UK tu pada kami semua?" Shasha berkata dengan loghat Melayu-Inggeris yang selama ini membuatkan Nurul jelik mendengarnya.
Ada hati hendak cakap bahasa Inggeris, tapi bila suruh speaking masa presentation di hadapan kelas, terus terkelu lidah bercakap bahasa Inggeris.
“Dia tak dapat datang sebab tulah aku tak nak pergi." Nurul masih lagi mengawal perasaannya. Jika tidak, sudah lama dia baling buku-buku rujukannya yang tebal-tebal itu ke arah Shasha.
“Oh... Betul ke? Atau kau sengaja tipu kami semua? Kau tiada boyfriend sebenarnya, kan? Apatah lagi kalau boyfriend kau tu bukan tinggal di United Kingdom, tapi di Ulu Klang," sindir Shasha dan diikuti dengan tawa besarnya.
Makin Nurul mendengar suara Shasha ketawakannya makin berapi hatinya biarpun Shasha sudah keluar dari biliknya. Nurul terus menutup pintu biliknya dan menguncinya dari dalam. Tapi dia masih lagi mendengar suara Shasha memerlinya di luar dan diikuti dengan hilai tawa yang bagaikan puntianak mengilai.
Terus dia membuka komputer ribanya dan menaip sesuatu untuk blognya. Tidak ramai yang tahu dia mempunyai blog. Pada mulanya dia menceburkan diri dalam blog adalah kerana hanya mahu suka-suka sahaja, tapi sebaik sahaja dia sering kali disakiti dengan perangai Shasha yang suka menyindirnya, blognya sudah menjadi tempat lepas geram terhadap Shasha. Walaupun tidak ramai pembaca, tapi sekurang-kurangnya dia dapat mengurangkan tekanan yang dialaminya.

Dear blogger,
Aku tak tahu berapa ramai yang terjumpa blog aku yang asyik melepaskan geram terhadap seorang perempuan atau housemate yang selalu menjengkelkan aku dengan kesempurnaan hidup yang dialaminya selama ini. Yes, dia cantik dan sudah beberapa kali aku taip dia memang cantik di sini dan dia memiliki seorang teman lelaki yang tampan dan popular di kolej aku. Tapi, tidak bermakna teman lelakinya tampan, popular dan kaya, aku akan minat pada teman lelakinya. Aku langsung tidak terpikat dengan teman lelakinya walaupun housemate aku ni banyak kali menuduh aku ada hati dengan boyfriend dia.
Dan, hari ini aku sakit hati lagi dengan dia. Aku tak tahulah kenapa orang sepertinya lahir di dunia ini. Adakah sebab mahu mengganggu ketenteraman orang seperti aku ini? Sudah lama aku anti dengan housemate aku ini dan berharap dapat mendajalkan dia, tapi aku sering ketandusan idea untuk mendajalkan dia.
Hari ini juga aku ingin meminta pendapat anda semua (walaupun aku tak tahu berapa ramai yang membaca blog aku ini), adakah aku patut teruskan perjuangan aku untuk pergi ke annual dinner tanpa bertemankan seorang teman lelaki atau aku patut lupakan annual dinner ini dan membiarkan mereka ketawakan aku di belakang seperti mana mereka ketawakan aku sekarang, di luar...

Nota kaki: Mungkin aku patut dajalkannya dengan mencacatkan gaun malamnya.


Komputer ribanya ditutup rapat. Inilah dunia yang tidak mungkin akan mengkhianatinya. Jika Sofea tiada di sisi untuk mendengar luahan hatinya yang selalu sakit dengan kawan-kawannya yang tinggal serumah dengannya, dia akan meluahkan perasaan di dalam blog kerana tidak ramai yang tahu dia mempunyai blog walaupun blognya boleh dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Ini kerana dia tidak meletakkan nama sebenarnya di dalam blog atas sebab-sebab keselamatan dan untuk mengelakkan dirinya dikenali.
Seperti biasa, hanya seorang sahaja yang tahu dia mempunyai blog iaitu Sofea. Lagipun idea menulis blog juga adalah idea Sofea supaya mereka tidak terasa jauh dan kadangkala setiap entri yang dipaparkan di blognya itu, Sofea akan membalas dengan komen yang membina.

Kepada penulis,
Hidup kita hanya sekali dan apa salahnya kalau kita merebut setiap peluang di hadapan mata. Awak mesti pergi ke annual dinner walaupun tanpa teman lelaki dan pedulikan apa mereka kata tentang awak sebab awak hidup kerana diri awak sendiri dan bukannya bergantung dengan bantuan mereka. Saya percaya suatu hari nanti awak akan dapat kegembiraan yang awak mahu.

Nota kaki: Saya bersetuju dengan cadangan awak ingin mencacatkan gaun malam mereka!

Salah seorang peminat blog ini.

Tanpa disedari Nurul tersenyum sebaik sahaja membaca komen di blognya. Walaupun hanya satu komen, tapi komen itu telah menaikkan semangatnya untuk membuat keputusan yang drastik. Terus dia mencapai telefon bimbit dan mendail nombor telefon Sofea.
“Sofea, jom kita pergi shopping! Aku perlukan gaun untuk ke annual dinner nanti!" ujar Nurul nekad.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience