(19)

Drama Completed 7121

“RASA lain macam?" Nazrin mengulanginya lagi dengan soalan Rezza tadi sambil mereka berdua berlalu menuju ke tempat lepak mereka berdua sebelum sesi pembelajaran waktu pagi bermula.
“Entah,tapi dia kata macam tu." Rezza hanya menyampaikan. Itulah rutin hariannya setiap hari. Menjadi posmen. Memang sudah menjadi kebiasaan buatnya menyampaikan sesuatu kepada kedua-duanya.
“Tapi, aku nak tanya kau..." Rezza berhenti melangkah dan menarik Nazrin berlalu ke tepi bilik lepak bagi pasukan bola sepak. Itu pun selepas dia ternampak kelibat Nurul yang sedang berbual bersama Fiq dan Hayrul di dalam.
“Tanya apa?"
“Kau sukakan Nurul?" tanya Rezza. Soalan Nazrul semalam masih lagi bermain-main di fikirannya.
“Suka." Nazrin bercakap tanpa teragak-agak dan bicara itu sedikit mengejutkan Rezza. Kemudian dia ketawa kelucuan. “Rezza, takkan kau tak kenal aku lagi? Aku memang suka berkawan dengan semua orang termasuklah Nurul. Aku memang suka dia sebab dia ada personaliti yang unik. Dia tak seperti perempuan lain yang pernah aku jumpa, tapi suka aku hanya setakat kawan sahaja."
“Serius?" tanya Rezza inginkan kepastian lagi.
“Itu ke yang Nazrul risaukan sangat?" tanya Nazrin.
“Mungkin." Rezza mengangkat bahu.
“Kalau pasal tu, biarlah dia risau," kata Nazrin selamba.
“Hah?"
“Nanti kau fahamlah," kata Nazrin sebelum berlalu masuk ke dalam bilik Kelab Bola Sepak dan diikuti oleh Rezza di belakang.
Tidak ramai yang melepak di dalam apabila Nazrin hanya melihat Fiq, Hayrul dan Zaki sahaja berada di dalam sana.
“Nazrul atau Nazrin?" tanya Nurul sebaik sahaja melihat pemuda itu melangkah masuk ke dalam.
“Nazrin," jawab Nazrin sambil tersenyum dan duduk di sebelah Nurul.
“Aku dah agak!" balas Nurul.
“Apa bezanya Nazrin dan Nazrul?" Hayrul kemudiannya bertanya. Walaupun dia sudah tahu cerita sebenar daripada Farizat semalam, tapi dia sengaja ingin bertanya lagi.
“Kau tahu tak, aku tak suka ulang sesuatu perkara banyak kali? Kalau kau nak tahu, kau tanyalah Fiq yang lebih arif ni," Nurul menjeling tajam. Penat rasanya mengulangi ayat yang sama. Mungkin dia patut rakam semuanya dan apabila mereka bertanya, dia akan menyuruh mereka semua mendengar rakamannya sahaja. Dengan itu, mulutnya tidaklah penat sangat hendak menjawab setiap pertanyaan mereka.
“Aku pun dah puas jawab soalan tu," balas Fiq.

“NAZRIN atau Nazrul?" tanya Nurul.
Sejak berlakunya kejadian itu, soalan itu memang sudah sebati dalam hidup Nurul apabila berhadapan dengan Nazrul dan lama-kelamaan dia dapat bezakan kedua-duanya tanpa bertanya soalan yang sama lagi. Kadangkala dia rasa dirinya macam dah gila pun ada sebab menganggap Nazrul dan Nazrin adalah orang yang berlainan sebab dia dapat melihat perbezaan di antara Nazrul dan Nazrin. Kadangkala pening memikirkannya.
Ketika dia bersama Nazrul, personaliti yang jahat, dia rasa geram sepanjang hari. Apatah lagi Nazrul memang suka cari pasal dengannya terutama sekali kalau bab tidur. Memang tidak ingat dunia, tapi apabila berhadapan dengan Nazrin, dunianya rasa aman dan tenteram kerana Nazrin tidak banyak bercakap mungkin sebab mood dia baik pada ketika itu.
Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menerangkan pada orang lain ketika cuba membezakan kedua-duanya. Kadangkala dia merasai kedua-duanya adalah orang yang berbeza, tapi jika dia beritahu apa yang difikirkannya kepada orang lain, pasti orang itu akan menganggapnya gila.
“Boleh aku tanya kau sesuatu?" tanya Nurul setelah mengenalpasti itu adalah Nazrin. Hanya apabila Nazrul menjadi Nazrin sahaja Nurul boleh berbual tanpa sebarang persengketaan.
“Apa dia?" tanya Nazrin menolong Nurul mengemas kon-kon kecil yang telah digunakan semasa latihan bola sepak sebenar tadi.
“Apa yang menyebabkan mood kau bertukar jadi ganas?" tanya Nurul yang sudah lama ingin bertanya soalan tersebut. Itu pun selepas Sofea bertanya soalan yang sama kepadanya.
Nazrin tidak menjawab, tapi sebaliknya pertanyaan Nurul itu dibalas dengan gelak ketawa. Tapi, sebenarnya dia ingin mencari idea menjawab soalan Nurul tadi. Sejak kebelakangan ini, Nurul suka sangat bertanya soalan yang hampir-hampir mendedahkan dirinya. Rezza pula sudah banyak kali menasihatinya supaya jangan terlampau rapat sangat dengan Nurul. Malah, dia turut mendapat tahu Nazrul kerap kali bergaduh dengan Nurul sehinggakan ada ketikanya Nurul tidak bertegur sapa dengannya. Setelah dia meminta maaf beberapa kali barulah Nurul bertegur dengannya.
“Lucu sangat ke?" Nurul mencebik marah.
“Kenapa?"
“Tak adalah...Aku rasa aku macam orang gila pun ada. Semalam kau dengan lantang sekali bergaduh dengan aku dan hari ini kau baik pula dengan aku. Kalau aku cakap masalah aku ni pada doktor pun, doktor akan anggap aku gila. Kadang-kadang aku rasa kau bukan diri kau," ujar Nurul sambil mengeluh.
“Semua ni menganggu kau ke?" tanya Nazrin.
“Kadangkala...Mungkin kau patut buat sesuatu pada perangai panas baran tak tentu pasal kau tu. Aku tahu semua orang ada personaliti yang jahat, tapi kes kau ni boleh dikatakan hampir setiap hari kau panas baran dengan sesuatu benda yang kecil."
“Sorrylah, orang panas baran memang selalu begini."
“Tapi,peliklah." Nurul memandang Nazrin dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa?"
“Orang panas baran ni memang suka minta maaf secara terbuka ke?"
“Err..."Nazrin hilang kata-kata apabila ditanya begitu. Mungkin dia patut zip mulutnya seketika daripada bercakap dengan Nurul. Walaupun dia dapat memperdayakan Nurul,tapi ada kalanya Nurul terlampau cerdik sehingga dia hilang terus kata-kata.

NAZRUL menguap besar sambil membetulkan otot-ototnya sebaik sahaja terjaga daripada tidur yang lena. Sambil menggosok-gosok matanya yang masih lagi mengantuk, dia memerhati keadaan sekeliling. Jam yang tergantung pada dinding dipandangnya. Hampir pukul 10.00 malam.
Nazrul bingkas bangun dari katil, berlalu keluar dari bilik tidur dan terlihat Rezza sedang asyik menonton televisyen di ruang tamu rumah. Seperti biasa, Rezza akan duduk di hadapan televisyen sambil menikmati makanan ringan seperti keropok,kacang,dan apa saja yang boleh dikunyah. Namun, kehadiran Rezza langsung tidak membuatkan Nazrul rasa terganggu. Rezza memang selalu duduk melepak di rumahnya. Bukannya Rezza bosan duduk di rumahnya sendiri,tapi memang sudah menjadi kebiasaan, apatah lagi jika mama Nazrul tiada di rumah.
Tanpa mempedulikan Rezza yang sedang menonton televisyen, Nazrul berlalu ke dapur dan seperti biasa melihat jika ada mesej yang ditinggalkan oleh Nazrin untuknya di papan putih di sebelah peti ais. Tiada mesej untuknya. Jadi,tiada masalah yang timbul setakat ini.
Tudung saji diangkat. Lauk-pauk yang masih panas lagi sudah tersedia untuknya tapi perutnya masih lagi kenyang. Mungkin Nazrin telah pun melantak tadi. Beginilah hidupnya sejak wujudnya Nazrin dalam dirinya. Mereka bukan sahaja berkongsi tubuh, tapi berkongsi kehidupan sehinggakan kedua-duanya terpaksa menyamar di hadapan orang ramai. Memang payah, tapi demi keselamatan diri masing-masing mereka lakukan dengan teliti.
Sebab itu Nazrul lebih suka menjauhkan diri daripada orang ramai. Dia tidak gemar bersosial dan tidak mudah rapat dengan orang yang kurang dikenali. Kawan-kawannya hanyalah ahli Kelab Bola Sepak sahaja. Hanya ahli rasmi sahaja yang sedia maklum dengan penyakit misterinya itu. Pada mulanya memang payah dia hendak buka mulut untuk beritahu tentang penyakitnya itu, tetapi dia beranikan diri untuk memberitahu setelah kebanyakan mereka mula sangsi dengan perangainya yang kadangkala baik dan kadangkala kurang baik.
Semuanya kerana perangainya dan Nazrin amat berbeza sama sekali. Nazrin seorang yang berhati lembut, mudah bergaul dengan orang tidak kira perempuan atau lelaki dan juga seorang yang tidak lekang dengan senyuman. Berbanding dengan dia, seorang yang panas baran, suka cari gaduh jika ada orang lain mengacau hidupnya dan tidak gemar bersosial dengan orang ramai. Perangainya lebih dipengaruhi oleh kehidupannya yang berkongsi dengan Nazrin. Oleh kerana dia takut orang lain dapat tahu tentang dirinya, dia menjadi orang yang panas baran.
“Kau okey?" tanya Rezza apabila Nazrul menghampirinya di ruang tamu.
“Kenapa kau tanya macam tu?"
“Aku nak bincang sikit dengan kau ni."
“Tentang apa?"
“Tentang pergaduhan kau dengan Nurullah."
“Oh..." ujar Nazrul acuh tidak acuh. Apabila sebut sahaja nama Nurul terus dia berasa tidak bersemangat dan teringatkan tentang pergaduhannya dengan Nurul. Selalunya apabila dia bergaduh dengan Nurul, Nazrin pasti akan terima padahnya. Kadangkala dia kesian juga dengan Nazrin yang selalu jadi mangsa keadaan, tapi sekurang-kurangnya Nazrin dapat meredakan kemarahan Nurul.
“Nazrin dah pujuk dia ke?" tanya Nazrul. Selalunya memang Nazrin yang akan bertungkus-lumus memperbaiki keadaan, tapi apabila mood Nurul sudah baik, dia pula merosakkannya.
“Rasanya...sebab tadi aku tengok mereka berdua okey saja," jawab Rezza.
“Habistu apa masalahnya?"
“Masalahnya Nazrin suruh kau slow sikit dengan Nurul sebab Nurul macam dah syak sesuatu, itu pun kalau kau betul-betul tak nak beritahu pasal benda ni."
“Nak slow macam mana lagi kalau aku memang macam tu. Nurul pula suka sangat kacau aku tidur. Dia ingat aku tidur tu untuk suka-suka ke?"
“Habis, kau yang tak terangkan kat dia, manalah dia tahu," balas Rezza.
“Nak terangkan kepada Nurul yang hati batu tu? Nanti dia kata buat cerita yang gila. Kau ingat perempuan macam dia tu boleh terima ke dengan apa yang aku kata?"
“Kalau aku beritahu dia?" tanya Rezza.
“Kalau kau beritahu dia lagi teruk."
“Kenapa pula?"
“Sebab nanti dia kata, kau tengah lindungi ‘boyfriend' kau ni. Kau takkan dah lupa dia pernah sebarkan gosip gila tu."
“Habis tu kau nak biarkan?"
“Biarlah. Suruh Nazrin jangan layan sangat minah tu. Aku takut Nazrin jatuh cinta dengan minah tu pula. Nanti tak pasal-pasal tidur aku terganggu lagi."
Rezza hanya sekadar menggeleng. Penat kalau cuba nasihati Nazrul, pasti kawannya itu tidak akan dengar kata. Tapi, kalau itu yang Nazrul inginkan, dia tidak akan memaksa sebab dia juga tahu Nazrul tidak mahu memanjangkan masalah itu, tetapi dengan situasi Nazrul sekarang mungkin Nazrul terpaksa bertegas dengan Nurul supaya Nurul tidak mengesyaki sesuatu. Tapi, masalahnya sekarang Nurul memang sudah syak sesuatu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience