(24)

Drama Completed 7121

NURUL melangkah masuk ke dalam bilik kelab dengan lemah. Sejak dari pagi tadi dia tidak bermaya untuk ke sekolah berikutan tidak dapat tidur dengan nyenyak malam tadi. Baru sahaja dia hendak nyenyak seminit dua, dia terjaga semula kerana termimpikan Nazrul. Entah kenapa Nazrul boleh muncul dalam mimpinya. Kalau dia mimpi dia menampar atau menerajang Nazrul, tidak mengapalah, tapi ini dia mimpi pergi dating dengan Nazrul di taman bunga. Ah, aku dah tak normal lagi.
Sejak pagi tadi, hanya itu sahaja yang difikirnya. Dia sudah tidak normal. Mana tidaknya, lain yang diminatinya, lain yang jadi. Serba tidak kena dalam hidupnya. Hendak kata dia sedang angau, dia pun tidak pasti. Mana ada angau dengan orang yang kita tidak cinta. Betul ke aku tak cinta dia?
Rasanya hendak sahaja dia menghantuk kepalanya sehingga berdarah pada dinding. Mungkin dengan cara begitu, dia boleh jadi normal sedikit. Tapi, memandangkan kalau dia menghantuk kepalanya, dia akan terasa sakit, lebih baik lupakan saja.
Mungkin Nazrul benar-benar dah bomohkan aku. Nurul mengeluh berat. Baru dia sedari Nazrul tidak kelihatan langsung dalam bilik itu. Selalunya apabila dia melangkah masuk, Nazrul akan kelihatan tidur di tempat biasa, tapi hari ini lain pula. Yang ada hanyalah Farizat dan Zaki yang sedang mengemas barang-barang mereka di dalam lokar.
“Hai, Nurul," sapa Farizat ceria seperti biasa.
“Hai," balas Nurul kurang bersemangat. “Hari ni aku nak balik awal sebab semalam aku tak dapat tidur. Kena bersengkang mata buat kerja sekolah. Jadi, hari ni pandai-pandailah kau orang jaga diri ya?"
“Ya ke? Tak mengapalah sebab latihan hari ni pun dibatalkan," kata Zaki pula.
“Dibatalkan?" Nurul ternyata tidak tahu-menahu pembatalan latihan pada hari itu. Kalaulah dia tahu sudah lama dia pulang ke rumahnya dan menyambung tidur. Tapi, pelik juga, selalunya pembatalan latihan akan dilakukan oleh Rezza atau Cikgu Majid dan sebelum mereka semua tahu tentang pembatalan itu, dia sudah tahu terlebih dahulu sebab dia adalah pengurus. Tapi, kali ini, dia langsung tidak tahu-menahu. Atau ada seseorang yang memberitahunya tapi dia tidak ambil peduli.
“Emm...tadi baru Rezza beritahu, mungkin sebab tulah kau tak tahu."
“Oh, tapi sebab apa?" tanya Nurul pelik. Selalunya Rezza akan berbincang dengannya terlebih dahulu, tapi kali ini tidak pula.
“Wei, kenapa nak batalkan latihan?" sapa Hayrul yang datang entah dari mana bertanyakan soalan yang dia sendiri tiada jawapannya. Masing-masing mengangkat bahu. Nampak sangat mereka juga tidak tahu sebab apa latihan pada hari itu dibatalkan.
“Fiq, kau tahu kenapa latihan di batalkan?" tanya Hayrul lagi sebaik sahaja Fiq melangkah masuk ke dalam bilik tersebut.
“Aku pun baru dapat mesej." Fiq menunjukkan telefon bimbitnya yang baru sahaja membaca mesej daripada Rezza. “Mungkin sebab Nazrul kut."
“Kenapa dengan Nazrul?" pantas Nurul bertanya.
“Semalam Nazrul buat hal. Dia pengsan kat dapur, tapi sebenarnya dia tertidur saja. Itu yang Rezza call beritahu aku semalam. Rasanya tak ada apa-apa yang serius cuma Nazrul dapat cuti sakit selama dua hari saja sebab doktor cakap dia terlampau letih dengan aktiviti harian. Mungkin sebab tu Rezza nak batalkan latihan pada hari ni. Kalau ada sebab yang lain aku tak tahu," beritahu Fiq.
“Nazrul sakit?" tanya Nurul lagi. Entah kenapa dia berasa cemas pula.
Fiq tersenyum memandang Nurul dan kemudian menggeleng.
“Mungkin sebab kau selalu kacau dia tidur agaknya," celah Najmi sengaja menyalahkan Nurul. Dia ingin melihat reaksi Nurul.
“Kenapa pula? Apa kena mengena dengan kacau tidurnya?"
“Kau pernah dengar penyakit dua jiwa satu badan?" tanya Zaki.
Nurul pantas menggeleng.
“Aku pun tak pernah dengar," balas Zaki selamba.
Nurul mencebik marah. Dia sedang serius, mereka pula boleh bergurau dengannya.
Tidak lama selepas itu, Rezza melangkah bersama-sama dengan Ridzwan.
“Sorry, aku batalkan latihan tanpa berbincang dengan kau orang semua. Aku pun baru saja dapat mesej daripada Cikgu Majid yang dia minta aku batalkan latihan hari ni sebab mama Nazrul minta kita semua pergi ke rumahnya untuk jamuan petang. Jadi, sambil tu kita semua boleh melawat Nazrul yang buat gempak dengan landing kat dapur semalam. Nazrul dapat cuti sakit dua hari mulai hari ini dan esok," ujar Rezza menerangkan segala-galanya kepada mereka semua setelah melangkah masuk ke dalam bilik kelab.
Nurul menarik nafas lega. Syukurlah tiada apa-apa yang serius. Kalau sudah namanya jamuan, mestilah Nazrul tidak apa-apa. Tapi, dia hampir tidak tahan apabila Rezza cakap, Nazrul landing di dapur. Macam tiada tempat lain yang strategik hendak landing. Tapi, kenapa sampai dapat cuti sakit dua hari?

“MAMA buat apa?" tanya Nazrul yang terjaga daripada tidurnya sebaik sahaja mendengar bunyi bising di dapur. Dia melihat jam pada dinding. Tepat jam 2.00 petang. Selalunya jarang mamanya masak makan malam jam 2.00 petang.
“Hi, honey, mama kejutkan kamu tidur ke?" Puan Nazrina yang sibuk memotong sayur sempat mencium dahi anaknya itu. “Sebenarnya, mama saja nak buat jamuan petang dan mama dah jemput kawan-kawan kamu datang."
“Siapa punya idea?" tanya Nazrul yang tidak tahu-menahu tentang ini. Setahunya dia tidak pernah menyuruh mamanya membuat jamuan petang dan menjemput kawan-kawannya datang menyertai.
“Nazrin. Oh, pagi tadi dia temankan mama pergi pasar dan terfikir nak buat jamuan petang. Jadi, mama pun setuju. Bukan selalu mama ada di rumah dan berjumpa dengan kawan-kawan kamu, kan?"
“Patutlah, badan saya sakit semacam," ujar Nazrul sambil mengurut bahunya yang terasa letih sejak bangun dari tidur tadi.
“Nazrin tolong bawa banyak barang tadi. Sorry." Puan Nazrina tersengih kecil. “Kamu pun tahukan kalau mama pergi shopping barang, mesti nak borong banyak-banyak dan nasib baik Nazrin menegur mama tadi, kalau tidak agaknya tak muat kereta tu nak sumbat barang-barang yang mama beli."
“Ada yang nak ditolong ke?" tanya Nazrul. Kasihan juga melihat mamanya seorang diri yang membuat kerja. Sudahlah kawan-kawannya kuat makan, apatah lagi kalau lepas latihan. Nasi goreng dua pinggan pun masih tidak kenyang-kenyang lagi.
“Tak mengapa. Mama boleh sediakan sendiri. Lagipun kamu dah penat. Mama tak mahu tengok kamu landing dekat dapur ni lagi."
Nazrul sedikit ketawa. Dia sendiri pun tidak boleh mengelak dari landing di dapur semalam. Semuanya berlaku dengan cepat. Selalunya kalau dia rasa letih sangat, dia masih lagi sempat mencari tempat untuk tidur. Tapi, semalam memang dia tidak tahan sangat sehinggakan dia sendiri tidak menyedari dia tertidur di dapur.
“Nazrin tahu tentang tu?"
“Dia sensitif sangat. Mama tak beritahunya sebab takut dia salahkan diri sendiri."
“Lebih baik jangan beritahu dia, nanti dia risau pula."
“Tahu pun. Mama yang tengok kamu tiba-tiba tumbang depan mata, kamu tak risau pula. Mama ni lagi risau bila tengok kamu tumbang macam tu. Ingatkan serangan jantung tu berlaku lagi."
Nazrul tersengih lagi. “Mama ni, kan saya dah beritahu. Jantung saya dah sihatlah. Selama ni mana pernah sakit pun kecuali..."
“Kecuali?"
“Ma, nak tanya sikit. Jantung mama pernah tak berdegup dengan kencang bila berhadapan dengan seseorang."
“Pernah."
“Siapa?"
“Bos mama. Itu sebab bos mama tu terlampau garang sangat sampai mama nak jumpa dia pun takut. Mesti ada saja yang dia tak puas hati. Tapi, sekarang ni, alhamdulillah sebab bos mama tu dah kena transfer ke tempat lain dan bos sekarang ni okey sikitlah. Dia tak terlampau mendesak," cerita Puan Nazrina.
“Oh, mungkin sebab dia tu garanglah jantung saya berdegup kencang." Nazrul mengangguk faham.
“Siapa?"
“Err...tak ada apa-apa."
Puan Nazrina merenung anak lelakinya. Jarang sekali anaknya itu berkata tidak ada apa-apa. Selama ini tiada apa-apa rahsia yang disimpan antara mereka berdua. Pastilah dia akan berasa pelik jika anaknya itu cuba menyembunyikan satu rahsia.
“Kenapa mama pandang macam tu?" tanya Nazrul setelah menyedari mamanya asyik memandangnya seperti dia telah membuat satu kesalahan besar.
“Are you in love?" tanya Puan Nazrina.
“Kenapa mama cakap macam tu pula?"
“Tak ada, cara kamu macam mama kenal."
“Hah?"
“Macam papa kamu masa kami bercinta. Masa tu dia nak melamar mama dan gaya dia macam kamu sekarang ni."
“Takkanlah saya nak melamar mama sendiri," balas Nazrul pula.
“Tak. Macam ada sesuatu yang lain."
“Apa yang lainnya?"
Belum sempat Puan Nazrina bersuara, kedengaran loceng rumahnya ditekan seseorang. Tanpa membuang masa, Nazrul segera berlalu meninggalkan mamanya untuk membuka pintu. Nasib baik juga loceng berbunyi tepat pada waktunya. Jika tidak, pasti parah kalau dia kena soal siasat oleh mamanya.
Sebaik sahaja dia membuka pintu rumah, kelihatan semua kawan-kawannya yang terdiri daripada ahli Kelab Bola Sepak tercegat di hadapan pintu. Belum sempat dia mempelawa mereka masuk, mereka terlebih dahulu sudah melangkah masuk.
“Kau orang ni kalau bab makan mesti cepat saja." Sengaja Nazrul menyindir rakan-rakannya apabila dia mendapat tahu latihan pada hari itu dibatalkan. Nampak sangat mamanya agak berkuasa juga. Yalah... Sedap rasa sahaja menyuruh Cikgu Majid membatalkan latihan pada hari itu semata-mata mahu membuat jamuan makan petang. Dan, Cikgu Majid pun setuju. Bila difikirkan kembali, Cikgu Majid ni ada hati dengan mamanya ke?
Ah, mintak simpang malaikat 44. Dia masih belum bersedia hendak menerima seorang lelaki yang bergelar ayah tiri. Mujurlah mamanya tidak pernah sentuh tentang bakal ayah tiri. Mungkin mamanya sendiri tahu, dia memang tidak suka kehadiran orang lain dalam keluarga itu.
“Assalamualaikum aunty." Nurul menghulurkan salam sebaik sahaja memasuki dapur. Salam Nurul disambut mesra oleh ibu tunggal itu. Sejak awal lagi Nurul memang difahamkan Nazrul sudah kehilangan ayah ketika kecil.
“Berapa lama Nurul jadi pengurus kelab?" tanya Puan Nazrina kepada Nurul.
Nurul yang sedang menolong Puan Nazrina memotong buah tembikai dan buah-buahan yang dibelinya tadi hanya tersenyum. Tidak sedap pula kalau mereka semua datang ke rumah Nazrul dengan membawa perut sahaja. Jadi, dia membuat keputusan untuk membeli sedikit buah-buahan untuk dimakan bersama. Itu pun kena perli dengan Najmi dan sekutunya yang lain. Kononnya untuk memikat mama Nazrul. Jika diikutkan hati hendak saja dia baling buah tembikai itu ke arah mereka, tapi mujurlah Fiq bertindak sebagai ejen pendamai.
“Berapa lama?" tanya Puan Nazrina kembali apabila pertanyaan tadi dibiarkan sepi.
“Emm...adalah dalam empat bulan," jawab Nurul.
“Memang minat bola sepak ke?" tanya Puan Nazrina lagi.
“Sebenarnya, panjang ceritanya. Saya memang tak minat bola sepak, tapi mungkin dah takdir saya jadi pengurus. Saya juga pelik kenapa boleh terpilih jadi pengurus," beritahu Nurul.
“Tapi, nampaknya hubungan kamu dengan pasukan bola sepak amat akrab. Selalunya memang jarang perempuan dapat bergaul mesra dengan ramai lelaki dan anggap mereka seperti kawan dan kamu lakukannya dengan senang."
Nurul sekadar tersengih. Itu yang dia dengar dari mulut Sofea juga. Malah, Sofea beberapa kali kata dia cemburu dengan apa yang dimilikinya. Tapi, bagi Nurul, semua yang berlaku ini adalah kehendak takdir. Dia telah ditakdirkan berkawan dengan sekumpulan pasukan bola sepak yang paling digilai ramai pelajar perempuan di sekolahnya.
“Mereka semua memang pelik." Nurul mula teringat kenangan ditemu duga oleh Rezza dan beberapa ahli tertinggi kelab dahulu. Paling dia tidak tahan adalah semasa dipaksa mengejutkan Nazrul bangun daripada tidur. Punyalah susah dia hendak kejutkan dan sampai sekarang dia tidak mengerti kenapa dia perlu mengejutkan Nazrul bangun.
“Terutama sekali Nazrul, bukan?" teka Puan Nazrina.
Nurul hanya tersengih. Pandai pula Puan Nazrina baca fikirannya.
“Budak tu memang suka tidur. Tengoklah macam semalam, tiba-tiba saja dia boleh landing di tepi kabinet tu. Aunty ingatkan dia sakit ke, apa ke, rupa-rupanya tidur. Buat sakit jantung saja." Puan Nazrina menggeleng bila teringatkan kejadian semalam.
“Kenapa Nazrul suka tidur?" tanya Nurul pelik sambil menolong membasuh pinggan mangkuk yang ada dalam singki itu. “Serius, saya tak pernah jumpa orang macam Nazrul yang asyik tidur setiap masa. Nak kejutkan dia pun punyalah susah."
“Itu kena tanya orangnya sendiri. Aunty tak berani nak komen, tapi aunty memang dah biasa dengan perangai anak aunty tu."
Tanya Nazrul? Huh, buat sakit hati sahaja kalau tanya Nazrul. Mesti ada sahaja jawapan yang membuatnya tidak puas hati dan seterusnya sakit hati. Mungkin benarlah kata orang, lelaki ni memang tidak suka berkongsi rahsia dengan orang lain. Siapalah aku yang boleh membuatkan Nazrul berkongsi cerita?

JAMUAN minum petang sudah bermula setengah jam yang lalu setelah Puan Nazrina siap memasak makanan untuk petang itu. Tidak banyak yang disediakannya, tetapi cukuplah membuatkan perut kawan-kawan anaknya kenyang.
Hari ini rumahnya meriah dengan kawan-kawan anak lelakinya itu. Selalunya memang susah hendak membuat rumahnya itu meriah seperti itu kecuali kalau dia membuat rumah terbuka pada hari raya. Itu pun, kalau dia tidak dibebani kerja yang banyak di pejabat dan kadangkala kasihan juga dengan anaknya yang bosan sendirian di rumah kerana kerjanya yang tidak menentu. Kadang-kadang dia akan bertugas di luar mengikut arahan daripada bos.
Sejak tadi Nurul asyik memerhati album-album gambar yang sudah bersepah di atas meja di ruang tamu. Mungkin ada antara mereka yang gatal tangan mengambil album gambar tersebut atau Nazrul sengaja keluarkannya untuk tatapan kawan-kawannya.
“Apa yang kau pandang lama sangat tu?" sapa Nazrul setelah menyedari Nurul memandang lama ke arah sekeping gambar.
“Ah, tak ada apa." Cepat-cepat Nurul menyelak gambar seterusnya. Gambar seterusnya pun sama. Kelihatan dua orang kanak-kanak lelaki yang memakai baju yang sama sedang bermain di taman permainan.
“Siapa mereka ni?" Akhirnya Nurul bertanya.
“Takkan tak kenal?"
Nurul memandang Nazrul pelik di sebelahnya.
“Akulah."
“Yang sorang lagi ni?"
“Nazrin. Kembar aku," jawab Nazrul dan meneguk sedikit air Coke yang diambilnya tadi.
“Hah! Kau ada kembar?" Hampir tersembur air liur Nurul dibuatnya. Memang dia langsung tidak percaya kalau Nazrul cakap begitu, tapi gambar-gambar di dalam album itu cukup untuk membuktikan bahawa Nazrul bercakap benar.
“Kenapa?"
“Aku tak tahu pun."
“Memanglah kau tak tahu sebab kau hanya ambil tahu pasal orang lain saja."
“Dia yang asyik tidur, macam manalah aku nak tahu pasal dia," rungut Nurul dengan suara kecil, tapi dia tahu Nazrul tetap boleh mendengarinya.
“Dia dah meninggal. Suatu hari dia tipu aku, dia kata dia nak pergi rumah Rezza, tapi sebenarnya dia pergi ke taman permainan. Masa tu aku tahu dia tipu aku sebab jantung aku tak boleh bertahan lama kalau berjalan jauh. Dan, petang tu aku dah rasa sesuatu sebab orang ramai dah datang rumah manakala Nazrin tidak pulang-pulang lagi. Aku nampak mama dah menangis ketika itu, tapi mama cuba tahan daripada menangis depan aku. Aku tak tahu apa-apa. Masa tu papa ada lagi. Papa cakap, aku dah dapat penderma dan perlu jalani pemindahan segera. Petang itu juga aku ke hospital. Masa tu aku tak tahu lagi walaupun beberapa kali aku tanya papa mana Nazrin sebab kami memang tak boleh dipisahkan. Tapi, entah macam mana hari tu aku mudah terpedaya kata papa bahawa Nazrin dalam perjalanan ke hospital bersama mama. Pembedahan berjalan dengan cepat. Selepas aku sihat, baru aku tahu Nazrin sudah tiada," ujar Nazrul cuba menahan sebaknya.
“Sorry," kata Nurul sepatah. Sukar dia hendak percaya, lelaki di sebelahnya itu mempunyai pengalaman pahit yang sukar dilupakan. Siapa yang tidak sedih kalau orang yang kita sayangi lebih-lebih lagi kembar sendiri pergi tanpa sebarang pesan.
Nazrul tersenyum sedikit. “Bukan salah kau pun, lagipun aku tak rasa Nazrin dah pergi daripada hidup aku."
“Aku tahu. Jantung dia yang buatkan kau rasa dia masih disini kan?" teka Nurul.
“Mungkin juga." Nazrul sekadar mengangguk walaupun pada hakikatnya dia hendak memberitahu perkara yang sebenarnya. Tapi, apakah reaksi Nurul bila dapat tahu tentang kehadiran Nazrin dalam hidupnya? Adakah dia akan memandangnya sebagai orang yang pelik seperti kawan-kawannya dahulu?
Dia ingat lagi, masa di sekolah rendah, ada antara mereka tahu tentang kewujudan Nazrin dan mereka memandangnya seperti dia membuat salah. Ada juga yang takut dengannya dan ada juga yang menganggapnya hantu dan sejak itu dia takut hendak beritahu sesiapa tentang Nazrin. Mujurlah kawan-kawannya di Kelab Bola Sepak tidak menganggapnya seperti mereka yang lain. Mereka masih lagi dapat menerimanya dengan baik, cuma ada kalanya mereka keliru siapa Nazrul dan siapa Nazrin.
Tiba-tiba Nurul teringat sesuatu...
“Nanti, kau kata kembar kau nama Nazrin?" tanya Nurul inginkan kepastian. Rasanya sebelum ini Nazrul pernah sebut tentang Nazrin.
Nazrul hanya mengangguk mengiakan kata-kata Nurul.
Nurul hairan. Dia cuba mengingati dengan jelas tentang perbualannya yang lepas. Ketika itu, Nazrul pertama kali menyebut nama Nazrin sebagai personalitinya yang baik.
Di sini Nurul sudah berasa ada sesuatu yang pelik. Jika Rezza adalah kawan mereka sejak dari kecil, pastinya Rezza tahu tentang Nazrin dan kenapa pada hari itu Rezza seolah-olah tidak tahu-menahu tentang Nazrin? Atau, Rezza terkejut apabila dia menyebut tentang Nazrin sedangkan Nazrin sudah tiada di dunia ini?
“Oh, aku memang selalu gunakan helah macam tu pada orang lain. Selalunya Nazrin akan dicop anak baik dan aku pula anak yang nakal. Jadi, disebabkan Nazrin dah menderma jantungnya pada aku, aku terfikir mungkin perangai baik aku dipengaruhi oleh Nazrin," jawab Nazrul dengan tenang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana otaknya boleh memproses dan memutar belitkan kenyataan dengan begitu cepat sekali sehingga membuatkan Nurul dapat menerima apa yang dikatakannya itu.
“Oh, tapi aku nak tanya kau sesuatu, sudah lama aku nak tanya pada kau pasal ni.“ Album gambar ditutup Nurul dan diletaknya ke tepi.
“Pasal apa?" tanya Nazrul seperti dapat mengagak sesuatu.
“Kenapa kau tak cakap kau yang selamatkan aku sebenarnya?" tanya Nurul.
“Selamatkan apa?" Sengaja Nazrul berbuat tidak tahu.
“Jangan nak kelentong aku. Aku dah ingat. Masa aku hampir dilanggar kereta hari tu, kau yang datang selamatkan aku."
Nazrul kemudiannya ketawa kelucuan. Entah apa yang lucunya, Nurul pun tidak tahu, tapi dia sedikit bengang. Inilah akibatnya kalau bercakap dengan Nazrul yang tidak pernah serius bila membincangkan sesuatu.
“Aku tak tahu nak cakap apa, tapi aku rasa kau ni macam dah angau dengan aku." Nazrul ketawa lagi.
“Mana ada angau. Aku dah ingat sikit-sikit dan aku cam orang tu adalah kau."
“Oh, ya, ni ke taktik perempuan untuk memikat lelaki?" Nazrul tersenyum lagi.
“Gelaklah kau! Lepas ni aku takkan pedulikan kau lagi!" Nurul mencebik marah. Kan dah kata, mesti sakit hati bila bercakap dengan Nazrul. Lebih baik jangan bercakap langsung dengan lelaki tiga suku itu!
Nazrul tersenyum. Kadangkala best juga sakat Nurul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience