(14)

Drama Completed 7121

SUDAH menjadi tugasnya untuk membersihkan bilik Kelab Bola Sepak jika ada waktu terluang. Petang itu, sementara semua ahli rasmi turun padang untuk berlatih dengan ahli-ahli bola sepak yang lain. Nurul mengambil masa yang terluang itu untuk mengemas bilik kelab yang tidak nampak seperti tongkang pecah lagi, tapi sudah bagaikan seperti tongkang meletup.
Dengan kulit-kulit kacang bertaburan, bekas-bekas air kotak dan air tin yang telah habis diminum berselerak di atas meja yang selalunya dijadikan meja mesyuarat. Memang inilah dinamakan lelaki. Pasti tidak boleh dipisahkan dengan sampah sarap. Itu pun nasib baiklah tiada baju dan seluar-seluar bertaburan di atas lantai. Kalau tidak, memang dia akan bakar bilik itu dengan tekadnya.
Baru saja dia hendak membuang sampah ke dalam tong sampah, mata Nurul tertangkap satu sampul surat yang tidak asing buatnya. Terus diambilnya dan dihayatinya dan akhirnya mendapati itulah sampul surat yang diberi oleh Nurmaya kepadanya untuk diserahkan kepada Nazrul. Tapi, memandangkan dia tidak sempat hendak berjumpa dengan Nazrul kerana terlampau sibuk, dia telah meninggalkan surat tersebut di dalam lokar Nazrul semalam.
“Dia buang tanpa membacanya?" Nurul mendapati sampul surat tersebut masih belum dibuka kerana gamnya masih tertampal ketat. “Memang nak kena ni." Dia pula yang tiba-tiba naik angin dengan perangai Nazrul yang tidak pernah tahu untuk menghormati orang.

“KENAPA kau langsung tak bacanya dulu?" kata Nurul terus menyerang Nazrul sebaik sahaja Nazrul melangkah masuk ke dalam bilik kelab bersama-sama dengan ahli-ahli rasmi yang lain. Hampir semua orang terkejut dengannya yang tiba-tiba meninggikan suara dengan Nazrul. Masing-masing hanya diam dan langsung tidak berani untuk bersuara sepatah pun.
“Baca apa?" tanya Nazrul pelik. Lagi pelik apabila Nurul tiba-tiba menengkingnya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam. Rezza di sebelahnya dipandang inginkan sedikit penjelasan, tapi nampaknya Rezza juga tidak tahu-menahu dengan mengangkat bahunya. Entah apa pula yang merasuk Nurul petang itu.
“Surat nilah! Aku jumpa kat dalam tong sampah. Kalau kau benci sangat dengan kaum perempuan ke, tak nak bercinta lagi dengan sesiapa ke, atau sudah ada idaman hati ke, kau patut baca surat ni walaupun benda ni tak bermakna bagi kau," ujar Nurul sambil menunjukkan surat yang dijumpainya di dalam tong sampah tadi.
“Bukan urusan aku," jawab Nazrul selamba sambil berlalu membuka lokarnya tanpa menghiraukan Nurul yang masih baran.
“Bukan urusan kau? Hei, budak ni nak sangat kau baca surat dia. Dia benar-benar sukakan kau. Kalau kau benci sangat dia pun, baca sajalah surat dia ni. Mungkin ada perkara penting yang dia hendak sampaikan," kata Nurul lagi.
Mereka yang lain hanya mampu melihat drama Nurul dan Nazrul berperang mulut tanpa ada seorang yang berani masuk campur. Lebih baik jangan masuk campur.
“Beritahu dia jangan hantar surat lagilah kalau dia tak nak suratnya jadi penghuni tong sampah!" Nazrul pula melenting marah. Selama ini tiada seorang pun yang memarahi apa yang dilakukannya dan tiba-tiba pula Nurul yang hanya dikenali sebagai pengurus Kelab Bola Sepak memarahinya hanya sebab surat cinta dan hak peribadinya.
“Tapi, kau memang tak patut buat dia macam ni. Kau tahu tak, dia merayu-rayu pada aku supaya bagi surat ni pada kau. Dia harap kau baca surat ni!" Nurul masih tidak mahu berganjak. Dia perempuan. Dia juga pernah tulis surat cinta dan dia juga berharap sangat kalau orang yang dia suka itu baca surat cintanya. Hati mana yang tidak terkilan kalau cinta sejatinya tidak diterima orang apatah lagi surat cinta yang di tulis dibuang tanpa dibaca.
“Mana kau tahu yang dia bagi surat ni untuk aku?" tanya Nazrul memandang Nurul dengan tajam.
“Dia dah tulis terang-terang nama kau disini. Kau buta ke?"
“Kau memang tak tahu apa-apa." Pintu lokarnya ditutup dengan kuat menyebabkan semua tersentak. Tanpa berkata apa-apa, Nazrul segera berlalu dari situ.
“Hei, aku belum habis lagi!"
“It's okay, Nurul," celah Fiq perlahan sambil cuba menenteramkan keadaan.

PINTU tandas lelaki dihempas kuat oleh Nazrul.
Sebentar kemudian Rezza yang mengekori melangkah masuk ke dalam.
“Aku okey," kata Nazrul sebelum membasuh mukanya di singki.
“Kau patut beritahu Nurul hal yang sebenarnya. Terangkan pada dia supaya dia faham," ujar Rezza cuba menasihati kawan baiknya itu.
“Anggap sajalah dia tak pernah wujud. Sejak bila pula budak tu bagi surat? Kenapa aku tak tahu langsung?" tanya Nazrul kepada Rezza. Dia pasti Rezza sedang menyimpan sesuatu daripadanya.
“Dia memang tak nak bagi kau tahu," balas Rezza berterus-terang.
Satu keluhan berat dilepaskan oleh Nazrul.
“Dia suka perempuan tu?"
Kali ini Rezza sekadar mengangkat bahu.

FIQ menghulur air mineral kepada Nurul setelah memujuk gadis itu ke kantin untuk tenangkan fikiran. Dia tahu Nurul masih lagi tidak puas hati dengan apa yang terjadi walaupun dia rasa Nurul tidak patut menengking Nazrul hanya kerana surat cinta.
“Teruk sangat ke aku marah tadi?" tanya Nurul tiba-tiba.
Fiq hanya sekadar menggeleng.
“Aku pun tak sangka boleh jadi macam tu," kata Nurul sambil menghela nafas panjang. “Tapi, aku sakit hati sebab Nazrul buang surat tu tanpa baca sepatah pun. Budak tu berharap sangat Nazrul membaca suratnya. Aku tahu semua tu hak Nazrul, tapi aku masih tak boleh terima. Surat cinta memang sensitif bagi kaum perempuan."
“Aku faham." balas Fiq dan kemudian tersenyum memandang Nurul.
Hampir gugur jantung Nurul melihat senyuman Fiq. Kacak sungguh. Mujurlah ada Fiq, kalau tidak, entah pada siapa dia hendak mengadu.
“Kau tahu sebab apa Nazrul jadi macam tu? Langsung tak terima kehadiran seorang perempuan."
“Sebab itu hak dia," jawab Fiq pendek.
“Tapi, mesti ada sebab lain. Contohnya, Nazrul fobia dengan perempuan atau Nazrul sudah ada kekasih hati atau Nazrul tu... gay..." ujar Nurul dan kemudian berfikir sebentar.
Fiq memandang Nurul dengan pandangan yang pelik.
“Nazrul tu gay?" tanya Nurul lagi dan inginkan kepastian.
Fiq terus hilang kata-kata. Bukannya kerana dia tiada idea hendak berkata, tapi kerana terpaku melihat wajah Nurul yang entah kenapa begitu comel dilihatnya bila Nurul membuat muka sedang berfikir sesuatu yang melalut.
“Kalau gay, dia couple dengan siapa?" tanya Nurul lagi. Kemudian, dia ternampak Nazrul berjalan seiringan dengan Rezza dari jauh. “Nazrul dengan Rezza?" tanyanya lagi.
“Aku tak nak masuk campur," ujar Fiq dengan nada perlahan.

“NAZRUL dengan Rezza? Couple?" tanya Sofea seakan tidak percaya dengan apa yang Nurul cakapkan tadi. “Ni fitnah atau kenyataan ni?"
“Ini adalah kebenaran," kata Nurul selamba. Langsung tidak rasa bersalah menyebarkan berita yang tiada kesahihannya lagi. Namun, dia berasa ia benar sama sekali. Mana tidaknya, dia asyik melihat Nazrul bersama Rezza setiap masa. Ada kalanya bila Nazrul ingin berkata sesuatu yang rahsia, Nazrul akan tarik Rezza di tempat yang tiada sesiapa boleh dengar dan begitu juga dengan Rezza.
“Hisy, kau ni tak baiklah. Rezza bukannya macam tu." Sofea masih lagi tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Nurul.
“Aku tahulah kau ni peminat setia Rezza, tapi cuba kau fikir kenapa Rezza tak pernah couple dengan sesiapa? Kenapa Rezza asyik bersama dengan Nazrul?"
“Sebab Nazrul kawannya sejak kecil lagi. Semua orang tahu mereka berdua memang rapat. Apalah kau ni." Sofea masih lagi tidak percaya.
“Lantaklah kau nak percaya atau tidak, tapi aku tengok memang dia orang berdua tu ada something. Mulai dari hari ini aku akan siasat hubungan mereka berdua. Patutlah hari tu, Farizat hampir pecah rahsia. Jadi, sasaran pertama aku adalah Farizat!"
Sofea hanya sekadar menggeleng. Inilah Nurul kalau tiada kerja yang hendak dibuatnya. Ada saja perkara yang tak berfaedah yang hendak dibuatnya dan mangsa seterusnya adalah Rezza dan Nazrul.
Memang dia tidak percaya langsung mereka berdua itu adalah couple. Siapa yang hendak percaya kalau orang yang sebarkan fitnah itu sendiri tidak kenal Nazrul dan Rezza dengan lebih dekat lagi. Nurul baru saja dua tahun berada di sekolah itu dan baru saja mengenali Rezza dan Nazrul, tapi sudah pandai membuat andaian yang berani. Memang betul-betul sudah gila kawannya yang seorang itu.
“NO comment!" Hanya itu jawapan yang diberikan oleh Farizat dan rakan-rakan yang lain mengenai hubungan Rezza dengan Nazrul.
Penat juga Nurul bertanyakan pelbagai soalan berkenaan dengan Rezza dan Nazrul, tapi tiada seorang pun yang mahu menjawabnya dengan jujur. Mereka seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu rahsia yang besar daripada pengetahuannya.
Malah, apa yang lagi pelik, mereka semua kelihatan bersekongkol untuk memberi jawapan yang sama. Entah rahsia besar apa yang mereka simpan sehingga tiada sesiapa pun yang sanggup membuka mulut. Mungkin ada benarnya apa yang difikirnya selama ini. Rezza dan Nazrul adalah pasangan kekasih.
“Jangan fikir apa-apa lagi."
Sebuah buku hinggap di atas kepala Nurul membuatnya tersentak daripada lamunan.
“Sakitlah!" Nurul mencebik marah kepada Sofea yang duduk di hadapannya.
Sofea hanya sekadar menggeleng. Dia tahu apa yang sedang difikir oleh kawannya itu, tidak lain tidak bukan mesti pasal hubungan Rezza dan Nazrul.
“Sudahlah tu... Aku dah cakap, mereka berdua tu adalah kawan baik sejak kecil lagi. Tak mustahillah mereka berdua tu rapat macam belangkas. Tak payahlah kau nak korek rahsia ni sampai ke lubang cacing. Cacing pun dah naik rimas kalau kau asyik nak ceroboh lubang dia," kata Sofea.
“Tapi, kalaulah mereka berdua tu setakat kawan biasa saja kenapa aku tanya pemain bola sepak semua macam nak larikan diri saja. Kau tak terfikir ke, mungkin mereka ada simpan rahsia besar yang hanya Kelab Bola Sepak saja yang tahu pasal benda ni," balas Nurul cuba meyakinkan Sofea lagi.
“Semua orang ada rahsia, Nurul. Aku pun ada rahsia yang aku tak pernah bagi tahu kau dan mungkin kau pun ada rahsia yang takkan beritahu aku. Jadi, tak ada alasanlah buat seseorang tu simpan rahsia."
“Tapi, rahsia ni rahsia besar-besaran. Semua orang dalam Kelab Bola Sepak tahu dan hanya aku seorang saja tak tahu. Kau boleh bayangkan tak macam mana aku nak terima kalau aku sebagai pengurus tak tahu apa masalah dia orang?"
“Kalau mereka tak nak bagi tahu kau, reda sajalah. Bukannya masalah kau kalau mereka tak beritahu rahsia besar tu. Dahlah. Hentikan niat kau tu nak sebarkan gosip tentang Nazrul dan Rezza tu. Mereka berdua tu kawan karib sejak kecil. Memang patut pun mereka berdua tu berkawan rapat."
“Aku tak kira. Kalau aku nak tahu, aku akan cari juga jawapannya. Tak kiralah walau apa pun yang berlaku!" tegas Nurul.
“Lantaklah. Yang penting aku tak nak masuk campur." Sofea kembali menghadap buku-buku latihan di hadapannya tanpa mempedulikan Nurul yang sengaja mendera otaknya memikirkan hubungan Nazrul dan Rezza.
“Eh!" Mata Nurul terpandang kelibat seseorang yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam perpustakaan sekolah itu.
“Kenapa?"
“Budak tu... Dia yang suruh bagi surat kat Nazrul," beritahu Nurul sambil menunjuk ke arah Nurmaya yang sedang memulangkan buku yang dipinjamnya di kaunter pemulangan.
“Nurmaya? Emm... peliklah."
“Memang pelik pun. Kalau dia bagi surat cinta kat Rezza atau Fiq, tak apalah... Tapi, dia bagi kat Nazrul."
“Bukan sebab tu..."
“Habistu sebab apa?"
“Dia kan dah ada boyfriend."
“Hah!"
“Aku dengar boyfriend dia tu pelajar UiTM. Memang ramai yang sangkut kat minah ni, tapi semuanya dia tak layan. Tapi, pelik juga sebab dia bagi surat kat Nazrul. Kau pasti ke dia bagi kat Nazrul?"
“Kenapa kau tanya soalan yang sama?"
“Hah?"
“Nazrul juga tanya kat aku masa hari tu. Dia tanya, aku pasti ke yang surat tu untuk dia," ujar Nurul sedikit pelik.
“Kau jawab apa?"
“Dah nama atas sampul surat tu nama Nazrul, takkanlah untuk puntianak kat belakang sekolah tu," jawab Nurul sedikit marah bila teringatkan kejadian kelmarin. Itulah kali pertama dia bertekak dengan Nazrul dan itu jugalah kali pertama dia melihat Nazrul marah.
“Kenapa Nazrul tanya kau macam tu?"
“Manalah aku tahu. Tiba-tiba aku rasa macam dia tu ada krisis dengan namanya sendiri. Nama sendiri pun tak tahu."
“Sabar ajelah."
“Kalau dengan orang lain aku boleh sabar, tapi kalau dengan Nazrul aku tak boleh nak sabar. Aku rasa macam nak sepak aje si Nazrul tu. Menyusahkan!"
“Kenapa kau anti sangat dengan Nazrul tu. Aku rasa dia tu tak adalah kacau orang sangat. Kerja dia pun asyik tidur saja memanjang."
“Kau tak faham. Memanglah dia tak kacau orang, tapi aku tetap rasa geram dengan dia. Lagi satu, aku benci tengok orang yang asyik tidur 24 jam."
“Kau sukakan dia ke?" tanya Sofea.
“Gila!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience