Sebaik sahaja Nurul sedar dari pengsan, dia mendapati dia terbaring di sebuah bilik yang agak asing buatnya. Apabila dia membuka mata, dia terdengar suara Sofea yang seakan memanggil ibu dan ayahnya. Dirinya masih lagi kebuntuan. Pelbagai soalan yang timbul di fikirannya dan soalan utamanya adalah bagaimana dia boleh tidur di atas katil yang asing itu.
"Kau tak ingat?" tanya Sofea bertubi-tubi setelah mereka bersama-sama mengajukan soalan yang sama.
Nurul melihat wajah ibu dan ayahnya yang jelas terpancar kerisauan. Mana tidaknya, satu-satunya anak tunggal perempuan mereka tiba-tiba terlantar di katil hospital. Dalam masa yang sama dia mula teringat kejadian yang hampir meragut nyawanya apabila dia hampir dilanggar oleh sebuah kereta.
Dia menceritakan segalanya kepada mereka semua terutama sekali ibu bapanya yang risau dengan kejadian yang menimpanya. Dia turut menceritakan segalanya termasuklah detik cemas dia diselamatkan oleh seseorang.
"Hah, memang aku dah agak dah. Tulah kau, aku dah kata awal-awal, tapi kau tak dengar. Tulah, siapa suruh kau koyak Carta Prince Charming? Nasib baiklah ada seseorang yang selamatkan kau", ujar Sofea yang sememangnya bermulut becok.
"Siapa yang selamatkan adik?" tanya Tuan Alif.
"Err... entah. Adik tak tahu. Macam mana ibu dan ayah tahu adik kemalangan?" tanya Nurul hairan.
Sekiranya lelaki yang menyelamatkannya daripada dilanggar kereta tadi membawanya ke hospital, mestilah mereka tahu siapa orangnya.
"Tu, anak Pak Cik Taha depan rumah kita tu yang beritahu. Dia kerja sebagai jururawat di hospital ini. Dia yang bagi tahu adik masuk hospital", ujar Puan Nurain.
"La, ya ke?" Nurul menggaru kepalanya yang tidak gatal.
"Betul ke adik tak apa-apa ni?" tanya Puan Nurain risau.
Nurul sekadar mengangguk. Selain perutnya yang mula menyanyikan lagu rancak, rasanya selain itu tiada apa-apa yang mencurigakan.
"BETUL ke kau tak ingat siapa yang selamatkan kau?" tanya Sofea buat kali kesepuluh dan buat kali kesepuluh itu jugalah Nurul terpaksa menjawab jawapan yang sama.
"Bukan tak ingat, tapi aku memang tak nampak siapa yang selamatkan aku tu dan sekali lagi kau tanya soalan yang bodoh ni, aku humban kau dari bilik aku", ugut Nurul.
Sofea sudah tersengih-sengih.
"Tapi... aku ingat dia tu pakai jaket kuning macam pemain rasmi pasukan bola sepak", kata Nurul.
"Ha! Mungkin yang selamatkan kau tu pemain rasmi pasukan bola sepak sekolah kita?" teka Sofea.
"Memang pun! Hanya pemain rasmi saja yang ada jaket tu". Nurul menghempas tubuhnya ke atas tilam yang empuk.
"Kau tak nak cari siapa orangnya ke?"
"Nak buat apa? Pasukan rasmi ada 15 orang pemain, takkanlah aku nak temu bual dia orang semua sekali. Gila apa!"
"Ini bukannya gila, ni untuk ucapkan terima kasih pada orang yang tolong selamatkan kau tu".
"Kau tahu tak, mengucap terima kasih pada seseorang yang tidak dikenali adalah sesuatu yang mengerikan dalam hidup aku?"
"Hah! Kenapa?"
"Sebab perkataan terima dan kasih. Aku anti dengan kedua-dua perkataan itu", jawab Nurul pendek sebelum kembali menarik selimutnya, membiarkan Sofea yang masih lagi berfikir apakah yang dimaksudkan dengan kedua-dua perkataan itu.
Jauh dari sudut hati, Nurul hanya tersenyum dengan gelagat Sofea yang tidak jemu melayan orang yang keras kepala. Pantang menyerah kalah dengan apa yang berlaku. Kalau dia salah pun, dia pasti akan memutar belitkan kenyataan sehinggalah dia mencapai kemenangan. Senyumannya makin melebar.
NURUL kembali ke sekolah seperti biasa walaupun doktor telah memberinya dua hari cuti sakit. Baginya, selagi dia ada tenaga untuk berjalan dia akan kerah tenaganya habis-habisan untuk ke sekolah. Entahlah! Dia sendiri tidak tahu. Hendak kata dia suka datang sekolah, tidak juga. Kalau boleh dia lebih suka duduk di rumah. Tapi, dalam masa yang sama dia tetap berkeras untuk ke sekolah.
Hendak kata dia minat belajar pun tidak sebab semasa di kelas, fikirannya asyik melayang dan kadang-kadang dia tidak sedar apa yang telah berlaku disekelilingnya. Bila cikgu menyuruh menyalin nota, dia sibuk melakar angan-anganya dengan menulis sesuatu di buku latihan dan bila cikgu lalu disebelahnya, terus diselak halaman tengah dan menulis sebaris nota yang tertulis di papan hitam. Huh, taktik nak hiduplah katakan.
"Nurul!" pekik Sofea dari jauh sambil berlari anak menghampiri Nurul.
Setahu Nurul, Sofea datang ke sekolah bersama dengannya, tapi pelik pula apabila Sofea berlari menghampirinya seperti telah tertinggal jauh di belakang. Atau dia yang berjalan laju sehingga Sofea tidak dapat mengejarnya. Kesimpulan lain, Sofea mengelamun semasa berjalan. Nasiblah, Sofea, siapa suruh jalan tak tengok arah, kan dah sesat, omel Nurul dalam hati.
"Kenapa ni? Kau jumpa ikan haruan?" tanya Nurul separuh lawak.
Sofea tercungap-cungap cuba bernafas dengan betul. Entah berapa kilometer Sofea tertinggal ke belakang tadi sehingga semput mengejar.
"Carta... Carta... " ujar Sofea tersekat-sekat sambil cuba menyedut oksigen yang ada.
Nurul mengangkat kening. Kurang faham dengan apa yang diperkatakan oleh Sofea.
"Ah..."
Tidak tahu bagaimana ingin dikatakan, Sofea terus menarik Nurul ke papan kenyataan yang mana ramai pelajar perempuan sudah berkumpul sejak tadi.
"Kenapa kau bawa aku ke tempat yang sesak ni?" dengus Nurul marah. Baru semalam dia berperang dengan Carta Prince Charming dan hari ini pula Sofea membawa ke tempat itu lagi.
"Tu... tengok Carta Prince Charming tu..." Tangan Sofea menunjuk ke arah sehelai kad manila yang ditampal di papan kenyataan.
“Hah! Kenapa!"
"Kenapa? Kau tak nampak ke perubahan ketara?"
"Oh, yang aku perasan dia orang dah tukar kad manila yang berwarna pink kepada warna emas. Itu saja," balas Nurul selamba.
Sofea menarik nafas lemah. Entah apa punya kawan.
"Kau tengoklah siapa yang dapat duduki Carta Prince Charming! Tiada sesiapa!" ujar Sofea sedikit menjerit, cuba menyaingi suara-suara yang kecoh di sekelilingnya.
"Jadi? Aku perlu tahu ke?" tanya Nurul dengan selamba dan segera mengangkat kaki berlalu dari situ. Dia tidak tahan dengan suara-suara sumbang disekelilingnya yang sedang berbisik sesuatu tentangnya.
"Helo, kau tak terfikir ke apa yang berlaku ni pelik? Selepas kau koyak Carta Prince Charming tu semalam, kau hampir kena langgar dan hari ini tiada sesiapa dapat takhta Prince Charming".
“Ada aku kisah ke semua tu?" ujar Nurul masih lagi seperti orang yang tiada perasaan. "Oh, ya, aku kisah. Aku dah koyak dan buang carta tu semalam dan hari ini ada lagi. Orang yang tampal carta tu tak serik-serik rasanya," tambah Nurul lagi.
Sofea di sebelahnya hanya melepaskan keluhan yang lemah. Sakit hati sahaja jika bercakap dengan orang yang tiada perasaan seperti Nurul.
"Boleh tak kalau kau berlagak macam orang yang ada perasaan pada waktu, ketika dan saat ini?" tanya Sofea yang mula sudah tidak tahan apabila interaksinya bersama Nurul telah gagal. "Cuba berfikiran positif walaupun kau tak percaya dengan carta yang karut tu hanya untuk seketika. Cuba kau fikir, selepas saja kau koyak carta tu, kau hampir kena langgar semalam".
"Ya. Hampir kena langgar dan bukan dilanggar. Ada seseorang selamatkan aku dan kau tak boleh kaitkan kejadian tu sebagai malang sebab aku koyak carta tu. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana dan bila-bila masa", balas Nurul dengan fikiran positifnya.
"Mungkin pandangan kau boleh diterima, tapi bagaimana kau nak jelaskan tentang Carta Prince Charming pada hari ini? Selalunya Carta Prince Charming akan muncul seminggu sekali dan kali ini, hari ni carta tu muncul lagi dengan tiada sesiapa pun yang berada di takhta pertama Prince Charming. Ini baru kali pertama benda ni terjadi", balas Sofea cuba meyakinkan Nurul.
"Ini juga kali pertama Carta Prince Charming dikoyak. Mesti orang yang buat carta tu bengang tahap gaban sebab mensia-siakan usahanya mencari siapa Prince Charming dalam sekolah ini. Jadi, sebab dia terlampau marah, dia sengaja kosongkan takhta Prince Charming. Sengaja nak buat orang marah dengan aku. Kau tak tengok ke tadi macam mana mereka semua mengumpat pasal aku? Itulah tujuannya", balas Nurul panjang lebar.
"Aku tak fahamlah dengan kau ni!" Sofea menggeleng lemah. Sememangnya dia akan kalah bila berbalas kata dengan Nurul. Pasti ada sahaja yang cuba diputar belit oleh Nurul dan akhirnya dia sendiri pening dengan apa yang Nurul katakan.
"Senang saja. Dengan kata lain... kau dah kalah". Nurul tersenyum lebar seolah-olah sedang memerli Sofea. Langkahnya pantas berjalan laju menuju ke kelasnya.
Sofea memeluk tubuh sambil menjeling tajam ke arah Nurul yang sudah berjalan ke hadapan. Sememangnya dia tidak berpuas hati dengan perbahasan mereka tadi. Dia mesti buat sesuatu untuk menyedarkan Nurul.
"Aku dengar Kelab Bola Sepak nak buat pemilihan pengurus merangkap setiausaha kelab".
Telinga Sofea terus terbuka luas-luas sebaik sahaja mendengar perbualan dua orang pelajar perempuan yang lalu disebelahnya.
"Ya. Aku pun dengar. Aku dengar juga, mereka nak perempuan jadi pengurus tu. Bayangkan hari pertama mereka tampal iklan tu, hampir seratus permohonan diterima. Nasib baik aku sempat daftar."
“Hah? Kau tak beritahu aku pun. Aku pun nak mohon juga. Nak jumpa siapa?"
“Najmi”.
Sebaik sahaja Sofea mendengar nama Najmi, terus dia berlalu dari situ. Inilah peluang untuk kenakan Nurul kembali. Jika Nurul bernasib baik dan diterima masuk dalam pasukan bola sepak, bolehlah Nurul berjumpa dengan orang yang selamatkannya. Ini juga bukan diklasifikasikan sebagai balas dendam, tapi menolong kawan.
MUHAMMAD SHAH REZZA berjalan melangkah masuk ke dalam bilik yang menjadi tempat lepak ahli-ahli bola sepak sebelum sesi kelas bermula pagi itu. Tangan kanannya menggenggam erat sehelai kertas yang ditanggalkannya dari papan kenyataan semalam. Segera dia berlalu menghampiri seorang pelajar lelaki yang sibuk membaca komik yang selalu diseludup masuk ke sekolah. Dia sempat menjeling ke arah seorang pelajar lelaki yang sedang nyenyak tidur berbantalkan lengan.
"Siapa yang buat notis ni?" tanya Rezza kepada pelajar lelaki yang terkenal dengan sikap pendiamnya.
Akmal Fiqri atau lebih mesra dengan panggilan Fiq mengambil notis dari tangan Rezza. Selepas membacanya, dia sendiri tersenyum kelucuan. Kemudian dia menggeleng dan memberi kepada Farizat yang baru menghampiri mereka. Lelaki tinggi lampai yang terkenal dengan teknik pertahanan di padang turut ketawa kelucuan.
“Memang nak cari nahaslah siapa yang buat tu", ujar Rezza berlalu , duduk di sebelah pelajar lelaki yang masih lagi nyenyak tidur.
"Kau agak siapa yang buat?" tanya Farizat yang masih lagi ketawa.
"Hi, guys!" sapa Najmi sambil terus menongkat sikunya di bahu Rezza. Seperti kebiasaan, kalau dia datang tanpa senyuman ceria memang tidak sah.
“Aik, kenapa dengan kau orang semua ni? Apa yang lucu semacam?"
Farizat menghulurkan notis yang dibacanya tadi kepada Najmi. Belum sempat Najmi membaca notis tersebut, dia dapat rasakan udara di persekitarannya berbahang. Dengan perlahan dia menjeling pandang ke arah Rezza di sebelahnya.
"Okey apa kalau ada pembantu perempuan.
Bukan ke ada satu pepatah kata... Kejayaan seorang lelaki ada seorang wanita dibelakangnya. Err... lebih kurang macam tulah. Jadi, apa kata kalau kita ambil seorang perempuan sebagai pengurus," ujar Najmi cuba meyakinkan kawan-kawannya terutama sekali Rezza yang sejak dulu lagi tidak berminat dikaitkan dengan mana-mana perempuan walaupun Rezza mempunyai ramai peminat di sekolah itu. Namun, sehingga hari ini tiada satu pun yang dapat menarik perhatian Rezza.
Rezza masih tenung Najmi di sebelahnya. Dia tahu sangat dengan perangai Najmi yang juga merupakan Romeo kelas satu di sekolah mereka. Cakap saja Najmi, semua orang kenal dengan perangainya yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan. Yang peliknya, pelajar perempuan yang sudah tahu perangai Najmi masih tergila-gilakan lelaki yang tiga suku setengah ini.
Hendak kata Najmi handsome, Pak Mail, tukang kebun sekolah lagi handsome. Nak kata anak orang kaya, tidak juga. Ayah Najmi hanyalah perkerja kerajaan, tapi entah kenapa ramai perempuan sangkut dengan Najmi, Mungkin Najmi seorang yang periang dan suka berlawak. Mungkin sebab itulah ramai yang sangkut.
"Terima kasih datangkan bala yang tak dijemput. Petang ni lari 20 pusingan," ujar Rezza selamba.
"20 pusingan?" soal Najmi hampir menjerit.
Farizat sudah tidak dapat menahan ketawanya.
Entah apa yang lucu dia pun tidak tahu. Tapi, dia benar-benar lucu melihat perangai Najmi yang secara spontan boleh membuat orang lain ketawa. Fiq disebelahnya sudah terenjut-enjut bahu.
Rezza sekadar menggeleng. Dia kemudiannya menjeling Nazrul disebelahnya yang masih lagi tidur dengan nyenyak.
"Ni lagi satu, kalau tak tengok dia tidur sehari memang tak sah. Wei bangunlah!" Rezza mengejutkan Nazrul, kawan karibnya itu.
Selepas dipanggil beberapa kali barulah Nazrul bangun.
“Aaa..." Nazrul mengeliat malas sambil menguap. Perkara tu memang sudah jadi kebiasaan pada setiap pagi.
Mereka siap menggelarkan Nazrul, The Sleeping Handsome kerana Nazrul memang terkenal dengan perangainya yang suka tidur tidak kira masa dan di mana jua dia berada. Dalam kelas, luar kelas, kantin, makmal, bengkel mahupun tapak perhimpunan pun dia boleh tidur. Pendek kata hobi Nazrul adalah tidur.
"Rezza, aku mimpi tadi..." Nazrul bersuara dalam mamai.
"Kau mimpi jumpa puteri kayangan ke?"
“Tak," jawab Nazrul pendek.
“Habis tu?"
Nazrul memandang Rezza dengan mata mengantuknya. “Aku mimpi kau cium aku..."
Serentak kepala Nazrul kena hantuk dengan meja tulisnya. Nazrul mengerang kesakitan sambil mengurut dahinya yang terhantuk. Nasib baiklah kepalanya jenis kepala batu. Tiadalah sakit sangat, tapi sakitlah juga. Serta-merta matanya yang kuyu tadi mulai segar.
"Okey, terima kasih sebab cium aku." Nazrul kembali segar. Mereka berpandangan kemudian masing-masing ketawa kelucuan.
"Sakit tak?"
“Sakitlah mangkuk, bergegar otak aku kejap." Nazrul mengeliat membetulkan otot-ototnya yang rasanya turut terlena tadi.
"Bila kau macam nilah kena kejutkan kau. Aku rasa kalau kau tak bangun jugak, aku bagi bom saja." Rezza sekadar menggeleng. Salah satu tugasnya setiap hari adalah untuk bangunkan manusia seperti Nazrul daripada tidur. Memang susah. Memang payah. Kalau tidak diketuk, ditumbuk atau disepak, takkan bangun manusia aneh disebelahnya itu.
"Kerja Matematik dah buat ke belum?" tanya Rezza.
“Dah," jawab Nazrul pendek.
“Ada peningkatan. Selalunya kau mana ingat nak buat kerja sekolah. Pelupa tahap gaban."
“Tu... Cikgu Midah punya pasallah," jawab Nazrul mengurut tengkuknya yang terasa lenguh lagi.
"Kenapa?"
“Yalah, entah apa sihir dia bagi kat aku sampai aku sedap-sedap mimpi makan ayam golek dia boleh datang ganggu mimpi aku, suruh siapkan kerja rumah. Apa lagi, terus terjagalah aku. Terus aku buat kerja sekolah yang dia bagi ." Kedengaran keluhan lemah daripada Nazrul. Rezza di sebelah sekadar menahan ketawa.
Nazrul menjeling tajam. Hah, gelaklah!
"Tapi, aku tak bawa buku Matematik tu hari ni," jawab Nazrul selamba.
Rezza di sebelahnya terus berhenti ketawa. "Lupa lagi?"
Kali ini Nazrul pula ketawa.
SEMANGKUK bihun sup terlepas dari pegangan. Keadaan kantin riuh-rendah dengan sorakan. Memang begitulah situasi jika ada benda jatuh ke atas lantai. Kecoh macam bom jatuh saja. Nurul sempat mengerling pelajar perempuan yang terlanggar dengannya tadi. Pelajar tersebut hanya mengangkat bahu sambil tersenyum menyindir.
Walaupun hatinya membara, dia hanya dapat bersabar sahaja. Segera dia berlalu mendapatkan Sofea yang sudah duduk di meja makan. Selera makannya hilang begitu saja.
“Malangnya," kata Sofea sambil menggeleng, sengaja ingin menyakitkan hati Nurul. Tanpa mempedulikan Nurul yang sedang cuba mengawal marah dia menjamah bihun sup yang dibelinya tadi.
"Benda tu hanya sekeping Carta Prince Charming! Takkan sebab itu, mereka semua nak marah aku macam aku rampas suami dia orang!" balas Nurul sengaja meninggikan suara, biar semua orang di sekelilingnya mendengar.
"Masalahnya sekarang, Carta Prince Charming bagaikan suami dia orang. Aku rasa kau dah terkena sumpahan puteri."
"Sumpahan puteri? Kau ingat ini cerita dongeng ke? Puteri apa yang nak sumpah aku ni? Puteri bunian? Puteri lindungan bulan?"
"Serius, Nurul. Benda ni tak boleh dibuat main."
"Oh, okey. Kalau aku benar-benar terkena sumpahan puteri bunian, adakah selepas ni aku akan di timpa malang? Dan, kalau aku ditimpa malang, kita lihat apa yang malangnya,"ujar Nurul dengan lagaknya.
"Okey, perkara pertama yang aku tahu, kau terpaksa berhadapan dengan sukan yang paling kau benci iaitu bola sepak. Aku baru saja daftarkan nama kau sebagai salah seorang calon pengurus pasukan bola sepak."
"What?"
“Itu juga dikira malang, kan?" Sofea mengenyit mata manja.
“Kenapa kau memandai-mandai letak nama aku?" Nurul benar-benar naik angin dengan kenyataan Sofea tadi. " Kan aku dah kata, aku benci dengan bola sepak. Bukan setakat bola sepak, tapi semua jenis bola aku benci," ujar Nurul sambil duduk di tempatnya.
"Aku cuma nak tolong kau cari siapa yang selamatkan kau. Takkanlah kau tak teringin nak cari siapa yang selamatkan kau? Aku tahu kau tu ego dan keras kepala, tapi hakikatnya salah seorang daripada pasukan bola sepak dah selamatkan nyawa kau. Takkanlah kau nak lupakan macam tu saja?" Sofea membalas.
"Kau nak suruh aku buat apa kalau aku jumpa orang yang selamatkan aku? Kau nak aku bagi duit beribu-ribu kepadanya tanda terima kasih sebab selamatkan aku atau cium jari kaki dia untuk balas hati budi dia?" tanya Nurul dengan nada menyindir. Dia masih lagi tidak puas hati dengan tindakan Sofea yang seperti sengaja hendak mencari gaduh dengannya.
"Tak adalah sampai macam tu. Okeylah, nampaknya aku terlalu memaksa kau. Terpulanglah pada kau nak datang temu duga tu atau tak. Yang penting aku tak rugi." Sofea kembali ke tempatnya di belakang tempat duduk Nurul.
"Fine! Aku akan pergi , tapi jangan haraplah aku nak buat betul-betul." Akhirnya Nurul bersetuju. Jauh dalam sudut hatinya dia menyokong kata-kata Sofea. Ada seseorang sudah menyelamatkannya. Kalau tidak reti ucapkan terima kasih pun, sekurang-kurangnya kenalilah orang yang selamatkan nyawanya.
Orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa orang tak reti-reti ke nak munculkan diri? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap, Sayalah yang selamatkan awak daripada kena langgar semalam. Finish! Tak adalah nak panjangkan cerita sampai beratus muka surat semata-mata nak cari Prince Charming! bentak hati Nurul geram.
Nurul tersentak. Dia mengerut dahi. "Apa aku sebut tadi?" tanya Nurul pada diri sendiri. Dia berpaling ke belakang merenung Sofea yang menyusun buku-buku di dalam laci meja tulis.
"Apa yang aku sebut tadi?" Tanya Nurul kepada Sofea pula.
Sofea mengerut dahi. Entah apa hal pula yang tidak kena dengan kawannya ini. Tu mesti mengelamun lagi. Pelik betullah. Matahari dah meninggi pun boleh mengelamun lagi.
"Manalah aku tahu," balas Sofea malas hendak ambil pusing.
Nurul kembali memusingkan badannya ke hadapan. Suasana kelas yang bising macam Pasar Borong Selayang, langsung tidak diendahkannya.
"Aku sebut Prince Charming ke?" Nurul menggaru kepalanya. Dia pasti, dia benar-benar sebut Prince Charming. Tiba-tiba memorinya mengimbas kembali kejadian petang semalam. Masa tu dia sudah terselamat daripada dilanggar kereta. Akibat terkejut teramat sangat, dia menjadi pitam dan sebelum pitam, dia ada menyebut sesuatu.
”Prince Charming..."
Nurul menutup mulutnya dengan kedua-dua telapak tangannya. Sah! Dia sebut Prince Charming! Dan memang sah, dia terkena sumpahan Prince Charming. Tapi, bukan dalam bentuk malang, sebaliknya dalam bentuk angau. Okey , nanti aku akan soal siasat siapa yang sihir aku jadi angau ni!
Share this novel