BAB 29

Romance Completed 11569

RAISYA bersyukur sangat-sangat apabila Encik Hisyam dan Encik Shahrul sepakat untuk melindungi mereka demi kebaikan bersama termasuklah demi menjaga imej kolej mereka. Mereka juga terpaksa berjanji macam-macam untuk meraih kepercayaan felo mereka itu. Namun Raisya masih memiliki satu masalah yang masih belum selesai – rakan sebiliknya.

“Korang, janganlah macam ni. Aku minta maaf.”

Ucap Raisya namun ucapannya itu langsung tidak disambut oleh seorang pun rakannya itu.

Sejak pulang ke bilik tadi semuanya melekat di meja studi dan berlagak tekun menyelesaikan tutorial masing-masing termasuklah Najwa yang biasanya masa lapangnya hanya tidur saja. Lebih teruk semuanya menyumbat telinga dengan earphone masing-masing. Thia lagi dahsyat, dengan headphone di kepala, kepalanya turut terangguk-angguk mengikut rentak lagu.

“Shud, aku minta maaf…”

Raisya memegang bahu Shud namun Shud menepis tangan Raisya. Raisya tersentap apabila Shud dengan dingin menepis tangannya.

Raisya beralih kepada Dini. Dia turut memegang lembut bahu Dini.

“Dini…”

“Najwa, kenapa aku rasa bahu aku ni macam berat? Hang letak batu ka?”

Tanya Dini tiba-tiba kepada Najwa yang berada di sebelahnya.

“Dak aiihh… hang rasa berat pasal ada tangan penipu dekat bahu tu. Orang menipu ni banyak dosa. Baik hang tepis cepat macam Shud buat.”

Jawab Najwa selamba.

Dini turut melakukan perkara yang sama. Tangan Raisya ditepis sekasar mungkin. Raisya tiba-tiba menjadi hilang sabar. Dengan rasa bengang dia menarik earphone di telinga Dini.

“Weh, hang pasaipa?!”

Tengking Dini sambil menolak kasar kerusinya sampai tergolek kerusinya itu. Najwa juga sudah turut berdiri. Thia dan Shud pula sudah menoleh sambil membuka headphone dan earphone masing-masing.

“Aku tahu korang marah. Memang aku tipu korang. Tapi tak boleh ke korang dengar explanation aku? Janganlah buat aku macam tunggul.”

Rayu Raisya.

“Oh, kami buat hang macam tunggul? Habis selama ni kami kena tipu dengan hang hidup-hidup bukan setakat macam tunggul tapi dah macam batu tepi jalan. Tak ada yang peduli.”

Marah Dini.

“Hang mesti seronoklah kan gelakkan aku diam-diam selama ni bila aku dok tergedik-gedik dengan Zafuan sedangkan dia laki hang. Hang memang saja nak tengok aku syok sendiri cerita yang konon Zafuan tu suka aku, ada hati dekat aku sedangkan hang tau dia dah kahwin dan isteri dia ialah hang! Memang aku bodoh tak sedar yang selama ni dia borak pasal hang aja. Aku cuma fikir seronok dapat borak dengan dia. Seronokkan dapat mempermainkan kawan sendiri?”

Perli Najwa sinis dengan mata berkaca jelas mempamerkan kekecewaan hatinya.

Air mata Raisya tiba-tiba menitis.

“Aku tak pernah terfikir pun nak mempermainkan kau. Mempermainkan kawan-kawan aku ni semua. Keadaan yang membuatkan aku tak dapat berterus-terang. Ikutkan aku memang nak cerita tapi risiko dia terlalu tinggi.”

“Kitorangkan kawan Sya. Kenapa Sya tak boleh percayakan kitorang?”

Soal Thia pula serius. Tidak pernah dia lihat wajah Thia serius seperti itu.

“Hal ni terlalu peribadi. Bukan soal percaya atau tidak tapi hal ni melibatkan keluarga Zafuan juga. Diorang amanahkan Sya jangan beritahu sesiapa. Buruk padahnya kalau sampai ada orang lain tahu. Kalau sampai orang tahu memang Sya kena buang matriklah cerita dia. Sya tak ada pilihan lain selain simpan aje rahsia ni.”

Jelas Raisya.

“Habis dengan kami pun hang tak percaya? Kami kawan baik hang. Tidoq pun sampai tahap sebantal kadang-kadang tu. Apa gunanya kawan kalau tak saling mempercayai?”

Soal Shud tak puas hati yang memang kadangkalanya tidur sebantal dengan Raisya apabila mereka tidur di lantai dengan membawa turun tilam. Dia, Raisya dan Dini memang biasa tidur bertiga beralas tilam di lantai. Shud yang memang lasak tidur ada kalanya sampai tidur di atas perut Raisya!

“Aku tak maksudkan hangpa semua tak boleh dipercayai. Korang kawan yang paling aku boleh percayai yang pernah aku jumpa. Korang bukan macam batu tepi jalan tapi macam permata yang tidak ternilai harganya. Cuma hal ni melibatkan amanah keluarga Zafuan. Bila dah nama amanah, berdosa jika aku tak laksanakan. Apatah lagi Zafuan pun minta aku rahsiakan. Dia suami aku. Aku kena taat dengan arahan dia. Aku boleh jatuh nusyuz kalau ingkar.”

Jelas Raisya lagi dengan tegas.

Keempat-empat rakannya tidak berkata apa-apa namun kelihatan terkesan dengan kata-kata Raisya itu apatah lagi apabila Raisya mengakui mereka ialah rakan yang paling dipercayainya.

“Aku tahu kalau korang masih tak boleh terima maaf aku ni. Aku tahu memang sakit bila kita kena tipu hidup-hidup. Tapi percayalah, selama ni bila hal Zafuan timbul aku sentiasa diselubungi rasa bersalah yang kuat. Aku nak sangat berterus-terang tapi keadaan tak mengizinkan aku. Aku sayang korang sangat-sangat. Koranglah kawan paling berharga yang pernah aku jumpa. Kalau boleh aku tak nak hubungan kita putus macam ni. Tapi kalau korang still tak boleh maafkan aku. Aku faham. Tak apalah. Aku boleh minta tukar bilik kalau korang nak. Stay dekat bilik kosong pun aku tak kisah kalau korang tak nak tengok muka aku. Kita pun bukannya lama lagi dekat sini.”

Raisya sudah melangkah mahu meninggalkan ruangan belajar itu namun tiba-tiba Thia bersuara.

“Betul ke kami ni macam permata bagi Sya?”

Raisya tersenyum sebelum mengangguk.

“Permata yang tiada penggantinya. Terlalu bernilai.”

“Tapi Sya sekarang dah jadi isteri orang. Kami semua ni masih lagi budak-budak mentah. Siapalah kami nak berkawan dengan isteri orang macam Sya.”

Tambah Thia.

Raisya tersenyum. Air matanya jatuh lagi. Pantas dia mendapatkan Thia dan memeluk rakannya itu.

“Status isteri tak bermakna Sya tak boleh kawan dengan korang. Korang tetap kawan terbaik Sya. Sya sayang korang sangat-sangat.”

Tiba-tiba Raisya merasakan ada tangan lain pula menyentuh bahunya. Shud sudah mendekatinya.

“Aku minta maaf marah hang tadi.”

Najwa pula menepuk bahu Raisya.

“Aku minta maaf pasai selalu goda laki hang.”

Raisya ketawa kecil. Dia memandang Dini pula. Dini memandang Raisya seketika sebelum melarikan pandangan.

“Aku tak ada salah apa kat hang. Tapi aku terimalah maaf hang tu.”

Mereka semua ketawa sebelum semuanya saling berpelukan. Raisya memanjat kesyukuran ke hadrat ilahi apabila akhirnya rakan-rakannya itu memaafkannya. Rakan-rakannya itu sangat berharga baginya. Mungkin lepas ini tiada lagi rakan-rakan seperti mereka. Walaupun pelbagai perangai tapi jauh dalam sudut hati mereka sebenarnya saling menyayangi antara satu sama lain.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience