BAB 2

Romance Completed 11569

DISEBABKAN tidak mahu perkara yang lebih buruk menimpa papanya yang sememangnya memiliki penyakit jantung, Zafuan akhirnya terpaksa menurut jua permintaan papanya itu. Tanpa kerelaan kedua-dua belah pihak, Raisya dan Zafuan akhirnya selamat diijabkabulkan.

Semua bagai mimpi apabila segala-galanya berjalan dengan pantas. Ya. Mimpi yang dia sangat berharap akan sedar dengan kadar segera. Namun berkali-kali Raisya mencubit pipinya, tetap terasa sakitnya. Ya. Dia tidak bermimpi. Dia kini sudah sah menjadi seorang isteri!

“Yang kau cubit pipi kau sendiri kenapa?”

Soal Zafuan yang muncul dan masuk ke dalam biliknya yang kini sudah dihias cantik. Tersenyum sinis dia melihat hiasan bilik itu. Konon bilik pengantinlah!

“Tak ada apalah.”

Jawab Raisya kekok apabila buat pertama kali selepas dia baligh, auratnya diperlihatkan kepada lelaki bukan muhrim.

Apatah lagi sejak mereka berdua kian remaja, jarang sekali Raisya dan Zafuan bersua muka apatah lagi berborak rancak. Semuanya kerana sejak mereka berdua melangkah ke alam sekolah menengah mereka masuk ke asrama penuh. Itupun bila cuti sekolah mereka lebih gemar membuat hal masing-masing.

Zafuan duduk melunjur sambil bersandar di kepala katil. Dia menyilang tangan memeluk tubuh sambil merenung Raisya.

Raisya yang sedang menyikat rambutnya berasa segan.

“Tengok apa?”

“Kau ni tak adalah cantik mana.”

Raisya mendengus.

“Ada masalah ke?”

“Kau cintakan aku tak?”

Soal Zafuan tanpa mempedulikan soalan Raisya.

Dahi Raisya berkerut.

“Hah?”

“Tak payahlah buat muka terkejut sangat. Aku tanya ni, kau cintakan aku tak?”

Tanya Zafuan lagi.

“Err… jujurnya sekarang ni tak. Tapi…”

“Bagus!”

Zafuan pantas memotong.

“Dan aku tak nak kau cintakan aku. Faham?”

“Kenapa?”

Tanya Raisya.

Zafuan tersenyum sinis.

“Kau tanya ‘kenapa’? Jangan kata yang kau ada rancangan nak cuba jatuh cinta dengan aku?”

Muka Raisya tiba-tiba memerah.

“Eh, tolonglah! Tak pernah teringin pun.”

“Kau tak nak cari jodoh sebenar kau ke? Kita ni kahwin atas unsur paksaan keluarga. Mungkin kita sebenarnya bukan berjodoh pun tapi dipaksa oleh orang lain. Jadi, aku izinkan kalau kau nak cintai lelaki lain dan kau pun kena relakan aku untuk mencintai perempuan lain. Bila kau dah jumpa lelaki yang kau cinta, aku akan lepaskan kau kalau itu yang kau nak. Sampailah waktu tu aku takkan pernah sentuh kau. Jadi aku akan ‘pulangkan’ kau macam keadaan asallah kiranya. Faham?”

Raisya diam seketika sebelum bertanya.

“Awak ada siapa-siapa yang awak cinta ke?”

Kening Zafuan terangkat sebelah.

“Sejak bila kau ber ‘awak’ dengan aku ni?”

Raisya menggigit bibir menahan malu seketika.

“Tak adalah. Apapun sekarang kita tetap suami isteri. Saya tak naklah guna aku-kau sebab kedengaran biadap walaupun awak tak terasa hati. Kalau saya mati kejap lagipun saya akan mati sebagai isteri awak. Jadi tak naklah mati dalam keadaan isteri nusyuz pula!”

Zafuan kelihatan bingung seketika namun perlahan-lahan mengangguk.

“Ah…! Apa-apalah. Ikut suka kaulah. Untuk soalan kau tadi sekarang aku memang tengah tak ada siapa-siapa tapi siapa tahu nanti, kan? Tapi kalau betul ada pun nanti, mungkin aku cuma perlu madukan kau aje. Atau kalau kau nak, aku boleh lepaskan kau.”

Raisya mengangguk memahami tanpa terasa sentap walau sekelumit tatkala mendengar Zafuan berniat untuk memadukannya di masa hadapan.

“Betul juga. Jadi betul ke ni awak izinkan saya kalau saya cintakan lelaki lain?”

“Yeap. Suka hati kaulah!”

Ujar Zafuan yakin. Raisya pula tersenyum lega. Jujurnya dia terasa terbeban jika perlu mencintai lelaki itu. Tidak ada sekelumit rasa cinta pun terhadap lelaki yang sudah dia anggap sebagai abang itu.

“Eh, tapi aku nak tanya sikit. Kau nanti sambung study dekat mana?”

Tanya Zafuan.

“Emm… bulan depan saya daftar dekat matrik Perlis.”

“What?!”

Pekik Zafuan tiba-tiba.

“Ke… kenapa?”

Tanya Raisya terkejut.

“Err… tak ada apalah. Dahlah! Aku mengantuk. Kau tidur dekat sofa sana.”

Arah Zafuan.

“Eh, kenapa saya pula? Awakkan lelaki. Awaklah yang kena tidur sana.”

Zafuan memandang Raisya.

“Kau nak jadi isteri nusyuz ke isteri derhaka tak nak dengar arahan aku ni? Atau… boleh aje kalau kau nak tidur aje sebelah aku ni. Nak?”

Raisya menelan air liur.

“Tak apa… tak apa! Saya tidur sofa.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience